BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, May 8, 2012

NERAKA SEBAGAI PERINGATAN KEPADA MANUSIA


SYED Qutub berkata: "Orang mukmin menerima penjelasan mengenai bilangan pengawal neraka Allah dengan penuh yakin tanpa mempertikaikannya. Tetapi orang musyrikin menerima penjelasan bilangan pengawal tersebut dengan hati yang sunyi daripada iman, sunyi daripada rasa hormat kepada Allah dan sunyi daripada sikap yang serius dalam menerima penjelasan mengenai perkara yang besar ini."
Mereka mempermainkan dan mengejek dan berkata: "Tidakkah setiap 10 orang daripada kamu sanggup membunuh seorang pengawal daripada 19 pengawal neraka itu? Ada pula yang berkata: Kamu boleh membunuh dua orang daripada pengawal itu dan bakinya serahkan kepadaku untuk menguruskannya. Mereka menerima perkara yang amat besar ini dengan jiwa dan hati yang tertutup."
Firman Allah SWT: Dan tiada kami jadikan penjaga neraka itu melainkan daripada malaikat: dan tidaklah kami menjadikan bilangan mereka itu melainkan untuk jadi cubaan bagi orang-orang kafir, supaya orang-orang yang diberi al-Kitab menjadi yakin dan supaya orang yang beriman bertambah imannya dan supaya orang-orang yang diberi al-Kitab dan orang-orang mukmin itu tidak ragu-ragu dan supaya orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan orang-orang kafir (mengatakan): Apakah yang dikehendaki Allah dengan bilangan ini sebagai suatu perumpamaan? Demikianlah Allah membiarkan sesat orang-orang yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan tidak ada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia sendiri. Dan Saqar itu tiada lain hanyalah peringatan bagi manusia. (al-Mudassir: 31)
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu malaikat Zabaniah yang tampak bengis lagi kasar. Ini kerana Abu Jahal pernah berkata: Hai orang Quraisy! Tidak mampukah kamu 10 orang di kalangan kamu melawan satu malaikat?"

BAHAYA BESAR

Ada pendapat menyatakan yang berkata itu adalah Kildah bin Khalaf.
Al-Maraghi berkata: "Penjaga neraka adalah malaikat kerana malaikat adalah makhluk terkuat dan terhebat serta makhluk yang amat patuh dalam menunaikan hak Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT menjadikan penjaga Neraka Jahannam itu dalam bilangan sebanyak itu, adalah untuk menimbulkan keyakinan kepada orang Yahudi dan Nasrani terhadap kenabian Muhammad SAW. Ini disebabkan persamaan yang terdapat di antara al-Quran dengan kitab-kitab mereka."
Sesungguhnya penjaga neraka itu walaupun bilangan hanya 19 malaikat, tetapi mereka ini mempunyai pembantu-pembantu yang tidak diketahui jumlahnya kecuali Allah SWT yang mengetahuinya dan neraka Saqar yang digambarkan oleh Allah SWT hanyalah sebagai peringatan kepada manusia.
Firman Allah SWT: Sekali-kali tidak, demi bulan. Dan malam ketika telah berlalu. Dan Subuh apabila mulai terang. Sesungguhnya Saqar itu adalah salah satu bencana yang amat besar. Sebagai ancaman bagi manusia. (al-Mudassir: 32-36)
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu sangat besar neraka Saqar tersebut seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas dan ramai ulama salaf."
Al-Maraghi berkata: "Allah SWT bersumpah dengan bulan yang bersinar, malam yang bertukar ganti dan Subuh yang terang bahawa neraka Jahannam itu adalah salah satu bencana dan bahaya besar sebagai peringatan kepada manusia."
Syed Qutub berkata: "Jarang hati manusia yang segar kerana melihat bulan yang sedang naik atau sedang turun, menghilang kemudian tidak teringat kepada rahsia alam yang dibisikkan oleh bulan. Kadang-kadang berdiri di bawah cahaya bulan boleh menyucikan hati seseorang."
Jarang hati manusia segar melihat malam berlalu dalam saat yang tenang menjelang naiknya matahari dan ketika alam mula sedar dan membuka matanya kemudian tidak terlekat kesan pemandangan dalam hatinya serta tidak berdenyut dalam lubuk jiwanya.
Jarang hati manusia segar kerana melihat waktu pagi yang terserlah dengan sinarnya yang terang kemudian tiada perasaan gembira dan riang menghasilkan fikiran terbuka dan perasaan yang berubah untuk bersedia menerima hidayah yang memancar dalam hati nurani bersama cahaya pagi.
Allah telah menciptakan hati manusia itu tahu pemandangan alam kadang-kadang boleh membawa kepada perubahan yang menakjubkan dengan penghasilan insan yang baru.
Terserlahnya pancaran dan sambutan yang wujud pada bulan, malam dan waktu pagi, terdapat hakikat besar yang menarik yang dijadikan objek oleh al-Quran supaya difikir oleh akal. Ia juga terdapat bukti yang menunjukkan kudrat Allah SWT yang amat kreatif dan pentadbiran-Nya yang bijaksana dalam mengaturkan alam buana dengan cara yang begitu rapi dan halus yang mengkagumkan akal kita.
Semoga kita sentiasa mendapat petunjuk daripada-Nya dan seterusnya melayakkan kita mencapai mardhatillah yang dapat menghuni syurga-Nya.

MALAYSIA PERLUKAN INSTITUT FARMASEUTIKAL HALAL


Institut farmaseutikal halal negara perlu ditubuhkan bagi menjadi rujukan penyelidik untuk menghasilkan ubatan yang halal.- Gambar hiasan

PENGAMBILAN bahan makanan daripada sumber dan proses yang halal sangat dititikberatkan oleh umat. Sebab itu kewujudan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) mendapat sambutan baik kerana ia dianggap penyelesaian kepada kemelut pemakanan halal yang tidak pernah selesai itu.
Ramai yang beranggapan itu memadai dalam memastikan sumber makanan yang masuk ke dalam tubuh mereka adalah benar-benar halal dan tayyiba.
Namun, sedarkah kita bahawa setiap manusia termasuk umat Islam sentiasa mengalirkan darah di dalam tubuh yang mengandungi sumber yang tidak halal.
Kedengaran agak mengelirukan. Namun itulah situasi sebenar yang berlaku dalam sektor farmaseutikal di negara ini.
Mustahil jika dikatakan ada dalam kalangan kita yang tidak pernah mendapat penyakit dan mengambil ubat. Hampir semua penyakit tersebut memerlukan rawatan dengan bantuan ubat-ubatan.
Namun, sejauhmana keyakinan kita terhadap kesucian ubat-ubatan tersebut daripada bahan yang tidak halal.
Malah, terdapat banyak ubat-ubatan yang jelas mengandungi elemen campuran tidak halal.
Inilah yang dibimbangi Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Syed Azhar Syed Sulaiman.
Tetapai terdapat juga ubat-ubatan yang terdapat di pasaran di negara ini tidak halal yang mana ia bertentangan dengan sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan penyakit, dan telah menjadikan setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah, dan jangan berubat dengan ubatan yang haram," (riwayat Abu Daud)
Bagaimanapun kata Syed Azhar, dalam situasi ini, Islam membenarkan umatnya menggunakan bahan yang tidak halal dalam ubatan dengan dinisbahkan sebagai situasi darurat.
Pun begitu, sudah tiba masanya negara melakukan transformasi terhadap industri farmaseutikal yang sedia ada kepada farmaseutikal halal.
"Sampai bila negara harus bergantung dengan nisbah darurat ini? Adakah selama-lamanya tanpa mengambil apa-apa tindakan? Sedangkan kita mempunyai ramai tenaga pakar dan juga peralatan teknologi yang serba canggih.
"Oleh itu, para penyelidik dan pakar-pakar dalam bidang perubatan perlu bekerjasama dalam mengubah industri farmaseutikal negara kepada sumber halal dengan menubuhkan sebuah badan atau institut farmaseutikal halal di peringkat negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangan kertas kerja yang bertajukUbatan Halal Dalam Industri Farmaseutikal Hari Ini: Langkah Kepada Penghasilan dan Pemerkasaan dalam seminar Kemelut Pemakanan Halal anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), baru-baru ini.
Seminar yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan untuk membincangkan penggunaan elemen yang diragui terutamanya unsur babi dan alternatifnya daripada perspektif pemakanan dan juga meninjau isu kepenggunaan dan penguatkuasaan berkaitan industri halal.
Sebanyak lima kertas kerja dibentangkan oleh pakar dan ahli akademik yang berpengalaman dalam penyelidikan halal.
Syed Azhar berkata, institut farmaseutikal halal itu penting bagi mengumpulkan dan menerbitkan hasil kajian atau penyelesaian terhadap sesuatu penyelidikan yang dilakukan.
"Fenomena di negara ini, kita mempunyai ramai pakar dan penyelidik daripada industri dan juga akademik. Tetapi ramai yang hanya pakar menjalankan kajian masing-masing semata-mata untuk bersaing.
"Kita juga lebih suka memerhati dan meneliti sekadar atas kertas tanpa mengambil apa-apa tindakan.
"Dengan adanya institut farmaseutikal halal ini, diharap ia boleh menggabungkan segala kepakaran dalam semua bidang bagi menghasilkan ubatan yang halal," ujarya.
Sementara itu, Pengurus Besar, Pejabat Transformasi dan Kecemerlangan Halal, Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM), Roziatul Akmam Osman berkata, terdapat lima perkara perlu dipatuhi bagi mengharuskan penggunaan ubat-ubatan tidak halal dalam perspektif Islam.
"Lima perkara itu adalah, ubat tersebut mestilah tiada bahan suci lain yang boleh diguna sebagai ganti. Rawatan perlulah bersifat kritikal dan sangat diperlukan bagi kesejahteraan pesakit.
"Hanya doktor Muslim yang fasih mengenai ilmu dan hukum ini sahaja boleh memberikan rawatan menggunakan ubat-ubatan ini. Pesakit dan waris terdekat haruslah diberikan penerangan sejelasnya oleh doktor mengenai perkara ini.
"Ubat tersebut hanya boleh digunakan untuk jangkamasa tertentu sahaja mengikut rawatan yang disyorkan oleh doktor," katanya.

TERBUKA SELERA DI NYAMAN CAFE


SET asam pedas ikan pari, ikan kembung atau ikan tongkol ini antara hidangan istimewa di Nyaman Kafe.

UNIK, menarik dan lain daripada yang lain. Itulah keistimewaan Nyaman Kafe yang terletak betul-betul di tepi jambatan Sungai Malim di Pulau Gadong, tidak jauh dari Pantai Klebang, Melaka.
Pemiliknya, Harun Yusof yang berasal dari Pantai Puteri, Melaka mengilhamkan konsep tradisional dan rumah untuk kafenya itu.
Jika anda melewati Jalan Pulau Gadong dan terlihat Nyaman Kafe, pasti anda akan menyangka ia hanya sebuah rumah yang comel. Hakikatnya, rumah kecil yang dicat putih dan dihiasi atap rumbia itu adalah sebuah kafe yang menyediakan makanan yang enak.
Terletak berhadapan Pusat Pertanian Melaka di Pulau Gadong, restoran ini menyediakan hidangan seperti set asam pedas, gulai itik, sandwich berulam, sirap magik, jus mangga pudina, jus alpukat, jus nangka dan banyak lagi.
"Di kafe ini saya tidak menjual mi goreng, mihun goreng, tomyam ataupun nasi goreng. Saya inginkan kelainan dan ada di antara resipi saya ilhamkan daripada buku resipi saya, Uniknya Rasa Penambat Selera-Nyaman.
"Selain itu, saya juga menggunakan perkakas pinggan hidang jenis ayan. Ayan banyak digunakan sebelum merdeka sehingga 1980. Kebetulan saya dapat mencarinya di sebuah kedai Cina di Bandar Hilir.
"Ayan banyak memberi kenangan nostalgia kepada saya dan kepada ramai orang yang membesar di zaman selepas dan sebelum merdeka," terang Harun yang mendirikan rumah tangga dengan Cheriah Abdul Rahman ini dengan yakin.
Jika anda ke Nyaman Kafe, anda harus merasa masakan asam pedasnya yang istimewa. Set asam pedas ikan pari, ikan kembung atau ikan tongkol ini disaji dengan ulaman, ikan masin dan sambal belacan.
Menurut Harun lagi, sekarang ini menu yang paling popular adalah gulai itik dan daging goreng petai.
Restoran yang dihiasi dengan pokok sirih yang ditanamnya sendiri menjalar di dinding dan tiang, membuatkan suasana sekitarnya redup dan menarik.
Harga makanan yang dijual juga tidak mahal iaitu sekitar RM2 hingga RM20 bergantung pada pesanan.
Selain gulai itik, belut goreng istimewa juga antara menu yang harus anda cuba. Anda tidak perlu risau kerana belutnya tidak hanyir.
Stew daging ala Turki juga unik. Ia dimakan dengan roti dan sesuai bagi mereka yang menjaga diet.
"Di sini saya juga menyediakan jus buah binjai mengikut musimnya. Buah binjai biasanya kita buat sambal belacan, tapi di sini saya juskan. Kami juga ada cendol dan tauhu bakar.
"Satu lagi resipi istimewa saya adalah pisang emas yang dibakar dan dihidangkan dengan jus buah naga dan lemak santan,''katanya lagi.
Nyaman Kafe juga menitikberatkan konsep hijau dan tidak hairanlah jika Harun dan isteri rajin mengusahakan tanah di sekeliling dengan menanam pokok cili, bunga matahari, palma, kacang bendi dan pokok pisang selain membela ayam dan itik.

Saturday, May 5, 2012

GERAI KARIM SAJI MENU 1MALAYSIA



PONTIAN 2 Mei - Seorang pengusaha gerai makan di Lorong Bugis, Jalan Kukup di sini menawarkan Menu 1Malaysia yang pertama di bandar ini.
Karim Belohik, 67, yang mengusahakan gerai itu sejak 30 tahun lalu menawarkan harga RM2 bagi sarapan dan RM4 untuk makan tengah hari.
Hanya dengan harga RM2, pelanggan boleh menikmati roti canai, teh tarik, mi goreng atau nasi lemak, manakala hidangan makanan tengah hari seperti nasi ayam biasa dan air sirap atau nasi putih dengan lauk pilihan pengunjung.
Karim memberitahu, gerainya telah lama memperkenalkan hidangan itu sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkannya Menu 1Malaysia dan hingga kini masih mengekalkan harga berkenaan.
Dia mengakui gerainya menjadi tumpuan pelanggan yang terdiri daripada kakitangan awam dan swasta termasuk pekerja kilang dan orang ramai di kawasan berkenaan.
"Bagi menyahut saranan kerajaan supaya turut sama membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, kami sekeluarga bersetuju menjadikan gerai ini sebahagian daripada produk 1Malaysia," katanya semasa ditemui pada majlis pelancaran menu itu oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Md. Othman Yusof baru-baru ini.
Karim berkata, keputusan menawarkan Menu 1Malaysia adalah tepat memandangkan belum ada pengusaha yang berbuat demikian di bandar itu.
"Kami tidak memikirkan soal keuntungan sangat kerana kehadiran pelanggan yang ramai boleh membantu mengembalikan kos, selain memudahkan orang mendapatkan pelbagai jenis makanan tempatan," katanya.
Sementara itu, Md. Otman berharap langkah yang diambil oleh Karim dapat dicontohi oleh para peniaga lain bagi membantu kerajaan mengurangkan kos sara hidup di bandar.
"Walaupun harga bekalan bahan mentah seperti ikan dan ayam semakin naik, tapi keberanian Karim patut menjadi ikutan dan dicontohi untuk bersama-sama membantu mengurangkan bebanan rakyat.
"Menu 1Malaysia sekiranya diperluaskan lagi mampu menjadi satu produk pelancongan memandangkan daerah ini menjadi tumpuan khususnya warga Singapura pada hujung minggu dan cuti umum," katanya.

JOHOR TERUS JADI PENGELUAR MAKANAN UTAMA NEGARA


KOTA TINGGI 3 Mei - Johor akan terus menjadi pengeluar makanan utama negara dengan pembukaan 3,642 hektar kawasan pertanian Bio-Organik di Desaru dekat sini.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, pembukaan itu menjadikan jumlah keseluruhan kawasan pertanian organik di negeri ini seluas 7,284 hektar termasuk 2,832 hektar di Ayer Hitam, Batu Pahat dan 809.3 hektar di beberapa kawasan termasuk Mersing, Kota Tinggi dan Muar.
Beliau berkata, pembukaan kawasan baru itu akan meningkatkan pengeluaran makanan berasaskan sayuran, buah-buahan dan ternakan ayam menjadi 40 peratus berbanding 30 sebelum ini.
"Bio-Desaru merupakan kawasan pertanian organik terbesar di Malaysia dan bakal menghasilkan produk halal untuk kegunaan semua.
"Tiada unsur tidak halal di sini. Kalau merujuk kepada sumber makanan itu, semuanya halal dan kita boleh dapatkan pengesahan halal untuk memastikannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Penternakan Udang, Pusat Penternakan Burung Walit dan Bio-Security Check Point di Lembah Makanan Bio-Desaru, Tanjung Sedili dekat sini hari ini.
Pembukaan Bio-Desaru dijangka menerima 23 pelabur dengan jumlah pelaburan bernilai RM1.3 bilion di samping mewujudkan lebih 7,600 peluang pekerjaan menjelang 2020.
Pembangunan Bio-Desaru juga dijangka menjana kira-kira RM2 bilion pengeluaran ladang secara kolektif dengan anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM3.13 bilion.
Sementara itu, Pengurus Besar Bio-Desaru, Asman Shah Abdul Rahman memberitahu, pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk membuka sebuah makmal menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi memastikan daging ternakan itu benar-benar halal.
Pihaknya melabur sebanyak RM30 juta untuk pembukaan makmal tersebut dan ia bertujuan mendapatkan pensijilan halal.

PIZZA HUT TAMBAH 20 MENU BARU

PETALING JAYA 2 Mei - QSR Brands Bhd. (QSR Brands) melalui rangkaian restoran makanan segeranya, Pizza Hut menawarkan 20 menu baru kepada para pelanggan, mulai hari ini.

Menu-menu baharu itu meliputi makanan barat, pelbagai jenis sandwich dan pelbagai jenis sajian nasi.
Pengarah Urusan QSR Brands, Jamaludin Md. Ali berkata, menu-menu baharu itu memberi pilihan yang lebih banyak kepada para pelanggan.
Katanya, ia merupakan tambahan menu pertama kali dilakukan di luar menu tradisi Pizza Hut.
"Tambahan 20 menu baru ini merupakan menu kekal di Pizza Hut menjadikannya 62 menu keseluruhannya yang ditawarkan di restoran ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran 20 menu baru Pizza Hut di sini hari ini.
Pizza Hut kini mempunyai 253 cawangan termasuk cawangan penghantaran piza di seluruh negara.
Hidangan ala barat terdiri daripada Lime Pepper Chicken Chop, Italian Herb Chicken Chop dan Chicken Lamb Sausages, manakala menu sandwich pula terdiri daripada Tuna Focaccia Sandwich dan Pepperoni Focaccia Sandwich.
Hidangan nasi pula terdiri daripada Prawn Garlic Rice, Grilled Chicken Baked Rice dan Cheese Baked Rice.
Turut ditawarkan pasta terdiri daripada Roasted Sesame Tempura King Prawn Spaghetti Pasta.
Tambah Jamaludin, walaupun memperkenalkan 20 menu baru, QSR Brands tetap menawarkan harga makanan yang berpatutan kepada pelanggan.
Katanya, QSR Brands mahu harga yang ditawarkan di Pizza Hut kekal kompetitif.
Ditanya mengenai pembukaan restoran Pizza Hut yang baharu, Jamaludin menambah, sebanyak lima atau enam buah restoran (mempunyai ruang makan) membabitkan pelaburan RM6 juta tahun ini.
Katanya, QSR Brands turut melabur sebanyak RM10 juta hingga RM12 juta untuk menaiktaraf 30 restoran Pizza Hut sedia ada.

Tuesday, May 1, 2012

MARINA TOM YAM & SEAFOOD TANJUNG LUMPUR, KUANTAN




Kunjungan ke Kuantan dianggap tidak lengkap sekiranya tidak mengunjungi Tanjung Lumpur.Sebaik sahaja memandu menuruni jambatan lengkung menghala ke Pekan, deretan restoran makanan laut di kiri kanan jalan cukup menggamit perhatian.Puluhan restoran yang tumbuh bak cendawan selepas hujan ternyata menjadikan Tanjung Lumpur syurga makanan laut Kuantan.Restoran Marina Tom Yam & Seafood menjadi pilihan setelah disarankan oleh seorang teman, Encik Razak AIA.Ternyata menu pilihan Ketam Telur Masin dan Lala masak cili tidak mengecewakan.