BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, January 6, 2012

PROJEK RTS JB-SINGAPURA LIBATKAN JALAN BAWAH TANAH

PUTRAJAYA 5 Jan. – Datuk Seri najib Tun Razak berkata Malaysia dan Singapura kini sedang mengkaji kemungkinan mengembangkan skop cadangan Sistem Transit Pantas (RTS) antara Singapura dan Johor Bahru yang akan turut memasukkan hubungan jalan bawah tanah antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata, satu kajian telah ditauliahkan bagi mendapatkan opsyen paling berdaya maju bagi projek RTS itu, yang disasarkan beroperasi menjelang 2018.
Beliau berkata demikian semasa bercakap pada sidang media bersama yang diberikan bersama dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong selepas Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura di sini hari ini.
Para pegawai kedua-dua negara turut mengkaji amalan terbaik antarabangsa bagi melaksanakan dwisistem Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang terletak berhampiran bagi melengkapi hubungan RTS, demikian menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh kedua-dua kerajaan pada majlis itu hari ini.
Kedua-dua negara, melalui Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri bagi Iskandar Malaysia akan turut meneroka kemungkinan mewujudkan perkhidmatan feri dan teksi air sebagai satu lagi cara pengangkutan antara kedua-dua negara. - BERNAMA


PUTRAJAYA 21 Sept. - Malaysia dan Singapura sedang menimbangkan untuk membina terowong bawah laut bagi laluan sistem transit pantas (RTS) menyeberangi Selat Johor sepanjang kira-kira 1.5 kilometer menghubungkan Tanjung Puteri dengan Woodlands.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, dua cadangan lain ialah membina sebuah jambatan dan sebuah tambak.
''Pembinaan terowong merupakan cara paling mesra alam sekitar tetapi ia memakan kos yang lebih tinggi. Cara paling murah ialah membina sebuah tambak tetapi ia bukan pilihan yang baik dari segi alam sekitar.
''Kalau kita bina jambatan pula, ia perlu dilengkapkan dengan pagar khas untuk membolehkan kapal melaluinya," katanya kepada pemberita pada majlis Aidilfitri Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Malaysia dan Singapura pada Mei tahun lalu bersetuju untuk membangunkan perkhidmatan RTS sepanjang 1.5 kilometer secara bersama dan ia dijangka beroperasi menjelang 2018.
Dalam pada itu, Cho Ha berkata, RTS akan memudahkan hubungan antara rakyat Malaysia dengan Singapura pada masa depan.
''Untuk pembangunan masa depan, kita tidak boleh bergantung kepada laluan darat sedia ada yang menghubungkan Malaysia dan Singapura," katanya.



MALAYSIA VS SINGAPURA

Saya mengikuti perkembangan dan kemajuan hubungan 'benci tapi sayang' Malaysia dan Singapura sejak awal 1990-an lagi, selepas kedua-dua negara menandatangani dokumen Perkara-perkara Yang dipersetujui (POA) pada 27 November 1990. Dokumen yang dirundingkan (secara tertutup) oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew terus 'menghantui' hubungan erat dan kerjasama padu kedua-dua negara.

Yakin dengan persetujuan-persetujuan yang dicapai di bawah POA 1990 itu, Malaysia melangkah setapak lagi dengan menawarkan penyelesaian kepada beberapa isu dan masalah lain dalam hubungan Malaysia-Singapura secara pakej iaitu POA akan dirunding secara bersama dengan masalah lain seperti bekalan air bersih kepada Singapura, kedudukan Tambak Johor, laluan udara untuk jet-jet perang Tentera Udara Singapura (SAF) dan caruman rakyat Malaysia dalam Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) Singapura. Namun, Malaysia menarik balik tawaran berkenaan selepas Singapura dilihat seperti 'Belanda mendapat tanah' dalam beberapa pusingan rundingan.

Dalam menganalisis hubungan itu, saya pernah menyifatkan hubungan Malaysia- Singapura itu sebagai hubungan 'abang dengan adik', memandangkan dalam banyak perkara, Malaysia (si abang dalam konteks sebuah keluarga penyayang) lebih mudah mengalah dan bersifat pemurah kepada Singapura (si adik). Namun, hubungan abang- adik ini tidak wajar disamakan dengan konsep big brother kerana Malaysia tidak pernah memaksa negara pulau itu tunduk kepada telunjuknya, malah dalam banyak isu serantau serta antarabangsa, Singapura mengambil sikap bertentangan dengan Malaysia.

Bagaimanapun, selepas 24 Mei 2010, saya mahu bertukar pendapat dan mengambil pandangan bahawa hubungan Malaysia-Singapura lebih sesuai dilihat dalam konteks hubungan 'satu pasangan suami isteri', yang akhirnya mencapai persetujuan dalam pembahagian 'harta- harta pusaka dan sepencarian' ekoran persetujuan 'bercerai' pada 9 Ogos 1965 (selepas 'berkahwin' pada 16 September 1963). Analogi ini boleh menjelaskan dengan lebih baik dinamika hubungan kedua-dua negara yang berkongsi 'anak-anak' (perkongsian sejarah, politik, wilayah, budaya dan masyarakat), sekali gus menyukarkan perpisahan yang aman dan tuntas.

Walaupun telah 'bercerai' selama hampir 45 tahun (pada tahap 'talak tiga' yang tidak mungkin kembali walaupun ada yang sanggup menjadi 'Cina buta'), 'pasangan' Malaysia-Singapura ini belum dapat menyelesaikan banyak isu dan masalah bersama yang diwarisi mereka secara muktamad.

Dalam konteks ini, POA 1990 dilihat sebagai satu jalan penyelesaian yang penting terhadap isu dan masalah bersama tersebut, khususnya kedudukan tanah landasan kereta api dan stesen kereta api yang diduduki Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di republik berkenaan.
Selama hampir 20 tahun, evolusi hubungan Malaysia-Singapura berkisar pada usaha-usaha kedua-dua pihak (peringkat perdana menteri, menteri dan pegawai kanan) merungkaikan kekusutan dan kekeliruan yang terkandung dalam POA yang 'ditelan mati emak, diluah mati bapa' itu. Kedua-dua negara, secara sedar dan tidak sedar, meletak prasyarat peningkatan kerjasama serta perkongsian antara mereka, khususnya dalam perdagangan dua hala (bilateral) seperti pelaburan Singapura di Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (Iskandar Malaysia), melalui pelaksanaan persetujuan-persetujuan yang termaktub dalam POA tersebut. Ibarat permainan domino, setiap isu dalam POA dilihat akan terlerai jika satu isu dilaksanakan.
Namun hanya selepas 2008, setelah kedua-dua negara bertukar kepemimpinan negara sebanyak tiga kali (di Malaysia, daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Badawi dan kini, Datuk Seri Najib Tun Razak, manakala Singapura pula, daripada Lee Kuan Yew kepada Goh Chok Tong dan kini, Lee Hsien Loong), penyelesaian masalah 'duri dalam daging' hubungan Malaysia-Singapura mula menampakkan 'cahaya di hujung terowong'. Pada 24 Mei lalu, 'kereta api legasi' yang membawa kedua-dua perdana menteri, Najib serta Hsien Loong semakin menghampiri destinasi penghujungnya. Mungkin di 'stesen penghujung' itu nanti, Malaysia dan Singapura boleh bertukar kaedah (mode) pengangkutan daripada 'kereta api legasi' kepada 'sistem transit laju' (RTS) pula.

Bagaimanapun, ada pihak berpendapat, Malaysia telah menanggung 'rugi' dalam penyelesaian yang dicapai dalam rundingan dua hari berkonsep pemukiman (retreat) di Singapura pada 23 hingga 24 Mei lalu itu. Ada yang berpendirian, sekali lagi Malaysia telah melepaskan 'hak dan kedaulatan' wilayahnya kepada Singapura semata-mata mencari penyelesaian yang 'sensasi' dan feel good di dada akhbar dan kaca televisyen.

Jika penyelesaian itu tidak benar-benar menguntungkan Malaysia, saya adalah antara orang pertama yang akan bersikap 'skeptikal' akan penyelesaian tersebut.
Dalam hal ini, analogi 'pasangan suami isteri bercerai' diyakini akan membolehkan hubungan kedua-dua negara melangkah maju dan berkembang luas selepas satu proses 'perceraian' yang pahit dan getir. Seperti juga 'pasangan' yang mahu mencari penyelesaian baik tanpa melalui tempoh permusuhan berterusan, Malaysia dan Singapura memutuskan bahawa mereka perlu mengelakkan keadaan yang mana 'menang jadi arang, kalah jadi abu'. Mereka bersetuju mencari penyelesaian akhir yang kedua-dua negara 'menang- menang' (win-win).



Persetujuan Malaysia untuk memindahkan stesen KTMB di Tanjong Pagar, Singapura ke Terminal Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) sebelum atau pada 1 Julai 2011 menunjukkan kesediaan negara ini menghormati wilayah dan sempadan negara pulau itu selepas berpisah dengan Persekutuan Malaysia pada 1965. Sebagai imbalannya pula, Singapura bersedia menghormati hak dan pemilikan tanah serta stesen KTMB di Singapura. Ibarat 'pasangan bercerai', si suami perlulah bersedia keluar rumah sebaik sahaja perceraian dengan si isteri disahkan atau dimuktamadkan. Takkan kita masih hendak kekal tidur di katil atau di rumah bekas isteri?

Sayugia diperjelaskan juga bahawa KTMB sebenarnya tidak memiliki secara langsung tanah landasan kereta api dan stesen kereta api, yang membahagikan negara pulau itu kepada dua bahagian. Tanah enam keping seluas 217 hektar dan sepanjang antara 20 hingga 30 kilometer dari utara hingga ke selatan pulau ini dipajakkan kepada KTMB melalui Perjanjian 1918 oleh kerajaan British Singapura bagi tujuan kereta api sahaja. Selagi tanah-tanah tersebut digunakan untuk tujuan perkhidmatan kereta api, maka tanah itu kekal di bawah hak milik KTMB. Jika sebaliknya, tanah tersebut perlu dikembalikan kepada kerajaan Singapura.
Dalam senario inilah, Malaysia enggan memindahkan stesen KTMB di Tanjong Pagar ke Kranji, Bukit Timah atau Woodlands sehingga isu pemilikan tanah KTMB itu diselesaikan, dengan menguntungkan kedua-dua pihak. Namun, satu breakthrough berlaku pada 2008. Menurut Hsien Loong, semasa berjumpa dengan Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, beliau menawarkan cadangan 'tukar ganti' tanah KTMB dengan tanah-tanah yang 'sama nilai' di bahagian-bahagian lain republik tersebut, yang bakal dimajukan secara usaha sama 60-40, yang mana Khazanah Nasional Bhd. menguasai 60 peratus ekuiti syarikat pemaju, M-S Pte. Ltd.

Mungkin inilah yang dikatakan takdir. Isu POA akan diselesaikan pada tahun ini ketika nilai semasa tiga keping tanah KTMB di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga lagi tanah tambahan di Bukit Timah diaudit oleh kedua-dua pihak pada harga 20 tahun selepas POA ditandatangani. Menurut sumber-sumber yang rapat dengan rundingan, harga keseluruhan tanah KTMB itu pada hari ini boleh mencecah hampir S$4 bilion atau RM10 bilion. Tanah-tanah itu, jika Malaysia bersetuju, boleh ditukar ganti dengan sekurang-kurangnya lima keping tanah - empat di Marina South dan satu di Ophir-Rochor yang terletak dalam daerah komersial dan perdagangan kota raya sibuk Singapura ini.

Justeru, saya mencadangkan kepada Khazanah, jika sebuah menara akan dibina di Marina South atau Ophir-Rochor, menara itu sewajarnya dikenali sebagai 'Menara KTM' sebagai simbol kehadiran dan sumbangan KTMB dalam menghubungkan kedua-dua ibu negara.
Sekali lagi, sumber-sumber yang rapat dengan rundingan menguar-uarkan bahawa Malaysia memperoleh 'untung' daripada tawaran 'tukar ganti' ini kerana tanah-tanah di Marina South dan Ophir-Rochor boleh dibangunkan secara bersama dan serentak, berbanding dengan tanah-tanah KTMB sedia ada, yang berselerak dari utara ke selatan republik ini dan terletak dalam zon-zon pembangunan yang berbeza. Bagaimana mungkin Malaysia membangunkan koridor tanah sepanjang 20 hingga 30 kilometer dan hanya selebar beberapa puluh meter yang menempatkan landasan kereta api KTMB secara menyeluruh dan bersepadu? Selain itu, koridor tersebut melalui zon-zon guna tanah yang digazetkan untuk kegunaan berbeza seperti kawasan perumahan, zon penampan kawasan hijau, kawasan taman rekreasi, kawasan industri dan tempat pembuangan sampah. Realitinya, tanah sedia ada KTMB tidak sesuai untuk pembangunan bernilai tinggi yang boleh memberi pulangan lumayan kepada Khazanah dan negara.



Selain itu, Malaysia juga menang apabila Singapura bersetuju dengan cadangan negara agar bangunan Stesen Kereta Api Tanjong Pagar dan Stesen Kereta Api Bukit Timah milik KTMB dipulihara sebagai tapak warisan memandangkan kedua-dua stesen itu mempunyai kepentingan dari segi sejarah dan pelancongan. Bagi rakyat Malaysia khasnya, Stesen Kereta Api Tanjong Pagar mempunyai sentimen nostalgia yang tinggi, apatah lagi stesen tersebut antara lokasi utama dalam beberapa filem terbitan seniman ulung negara, Tan Sri P. Ramlee. Pastinya, ramai masih ingat perjalanan menaiki kereta api Kassim Selamat (dan kemudian Osman Jailani) dari Pulau Pinang ke Singapura dalam filem Ibu Mertuaku.Kini stesen itu diabadikan untuk semua peminat filem Melayu selama-lamanya.
Satu lagi perkara yang diperakui pada rundingan pemukiman di Singapura 23 dan 24 Mei itu berhubung isu-isu POA yang disifatkan oleh Najib sebagai rundingan POA yang lebih baik (enhanced) ialah menjelang atau pada 2018, Malaysia mungkin mempertimbangkan perpindahan stesen KTMB di Woodlands ke Tanjung Puteri di Johor Bahru. Jika Malaysia memutuskan demikian, Singapura bersedia untuk memajukan secara bersama satu sistem transit laju (RTS) bagi menghubungkan stesen KTMB di Tanjung Puteri dengan stesen sistem Transit Rel Massa Singapura (MRTS) di republik itu yang bakal siap menjelang 2018 juga. Untuk memudahkan para pengguna RTS, Singapura juga bersetuju kemudahan Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ) kedua-dua negara ditempatkan di negara republik itu. Ini semua sebagai usaha meningkatkan lagi perhubungan (connectivity) antara rakyat.

'Pengunduran' KTMB dari Singapura ke Johor Bahru boleh dilihat sebagai satu 'kekalahan' bagi mereka yang melihat 'gelas berisi separuh air itu separuh kosong'. Tetapi bagi mereka yang berfikiran positif (gelas separuh kosong itu berisi separuh air), ia membuka peluang-peluang baru kepada Malaysia. Menurut sumber-sumber yang rapat dengan rundingan, Johor boleh merangka satu projek terminal rel bersepadu bagi KTMB, RTS serta sistem transit rel ringan (LRT) untuk Iskandar Malaysia.
Selain itu, jika projek Kereta Api Rentas Asia benar-benar direalisasikan kelak, ia bakal mengharumkan nama Malaysia kerana ia tidak lagi akan dikenali sebagai rangkaian rel Istanbul-Singapura dan Yunnan-Singapura, tetapi Istanbul-JB dan Yunnan-JB.
Sebagai kesimpulan: Apakah Malaysia berjaya mencapai penyelesaian 'menang-menang' dalam rundingannya dengan Singapura dalam isu POA? Dengan yakin, saya boleh berkata: "Ya!" Adalah menjadi harapan saya bahawa rundingan mesra dan akrab dalam menyelesaikan isu-isu dalam POA bakal diterjemahkan kepada rundingan-rundingan lain termasuk isu kedudukan Tambak Johor, laluan udara untuk SAF dan caruman rakyat Malaysia dalam CPF Singapura.

KEJU

MAKANAN yang berkeju memang sudah biasa dengan selera kita meskipun ia bukan makanan tempatan. Sebut sahaja makanan seperti piza dan pasta pasti tidak akan lari dengan kejunya.
Hidangan yang diletakkan dengan keju memang sungguh enak kerana rasanya yang berlemak dan disukai ramai.
Tapi tahukah anda bagaimana keju dihasilkan? Jadi apa kata kali ini kita ketahui bagaimana keju ini dihasilkan.
Keju sebenarnya adalah suatu produk tenusu iaitu dihasilkan daripada susu. Keju yang dihasilkan daripada susu ini mempunyai pelbagai jenis, tekstur dan rasa.
Keju boleh dibuat daripada pelbagai jenis susu seperti susu lembu, kambing dan kerbau. Ia mengandungi sumber lemak dan protein.
Sebuah cerita legenda mengatakan keju telah ditemui secara tidak sengaja oleh seorang Arab nomad yang tidak dikenali.
Dia dikatakan telah terisi satu beg pelana dengan susu untuk menyeberangi padang pasir dengan kuda.
Selepas beberapa jam menunggang dia berhenti untuk menghilangkan kehausan tetapi mendapati susu yang dibawa dalam beg pelana telah dipisahkan menjadi cecair berair bersama dengan ketulan-ketulan pepejal putih.
Beg pelana, yang digunakan untuk mengisi susu itu telah dibuat daripada perut seekor anak haiwan yang mengandungi satu enzim yang dikenali sebagai rennet.
Oleh itu susu itu telah menjadi dadih (membeku) disebabkan oleh rennet, ditambah pula dengan suhu panas matahari dan goncangan akibat kuda yang ditunggangi.
Dalam pembuatan keju, susu didadihkan dahulu iaitu pepejal susu (curd) perlu diasingkan dengan cecair susu (whey). Pemisahan ini boleh dilakukan dengan cara pengasidan (pemasaman) atau menambahkan rennet di dalam susu.
Untuk pengasidan anda boleh meletakkan bahan seperti cuka tetapi selalunya bakteria pemula akan digunakan. Bakteria pemula ini akan menukarkan gula susu kepada asid laktik.
Bakteria yang digunakan dan enzim-enzim yang dihasilkan memainkan peranan utama untuk memberikan rasa dalam pembuatan keju.
Kebanyakan keju dibuat dengan menggunakan bakteria seperti Lactococci, Lactobacilli atau keluarga-keluarga Streptococci.
Bakteria yang digunakan bukan sahaja memberikan rasa pada keju tetapi membentuk tekstur keju contohnya bakteria pemula Swiss seperti Propionibacter Shermani akan melepaskan gas karbon dioksida semasa proses pemeraman keju Swiss dan Emmenthal yang membentuk lubang pada keju ini.
Selain menggunakan bakteria pemula terdapat banyak keju yang ada dipasaran menggunakan rennet yang menjadikan keju lebih anjal seperti gel yang kuat dan bergetah dan keju dapat dihasilkan walaupun pH susu dalam berasid rendah.
Selepas proses mendadih menggunakan bakteria atau rennet pada ketika ini keju yang terhasil masih dalam keadaan satu gel yang sangat lembap dan keju yang lembut akan terhasil dimana ia telah ditapis airnya , dimasinkan dan dibungkus.
Beberapa keju keras yang dihasilkan akan melalui proses pengeringan kepada suhu-suhu dalam lingkungan 35-55 darjah celsius. Ini memaksa lebih banyak air yang tersejat dari keju lembut tadi.
Ia turut merubah rasa keju, di samping rasanya turut dipengaruhi oleh kedua-dua kultur bakteria dan daripada kimia susu.
Selain pemanasan ada teknik lain yang digunakan untuk mendapatkan tekstur keju yang berbeza seperti menegang, membasuh dan menekan keju lembut tadi.
Kebanyakan keju-keju mencapai bentuk akhir apabila dadih (pepejal susu) ditekan ke dalam acuan atau bentuk. Oleh itu lebih keras keju itu, lebih banyak tekanan diberikan.
Tekanan membuang lembapan sebenarnya adalah daripada acuan yang direka bentuknya untuk membenarkan air dikeluarkan dan membentuk dadih menjadi satu bentuk yang padat.
Proses terakhir keju adalah ia akan dimatangkan dengan memeramnya. Semasa peroses mematangkan keju ini mikrob dan enzim-enzim akan mengubah tekstur dan rasa keju menjadi lebih sedap.

LOGO HALAL JAKIM & MAIN SEHINGGA 31 DISEMBER 2012

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Pengusaha produk makanan dan perkhidmatan dinasihatkan mendapatkan logo halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan majlis agama Islam negeri-negeri (MAIN) sahaja bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, menerusi Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 yang telah diluluskan Parlimen, hanya logo halal daripada Jakim serta MAIN diterima pakai, manakala logo halal keluaran pihak lain tidak sah.
Katanya, pihak industri diberi tempoh selama setahun sehingga 31 Disember 2012 untuk beralih kepada logo halal yang dikeluarkan Jakim dan MAIN.
"Pengeluaran logo halal daripada Jakim dan MAIN amat signifikan kerana ia bukan bermatlamat keuntungan seperti pihak swasta sebelum ini.
"Akta yang baru ini memberi kerajaan kekuatan dari segi penguatkuasaan dan seramai 62 orang pegawai Jakim telah dilatih untuk menguatkuasakan dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan," katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Halal APD 2011 di Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini hari ini.
Menurut Jamil, Jakim memiliki kelengkapan makmal dan kaedah saintifik untuk mengesahkan produk halal dan jumlah penguat kuasa juga akan ditambah dari semasa ke semasa bagi mempergiatkan penguatkuasaan.
"Kalau syarikat-syarikat makanan atau farmaseutikal masih lagi menggunakan logo yang tidak diiktiraf, saya berharap mereka akan segera tukar kerana logo halal Jakim ini memberi nilai tambah kepada produk mereka," katanya.
Jelasnya, beliau yakin kempen tersebut akan mendapat sambutan daripada syarikat-syarikat swasta kerana sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,679 permohonan logo halal diterima oleh Jakim.
Katanya lagi, urusan peralihan kepada logo halal Jakim itu bukan bebanan kepada pihak industri kerana pihak Jakim dan MAIN akan membantu memudah cara proses tersebut.

Thursday, January 5, 2012

JUAL ELEKTRIK KE SINGAPURA

PUTRAJAYA 5 Jan. - Malaysia sedang mengkaji kemungkinan menjual tenaga elektrik ke negara jiran Singapura atas inisiatif swasta, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perkara tersebut dibangkitkan pada Sesi Pemukiman Malaysia-Singapura di sini hari ini yang menyaksikan pertemuan antara Najib dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
Menurut Najib, beliau yakin sektor swasta di Malaysia dan Singapura akan menggerakkan rangka kerja penjualan elektrik itu termasuk dari segi penetapan harga.
''Saya tidak nampak sebarang kesulitan dalam hal ini,'' katanya pada sidang akhbar bersama rakan sejawatnya, Hsien Loong yang turut dihadiri beberapa barisan menteri Kabinet kedua-dua negara.
Terdahulu Najib dan Hsien Loong mengadakan mesyuarat empat mata dan menghadiri mesyuarat dua hala antara delegasi Malaysia dan Singapura.
Satu majlis pertukaran dokumen di antara Khazanah Nasional dan Temasek Holdings berhubung M+S Pte. Ltd. dan Pulau Indah Sdn. Bhd. turut berlangsung selepas selesai mesyuarat dua hala.
Najib, Hsien Loong dan delegasi dari kedua-dua negara kemudiannya diberi penerangan mengenai model Urban Wellness and Resort Wellness di Iskandar Malaysia.
Hsien Loong dalam reaksi balasnya berkata, Singapura amat terbuka kepada cadangan itu dengan mengambil kira perkara-perkara seperti kewajaran terma dan kesan projek itu ke atas alam sekitar.
Beliau berkata, kerajaannya sedang menyediakan rangka kerja yang sesuai berhubung perkara berkenaan.
''Sebaik sahaja siap, para kontraktor Malaysia akan dipelawa menyertai dan membida projek itu," katanya.
Menyifatkan pertemuan hari ini sebagai produktif dan berhasil, Najib turut menghuraikan beberapa kerjasama baru yang sedang diatur di Iskandar Malaysia termasuk cadangan menyediakan perkhidmatan teksi air dan feri antara Tuas dan Pelabuhan Puteri.
Dalam reaksi balas kepada ucapan Najib, Hsien Loong membangkitkan persetujuan kedua-dua pihak untuk menubuhkan kumpulan kerja baru berkaitan kerjasama industri di bawah Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri.
Kumpulan kerja itu akan mempromosikan aktiviti-aktiviti ekonomi berkembar yang mampu dimanfaatkan penduduk di kedua-dua negara bagi merangsang pertumbuhan di Iskandar Malaysia.
Hsien Loong turut menarik perhatian mengenai sektor perkilangan yang menurut beliau mampu diperluaskan di Iskandar. Katanya, Singapura menghadapi kekangan kawasan dan sumber manusia, justeru terdapat pelaburan negara asing untuk bidang tersebut di republik itu tidak dapat dilangsungkan.
Sehubungan itu, katanya, adalah lebih baik jika pelaburan seumpama itu dapat dipindahkan ke Iskandar menerusi mekanisme tertentu yang limpahan manfaatnya dapat dinikmati rakyat kedua-dua negara terutama dari sudut pembangunan hartanah, pendidikan dan hospital.
''Iskandar Malaysia boleh menyediakan kemudahan infrastruktur dan perindustrian bagi projek pembesaran syarikat Singapura atau projek yang mahu memasuki Singapura tetapi tidak dapat ditampung di sana. Kita boleh bekerjasama," katanya.
Sementara itu, kedua-dua pemimpin turut ditanya sama ada penguncupan ekonomi di Singapura dan masalah ekonomi global memberi kesan kepada Iskandar Malaysia.
Najib berkata, tidak terdapat sebarang petunjuk perkembangan projek tersebut semakin perlahan.
Katanya, projek itu akan disiapkan mengikut jadual walau pun berhadapan ketidaktentuan ekonomi global.
''Pelaburan sebenarnya bergerak mengikut jadual," katanya.
Menurut Najib, keadaan ekonomi semasa di Malaysia dan Singapura akan berterusan pada paras kondusif bagi sektor swasta untuk terus melabur di Iskandar Malaysia.
Sementara itu, Hsien Loong berkata, Iskandar Malaysia adalah satu projek jangka panjang dan ia tidak boleh diukur berasaskan prestasi suku tahun ke suku tahun.
Dengan nada amat positif, katanya, ekonomi Singapura masih mencatatkan prestasi yang positif dan perkara yang mesti diberi perhatian adalah kerjasama antara semua pihak mesti diteruskan.

Sunday, January 1, 2012

SOSEJ CHORIZO: MACAMANA ADA LOGO HALAL JAKIM ?

Hati-hati kepada penggemar sosej. Kini telah berlegar di pasaran berkenaan sosej Charizo yang diragui status halalnya tapi secara terang-terangan menggunakan logo Halal JAKIM. Kononnya Sosej berkenaan disyaki dibuat daripada unsur babi ini dinamakan Chorizo atau dalam bahasa Sepanyol; Sosej Babi. Tapi yang menjadi persoalan, Kenapa ada logo Halal JAKIM pada produk tersebut? Adakah ianya telah dipalsukan atau pun sememangnya telah diiktiraf Halal oleh JAKIM? 
Kandungan bahan yang digunakan dalam pembuatan sosej berkenaan tidak dinyatakan pada produk tersebut, namun semakan kepada makna perkataan Chorizo berkenaan jelas menyatakan ianya adalah Sosej Babi. Rupanya sepertimana Sosej biasa yang terdapat di pasaran tetapi berwarna sedikit cerah berbanding sosej daging lembu.
Diharap orang ramai terutamanya penggemar sosej perlu lebih berhati-hati berkenaan isu Halal Haram ini yang boleh disalahgunakan pelbagai pihak demi menjana keuntungan tanpa memikirkan kesannya terhadap pengguna terutamanya yang beragama Islam. Mohon siasatan dan pemantauan pihak JAKIM berkenaan isu Sosej Chorizo ini agar menghuraikan kekeliruan orang ramai disamping menjaga kredibiliti pihak JAKIM sebagai satu-satu badan yang mengiktiraf logo Produk Halal di Malaysia.
"Chorizo is a term encompassing several types of PORK SAUSAGE originating from the Iberian Peninsula ".
- Wikipedia

2012 HANYA LOGO HALAL JAKIM !



NILAI – Hanya logo Halal Malaysia dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sahaja boleh digunakan pada produk makanan, farmaseutikal dan barangan kulit di negara ini, mulai tahun ini.
Ketua Pengarah Jakim, Othman Mustapha berkata, langkah itu bagi memudahkan pihak berkuasa memantau semua produk digunakan umat Islam.
“Logo baru itu dapat mengikis keraguan dalam kalangan umat Islam di negara ini berhubung pelbagai logo halal digunakan, termasuk dikeluarkan pihak swasta.
“Selain itu, kita dapat memastikan tiada kegiatan penyalahgunaan logo halal oleh pihak tertentu,” katanya selepas merasmikan Seminar Wahyu Asas Tamadun di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di sini, kelmarin.
Hadir sama, Naib Canselor Usim, Profesor Datuk Dr Muhamad Muda.
Menurut Othman, penggunaan logo Halal Malaysia itu adalah mengikuti Akta Perihal Dagangan 2011 dan mana-mana pertubuhan yang mengeluarkan sijil pengesahan halal sebelum ini tidak akan dibenarkan berbuat demikian.
“Tindakan boleh dikenakan sekiranya mereka melanggar akta terbabit selepas ia dikuatkuasakan nanti,” katanya.
Dalam perkembangan sama, kata beliau, Jakim mengiktiraf sijil dan logo halal dikeluarkan 52 pertubuhan dari 23 negara yang memasarkan produk ke negara ini.
“Penggunaan logo halal berkenaan di negara ini dikekalkan selepas Jakim mengesahkan semua maklumat termasuk bahan digunakan dalam produk,” katanya.