BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, July 11, 2012

PERMOHONAN SIJIL HALAL MENINGKAT


PEGAWAI Jabatan Agama Islam Johor (dua dari kanan) memeriksa premis di sekitar Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU 7 Julai - Susulan penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan bermula 1 Julai lalu, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) menerima lebih satu kali ganda permohonan bagi mendapatkan sijil halal oleh premis makanan di seluruh Johor berbanding sebelum ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Unit Halal Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Yosree Ikhsan berkata, dari Januari hingga awal bulan ini, kira-kira 930 permohonan diterima berbanding 400 permohonan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.
"Daripada jumlah permohonan yang diterima, sebanyak 500 premis telah diluluskan dan mendapat sijil halal.
"Ia adalah peningkatan ketara berbanding sebelum ini dan kami menjangkakan ia akan mencapai sehingga 1,500 (permohonan) menjelang hujung tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan serbuan ke premis makanan sekitar daerah ini bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Johor bersama JAIJ, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Jabatan Kesihatan Johor, di sini semalam.
Dalam serbuan yang pertama kali diadakan selepas penguatkuasaan akta tersebut, sebanyak enam premis yang tidak mempunyai sijil halal diberi amaran setelah didapati menggunakan ayat al-Quran bagi mengelirukan pelanggan beragama Islam.
Pengarah KPDNKK Johor, Ayub Abd. Rahman berkata, kesemua premis diarah menurunkan ayat al-Quran yang dipamer di kedai mereka dalam tempoh tujuh hari atau dikenakan tindakan tegas jika gagal berbuat demikian.
"Pihak kami akan membuat pemantauan semula selepas seminggu dan sekiranya gagal mematuhi arahan, mereka boleh didenda sehingga RM100,000 bagi individu dan RM250,000 bagi syarikat.
"Manakala premis yang telah mempunyai sijil halal namun gagal mematuhi syarat bagi penyediaan makanan halal boleh dikenakan denda RM1 juta bagi individu dan RM5 Juta bagi syarikat," katanya.
Dalam pada itu, katanya, tindakan penguatkuasaan yang dikenakan adalah lebih ketat berbanding sebelum ini yang hanya dikenakan sehingga RM100,000 kepada individu dan RM250,000 kepada syarikat.
Ayub berkata, serbuan seumpama itu akan diadakan berterusan dengan kerjasama jabatan berkaitan untuk memberi pendedahan kepada pemilik premis makanan agar mematuhi garis panduan ditetapkan.
"Kami berharap tindakan penguatkuasaan yang lebih ketat ini akan dapat meningkatkan kesedaran pemilik premis agar mematuhi garis panduan bagi menyediakan makanan halal kepada pengguna," katanya.

Saturday, July 7, 2012

SIMPANG DI PONTIAN KELIRUKAN PENGGUNA


Simpang kelirukan pengguna
Salah satu simpang di Pusat Perdagangan Pontian yang bersimpang siur dan tiada papan tanda arah.







PONTIAN - Kewujudan tiga simpang di Pusat Perdagangan Pontian di sini mengelirukan pengguna jalan raya terutamanya ketika hendak masuk dan keluar simpang di situ.
Hal ini kerana simpang terbabit tidak mempunyai papan tanda arah sehingga boleh mengundang bahaya kepada pemandu kenderaan yang melalui jalan terbabit.
Tinjauan Sinar Harian mendapati terdapat pengguna yang turut membuat pusingan 'U' meskipun jalan di situ agak sempit.
Pengguna, Ismail Ahmad,58, berkata, keadaan jalan di simpang tersebut menjadi  sesak terutama pada waktu kemuncak iaitu tengah hari dan petang.
Menurutnya, ini kerana kedudukan simpang terlalu dekat antara satu sama lain dan terletak berhampiran dengan institusi kewangan, pasar raya dan kedai. “Setiap simpang terletak hanya 100 meter yang menyebabkan pengguna sukar untuk membezakannya.
“Lebih parah lagi, tiada papan tanda arah yang diletakkan untuk pengguna jalan raya membelok ke kiri atau ke kanan,” katanya.
Dia turut mempertikaikan status simpang berkenaan yang turut dijadikan tempat membuat pusingan 'U'.
“Saya hairan dengan kedudukan simpang yang terlalu dekat di tambah dengan pengguna jalan raya yang membuat pusingan 'U'.
“Keadaan ini amat membahayakan pengguna jalan raya yang lain kerana boleh mengakibatkan kemalangan,” katanya.
Bagi Salizawati Omar, 26, pula, dia hampir mengalami kemalangan di situ ketika hendak keluar makan pada waktu tengah hari.
Dia memberitahu kemalangan kecil juga sering berlaku berikutan ketiadaan papan tanda arah masuk dan keluar.
“Diharapkan pihak berkuasa yang berkaitan dapat mengambil tindakan segera dengan memasang papan tanda arah di setiap simpang bagi memudahkan pengguna jalan raya dan seterusnya mengelak dari berlaku kejadian  kemalangan,” katanya.

LALUAN PEJALAN KAKI TAMAN NEGARA TG. PIAI DITUTUP


Laluan pejalan kaki Taman Negara Tg Piai ditutup
Sebahagian laluan pejalan kaki (sebelah kanan) Taman Negara Tanjung Piai mengalami kerosakan akibat ombak besar.






















SENAI - Laluan pejalan kaki 'boardwalk' pesisir pantai di Taman Negara Tanjung Piai ditutup kepada pengguna kerana mengalami kerosakan akibat dilanda ombak besar, malam tadi.
Pengarah Taman Negara Johor, Suhairi  Hashim berkata, bagaimanapun operasi taman itu tidak terjejas dan dibuka kepada umum seperti biasa.

"Kita dapat laporan malam tadi air pasang besar dan arus deras berlaku di kawasan terbabit menyebabkan kayu balak hanyut melanggar 'boardwalk' ini, menyebabkan ia tidak berada di landasan yang sepatutnya.
"Kerja-kerja membaiki membabitkan 100 meter laluan yang rosak sedang giat dilakukan yang dijangka siap dalam tempoh seminggu.
"Orang ramai masih boleh berkunjung ke Taman Negara Tanjung Piai dengan melalui laluan alternatif, melalui laluan bakau," katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Suhairi berkata, laluan pejalan kaki sejauh lebih 500 meter di pesisir pantai itu dibuka kepada umum sejak awal Jun lalu.
Taman Negara Johor Tanjung Piai popular sebagai lokasi pelancongan kerana lokasinya yang terletak paling selatan di benua Asia.

ATMOSFERA ANGKASA LEPAS DALAM RESTORAN






SESUAI dengan namanya, restoran berputar yang berada pada ketinggian 282 meter di puncak Menara Kuala Lumpur, Atmosphere 360 menampilkan 99 peratus pembaharuan selepas Asian Kitchen (M) Sdn. Bhd. mengambil alih pengurusan restoran itu sejak pertengahan tahun lalu.Diberi jenama baharu iaitu Atmosphere 360, makan malam di puncak menara bersaksikan pemandangan ibu kota kosmopolitan Kuala Lumpur ternyata berbeza sama sekali berbanding menikmati sajian di restoran lain.Dengan konsep dan dekorasi lebih futuristik ia pasti mempesona setiap mata yang memandang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Asian Kitchen (M) Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Sabri Mohd. Nadzir, pembaharuan Atmosphere 360 merangkumi rekaan dalaman, pemilihan tema, pencahayaan dan barisan chef yang mencipta magis di Atmosphere 360."Kontrak pengurusan restoran ini diterima Ogos tahun lalu dan proses pengubahsuaian dan renovasi dilakukan hanya dalam masa enam minggu."Boleh dikatakan, semua yang bakal anda lihat dalam Atmosphere 360 adalah 99 peratus baharu," katanya semasa sesi temu bual di Atmosphere 360 baru-baru ini.
Jelas Mohd. Sabri, masih ramai yang tidak tahu bahawa restoran berputar di Menara Kuala Lumpur yang dahulunya dikenali sebagai Restoran Berputar Seri Angkasa sudah bertukar pengurusan dan mengalami pembaharuan sepenuhnya.Atmosphere 360 kini mempunyai enam orang chef yang mempunyai kepakaran masakan berbeza dan mempunyai dapur masing-masing seperti pakar dalam masakan tradisional Melayu, Asia Barat, pastri dan kek selain masakan Jepun dan Cina.
Elemen baharu
"Gabungan elemen-elemen baharu dalam perkhidmatan Atmosphere 360 menjadi satu kombinasi yang memenuhi tema restoran ini iaitu Feel Good, Taste GoodSee You at The Top," katanya.

MOHD. ZAIN memperkenalkan hidangan signatur Atmosphere 360 seperti ekor lembu asam pedas dan patin masak tempoyak.


Beliau mahu setiap pelanggan yang berkunjung ke Atmosphere 360 merasai pengalaman menarik dan indah untuk dikongsikan dengan orang lain."Restoran ini dicipta mengambil inspirasi sebuah kapal angkasa. Ia lengkap dengan pencahayaan dan pemandangan yang indah dan gentian optik lampu siling seperti gugusan bintang.
"Di dinding restoran pula, terdapat banyak gambar berkaitan angkasa lepas yang dibeli daripada pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dan mendapat rujukan daripada ahli astronomi sebelum dipamerkan," katanya.Mungkin ramai yang takut berkunjung ke Atmosphere 360 kerana menganggap harganya mahal, namun Mohd. Sabri memberitahu, pengunjung boleh datang mengikut masa-masa tertentu mengikut pakej harga hidangan yang ditawarkan.
Menu istimewa
Selain menyediakan hidangan makan malam secara bufet, pada masa Atmosphere 360 menawarkan bufet makan tengah hari, minum tengah hari, minum petang dan minum malam, koktel serta ala carte."Hidangan bufet untuk makan tengah hari adalah RM88 bagi dewasa dan RM68 bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, manakala minum tengah hari berharga RM58 untuk dewasa dan RM48 bagi kanak-kanak.


MENJAMU selera di ketinggian 282 meter di puncak Menara Kuala Lumpur satu pengalaman menarik.


"Harga untuk hidangan minum petang pula adalah RM68 bagi dewasa dan RM48 bagi kanak-kanak, manakala makan malam bufet adalah RM198 bagi dewasa dan RM138 untuk kanak-kanak," katanya.Pengunjung juga berpeluang menikmati hidangan istimewa serawa durian dan pankek durian yang disajikan secara ala carte.
"Hidangan ini amat laris dan sentiasa habis kerana rakyat Malaysia sememangnya menggemari raja buah itu," katanya.Dalam pada itu, Mohd. Sabri memberitahu, Atmosphere 360 turut mengadakan promosi makan malam lewat dan minum malam bertemakan hidangan Asia Barat yang bermula pukul 11 malam hingga 2 pagi.
"Promosi ini diadakan bermula bulan Jun lalu hingga Ogos 2012 kerana pada masa sekarang ramai pelancong dari Asia Barat melancong ke Kuala Lumpur dan datang ke Menara Kuala Lumpur."Mereka mempunyai budaya makan malam lewat, justeru kami mewujudkan promosi ini bagi mengalu-alukan kedatangan mereka dan pengunjung yang gemar bersantai pada lewat malam," katanya sambil memberitahu 80 peratus pengunjung terdiri daripada pelancong.


SEBANYAK 99 peratus kelainan ditawarkan Atmosphere 360 merangkumi set meja makan, pencahayaan, dekorasi dan tema.


Bagaimanapun katanya, beliau menggalakkan mereka yang berminat datang ke Atmosphere 360 supaya membuat tempahan awal lebih-lebih lagi pada hujung minggu."Sempena pengubahsuaian yang diadakan sebelum pembukaan restoran ini, kami telah mengehadkan tempat duduk sebanyak 250 tempat sahaja berbanding 300 sebelum ini bagi memberi lebih privasi kepada pengunjung."Disebabkan itu, kami tidak mahu ada pengunjung yang bersusah payah datang ke sini terpaksa menunggu lama dan akhirnya membuat keputusan untuk beredar kerana lewat mendapat tempat," katanya.

Wednesday, July 4, 2012

MENU WARISAN BUGIS















SHAHRIM (kanan) bersama Indok Chichuk (tengah) dan pelajarnya, Nor Syahidah ketika sesi previu masakan
 Bugis di UPM baru-baru ini.
KEISTIMEWAAN dan keunikan yang terdapat dalam makanan Bugis mendorong seorang pensyarah dari Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk melakukan kajian khusus mengenainya.Malah, biarpun bukan daripada keturunan Bugis, Prof. Madya Shahrim Ab. Karim mengambil inisiatif menulis sebuah buku masakan bertajuk Sajian Eksotik Warisan Bugis bagi memastikan keunikan kulinari Bugis terus terpelihara.Menurut Shahrim, untuk mempelajari seni memasak makanan itu dengan lebih teliti, beliau telah tinggal bersama sebuah keluarga Bugis di Kampung Sungai Kuali, Pontian, Johor selama dua minggu.
“Individu yang banyak membantu saya dalam memahami dan mempelajari bagaimana sesuatu hidangan disediakan ialah Indok Chichuk Daeng Hadadek atau mesra dipanggil ibu. Wanita berusia 66 tahun itu tidak lokek berkongsi rahsia masakan,” jelas Shahrim sewaktu majlis mempromosikan sajian Bugis di UPM baru-baru ini.Tambah anak kelahiran Tengkera, Melaka itu, masakan Bugis sebenarnya mempunyai keunikan tersendiri. Namun, ia jarang ditemui di restoran dan kurang popular dalam kalangan masyarakat di negara ini.

NASU likkuk iaitu menu dada ayam yang dimasak bersama lengkuas.


“Keistimewaan masakan ini terletak pada bahan-bahan yang digunakan, cara penyediaan dan nama makanannya yang unik. Gohu, tumpi-tumpi, nasi ulam, urang nasu gore kaluku, nasu likkuk, barongko, sorbet dan bubuk delima Bugis antara menu yang terdapat dalam buku saya ini.“Saya mengambil masa selama satu tahun setengah untuk menyiapkan buku ini dengan dibantu oleh pelajar saya, Nor Syahidah Ismail,” ujarnya.
Buku tersebut boleh didapati di semua pengedar kedai buku terkenal pada harga RM26.00 dan mengandungi lebih 60 sajian masakan Bugis serta mempunyai lima bahagian iaitu pembuka selera, istimewa, lauk-pauk, pencuci mulut dan kuih-muih.Buku tersebut dilancarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim pada 28 April lalu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Monday, July 2, 2012

SIJIL, LOGO HALAL: TIADA LAGI TOLAK ANSUR

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
KUANTAN 2 Julai - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak akan bertolak-ansur dengan pemilik premis yang masih belum menukar atau memohon sijil dan logo halal jabatan itu, disebabkan mereka sudah diberi tempoh yang mencukupi untuk berbuat demikian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebelum ini Jakim memberi kelonggaran kepada pemilik premis selama enam bulan untuk berbuat demikian, selepas pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu.
“Kerajaan akan terus menguatkuasakan sijil halal yang dikeluarkan oleh Jakim dan majlis agama Islam negeri (MAIN) kerana tempoh enam bulan yang diberikan telah tamat.
“Sepatutnya pengusaha premis makanan termasuk perniagaan berasaskan farmaseutikal dan kosmetik telah menukar sijil halal mereka yang dikeluarkan oleh agensi lain kepada sijil halal Jakim dalam tempoh itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, seramai 62 petugas yang ditauliahkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan bertindak terhadap mana-mana premis yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal Jakim dan MAIN, serta yang masih mengekalkan sijil yang dikeluarkan oleh pihak lain.
‘‘Sepatutnya pengusaha terbabit tidak boleh memberi alasan memandangkan kerajaan memberi kelonggaran kepada mereka supaya memohon sijil tersebut,’’ katanya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan pengusaha restoran dan kedai makan didapati masih ingkar untuk mempamerkan logo halal di premis masing-masing walaupun Jakim mengumumkan penggunaannya berkuatkuasa semalam.
Dalam pada itu beliau menafikan dakwaan segelintir golongan peniaga bahawa proses permohonan tersebut sukar dilakukan kerana ia lewat dikeluarkan.
Jelas beliau, mana-mana pihak yang ingin memohon sijil tersebut melalui Jakim boleh berbuat demikian dengan melakukannya secara dalam talian.
“Setiap permohonan baru yang diterima dengan mematuhi segala peraturan ditetapkan oleh jabatan itu hanya mengambil masa sebulan untuk mendapatkan kelulusan.
“Bagi mereka yang telah memilikinya dan ingin memperbaharui sijil tersebut, proses kelulusan hanya mengambil masa satu jam sahaja," katanya.
Beliau berharap golongan terbabit segera memohon sijil berkenaan bagi mengelak sebarang kesulitan dan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.
Sementara itu, beliau dalam ucapan pada seminar berkenaan berkata, pemimpin setempat perlu memainkan peranan dengan menerangkan konsep wasatiyyah kepada setiap lapisan masyarakat sehingga ke akar umbi.
Katanya, ia bagi mengelakkan kekeliruan memahami konsep tersebut dalam merealisasikan gagasan 1Malaysia yang sering dimanipulasi oleh pihak tertentu bertujuan untuk memecahbelahkan masyarakat Islam di negara ini.

Sunday, July 1, 2012

ZAKAT FITRAH JOHOR KINI RM 8


JOHOR BAHRU 1 Julai - Penganut Islam di negeri ini akan dikenakan bayaran zakat fitrah sebanyak RM8 seorang iaitu peningkatan sebanyak 50 sen berbanding tahun lalu bagi mereka yang menggunakan beras jenis selain daripada super tempatan yang berharga RM2.20 sekilogram ke atas.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Johor, Datuk Zainal Abidin Othman bagaimanapun berkata, kadar zakat fitrah bagi bagi mereka yang memakan beras RM1.80 ke bawah kekal pada RM5 seorang.
"Kadar zakat fitrah tersebut adalah hasil ketetapan yang dibuat Jawatankuasa Fatwa Negeri dengan disahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) setelah mengambil kira kenaikan beberapa jenis beras di pasaran semasa.
"MAINJ bekerjasama dengan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Bernas dalam menetapkan maklumat harga serta peratus penggunaan beras berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, MAINJ mengunjurkan pungutan zakat fitrah sebanyak RM14.3 juta tahun ini dengan anggaran seramai 1.88 juta umat Islam membayarnya.
"Ia merupakan peningkatan dua peratus daripada tahun sebelumnya atau pertambahan sebanyak 36,000 orang berbanding jumlah pembayar zakat fitrah tahun lalu iaitu seramai 1.84 juta orang," ujarnya.
Katanya, kajian mendapati 95 peratus daripada masyarakat Islam dijangka membayar pada kadar harga RM8 dan lima peratus lagi pada kadar harga RM5.
"Seramai 1,569 amil bertauliah juga telah dilantik untuk tujuan itu berbanding 1,560 orang tahun lalu. Mereka juga akan menjalankan tugas membanci fakir dan miskin di kariah masing-masing.
"Seramai 41,639 orang dijangka bakal menikmati bantuan itu sebelum sambutan Aidilfitri," katanya.