BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, March 9, 2012

MASTIKA MAC 2012



KEENAKAN LAKSA IKAN SEKOQ

NAMA gerai Laksa Ikan Sekoq di Jalan Gangsa, Alor Setar, Kedah sudah cukup unik untuk menarik perhatian pengunjung dan pengguna yang lalu-lalang. Aroma kuah laksa daripada periuk bersaiz besar di gerai itu yang menusuk hidung mampu membangkitkan selera.
Meskipun hidangannya ringkas, laksa di gerai Laksa Ikan Sekoq cukup berbeza. Selain disajikan dengan hirisan cili merah, bawang dan telur rebus, pelanggan berpeluang menikmati seekor ikan rebus tambahan dalam setiap hidangannya. Lebih istimewa, pengusahanya mempraktikkan konsep makan sepinggan, sepinggan laksa tambah adalah percuma.
"Ini bermakna jika pelanggan meminta sepinggan lagi laksa maka mereka tidak dikenakan caj tetapi pelanggan yang meminta seekor ikan kembung tambahan, saya hanya caj di antara 50 hingga 70 sen.
"Biasanya harga ikan bergantung pada harga pasaran. Harga sepinggan laksa kami jual pada harga RM3 tetapi ia akan meningkat RM3.50 jika harga ikan meningkat," jelas pemilik gerai Laksa Ikan Sekoq, Fauzi Man, 39, yang membeli bekalan ikan kembung dan ikan selayang gred A untuk sajian laksanya.
Membangkit selera
Ditanya mengapa beliau memilih konsep seekor ikan tambahan untuk hidangan laksa, jelas Fauzi : "Saya ingin membangkitkan selera pelanggan dan mencipta signatur. Maklumlah, di Alor Setar sahaja terdapat banyak kedai yang menjual laksa."
Fauzi, yang dibantu isterinya, Hasnah Hanafi, 35, mengakui pada mulanya orang ramai kurang gemar dan pelik dengan laksa yang dijualnya. Jadi, dia menggantikan laksa yang dihidangkan bersama telur rebus sahaja. Namun lama-kelamaan ramai pula yang bertanya tentang laksa ikan sekoq sehingga mendorong Fauzi tekad menjual semula laksa dengan tambahan seekor ikan.
Mengimbas titik memulakan perniagaan, semuanya disebabkan desakan isterinya yang beria-ria untuk berniaga laksa dan ingin memperoleh wang tambahan.
Justeru, pada tahun 1995 dengan bermodalkan RM50, Fauzi membeli bahan-bahan masakan dan peralatan gerai seperti sekaki payung, dua buah meja dan lapan buah kerusi. Masih segar dalam ingatan Fauzi pada hari pertama, hanya sebungkus laksa sahaja berjaya dijual. Namun, dia tidak berputus asa.
SEAWAL pukul 11.30 pagi pelanggan mula membanjiri Gerai Laksa Ikan Sekoq yang terletak di Jalan Gangsa, Alor Setar, Kedah.
Bagaimanapun, selepas tempoh seminggu hasil jualannya mencecah 20 pinggan dan meningkat kepada 40 pinggan dalam tempoh sebulan.
"Bersyukur kerana pada hari ini sekurang-kurangnya kami mampu menjual 200 pinggan laksa sehari sehingga kami tidak menang tangan terutama pada waktu makan tengah hari dan musim cuti sekolah.
"Bagi memastikan para pelanggan berpuas hati dengan sajian laksa kami, isteri sentiasa menjaga kualiti kuah laksa. Lazimnya, pada pukul 9 malam isteri saya mula memasak kuah laksa bagi memastikan ikan dan bahan-bahan masakan sebati," terang Fauzi yang berpengalaman hampir 15 tahun berniaga laksa. Gerai laksa pertamanya berpangkalan di Jalan Kuala Kedah sebelum beroperasi di Jalan Gangsa pada hari ini.
Resipi peribadi
Menyentuh rahsia keenakan Laksa Ikan Sekoq sehingga ia popular dalam kalangan pelanggan hatta dari Kuala Lumpur, Perlis dan Perak, Hasnah berkata, dia tiada resipi rahsia.
Seperti orang lain menyediakan laksa menggunakan ikan yang dicampur asam keping, daun kesum dan bunga kantan, dia juga mempraktikkan teknik yang sama. Cuma, ibu kepada tiga anak itu akan memastikan kuah laksa dimasak dengan sempurna dan pekat.
Sementara itu, sebelum memasak, kesemua bahan mentah akan dicuci bersih. Ikan-ikan segar pula direndam dalam air perahan limau nipis yang dicampur bersama asam jawa bagi menghilangkan bau hanyir.
SIGNATUR Laksa Ikan Sekoq terletak pada ikan kembung tambahan dalam setiap hidangan laksa. 

"Saya cukup menitikberatkan aspek kebersihan kerana ini merupakan perniagaan makanan. Sebab itu, saya sentiasa mengingatkan para pekerja menjaga kebersihan di kawasan memasak dan gerai seperti menyarungkan uniform dan apron.
"Lazimnya menjelang pukul 4 petang, laksa habis dijual. Seronok melihat pelanggan gembira dan berpuas hati menikmati hidangan di Laksa Ikan Sekoq," ujarnya yang memulakan perniagaan pada pukul 11.30 pagi pada hari Isnin hingga Sabtu.
Laksa utara
Sementara itu, penggemar laksa, Khairil Sarip, 28, mengakui sebelum ini dia jarang menikmati laksa utara memandangkan dia dilahirkan dan dibesarkan di Johor Bahru, Johor. Namun segala-galanya berubah selepas Kharil bertugas di Alor Setar.
Disebabkan kebanyakan masanya dihabiskan di Kedah, maka secara tidak langsung mendorong Khairil untuk mencuba masakan Utara.
"Pertama kali menikmati Laksa Ikan Sekoq ini, saya sudah terpikat. Ia antara laksa utara paling sedap yang pernah saya makan sehingga ada saja masa terluang saya mencuri peluang singgah ke gerai ini.
"Selain itu, saya sukapada layanan dan servis yang cekap serta staf yang ramah. Pemilik gerai jarang membiarkan pelanggan menunggu makanan dalam tempoh yang lama," terang Khairil.
HASNAH sentiasa memastikan kualiti kuah laksa dan ikan kembung rebus dikekalkan.

Menyentuh mengenai lokasi gerai Laksa Ikan Sekoq, pelanggan setia, Mohd. Erie Husairrie Ismail, 28, atau mesra disapa Erie menyifatkan ia terletak di kawasan yang mudah dicari khususnya untuk pelanggan baharu.
"Walaupun gerai ini terletak di tepi jalan tetapi persekitarannya tidak sibuk kerana ia tidak terletak di jalan raya utama. Saya suka makan di gerai ini kerana suasananya tenang dan redup dek dikelilingi pokok-pokok hijau.
"Saya gemar ke gerai laksa ikan sekoq kerana kuah laksanya yang pekat dan sarat dengan isi ikan. Adunan bahan-bahannya sebati apatah lagi dicampur bersama limau kasturi, timun, bawang dan telur rebus," kata Erie yang bertugas di Jabatan Perhutanan Negeri Kedah ketika ditemui selepas menjamu sepinggan Laksa Ikan Sekoq.

Thursday, March 8, 2012

MAS A380-800 TERBANG KL-LONDON MULAI 1 JULAI





KUALA LUMPUR - Bermula 1 Julai ini, syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS) bakal memulakan penerbangan tiga kali seminggu bagi laluan Kuala Lumpur ke London menggunakan pesawat baharu, Airbus A380-800.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, pesawat kedua A380 pula akan diperkenalkan pada laluan yang sama menjelang akhir Ogos ini dengan beroperasi dua kali sehari.
Pesawat ketiga akan digunakan bagi laluan Kuala Lumpur ke Sydney.
"Pelaburan untuk teknologi, gaya futuristik dan reka bentuk inovatif serta keselesaan kabin pada pesawat ini merupakan inisiatif kami untuk memastikan pelanggan sentiasa mengalami pengalaman yang amat selesa di samping menggunakan kemudahan yang baharu.
"Ia juga bakal menjadi identiti yang akan memberi anjakan kepada MAS daripada gaya 'tradisional klasik' sebelum ini kepada 'premium kontemporari' dalam usaha untuk meletakkan MAS sebagai syarikat penerbangan premium pilihan," kata Ahmad Jauhari dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

MAJALAH PC MAC 2012



Tuesday, March 6, 2012

GUNA LOGO HALAL JAKIM SEBELUM AKHIR MEI

BERA - Semua premis perniagaan makanan diberi tempoh sehingga akhir Mei untuk mula menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di premis perniagaan masing-masing.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya Jakim sahaja yang sah mengeluarkan logo halal, manakala logo lain termasuk yang dikeluarkan pihak swasta adalah tidak diiktiraf.
"Penguatkuasaan logo halal Jakim akan bermula pada 1 Julai depan dan premis perniagaan yang menggunakan logo selain dikeluarkan Jakim boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perdagangan Dalam Negeri 2011 (i) Seksyen 16," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada 1,109 penduduk Parlimen Bera di Kompleks Rakan Muda Kerayong di sini, hari ini.
Katanya, bagi individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda RM250,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat atau premis berdepan denda RM500,000.
Ismail Sabri berkata Jakim bersama kementeriannya telah menubuhkan satu jawatan khas pemantauan berhubung penggunaan logo halal itu di mana anggota  tersebut akan bertindak tegas ke atas premis perniagaan yang tidak mengikuti arahan dan peraturan yang dikeluarkan.
"Kita kini sedang mengadakan lawatan serta kunjungan ke premis perniagaan dengan menasihati pemiliknya supaya menukar segera logo lama serta mengikuti garis panduan yang ditetapkan," katanya. – Bernama

Sunday, March 4, 2012

KAD KAHWIN ADA AYAT SUCI JANGAN DIBUANG MERATA-RATA

KUALA LUMPUR 5 Mac - Perbuatan mencetak ayat al-Quran dan hadis Nabi S.A.W pada kad jemputan kahwin boleh menjejaskan kesucian Islam jika kad-kad itu dibuang merata-rata, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.
Beliau berkata, tindakan tersebut juga mungkin boleh dikategorikan sebagai menghina ayat-ayat al-Quran.
"Istilah-istilah suci dalam Islam seperti Bismillah, Assalamualaikum dan sebagainya tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya kerana dikhuatiri akan disalah guna dan diletak di tempat yang tidak sewajarnya,” katanya.
Namun Othman berkata, pihak yang terlibat meletakkan ayat-ayat suci al-Quran dan hadis pada kad jemputan kahwin dipercayai berniat baik iaitu ingin memberi peringatan dan berdakwah kepada orang lain, bagaimanapun ia patut dielakkan.
"Jika bertujuan untuk memberi pengingatan hanya memadai dengan menulis maksudnya sahaja,” jelasnya. - BERNAMA

Saturday, March 3, 2012

RENDANG MAMAN TERLAZAT DI DUNIA


JIKA ada yang bertanya, apakah masakan yang sinonim dengan Negeri Sembilan, pasti ramai yang terbayangkan kuah lemak berwarna kekuningan yang kaya dengan ramuan santan dan cili api.
Baik menggunakan ikan sungai salai, udang galah, ayam kampung mahupun daging yang disalai, masak lemak cili api ini sudah menjadi hidangan wajib bagi penduduk di negeri itu sejak beratus tahun dahulu.
Namun, selain masak lemak cili api, negeri yang terkenal dengan budaya Minang itu turut popular dengan masakan tradisionalnya iaitu rendang daging lembu.
Lebih menarik, rendang Minang itu turut disenaraikan sebagai 50 hidangan terlazat di dunia oleh CNN International menerusi pencarian daftar makanan World's 50 Most Delicious Foods pada tahun 2011.
Kekayaan gastronomi yang diwarisi sejak turun-temurun di Negeri Sembilan turut dipelbagaikan, kebanyakannya melalui perkahwinan dan perpindahan.
Di pekan Gemencheh yang terletak di daerah Tampin, misalnya, ia sangat popular dengan masakan rendang maman.
Orang Johol
"Orang sini memang suko bonar rondang maman. Laie-laei bilo nak rayo.
"Kalau tak do maman, tak rayolah Monceh," seloroh Meriam Pilus, 63, dalam loghat Negeri Sembilan.
Menurut anak jati Gemencheh itu, keakraban masyarakat tempatan dengan rendang maman memang tidak boleh dipertikaikan.
Katanya, masakan tersebut bukan sahaja diminati oleh orang Melayu malah orang Cina dan India. Juadah wajib ada semasa perayaan Aidilfitri itu turut menjadi hidangan pilihan keluarga semasa sambutan Tahun Baru Cina dan Deepavali.
"Jangan pelik kalau masyarakat Cina dan India di sini pun sudah pandai masak rendang maman," katanya yang berasal dari Kampung Geduk, satu-satunya kampung di Gemencheh yang mengusahakan tanaman sayuran maman secara komersial.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Geduk, Fahim Mahmod, 49, sayur maman telah dijumpai lebih 100 tahun dahulu di kawasan Gemencheh seperti di Kampung Geduk, Sungai Dua, Kampung Seri Asahan, Gemencheh Lama, Kampung Sungai Jernih, Bukit Rokan dan Felda Bukit Rokan.
"Menurut cerita lisan daripada generasi terdahulu, rendang maman pernah mendamaikan perselisihan antara orang Johol dan orang Gemencheh di Negeri Sembilan.
"Menurut ceritanya, sekitar akhir 1800-an dan awal 1900-an, orang Johol dan Gemencheh berbalah kerana suku dan berebut lombong emas di Gemencheh.
"Orang Gemencheh sepakat mahu kenakan orang Johol yang datang bertandang.
"Ketika mahu masak rendang maman, mereka masukkan cili api dan santan dalam jumlah yang banyak supaya orang Johol yang makan kepedasan dan serik untuk datang membuat kacau di Gemencheh.
"Namun, apa diharapkan tidak menjadi. Orang Johol sebaliknya menggemari rendang maman malah ingin kembali ke Gemencheh untuk menikmati rendang maman," kata Fahim yang turut menjadi pengusaha maman di kampung.
Ladang seluas 1.6 hektar tersebut mampu menghasilkan kira-kira hampir 200 kilogram (kg) maman setahun dengan pendapatan RM8,000 sebulan.
"Menjelang musim cuti sekolah dan perayaan, saya tidak menang tangan hendak penuhi permintaan pelanggan.
"Kalau lagi dua-tiga hari hendak raya, macam pesta orang datang membeli sayur maman. Malah, sampai ada yang bergaduh berebutkan sayur maman di pasar tani," katanya yang menjual antara 300 hingga 400kg maman di pasar tani setiap hujung minggu.
RM18 sekilo
Menurutnya lagi, pada hari biasa, sayuran berbunga itu dijual pada harga RM6 sekilogram namun menjelang musim perayaan, ada yang mengambil kesempatan menjual sehingga RM18 sekilogram.

Maman atau nama saintifiknya Cleome Gynandra merupakan sayuran yang boleh tumbuh dan dituai sepanjang tahun.
Hanya mengambil masa selama 25 hari sebelum boleh dituai, penjagaan pokoknya yang berbatang lembut juga tidak cerewet.
"Kita hanya perlu pastikan ia mendapat air yang secukupnya. Selain itu, ia juga perlu dibaja dan diracun secara berkala.
"Sesekali dalam seminggu, rumput dan pokok bayam pasir yang sama-sama berebutkan khasiat baja tahi ayam perlu dicabut bagi memastikan maman mempunyai peluang untuk membesar dengan sempurna," kata seorang pekerja ladang maman, Hanipah Meon, 27.
Dia yang berasal dari Surabaya, Indonesia mengenali maman ketika bekerja di ladang tersebut dan kini sudah pandai memasak rendang maman seperti orang tempatan.
Tidak hanya dinikmati ketika musim perayaan, rendang maman turut menjadi juadah pilihan dalam majlis kenduri-kendara dan menu seharian masyarakat Gemencheh.
Hidangan tradisi itu juga sering menjadi menu harian apatah lagi jika ada anak-anak yang balik bercuti ke kampung.
Dalam kunjungan ke Kampung Geduk baru-baru ini, Jurnal berkesempatan untuk melihat proses penyediaan rendang maman Gemencheh.
RENDANG maman dimasak menggunakan bahan-bahan yang ringkas. Hanya santan, cili api, kunyit hidup, asam keping dan garam diperlukan.

Dimasak secara berkampung, kemeriahan suasana di perkarangan Masjid Kampung Geduk memang dapat dirasai sebaik kaki melangkah turun dari kenderaan.
Kehadiran kami disambut aroma harum daging lembu segar yang disalai di atas bara sabut, membangkitkan lagi keterujaan untuk menikmati masakan tradisi itu.
Pahit
"Jangan kata raya, hari biasa pun kami masak rendang maman lebih-lebih lagi kalau ada anak menantu yang balik ke kampung.
"Sehari sebelum itu, mesti mereka akan telefon dan minta kami masak rendang maman dengan daging salai," kata ibu kepada enam anak, Che Som Mohd. Yusuf, 66.
Selain Che Som, terdapat lebih kurang 10 orang penduduk yang sama-sama bergotong-royong untuk memasak rendang maman.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Gemencheh, Datuk Mohd. Kamil Abd. Aziz dan isteri.
"Kalau ada orang kenamaan datang ke Negeri Sembilan atau ke Tampin, rendang maman Gemencheh wajib dijamu.
"Malah, kalau sudah pekena rendang maman sesuap, ada lauk lain yang tidak terusik," kata Kamil.
Antara orang kenamaan yang meminati masakan itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
"Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Allahyarham Tun Endon Mahmood juga cukup meminati rendang maman.
"Malah, ada penduduk kampung ini sering diminta memasak rendang maman untuk dibawa ke Putrajaya," kata Kamil lagi.
Tidak lokek berkongsi resipi, menurut Che Som, kunci untuk mendapatkan rendang maman yang sedap adalah cara penyediaannya yang masih mengekalkan cara lama selain menggunakan bahan-bahan utama secukupnya.
"Bahan untuk memasak rendang maman cuma santan, kunyit hidup, cili api, asam keping dan garam secukup rasa.
"Daging yang telah disalai dimasukkan ke dalam kuali bersama cili dan kunyit yang ditumbuk halus.
"Selepas bahan-bahan tadi mesra, masukkan santan yang telah diperah. Santan jangan terlalu cair dan terlalu pekat.
"Biasanya untuk sekilo maman, dua hingga tiga biji kelapa diperlukan," kata Che Som sambil membetulkan kedudukan kayu api.
Memandangkan sayur maman ini pahit, asam keping perlu digunakan untuk menghilangkan rasa pahit tersebut.
"Untuk sekilogram maman, lebih kurang enam hingga tujuh keping asam diperlukan," ujar Meriam sambil mengacau santan.
Selepas santan menggelegak dan mula mengering, barulah sayur maman dimasukkan.
Ia kemudian dimasak sehingga santan kering. Di tahap ini, ada syarat penting yang perlu dipatuhi, maman jangan dikacau selalu, jika tidak sekawah rendang akan pahit!