BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, April 21, 2011

30 SIJIL HALAL DITARIK TAHUN LALU

 UTUSAN MALAYSIA-Khamis 21 April 2011

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
pengarang@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 20 April - Sebanyak 30 sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) ditarik balik daripada beberapa syarikat pada tahun lalu kerana gagal mematuhi piawaian persijilan halal yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, tindakan tersebut diambil selepas pemantauan mendapati mereka yang gagal mematuhi syarat-syarat yang termaktub dalam pemberian sijil seperti tidak menjaga kebersihan.
"Pemantauan akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan mereka ini benar-benar mematuhi garis panduan persijilan halal. Jika tidak kita akan menarik balik sijil halal mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penggunaan Halal Negeri Johor 2011 di Dewan Besar Pusat Islam di sini hari ini.
Seminar selama sehari itu bertujuan mempromosikan produk halal di samping memberi pendidikan berterusan terhadap kepentingan menggunakan barangan halal dalam kehidupan seharian.
Zainal Abidin berkata, setiap tahun secara purata sebanyak 350 sijil halal dikeluarkan JAINJ untuk diberikan kepada para pengusaha makanan dan produk perniagaan.
Beliau berkata, pemberian sijil itu dilakukan selepas panel 14 institusi yang diketuai oleh JAINJ melakukan proses penilaian terhadap sesebuah syarikat bagi memastikan mereka benar-benar mengikuti piawaian yang ditetapkan.
"Sijil ini dikeluarkan setahun sekali dan akan diperbaharui sekali setiap dua tahun. Sepanjang tempoh berkenaan, panel 14 institusi ini akan menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan ia benar-benar mengikut garis panduan halal," katanya lagi.
Sementara itu, beliau berkata, JAINJ menggalakkan syarikat bukan Islam untuk memohon persijilan halal itu kerana produk halal mempunyai pasaran yang sangat luas di dalam dan di luar negara.
"Pada tahun lalu sahaja, sebanyak 63 peratus daripada syarikat yang memohon sijil halal adalah terdiri daripada bukan Islam. Ini merupakan perkembangan yang sangat baik," katanya.

Tuesday, April 19, 2011

SK MELAYU RAYA, PEKAN NANAS

Ahad 17 April 2011- 8.30 malam 

SK Melayu Raya, Pekan Nanas yang diterajui Pengetua Encik Sadan telah menganjurkan jamuan makan malam bersempena "Pertukaran Kenaikan Pangkat"seorang kakitangan tenaga pengajar iaitu Encik Aziz Jaafar. Kemangi turut mengucapkan tahniah dan Selamat Maju Jaya kepada Encik Aziz.

Sunday, April 17, 2011

SOAL HALAL TAK PERLU TUNGGU PENGESAHAN- JAIJ

UTUSAN MALAYSIA: Isnin 18 April 2011


PONTIAN 17 April - Masyarakat Islam mempunyai pilihan untuk tidak mengunjungi mana-mana kedai atau restoran sekiranya mereka meragui kesahihan halal makanan dan minuman yang dijual tanpa perlu menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Elias Hasran berkata, selain sijil pengesahan halal, faktor lain termasuk dari segi penyediaan juga perlu diambil kira bagi memastikan makanan tersebut benar-benar halal dan mengikut syariat Islam.
"Maklumat daripada orang ramai amat dialu-alukan bukan sahaja untuk tindakan pihak berkuasa tetapi untuk menyelamatkan masyarakat Islam daripada terus memakan makanan tidak halal di premis terlibat.
"Makanan tidak halal akan menyebabkan seseorang itu kurang mendapat petunjuk dari Allah, hati menjadi rosak dan keras serta doa tidak dimakbulkan," katanya ketika merasmikan Expo Barangan Halal di Pekarangan Masjid Jamek Pekan Nanas, di sini semalam.

BERTAUBATLAH GOLONGAN PERASUAH

Harta yang diperolehi hasil rasuah adalah haram dan tidak berkat.


SERINGKALI terjadi perbuatan rasuah atau tumbuk rusuk di kalangan masyarakat kita yang melibatkan kakitangan kerajaan dan swasta. Seolah-olah perbuatan rasuah menjadi budaya dan permainan oleh mereka yang terlibat.
Jika perbuatan ini tidak dibedung segera oleh pihak-pihak berwajib, besar kemungkinan ia menjadi penyakit yang merbahaya bagi bangsa dan negara. Apa lagi negara kita Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang berdaulat dan masyhur di kalangan antarabangsa.
Adapun dosa yang dilakukan oleh perasuah atau koruptor termasuk ke dalam kategori dosa besar kerana berkaitan dengan Tuhan dan juga manusia. Justeru itu taubat yang mereka lakukan hendaklah serius dan bersungguh-sungguh (nasuha), jangan taubat daun keladi, taubat nak buat lagi.
Jika demikian, taubat mereka akan ditolak. Kes ini kerana perbuatan korupsi atau rasuah yang mereka perbuat melibatkan kebesaran Tuhan dan nasib manusia serta negara.
Kaitan dengan Tuhan, kerana mereka mempermainkan nama kebesaran-Nya dengan berikrar janji dan sumpah setia ketika melaksanakan solat, di mana hidup dan mati mereka adalah untuk Allah.
Sedangkan yang dimaksud dengan sumpah palsu ialah menggunakan nama Allah untuk tidak mengambil yang bukan hak milik mereka. Inilah perasuah yang dikatakan sebagai musuh Tuhan, musuh negara, dan musuh manusia.
Adapun kaitannya dengan manusia, kerana justeru mereka merampas hak-hak orang lain dengan mengambil yang bukan hak mereka secara sebenarnya.
Firman Allah yang bermaksud: Dan janganlah kamu memakan harta benda di antara kamu dengan cara yang batal (salah), dan kamu ajukan perkara itu kepada penguasa (pemerintah) dengan maksud supaya kamu makan sebahagian harta orang lain dengan dosa, pada hal kamu mengetahui. (al-Baqarah: 188).
Di antara memakan harta dengan cara yang tidak halal itu ialah rasuah. Dalam konteks ini Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam hukum."(riwayat Ahmad, Termizi, Ibnu Hiban).
Melihat kes ini, maka taubat para pelaku rasuah perlu dilakukan secara serius melebihi taubat orang-orang yang melakukan dosa biasa. Hal ini perlu dilakukan, kerana mereka dianggap sebagai orang-orang yang tidak pernah mengerjakan ibadat.
Kosongnya ibadat yang dilakukan oleh para perasuah kerana diri mereka masih berlumuran dengan dosa dan sebagai penghisap darah ummah.
Mekanisme taubat para perasuah yang berkaitan dengan Tuhan, pastilah dengan penyesalan yang sungguh-sungguh dan tulus. Hal ini kerana para perasuah pernah mempermainkan nama kebesaran dan keagungan Tuhan.
Maka mereka mesti mengembalikan reputasi kebesaran Tuhan dengan melakukan ibadat-ibadat secara berterusan dan melakukan dengan cara yang bersih zahir dan batin.
Dalam konteks kebersihan ini, Rasulullah SAW memberikan isyarat dalam hadis yang digambarkan tentang seseorang yang sibuk mengerjakan ibadat sehingga rambutnya tidak sempat disisir.
Orang itu setiap saat menadahkan tangannya ke langit memohon kepada Tuhan hal-hal yang diinginkannya. Tetapi setelah diperiksa ternyata makanan, minuman, dan pakaiannya didapati dari sesuatu yang haram. Bagaimana mungkin Tuhan menerima ibadat orang-orang yang berwatak seperti itu.
Ada pun, taubat para perasuah yang berkaitan dengan manusia, hendaklah mengembalikan harta-harta mereka yang telah dirasuah. Jika hal ini diteruskan rasuah, bererti dosa perasuah mesti dipertanggungjawabkan kepada semua orang yang terlibat dan juga termasuk harta negara jika kes itu termasuk di dalamnya.
Selama harta yang yang dirasuah itu tidak dikembalikan kepada pihak berkenaan, maka selama itu pula taubat para perasuah akan ditolak.

JAKIM: ANTARA PELUANG DAN TANGGUNGJAWAB

UTUSAN MALAYSIA-Isnin 18 April 2011



 BARU-BARU ini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengadakan misi perdagangan di tiga negara Eropah sekali gus iaitu Jerman, Austria dan Perancis.
Seperti misi-misi lain, kedatangan MITI dan rombongannya adalah untuk menarik pelaburan asing langsung ke Malaysia, selain turut membawa hajat syarikat-syarikat tempatan untuk memasarkan produk tempatan ke pasaran-pasaran tersebut.
Dalam tempoh seminggu itu, macam-macam isu dan perkara-perkara berbangkit berhubung perdagangan antara negara-negara tersebut dengan Malaysia dibincangkan.
Namun dalam kepelbagaian perkara yang dibincangkan, isu halal merupakan antara agenda yang paling menarik terutama ketika di Perancis.
Mengikut statistik 2007, jumlah populasi Muslim di Kesatuan Eropah adalah sekitar 16 juta dan di seluruh Eropah adalah sebanyak 53 juta (tidak termasuk Turki).
Statistik itu menunjukkan betapa potensinya produk halal di pasaran Eropah dan misi perdagangan yang diketuai oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed merupakan peluang terbaik bagi Malaysia untuk mengambil kesempatan menawarkan produk-produk halal keluaran negara di pasaran Kesatuan Eropah (EU).
Hasil daripada pertemuan itu, Perancis telah mempersoalkan bagaimana cara untuk memenuhi piawaian pensijilan halal memandangkan tidak terdapat satu badan pun yang boleh mengeluarkan sijil tersebut di peringkat global.
Sebelum ini, difahamkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah beberapa kali mengunjungi Perancis untuk meninjau sendiri produk yang ingin mendapatkan status halal.
Namun amat mendukacitakan apabila Jakim tidak mahu berkongsi keputusan tinjauan mereka dan ia menyukarkan pihak pengeluar produk dari EU untuk mendapatkan status halal.
Produk-produk halal tidak semestinya hanya untuk kegunaan Muslim sahaja tetapi ia untuk semua, tidak kira agama dan bangsa.
Untuk mendapat pensijilan halal, pengeluar dan pengilang perlu memenuhi beberapa kriteria termasuk cara pemprosesan, tahap kebersihan, selain aspek-aspek lain.
Nampaknya kegagalan membentuk satu badan khas yang diiktiraf di peringkat sejagat perlu diambil perhatian sewajarnya oleh semua pihak.
Dan, Malaysia sebenarnya mampu menjadi pemangkin dalam usaha ini dan ia perlu dilakukan oleh Jakim memandangkan piawaian pensijilan halal oleh agensi itu adalah tinggi.
Peranan ini mampu digalas oleh Jakim, selari dengan peranan dan tanggungjawab Malaysia yang begitu agresif mempromosikan negara sebagai hab halal dunia.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Jakim sendiri perlu bersungguh-sungguh memainkan peranan dan tanggungjawab - bukan sahaja untuk Malaysia tetapi demi kesejahteraan Islam sejagat.

Saturday, April 16, 2011

TERAPI OZON BANTU PENYEMBUHAN

MINGGUAN MALAYSIA: 17 April 2011

Monday, April 11, 2011

HIDANGAN IKAN PATIN BERNILAI RM 13,000 !

UTUSAN MALAYSIA-Isnin 11 April 2011


TEMERLOH 11 April - Sekumpulan 50 pelanggan yang makan hidangan masakan kampung termasuk ikan patin di sebuah restoran di sini terkejut apabila mereka dikenakan bayaran RM13,000.
Menurut seorang daripada kumpulan itu yang enggan namanya disiarkan, beliau membawa rakan-rakannya menikmati makan tengah hari di restoran berkenaan baru-baru ini yang menyediakan ikan-ikan sungai, ulaman dan sayur-sayuran kampung.
"Selesai makan, pemilik restoran berkenan mengenakan bil berjumlah RM13,000 dan saya terpaksa membayar,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata, jika dikira, setiap seorang daripada 50 orang itu, dikenakan bayaran RM260.
"Ini melebihi makan di restoran enam bintang di Kuala Lumpur,” katanya.
Kejadian itu kini menjadi bualan peniaga serta penduduk di daerah Temerloh.
Bernama difahamkan ikan patin buah atau patin muncung dijual pada harga antara RM90 dan RM120 sekilogram, dan apabila dimasak, ia dijual dengan harga RM25 hingga RM35 seketul mengikut saiznya.
Ikan patin sangkar pula berharga RM15 sekilogram, dan jika dimasak, dijual antara RM5 dan RM7 seketul.
Ikan patin sungai berwarna kelabu manakala patin sangkar berwarna cerah dan putih di bahagian sisik atas dan bawahnya pula berwarna kemerahan serta banyak lemak.
Ketua Pegawai Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Temerloh, Othman Din, meminta restoran dan kedai makan di Temerloh supaya mempamerkan tanda harga atau menyediakan harga pada menu jualan bagi kemudahan pelanggan dan orang ramai.
Mereka yang tidak mempamerkan tanda harga boleh dikenakan denda sehingga RM15,000 atau penjara dua tahun atau keduanya sekali, katanya.