BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, November 7, 2011

KICAP PELENGKAP HIDANGAN

 Kicap berasal dari negara China dan diperkenalkan di Jepun beribu tahun dahulu. Kicap diperbuat daripada kacang soya yang diperam bersama beberapa bijirin seperti gandum, barli atau nasi.

Proses pembuatan kicap turut melibatkan penggunaan yis istimewa yang turut dicampurkan bersama bahan perisa dan garam. Adunan campuran itu kemudiannya dibiarkan sebati selama beberapa bulan, sebelum ditapis untuk mendapatkan hasil cecair dikenali kicap. Ia kemudian dibotolkan bagi tujuan jualan.

Adunan kicap boleh menjadi pekat kepada cair malah rasanya juga berbeza-beza. Terdapat pelbagai jenis kicap di pasaran, tetapi majoritinya adalah kicap cair dan pekat.

Kicap cair bersifat kurang likat, rasa sedikit masin dan sesuai digunakan dalam mana-mana masakan kerana ia tidak merubah rupa hida­ngan. Selain itu, ia juga boleh dijadikan sebagai pencicah.

Berbeza dengan kicap pekat di mana ia lebih likat dan berwarna gelap kerana proses yang lebih lama dan terdapat tambahan bahan semasa proses pembuatannya.

Kebiasaannya, kicap pekat digunakan bagi yang ingin menambah atau menukar warna masakan kerana rasanya tidak semasin kicap cair.

Kacang soya bahan utama

Kacang soya adalah antara bahan utama yang digunakan dalam proses penghasilan kicap. Kacang soya terbukti mempunyai pelbagai khasiat adalah sejenis tumbuhan berasal dari Asia Timur. Ia dianggap sebagai sumber protein lengkap, seperti protein yang mengandungi sejumlah besar kesemua asid amino penting diperlukan tubuh manusia kerana ketidakupayaan badan manusia menghasilkannya.

Menyedari hakikat itu, maka kacang soya penting bagi kebanyakan pemakan sayuran atau vegan. Proteinnya sama dengan biji legum lain. Kacang soya adalah legum berprotein tinggi ditanam sebagai makanan bagi manusia dan ternakan. Di Asia, ia adalah penting bagi penghasilan barangan makanan seperti kicap dan tempe.

Selain itu, ia juga boleh diproses dengan pelbagai cara dan bentuk ­biasa hasil soya termasuk makanan yang digunakan untuk ternakan, tepung soya, tauhu, makanan pemakan sayuran.

Pembuatan kicap

Secara umum, kicap boleh dihasilkan dalam perusahaan skala kecil dan sederhana atau di rumah sahaja. Kesedapan rasa kicap bergantung kepada resipi pembuat di samping bahan ramuan yang digunakan semasa proses menghasilkannya. Walaupun pada mata kasar kicap kelihatan sama dari segi warnanya yang hitam, namun kualiti atau kesedapannya dibezakan dengan lidah.

Proses menghasilkan kicap bermula dengan proses kacang soya yang diperam atau ditapaikan terlebih dahulu sehingga menjadi tempe kacang soya. Tempe itu kemudian dikeringkan dan direndam dalam larutan garam, di mana ia adalah sebatian yang selektif terhadap pertumbuhan mikrob.

Mikrob yang dapat bertahan daripada garam yang tumbuh dalam larutan kacang soya pada umumnya terdiri pelbagai jenis ragi dan bakteria tahan garam. Mikrob ini memecahkan protein menjadi asid amino dan komponen perasa serta menghasilkan asid. Penapaian terjadi apabila kadar garam cukup tinggi, iaitu antara 15 hingga 20 peratus.

JB WATERFRONT CITY YANG TERBENGKALAI

Bangunan JB Waterfront yang terbiar sejak sekian lama di pesisiran Selat Tebrau, Johor Bahru
PERTUBUHAN Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) menggesa kerajaan negeri supaya melakukan sesuatu terhadap bangunan JB Waterfront City di sini yang menjadi projek gajah putih sejak lebih 15 tahun lalu.


Presiden PPPMM, A. Rahman Mahadi berkata, bangunan di Jalan Persiaran Tun Sri Lanang itu mencemarkan pemandangan Selat Tebrau dan keadaan tersebut amat merugikan kerana kewujudannya tidak dapat dimanfaatkan.
"Kita minta kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) supaya mengadap dan memohon perkenan Sultan Johor untuk melakukan sesuatu terhadap bangunan itu.
"PPPMM mencadangkan bangunan itu dijadikan pusat sehenti untuk orang awam, tempat rujukan untuk pelancong, bangunan kerajaan atau apa sahaja yang difikirkan sesuai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
A. Rahman berkata, sekiranya bangunan berkenaan tidak dapat dimanfaatkan adalah lebih baik ia dirobohkan dan tapaknya dijadikan tempat untuk rekreasi.
Katanya, semua cerucuk berdekatan bangunan itu juga perlu dicabut bagi memastikan kawasan tersebut yang menghadap Singapura tidak menjejaskan imej bandar raya ini.
"Kami dukacita dengan kegagalan projek mega seperti ini yang melibatkan wang rakyat melalui pinjaman institusi kewangan, ini bererti setiap rakyat menanggung hutang," katanya.
Beliau berkata, dikhuatiri jika bangunan tersebut terus dibiarkan akan menjadi sarang penagih dadah atau tempat melakukan kegiatan sumbang.
Menurut beliau, sudah sampai masanya masalah tersebut diselesaikan kerana bangunan itu telah lama terbengkalai dan tiada siapa pun yang mempedulikannya.

Sunday, November 6, 2011

7 BILLION BANYAK MANA ?



DI MANA-MANA bahagian dunia pada minggu ini, kelahiran bayi dianggap sesuatu yang sangat istimewa kerana mereka merupakan penduduk ke-7 bilion bumi.
Bilangan penduduk bumi mencecah angka tujuh bilion Isnin lalu, cuma 12 tahun selepas ia mencapai enam bilion. Peralihan angka satu bilion itu hakikatnya memberi cabaran yang besar untuk tahun-tahun akan datang.
Bagaimanapun, sesetengah orang bertanya sebesar mana angka tujuh bilion itu?
Individu seperti genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani, mungkin menyukai permainan angka itu. Sekali pandang, ia tidak jauh berbeza daripada enam bilion.
Kalau ditulis dalam nombor, ada sembilan nombor sifar dalam 6,000,000,000, sama seperti sembilan nombor itu dalam 7,000,000,000.
Tetapi jika anda mengira semua nombor yang ada di antara enam bilion dan tujuh bilion, ia akan mengambil masa selama 30 tahun untuk diselesaikan. Ya, tiga dekad.
Bilakah kali terakhir anda menggunakan angka tujuh bilion dalam kehidupan seharian? Pernahkah anda makan tujuh bilion sesuatu atau memiliki tujuh bilion benda?
Pada awal tahun ini, cuma ada 140 orang di dunia yang mempunyai kekayaan bernilai kira-kira AS$7 bilion (RM21 bilion), menurut majalah Forbes.
“Nombor itu berada di luar pemikiran harian kita,” kata profesor madya matematik di Universiti Villanova, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS), Klaus Volpert.
“Kita mengira hingga angka 10 menggunakan jari tangan dan itulah skala kita. Malah untuk mengira hingga sejuta pun bukanlah satu kebiasaan. Angka yang besar itu membuatkan kita keliru,” tambah beliau.
Ada banyak cara untuk kita membayangkan angka tujuh bilion. Tujuh bilion saat yang lalu ialah tahun 1789. Di Amerika Syarikat, ia merupakan tahun George Washington menjadi Presiden pertama negara itu.
Jika anda membuat tujuh bilion langkah di sepanjang garisan Khatulistiwa, iaitu kira-kira setengah meter bagi setiap langkah, anda boleh berjalan mengelilingi bumi sebanyak 106 kali.
Katakanlah purata ketinggian manusia ialah 1.6 meter. Jika anda menyusun mereka secara menegak, ia akan mencecah kira-kira 1 per 14 jarak matahari atau 27 kali jarak di antara bumi dengan bulan, kata Volpert.
Tujuh bilion semut, purata tiga miligram seekor pula boleh menjadi seberat 23,000 kilogram.
“Minda kita cuma menerawang apabila memikirkan betapa besarnya tujuh bilion,” kata Volpert.
Beliau berkata, perasaan yang sama akan hadir apabila kita cuba membayangkan ukuran yang sangat kecil atau sesuatu yang berada di luar angkasa.
“Setiap kali kita mendongak ke langit dan melihat bintang, kita akan terpegun dengan skalanya yang besar dan menakjubkan,” ujarnya.
Bumi belum sampai ke angka satu bilion penghuni sehingga tahun 1800, menurut Biro Referen Populasi AS, dan mencecah dua bilion pada tahun 1930.
Tetapi dengan kemajuan perubatan moden, ia hanya mengambil masa selama 30 tahun untuk mencatat tiga bilion, 14 tahun untuk empat bilion, 13 tahun untuk menjadi lima bilion dan 12 tahun untuk mencapai enam dan tujuh bilion.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan populasi dunia akan bertambah kepada 9.3 bilion menjelang tahun 2050.
Pertambahan itu menimbulkan kebimbangan tentang banyak perkara daripada makanan hinggalah ruang untuk tempat tinggal.
Pakar-pakar di National Geographic berkata, tujuh bilion manusia muat untuk bandar Los Angeles di AS yang seluas 800 kilometer persegi – jika kita berdiri dari bahu ke bahu. Mujurlah bumi mempunyai keluasan 149 juta kilometer persegi.
Pertambahan penduduk bermakna lebih banyak proses perbandaran berlaku. Pada tahun 1950, kira-kira 730 juta orang penghuni dunia adalah penduduk bandar.
Ada hampir 3.5 bilion penghuni bandar pada tahun 2009 dan dijangka 6.3 bilion manusia tinggal di bandar-bandar pada 40 tahun akan datang.
PBB juga menganggarkan pertambahan sebanyak 70 peratus terhadap keperluan makanan untuk sembilan bilion orang pada tahun 2050.
Kegunaan air juga dijangka meningkat dua kali ganda. Malangnya, lebih satu bilion manusia sekarang tidak mendapat bekalan air minuman.
Dijangkan bilangan lelaki dan wanita adalah sama. Namun, jangka hayat khususnya di negara maju akan bertambah.
Menurut Biro Perangkaan AS, sekarang terdapat hampir 390,000 orang yang berumur 100 tahun atau lebih, hampir 13 juta berumur lebih 90 tahun dan 1.5 bilion melebihi usia 50 tahun.

Saturday, November 5, 2011

BAHAN BERACUN DALAM LAMPIN PAKAI BUANG

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihatkan ibu bapa supaya tidak memakaikan bayi mereka dengan lampin paki buang kerana ia mengandungi bahan kimia beracun yang boleh memudaratkan kesihatan bayi.

Ini memandangkan bayi sedang membentuk sistem imun dan mengalami pertumbuhan organ dan tubuh yang sihat sepanjang hayat mereka. Pendedahan kepada bahan kimia beracun boleh membantutkan perkembangan bayi dan menimbulakan masalah kesihatan dalam jangka panjang.

Kulit bayi lebih nipis dan cenderung menerima kesan daripada bahan kimia yang mudah diserap masuk dalam tubuh.

Lampin pakai buang diperbuat daripada bahan-bahan tiruan seperti polyethylene film bagi pelapik perlindungan plastik lampin itu, polyester (bagi lapisan atasa lampin yang poros), polypropylene (bagi pelapik lampin dan pita yang digunakan bagi mengetatkan lampin, atau untuk lapisan lampin yang paling atas), pulp fluff daripada pulpa kayu yang diawet dengan klorin (yang menghasilkan dioksin, bahan penyebab kanser sebagai hasil sampingan), sodium polyacrylate (gel bertoksik yang kuat daya serapannya) untuk lapisan dalam lampin, minyak dan resin yang berpotensi menimbulkan alergi (sebagai gam yang mengikat lampin), wangian yang memudaratkan dan bahan-bahan kimia lain yang berbahaya seperti tributylin (salah satu bahan paling beracun pernah dihasilkan).

Sebahagian daripada bahan-bahan kimia tersebutboleh menimbulkan masalah kesihatan kepada bayi seperti ruam yang menyakitkan dan asma, serta masalah ketidaksuburan dan kanser apabila dewasa kelak.

Pengeluar lampin pakai buang sering mendakwa produk mereka boleh memastikan bayi berada dalam keadaan kering berjam-jam lamanya. Ini berikutan penggunaan bahan kimia sodium polyacrylate, sejenis gel yang terdapat dalam bahagian tengah lampin yang menjauhkan air daripada kulit bayi. Ini dimasukkan ke dalam lampin dalam bentuk serbuk berbiji yang bertukar menjadi gel apabila basah. Juga dikenali sebagai kristal polimer, sodium polyacrylate boleh menyerap 200-300 kali beratnya dalam air, dan membendungnya dalam bentuk gel bergetah.

Pengguanan sodium polyacrylate dalam lampin pakai buang memudahkan tugas ibu kerana tidak perlu menukar lampin bayi. Namun begitu ia menyebabkan bayi ditumbuhi ruam kerana terdedah kepada bahan-bahan kimia yang diserap, pertumbuhan bakteria dan ammonia daripada air kencing yang terkumpul dalam lampin. Pada masa yang sama ia juga menarik lembapan (bukan air kencing saja) daripada kulit bayi yang menggalakkan kegatalan kulit.
Bahan ini dilaporkan boleh menyebabkan radangan kulit yang teruk, pendarahan daripada tisu-tisu perineum dan scrotal, demam, muntah dan jangkitan staph di kalangan bayi.

NGANTUK LEPAS MAKAN ?

MENGANTUKNYA! Setiap kali selepas makan tengah hari mesti mengantuk.
Kadangkala rasa tidak larat hendak buka mata. Rasanya bukan sebab tidak cukup tidur sebab tiap-tiap malam aku tidur nyenyak,” rungut seorang rakan yang beberapa kali tersengguk-sengguk depan komputer.
Sememangnya, mengantuk selepas makan bukan disebabkan kurang tidur, sebaliknya ia menandakan kita dahaga dan badan tidak cukup air. Ramai tersilap menafsirkan keperluan badan terhadap air dengan rasa lapar.
Dahaga bukan petanda terbaik untuk memberitahu badan memerlukan air kerana sensitiviti terhadap dahaga semakin berkurang apabila umur meningkat, terutama pada orang tua. Badan kita hanya boleh mengawal keseimbangan air hingga satu peringkat tertentu.
Paras garam akan meningkat apabila simpanan air dalam badan berkurang. Otak akan mengesan perubahan keseimbangan ini dan memberi isyarat kepada buah pinggang untuk mengurangkan kehilangan air serta mencetuskan rasa dahaga.

Bagaimanapun, cetusan rasa dahaga ini berlaku lewat. Biasanya apabila kita berasa dahaga, badan sudah kehilangan kira-kira dua cawan cecair badan. Kehilangan ini boleh menimbulkan pelbagai implikasi.
Air adalah unsur penting dalam badan. Badan lelaki membabitkan 65 peratus air dan 55 peratus bagi wanita. Air bertindak sebagai pelarut, penyejuk, pelincir dan agen pengangkut nutrien ke seluruh badan.
Kandungan air dalam badan setiap orang adalah berbeza mengikut kandungan lemak masing-masing. Secara umumnya, jumlah peratusan air dalam badan orang yang tidak banyak lemak adalah lebih tinggi. Kira-kira 70 peratus berat otak, 75 peratus berat jantung, 90 peratus berat paru-paru dan 82 peratus kandungan darah membabitkan air.
Badan mengalami kehilangan air sepanjang masa iaitu hampir 80 peratus sehari, walaupun kita tidak aktif. Kehilangan ini berlaku melalui air kencing, najis, peluh dan pernafasan. Setiap kali menghembuskan nafas, kita kehilangan air dalam bentuk wap. Jika dikumpulkan, kita mungkin boleh dapat satu atau dua gelas air yang hilang melalui pernafasan.
Ini sebabnya pakar kesihatan menyarankan kita minum sekurang-kurangnya lapan gelas atau satu liter air setiap hari. Sumber air bukan hanya daripada air minuman kerana ia juga ada dalam makanan, buah-buahan dan sayur-sayuran.


Berapa banyak air yang kita perlukan?
Secara umumnya setiap orang memerlukan sekurang-kurangnya lapan gelas air atau satu liter air sehari. Namun, jumlah ini berbeza antara setiap individu, aktiviti dilakukan dan cuaca tempat tinggal. Tentu saja jika kita melakukan senaman pada hari panas, kita kehilangan lebih banyak air melalui peluh.Air yang keluar ini perlu diganti segera, sama ada ketika atau selepas bersenam, untuk mengelak masalah kekeringan. Kehilangan banyak air menyebabkan tekanan darah turun mendadak, bekalan oksigen ke otak menurun dan jika terlalu serius, ia boleh membawa maut.
Jika terlalu banyak minum, tidakkah akan berlaku keracunan air?
Memang boleh, tetapi ia jarang berlaku. Sebenarnya sukar bagi orang sihat mengalami keracunan air. Ia biasanya berlaku pada bayi. Malah, individu yang alami masalah berat badan berlebihan perlu minum lebih banyak air, iaitu segelas bagi setiap 11 kilogram melebihi berat badan unggul.
Mereka yang bercita-cita mengurangkan berat badan juga digalakkan minum banyak air. Kekurangan air merendahkan kadar metabolisma dan badan tidak boleh memecah dan menggunakan lemak dengan berkesan. Akibatnya, proses menurunkan berat badan menjadi lebih sukar.
Masalah retensi air atau ketidakbolehan badan mengeluarkan air dari pundi kencing menjadi lebih buruk jika kita tidak mendapat cukup air. Ada kalanya masalah ini boleh diatasi dengan minum lebih banyak air untuk menggalakkan pembuangan air berlebihan.
Oleh kerana kebanyakan zat makanan larut dalam air, mungkin ada yang risau ia dibuang melalui air kencing. Jangan risau. Masalah ini tidak berlaku kerana buah pinggang kita mempunyai sistem penapisan yang cerdik. Hanya bahan tidak berguna dibuang. Semua khasiat makanan diserap ketika dalam usus dan dimasukkan ke dalam darah untuk diagihkan ke seluruh badan.
Sebenarnya ramai mengalami masalah kekurangan air tanpa disedari. Malah, ramai juga berkata tidak mahu kerap berulang ke tandas sebagai alasan untuk tidak minum banyak air. Tindakan ini sebenarnya meracun diri kerana tanpa air yang cukup, badan sukar mengeluarkan bahan toksik dan boleh berkumpul membentuk batu karang.
Tanpa air yang cukup juga, nutrien daripada makanan tidak dapat diagihkan dengan baik dan menyebabkan lebih banyak lemak terkumpul dalam badan. Bentuk dan saiz otot turut berubah. Paling malang , jika kekurangan air meningkatkan paras bahan toksik hingga membahayakan nyawa.

Kajian menunjukkan kehilangan dua peratus cecair badan boleh menyebabkan:

Lemah daya ingatan (ingatan jangka pendek)
Sukar membuat kiraan, walaupun yang mudah
Sukar memberi tumpuan terhadap perkara dilakukan terutama pada skrin komputer atau bahan bacaan bercetak
Tekanan darah menurun
Jumlah oksigen yang sampai ke otak berkurang menyebabkan rasa mengantuk
Lesu pada waktu siang
Sakit belakang
Dehidrasi
Sakit kepala
Memperlahankan kadar metabolisma
Meningkatkan risiko kanser usus, pundi kencing dan payu dara
Sendi dan otot mengalami kekeringan
Menyukarkan penyingkiran bahan toksik
Meningkatkan keinginan untuk makan
Darah menjadi pekat
Mudah keliru.
Degupan jantung meningkat
Menjejaskan tindak balas kimia dalam badan


IKTIBAR KORBAN



APABILA sebut Hari Raya Haji atau Hari Raya Aidiladha, ramai yang terbayangkan kumpulan jemaah yang sedang menunaikan ibadah Rukun Islam kelima di kota mulia Mekah al-Mukarramah.
Tak kurang juga yang membayangkan lembu dan kambing yang disembelih untuk korban, lalu menjadikan hampir setiap hari mereka akan menikmati hidangan daging hingga boleh demam dibuatnya.
Hakikatnya, Aidiladha adalah lebih daripada sekadar kerja haji atau korban. Aidiladha adalah sejarah besar mengenai bukti cinta suci dan pengorbanan. Ia adalah cinta suci dan pengorbanan suami isteri malah cinta suci dan pengorbanan dalam hubungan ibu bapa dan anak.
Menurut sejarah, Nabi Ibrahim a.s dan Siti Sarah sudah lama berumah tangga, namun tidak dikurniakan zuriat. Siti Sarah mencadangkan supaya Nabi Ibrahim a.s berkahwin lagi dan merestui Siti Hajar menjadi madunya. Pada mulanya Nabi Ibrahim keberatan kerana cintanya terhadap Siti Sarah tidak luntur.
Namun, Siti Sarah berkeras dan akhirnya Nabi Ibrahim bersetuju memperisterikan Siti Hajar. Apabila Siti Hajar hamil, Nabi Ibrahim amat gembira dan mengharapkan Siti Sarah turut berasa gembira. Tetapi, berita kehamilan Siti Hajar itu membuatkan madunya cemburu.
Kian hari, rasa cemburunya kian menebal, terutama selepas kelahiran Nabi Ismail a.s hingga Siti Sarah mendesak suaminya membawa Siti Hajar dan anaknya jauh dari tempat itu. Lalu Nabi Ibrahim membawa Siti Hajar dan anak mereka menuju ke Baitul Haram.
Siti Hajar adalah lambang wanita sejati yang taat kepada suami dan perintah Allah. Segala kesukaran yang ditempuh Siti Hajar bersama anaknya, Nabi Ismail ketika ditinggalkan Nabi Ibrahim di tengah-tengah padang pasir kontang, adalah lambang kesetiaan dan kepatuhan seorang isteri kepada perintah suaminya.
Kisah ketabahan Siti Hajar diaplikasikan ketika umat Islam menunaikan ibadat haji malah umrah. Para jemaah difardukan untuk menunaikan sai iaitu berulang-alik dari Safar ke Marwah sebanyak tujuh kali. Ia bertujuan mengingati kembali falsafah pengorbanan Siti Hajar tika itu.
Inilah iktibar daripada al-Quran yang menggambarkan seorang isteri contoh yang menjadi lambang kewanitaan sejati. Kalau wanita Islam hari ini bersemangat kental seperti Siti Hajar, pasti bahagia akan dikecapi.
Contoh yang ditunjukkan oleh Siti Hajar, yang sanggup menempuh pelbagai kesusahan hidup semata-mata kerana taatkan perintah Allah dan suaminya, tidak syak lagi suatu contoh cukup baik untuk diteladani. Siti Hajar tidak mempertikaikan haknya sebagai isteri tetapi lebih kepada berusaha melaksanakan tanggungjawabnya.
Nabi Ibrahim juga mengorbankan perasaannya semata-mata akur kepada perintah Ilahi.
Lantaran, buat para suami dan isteri, lengkapkanlah diri anda untuk menjadi hamba-Nya yang soleh dan solehah. Insya-Allah anda akan mampu menjadi suami dan isteri yang bertanggungjawab dan membahagiakan pasangan anda.
Aidiladha turut mengajar kita mengenai besarnya cinta dan pengorbanan seorang anak kepada bapa.
Nabi Ismail berlapang dada menerima hajat ayahanda baginda yang diperintahkan oleh Allah agar menjadikan anakanda kesayangan sebagai korban. Tiada bantahan, larangan atau pujukan, sebaliknya hanya sokongan. Nabi Ismail berpesan kepada ayahandanya agar dirinya diikat kemas supaya dirinya gagal untuk meronta tika kesakitan hingga memungkinkan ayahandanya mengengkari perintah Allah.
Betapa cintanya si anak kepada bapanya itu hanya kerana menginginkan bapanya sentiasa berada dalam keredaan Allah SWT.
Semangat pengorbanan itulah yang sepatutnya diwarisi oleh anak-anak hari ini. Saya akui, hari demi hari, banyak kes kegagalan si ayah dalam melaksanakan tanggungjawab yang patut dan wajar kepada anak-anak.
Ramai ayah yang tidak menunaikan tanggungjawab nafkah yang sepatutnya terutama apabila berlakunya perceraian. Lazimnya, anak diletakkan di bawah jagaan ibu manakala si ayah lupa akan tanggungjawab tersebut.
Kesan tidak ambil peduli itu menyebabkan anak-anak gagal untuk menyayangi dan menghormati si ayah.
Dalam satu kes baru-baru ini; seorang lelaki bertanya: "Apakah hukumnya seorang anak tidak mendoakan ayahnya?"
Jawapan saya, antara amalan untuk murah rezeki ialah mendoakan kedua-dua ibu bapa. Namun dia menambah: "Masalahnya puan, ayah saya ni tak pernah sayang dan peduli langsung tentang hidup anak. Kahwin sampai empat tapi tak ambil tahu langsung kebajikan anak-anak."
Saya memberitahunya, tanggungjawab seorang anak ialah untuk kekal menghormati ayahnya tidak kira siapapun si ayah, walaupun dia gagal melaksanakan tanggungjwabnya.
Ayah yang gagal, itu antara dia dengan Allah. Si ayah itu yang derhaka amanahnya dengan Allah. Sebagai anak, jangan pula jadi anak derhaka. Mungkin doa anak itu mampu ubah sikap ayah. Walaupun si ayah sudah meninggal, doa anak boleh membantunya di alam 'sana'.
"Tapi bukankah ayah jadi punca anak derhaka sebab ayah tak mendidik anak dengan baik?" Tanya lelaki itu lagi.
Memang tanggungjawab ibu bapa untuk didik anak-anak namun apabila anak sudah mukalaf iaitu layak menerima tanggungjawab, si anak bertanggungjawab ke atas dirinya sendiri juga untuk buat yang baik dan tinggalkan yang buruk. Tidak boleh salahkan ayah semata-mata.
Jika pengorbanan yang perlu dilakukan oleh seorang anak belum mencapai tahap pengorbanan Nabi Ismail, bukankah selayaknya kita berusaha untuk mencintai ibu dan bapa kita sebagaimana cintanya Nabi Ismail kepada Nabi Ibrahim?
Buktikanlah cinta kepada ibu bapa dengan memaafkan kesilapan mereka dan tetap kekal mendoakan kesejahteraan mereka, bukan hanya di dunia tetapi kehidupan di akhirat.
Jika tidak mampu membantu ibu bapa berada dalam reda Ilahi, cukuplah sekadar kita dapat mengelakkan diri daripada terus menyusahkan mereka. Ingatlah! Doa anak yang soleh antara tiga perkara dibawa bersama ketika maut menjemput kita.

Thursday, November 3, 2011

BEBOLA KRISTAL DISANGKA GULA-GULA

KOSMO Khamis 3 November 2011

KUANTAN - Seorang kanak-kanak perempuan menanggung kesakitan terpaksa dibedah kelmarin selepas menelan beberapa butir objek yang disangkanya gula-gula di hadapan rumahnya di Perkampungan Sri Mahkota Jaya di sini pada 26 Oktober lalu.
Ifti Ilya Farhana Mohd. Khairuddin yang berusia setahun tujuh bulan tidak menyangka gula-gula itu sebenarnya bebola gel atau hidrogel, sejenis baja tanaman hiasan yang boleh membesar sehingga beratus kali saiz asalnya jika direndam di dalam air.
Ibunya, Siti Aisyah Yusof, 27, berkata, anak sulungnya itu dipercayai mendapat bebola tersebut daripada rakannya.
"Semasa dia masuk ke dalam rumah, saya lihat dia memasukkan beberapa butir manik sebesar kacang hijau ke dalam mulutnya," katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini semalam.
Bagaimanapun, Siti Aisyah yang merupakan seorang guru memberitahu, empat hari selepas itu anaknya tiba-tiba muntah lalu terkeluar sebutir gel sebesar guli.
Bimbang keselamatan anaknya, dia mengejarkan anaknya itu ke HTAA pada pagi Ahad lalu.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd. Khairuddin Harun, 29, pula berkata, pada peringkat awal, doktor tidak dapat mengesan sebarang objek selepas melakukan ujian sinaran X (X-ray).
"Anak saya berterusan muntah, suhu badan pula naik mendadak sehingga 45 darjah Celsius dan pemeriksaan lanjut akhirnya berjaya mengesan ada objek di dalam usus kecilnya," katanya.