BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, June 15, 2012

CHEF NOODLE HOUSE, SRI MANJUNG PERAK

Di Manjung Perak, teman disaran oleh seorang rakan untuk ke CHEF NOODLE HOUSE yang terletak di jalan Sri Manjung-Kampung Koh.Teman diberitahu destinasi ini dahulunya dihuni RAMLI FOOD COURT yang kini berpindah ke tempat lain.Setelah mencuba..OK, makananpun cepat, sedap, menunya pelbagai, harganya tak jadi isu, dekorasinya sejuk mata, tempatnya senang cari, kereta senang parking !






GERAI MAKAN AZIZAH, LEBAN CONDONG

Terima saranan YB Mohd. Kopli Yunus untuk singgah di R&R Leban Condong sewaktu balik dari Gambang tempohari memang tidak merugikan.Melayan liku-liku jalan pesisir pantai lepas memandu 2 jam dari Kuantan ibarat orang mengantuk disorong bantal, bila diajak berhenti makan.
"Udang Galah sini sedap..segar..harga OK".Demikian dakwa beliau, meyakinkan teman setelah berkali-kali katanya singgah di sini setiap kali berulang Kuantan-Pontian.
Leban Condong..nama yang agak janggal, menerima tempias Rompin yang terkenal dengan Udang Galah.Terletak di pertengahan jalan pesisir pantai Rompin-Pekan, Pahang.Sejam di Gerai Makan Azizah, menyaksikan destinasi ini tidak surut pengunjung, antaranya "Geng Mat-Mat Motor Singapore" yang khabarnya cukup "mencintai" route tepi pantai ini untuk aktiviti "convoy".
Replika udang galah di R&R Leban Condong
Gerai Makan Azizah.. destinasi pilihan penggemar udang galah segar
Udang Galah segar siap siang disimpan sejuk beku berkilo-kilo untuk stok.
Siap sedia..udang galah masak sambal.
Menggamit selera...Udang Galah masak lemak sisipan rebung
Meruntun rasa...Udang Galah bakar ala kampung.
Udang Galah Sweet & Sour

Thursday, June 14, 2012

KILANG TERBAKAR DI PEKAN NANAS: POLIS SAHKAN SYABU DAN ERAMIN


JOHOR BAHRU - Polis Johor mengesahkan dadah yang ditemui ketika kebakaran melibatkan sebuah kilang di Pekan Nenas, Pontian, 11 Jun lalu, merupakan jenis syabu dan pil eramin dipercayai bernilai kira-kira RM18 juta.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sahriff berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa suspek termasuk seorang warga asing yang terbabit dalam kes berkenaan dan percaya akan membuat tangkapan dalam masa terdekat.
“Polis sedang giat menjejaki suspek-suspek. Kita juga menyeru pekerja kilang terbabit untuk tampil memberi maklumat bagi membantu polis menjalankan siasatan berhubung kejadian itu,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.
Pada majlis itu, Mohd Mokhtar turut menyempurnakan majlis pemakaian pangkat Asisten Superintendan kepada 29 anggota polis berpangkat Inspektor dan menyampaikan sijil penghargaan.
Menurutnya, sebahagian daripada dadah yang ditemui sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, manakala butiran siasatan berhubung kebakaran serta kerja pembersihan kilang pula sedang dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama Jabatan Kimia.

Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata, pihaknya kini sedang menjejaki suspek berdasarkan beberapa petunjuk berhubung kejadian tembak di sebuah stesen minyak sekitar daerah Segamat, kelmarin.
“Kita masih menyiasat motif sebenar kejadian tembakan itu kerana tiada barang yang diambil dari mangsa dalam kejadian itu. Kita juga  masih menyiasat latar belakang mangsa dan kini pihak polis sedang giat mengesan penjenayah yang terlibat," katanya.
Terdahulu, seorang warga emas ditemui mati dengan kesan enam tembakan ketika sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Jalan Genuang, Segamat, kira-kira jam 8 pagi, kelmarin.

JO'HOE TASTE


     JO'HOE Taste kini boleh ditemui di lima lokasi berbeza setiap hari di sekitar Lembah Klang.

BARANGKALI ramai dalam kalangan kita yang sudah lama tidak menikmati sajian terkenal dari selatan tanah air seperti nasi ambeng dan nasi beriani.Lebih-lebih lagi di Kuala Lumpur, tidak banyak restoran atau pengusaha makanan yang menyediakan masakan Johor asli sebagai menu utama mereka.Bagaimanapun warga kota kini berpeluang merasai sendiri keenakan kedua-dua hidangan pemikat selera yang kaya dengan aroma dan rempah ratus itu dengan berkunjung ke gerai bergerak Jo’hoe Taste.Berkonsepkan mudah, cepat dan murah, gerai bergerak Jo’hoe Taste hadir di lima lokasi berbeza setiap hari di sekitar Kuala Lumpur bermula dari pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang khusus untuk memenuhi permintaan penggemar-penggemarnya.
“Gerai kami dibuka pada hari Isnin di Menara TM, Jalan Pantai Baru, Selasa di Kompleks Bangunan Kerajaan Jalan Duta, hari Rabu di pejabat Utusan Melayu (M) Bhd., Jalan Chan Sow Lin, hari Khamis di Bukit Aman dan hari Jumaat di Masjid Al Muhsini, Taman Desa,” kata Pengusaha Jo’hoe Taste, Ahmed Shahel Adil, 32.Memulakan operasi kira-kira dua bulan lalu, Ahmed Shahel mengakui cara perniagaan seperti itu mudah dan cepat, selain menjimatkan perbelanjaan pelanggan-pelanggannya.Menurutnya, dia cuba menjual makanan pada harga yang berpatutan supaya tidak menyusahkan orang ramai yang kini dibebani dengan peningkatan kos hidup yang tinggi.
“Kami tidak berdepan dengan kos yang tinggi kerana tidak perlu menyewa bangunan, membayar bil air dan elektrik, pekerja dan kos-kos lain yang berkaitan.“Di samping menjual secara terbuka kepada orang ramai kami juga menawarkan penghantaran kepada pelanggan melalui tempahan yang dibuat,” katanya yang menggunakan kenderaan Proton Juara untuk mengangkut pelbagai peralatan perniagaannya.Tambah Ahmed Shahel, konsep itu membolehkannya mengembangkan perniagaan Jo’hoe Taste di samping mempromosikan kedua-dua hidangan yang berasal dan popular di negeri Johor itu kepada masyarakat.Anak jati Johor Bahru itu memberitahu, penyediaan hidangan itu merupakan resipi turun temurun keluarga isterinya, Hayati Kasiman, 36, yang turut aktif dalam bidang perniagaan makanan di sekitar Johor.
Katanya, keistimewaan nasi ambeng terletak kepada bahan-bahannya yang terdiri daripada nasi dengan ayam masak kicap, sambal goreng dan serunding kelapa yang sering dihidangkan ketika majlis keramaian dimakan beramai-ramai khususnya dalam masyarakat Jawa.“Sebagai orang Johor, kami berdua mahu pengunjung berkongsi masakan di sini sama seperti yang dihidangkan di rumah.“Kami juga mahu mereka tahu betapa enaknya masakan Johor asli terutama apabila dimasak dengan ramuan serta rempah asli yang dibawa khas dari Johor.Ujarnya, bagi mengukuhkan jenama Jo’hoe Taste, dia bercadang untuk membuka sebuah gerai di sebuah medan selera di Jalan Klang Lama yang bakal menghidangkan aneka makanan seperti mi bandung, lontong, laksa johor dan sebagainya dalam masa terdekat ini.“Kami juga merancang untuk menambah sebuah lagi gerai bergerak pada masa hadapan. Ini sekali gus memberi pilihan kepada warga kota untuk menikmati kepelbagaian makanan Johor asli,” katanya.


IKAN PUYU: SISI MISTIK KABURI MANFAAT




SAAT Siti Patimah Mohammad masih kecil, beliau sering mendengar kisah yang disampaikan bapanya tentang mitos ikan puyu. Antara cerita yang masih segar dalam ingatannya ialah fungsi ikan itu ketika wanita hendak bersalin."Orang dulu-dulu bungkus ikan puyu yang masih hidup dalam kain. Kemudian, mereka gantung pada pintu rumah waktu perempuan melahirkan anak. Ikan tersebut dibiarkan di situ sehingga ia kering."Saya kurang jelas kegunaan ikan tersebut tapi apa yang diberitahu ia dapat mengelakkan benda jahat daripada mengganggu proses kelahiran."Biasalah, zaman dahulu orang tua banyak pantang larang dan mungkin ia kepercayaan mereka bagi mengekang gangguan makhluk halus. Sejauh mana kebenarannya saya sendiri tidak pasti," bersahaja nada wanita berusia 58 tahun itu ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor.
Sambil memperbetulkan umpan berupa cengkerik pada mata kailnya, Patimah tidak henti-henti berkongsi kisah menarik tentang ikan yang dilabelkan 'ikan longkang' oleh kebanyakan orang itu. Menurutnya, beliau sendiri kurang mengambil berat sisi mistik puyu yang digembar-gembur masyarakat. Baginya, adalah lebih baik sekiranya ciri-ciri positif hidupan air itu yang diperbesarkan.Tambah Patimah, tidak ramai orang di negara ini memilih puyu sebagai lauk, malah ada tanggapan yang menyifatkan pilihan itu sebagai pelik. Namun bagi beliau, puyu yang dimasak gulai lemak kuning mampu menambat selera siapa sahaja yang tidak pernah merasai keenakan ikan air tawar itu."Saya sudah mengenali ikan puyu ini sejak kecil lagi. Mungkin kerana saya dilahirkan, dibesarkan dan menetap di sini membuatkan ikan tersebut tidak asing dalam menu hidangan keluarga saya."Tambahan pula, kawasan kami dikelilingi sawah padi dan tali air iaitu lubuk paling sesuai buat puyu membiak. Sejak dahulu, saya gemar menangkap puyu tidak kira di sawah ataupun di parit kecil."Walaupun sudah bergelar warga emas, saya masih kerap memancing puyu di longkang hadapan rumah saya ini. Selalunya saya memancing untuk tempoh beberapa jam bermula dari pukul 2 petang hingga 4 petang."Jika cuaca panas, saya hanya turun selepas pukul 5 petang," tutur Patimah yang mendedahkan waktu tengah hari merupakan jangka masa terbaik menangkap puyu kerana ia tempoh puyu memburu umpan.Hasil tangkapan beliau kemudiannya dipecahkan mengikut saiz ikan tersebut. Puyu bersaiz besar akan dimasak manakala yang kecil dibela di dalam akuarium atau telaga kecil di belakang rumahnya.
Elak pukau


KAWASAN bendang dan tali air menjadi tempat permainan ikan puyu.


Suami Patimah, Buani Roski, 63, juga penggemar ikan air tawar terutama puyu. Pesara syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) itu menyifatkan puyu sebagai ikan tahan lasak yang tidak memerlukan penjagaan rapi. Rasa lemak yang tinggi daripada ikan itu cukup menyelerakan tekaknya.Berbalik pada kepercayaan misteri yang dikaitkan dengan ikan itu, Buani hanya tertawa kecil saat dijentik persoalan sedemikian. Katanya: "Ikan puyu dan perkara mistik tidak dapat dipisahkan. Ia umpama cerita turun-temurun dalam masyarakat tempatan tidak mengira bangsa."Keupayaan ikan puyu sebagai pelindung rumah ialah versi paling kerap didengar. Ramai membela puyu bagi mengelakkan rumah mereka dimasuki pencuri yang menggunakan ilmu pukau," ujarnya.Mereka yang terikut-ikut akan kepercayaan itu bersandar kepada teori bahawa pukau tidak akan berkesan jika terdapat benda hidup di dalam rumah yang masih berjaga."Puyu dikatakan sejenis ikan yang tidak tidur malam. Sebab itulah, kehadirannya di dalam rumah dipercayai boleh membatalkan usaha penjahat yang ingin memukau penghuni sesebuah rumah," jelas Buani mengenai dakwaan tersebut, namun dia lebih percaya pada kuasa dan ketentuan Allah SWT.Lebih menguji akal logik, ikan yang mampu hidup melebihi 24 jam di atas daratan itu dikatakan sebagai alat mainan yang digemari toyol dan orang bunian!Dalam penceritaan lain, ciri fizikal ikan yang mampu mencecah usia lima tahun itu juga dipercayai digeruni makhluk halus termasuk syaitan dan jin. Duri tajam yang terdapat pada puyu dikatakan menyekat kebal makhluk tersebut untuk masuk ke dalam rumah manusia.


MASAKAN ikan puyu boleh dipelbagaikan mengikut selera.


Dalam dunia perdukunan, puyu turut menjadi medium memindahkan objek santau yang dihantar kepada seseorang. Santau yang diperoleh mangsa dipindahkan ke dalam badan puyu. Begitupun, ada juga yang menjadikannya sebagai objek untuk menyantau orang lain.


Puyu sawah
Seperti yang diketahui umum, kawasan bendang dan tali air menjadi tempat permainan ikan puyu. Selepas tempoh menuai, air menjadi semakin cetek dan ia merupakan waktu paling seronok bagi orang kampung menangkap puyu yang terperangkap di petak-petak sawah.Bagi Mohd. Yatim Basri, 59, dua petak sawah miliknya di Kampung Sungai Haji Dorani menjadi kawasan ideal buat ikan-ikan air tawar ditangkap. Tiada kolam khas dibuat untuk pemeliharaan ikan tersebut malah beliau menyerahkan sahaja proses pembiakan spesies itu kepada alam semula jadi."Budak-budak kecil paling suka menangkap ikan puyu. Masa air cetek, ikan puyu bertaburan dan mudah ditangkap, berbeza pada waktu air dalam."Saya masih ingat ketika tahun 1970-an, ikan puyu yang ditangkap dijual pada harga 50 sen sekati atau kini 600 gram (g). Sekarang pula harganya telah melonjak sehingga mencecah RM12 sekilogram."Memandangkan rumah saya dikelilingi sawah, aktiviti menangkap ikan itu bolehlah dikatakan kerap. Anak-anak dan cucu-cucu juga tidak terkecuali memancing puyu. Ia enak dimasak sambal atau digoreng," ujar Yatim yang memancing menggunakan batang buluh kecil buatan sendiri.

PUSAT IKS PONTIAN BAKAL SIAP TAHUN INI

PONTIAN 11 Jun - Pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di daerah ini berpeluang menggunakan kemudahan Pusat Pengumpulan IKS dengan pembinaan sebuah kompleks bernilai RM425,000 yang dijangka siap tahun ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Ahmad Maslan berkata, Pontian juga tidak terkecuali mempunyai ramai pengusaha IKS terutama dalam pengeluaran makanan ringan, kuih-muih tradisional Melayu dan produk lain.
Menurut beliau, pada asalnya peruntukan daripada JPM diberikan bagi membina Dataran Parlimen Pontian, namun ditukar bagi membantu para pengusaha IKS yang lebih memerlukan sebuah pusat pengumpulan. Ia juga berperanan merapatkan lagi jalinan perniagaan dalam kalangan pengusaha IKS yang kini banyak bergerak sendirian memasarkan produk mereka.
"Pusat IKS ini juga boleh dijadikan sebagai produk pelancongan memandangkan kedudukannya di laluan utama Pontian ke Batu Pahat serta ke Lebuh Raya Utara Selatan," katanya ketika merasmikan Pusat IKS Parlimen Pontian di Jalan Parit Ibrahim, Sungai Pinggan, di sini baru-baru ini.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, pihaknya gembira kerana hasrat untuk melihat terbinanya sebuah pusat IKS tercapai setelah tertangguh beberapa lama berikutan masalah kewangan.
Menurut beliau, sebuah jawatankuasa atau urus setia akan ditubuhkan bagi menyelaras perjalanan pusat IKS yang juga satu bentuk pelaburan besar kerajaan demi melihat pengusaha IKS terus berdaya saing bagi menjana ekonomi negara.
"Pusat IKS ini juga boleh berperanan sebagai pusat sehenti kepada para pengusaha dan pembeli termasuk dalam kalangan mereka yang ingin membelinya dalam bentuk skala lebih besar bagi tujuan eksport dan sebagainya," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap para pengusaha dapat mengambil peluang disediakan dengan sebaik mungkin sejajar usaha mentransformasikan ekonomi masyarakat di luar bandar.

NUSAJAYA MENUJU BANDARAYA METROPOLIS


PUSAT Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor yang baru, mula beroperasi pada tahun 2009 di Kota Iskandar Nusajaya, Johor.

NUSAJAYA 11 Jun - Sebelum ini Nusajaya dengan keluasan 170 kilometer persegi hanyalah kawasan hutan dan ladang kelapa sawit dan getah.
Namun hampir sedekad kebelakangan ini, kawasan yang terletak di bawah Parlimen Gelang Patah, Johor itu berubah wajah secara drastik hasil perancangan bernas kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila memindahkan pusat pentadbiran negeri ke kawasan berkenaan.
Perubahan Nusajaya yang terletak di zon utama B Iskandar Malaysia itu sememangnya sukar untuk digambarkan dengan kata-kata, malah penulis yang berasal dari bandar raya Johor Bahru sentiasa kagum melihat perubahan kawasan itu.
Pertama kali menjejakkan kaki ke Nusajaya setahun lalu, mungkin tidak banyak yang mahu diceritakan. Namun, sejak dari hari itu, Nusajaya yang diibarat seperti 'permata' Iskandar Malaysia terus menunjukkan kilauannya.
Masakan tidak, pembangunan di sini nyata hebat termasuk dengan kawasan perumahan, pusat pembelajaran, perubatan yang bertaraf antarabangsa, pelabuhan, hotel lima bintang dan lokasi tumpuan pelancong.
Nusajaya dengan kemudahan jaringan jalan raya yang baik turut menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri di Kota Iskandar; pelabuhan antarabangsa, Port Tanjung Pelepas (PTP) dan Kelompok Logistik dan Industri Wilayah Selatan (SILC).
Selain itu, di sini juga antara lain terletaknya Legoland Malaysia, taman tema pertama seumpamanya di Asia; studio bertaraf dunia, Pinewood Iskandar Malaysia Studios; Universiti Newcastle, Malborough College Malaysia dan Hospital Columbia Asia.
Hakikatnya, tiada siapa menyangka Nusajaya sebagai kawasan baru mampu berubah dengan begitu pesat dalam masa yang singkat dan ia hasil usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mahu menjadikan ia sebagai bandar raya metropolis yang kondusif untuk didiami dan dikenali.
Bermula dengan idea bernas itu, Nusajaya yang mempunyai kemudahan seperti Lebuh raya Linkedua terus 'dilimpahi' pelbagai jenis pembangunan termasuk pelaburan dari dalam dan luar negara menerusi Iskandar Malaysia pada masa ini dan akan datang.
Seorang pegawai bank yang menetap di Nusa Idaman, Muzaffar Musa, 35, mengakui mempunyai kenangan manis kerana mereka sekeluarga antara penghuni terawal menetap di situ, sekali gus mengalami sendiri perubahan di kawasan tersebut.
Biarpun beberapa bulan mereka tinggal 'bersendirian' di situ pada 2006, ia langsung tidak mendatangkan perasaan takut kerana yakin dengan kawalan keselamatan di situ.
"Dalam keadaan sekarang, 100 peratus rumah di kawasan ini sudah berpenghuni. Rata-rata masyarakat tempatan yang bekerja di sekitar Nusajaya dan warga asing terutamanya rakyat Singapura juga memilih menetap di sini.
"Ketika beli rumah, harganya di kategori sebagai mampu milik untuk kami pasangan baru berkahwin dan ternyata pelaburan pembelian aset di sini tidak mengecewakan kerana harganya meningkat setiap tahun," katanya yang kagum dengan kemajuan Nusajaya dan berharap ia bukan hanya menjadi tempat tinggal yang paling kondusif malah sebagai destinasi pilihan pengunjung tempatan dan asing.
Mohd. Shah Mohd. Din, 55, pula yang merupakan penduduk asal dan menetap di Gelang Patah berbangga dengan pembangunan dan kemajuan yang membawa transformasi ke Nusajaya.
Menurutnya, masih bermain-main lagi di dalam ingatan bagaimana kawasan berkenaan yang dahulu hanya dipenuhi hutan dan paya bakau bertukar wajah menjadi sebuah bandar 'idaman' bagi penduduk tempatan dan warga asing.
Katanya, jika dahulu kawasan Nusajaya tidak 'semeriah' seperti sekarang yang kini mempunyai pelbagai kemudahan antaranya pusat beli-belah Jusco di Bukit Indah, Tesco, Giant dan Legoland.
"Saya gembira dengan usaha yang dilakukan kerajaan kerana 'tempias' pembangunan pesat di Nusajaya turut dirasai penduduk sekitar. Saya bersyukur kerana kerajaan BN berjaya mengubah wajah kawasan ini," katanya.
Seorang kakitangan awam, Annaz Md. Nor, 27, yang menetap di Taman Desa Skudai yang juga terletak di bawah Parlimen Gelang Patah berkata, biarpun baru menetap di situ tiga tahun lalu, dia sering berkunjung ke Nusajaya.
"Tempat ini sememangnya cepat membangun, akses jalan raya juga baik menjadikan perjalanan ke Nusajaya lebih cepat. Macam-macam ada di Nusajaya, malah pada masa akan datang banyak lagi projek yang telah dirancang akan mula dilaksanakan," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Datuk Aziz Sapianberkata, pada mulanya idea untuk membangunkan Nusajaya tidak mendapat sambutan baik daripada penduduk setempat, namun selepas diberi penerangan ia mengikut seperti dirancang.
Beliau turut mengingatkan penduduk dengan pepatah Melayu 'bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian' bahawa semua yang dilakukan oleh kerajaan di Nusajaya adalah untuk perancangan jangka panjang demi kepentingan rakyat dan negara.