Monday, February 28, 2011

SONGS OF THE SEA- Sentosa, Singapore.

Mengujakan ! Persembahan gabungan air, cahaya dan muzikal yang menakjubkan. "Song Of The Sea" yang direka cipta oleh Yves Pepin telah menggayakan perkampungan tepi laut ala "kelong" sepanjang 120 meter sebagai elemen dasar.Penataan cahaya laser dan "pyrotechnic display" disulami pancutan "water jet" pelbagai gaya diselang seli pula "live cast flame burst" berpintal-pintal, menjanjikan kami kaku di kerusi "open-air viewing gallery" yang bersendat dengan 2500 orang pengunjung lain.

Thursday, February 24, 2011

SUSULAN KES BUANG BAYI: GADIS 20 TAHUN DITAHAN

SINAR HARIAN 25 FEBUARI 2011

PONTIAN - Seorang gadis berusia 20 tahun ditahan atas kesalahan cuba menyembunyikan kematian dan membuang bayi. Tertuduh dipercayai membuang mayat baru lahir di dalam tandas sebuah stesyen minyak berhampiran Kampung Api-Api, Pontian pada 20 Februari lalu. Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin berkata, siasatan awal mendapati bayi itu mati sebelum dilahirkan di dalam tandas di rumah gadis berkenaan, di Kuala Pilah pada 19 Februari lalu. “Gadis itu merupakan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi di Kuala Pilah, Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. Katanya, mayat bayi itu diletakkan dalam sebuah beg kemudian dibawa menaiki motosikal yang dipandu sendiri gadis itu ke Pontian di mana mayat itu dibuang. ‘Mayat bayi itu ditemui di stesen minyak berkenaan pada pagi, Ahad (20 Februari) dan gadis tersebut ditahan tiga hari selepas itu di rumahnya sekitar jam 9 malam,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman maksimum dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Dia (gadis) itu kini ditahan di Balai Polis Kuala Pilah untuk membantu siasatan dan sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes boleh menghubungi talian hotline di 07-2212999 atau datang terus ke balai polis berdekatan,” katanya. 

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
HARIAN METRO 25 FEBUARI 2011

SISWI TUNGGANG MOTOR 300 KM
Oleh Salman Hamat
am@hmetro.com.my

PONTIAN: Misteri ibu kepada bayi yang ditemui dalam mangkuk tandas di stesen minyak di Jalan Api-Api di sini, Ahad lalu, terbongkar selepas polis menahan seorang pelajar tahun akhir institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di rumah keluarganya, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin ketika dihubungi berkata, gadis berusia 20-an itu ditahan selepas pihaknya mendapatkan gambarannya daripada pekerja stesen minyak berkenaan tidak lama selepas penemuan mayat bayi terbabit.
“Hasil maklumat, lokasi kediamannya dikesan dan kami ke sana jam 9 malam Rabu lalu, sebelum menahannya bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati gadis itu melahirkan bayi lelaki berkenaan di dalam tandas rumah sewanya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan,” katanya, semalam.
Menurut Zahaliman, siasatan mendapati pelajar tahun akhir itu menunggang motosikal seorang diri sejauh kira-kira 300 kilometer dari rumah sewanya untuk ke stesen minyak berkenaan.
Beliau berkata, gadis terbabit bimbang rahsianya melahirkan anak terbongkar dan nekad untuk cuba menutup perkara terbabit.
“Siasatan mendapati bayi itu dipercayai meninggal dunia sehari selepas dilahirkan, gadis terbabit kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi, sabit kesalahan membawa kepada hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam kejadian jam 9 malam Ahad lalu, seorang pengawal keselamatan berusia 72 tahun terkejut apabila terjumpa mayat bayi di dalam tandas sebelum memaklumkannya kepada pekerja stesen minyak itu.
Polis yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati bayi yang dibungkus dengan kain berkenaan sudah meninggal dunia.

LAKSA SATE KIAN POPULAR

UTUSAN MALAYSIA 25 FEBUARI 2011
Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

Pembantu gerai sibuk membakar sate untuk menu istimewa Laksa Sate di gerai Laksa Buluh 5, Pasar Pagi Simpang Empat, Alor Setar.

ALOR SETAR 24 Feb. - Pernahkah anda menikmati laksa yang dihidangkan bersama sate?
Dua juadah popular orang Malaysia itu dihidangkan dalam satu pinggan menimbulkan rasa lemak, manis, pedas dan ia sememangnya 'eksotik'.
Mungkin kombinasi makanan tersebut agak pelik bagi kebanyakan orang, namun bagi penduduk negeri ini menjamah laksa bersama sate dan kuahnya adalah satu kebiasaan.
Malah, kerana keunikan rasa dan keenakannya, hidangan itu semakin menjadi perhatian masyarakat seperti kata orang, belum rasa belum tahu, sekali rasa sepinggan tidak cukup.
Lantas jika berkunjung ke bandar ini jangan lupa menjenguk gerai Laksa Buluh 5 di pasar pagi Simpang Empat yang cukup terkenal dengan juadah laksa sate.
Pemilik gerai tersebut, Yusof Arifin, 56, berkata, hidangan laksa bersama sate serta kuahnya merupakan resipi keluarganya turun temurun iaitu sejak tahun 40-an.
"Hari ini semakin ramai yang suka hidangan sebegini baik penduduk Kedah mahupun dari negeri lain.
"Mula-mula bagi yang tidak pernah mencuba mungkin agak pelik tetapi bila sudah cuba, insya-Allah akan mahu lagi," kata Yusof.
Katanya, laksa yang menggunakan ulam istimewa seperti daun putat itu dijual pada harga RM2 sepinggan sementara sate 30 sen secucuk.
"Selalunya untuk sepinggan laksa saya hidangkan bersama lima cucuk sate ayam atau daging mengikut selera pelanggan," katanya ketika ditemui di gerainya itu baru-baru ini.
Bagi perniagaan tersebut kata Yusof, dia dibantu oleh saudaranya, Ismail Mahmud, 56, yang membekalkan sate.
"Sudah lama kami berniaga bersama di pasar malam atau pekan sehari kami akan berniaga bersebelahan," katanya lagi.
Yusof menambah, selain Simpang Empat, pasar malam dan pasar pagi di beberapa pekan kecil di daerah ini dan Pendang seperti Tokai, Kuala Sala dan Kota Sarang Semut menjadi lokasi mereka.
Kata Yusof, dalam sehari dia mampu menjual daripada 40 hingga 50 kilogram laksa bersama 1,000 hingga 2,000 cucuk sate.
"Bergantung kepada hari-hari tertentu misalnya kalau hari cuti sekolah atau musim perayaan jualan akan bertambah," katanya.
Bercerita lanjut katanya, dia pernah menerima pelanggan dari Selangor dan Perlis yang sanggup berjalan jauh untuk membeli laksanya.
"Seperti orang lain mereka mendengar tentang laksa sate ini daripada mulut orang yang pernah mencubanya. Jadi bagi yang hendak cuba rasa laksa dimakan bersama sate datanglah," celotehnya lagi.
Menurut salah seorang pelanggannya, Rokiah Razak, 56, gerai laksa sate itu memang tidak asing lagi baginya.
"Setiap hari Khamis pasti akan ke sini untuk makan laksa sate ini. Saya suka laksa bersama sate ayam kadang-kadang sepinggan tidak cukup bungkus bawa pulang lagi.
"Rasanya memang lain kerana kuah sate bercampur dengan kuah laksa itu lemak dan pedas sedikit. Itu yang sedapnya," katanya.
Seorang lagi pelanggan, Hamidah Abdul Wahab, 26, berkata, dia mendengar cerita tentang laksa sate tersebut daripada salah seorang anggota keluarganya beberapa tahun lepas.
"Betul kata orang sekali cuba memang nak lagi. Rasanya lain sangat itu yang buat laksa sate ini berbeza," katanya lagi.
Bagi penulis sendiri, laksa sate memang unik dan sedap terutama ketika mengunyah laksa bersama sate serta kuah yang telah bergaul dengan kuah kacang.

MEWARNAI LANGIT: FESTIVAL LAYANG-LAYANG SEDUNIA KE-16

"MEWARNAI langit". Begitulah indah dan asyiknya suasana di langit di Bukit Layang-Layang, Taman Bandar, Pasir Gudang, Johor Bahru baru-baru ini.
Pelbagai bentuk dan corak layang-layang daripada saiz kecil hingga gergasi dilihat berterbangan bebas memberikan satu permandangan yang indah dan menenangkan jiwa peminatnya.
Tambahan pula, layang-layang tersebut bukan sahaja direka oleh pereka tempatan yang berbakat dan berkemahiran tinggi malah pelayang-pelayang asing tidak kalah dengan kreativiti dan kemahiran mereka.
Tidak cukup dengan layang-layang bersaiz gergasi, ribuan pengunjung pasti terpesona dengan kemahiran peserta bermain layang-layang stunt kite yang kelihatan melentuk-lentuk mengikut alunan tangan pelayang selain mengeluarkan bunyi yang mengasyikkan.
Suasana meriah tersebut merupakan sebahagian aktiviti yang dapat dilihat sepanjang penganjuran Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang ke-16 yang berlangsung selama lima hari bermula sejak 16 Februari lalu.
Festival berkenaan sebelum ini dikenali sebagai Festival Layang-Layang Antarabangsa Pasir Gudang diberi penjenamaan semula bermula tahun ini. Program itu merupakan anjuran Kerajaan Negeri Johor, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Jabatan Pelancongan negeri Johor dan Persatuan Pelayang Johor dan dimasukkan dalam Kalendar Rasmi Pelancongan Negeri Johor selain diiktiraf sebagai acara tahunan terbesar di dunia yang disertai oleh pelayang tempatan dan antarabangsa.
Dengan tema 'Mewarnai Langit' yang membawa maksud festival yang memaparkan sukan dan budaya permainan layang-layang merupakan aktiviti pelancongan, rekreasi dan riadah yang memberikan keceriaan melalui warna-warni dan pelbagai bentuk layang-layang menghiasi langit.

Tuesday, February 22, 2011

PENGAWAL TERKEJUT JOLOK MAYAT BAYI

HARIAN METRO: SELASA 22 FEBUARI 2010

KEJAM...anggota polis membawa mayat bayi yang ditemui di atas pam tandas.

PONTIAN: Seorang pengawal keselamatan mahu membuang air kecil terkejut menemui mayat bayi lelaki diselimuti tudung dan selendang di atas pam tandas sebuah stesen minyak di Jalan Pontian-Benut, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Abdullah Kasek, 72, berkata, dia terpandang objek terkulai di atas pam itu sebelum mengambil kayu untuk menjolok.
“Biasanya, sebelum memulakan tugas, saya akan memeriksa kawasan sekeliling bagi memastikan dalam keadaan baik termasuk tandas.
“Ketika masuk ke tandas untuk membuang air kecil, saya terpandang objek mencurigakan dan cuba menjolok sebelum terkejut apabila ia mayat bayi yang cukup sifat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Warga emas itu keluar dan memaklumkan penemuan itu kepada kakitangan wanita stesen berkenaan sebelum orang awam menghubungi polis.
“Saya tidak sangka ada manusia berperangai lebih keji daripada haiwan di muka bumi ini, jangan diperlakukan bayi tidak berdosa itu sedemikian rupa,” katanya.
Seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, dia mendapati mayat bayi itu dalam keadaan bersih.
“Tiada kesan darah, malah tali pusatnya sudah dipotong dan saya berharap polis mengheret individu terbabit ke muka pengadilan,” katanya.
 Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Daerah Polis Pontian ketika dihubungi mengesahkan kes terbabit.
“Pegawai kami dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan termasuk kemungkinan bayi lelaki itu sudah meninggal dunia di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan di atas pam tandas berkenaan.
“Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Pontian (HP) untuk dibedah siasat,” katanya.
Jurucakap itu berkata, setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat dan pihaknya masih mengumpul maklumat berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

Sunday, February 20, 2011

SUP URAT KETING UK

KOSMO 20 Febuari 2011

.
SEBELUM ini, Sabul Ismail, 38, merupakan seorang penjual jam tangan di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.
Namun kini dia merupakan seorang usahawan berjaya dengan memiliki Restoran Sup Ketin UK bertempat di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Restoran anak kelahiran Terengganu itu menyediakan pelbagai jenis masakan kampung, moden dan juga Barat. Satenya juga tidak kurang sedapnya.
Tidak hairanlah jika ia menerima lebih 500 orang pelanggan setiap hari.
Dijana oleh 20 orang pekerja serta 30 buah meja makan, restoran itu dibuka dari pukul 8 pagi hingga 1 pagi setiap hari. Suasana di restoran itu sahaja sudah cukup membuatkan pelanggan teruja.
Seakan-akan sebuah kopitiam yang diselangi potret gambar menarik di dinding, hidangan masakannya dibuat secara terbuka.
Mengapa namanya Restoran Sup Urat Ketin?
“Sebenarnya buntu saya memikirkan nama restoran ini. Tiga hari saya tidur lewat kerana ingin mencipta kelainan untuk menarik pelanggan.
“Setelah puas berfikir akhirnya datang ilham. Saya rasa sup keting (‘ketin’ dalam dialek Kelantan) merupakan nama terbaik. Anda pelik mendengar namanya, bukan? Sebenarnya yang pelik itulah yang menjadikan orang tertarik,” katanya ketawa.
Sup keting merupakan salah satu menu makanan popular yang terdapat di restoran milik Sabul.
Keting ialah urat kaki lembu berwarna putih dan disaluti lemak. Ia perlu direbus untuk mengasingkan lemaknya. Menu ini amat popular di negeri Kelantan terutama pada Hari Raya Haji.
Malah keting juga boleh dimasak gulai lemak, kerabu dan goreng.
“Saiz keting yang sesuai untuk dibuat sup ialah tiga sentimeter panjang dan satu sentimeter tebal.
“Stok diambil daripada pembekal yang mengimportnya dari New Zealand dan Australia. Sebanyak 30 kilogram urat keting boleh dimasak di dalam sebuah periuk besar,” katanya.
Menurut Sabul, dalam sehari beliau dapat menjual lebih 100 mangkuk sup keting yang berharga RM6 setiap satu.

Antara pelanggan yang selalu datang untuk menikmati sup keting Sabul ialah pakar motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan Kid (Hamzah Mohd. Taib), bekas anggota kumpulan Search.
“Mereka datang sekurang-kurangnya seminggu sekali. Tetapi saya tidak pula bertanya pada Dr. Fadzilah mengenai rahsia makan sup khususnya bagi orang lelaki,” katanya sambil ketawa.
 Sabul juga berkongsi rahsia menyediakan sup keting yang lazat.
“Ramuan untuk membuat sup keting sama seperti membuat sup tulang, sup ekor dan sup gearbox.
“Rempah ratusnya termasuk jintan, kayu manis, bunga lawang, bawang putih, bawang besar, halia dan kayu manis. Semuanya perlu diadun dan direbus bersama selama empat jam.
“Jangan pelik kerana untuk membuatnya perlu ada dua rebusan berbeza, satu rebusan tulang lembu dan satu lagi urat keting bagi membuang lemaknya.
“Apabila telah cukup tempoh rebusan, kedua-dua air rebusan tadi digabungkan sebelum ditambah gula dan garam. Sup ini juga digemari ramai orang Cina,” katanya.
Shahdan Yusof, 29, seorang kontraktor, berpendapat sup keting dapat memberikan beliau tenaga tambahan.
“Saya kerap berpanas di tapak projek, jadi sup keting dapat memberikan saya ‘kuasa’ tambahan. Kebiasaannya saya makan sup ini tiga kali seminggu di sini,” ujarnya.
Dengan peluh mengalir di dahi ketika dia menghirup sup dan mengunyah urat keting. Syahil Siadan, 28, ada pendapat sendiri mengenai sup itu.
“Saya berasal dari Kota Bahru, Kelantan. Kebiasaannya sup keting hanya menjadi menu utama ketika Hari Raya Haji. Kini ia dapat dinikmati setiap hari.
“Saya tidak perlu lagi pulang ke Kelantan kerana di Selangor pun ada sup keting,” katanya berjenaka.

KELUARGA ISA TERUS DAPAT SUMBANGAN

MINGGUAN MALAYSIA 20 FEBUARI 2011


ZAINON Mohd. Yusof menyampaikan sumbangan kepada Sidek Yusof di Pontian, baru-baru ini. 


PONTIAN 19 Feb. - Keluarga Mohd. Isa Kassim yang kehilangan tempat berteduh apabila rumah mereka di Kampung Parit Marjunit Laut, dekat sini musnah dalam kebakaran baru-baru ini, terus menerima sumbangan daripada pelbagai pihak.
Kelmarin, mereka menerima sumbangan daripada Badan Kebajikan Pejabat Daerah Pontian yang bersimpati dengan nasib mereka.
Sumbangan wang tunai RM1,000 disampaikan oleh isteri Pegawai Daerah Pontian, Zainon Mohd. Yusof kepada Sidek Yusof, bapa mertua Mohd. Isa di rumah sewanya di sini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Pontian, Mohamed A. Karim dan Penghulu Mukim Sungai Pinggan, Zulkifli Tubee.
Dalam kejadian awal pagi Isnin lalu, Mohd. Isa yang tinggal bersama 10 ahli keluarganya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dijilat api.
Ketika kejadian, mereka sedang tidur dan kebakaran itu hanya disedari oleh anak perempuannya, Nazatul Syareen, 14.
Mohd. Isa yang tidak mempunyai kerja tetap hanya bekerja sebagai penjual makanan seperti burasak, ketupat dan lepat loi di pasar tani untuk menyara tujuh anak dan seorang cucunya.
Dalam pada itu, Zainon berharap keluarga Mohd. Isa bersabar menerima dugaan itu dan sumbangan yang diberikan pihaknya mampu meringankan sedikit beban mereka.
Sementara itu, Zulkifli memberitahu, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan orang perseorangan turut memberi sumbangan kepada keluarga mangsa.
Beliau juga akan mengajukan permohonan kepada MAINJ bagi mendapat sebuah kediaman tetap untuk keluarga mangsa yang kini tinggal sementara di rumah sewa yang dibiayai oleh MAINJ.

GELANG HADIAH KAHWIN DISAMUN

PONTIAN 19 Feb. - Seorang wanita kehilangan gelang hadiah perkahwinan yang diterimanya minggu lalu akibat disamun dua lelaki di Lorong Datuk Hitam, Kampung Parit Semerah di sini kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi, ketika mangsa, Nur Azura Marzuki, 24, menunggang motosikal seorang diri ke sebuah bank di bandar ini untuk mengeluarkan wang.
Dia kemudian terserempak dengan dua lelaki menaiki sebuah motosikal berwarna hitam dan memakai topi keledar penutup muka.
Nur Azura yang baru berpindah mengikut suaminya ke Taman Damai di sini berkata, pada mulanya dia tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka dua pemuda itu turut menggunakan laluan tersebut tetapi tidak lama kemudian, motosikalnya dipintas secara tiba-tiba.
"Salah seorang daripada mereka mengeluarkan pisau lipat lalu meletakkan di pergelangan tangan kanan saya lalu mengelarnya. Mujur pisau terbabit tidak tajam kalau tidak mungkin saya luka parah.
"Seorang lagi memaksa saya membuka gelang hadiah kahwin bernilai RM1,500 yang saya pakai ketika itu dan menyerahkan dompet yang hanya berisi kad pengenalan dan wang sebanyak RM5," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini kelmarin.
Katanya, dia kemudian disuruh diam ketika seorang wanita tua menunggang basikal melalui jalan tersebut dan mangsa tidak berani berbuat apa-apa kerana pisau masih diletakkan di tangan kanannya.
Dia memberitahu, dua lelaki itu kemudian melarikan diri selepas mendapat gelang tersebut dan dia bernasib baik kerana kejadian berlaku sebelum sempat dia mengeluarkan wang dari bank.
Nur Azura kemudian memaklumkan kejadian kepada suaminya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini serta mendapatkan rawatan di Hospital Pontian.

Wednesday, February 16, 2011

MAULIDUR RASUL DI PONTIAN

Kelahiran Rasulullah transformasi terunggul
SINAR HARIAN Rabu 16 Febuari 2011.

PONTIAN – Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W di tengah-tengah kejahilan masyarakat Arab ketika itu membawa satu transformasi terunggul dalam lembaran sejarah peradaban Islam.

Pegawai Daerah, Mohamed Karim berkata, transformasi itu ternyata menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat untuk mencapai kecemerlangan dan kekuatan ummah.

Menurutnya, sejarah perjuangan yang menceritakan tiada kejayaan yang mudah dicapai Baginda dan para sahabat melainkan melalui perancangan, perundingan dan pelaksanaan penuh berstrategi dan konsisten.

“Risalah Baginda berpaksikan Wahyu Ilahi bertujuan melahirkan umat Islam yang mengesakan Allah SWT tidak ternoktah di Semenanjung Arab sahaja, tetapi meliputi seluruh benua, bangsa dan keturunan.

“Sebagai contoh, dalam peristiwa peperangan Khandaq, membuktikan bahawa Rasulullah dan para sahabat menggunakan minda yang efektif melalui mesyuarat untuk merancang dan bertindak secara kolektif dan kreatif melalui kepelbagaian strategi,” katanya ketika berucap merasmikan program sambutan Maulidur Rasul di sini, semalam.

Hadir sama, Kadi Daerah Pontian, Fauzi Bachuk dan Penolong Pengarah (Unit Khutbah) Pejabat Agama Islam Negeri Johor, Abu Bakar Watak yang menyampaikan Ceramah Maulidur Rasul.

Mohamed berkata, Rasulullah adalah insan terbaik untuk diteladani.

“Sempena memperingati sambutan Maulidur Rasul ini, marilah kita bersama merintis perpaduan melalui kepelbagaian agama, kaum dan budaya bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang utuh dan kukuh.

“Begitu juga dengan meraikan bersama rakan kita dari pelbagai bangsa melalui kerukunan muhibah dengan penuh mawaddah, bertepatan dengan tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini 1Malaysia, 1Ummah,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 6,000 masyarakat Islam di daerah ini berkumpul di persekitaran kawasan Masjid Jamek Bandar Pontian dan Stadium Mini Pontian.

Sambutan dimeriahkan dengan acara menyembelih sembilan ekor lembu bagi juadah menjamu selera dengan 10 periuk nasi beriani.

Majlis yang dimulakan dengan bacaan berzanji di Masjid Jamek Bandar Pontian hari sebelumnya diteruskan dengan perarakan dari Padang Mini-Stadium ke Masjid sejauh 500 meter.

Sunday, February 13, 2011

AWAS JERAT VALENTINE:Siapa Kekasih Kita ?


Teman perasan tahun ini, buat pertama kalinya kedatangan Valentine Day dipandang sinis dengan peringatan mendalam diberikan pihak berwajib kepada khususnya rakyat Islam.Alhamdulillah, harap-harap peringatan ini tidak seperti televisyen dan tabloid mencanangkan "Hapuskan Nyamuk Aedes" ketika wabak bermusim itu mula menular serius.Maklumlah muda-mudi kita yang mudah hanyut tidak hanya mensasarkan setiap 14 Febuari untuk berpesta, malahan melampaui kepada sambutan tahun baru, pesta hari lahir, reunioun, Jom Heboh dan macam -macam lagi. Utusan Malaysia hari ini memetik TPM menyuarakan Valentine Day tidak sesuai diraikan umat Islam kerana mempunya kaitan sejarah dengan pengaruh Kristian. JAKIM melalui Ketua Pengarahnya Dato Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz berpendapat, sambutan Hari Kekasih bukanlah budaya masyarakat Islam malah ia wajar dijauhi kerana khuatir akan membawa kepada perbuatan tidak bermoral.
  
Laporan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat! Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang Islam.

Memetik suara mimbar sebuah masjid di Putrajaya 11 Febuari lalu, hari berkasih sayang di dalam agama tidak dikhususkan pada hari-hari tertentu, bahkan Islam itu sendiri membawa mesej aman, tenteram, perdamaian dan kasih sayang.Cintai dan sayangilah secara halal, hargailah dengan pemberian bunga..bawalah menikmati makan luar..bersukaria lah dengan aturan syara' dan seumpamanya lagi.Maulidur Rasul (12 Rabi'ul Awwal/15 Febuari) yang menyusul sehari selepas Valentine adalah signifikasi kita yang lebih besar terhadap kecintaan kita kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.Dialah sebenarnya kekasih kita..

Saturday, February 12, 2011

PECAL IKAN KELI / PECAL LELE


BAHAN-BAHAN:
1 kilo ikan keli
2 mangkuk santan pekat daripada  dua  biji kelapa
15 tangkai cili padi
6 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
5 cm belacan
5 cm cekur
7 helai daun cekur
Sedikit air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

CARA MENYEDIAKAN:
 1. Ikan dicuci bersih dan dilumur garam.
2. Panggang hingga masak.
3. Bawang merah, bawang putih, cili padi, belacan, buah cekur digoreng dan kemudian tumbuk halus.
4. Masukkan santan, bahan tumbuk dan ikan keli dalam periuk.
5. Masak dan sentiasa dikacau agar tidak pecah santan.
6. Masukkan air asam jawa dan daun cekur yang telah dihiris halus. Rasakan garam dan gulanya.

REDZUAN HAFEZ n FIQA

Setelah menjelajah hampir ke semua parit di Pontian, Redzuan Hafez akhirnya temui permata berharganya di Parit Baru ! Majlis perkahwinan dilangsungkan pada Sabtu 12 Febuari 2011.Jejaka "cool" Tanjung Bin yang cukup terkenal dengan tendangan "shuffle" di gelanggang futsal ini kami iringkan doa dan restu..selamat pengantin baru..semoga berkekalan ke anak cucu..kami merayu pada yang maha esa agar dikurnia cahaya..cinta kekal selama..

BILA BULAN BERWARNA BIRU

Malam bulan berendang
Berwarna biru di cermin kali
Mata air memancar
Mengilap mata yang lama kabur
Derita perlakukan
Gerlapan malam
Di kaki gunung bertudung kabus
Syahdu lagu berdendang
Melamar kasih sayup membisik
Membelai sukmaku
Berkurun rindu agak pendita
Berkilau sinar
Maya yang menderu
Membakar bahu musafir
Di lembah duka nestapa
Kini kasih kembali
Sekilas mentari
Sepi di ranting yang amat tinggi
Sekadar menemani
Jiwa tersadai
Di belantara sepi
Merayu pada yang maha esa
Agar dikurnia cahaya
Cinta kekal selama

SIMPANG MAUT PONTIAN

Atasi masalah 'simpang maut'

Sebuah kenderaan melalui persimpangan yang digelar oleh penduduk sebagai 'persimpangan maut' di Jalan Dato Ali-Jalan UMNO, Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN 11 Feb. - Sepanjang bulan lalu saja bandar ini menyaksikan empat kemalangan jalan raya termasuk melibatkan satu kematian di persimpangan Jalan Dato Ali-Jalan UMNO di sini menyebabkan orang ramai melabelkannya sebagai 'persimpangan maut'.
Seorang pengguna jalan raya, Ungku Abdul Rahman Ungku Jaafar, 46, berkata, pihak berkuasa perlu mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan lebih ramai pengguna mendapat kecederaan atau kehilangan nyawa.
Katanya, kebanyakan kemalangan berpunca daripada pemandu kenderaan yang datang dari Jalan UMNO atau sebatang lagi jalan, Jalan Mohd. Salleh yang tidak memberhentikan kenderaan walaupun papan tanda telah dipasang.
"Kejadian terbaru melibatkan seorang peniaga makanan, Zaki Ibnu Ahmad, berusia lingkungan 40-an yang dirempuh oleh sebuah kenderaan menyebabkan kecederaan teruk dan meninggal dunia selepas seminggu dirawat," katanya kepada Utusan Malaysia baru- baru ini.
Sehubungan itu, Ungku Abdul Rahman, Warden Trafik di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Pontian mencadangkan supaya pihak berkenaan memasang lampu isyarat di persimpangan itu bagi mengurangkan kemalangan.
Antara yang dicadangkan, membina bonggol dan lampu amaran di Jalan Mohd. Salleh dan Jalan UMNO supaya pemandu kenderaan berhati-hati apabila tiba di kawasan tersebut.
Bagi Salleh Ardan, 64, seorang pengawal keselamatan berkata, kemalangan yang berlaku bukan sahaja melibatkan kenderaan kereta dengan motosikal tetapi juga membabitkan basikal dan pejalan kaki.
Katanya, kebanyakan kemalangan tersebut berlaku bukan pada waktu puncak seperti di luar sesi persekolahan kerana pemandu tidak menyedari mereka perlu berhati-hati di persimpangan berkenaan.
"Ada kalanya berlaku pada waktu maghrib, waktu tengah hari dan selepas pukul 2 petang kerana jalan tersebut kelihatan lengang tetapi ia boleh mengundang bahaya kepada yang leka," katanya lagi.
Salleh turut mencadangkan tindakan tegas seperti saman kepada pengguna jalan raya yang sengaja melanggar undang-undang seperti tidak mematuhi papan tanda berhenti yang jelas kelihatan di persimpangan tersebut.

Tuesday, February 8, 2011

NIKE: HALAL atau HARAM ?

Bolehkah sesuatu jenama menjadi haram? Rakan terus memberi respon,"Oi, kau gila ke? Kau ingat aku makan kasut Nike aku ke?". Menjadi kebiasaan untuk kita semua untuk mengaitkan halal dan haram kepada makanan dan minuman tetapi kita mesti tahu halal dan haram juga terdapat dalam cara pemakaian, pekerjaan dan lain2.

Jadi, bagaimana dengan jenama Nike? Nike telah memberikan sponsor kepada banyak pasukan sukan luar dan dalam negara. Apa masalah dengan menggunakan jenama Nike? Boleh pakai atau tidak?

Jenama Nike tidak asing kepada kita semua. Semua org tahu jenama Nike dan kualitinya yang bagus dan tahan. Antara produk2 Nike adalah kasut, baju, pakaian sukan, alatan sukan dan sebagainya. Harga jenama Nike yang sedikit mahal dari jenama2 yang lain tidak menjadi masalah kerana ia sangat terkanal dan terjamin mutunya. Namun begitu, sedikit permasalahan timbul apabila kita meneliti jenama itu betul2.

Sebelum apa2 mari kita fikir sejenak... Bolehkah kita memakai pakaian yang tertera lambang2 dari agama lain. Contohnya, bolehkan kita memakai kasut yang ade lambang salib? Bolehkah kita memakai baju yang tertera gambar Buddha? Jika difikir secara rasional tentunya tidak boleh. "Mestilah tak boleh, haram tu. Nanti ape kate orang pulak."

Kembali ke topik asal. Bagaimanakah jenama Nike bole menjadi haram? Jenama Nike sebenarnya diambil daripada nama tuhan greek iaitu Nike. Nike(tuhan greek) melambangkan kekuatan, kepantasan dan kemenangan. "Iye je kau nie... Memandai je.. Ape buktinye?" kata rakan. Saya tidak akan menulis tentang ini jika tiada bukti. Jadi, mari kita buat carian di wikipedia tentang Nike. Keputusan berikut diperolehi:



Daripada wikipedia, kita dapat pengesahan bahawa Nike memang nama tuhan greek yang melambangkan kemenangan. Jadi, bolehkah kita memakai pakain dengan nama Nike? "Itu bukti name je. Jenama Nike tak ade kene mengena ngan tuhan tu." kata rakan itu. Untuk membuktikan kaitannya, kita siasat profile syarikat Nike. Keputusan berikut diperolehi:


Baca di bahagian FOUNDING. It wasn’t until 1971 that BRS introduced the concept of the Greek winged Goddess of victory—Nike— followed by the launch in 1972 of the company we know today as Nike. Jelas sekali jenama Nike memang diambil bersempena dengan tuhan greek, Nike. Maklumat itu juga boleh didapati di wikipedia:


Wikipedia juga menunjukkan jenama Nike diambil dari tuhank greek Nike. Lebih lagi, lambang Nike, "swoosh" melambangkan sayap tuhan greek itu.The Nike Swoosh logo represents the wing in the famous statue of the Greek Goddess of victory, Nike, who was the source of inspiration for many great and courageous warriors. Cuba pergi ke link ini:



Nama jenama Nike diambil dari  tuhan greek dan lambang atau logo Nike melambangkan sayap tuhan greek itu. Rakan kita mula percaya tetapi berkata "Aku pakai bukan nak memuja tuhan tu. Ramai je yang pakai. Logo tu pon tunjuk sayap je, bukan dewa tu. Pakai ikut niat la".

Mari kita fikir balik. Bolehkah kita memakai baju yang tertulis padanya buddha dengan niat bukan untuk memujanya? Atau bolehkah kita memakai baju yang terdapat gambar kepala buddha dengan niat bukan untuk memujanya? Mestilah tidak boleh juga. Jadi tiada bezanya dengan Nike. Nike adalah tuhan greek dan digunakan untuk jenama Nike.

Masalah juga timbul dengan sikap manusia. Manusia susah untuk menerima perubahan atau mengubah sesuatu dalam sekelip mata. Mesti timbul cubaan2 untuk menunjukkan yang mereka betul walaupun mereka tahu apa yang dibuat adalah salah. Syaitan memang suka buatkan manusia berasa seperti itu. Seseorang itu tahu apa yang dibuatnya salah tetapi mereka menyedapkan hati dengan alasan2 sendiri. Hakikatnya, yang haram tetap haram.

Kesimpulannya, jenama Nike diambil daripada tuhan greek Nike dan logo Nike melambangkan sayap tuhan greek itu. Sebolehnya, kita perlu elak dari terus memakai jenama itu kerana perkara sebegini tidak dibenarkan dalam Islam.