BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, July 15, 2012

TANJUNG PIAI MUNGKIN LENYAP




OMBAK kuat menyebabkan masalah hakisan di Tanjung Piai, Pontian berlaku secara berleluasa.


PONTIAN - Taman Negara Tanjung Piai di sini yang disenaraikan sebagai Tapak Ramsar iaitu Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa mungkin hanya tinggal pada nama sahaja dalam tempoh kurang 10 tahun lagi.Ia berikutan kerakusan manusia termasuk faktor alam semula jadi seperti hakisan teruk menjadi sebab untuk taman yang diliputi kira-kira 325 hektar kawasan bakau dan 400 hektar dataran berlumpur itu lenyap dalam peta dunia.Pengurus Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Khalid Zahrom berkata, Taman Negara Tanjung Piai yang berkeluasan 926 hektar berdepan dengan empat kemelut utama iaitu habuk kayu yang dibawa oleh kapal-kapal yang melalui perairan, tumpahan minyak, sampah sarap dan masalah hakisan yang semakin meruncing.
"Ekoran masalah itu, taman ini mungkin akan ditelan laut pada tahun 2022 sekiranya masalah-masalah tersebut tidak diatasi dengan segera."Kesan daripada aktiviti mencuci kapal, habuk kayu yang digunakan sebagai pencuci merebak ke pesisir pantai dan akibatnya, 7,000 batang pokok bakau yang ditanam di kawasan sebelah Selat Melaka mati dan kajian dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia mengesahkan bahawa lima hektar tanah di sini berasid," jelasnya.

STRUKTUR LEGO TERTINGGI DI LEGOLAND


Struktur lego tertinggi di dunia
Muhammad Khairul bersama replika Menara Berkembar Petronas yang siap dibina.
NUSAJAYA – Legoland Malaysia adalah taman tema pertama di Asia yang berjaya menghasilkan replika Menara Berkembar Petronas menggunakan elemen lego dan merupakan struktur tertinggi pernah dihasilkan di taman tema Legoland di dunia.

Ketua perekanya, Eric Hunter berkata, struktur bangunan tersebut yang mempunyai ketinggian hampir 10 meter itu dibina dengan menggunakan 542,000 elemen lego.

Menurutnya, struktur berkenaan juga dibina dengan penglibatan 15 ahli pasukan dan disiapkan dalam tempoh setahun.
“Setelah diberi tanggungjawab membina bangunan ini, saya sendiri telah pergi ke bangunan sebenar di Kuala Lumpur untuk membuat ukuran dan mengkajinya terlebih dahulu bagi membuat skala dan sebagainya.

“Struktur menara itu juga dibina dengan jumlah tingkat yang sama dengan menara sebenar. Kita turut menggunakan besi di bahagian dalam bagi mengukuhkan lagi model menara itu.
“Akhirnya, ia berjaya dibina dalam masa setahun dengan kerjasama 15 ahli pasukan yang dilantik,” katanya kepada media, di sini, kelmarin.
Sementara itu, Pengurus Besar Legoland Malaysia, Siegfried Boerst berkata, taman tema yang terletak di Medini dengan keluasan 31 hektar itu kini telah 90 peratus siap dan yakin ia dapat dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 15 September ini.
“Hingga kini, sebanyak 45,000 pas tahunan telah berjaya dijual, sekali gus jumlah tersebut menunjukkan keyakinan kami bahawa Legoland Malaysia bakal mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung,” katanya.
Salah seorang anak tempatan yang terlibat dengan pembinaan menara itu, Muhammad Khairul Zainon Nor, 27, berkata, beliau berasa bangga kerana turut terbabit diberi kepercayaan menghasilkan menara tertinggi yang menjadi kebanggaan rakyat di negara ini.
“Saya memang gemar bermain lego sejak dari kecil. Apabila menerima tanggungjawab ini, saya sangat seronok dan begitu teruja untuk menyiapkan tugasan bersama rakan yang lain. Oleh itu, saya tidak sabar menunggu masa taman ini dibuka secara rasmi tidak lama lagi,” katanya.
Selain Menara Berkembar Petronas, struktur lain yang telah siap termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Angkor Wat, Hotel Fullerton, Taj Mahal, Masjid Sultan Abu Bakar dan Singapura Merlion.

Saturday, July 14, 2012

NANAS BERBENTUK KIPAS TANGAN


Nanas berbentuk kipas tangan
Aziz menunjukkan nanas berbentuk kipas yang ditemui di halaman rumahnya.




















BENUT – Seorang pemuda terkejut apabila nanas yang ditanam di halaman rumahnya di kampung Parit Kerimon, di sini berbentuk seakan-akan kipas tangan.

Aziz Wahad, 32, mula menyedari kewujudan nanas tersebut ketika pulang dari kerja petang kelmarin. Dia pada mulanya menyangka terdapat dua pokok nanas yang berbuah terlalu dekat, namun setelah didekati nyata sangkaannya itu meleset.

“Saya terus ke pokok nanas tersebut, alangkah terkejutnya selepas mendapati buah nanas itu leper tidak seperti nenas lain.
“Saya segera mengambil parang dan memotong nanas tersebut, dan mendapati ia berbentuk seakan kipas tangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di parit Kerimon, di sini, semalam.
Menurutnya, dia segera memberitahu penemuan nenas yang disifatkan berbentuk pelik ini kepada kakak dan ibunya.
“Mereka turut memberitahu tidak pernah melihat nanas seumpama ini dan menyifatkan kejadian itu adalah kali pertama,
“Saya juga turut menceritakan penemuan ini kepada penduduk kampung dan mereka turut terkejut selain menyatakan ia adalah penemuan kali pertama,” katanya.
Katanya, nanas pelik itu bukanlah dari di kacukan sebaliknya hanya nanas biasa yang ditanam dan dibiarkan membesar.
“Nanas ini bukan dari benih kacukan tetapi nanas biasa atau nanas kampung yang biasanya ditanam di kawasan halaman rumah,” katanya.
Dia yang bekerja kampung berkata, akan menyimpan nanas tersebut sebagai kenangan kerana nanas tersebut begitu istimewa baginya.

Wednesday, July 11, 2012

NELAYAN SERKAT RAYU BANTUAN


Nelayan rayu bantuan
Sekumpulan nelayan Pengkalan Hulu Serkat, menunjukkan jaring yang rosak didakwa terkena tumpahan minyak.
PONTIAN - Seramai 100 nelayan yang berpangkalan di Pangkalan Nelayan Penghulu Serkat di sini, merayu agar pihak kerajaan dapat membantu mereka yang terjejas dengan masalah tumpahan minyak yang sering berlaku, sejak akhir-akhir ini.
Wakil kumpulan nelayan tersebut, Juhuri Nawi, 57, berkata, bantuan berkenaan amat diperlukan untuk membeli perkakasan baru seperti jaring yang rosak akibat terkena tumpahan minyak.
Menurutnya, sumber pendapatan utama nelayan di situ terjejas akibat masalah tumpahan minyak dan kapal yang berlabuh berhampiran Tanjung Piai.
“Tumpahan minyak yang sering berlaku di perairan Selat Melaka berhampiran Tanjung Piai menyebabkan nelayan bot kecil mengalami kerugian. “Semakin banyak kapal berlabuh dan kedudukannya yang semakin dekat dengan kawasan pesisir pantai sehingga boleh dilihat dengan begitu jelas dari kawasan pangkalan nelayan,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, kehadiran kapal yang berlabuh di situ menyebabkan hasil tangkapan semakin kurang dan ada kalanya jaring yang dipasang bagi menangkap udang rosak dilanggar kapal.
Juhuri berkata, jika dahulu, mereka mampu untuk meraih hasil tangkapan hampir RM700 sehari, tetapi sekarang untuk mendapatkan RM50 amat susah.
“Ikan sudah kurang dan hidupan laut seperti siput dan lokan yang hidup di pokok bakau kini sukar ditemui kerana semuanya sudah habis terkena tumpahan minyak,” katanya.
Menurutnya, ada dalam kalangan nelayan yang tidak turun ke laut kerana tidak mampu membeli jaring baru bagi menggantikan jaring lama yang rosak.
Jelasnya, bermula dari Julai sehingga Disember setiap tahun, masalah tumpahan minyak bertambah serius dan ketika itu nelayan sukar mencari rezeki yang juga sumber mata pencarian utama mereka.
“Ini kerana, jaring yang terkena tumpahan minyak tidak boleh digunakan lagi dan perlu diganti baru,” katanya. Juhuri mendakwa, mereka tidak pernah mendapat sebarang bentuk bantuan meskipun sudah membuat aduan kepada pihak  yang berkenaan dan agensi kerajaan berkaitan.
Menurutnya, sehingga hari ini, segala kerosakan jaring, enjin dan perkakasan lain terpaksa mereka tampung sendiri, kerana belum lagi menerima sebarang bantuan. “Setiap kali jaring nelayan terkena minyak kami membuat laporan polis dan memanjangkannya kepada pihak persatuan namun tiada sebarang tindakan yang diambil,” katanya.
Dia yang kesal dengan masalah ini, berharap agar bantuan yang dinanti-nantikan nelayan dapat diperoleh segera.
Sementara itu, Sinar Harian cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak pihak yang bertanggungjawab, namun gagal dihubungi. 

NASI GORENG, ROTI CANAI, TEH TARIK DALAM PANGGUNG




MENONTON wayang tentulah lebih menyeronokkan jika pawagam yang dikunjungi menyediakan makanan sama seperti sebuah restoran.Ia mungkin kedengaran agak pelik tetapi itulah konsep yang diterapkan oleh dua buah panggung wayang iaitu Golden Screen Cinema (GSC) Signature di MidValley City, Kuala Lumpur dan Lotus Five Star (LFS) Cineplex yang terletak di Jalan Yong Shook Lin, Petaling Jaya, Selangor.Tampil berbeza, pelanggan pawagam eksklusif GSC bagi perkhidmatan Gold Class pasti teruja menikmati hidangan di atas sofa yang empuk dan selesa.Suhu dingin di dalam pawagam bukan masalah kerana mereka akan dibekalkan dengan sehelai selimut dan bantal yang boleh menyebabkan mereka tertidur semasa menonton.Cara berbeza pula ditampilkan oleh LFS Cineplex yang menggabungkan panggung wayang dan restoran mamak di bawah satu bumbung.Kru Jurnal baru-baru ini berpeluang merasai pengalaman menonton di kedua-dua Gold Class GSC dan LFS Cineplex.Perasaan teruja menjelma sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke ruang Gold Class. Ia bukan sekadar menawarkan aktiviti menonton wayang.Betul-betul berhampiran pintu masuk pawagam, set sofa dan meja makan menanti pengunjung.Ia bukan sekadar untuk beristirehat malah kemudahan kafe mini itu membolehkan pelanggan memesan makanan sama ada daripada menu Barat, Asia mahupun tempatan.Malah, mereka juga boleh menunggu sambil menonton filem kegemaran sementara gadis pelayan yang cantik membawa hidangan itu terus ke tempat duduk mereka.Menurut Pengurus Pawagam, Thomas Yap, sejak Gold Class diperkenalkan pada tahun 2007, sambutan yang diterima cukup menggalakkan.

MINUMAN dan makanan yang dipesan akan dihantar sebelum tayangan bermula.

"Tiket berharga RM70 hingga RM75 bukan satu alasan. Ia hadir dengan pakej kerusi sofa yang selesa. Penonton boleh menjatuhkan sedikit bahagian belakang sofa atau meninggikan tempat letak kaki," katanya.Suasana di dalam pawagam itu cukup mewah, tenang dan privasi dengan jarak setiap sofa tidak terlalu rapat.Setiap dewan mampu memuatkan sebanyak antara 38 hingga 40 buah sofa. Kemudahan itu ibarat kelas bisnes di dalam sebuah penerbangan.Tutur Yap, tempat duduk berkembar itu turut menyediakan meja makan kecil untuk menempatkan makanan.Setiap meja mempunyai butang dan penonton harus menekannya. Petugas GSC akan masuk ke pawagam untuk mengambil pesanan tersebut."Harga tiket sudah termasuk minuman kopi dan teh yang boleh ditambah secara percuma. Bagi air mineral dan minuman bergas, ia diberikan sekali sahaja."Makanan pula adalah mengikut cita rasa pelanggan. Ia bermula daripada harga RM2.50," ujarnya.Menonton filem Abraham Lincoln: Vampire Hunter sambil menghirup kopi panas serta makan nasi goreng bagaikan tidak terasa masa berlalu.Panggung wayang LFS Cineplex pula kelihatan tiada bezanya berbanding pawagam yang lain. Namun, persepsi itu terus berubah sebaik sahaja memasukinya.
Biarpun telah wujud sejak 1960-an lagi, pengusaha bersama LFS, Garuna Murthee dan Pengarah Urusan Lotus Five Star AV, Datuk Ramalinggam Pillai tampil dengan idea kreatif iaitu menggabungkan restoran dan panggung secara serampang dua mata.Murthee memberitahu, pawagam itu unik kerana mempunyai restoran di tingkat bawah dan pawagam di bahagian atas."Sebelum atau selepas menonton filem, perut harus diisi di Restoran Lotus yang mempunyai pelbagai pilihan makanan."Harganya juga murah selain menyediakan persekitaran yang mesra pelanggan. Konsep ini cukup berlainan berbanding pawagam sedia ada khususnya pawagam yang bukan berada di dalam kompleks beli-belah," katanya.

KAFE mini GSC menyediakan kepelbagaian menu sajian.

Jelasnya, antara menu kegemaran pengunjung ialah teh tarik dan roti canai. Bezanya mereka tidak menikmatinya semasa menonton wayang.Tuturnya, pawagam itu mempunyai dua buah bilik yang menayangkan filem Tamil yang mendapat sambutan hangat bukan sahaja oleh masyarakat India tetapi juga Melayu dan Cina."Filem Tamil juga diminati oleh kaum lain lebih-lebih lagi filem yang dilakonkan pelakon terkenal, Kamal Hassan," ceritanya sambil menambah, pawagam LFS 1 Segamat di Segamat, Johor merupakan antara pawagam tercanggih di daerah itu.Pengurus pawagam, T. Mahendran memberitahu, pawangan itu mempunyai dua bilik panggung yang dapat menampung antara 159 hingga 203 pengunjung. Harga tiket pula bermula daripada RM6 hingga RM12."Setiap filem Tamil mempunyai sari kata bahasa Inggeris manakala suasana di dalam panggung juga selesa dengan pencahayaan dan berhawa dingin," katanya.Penulis sendiri sempat menonton filem Tamil bertajuk NaanE (Saya Lalat) yang berkisar tentang seorang lelaki yang telah mati tetapi hidup semula dengan menjadi seekor lalat. Ia menarik dan padat dengan aksi.

LFS CINEPLEX dikatakan satu-satunya pawagam di negara ini yang menyediakan restoran terkenal di bahagian bawahnya.

Dalam pada itu, seorang operator panggung LFS Cineplex yang sudah terlibat dalam industri panggung wayang selama 22 tahun, K. Vellu berkata, konsep restoran dalam panggung boleh dikatakan agak baharu di negara ini.Vellu, 66, mula bekerja sejak tahun 1966. Beliau telah menabur bakti untuk syarikat Shaw Brothers, Golden Screen Cinema dan Coliseum sebelum beralih kepada LFS Cineplex.Teknologi perfileman juga sudah jauh berubah, ujarnya."Dahulu pawagam hanya menggunakan projektor karbon untuk memainkan filem, sampai pedih dan berpinar mata dibuatnya. Kemudian ia beralih menggunakan pita filem. Proses untuk menyediakan filem itu mengambil masa lebih tiga jam."Kini, kaedah itu tidak digunakan lagi. Hanya menggunakan pemacu keras yang disambungkan ke mesin khas, filem terus dapat dimainkan," tutur penggemar teh tarik ini sambil memberitahu, harga tiket pawagam pada 1970-an ialah sekitar RM1.60 sahaja.

MASA DEPAN TEH OOLONG TAIWAN



PARA juri melakukan ujian memeriksa daun teh dan rasa pada satu pertandingan teh di Nantou, tengah Taiwan baru-baru ini.

SEJAK berdekad, Lin Tsai-pan menjaga ladang tehnya yang terletak di kawasan pergunungan dan berkabus di tengah-tengah Taiwan dengan baik. Kepada beliau, pekerjaan tersebut bukan sekadar satu tanggungjawab tetapi beliau melakukan dengan penuh minat. Bahkan, ia adalah suatu maruah.Kerjaya itu dianggap sebagai sesuatu yang penting dalam hidupnya apabila Tsai-pan memenangi pertandingan daun teh oo long anjuran Persatuan Petani Luku di Nantou sebanyak tiga kali."Saya rasa saya berpeluang muncul sebagai pemenang pada pertandingan kali ini," katanya. Pertandingan tersebut diadakan pada bulan Mei lalu.Menariknya, pemenang pertandingan itu boleh menjual produk mereka pada harga premium yang mencecah ribuan dolar Amerika Syarikat (AS) sekilogram.Harga mahal itu didorong oleh permintaan yang tinggi daripada golongan kaya di China sejak dua tahun lalu. Pemenang pada tahun itu mampu menjual sebanyak 12 kilogram teh pada harga TWD6 juta dolar (RM628,344) iaitu dua kali ganda berbanding harga pada tahun sebelumnya."Sebahagian daripada orang kaya dari China beranggapan berbaloi jika berbelanja ratusan ribu dolar Taiwan semata-mata mahu merasai teh oo long terbaik dunia," kata Tony Lin, pekerja kanan di pertubuhan perladangan yang baru pulang dari lawatan kerja di Tanah Besar China baru-baru ini.Teh diumpamakan sebagai salah satu bidang sains di Asia. Ia dikategori dan digredkan berdasarkan proses penapaian iaitu teh hitam ditapaikan secara berasingan dengan teh hijau.Teh oo long yang dikategorikan dalam gred pertengahan muncul sebagai satu produk yang mesti dibeli oleh 1.8 juta pelancong China yang datang ke Taiwan setiap tahun.

SEORANG peladang memetik daun teh segar di ladangnya di Nantou, tengah Taiwan.

Teh oo long diperkenalkan pada tahun 1885 di Fujian, China iaitu di pergunungan Luku yang mempunyai ketinggian 700 meter.Taiwan agak lewat menceburi penghasilan teh oo long tetapi dalam tempoh 120 tahun, negara berkenaan berjaya mengatasi pengeluaran teh oo long di Tanah Besar China.Harga oo long premium agak mahal tetapi teh dengan kualiti yang sederhana ia berharga antara TWD3,000 (RM314) sekilogram."Teh Taiwan cukup istimewa kerana aroma bunga yang terbit daripada teh tersebut, sebaliknya teh dari China tidak mempunyai aroma seperti itu."Kualiti teh yang dihasilkan bergantung kepada beberapa faktor antaranya ialah cuaca, tanah, cara pokok teh dijaga dan teknik pengilangan."Pengeluar teh Taiwan juga bekerja keras untuk menghasilkan rasa yang berbeza-beza. Misalnya, Oriental Beauty ialah teh yang mempunya aroma yang kompleks, diperkaya dengan rasa madu dan buah pic. Ia dihasilkan di utara Hsinchu dan Taoyuan," katanya.
Zaman kejatuhan
Ekoran permintaan terhadap produk teh, para petani dipaksa meningkatkan kualiti dan pengeluaran. Pada tahun 1973, industri tersebut mencapai kemuncaknya apabila sebanyak 28,000 tan daun teh berjaya dihasilkan dengan 23,000 tan dieksport.Bagaimanapun, ketika sektor tersebut mengalami zaman kejatuhan, kekurangan tenaga pekerja, peningkatan kadar upah dan tukaran mata wang Taiwan yang rendah memburukkan lagi keadaan.Keseluruhan kawasan ladang teh juga merosot kepada 15,000 hektar iaitu lebih separuh zaman era selepas Perang Dunia Kedua. Dalam pada itu, pengimportan teh murah semakin meningkat di pasaran tempatan.
TEH oo long premium Taiwan cukup istimewa kerana ia mempunyai aroma bunga.

Penyelidik Kanan, Penyelidikan Teh dan Stesen Sambungan milik kerajaan negeri, Chiu Chui-feng berpendapat kejatuhan teh premium Taiwan bukan disebabkan ancaman daripada teh murah."Pengimportan tersebut adalah bagi memenuhi permintaan teh murah dan tidak memberi sebarang ancaman kepada teh Taiwan yang mahal."Daun teh murah kebanyakannya digunakan untuk menghasilkan minuman dalam botol yang popular dalam kalangan generasi muda," katanya.Bagaimanapun, para pakar dan pekerja industri teh lebih berwaspada dengan kemunculan teh oo long yang ditanam di Asia Tenggara atau China tetapi dibungkus di Taiwan."Imej teh Taiwan premium bakal terjejas ekoran pengimportan teh oo long yang dijual atas nama teh keluaran Taiwan," kata Hsu seorang penjual teh.Sebagai langkah pencegahan, pihak pemerintah Taiwan berusaha mengatasi masalah tersebut. Pada masa yang sama, penanam teh turut mendapat bantuan daripada pertubuhan serantau dan pihak pemerintah untuk menghasilkan aroma teh baharu.Penjual teh Taiwan juga bekerjasama dengan para petani dengan membuka ladang teh dan kilang di luar negara seperti Indonesia, Vietnam, Thailand dan China.Namun, tiada kompromi dalam kualiti teh yang dihasilkan bagi memastikan pengeluarannya terus meningkat

AMARAN SAKIT JANTUNG





JANGAN sesekali memandang ringan jika anda atau ahli keluarga terdekat mengalami simptom-simptom seperti sakit dada, sesak nafas, pening kepala dan mengalami palpitas iaitu denyutan jantung yang pantas, kuat atau tidak teratur.Tanda-tanda tersebut merupakan siren awal yang memberitahu seseorang itu menghidap penyakit arteri koronari.Penyakit arteri koronari merujuk pada penyempitan dan penyumbatan arteri yang membekalkan darah kepada jantung melalui pengumpulan lemak dan kolesterol.
“Proses ini dipanggil koronari aterosklerosis yang menyebabkan peredaran darah lemah, miokardium anoksia dan juga miokardium nekrosis.“Dalam kes yang teruk, pesakit boleh meninggal dunia disebabkan jantung terhenti secara tiba-tiba atau dikenali sebagai serangan jantung,” kata pakar runding kardiologi, Profesor Dr. Sim Kui Hian.Tambahnya, seseorang yang menghidap masalah penyakit arteri koronari juga biasanya akan berasa sakit di dada seperti rusuk dihimpit-himpit dan tidak kurang juga yang sakit di bahagian tangan kiri, siku dan perut.Kui Hian memberitahu, penyakit arteri koronari terjadi apabila berlakunya pengumpulan lemak, kolesterol, kalsium dan bahan lain dalam darah yang dikenali sebagai plak.
Apabila plak tersebut terkumpul ia dipanggil koronari aterosklerosis.“Pengumpulan plak ini selalunya berlaku dalam tempoh yang lama dan apabila ia mengeras, arteri akan tersumbat lalu menyebabkan peredaran darah menjadi lemah.“Keadaan ini dinamakan aterosklerosis. Penyempitan arteri koronari ini menyebabkan darah beroksigen yang dihantar ke otot jantung berkurangan mengakibatkan sakit dada atau angina pektoris,” ujarnya.Menurut Kui Hian, jika plak tersebut menghalang arteri koronari sepenuhnya atau pecah, ia boleh membawa kepada serangan jantung (infarksi miokardium).Faktor risiko penyebab utama penyakit tersebut ialah tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, obesiti, merokok, kencing manis, amalan gaya hidup sedentari dan sejarah keluarga.Bagi mengesan seseorang itu menghidap penyakit arteri koronari, seseorang doktor itu akan melakukan beberapa diagnosis seperti elektrokardiogram (ECG), ujian senaman treadmill, ekokardiografi, Myocardial Perfusion Scan, Cardiac Computed Tomography (CCT), Cardiac Magnetic Resonance Imaging (CMR), Cardiac Catheterization dan Coronary Angiogram.

BAGI mengesan seseorang itu menghidap penyakit arteri koronari, doktor akan melakukan beberapa diagnosis.

“Secara umum, doktor akan memilih penyelesaian terapeutik mengikut keadaan penyakit dan keadaan kesihatan pesakit selepas membuat diagnosis yang tepat tentang penyakit arteri koronari.“Perubahan gaya hidup seperti berhenti merokok, pemakanan seimbang dan senaman yang mencukupi banyak membantu dalam pemulihan penyakit arteri jantung,” katanya.
Jelas beliau, pada masa sekarang, kaedah terapeutik yang digunakan untuk merawat penyakit arteri koronari ialah rawatan perubatan, pembedahan pintasan arteri koronari (CABG), percutaneous coronary intervention (PCI) yang lebih dikenali sebagai belon angioplasti dan pembedahan pintasan jantung.Terdapat pelbagai jenis sten yang digunakan dalam teknik angioplasti iaitu menggunakan bare metal stent (BMS), drug-eluting stent (DES) dan bio-engineered stent (BES).Kebiasaannya, pilihan rawatan berdasarkan faktor yang ditentukan oleh gejala-gejala yang dialami pesakit.Dalam kebanyakan kes, jika arteri tersumbat kurang daripada 70 peratus, maka ubat akan menjadi pilihan rawatan baris pertama.Jika pembedahan diperlukan, BES ialah sten yang sesuai untuk semua pesakit.
Pemasangan sten menawarkan penyelesaian bagi kumpulan pesakit tertentu seperti mereka yang memerlukan pembedahan dalam jangka masa pendek, pesakit yang tidak boleh menggunakan Dual Antiplatelet Therapy (DAPT) iaitu rawatan perubatan yang membabitkan pengambilan agen pencairan darah seperti aspirin dan agen antiplatlet untuk jangka masa panjang dan warga emas.Pesakit yang menjalani rawatan memasukkan sten boleh menjalani kehidupan seperti biasa dengan membuat senaman aerobik.Namun begitu, pesakit arteri koronari harus melakukan ujian stres terlebih dulu sebelum memulakan program senaman bagi mengukur kemampuan mereka untuk bersenam.“Mereka dinasihatkan supaya melakukan senaman ditemani orang lain dan tidak berseorangan selepas beberapa bulan pertama menjalani rawatan.“Gaya hidup yang sihat seperti berhenti merokok, mengamalkan diet sihat dan senaman dengan kerap sangat penting untuk mengekalkan kesihatan jantung,” ujarnya.Dahulu, penyakit jantung hanya menyerang individu berusia, kini situasinya berbeza kerana golongan individu berusia bawah 50 tahun turut berdepan dengan risiko penyakit tersebut.
Menurut Kui Hian, keadaan itu berlaku akibat gaya hidup tidak sihat, tidak melakukan senaman, obesiti, merokok, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.“Penyakit ini berpunca daripada gaya hidup tidak sihat.“Bagi mengelakkan penyakit ini, kita perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti kurangkan pengambilan makanan yang banyak mengandungi lemak, kolesterol dan garam, jangan merokok, kurangkan tekanan dan selalu bersenam,” nasihatnya.Dalam pada itu, Hindon Abdul Aziz, 55, tidak menyedari sama sekali bahawa dia menghidap penyakit arteri koronari sehinggalah beliau membuat pemeriksaan penuh kesihatan yang disarankan oleh tempat kerjanya.Selepas melakukan ujian stres dengan treadmill, doktor memberitahu bahawa Hindon mempunyai masalah saluran jantung tersumbat dan menyarankannya menjalani rawatan angioplasti.


GAMBAR di atas menunjukkan bagaimana sten dipasang bagi membesarkan saluran darah yang tersumbat bagi membolehkan aliran darah mengalir dengan normal tanpa sekatan.



“Ahli keluarga saya ramai meninggal akibat penyakit yang berkaitan jantung seperti kolesterol tinggi dan angin ahmar.“Sebulan jugalah saya membuat keputusan untuk membuat angioplasti. Prosedur angioplasti ini mengambil masa lebih kurang satu jam,” katanya.Selepas membuat pemasangan sten, doktor menasihatkannya membuat perubahan pada diet.“Makanan laut tidak boleh makan kerana kandungan kolesterolnya tinggi, makanan berminyak dan bersantan selain mengamalkan gaya hidup sihat seperti tidak merokok.“Jika tidak berpantang, ada kemungkinan saluran tersebut tersumbat kembali. Apabila rakan-rakan tahu saya menghadapi masalah penyakit ini, ramai yang menyarankan supaya makan epal hijau, saderi, lemon dan teh hijau,” ujarnya.Ditanya mengenai rawatan ubat tradisional yang banyak diamalkan oleh segelintir masyarakat, Hindon memberitahu doktor mengingatkannya supaya tidak mencampurkan pengambilan ubat doktor dengan ubat tradisional.“Tidak dinafikan selepas didiagnosis menghidap penyakit ini, diet saya sekeluarga berubah dan jarang sekali makan di luar seperti sebelum ini.“Sekarang ini, tengok sahaja orang makan nasi lemak sepinggan penuh saya sudah takut. Mula-mula dapat tahu menghidap penyakit ini, saya tidak lagi makan nasi lemak dan bertukar kepada capati,” katanya yang kini menyediakan makanan menggunakan kaedah rebus, kukus dan panggang.Secara peribadi, Hindon memberitahu, pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali amat penting.“Lebih baik dapat tahu awal daripada tidak tahu langsung dan tiba-tiba sahaja mendapat serangan jantung.“Sehingga hari ini, setiap hujung minggu sebaik sahaja selepas subuh saya dan suami akan berkebun untuk mengeluarkan peluh,” ujarnya yang banyak membawa artikel-artikel mengenai arteri koronari.