BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, August 12, 2011

KURANG AJAR: RESEPI KHINZIR DALAM SISIPAN RAMADHAN


Keratan akhbar The Star 11 Ogos 2011
KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri telah memanggil Ketua Pengarang akhbar The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai kerana penyiaran artikel mengenai juadah Ramadan yang memuatkan gambar masakan daging khinzir.
Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata, dalam sisipan kelmarin, akhbar itu telah menyiarkan artikel bertajuk Ramadan Delights yang memuatkan gambar-gambar masakan daging khinzir serta artikel mengenai restoran tidak halal yang menyediakannya.
Katanya, KDN memanggil Ketua Pengarang akhbar berkenaan bagi menyatakan kesalahan akhbar itu berikutan tindakannya yang tidak sensitif kerana penyiaran artikel terbabit.
"Kementerian memandang serius kesalahan itu terutamanya kerana sisipan bertajuk Ramadan Delights itu merupakan ruangan khas bagi memberi panduan dan pilihan kepada umat Islam mengenai restoran untuk berbuka puasa," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Tuesday, August 9, 2011

MASJID BARU HADIAH RAMADHAN


Utusan Malaysia: Selasa 9 Ogos 2011

PONTIAN 8 Ogos - Penantian selama 31 tahun bagi 500 penduduk Kampung Jawa Ulu, di sini untuk mendapat sebuah masjid baru akhirnya tercapai sempena Ramadan ini.
Masjid yang dibina atas tanah seluas 0.4 hektar dengan kos RM1.2 juta mula dibina tahun lalu dan siap sepenuhnya Julai lalu.
Menurutnya, pembinaan masjid baru itu untuk menggantikan masjid lama yang usang dan tidak mampu lagi menampung jemaah yang semakin bertambah semasa solat Jumaat dan Aidilfitri.
"Memandangkan beberapa perkara teknikal yang belum diselesaikan termasuk penyerahan bangunan daripada JKR (Jabatan Kerja Raya) kepada Pejabat Agama, masjid itu mungkin tidak dapat digunakan untuk solat raya nanti.
"Walaupun harapan penduduk adalah sebaliknya, tetapi kita perlu mematuhi segala prosedur dan peraturan bagi setiap bangunan baru supaya semuanya berjalan lancar dan selamat digunakan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, kelmarin.
Iskandar berkata, sempena kedatangan Ramadan ini, pihaknya turut mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan masjid tersebut dan penduduk berasa teruja kerana mendapat sebuah masjid baru dan ingin menggunakannya bagi menunaikan solat tarawih kali ini.
Sementara itu, waris kepada pemilik tanah wakaf tapak masjid tersebut, Musa Hussin, 64, mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang dapat menunaikan hajat Allahyarham bapanya, Hussin Omar.
Walaupun mengambil masa yang agak lama bagi kerajaan meluluskan pembinaannya, namun keluarganya bersyukur kerana dapat melihat sebuah masjid yang indah di hadapan mereka.
"Daripada 16 beradik, hanya tiga yang masih hidup dan dapat menyaksikan tanah yang diwakafkan ini dibangunkan dengan sebuah masjid bagi kegunaan penduduk kampung," katanya sambil berharap proses penyerahan masjid itu kepada Jawatankuasa Masjid dapat disegerakan bagi membolehkannya digunakan pada solat Aidilfitri ini.

KELUHAN 80 PENIAGA UPTOWN

Utusan Malaysia: 9 Ogos 2011



PONTIAN 8 Ogos - Seramai 80 peniaga yang menjalankan perniagaan di Bazar Larut Malam atau uptown merayu kepada Majlis Daerah Pontian (MDP) menyelesaikan masalah bekalan elektrik dan tempat menyimpan payung milik mereka.
Menurut urus setia bazar tersebut, Zainal Kamal Zainal Abidin, 47, masalah itu timbul selepas MDP mengeluarkan surat amaran melarang penggunaan bekalan elektrik dan stor dari gerai pelancongan berhampiran tapak bazar.
"Ia menjejaskan kelancaran perniagaan sedangkan ini merupakan program bersama antara MDP dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebagai latihan berniaga kecil-kecilan selain memastikan bandar Pontian khususnya kawasan pantai terus hidup.
"Kami terpaksa mengosongkan stor tersebut bagi mengelakkan sebarang tindakan yang lebih tegas diambil seperti mana terkandung dalam surat notis amaran yang diberikan itu," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Katanya, pihaknya mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi membina stor bagi kemudahan para peniaga terutama yang tidak mempunyai kenderaan.
Menurut Zainal Kamal, maklum balas yang diberikan masyarakat setempat dan pengunjung terhadap uptown sangat baik selain menghindarkan kawasan pantai menjadi tempat gejala tidak sihat seperti merempit dan lepak.
Sementara itu, seorang peniaga yang ditemui, Hakim Tik, 33, berharap masalah yang dihadapi ini mendapat perhatian sewajarnya dari pihak yang berkenaan supaya uptown Pontian terus berkembang.
"Sebelum ini semua urusan penyimpanan dan pemasangan payung dilakukan oleh pihak urus setia yang tentunya memudahkan para peniaga tanpa membawanya pulang," ujarnya.
Sementara itu, Yang Dipertua MDP, Miswan Yunus ketika dihubungi berkata, masalah berkenaan dalam perhatian pihaknya dan siasatan telah dijalankan berhubung perkara tersebut.
Katanya, pihaknya sedia membantu berkaitan penyambungan bekalan elektrik kepada peniagauptown yang sebelum ini mengambilnya dari gerai berhampiran bagi memastikan keselamatan peniaga terjamin.
"MDP akan membantu membuat penyambungan elektrik mengikut spesifikasi yang selamat seperti mana peraturan, manakala masalah stor penyimpanan payung akan diadakan perbincangan bersama Mara bagi mencari tempat sesuai," jelasnya.

HALAL: MALAYSIA CONTOH DUNIA

Utusan Malaysia: 9 Ogos 2011



PETALING JAYA 8 Ogos – Pembangunan industri halal secara menyeluruh yang agresif di Malaysia telah menjadikan negara sebagai contoh kepada dunia.
Ini terbukti apabila Malaysia merupakan antara negara terawal yang telah menetapkan piawaian halal untuk makanan, kosmetik dan logistik.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin berkata, Malaysia mempunyai Institut Penyelidikan Produk Halal (HPRI) yang merupakan makmal canggih pertama seumpamanya dikhususkan untuk produk-produk halal.
“HPRI di Universiti Putra Malaysia (UPM) dilengkapi dengan peralatan terkini serta mempunyai 20 saintis bertanggungjawab dalam membuat penyelidikan serta menetapkan standard halal yang diiktiraf.
“HDC pada masa ini sedang bekerjasama dengan HPRI bagi mempromosi institut itu di peringkat antarabangsa terutama ketika menyertai misi dagangan selain menggunakan agensi kerajaan lain seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Pelaburan Luar Malaysia (Matrade).
“HPRI merupakan komitmen Malaysia untuk terus mendahului dalam pembangunan industri halal bagi menjadi pusat halal dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Jamil, industri halal tidak hanya tertumpu kepada makanan semata-mata tetapi merangkumi pelbagai industri lain seperti kosmetik, farmaseutikal, logistik, ramuan, pelancongan, perbankan, perkhidmatan dan sebagainya.
“Bagi setiap industri itu, Malaysia telah mempunyai standard halal yang telah dipatuhi. Berbeza dengan negara-negara lain halal mereka hanya tertumpu kepada satu industri sahaja seperti makanan.
“Malaysia telah berada di hadapan terutama dalam industri perbankan Islam. Oleh itu, adalah tidak adil untuk membandingkan standard halal negara dengan beberapa kemajuan halal negara lain yang hanya tertumpu kepada satu industri khusus sahaja,” jelasnya.
Selain itu, Malaysia juga merupakan satu-satunya negara yang mempunyai satu agensi khas dalam membangunkan industri halal secara menyeluruh apabila HDC ditubuhkan.
“Setiap tahun negara-negara bukan Islam akan menjemput Malaysia untuk memberi penerangan mengenai halal kerana negara adalah peneraju kepada industri halal.
“Industri halal mempunyai potensi besar untuk diterokai menyebabkan negara-negara seperti Jepun, Korea dan China tidak mahu ketinggalan untuk turut serta,” katanya.
Sementara itu, Jamil turut berkongsi mengenai perkembangan industri makanan halal Malaysia yang telah merekodkan peningkatan sebanyak 40 peratus bagi suku pertama lalu.
Pada tahun lalu, jumlah eksport makanan halal negara adalah sebanyak RM8.2 bilion.
Daripada segi syarikat-syarikat tempatan yang mempunyai sijil halal telah meningkat sebanyak 25 peratus pada tahun lalu kepada 4,800 syarikat.
Dari segi kosmetik Malaysia telah mengeksport 20 peratus produk halalnya terutama bagi produk ubat gigi, penjagaan kulit, rambut serta pewangi.
Bergerak ke hadapan, Jamil berkata, HDC akan terus mempromosi dan mempergiatkan usaha pembangunan industri halal negara bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat halal dunia.

Friday, August 5, 2011

KEK LAPIS SARAWAK HALAL

Utusan Malaysia: Sabtu 8 Ogos 2011
KUCHING 5 Ogos - Semua pengusaha kek lapis Sarawak yang terkenal di negeri ini tidak menggunakan mentega Golden Churn Creamy Butter untuk menghasilkan produk mereka.
Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS), Datuk Abang Helmi Ikhwan berkata, mentega berjenama itu bukanlah pilihan utama untuk menghasilkan kek lapis oleh para pengusaha di negeri ini kerana harganya mahal.
Bagaimanapun, beliau mengakui, terdapat segelintir pengusaha kecil pernah menggunakan produk itu sebelum menghentikan penggunaannya sejak disahkan haram April lalu.
"Kita telah mengadakan pertemuan dengan para pengusaha kek lapis dan mereka memaklumkan tidak pernah menggunakan mentega itu kerana harganya lebih mahal berbanding jenama lain.
"Bagi yang pernah menggunakannya pula, mereka menyamak peralatan dan premis masing-masing serta beralih menggunakan jenama lain sejak beberapa bulan lalu," katanya pada sidang akhbar bersama DUBS dan Persatuan Pengilang Bumiputera Sarawak (Pengasas) mengenai isu tersebut di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Pengasas, Dawi Abd. Rahman.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Islam Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak baru-baru ini mengesahkan mentega Golden Churn Creamy Butter tidak halal kerana mengandungi Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi.
Ekoran pengesahan tersebut, reputasi pengusaha kek lapis di negeri ini dikhuatiri terjejas walaupun mereka tidak menggunakan produk berkenaan.
Abang Helmi seterusnya memberitahu, para pengusaha roti dan biskut yang terlibat dalam perkhidmatan pembekalan makanan ke sekolah-sekolah dan pejabat kerajaan juga tidak pernah menggunakan mentega berjenama Golden Churn.
"Mereka tidak memilih jenama itu kerana daripada perspektif industri, penggunaannya melibatkan kos yang tinggi," katanya.


PAMER KANDUNGAN ELAK WAS-WAS



Pengusaha kek lapis di negeri ini disaran mempamerkan bahan kandungan, termasuk jenis mentega pada produk masing-masing bagi mengelak rasa was- was dalam kalangan pengguna beragama Islam.
Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah berkata, tindakan itu juga membolehkan para pengguna memperoleh maklumat tepat mengenai setiap kek lapis yang dihasilkan.
"Ramai pengguna prihatin dengan status halal kek lapis yang dibeli. Jadi, kita nasihatkan para pengusaha memberi maklumat tepat mengenai bahan-bahan yang digunakan, termasuk jenis mentega pada label produk masing-masing," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai status Golden Churn Creamy Butter yang tidak halal kerana mengandungi Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi sehingga menjejaskan reputasi pengusaha kek lapis di negeri ini walaupun mereka tidak menggunakan mentega tersebut.
Dalam pada itu, Fatimah menyarankan para pengusaha kek lapis supaya memohon sijilSarawak Best memandangkan sesuatu produk perlu menjalani prosedur mengikut piawaian tertentu, termasuk status halal sebelum diiktiraf dan layak mendapat sijil berkenaan.
Katanya, setakat ini terdapat tujuh pengusaha kek lapis yang telah memperoleh sijil Sarawak Best.
"Antaranya adalah Rabiah Amit, D'Wanie, Mariam, D'Rieza, Afifi, S.A Enterprise dan Siti Payung.
"Saya harap lebih ramai pengusaha memohon sijil ini pada masa depan bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kek lapis keluaran mereka," katanya.

Thursday, August 4, 2011

DILEMA PENGUSAHA KEK LAPIS SARAWAK


KUCHING: Pengusaha kek lapis di Sarawak yang dikatakan menjadi pengguna utama mentega berjenama terkenal dalam pembuatan bahan makanan itu, kini dalam dilema apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk tenusu itu tidak halal selepas dikesan mengandungi asid deoksiribonuklik (DNA) babi, semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat khas bagi membincangkan status mentega itu yang turut membabitkan beberapa agensi berkaitan.

Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) dan Jakim akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu berkenaan bagi mengelak kekeliruan orang ramai mengenai penggunaan mentega itu.
“Sebelum ini, kebanyakan pengguna keliru apabila Jakim mengatakan mentega itu halal, manakala Jais mengesahkan ia mengandungi DNA babi.

“Saya berharap keputusan yang dicapai tadi (semalam) akan menamatkan sebarang spekulasi mengenai status mentega itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengenai kesan keputusan itu terhadap industri kek lapis Sarawak yang menggunakan produk tenusu dalam produknya, Wan Ahmad Uzir berkata, Jais akan mengeluarkan logo halal bagi kek lapis yang tidak menggunakan mentega berjenama berkenaan.
“Apabila logo halal itu digunakan, orang ramai tidak perlu lagi was-was ketika membeli kek lapis Sarawak kerana Jais sentiasa melakukan pemeriksaan bagi memastikan pengusaha tidak lagi menggunakan mentega itu,” katanya.

Isu DNA babi dalam mentega terbabit timbul selepas Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Johor, mengesannya dan mengeluarkan amaran kepada pengguna Islam, pada 18 Mei 2011.