BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, March 24, 2012

KELANTAN DELIGHT: SAJIAN SARAPAN PANTAI TIMUR

KEPELBAGAIAN hidangan tradisi sarapan pagi masyarakat Pantai Timur menggamit pengunjung ke Kelantan Delights, Subang Jaya. 
SEBUT mengenai menu sarapan popular di Kelantan, pasti ramai membayangkan keenakan nasi kerabu, nasi dagang, nasi berlauk dan nasi tumpang yang kaya dengan aroma serta rempah ratus memikat selera.
Tidak ketinggalan laksam, sate dan aneka kuih seperti cek mek molek, pulut pagi serta ondeh-ondeh.
Jika itu yang diinginkan, apa kata berkunjung ke Kelantan Delights yang terletak di Wisma Consplant, SS16, Subang Jaya, Selangor.
Lokasi yang cukup strategik berhampiran dengan pusat beli-belah terkenal Subang Parade dan Empire Gallery itu memudahkan sesiapa sahaja mengunjunginya.
Menurut Pengerusi Eksekutif Kelantan Delights, Juhaidi Yean Abdullah, promosi yang bermula sejak Februari lalu itu diadakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad dari pukul 8 hingga 11 pagi.
HIDANGAN nasi kerabu yang enak dan menyelerakan 
Katanya, melalui promosi berkenaan pelanggan berpeluang menikmati pelbagai sajian sarapan pagi yang popular negeri Cik Siti Wan Kembang itu pada kadar antara RM2 hingga RM7.
“Selain nasi kerabu, nasi berlauk dan nasi dagang, salah satu menu yang sukar dijumpa pada hari ini serta wajib dicuba ialah nasi tumpang.
“Penyediaannya agak rumit dengan kombinasi nasi himpit bersama telur, serunding dan ikan yang dibalut di dalam daun pisang,” jelasnya.
Juhaidi berkata, bagi mereka yang mahukan sesuatu selain hidangan nasi, boleh mencuba laksam.
Potongan laksam yang diperbuat daripada tepung beras dipadankan dengan kuah putih pekat daripada santan dan ikan selain disertakan telur, serunding bersama ulam-ulaman pasti merangsang selera.
Ujarnya, melalui promosi yang diadakan, restoran itu berpeluang memperkenal dan memartabatkan masakan tradisional Kelantan kepada orang ramai khususnya kepada warga kota.
”Mereka tidak perlu lagi berkunjung ke Kelantan untuk menikmati sajian pagi yang enak dan menyelerakan kerana segala-galanya terdapat di sini,” terangnya yang memberitahu restoran itu turut menyediakan hidangan makan tengah hari dan makan malam.
Mula beroperasi pada Julai tahun lalu, Juhaidi berkata, restoran yang mengetengahkan rekaan seni bina eksklusif dengan gabungan elemen tradisional dan kotemporari itu mampu memuatkan kira-kira 200 pelanggan pada satu-satu masa.
Setiap perincian dilakukan dengan teliti termasuk ukiran kayu pada dinding serta pelbagai kraf tangan yang disusun rapi di bahagian pintu masuk menyerlahkan aura Pantai Timur yang menjadi tema restoran itu.
Sementara itu, lukisan dinding yang memaparkan kesibukan Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu turut menjadi santapan mata pengunjung ketika menjamu selera.

Friday, March 23, 2012

FAKTOR OBESITI


Seseorang dikatakan gemuk atau obesiti apabila berat badannya melebihi berat badan ideal yang diukur dalam Body Mass Index (BMI) iaitu ukuran BMI berdasarkan ketinggian.
Banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu menjadi gemuk.Antaranya ialah:

Hormon Tidak Seimbang
• Ramai yang tidak tahu bahawa hormon yang tidak seimbang dalam badan juga adalah punca gemuk. Jika hormon sebagai punca kegemukan, ia sukar dikawal. Jika ingin kurus, masalah hormon perlu distabilkan terlebih dahulu sebelum mengamalkan sebarang diet.

Pemakanan Tidak Sihat
• Kecenderungan masyarakat pada masa sekarang yang suka mengambil makanan segera dan ringan serta tidak mengutamakan pemakanan seimbang dalam diet seharian serta makan mengikut selera.

Persekitaran
• Bagi mereka yang bekerja di bahagian dapur atau industri pemakanan, peluang untuk mendapatkan obesiti lebih tinggi berbanding mereka yang bekerja di persekitaran lain. Hal ini terjadi kerana mereka akan sentiasa mencuba makanan dan mendapatkan zat daripada aroma atau bau makanan.

Gen atau Baka
• Mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang berbadan gemuk dan mempunyai rangka besar adalah lebih berisiko menjadi gemuk bila dewasa.

Emosi Tidak Stabil
• Biasanya bila emosi tidak stabil seseorang itu mudah mendapat tekanan. Untuk mengatasi masalah ini, sesetengah orang lebih suka mengambil makanan secara berlebihan untuk mengatasi tekanan berkenaan.

Gaya Hidup Tidak Sihat• Ramai orang memberi alasan sibuk menyebabkan mereka tiada masa untuk bersenam mahupun beriadah, ditambah pula kebanyakannya melakukan kerja-kerja yang tidak mengeluarkan peluh seperti sepanjang masa duduk dikerusi, dan didalam bilik berhawa dingin.

Pengambilan Ubat-ubatan 
• Pengambilan ubat-ubatan seperti pil perancang keluarga, hormon dan ubat penenang juga menggalakkan kegemukan.

10 PETUA TINGKATKAN METABOLISME

10 petua untuk meningkatkan kadar metabolisme yang akan membantu mempercepatkan proses penurunan berat badan

1. Bina otot-otot (build Muscle).Badan kita sebenarnya berterusan membakar kalori walaupun semasa kita berehat. kadar metabolisma pada waktu kita berehat adalah lebih tinggi pada mereka yang lebih berotot. Setiap pound otot menggunakan 6 kalori sehari manakala setiap pound lemak hanya membakar 2 kalori sehari.
2. Bersenam aerobik atau berjogging.Bersenam aerobik/berjogging tidak membina otot namun ia mampu meninggikan kadar metabolisme selepas kita melakukannya.
3. Minum banyak air.Badan kita memerlukan air untuk memproses kalori. Apabila kita kekurangan air dalam badan (dehydrated), kadar metabolisme akan menurun. Dalam sehari seorang dewasa memerlukan 8 gelas air masak (plain water). Untuk kekalkan bekalan air dalam badan, kita hendaklah biasakan meminum air masak sebelum makan. Sebagai tambahan boleh juga memakan buah-buahan yang mana mengandungi kandungan air.
4. Campurkan ais dalam air.Minuman berais akan menggalakkan badan membakar lebih kalori semasa penghadaman tetapi dengan syarat air tersebut tiada tambahan gula atau cream/susu pekat manis.
5. Makan lebih kerap.Makan lebih kerap boleh membantu mengurangkan berat badan. Ambil snek setiap 3-4 jam akan membantu meningkatkan kadar metabolisme. Kajian menunjukkan jika seseorang mengamalkan snek mereka akan makan kurang sewaktu makan tengahari dan makan malam.
6. Pedaskan masakan anda.Makanan yang pedas mengandungi bahan kimia yang boleh meninggikan kadar metabolisme.
7. Makan lebih protein.Badan membakar kalori 2 kali ganda bagi menghadamkan protein berbanding lemak atau karbohidrat. Sumber protein yang sihat adalah daging merah, ayam tanpa kulit, tauhu, kacang, telur dan susu rendah lemak.
8. Minum kopi.Tapi pastikan kopi yang diminum tidak dicampur cream dan gula.
9. Minum teh hijau.Kajian menunjukkan dengan meminum 2-4 cawan teh hijau sehari membantu membakar 50 kalori sehari, ini bersamaan kurangkan 5 pounds berat setahun.
10. Elakkan crash diet.Crash diet ialah mereka yang makan kurang daripada 1,000 kalori sehari. Walaupun diet ini membantu mengurangkan berat badan namun sebenarnya pengurangan berat badan adalah daripada kemerosotan otot-otot. Apabila otot-otot berkurang, maka kadar metabolisme akan berkurangan. Akhirnya badan akan bakar kurang kalori malah akan lebih cepat menaikkan berat badan berbanding sebelum diet jika individu itu sudah tidak patuh pengambilan kalori 1,000 kalori sehari.

Selain daripada cadangan di atas, antara faktor yang meninggikan kadar metabolisme ialah:
1. Sesetengah individu mempunyai genetik metabolisme yang tinggi
2. Lelaki lebih banyak akan membakar kalori berbanding perempuan semasa berehat. (Ini disebabkan lelaki mempunyai lebih banyak otot, perempuan lebih banyak lemak-faktor hormon)
3. Kadar metabolisme akan menurun apabila usia mencapai 40 tahun ke atas.

Wednesday, March 21, 2012

PENJAGAAN MATA: USAH AMBIL MUDAH

BAGAIMANA caranya seseorang itu melindungi matanya dan memastikannya dalam keadaan sihat?
"Dapatkan nasihat daripada optometris bila timbul keperluan untuk penjagaan mata," nasihatKhairunisah Muda, seorang optometris dari syarikat Menara Optometry.
Menurut beliau, umum perlu prihatin tentang dua situasi yang boleh melibatkan mata iaitu patologi dan fisiologi.
Optometris ialah seorang yang dilatih secara profesional dan mempunyai lesen bagi memeriksa mata, mengesan masalah, memberi diagnos tentang mata dan mengesyorkan rawatan bagi mata yang mempunyai masalah.
Situasi patologi pula memerlukan rawatan perubatan termasuk pembedahan dalam kes terbentuknya katarak manakala fisiologi memerlukan terapi penglihatan yang kebanyakannya memerlukan langkah membetulkan otot oftalmik yang lemah atau penglihatan kabur.

Cermin mata gelap

Membeli cermin mata gelap merupakan pilihan ramai ketika ini.
Ada juga yang memilih kaca mata yang murah dijual oleh penjaja tepi jalan.
"Sebagai pelancong, anda boleh beli dengan harga murah daripada peniaga di tempat yang dilawati. Saya mendapat pengalaman ini di beberapa negara Arab, yang cuacanya terang dan panas.
"Cermin mata gelap dijual dengan harga yang murah di bawah SR20 (Saudi Riyal) di Makkah dan Madinah. Dengan hanya SR10 (atau RM8), anda sudah boleh bawa pulang kaca mata itu," gadis belasan tahun Hazirah Abdul Rahman berkongsi pengalamannya.
Bagaimanapun mahasiswa ini berjaya meyakinkan ibu bapanya agar membelikan sepasang cermin mata gelap dengan kanta kuasa, dua tahun lalu.
"Saya pilih jenama Fendi dan bapa saya terkejut besar bila mengetahui harganya lebih RM1,000. Saya rabun jauh, jadi cermin mata itu sudah tentu mahal sebab dipasang dengan kanta kuasa.
"Adik perempuan saya mempunyai sepasang Ray-Ban tapi murah sedikit harganya.
"Saya yakin cermin mata gelap seperti ini dapat melindungi mata kita daripada pancaran cahaya ultraviolet (UV) yang merosakkan," terang Hazirah.

Kanta berkualiti

Menyisipkan kanta ke dalam bingkai cermin mata adalah sesuatu yang menarik kini.
"Transisi kanta akan berubah mengikut tahap kepanasan dan ia bertindak sebagai pelindung terhadap pancaran UV seperti sepasang cermin mata gelap.
Terdapat juga kanta indeks tinggi yang anti silau atau tidak memantul dan kanta yang lebih nipis bagi mereka yang penglihatannya perlu diperbetul dengan lebih kuasa.
"Ini membuatkan kanta tidak perlu tebal sangat, tidak perlu berat dan lebih bergaya selain mudah dilekatkan pada bingkai," jelas Khairunisah.
Beliau menasihati orang ramai agar mengelak daripada membeli cermin mata untuk membaca, kaca mata yang ada kuasa, cermin mata gelap dan kanta lekap daripada pembekal yang tidak berdaftar.
Dalam dunia teknologi tinggi kini, terdapat pelbagai jenis kanta untuk perlindungan seperti kanta dengan indeks tinggi, polikarbonat, trivex dan aspherix.
Terdapat juga kanta dengan lapisan anti-silau, tahan calar, berpolar, fotokromatik dan kanta UV-rawat.
Optometris, Amir Husain Rahman Shariff, yang juga Pengarah Menara Optometry berkata, kanta bagi cermin mata gelap yang murah hanya dilapisi oleh warna gelap.
"Ia tidak selamat. Anda tidak dapat lihat matahari pun bila menggunakan kaca mata seperti ini.
"Tanyalah diri sendiri, kenapa guna cermin mata gelap sebegini? Adakah hanya untuk melindungi diri daripada pancaran cahaya UV?.
"Pendedahan kepada sinar UV yang berlebihan akan membentuk katarak dan dalam amaun yang tinggi, ia boleh merosakkan kornea, kanta dalaman dan selaput retina," jelas beliau.

Kanta lekap

Dulu, cermin mata dipakai bagi membantu mereka yang mempunyai masalah penglihatan terutamanya rabun dalam kalangan anak muda.
Pemakai cermin mata pula mula memberikan keutamaan terhadap bingkai cermin mata disebabkan oleh cita rasa terkini.
Kemudian muncul pula generasi kanta lekap di mana remaja lebih berminat terhadap kanta lekap yang mempunyai warna.
"Kami mahu pemakai kanta lekap menjalani ujian terlebih dahulu, untuk pastikan sama ada mata mereka sesuai untuk kanta tertentu. Optometris akan menasihati mereka berbuat demikian," kata Khairunisah sambil menekankan jika tidak berhati-hati, pengguna kanta lekap boleh mencederakan matanya.
Hilang penglihatan kerana kecuaian dalam pemilihan kanta lekap yang sesuai adalah sesuatu yang malang sekali.
Optometris menasihatkan agar pengguna lebih berhati-hati bila membeli kanta lekap kerana terdapat beberapa prosedur yang perlu dipatuhi. "Mata pengguna kanta lekap tidak boleh kering kerana airmata boleh melegakan rasa tidak selesa bila memakai kanta lekap.
"Bagi mereka yang mempunyai mata agak kering adalah tidak sesuai menggunakan kanta ini. Sebab itulah penting mata mereka diperiksa oleh optometris terlebih dahulu," kata Khairunisah. 

TABIAT PEMAKANAN SIHAT

ADAKAH anda kenal sesiapa yang mengalami diabetes, atau sesiapa yang meninggal dunia secara tiba-tiba daripada serangan penyakit jantung? Bagaimana pula dengan mereka yang mempunyai paras kolesterol tinggi atau tekanan darah tinggi?
Kebarangkalian amat tinggi bahawa hampir semua antara kita mempunyai saudara mara, rakan atau kenalan yang mempunyai masalah seperti ini.
Realiti kehidupan pada abad ke-21 dengan kemajuan teknologi telah membawa kepada kehidupan yang lebih mudah dan jangka hayat yang lebih panjang.
Namun ironinya kita mengalami lebih banyak masalah kesihatan berbanding nenek moyang kita.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), masalah seperti diabetes, penyakit jantung dan hipertensi merujuk kepada penyakit kronik yang berkaitan dengan diet dan dikenali sebagai Penyakit Tidak Berjangkit (NCD). Senarai penyakit tidak berjangkit ini panjang termasuk kanser, buah pinggang, osteoporosis, pundi hempedu, dan banyak lagi.
Laporan status dunia 2010 daripada WHO mengenai NCD telah mencatatkan rekod yang mengejutkan pada 2008, iaitu sebanyak 36.1 juta kematian disebabkan empat penyakit tidak berjangkit yang utama iaitu jantung, kronik peparu, kanser dan diabetes.
Hampir 80 peratus daripada kematian ini berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Secara global, kematian disebabkan penyakit tidak berjangkit dijangka meningkat sebanyak 15 peratus di antara 2010 dan 2020, mencecah 44 juta kematian setahun.
Malangnya, Malaysia tidak ketinggalan juga dengan masalah penyakit tidak berjangkit. Apa yang membimbangkan, penyakit kronik yang berkaitan dengan diet adalah lazim bagi kanak-kanak dan orang dewasa di Malaysia dan telah meningkat dengan pantas.
l Serangan penyakit jantung dan strok adalah sebahagian daripada lima punca utama kematian.
l Satu daripada lima penduduk Malaysia ialah pesakit diabetes dan jumlahnya meningkat sebanyak dua kali ganda daripada 1.5 juta pada 2006 kepada tiga juta pada 2011.
Berubah Walaupun penyakit-penyakit ini tidak boleh diubati, pencegahan dan pengurusan penyakit tidak berjangkit ada dalam tangan anda sendiri.
"Sekarang anda tahu bahawa punca-punca penyakit kronik yang berkaitan dengan diet disebabkan beberapa gabungan faktor. Anda mesti membuat perubahan dalam pemakanan dan gaya hidup untuk mengurangkan risiko menghidapi penyakit-penyakit ini. Penyakit yang berkaitan dengan diet ini boleh dicegah," nasihat Naib Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO), Profesor Dr. Norimah A Karim.
Dr. Norimah menasihatkan supaya mengamalkan tabiat makan secara sihat dengan mengikuti prinsip keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian.
"Piramid Makanan Malaysia adalah panduan terbaik untuk makan secara sihat kerana ia mengutamakan keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian dalam diet harian kita.
"Anda boleh mengamalkan keseimbangan dengan mengambil makanan daripada lima kumpulan makanan dalam Piramid Makanan. Untuk mencapai kesederhanaan, ikutilah bilangan hidangan yang disarankan untuk mengelakkan makan berlebihan yang boleh menyebabkan lebih berat badan. Pastikan mengambil daripada setiap kumpulan makanan kerana tiada satu makanan yang boleh membekalkan kesemua nutrien yang anda perlukan," terang beliau.
Cara lain untuk meningkatkan kesihatan anda adalah dengan menjauhi penyakit kronik iaitu dengan mengamalkan gaya hidup aktif.
Kajian menunjukkan bahawa senaman atau aktiviti fizikal adalah penting dalam kehidupan sihat kerana membantu menyeimbangkan tenaga (kalori) yang diambil, serta mencegah penyakit kronik dan kematian pramatang.
"Individu yang mengamalkan aktiviti fizikal biasanya lebih sihat daripada mereka yang kurang aktif. Mereka kurang mengalami masalah kesihatan seperti osteoporosis dan kanser terutamanya kanser kolon, payu dara dan prostat. Aktiviti fizikal kerap juga membantu menggalakkan suasana yang sejahtera, melepaskan tekanan dan mengurangkan kemungkinan mengalami masalah kebimbangan dan kemurungan," tambah beliau.
Panduan Diet Malaysia (MGD) menyarankan supaya semua orang dewasa melakukan senaman intensiti sederhana selama 30 minit, sekurang-kurangnya lima hingga enam hari seminggu, sebaik-baiknya setiap hari. Kanak-kanak dan remaja pula disaran melakukan aktiviti fizikal selama 60 minit atau lebih setiap hari, sama ada aktiviti fizikal intensiti sederhana atau tinggi.
Apabila kecergasan anda meningkat, paras intensiti dan masa untuk aktiviti fizikal boleh ditingkatkan secara beransur-ansur. Anda juga disarankan menyertai aktiviti yang meningkatkan fleksibiliti, kekuatan dan ketahanan otot sebanyak dua hingga tiga kali seminggu. Lebih penting lagi, had amalan yang tidak aktif dan tabiat yang sedentari seperti menonton televisyen, memandu, atau menggunakan komputer, tidak melebihi dua jam sehari.
"Jadi aktif setiap hari dengan pelbagai cara yang anda boleh. Fikirkan setiap pergerakan sebagai satu peluang untuk meningkatkan kesihatan anda dan bukannya sesuatu yang menyusahkan. Cuba berjalan menaiki tangga dan tidak menggunakan lif atau eskalator.
"Berjalan ke kedai yang berhampiran, bukan memandu kereta. Lakukan kerja-kerja rumah seperti menyapu dan mop lantai, mencuci pakaian menggunakan tangan dan bukan menggunakan mesin," nasihat Dr. Norimah.

AL-FATH PENAWAR BUAT UMAT ISLAM

SEBAGAI memuliakan orang-orang yang memberi pengakuan taat setianya di Hudaibiah, Tuhan menujukan firman-Nya kepada mereka: Allah menjanjikan kepada kamu harta rampasan yang banyak yang kamu akan mengambilnya, lalu Dia menyegerakan untuk kamu harta rampasan perang ini, serta Ia telah menahan tangan manusia (pihak musuh di situ) daripada menyerang kamu; (Allah melakukan yang demikian supaya kamu beroleh manfaat) dan supaya menjadi tanda (yang membuktikan kebenaran janji-Nya) bagi orang-orang yang beriman, dan juga supaya Ia menambahkan kamu hidayah ke jalan yang lurus. (al-Fath: 20)
Ayat di atas ada disebutkan mengenai harta rampasan yang lazimnya diperoleh daripada peperangan.
Tahukah anda perang apakah yang dimaksudkan oleh ayat ini dan mengapa perang ini begitu penting kepada umat Islam?
Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini bahawa surah al-Fath diturunkan khas buat umat Islam yang begitu kecewa dengan syarat-syarat perjanjian Hudaibiah yang dikatakan lebih memihak kepada golongan kafir Quraisy.
Lalu Allah turunkan surah ini sebagai cara memujuk umat Islam yang kecewa. Ditambah janji Allah akan satu kemenangan dalam satu peperangan sebelum kejayaan yang lebih besar bakal akan terukir dalam sejarah, iaitu Fathul Makkah (Pembukaan Mekah).
Perang Khaibar, adalah perang yang dimaksudkan, iaitu perang antara pihak Islam melawan musuh iaitu kaum Yahudi yang menetap di Khaibar yang berlaku selepas termeterainya Perjanjian Hudaibiah itu.
Sebagaimana yang disebut sendiri oleh Nabi Muhammad, iaitu; "Allah sudah berjanji kepada aku. Allah akan membuka kepada aku akan Khaibar!"
Khaibar adalah nama kepada sebuah kota besar yang dipenuhi kebun-kebun terutamanya pohon-pohon tamar yang begitu luas dan dikelilingi oleh benteng-benteng tembok batu yang sangat kukuh.
Ia terletak lebih kurang 150 kilometer di sebelah timur Kota Madinah menghala ke arah negeri Syam (Syria).
Khaibar menjadi pusat atau ibu negara kepada kaum Yahudi yang terbesar di Tanah Arab. Sebelum ini kaum Yahudi, iaitu dari keturunan Bani Qainuqa yang mendiami Kota Madinah, yang kemudiannya telah diusir keluar, adalah kaum Yahudi yang membawa diri mereka dan akhirnya memilih Khaibar untuk menjadi penempatan baru mereka.
Ini diikuti Yahudi Bani Nadhir yang turut dihalau keluar dari Madinah apabila mereka membuat perancangan yang hampir-hampir membuatkan Rasulullah terbunuh dalam satu komplot jahat, dengan menjatuhkan seketul batu besar ketika baginda sedang berehat di sebuah rumah Yahudi yang dikunjungi baginda.
Ini diikuti pula Yahudi Bani Quraizah yang juga menempah nasib yang sama apabila mereka bertindak belot dan bersekongkol dengan pihak musuh dalam Perang Ahzab (Khandaq). Tetapi mereka tidak dapat ke mana-mana akibat hukuman mati yang dijatuhkan ke atas seluruh kaum lelaki Yahudi Bani Quraizah.
Maka selepas peristiwa hukuman Bani Quraizah tersebut seluruh kaum Yahudi mengumpul kembali kekuatan mereka dengan membentuk satu komuniti Yahudi di Khaibar dan tidak pernah memberikan sebarang ancaman lagi kepada Islam.
Tetapi sebaik sahaja mereka mendengar akan berita mengenai Perjanjian Hudaibiah yang menjanjikan satu 'hubungan baik' antara puak kafir Quraisy dengan pihak Islam, tentunya menjadi satu tamparan kepada seluruh kaum Yahudi yang menghuni di Khaibar itu.
Di tambah lagi usaha-usaha dakwah yang dilakukan oleh baginda semakin menampak kejayaan demi kejayaan. Semua ini menyebabkan kaum Yahudi semakin tidak senang duduk jadinya.
Apabila merasakan mereka semakin kuat, maka mereka kembali untuk bermusuh terhadap Islam dengan cara yang lebih agresif. Dalam kamus mereka, tidak akan sesekali berbaik dengan Islam kecuali benar-benar ingin menghancurkan Islam.
Walaupun kini terpaksa bertindak sendirian namun mereka sedar masih ada banyak lagi puak Arab, selain Arab Quraisy yang boleh diajak untuk menentang Islam.
Sehinggalah pada suatu hari, Ketua Yahudi di Khaibar, Sallam bin Misykam akhirnya mengumumkan satu pengisytiharan dengan berkata: "Wajiblah ke atas kita semua (Yahudi Khaibar) supaya segera mengatur dan menyusun kekuatan dengan menjadi persatuan dan perpaduan yang kukuh antara kita dan Yahudi-Yahudi yang ada di Wadi Qura dan Taima.
"Kemudian kita akan melakukan serangan secara besar-besaran terhadap Kota Madinah tanpa kita memerlukan bantuan daripada mana-mana bangsa Arab yang lain dalam peperangan kali ini!"
Namun pengumuman yang dibuat oleh Sallam itu tidak dapat diterima oleh sebahagian besar pemimpin-pemimpin Yahudi yang lain kerana bagi mereka adalah tidak mudah untuk menyerang Islam kecuali mereka mempunyai kekuatan yang jauh melebihi pihak Islam.
Namun Rasulullah sedar akan soal pertahanan dan keselamatan Islam yang sentiasa mendapat ancaman daripada pelbagai pihak termasuk Yahudi.

Tuesday, March 20, 2012

AL-KAUTHAR

SALAH satu surah yang diturunkan oleh Allah SWT untuk 'menghibur dan menenangkan jiwa' Nabi Muhammad SAW daripada hinaan ejekan kaum musyrik adalah surah al-Kauthar.
Kaum musyrik mengejek bahawa ajaran Nabi Muhammad SAW akan terputus kerana menganggap baginda tidak mempunyai keturunan.
Oleh itu, Allah SWT menurunkan surah al-Kauthar untuk membantah pemikiran salah kaum musyrik.
Surah al-Kauthar termasuk surah al-Makkiyyah (surah yang ayatnya diturunkan di Mekah). Dilihat daripada urutannya di dalam al-Quran, maka surah al-Kauthar adalah surah ke-108, sesudah surah al-Maa'un.
Ditinjau daripada urutan wahyu yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW, maka surah al-Kauthar merupakan wahyu ke-14 setelah surah al-'Aadiyat.
Penamaan surah al-Kauthar berasal daripada bunyi akhir ayat pertama surah itu, al-kauthar.Ada beberapa pendapat yang mengemukakan tentang makna kata itu.
Makna yang pertama yang sangat popular adalah sungai di syurga. Makna itu menggambarkan kenikmatan yang akan diperoleh kelak oleh orang-orang yang beriman.
Makna kedua adalah keturunan Nabi Muhammad SAW. Adapun makna yang ketiga adalah nikmat atau kurnia yang banyak.
Banyak ulama yang berpegang pada makna yang terakhir itu kerana pengertian yang ketiga dianggap sudah mencakupi kedua-dua pengertian sebelumnya.
Surah al-Kauthar mengandungi ajaran tentang kewajipan bersyukur atas nikmat yang telah dilimpahkan Allah SWT. Mensyukuri nikmat Allah SWT biasa dilakukan dengan cara beribadat seperti solat daripada berkorban.
Di samping itu, surah ini juga berisi peringatan kepada orang-orang yang suka membenci. Allah SWT akan memutuskan rahmat-Nya, baik di dunia mahupun di akhirat.
Dalam surah ini terkandung isyarat bahawa Nabi Muhammad SAW akan memiliki pengikut yang banyak sampai hari kiamat.
Pada masa Nabi Muhammad SAW, para pengubah syair sangat banyak. Mereka sering kali mencuba untuk menyaingi wahyu Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad. Salah seorang di antara mereka adalah Musailamah.
Dia pernah mengubah syair yang mirip dengan surah al-Kauthar. Isi syair gubahannya ialah:Sesungguhnya kami menganugerahkan kepadamu permata-permata. Maka solatlah kepada tuhanmu dan nyatakanlah.
Namun, apa yang telah dilakukan itu telah mendapat cemuhan. Masyarakat Islam pada masa itu menganggap syair gubahan itu sangat buruk. Keinginan untuk menyaingi al-Quran gagal.
Bahkan tidak dapat menandingi surah yang terpendek sekalipun, seperti al-Kauthar. Ini merupakan salah satu bukti bahawa kebenaran al-Quran tidak mungkin disaingi oleh sesiapa pun, meskipun satu surah sekalipun (rujuk surah al-Baqarah: 23)
Surah ini juga merupakan surah terpendek dalam al-Quran, iaitu terdiri di atas tiga ayat. Para ulama berpendapat bahawa surah itu merupakan tentangan terhadap orang-orang yang ragu terhadap kebenaran al-Quran dan mencabar mereka untuk menyusun surah seperti itu.
Dalam ayat pertama surah al-Kauthar, kata kauthar yang ditafsirkan oleh para sufi sebagai sumber mata air samawi yang suci.
Dalam air ini terdapat kurnia dan hikmah yang tidak terbatas, rahmat dan segala kebaikan, kebenaran, kearifan, kekuatan rohani, dan wawasan yang mendalam yang telah diberikan kepada Nabi Muhammad SWT dan semua hamba Allah SWT, baik lelaki mahupun perempuan yang ikhlas.
Menurut para sufi, sumber mata air merupakan perumpamaan hikmah menghilangkan rasa dahaga rohani manusia yang haus akan hal itu.