BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, April 13, 2012

KAFE COFFEE MORE

KOPI sememangnya terkenal untuk mengekalkan kesegaran mata terutama jika ingin berjaga pada waktu malam ataupun jika seharian memandu untuk jangka masa lama.
Pemandu yang mengantuk lazimnya mencari tempat perhentian untuk mengembalikan semula kesegaran mata bagi menyambung kembali pemanduan. 
Justeru, untuk memberikan lebih kemudahan kepada pengguna lebuh raya terutama mereka yang menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), kafe Coffee More menyediakan sajian minuman berasaskan kopi yang menyelerakan.

Selain itu, kafe berkenaan turut menyajikan pelbagai menu menyelerakan untuk pelbagai kaum di samping menyediakan persekitaran selesa dan berhawa dingin untuk kemudahan pelanggannya.

Menurut ketua tukang masaknya, Chef Abdullah Mamat, menu hidangan disediakan banyak memfokuskan pada makanan 1Malaysia.

Ia bertujuan membolehkan pelanggan pelbagai bangsa mendapatkan sajian diingini di satu tempat dengan mudah terutama di kawasan hentian Rehat dan Rawat (R&R) sebegini.

“Mungkin ramai beranggapan menu dihidangkan di tempat sebegini statik dan tidak pelbagai namun mereka pastinya akan berasa lebih teruja kerana boleh mendapatkan makanan ditawarkan pada harga berpatutan.

“Bukan saja menu sajian, turut disediakan hidangan kuih-muih dan menu menarik yang belum pernah dinikmati sebelum ini misalnya power fruit chillers (PFC) iaitu minuman buah tunjuk langit,” katanya ketika ditemui di kafe berkenaan di R&R Seremban arah utara (Kuala Lumpur), baru-baru ini.

Selain R&R Seremban berkenaan, pengguna lebuh raya boleh mendapatkan hidangan kegemaran di kafe R&R Seremban arah selatan dan di R&R Tapah arah selatan.

Rasa makanan ditawarkan di semua kafe berlainan ini adalah sama kerana setiap pes digunakan dibawa dari tempat sama iaitu dari dapur utama kafe berkenaan di Sungai Buloh.

Antara menu perlu dicuba ialah nasi ayam toot-toot, mi rebus ‘good old’, rojak pasembor, nasi beriani, seri muka durian serta durian chillers.

Chef Abdullah berkata, nasi ayam toot-toot direka ketika dia bertugas di Thailand sebelum ini iaitu apabila membuat sambal dengan merebus cili digunakan hingga menghasilkan bunyi letupan toot toot dalam periuk.

Daripada situ, timbul idea untuk menggunakan nama berkenaan pada menu resipi nasi ayam dan mengharapkan ia memberi kelainan rasa terutama kepada penggemar nasi ayam.

Sementara itu, minuman menarik di Coffee+More selain kopi yang menggunakan kopi Brazil dan Papua New Guinea adalah minuman ais kisar PFC diperbuat daripada buah tunjuk langit.

Ia terkenal dengan khasiat untuk membantu mengembalikan tenaga, meningkatkan pertumbuhan sel tisu baru dalam badan, mengaktifkan sel, ejen kecantikan serta bahan antipenuaan semula jadi yang unik.

Thursday, April 12, 2012

SOLUSI ISU 42- APRIL 2012



NYARIS MAKAN ROTI BERPERISA LIPAS

TELOK EMAS - Seorang pekerja sebuah syarikat swasta hampir termakan bangkai lipas selepas disangkanya kismis di dalam sekeping roti berjenama terkenal.

Zawiyah Abdul Rahman, 60, berkata, dia membeli roti berkenaan di sebuah pasar mini ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang menikmati hidangan sarapan pagi di pejabatnya bersama beberapa rakan sekerja.

“Saya terkejut sebaik menyedari ‘kismis’ dalam roti berperisa coklat berkenaan adalah seekor lipas kerana rupanya yang seakan-akan sama.

“Saya sudah makan separuh daripada kepingan roti tersebut dan nasib baik saya cepat sedar kerana jika tidak, sudah tentu saya kenyang makan roti berperisa lipas,” katanya, semalam.

Zawiyah berkata, dia sering menjadikan roti tersebut untuk dinikmati ketika sarapan pagi dan itu adalah kejadian pertama dialaminya.

“Saya benar-benar serik dengan apa yang berlaku ini dan akan berhati-hati selepas ini.

“Saya juga kesal dengan sikap pengusaha roti yang mengabaikan aspek kebersihan sehingga berlakunya kejadian seumpama ini,” katanya.

Tuesday, April 10, 2012

"SEPERTI DUNIA HENDAK KIAMAT"

PONTIAN - “Bunyinya cukup menakutkan dan pak cik rasa seperti dunia hendak kiamat,” kata Zainal Abdullah, 67 ketika menceritakan detik-detik cemas apabila rumahnya di Pekan Sanglang dihujani dengan hujan air batu sebesar ibu jari kaki, di sini, petang kelmarin.
Berikutan kejadian kira-kira jam 5 petang itu, keadaan bumbung zink rumahnya berlubang-lubang dan kelihatan seperti dibaling batu.
Menurut Zainal, dia tidak menyangka hujan lewat petang itu adalah hujan air batu, sebaliknya hanya menyangka bunyi tersebut adalah bunyi dari lori yang menurunkan pasir di sebelah rumahnya.
Katanya, bunyi dari luar rumahnya semakin kuat sehingga menyebabkan dia tidak sedap hati dan mengambil keputusan untuk melihat sendiri apa yang berlaku.
“Sebaik sahaja pintu dibuka, ais batu seperti pasir yang sungguh putih sudah memenuhi laman rumah dan pakcik terus beristighfar ketika itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.
Dia kemudiannya memanggil isterinya, Halijah Kulop Razak, 65 dan cucunya, Nabiatul Syafina Jazamuddin, 15, yang ketika itu berada di dapur untuk melihat hujan air batu tersebut.
Namun tidak lama selepas itu, hujan kembali lebat dan mendapati bunyinya semakin kuat seperti deruan ‘air terjun’.
“Pakcik terus memanggil makcik dan cucu berteduh di dalam bilik dan hanya duduk beristighfar meminta supaya hujan batu itu segera berhenti.
“Mujur bumbung zink di dua buah bilik di rumah ini sudah ditukar baru, jadi kami boleh berlindung di dalam bilik. Saya cuba menjenguk dari bilik apa yang berlaku di luar dan ketika itu, saya dapati bumbung rumah sudah berlubang-lubang.
“Kami sekeluarga dapat memegang ketulan air batu berbentuk kiub yang jatuh namun ia cepat cair. Ianya berlaku dalam tempoh kira-kira lima minit sebelum hujan lebat turun,” katanya
Katanya, pengalaman berhadapan dan melihat sendiri hujan air batu buat pertama kalinya pasti tidak akan dilupakan.
Sementara itu, Halijah memberitahu, ketika kejadian, dia sedang memasak burasak untuk disajikan kepada anak-anaknya pada hujung minggu.
Katanya, dia tidak menduga hujan lebat petang itu membawa sama hujan air batu sehingga menyebabkan dia meninggalkan dapur kerana takut dan bimbang.
“Niat hati mahu keluar untuk melihat tetapi bimbang ketulan itu akan mencederakan kami. Kami hanya nampak ia memutih di halaman rumah ini,” katanya.

'ULAT' URUS SIJIL HALAL

PUCHONG: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesan kegiatan segelintir individu yang menjadi ‘ulat’ dengan menawarkan perkhidmatan memohon sijil pengesahan halal dan logo halal Malaysia bagi pengusaha premis makanan dan restoran dengan mengenakan kadar antara RM2,000 dan RM4,000.
Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Adam Drahman, berkata kegiatan ulat terbabit dikesan sejak pihaknya melaksanakan tiga fasa penguatkuasaan terhadap pengusaha premis berkenaan bagi mendapatkan sijil dan logo halal mulai awal tahun ini sebelum dikuatkuasakan pada 1 Julai ini.

Menurutnya, dalam peringkat pertama pada Januari hingga Mac lalu operasi penguatkuasaan Jakim lebih bersifat mendidik dan menggunakan kaedah berlembut apabila pengusaha berkenaan hanya diberikan nasihat untuk mendapatkan sijil pengesahan halal dan menurunkan logo halal tidak diiktiraf.


Manakala, dalam peringkat kedua pula Jakim mengambil pendekatan lebih bersifat separa penguatkuasaan termasuk memberikan surat amaran bermula April hingga 30 Jun ini.

“Namun, ketika pemilik premis makanan dan restoran mendapatkan sijil pengesahan halal dan logo halal Malaysia sebelum tempoh kelonggaran diberikan berakhir, didapati ada segelintir individu cuba mengambil kesempatan menawarkan perkhidmatan memohon dokumen penting ini.



“Mereka mengenakan caj perkhidmatan antara RM2,000 dan RM4,000 bagi satu premis dan kadar itu boleh meningkat lebih tinggi bergantung kepada skala perniagaan dan bilangan premis sedangkan kadar caj bayaran dikenakan Jakim hanya RM200 bagi satu premis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memberi amaran kepada empat premis makanan di Subang Jaya dan bandar ini yang dikunjungi umat Islam selepas didapati masih berdegil mempamerkan logo halal swasta termasuk satu yang belum mempunyai sijil pengesahan halal.

Adam berkata, Jakim tidak pernah melantik mana-mana pihak sebagai wakil pemohon kepada pengusaha premis dan restoran untuk mendapatkan sijil berkenaan sebaliknya permohonan hendaklah dimajukan terus kepada pihaknya.



“Tidak susah memohon sijil dan logo halal ini jika pengusaha mengikut prosedur yang betul iaitu melampirkan salinan dokumen seperti lesen perniagaan, lesen pihak berkuasa tempatan (PBT), kad pengenalan sekurang-kurangnya dua pekerja beragama Islam sebagai pengendali dan resit dari pembekal yang mempunyai logo halal,” katanya.

KUIH BAKAR ALOR GAJAH

BENTUKNYA sama tetapi rasa berbeza. Ada yang hasilnya seperti bengkang atau bingka dan ada pula seperti bahulu.
Walaupun kelihatan sama, tekstur dan rasa tentu saja berbeza kerana ada yang ditambah santan, ada pula sekadar adunan asas iaitu telur, gula dan tepung.


Entah mengapa masing-masing sangat popular dengan acuan yang sama iaitu acuan berbunga-bunga seperti kemboja. Ada yang pukul rata, memanggil semuanya sebagai bahulu kemboja walaupun apabila dirasa ia sebenarnya bingka.

Setahu penulis, ada tiga atau empat jenis rasa yang berbeza. Antaranya ada yang berwarna hijau, coklat muda dan ada yang ditambah bijan di atasnya.


Kadang-kadang, selagi belum makan kita sukar meneka jenis kuih itu, sama ada ia bahulu bakar, bahulu kemboja, kuih bakar atau bingka tepung.
SITI NORMAH...kuih bakarnya ada kelainan.
Memang mengelirukan, tambahan pula nama kuih berbentuk bunga ini sering mempunyai panggilan berbeza di setiap negeri walaupun berkongsi resipi hampir sama. Jadi, namanya bercampur-baur sebaik menjumpainya di Kuala Lumpur.

Siti Normah Ahmad, 56, pengusaha kuih bakar secara tradisional di Kampung Kuala Ina, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka, menjelaskan pada penulis mengenai perbezaan kuih bakar dan kuih bahulu kemboja.

“Rasanya tidak sama. Kuih bakar kami sendiri ada campuran rempah jadi tentu saja ada kelainan rasa di samping resipi utamanya seperti telur, santan, gula dan tepung,” katanya.

Tarikan istimewa rasa rempah pada kuih bakar Siti Normah menyebabkan dia mempunyai ramai pelanggan setia. Ada yang datang serata Malaysia seperti Kuala Lumpur, Johor dan Sabah. Ada yang membeli untuk gerai mereka, ada juga kerana mahu mengadakan majlis seperti kenduri dan perkahwinan.

Siti Normah sudah mengusahakan kuih bakar sejak 1976 dengan resipi turun temurun daripada nenek dan kemudian diwarisi ibunya. Hanya dia seorang saja berminat mengikut jejak langkah arwah ibunya dan ia terus menjadi minat yang mendalam.

“Sebabnya dari kecil lagi saya melihat emak membuat kuih bakar ini dan selalu membantunya. Dari situ timbul minat untuk meneruskan perniagaan ini menggunakan resipi turun temurun nenek bersama suami.

“Setiap kali, kami membancuh seperiuk adunan yang banyaknya 10 gantang. Jumlah itu akan berganda sekiranya musim cuti sekolah dan perayaan. Satu periuk menghasilkan kira-kira 500 biji kuih bakar,” beritahu Siti Normah, anak ke-10 daripada 14 adik beradik.

Tambahnya, adunan dibancuh sebelah malam dan sebelah siang baru dibakar bagi menghasilkan kuih yang sebati dan sedap rasanya.

Istimewanya, Siti Normah masih lagi menggunakan kaedah tradisional dapur kayu bagi membakar kuihnya. Ketuhar yang direka oleh suaminya sejak 30 tahun lalu itu tampak begitu praktikal dan mudah dikendalikan.

Pada masa sama, ia menghasilkan kuih yang sempurna masaknya kerana ia mempunyai ruang pembakar atas dan bawah sesuai bagi memasak kuih bakar. Ketuhar itu boleh membakar 20 biji kuih setiap kali.

“Kuih masak dalam masa 10 minit saja. Kaedah tradisional ini saya kekalkan kerana ia menghasilkan kuih yang lebih wangi dan enak walaupun caranya agak sukar dan perlu sentiasa mendapat stok kayu getah sebagai kayu api. Hendak dapatkan kayu pula bukanlah senang dan jumlah yang digunakan juga banyak.

“Kayu api ini perlukan tiga lori dua tan bagi penggunaan pembakaran kuih tiga hingga empat hari saja,” katanya.

Membakar kuih bakar perlu mempunyai jumlah kayu bakar yang sama banyak di sebelah atas dan bawah supaya kepanasan sama rata. Jadi Siti Normah dan pembantunya yang juga sepupunya, Kamariah Ibrahim, 62, sudah arif benar dalam hal penjagaan dapur mereka.

Mula membakar dari jam 6.30 pagi hingga 5 petang, waktu bekerja mereka bertambah sehingga ke malam sekiranya musim cuti sekolah dan perayaan.

Sebelum memperbesarkan perniagaan dan mempunyai ketuhar khas, Siti Normah terlebih dulu membuat kuih bakar secara kecil-kecilan di belakang rumahnya saja.

“Waktu itu menggunakan tong saja sebagai tempat membakar. Sekali bakar hanya dapat enam biji kuih dan dulu, tempahan tidak sebanyak sekarang,” katanya.

Kata ibu tiga anak lelaki ini, kuih bakar selain selalu dijadikan hadiah hantaran juga amat popular dijadikan hadiah kepada tetamu yang datang ke kenduri-kendara.

“Kalau mahu dijadikan hantaran, kami tambah lebih kurang lima biji hiasan ceri merah dan hijau di atasnya,” katanya.

Tentu saja kuih bakar Siti Normah lebih berseri setelah ada tambahan ceri.
Perniagaan Normah dan suami tampak santai kerana ia dilakukan di kawasan rumah mereka sendiri yang luas, redup dan nyaman.

Mereka merancang waktu kerja dan cuti sebaik mungkin supaya kehidupan seharian bukan hanya mementingkan perniagaan tetapi juga dapat melakukan aktiviti biasa.


DAGING SALAI KUALA PILAH

MELAKA terkenal dengan asam pedasnya, Pahang dengan masak tempoyak. Negeri Sembilan tidak sah jika tidak dikaitkan dengan masak lemak cili padi yang pedas menyengat. Begitulah uniknya Malaysia daripada sudut makanannya.
KAMSIAH...petua orang tua, salai daging atau ikan terlebih dahulu supaya lebih sedap dimakan.
Setiap negeri ada keistimewaan dan makanan popular mereka sendiri. Sama ada makanan berbentuk lauk-pauk ataupun kuih-muih. Bagaimana pula di peringkat yang lebih kecil seperti daerah? Kuala Kangsar terkenal dengan laksanya. Muar pula dengan mi bandung, begitu juga Tanjung Karang yang terkenal dengan nasi ambeng. Jika berada di tempat ini jarang kita melepaskan peluang merasa makanan berkenaan. 

Di Kuala Pilah pula ada daging salai. Ramai yang bercerita mengenai daging salai dikatakan tidak ada di tempat lain melainkan di Kuala Pilah saja. Pendek kata di situ semuanya disalai, daripada ikan, daging lembu, ayam, puyuh dan itik.Papan tanda mengenai produk salai ini sudah dipacak di tepi jalan sebelum memasuki kawasan bagi memberitahu pengunjung keistimewaan hasil rakyat tempatannya.



POPULAR...Kamsiah menyalai daging sambil dibantu anaknya, Sahfie.
Bagi mereka yang pertama kali mengunjungi Kuala Pilah tentu saja tidak boleh bayangkan bagaimana daging itu dijual. Adakah ia dijual setelah disalai? Adakah ia disalai di tempat jualan? Sebenarnya ia disalai di tempat jualan dan terus dijual!

Kita mungkin berasa boleh membuat daging salai sendiri tetapi sebenarnya ia tidak semudah disangka dan sangat memerlukan kesabaran. Bukan hanya perlu bermandi asap tetapi juga proses menyalai itu sendiri mengambil masa yang lama sehingga dua jam dan perlu sentiasa dijaga rapi.

Bermula dari Ulu Bendul sehingga ke pekan Kuala Pilah, begitu ramai orang tempatan menjual produk salai mereka. Ramainya mereka yang terbabit dalam perniagaan ini menunjukkan betapa daging dan produk salai yang lain begitu ramai penggemar dan peminatnya.

Proses salai memerlukan tempat khas untuk membakar. Cuma bara yang ada dibiarkan berasap pada daging dengan kepanasan bara yang sederhana. Tidak boleh terlalu panas dan terlalu mengeringkan daging sebaliknya ia memang mengambil masa. Daging hanya dilumur garam dan kunyit sebelum disalai.

Mengapa produk salai ini begitu popular di Kuala Pilah? Untuk mengesan pengasasnya tentu sukar kerana ia budaya yang diamalkan oleh orang Kuala Pilah sejak dahulu kala lagi.

“Bagi saya, sejak dulu lagi sudah diajar orang tua, sekiranya hendak daging atau ikan lebih sedap, salai terlebih dulu sebelum memasaknya,” kata Kamsiah Samad, 62, yang mempunyai kedai daging salainya di tepi jalan lebih kurang 12 kilometer sebelum sampai ke pekan Kuala Pilah.

Dia sibuk menyalai daging, ikan dan ayam tetapi masih sudi bercerita dengan penulis mengenai keistimewaan Kuala Pilah itu.

“Saya buka kedai setiap hari sejak pagi dan tutup jam 10 malam. Hujung minggu lebih ramai pembelin. Musim perayaan pula memang tak cukup tangan memenuhi permintaan pelanggan. Daging salai bukan hanya sedap dibuat masak cili padi tetapi juga rendang jadi ia jadi pilihan menjelang raya,” katanya.

Di kedai Kamsiah, harga yang ditawarkan ialah ayam RM18 sekilogram, daging RM40, ikan empat atau lima ekor RM10 (mengikut saiz).

Kebanyakan pelanggan Kamsiah ialah orang Melayu dan mereka terdiri daripada orang sekitar yang lalu lalang dan orang luar yang datang berkunjung ke Kuala Pilah.

“Biasanya orang luar yang datang membeli daging salai kerana mendengar cerita orang atau membaca mengenainya jadi mereka mahu mencuba,” kata anak Kamsiah, Sahfie yang di samping membantu ibunya, juga mempunyai kedai sendiri bersebelahan ibunya.

Sahfie, 32, menjual pelbagai produk kampung seperti madu, telur masin, enau, cencaluk dan kuih-muih kering yang lain.

“Ada yang membeli untuk memasaknya di tempat mereka sendiri. Ada juga yang meminta resipi daripada ibu cara memasak yang betul dan selalunya ibu saya memang bersedia berkongsi resipinya,” tambah Sahfie.

Cerita Kamsiah yang dibantu anak cucunya, dulu dia menyalai daging dan ikan untuk makanan keluarga tetapi kini menjadi sumber pendapatan kerana begitu ramai yang mahu menikmati daging salai. Hendak membuat sendiri memang mengambil masa dan tenaga jadi apa salahnya beli saja yang sedia ada.

Kini, setiap minggu Kamsiah menjual daging salai secara purata 20 kilogram daging, 10 ekor ayam, 10 ekor itik dan 20 sepit ikan (satu sepit mengandungi empat atau lima ikan).

“Sekiranya simpan di dalam peti sejuk boleh tahan sehingga enam bulan dengan syarat jangan dikeluarkan. Jika tinggal jauh seperti hendak pulang ke Kelantan, daging mesti disimpan di dalam peti sejuk 12 jam daripada waktu dibeli bagi memelihara kesegarannya,” nasihat Sahfie.

Bagi mereka yang belum pernah mencuba daging salai, boleh mencuba dengan membelinya di Kuala Pilah. Selagi tidak merasa sendiri sukar menerangkan keenakannya.

“Daging yang disalai ini ada wangian tersendiri apabila sudah dimasak. Walaupun warnanya berubah kehitaman, ia tidak langsung pahit sebaliknya rangup dan lebih lazat lagi,” jelasnya.