BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, April 7, 2011

POLIKARBONAT ROSAKKAN HORMON

BARU-baru ini Kementerian Kesihatan mengharamkan penggunaan bahan polikarbonat untuk menyimpan susu mahupun sebagai botol susu. Pengharaman tersebut kerana bahan polikarbonat dikenal pasti boleh merosakkan hormon manusia.
Adalah sukar bagi para saintis mengumpulkan data dan penjelasan yang terperinci kerana kerosakan hormon tidak dapat dikenal pasti dalam tempoh waktu yang singkat. Kefahaman dan pengetahuan mengenai isu itu masih samar walaupun kita telah melihat bukti-bukti jelas kerosakan hormon pada badan kita. Dengan kata lain kita telah melihat gejala kerosakan hormon yang sangat berleluasa namun penjelasan bagi masalah ini masih samar.
Berdasarkan statistik penyakit berkaitan hormon yang bertambah setiap tahun menunjukkan ia perlu dibendung segera. Keputusan kerajaan mengharamkan polikarbonat sebagai bekas simpanan susu bayi merupakan langkah yang baik.
Hormon merupakan bahan semula jadi yang terhasil di seluruh tubuh kita. Setiap hormon mempunyai fungsi yang unik dan tersendiri. Sebagai contohnya hormon metabolik membantu membakar makanan dan membolehkan makanan digunakan sebagai tenaga. Hormon ini membolehkan tubuh badan kita mendapat tenaga yang diperlukan. Jika hormon metabolik rendah maka seseorang itu pasti mempunyai tenaga yang rendah, cepat letih fizikalnya namun mampu bertahan dengan tenaga yang dihasilkan oleh hormon stres.
Apabila satu hormon rosak atau berkurangan maka tubuh akan bergantung kepada hormon lain pula sebagai bahan bagi mendapatkan tenaga. Ini menjadikan seseorang itu mempunyai personaliti dan ciri-ciri tenaga yang pelbagai bergantung kepada hormon yang dominan. 
Hormon bertindak dengan stimulasi atau pun dikenali sebagai signal hormon. Apabila kita makan makanan yang banyak gula, kelenjar hormon insulin akan mengesan paras gula yang tinggi. Signal yang dikesan adalah paras gula. Kelenjar hormon akan merembes hormon insulin yang kemudiannya menukarkan gula kepada tenaga. Tenaga ini akan digunakan oleh tubuh badan kita. Apabila kita berpuasa paras gula menjadi rendah dan ini dianggap sebagai signal oleh kelenjar hormon glucagon. Ia mengeluarkan hormon glucagon bagi menukar lemak kepada gula. Ini mewujudkan keseimbangan.
Hormon tiroid bekerja mengurai lemak dan memastikan tubuh tidak menyimpan lemak yang berlebihan. Namun apabila rosak ia tidak mampu lagi memberi respons kepada signal daripada tubuh.
Selain dari tubuh dan makanan, hormon juga saling bertindak antara satu sama lain. Kehadiran hormon cortisol (hormon stres) akan diseimbangkan dengan hormon tiroid (metabolisme). Begitu juga hormon-hormon lain yang berinteraksi dengan baik bagi menjamin kesihatan tubuh badan.
Growth Hormone (GH) misalnya berfungsi dalam tumbesaran tubuh badan bayi kepada dewasa. Dalam tubuh dewasa pula GH berfungsi mengekalkan kesegaran dan ketegapan tubuh. Seseorang yang kurang GH akan merasa lesu, kurang gembira dan tubuhnya mula mengecut, dengan kata lain proses penuaan menjadi lebih cepat.
Melatonin pula yang dihasilkan kelenjar pineal merupakan anti oksidan yang hebat bagi semua sel tubuh kita. Melatonin juga memberikan tidur yang lena. Jika kelenjar hormon melatonin gagal berfungsi dengan baik maka seseorang itu akan mendapat insomnia.
Polikarbonat mempunyai struktur kimia yang mampu menyamai struktur hormon dalam tubuh kita. Struktur yang sebegini bebas bergerak menuju ke arah kelenjar hormon kita membuatkan kilang hormon menjadi keliru. Dengan kata lain kehadirannya menyerupai hormon manusia dan membuatkan kepekaan kelenjar hormone kita menjadi berkurangan. Dengan kehadiran bahan polikarbonat yang kerap dan begitu banyak akhirnya akan merosakkan kelenjar hormon. Kerosakan membuatkan ia gagal mengeluarkan hormon yang diperlukan dengan tepat.
Kerosakan hormon akan jelas kelihatan sewaktu alam dewasa dan jarang sekali dilihat sewaktu kecil. Bayi yang diserang kerosakan hormon akan membesar menjadi orang dewasa yang obes atau pun mempunyai pelbagai masalah kesihatan yang lain.
Di dalam keghairahan kita mengejar arus kemajuan dan mengamalkan pembungkus plastik setiap hari wujud pula masalah baru yang menjadi misteri kepada kita. Statistik menunjukkan jumlah peningkatan dalam penyakit kanser, jantung, obesiti, buah pinggang dan lain-lain.
Kehadiran penyakit ini memberi impak yang sukar dalam kehidupan kita. Ia menelan kos rawatan yang tinggi sekali gus mengurangkan kualiti kehidupan.
Untuk mencapai tahap kesihatan yang baik, kita perlu prihatin dan menyokong usaha kerajaan. Kita juga mesti memberi nasihat kepada ahli keluarga terutamanya anak-anak kecil agar tabiat pemakanan dan penggunaan plastik dalam makanan dan minuman seharian dapat dibendung.

Wednesday, April 6, 2011

KENALI TELUR TIRUAN

Telur ayam/itik tiruan dikesan berasal dari China.Industri telur tiruan diberitakan mendatangkan pulangan lumayan bagi memberi saingan dan alternatif baru kepada penghasilan telur ternakan khususnya ayam dan itik Cengkerang telur dihasilkan daripada Kalsium Karbonat dan beberapa bahan kimia lain antaranya Paraffin Wax dan serbuk Gypsum sementara Sodium Alginate, Alum, Gelatin, Kalsium Klorida diadun dengan air dan pewarna makanan bagi membentuk bahagian kuning telur.Ternyata telur tiruan ini dihasilkan penuh komposisi racun kimia berbahaya yang langsung tidak memberi manafaat, apa lagi nutrisi kepada badan manusia.
Bagaimanakah caranya membezakan dan mengenali telur tiruan ini :

1/ Telur putih dan kuning dikesan segera bercampur antara satu sama lain setelah cengkerang dibuka dan dituangkan ke dalam bekas asing.Ini disebabkan oleh kedua-duanya dihasilkan daripada sebatian bahan mentah yang sama sifatnya.
2/ Cengkerang/kulit telur tiruan didapati sedikit lebih "berkilat" tetapi agak sukar untuk dikesan.
3/ Cengkerang/kulit telur tiruan sekiranya disentuh dengan tangan,permukaan lebih kasar dapat dirasakan.
4/ Telur tiruan akan menghasilkan lebih bunyi kerana struktur dalaman yang tidak solid, sekiranya digoncang.
5/ Telur tiruan tidak menghasilkan bau hanyir seperti telur asli.
6/ Sekiranya kulit telur diketuk, kulit telur asli akan memberikan bunyi lebih rapuh berbanding telur tiruan.
7/ Sekiranya digoreng, kuning telur tiruan akan pecah berserakan dengan sendiri sekalipun tidak disentuh.

TELUR AYAM TIRUAN

Rupanya sebiji telur ayam tetapi ia telur ayam tiruan diperbuat daripada bahan kimia yang dikhuatiri boleh memudaratkan kesihatan dan dijual di pasaran terbuka di Pulau Pinang.Telur palsu itu bersaiz lebih besar daripada telur ayam sebenar dan apabila dipecahkan ia tidak mempunyai pusat telur, tidak berbau, berkilat dan kasar. Demikian menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang telah menerima aduan daripada pengguna yang membeli 30 biji telur tiruan itu pada harga RM11 di pasar Pulau Tikus di Georgetown semalam.Presiden CAP, SM Mohamed Idris, berkata siasatan mendapati kulit telur palsu itu diperbuat daripada lilin parafin, serbuk gypsum dan kalsium karbonat manakala kuning telur dan putih telur menggunakan bahan daripada natrium alginat, alum, geletin, asid benzoik, kalsium klorida, air serta bahan pewarna makanan.

 "Komponen bahan kimia ini boleh menjejaskan kesihatan pengguna seperti mengganggu metabolisme, otak, sel saraf serta menjejaskan fungsi hati," katanya.Mohamed Idris berkata, kerajaan harus mengambil tindakan segera merampas dan mengharamkan semua telur ayam palsu itu kerana ia akan memperdaya pengguna selain memberi kesan buruk kepada kesihatan.
Seorang mangsa pembelian telur ayam palsu yang hanya mahu dikenali sebagai Loh, 50, berkata beliau menyedari telur ayam yang dibelinya dari pasar di Pulau Tikus itu adalah palsu setelah mendengar aduan seorang pembeli menerusi siaran radio."Setelah mendengar aduan seorang pengguna dalam radio, saya terus memeriksa telur yang dibeli itu dan terkejut apabila mendapati telur ayam yang saya dibeli sememangnya palsu," katanya.Loh berkata, beliau dan anggota keluarganya telah makan telur ayam palsu itu sejak sebulan lalu



Monday, April 4, 2011

KLUANG RAIL COFFEE PERLU MINTA MAAF


SINAR HARIAN-Isnin 4 April 2011



KLUANG - Sebanyak 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitar Kluang membuat laporan polis semalam berhubung isu kedai kopi Kluang Rail Coffee yang serbuk kopinya mengandungi gelatin babi seperti disahkan oleh Jabatan Agama Johor (JAJ) baru-baru ini.
Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang semalam dan dihadiri lebih 50 orang.
Antara NGO yang terlibat ialah Persatuan Pengguna Bumiputera Daerah Kluang, Persatuan Kontraktor Melayu Daerah Kluang, Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Cawangan Kluang, Dewan Perniagaan Melayu Daerah Kluang, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) daerah Kluang, Persatuan Teksi dan Pemandu daerah Kluang, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) daerah Kluang, Persatuan Persara Daerah Kluang, Komuniti Radio Amatur Daerah Kluang dan Jemaah Malabar Muslim Negeri Johor.
Pengerusi Persatuan Pengguna Bumiputera Daerah Kluang, Zolkefli Mohd Noor berkata, laporan polis dibuat oleh kesemua NGO ini adalah berhubung isu serbuk kopi mengandungi gelatin babi dan makanan beralkohol yang dijual kepada umat Islam oleh pengusaha kedai kopi Kluang Rail Coffee yang sudah sekian lama di daerah Kluang dan cawangannya.

“Malah kesahihannya juga telah terbukti melalui laporan pemeriksaan di Kluang Rail Coffee yang telah dijalankan bahagian Penyelidikan Agama Johor dan kenyataan yang telah dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor pada 25 Mac lalu serta kenyataan daripada Jabatan Agama Johor.
“Kenyataan tersebut meyakinkan seluruh umat Islam di Kluang bahawa isu ini adalah benar dan bukannya sabotaj. Kami mewakili seluruh umat Islam merasa kesal dan terhina dengan apa yang sudah berlaku serta pengusaha tersebut langsung tidak sensitif kepada Umat Islam,” katanya kepada Sinar Harian.
Zolkefli berkata, laporan polis yang dibuat bertujuan menggesa pihak berkuasa membuat pemeriksaan seterusnya kepada premis yang menjual makanan khususnya pengusaha bukan Islam supaya membuat permohonan sijil halal.
“Saya mewakili NGO yang ada menyeru seluruh umat Islam supaya tidak berkunjung ke restoran-restoran yang tidak mempamerkan sijil halal yang sah.
“Kami juga mendesak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) menamatkan penyewaan premis di Kluang Rail Coffee dan ditenderkan semula atau diberi peluang pula kepada pengusaha Islam,” katanya.
Selain daripada itu, Zolkefli berkata, mereka juga mempertikaikan kewajaran Jabatan Agama Johor (JAJ) menyamak peralatan yang digunakan di tiga premis tersebut sebelum sijil halal dikeluarkan.
Malah beliau berkata, proses yang dilakukan itu ditakuti mengelirukan umat Islam di daerah Kluang.
“Kami juga mahu mengetahui apakah tindakan kerajaan dalam isu yang mengguris perasaan seluruh umat Islam supaya perkara ini tidak akan berlaku lagi.
“Bukan itu sahaja, kami juga mahu menggesa pengusaha Kluang Rail Coffee memohon maaf secara terbuka di dalam akhbar dan media elektronik kepada seluruh umat Islam kerana sudah menipu masyarakat Islam di Kluang,” katanya.