BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, July 24, 2012

JANGAN BUFET RAMADHAN TANPA SIJIL HALAL


JOHOR BAHRU — Restoran atau hotel yang menggunakan perkataan bufet Ramadan tetapi dalam masa yang sama tidak mempunyai sijil halal boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Pengarah Jabatan Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor, Ayub Abd. Rahman berkata, perkataan Ramadan boleh mengelirukan umat Islam yang beranggapan premis itu menyajikan makanan halal.
"Jika digunakan perkataan bufet Ramadan, tetapi dia tidak mempunyai logo dan sijil halal yang sah kita akan ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas melawat sebuah kilang memproses minyak di sini hari ini.
Katanya, ia termasuk premis menggunakan ayat al-Quran yang melambangkan makanan orang Islam, tetapi tidak memiliki sijil halal yang sah juga boleh dikenakan tindakan.
Mana-mana pihak yang didapati bersalah berbuat demikian boleh dikenakan denda RM1 juta atau penjara tiga tahun, manakala bagi syarikat denda RM5 juta mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 yang telah dikuatkuasakan bermula 1 Julai lepas. — BERNAMA

RAMADHAN BUKAN BEBAN


ALHAMDULILLAH Ramadan telah melabuhkan tirainya kepada kita semua untuk sama-sama cuba meramadankan diri, sama ada ibadat yang wajib atau sunat.
Tetapi malangnya sebahagian orang merasakan Ramadan sebagai bebanan dan kesukaran dengan gambaran sikap puasa sebagai bebanan kepada mereka.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Allah SWT naungkan kepada kamu dengan berlabuhnya bulan Ramadan ini dengan Rasulullah SAW bersumpah: Tiadalah berlalu ke atas orang Islam bulan yang lebih baik bagi mereka daripada bulan Ramadan dan tidak kepada munafik lebih teruk daripada bulan Ramadan. Sesungguhnya Allah SWT menulis pahala ganjarannya sebelum menjelmanya bulan dan juga menulis dosa serta kehinaan sebelum masuknya bulan Ramadan." (riwayat Imam Ahmad dan al-Baihaqi).
Sebenarnya orang yang beriman melihat kepada laba dan keuntungan pahala yang dianugerahkan Allah kepada yang beriman dan beramal bersungguh-sungguh pada bulan Ramadan seperti berpuasa dengan sepenuh hati, melakukan qiamullail, terawih, witir dan lain-lain.
Sedangkan orang munafik melihat kepada habuan nafsu dan syahwat. Justeru, perasaan pertama terlintas kepada mereka bila Ramadan mengunjunginya dengan perasaan lapar, dahaga, letih, penat, mengantuk, malas, susah, banyak terganggu dan tergendala program kehidupan mereka selama 11 bulan.
Atas asas inilah mereka merasa sukar dengan munculnya Ramadan yang membawa 1001 rahmat dan kelebihan.
Daripada Abi Mas'ud al-Ghifari, katanya Rasulullah SAW bersabda: "Kalaulah hamba-hamba Allah mengetahui kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadan, nescaya mereka bercita-cita supaya bulan Ramadan berlaku sepanjang tahun." (riwayat al-Tabarani, Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya dan al-Baihaqi.
Inilah yang terjadi kerana tanpa kefahaman yang jelas menyebabkan mereka begitu hanyut dalam kehidupan sehingga lalai untuk beribadat.
Akhirnya mereka hanya melihat puasa sebagai amalan ritual atau semata-mata kewajipan tanpa memahami kelebihan yang begitu banyak dalam bulan tersebut.
Oleh kerana itu hendaklah kita cuba menghayati kelebihan Ramadan dan keistimewaannya untuk kita lakukan acara ibadat dengan sebanyak mungkin. Jadikanlah Ramadan kali ini lebih baik daripada Ramadan lalu dari sudut laba dan keuntungan akhirat. Penuhilah masjid dengan beriktikaf dan solat serta menghadiri majlis pengajaran ilmu.
Semoga kita menjadi hamba Allah yang benar-benar melaksanakan ibadat yang wajib dan sunat agar kita meraih takwa di sisi Allah SWT. Amin.

PELABURAN BARU 10.67 BILLION


LAKARAN artis salah satu bangunan yang akan dibina di Iskandar Malaysia.

JOHOR BAHRU 23 Julai - Iskandar Malaysia, kawasan yang bakal menjadi sebuah metropolis kukuh, mapan dan bertaraf antarabangsa memperoleh RM10.67 bilion komitmen pelaburan baru dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, dengan pelaburan baru itu, jumlah kumulatif komitmen pelaburan yang direkodkan IRDA sejak 2006 hingga Jun tahun ini kini mencecah RM95.45 bilion.
Daripada jumlah komitmen pelaburan yang melibatkan pelbagai sektor itu, sebanyak 43 peratus berjaya direalisasikan dengan 62 peratus (RM58.95 bilion) melibatkan pelaburan domestik dan 38 peratus (RM36.5 bilion) mewakili pelaburan asing.
"IRDA sentiasa bersemangat dengan sokongan berterusan daripada pelabur tempatan dan asing yang menyumbang kepada momentum pertumbuhan Iskandar Malaysia dan berharap ia dipertingkatkan biarpun beroperasi dalam persekitaran ekonomi yang kompetitif.
"Menurut maklumat terkini, pelaburan utama di Iskandar Malaysia diwakili oleh Asia sebanyak 42 peratus, Eropah (40 peratus) dan Asia Barat (14 peratus)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, sejak 2006, sektor pembuatan di Iskandar Malaysia mencatatkan komitmen pelaburan berjumlah RM32.71 bilion, sektor hartanah (RM29.8 bilion), utiliti (RM9.52 bilion) dan kerajaan (RM7.31 bilion).
Selain itu, sektor petrokimia mencatatkan pelaburan berjumlah RM5.1 bilion, pelabuhan dan logistik (RM3.74 bilion), pelancongan (RM2.03 bilion), pendidikan (RM1.55 bilion) dan penjagaan kesihatan (RM1.6 bilion).
"Sektor perkhidmatan pula terdiri daripada enam sektor iaitu kewangan, logistik, kesihatan, pendidikan, pelancongan dan kreatif adalah sektor yang diberikan penekanan daripada sembilan sektor yang dipromosikan.
"Kami juga sedang meninjau teknologi hijau, ekonomi hijau dan masyarakat rendah karbon (LCS) yang bakal menjadi trend masa depan dan IRDA akan melancarkan Rangka Tindakan LCS yang dijangka menjadi ikutan di negara ASEAN," katanya.
Beliau berkata, Iskandar Malaysia kini di peringkat persediaan bagi pembukaan Marlborough College Malaysia, Universiti Southampton Kampus Malaysia, masing-masing pada Ogos dan Oktober ini selain Legoland Malaysia pada September

Sunday, July 22, 2012

GASTRIK TAK HALANG PUASA


Setiap kali tiba Ramadan, setiap kali alasan yang sama diberikan, gastrik dan tidak boleh lapar menyebabkan tidak boleh menjalankan Rukun Islam ke tiga.
Tetapi apakah kaitan antara gastrik dan puasa? Benarkah gastrik membataskan seseorang untuk menunaikan ibadah puasa?
Gastrik atau istilah perubatannya, gastritis, adalah sejenis penyakit keradangan pada dinding atau lapisan mukosa perut yang mempunyai rawatan yang efektif.
Tanda gastrik mudah dikesan kerana ia menyebabkan ketidakselesaan pada perut antaranya sakit perut, pada bahagian atas abdomen atau ulu hati, perut senak, berangin atau pedih, kembung, sendawa, loya, hilang selera makan atau turun berat badan.
Secara semulajadi sel perut menghasilkan asid hidroklorik dengan pH1 hingga 2 yang mencernakan makanan.
Asid yang kuat ini boleh menghakis besi dan sel perut menghasilkan lapisan mukosa sebagai perlindungan terhadap kesan asid tadi.
Orang yang mengadu sakit perut apabila lapar menandakan asid hidroklorik terlalu banyak dalam perut dan jika sakit perut selepas makan mungkin menandakan masalah ulser perut kerana lapisan mukosa lemah.
Ramai menganggap serangan gastrik kerap berlaku semasa bulan Ramadan kerana tidak makan dan tahap asid dalam badan meningkat.
Sebenarnya semasa berpuasa, seluruh sistem penghadaman berehat dan rembesan asid hidroklorik dalam perut menurun dan masalah sakit atau senak akibat asid perut yang tinggi tidak timbul.
Pakar Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Abdul Malik Jamal Buhari berkata, sakit perut semasa berpuasa bukan disebabkan gastrik tetapi tabiat pemakanan semasa berbuka.
"Semasa berbuka, mulakan dengan makanan ringan seperti kurma, sedikit kuih atau buah-buahan, tunaikan solat maghrib dan selepas itu barulah ambil makanan lebih berat," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Malangnya apabila tiba masa berbuka, ramai yang berbuka dengan makanan berat dan bersifat kompleks yang menyebabkan ketidakhadaman.
Makanan kompleks seperti berempah, lemak dan pedas menjejaskan kelancaran sistem pencernaan menyebabkan sakit perut.
Sebenarnya mereka yang menderita gastrik masih juga boleh menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan.
Dua kaliSemasa Ramadan, kita hanya makan dua kali sehari dan tidak makan di antara dua masa makan buka dan sahur.
Dr. Malik berkata, semasa berbuka dinasihatkan hanya minum air dan makan makanan yang ringkas seperti kurma atau buah-buahan kering.
Kurma dan makanan kering amat baik kerana dapat merangsang asid untuk menerima lebih banyak makanan.
Kurma juga kaya dengan garam galian seperti potasium selain lambat membebaskan tenaga.
Seelok-eloknya kata Dr. Malik, selepas minum air dan kurma, solat dulu sebelum sambung makan yang lebih berat dan selepas itu jangan ambil makanan berat.
Semasa bersahur pula ambil makanan seperti roti, susu, kurma atau oat kerana ketika itu perut belum bersedia menerima makanan.
Bagaimanapun sahur amat penting untuk badan kerana ia seperti mengambil sarapan pagi.
Dr. Malik berkata, sebanyak 80 peratus penderita gastrik disebabkan oleh bakteria dalam perut Helicobacter pylori (H. pylori) manakala selebihnya disebabkan oleh makanan, ubatan seperti ubat tahan sakit dan stres.
Gastrik bukan disebabkan tidak mengambil makanan tetapi mengambil makanan yang tidak teratur dan seimbang.
Mereka yang mempunyai simptom gastrik disyorkan menjalani ujian darah, ujian pernafasan dan endoskopi bagi mendapatkan sampel bakteria di dalam perut.
Gastrik yang disebabkan oleh bakteria boleh diubati dengan mengambil ubat antibiotik.
BerhentiMasalah yang kerap berlaku ialah pesakit tidak menghabiskan ubat diberi dan biasanya mereka berhenti mengambil ubat selepas tiga atau empat hari iaitu apabila kesakitan hilang.
Dr. Malik menambah, individu yang ada gastrik sepatutnya boleh berpuasa jika mengamalkan kaedah pemakanan seperti disarankan agama dan pakar pemakanan iaitu melambatkan bersahur, menyegerakan berbuka dan makan secara sederhana.
"Jadi, gastrik tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berpuasa, melainkan jika ia terlalu memudaratkan.
"Jika disahkan menghidap gastrik, jumpa dan minta nasihat doktor mengenai pemakanan, gaya hidup dan ubatan yang perlu diambil," katanya.

BBQ AYAM SERAMA
















FAUZIAH Loo Abdulllah ringkas sahaja orangnya. Mengenakan baju kurung potongan Pahang dengan rambut yang dilepaskan beralun separas bahu, wanita berusia 40-an ini banyak tersenyum ketika diajak berbicara.Pengurus Restoran Serama Herbal BBQ yang terletak di Durian Tunggal, Ayer Keroh, Melaka ini bukan sahaja dikenali ramai sebagai 'Mem Besar' di Taman Serama tersebut, sebaliknya para pelanggan yang pernah berkunjung ke sini, mereka pasti tercari-cari jika kelibatnya tidak kelihatan di restoran.Apa tidaknya, selain keupayaannya menghidangkan pelbagai jenis masakan Thai yang enak dan asli serta hidangan eksotik yang dijamin halal, figura yang memiliki perwatakan lembut ini sangat mengutamakan keselesaan dan kepuasan pelanggannya.Atas dasar itu, setiap pelanggan akan disambut dengan senyuman dan sapaan mesra.Selesai sahaja mengalu-alukan kedatangan pelanggan, Fauziah akan terus membuka mulut, bercerita tentang keistimewaan hidangan yang disediakan di Restoran Serama Herbal BBQ. Pesanan kemudiannya diambil.Tidak lama selepas makanan dihantar kepada pelanggan, sekali lagi ibu kepada tiga anak ini akan bertanya kepada pelanggan tentang kualiti hidangan yang disediakan.
"Dalam perniagaan restoran, perkhidmatan kepada pelanggan perlu menjadi keutamaan."Cita rasa setiap orang mungkin berbeza dan definisi enak atau lazat bagi sesetengah pelanggan juga subjektif.


RATUSAN spesies ayam dari seluruh dunia ditempatkan di Taman Serama.


"Apa pun, kami cuba berikan yang terbaik kepada pelanggan kerana kepuasan pelanggan adalah kualiti kami," ujarnya.Menjadi insan yang bertanggungjawab mengolah resipi kesemua masakan eksotik yang ditawarkan di restorannya, Fauziah akui, beliau tidak mudah berpuas hati dengan cita rasanya, apatah lagi pada awal pembukaan restoran tersebut awal tahun ini."Saya tidak mahu pelanggan menikmati makanan dengan cita rasa saya. Mungkin ia sedap di tekak saya, tetapi tidak pada orang lain."Disebabkan itu, saya yang pertama kali berkecimpung dalam industri makanan ini perlu bersikap terbuka dengan kritikan daripada pelanggan."Dari situ kami cuba memperbaiki cita rasa masakan dan perkhidmatan demi kepuasan pelanggan," tutur Fauziah yang mempunyai darah kacukan Cina dan Baba Nyonya.Selain popular dengan keenakan tomyam campur yang mewah dengan kombinasi udang, sotong dan cendawan, restoran yang diusahakan bersama suami, Ahmad Fauzi Mohamed, 58, ini turut menawarkan menu masakan eksotik yang semakin diminati ramai.
Masakan eksotik
"Selain masakan ala Thai, kami juga memperkenalkan menu eksotik yang dijamin halal dan sihat."Antaranya, sup herba burung merpati bersama mas cotek, burung unta masak lada hitam, ayam mutiara goreng pandan dan pelbagai menu asap salai yang menggunakan ayam serama, burung puyuh, ikan haruan dan sebagainya."Alhamdulillah, setakat ini sambutan yang kami terima sangat menggalakkan terutamanya menu tomyam campur dan sup herba burung merpati bersama mas cotek," jelas Fauziah.Lebih menarik, sumber bahan mentah terdiri daripada unggas dan ikan, semuanya diternak di Taman Serama, sebuah taman ekopelancongan yang diilhamkan oleh suaminya."Di taman ini, kami ternak pelbagai jenis unggas dan ikan air tawar."Terdapat lebih 400 spesies burung merpati dan ratusan jenis ayam eksotik dari seluruh dunia diternak di sini."Tidak ketinggalan, kami memiliki lebih kurang 2,000 ekor ayam serama yang dibiak ternak di taman ini.


SELAIN menempatkan sebuah restoran, Taman Serama bakal mempunyai ruang pameran ayam eksotik dan calet.


"Dek kerana itu, stok bekalan bahan mentah tidak pernah menjadi masalah kepada kami walaupun restoran ini boleh menerima sehingga 500 pelanggan dalam satu masa," kata Fauziah yang diberi tanggungjawab menguruskan hal ehwal restoran, daripada membeli barang keperluan di dapur sehinggalah melayan pelanggan."Sebenarnya restoran ini dibangunkan atas idea suami. Jadi dialah yang banyak mengajar saya menguruskan bahagian operasi, pentadbiran, pengurusan pekerja sehinggalah promosi dan pengiklanan."Bukan kami tidak pernah bertelingkah tetapi kami saling mempercayai antara satu sama lain."Kami turut memiliki cita rasa makanan yang sama dan masing-masing gemar mencuba makanan baharu," dedah Farah.Menjadi isteri kepada peminat tegar ayam serama sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut mengubah kehidupan Fauziah.Jika selama ini beliau hanya menguruskan anak-anak sementara suaminya yang bertugas sebagai ketua jurutera kapal dagang belayar ke seluruh dunia, kini rutin beliau bertambah sibuk sejak dua tahun kebelakangan ini.
"Sejak itu kami mula bergabung idea dan tenaga bersama beberapa orang rakan. Hari ini, Taman Serama yang menjadi impian suami saya sejak dahulu lagi semakin menjadi kenyataan," dedah Fauziah.Selain menempatkan Restoran Serama Herbal BBQ, taman tersebut bakal memiliki restoran terapung, ruang pameran ayam serama, ayam eksotik dan burung merpati, kedai cenderahati, hotel serta calet yang sedang dibina secara berperingkat."Ayam serama adalah kegilaan suami saya. Secara tidak langsung, saya turut menyukainya walaupun pada awalnya, saya merasakan hobi ayam serama banyak menghabiskan duit."Namun, siapa sangka, dengan duit yang dilaburkan itu jugalah, Taman Serama ini dapat direalisasikan," kata Fauziah yang mengakui sudah mahir melihat potensi ayam serama yang sesuai untuk bertanding biarpun ketika haiwan tersebut masih kecil lagi.


AYAM serama yang siap disalai akan dipanggang bersama sos pilihan pengunjung.


Jelasnya, keunikan ayam serama yang bakanya berasal daripada istana sultan Kelantan perlu dipertahankan."Kalau anda pergi ke Amerika Syarikat, Kanada, Korea, Itali hinggalah ke Asia Barat, ayam serama Malaysia sudah banyak dibela di sana, apatah lagi di Indonesia."Ini bermakna, ayam terkecil di dunia ini mempunyai peminat yang begitu ramai. Pembinaan Taman Serama ini adalah cara kami untuk mengangkat martabat ayam serama sebagai ikon warisan negara ini," katanya.

Friday, July 20, 2012

LEMANG TO'KI















MAZLAN mengambil masa bertahun-tahun untuk mempelajari teknik pembuatan lemang yang terbaik.
BERMULA dengan minat untuk mempelajari, mendalami teknik-teknik membaiki dan menjahit kasut pada usia remaja, Mazlan Ramli, 47, sering mencari jalan bagi mencari duit poket sendiri.Menganggap masa itu emas, dia merasakan bahawa dirinya perlu melakukan sesuatu bagi meringankan kesusahan yang menghimpit keluarganya. Anak kepada Ramli Noh dan Noriah Idris itu terpaksa bekerja bagi menampung kos pengajiannya di Kolej Politeknik Mara Kuantan, Pahang.
Ketika menuntut dalam bidang Kemahiran Mekanikal sekitar tahun 1985, ketika usianya baru mencecah 20 tahun, Mazlan membuka kedai barangan kulit dan membaiki kasut di Bentong.Sungguhpun begitu, perniagaan tersebut tidak menjanjikan pendapatan lumayan bagi memberikan kehidupan selesa buatnya sekeluarga dan dia bertekad mahu mencari lubuk rezeki yang lain
“Semuanya berubah apabila suatu petang saya melihat saudara kepada adik ipar sedang bertungkus-lumus membakar lemang.“Ketika itu timbul idea untuk menceburi perniagaan menjual lemang,” katanya ketika ditemui di gerainya baru-baru ini.Berbekalkan tekad dan iltizam, Mazlan gigih belajar daripada sumber inspirasi beliau iaitu saudaranya sendiri mengenai kaedah membuat lemang daripada awal hingga akhir pemprosesan. Dia kemudian mencuba sendiri selama tiga tahun.


ANTARA para pelanggan yang singgah di kedai Lemang To'Ki untuk menikmati kenakan lemang yang diusahakan Mazlan.



Berkat kesungguhannya, lelaki yang berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang itu berniaga lemang secara kecil-kecilan di hadapan rumah sebagai persediaan awal untuk membuka perniagaan yang lebih besar.Tidak jemu menimba pengalaman, Mazlan memberanikan diri membuka gerai di hadapan lebuh raya yang merupakan laluan utama Bentong-Kuala Lumpur dan Bentong-Kota Bharu dengan modal RM500.Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Jualan lemangnya setiap kali tiba bulan Ramadan dan Syawal memberikan pulangan yang lumayan. Keuntungan diperoleh berlipat kali ganda jika dibandingkan dengan modal permulaan.Sambutan yang memberangsangkan pada musim tertentu membolehkan Mazlan memperoleh hasil jualan yang mencecah RM20,000.“Idea menggunakan nama Lemang To’Ki tercetus secara tidak sengaja ketika menuntut ilmu daripada guru saya yang berasal dari Perak.“Orang Perak menggelarkan orang yang lebih tua sebagai Tok, manakala bagi orang Pahang pula panggilannya Aki dan To’Ki ialah gabungan kedua-dua nama tersebut,” ujarnya.Mazlan berpendapat, lemang sememangnya digemari oleh pelbagai kaum. Ia bukan sahaja menjadi hidangan utama pada Hari Raya Aidilfitri, malah turut dihidangkan ketika perayaan kaum Cina dan India serta dijamah pada hari biasa.
Lokasi strategik yang berdekatan dengan laluan utama Bentong-Kuala Lumpur dan Bentong-Kota Bharu juga menjadi penyumbang utama lemangnya semakin dikenali bukan saja di sekitar Pahang malah dalam kalangan pelancong luar.Lebih membanggakan premisnya turut menjadi tumpuan kerabat Diraja Permaisuri Pahang, Tengku Mariam.Saat diajukan soalan mengenai kelebihan lemang To'Ki jika dibandingkan dengan lemang-lemang lain, Mazlan hanya berkata ringkas: “Sendiri rasa sendiri tahu. Bila dapat rasa, baru tahu”.Tidak mengandaikan lemang air tangannya lebih enak berbanding lemang buatan peniaga lain, dia lebih suka meletakkan soal pilihan kepada pelanggannya.Selain lemang, tidak lengkap sekiranya ia dinikmati begitu sahaja tanpa diiringi rendang ayam mahupun daging. Mazlan turut menjual hidangan sampingan itu pada harga RM5 bagi satu bekas kecil.
Salah seorang pelanggan tetap Lemang To’Ki, Suhaimi Hamzah, 34, memberitahu, dia membeli lemang di situ kerana rasanya yang enak dan lemak selain dijual pada harga yang berpatutan.Sementara itu, Tan Ah Chi, 33, menjelaskan, walaupun dirinya berketurunan Cina tetapi dia suka memakan lemang. Baginya, Lemang To’Ki menjadi pilihan dan dia tidak membeli di tempat lain.“Rasanya sangat sedap dan saya selalu menikmatinya bersama rendang ayam atau daging. Tambahan pula, premisnya tidak jauh dari rumah,” katanya.Bagi meluaskan empayar perniagaan lemangnya, Mazlan berhasrat untuk mempelbagaikan lemang dan menambah produk jualannya yang melibatkan proses membakar seperti ayam panggang, satar, sate, keropok lemang dan cendol lemang.“Pada masa akan datang, saya mahu mengkomersialkan lemang ini dalam bentuk sejuk beku supaya ia dapat menembusi pasaran antarabangsa meliputi negara Asia, Arab Saudi, China, India dan sebagainya.
“Saya juga mahu mewujudkan satu sudut galeri yang menyimpan alatan turun-temurun membuat lemang dan mempamerkan koleksi gambar kenangan daripada awal perniagaan sehingga kini,” ujarnya yang tidak sabar menanti premis baharunya beroperasi sepenuhnya.Bagi mereka yang mahu mendapatkan maklumat lanjut atau membuat tempahan Lemang To’Ki, boleh menghubungi Mazlan di talian             016-953 0544      .

HIDANGAN BARBEKU JEPUN


Hidangan yang unik.

MAKANAN Jepun adalah antara sajian unik, enak dan berkhasiat yang dihasilkan daripada bahan-bahan mentah segar. Lazimnya, negara matahari terbit itu cukup terkenal dengan hidangan seperti sushi, ramen serta soba. Disebabkan itu jugalah hari ini tidak dinafikan banyak restoran yang menghidangkan makanan Jepun tumbuh bak cendawan selepas hujan.
Jika sebelum ini anda peminat makanan Jepun dan sudah menikmati pelbagai jenis hidangan, apa kata kali ini anda menukar selera.
Masih lagi berkisar kepada makanan Jepun tetapi cara hidangan dan masakannya sedikit berbeza daripada menu sebelumnya.
Yang pasti sekali mencuba anda ingin merasainya sekali lagi.
MASIH mengekalkan resipi dari negara Jepun, Restoran BBQ Jepun Gyu-Kaku bagaimanapun menampilkan kelainan dari segi persembahan hidangan dan keunikan rasanya.
Restoran yang terletak di Lot G102, F101 & S102, Isetan, One Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor ini menyediakan sajian yang menjurus kepada cita rasa rakyat Malaysia dan kesemua sajian yang terdapat di restoran tersebut disediakan oleh chef yang berpengalaman.
Menurut Pengurus Besarnya, Devarajan Periyasamy, sesiapa yang mengunjungi Gyu-Kaku pasti memperoleh pengalaman baru dalam menikmati sajian dari negara matahari terbit itu.
Tambah beliau lagi, restoran tersebut cukup terkenal dengan hidangan barbeku dan sudah pasti ia halal.
“Di Gyu-Kaku, hidangan secara barbeku cukup terkenal dan ia lebih kepada daging yang diperap.
“Kami cuba memberikan kelainan dari segi hidangan tetapi masih lagi mengekalkan menu kegemaran rakyat Jepun.
“Peminat masakan Jepun tidak perlu bimbang kerana bahan-bahan yang digunakan dijamin bersih, segar dan sudah pasti kami ingin berikan yang terbaik dengan pelbagai menu untuk dinikmati semua," ujarnya ketika ditemui di restoran tersebut baru-baru ini.
Hidangan sihat yang memikat selera.

Selain menghidangkan masakan barbeku sebagai hidangan utama, Gyu-Kaku turut menawarkan lebih daripada 50 menu dan ia sesuai untuk seisi keluarga.
Pada masa yang sama, jelas Devarajan lagi, bagi memenuhi selera peminat makanan Jepun pihaknya amat menitikberatkan soal kualiti dan ini dapat dilihat apabila pihaknya mengimport sesetengah bahan mentah seperti sos dari Jepun.
Selain itu, restoran yang dikendalikan di bawah Kumpulan Naza itu turut menggunakan arang yang berkualiti tinggi untuk membakar daging.
Jika dilihat daripada hidangan yang disajikan, makanan Jepun ini ringkas dan menyelerakan.
Jadi tidak hairanlah ia semakin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia.
Dibuka setiap hari bermula pukul 11 pagi hingga 10 malam (Ahad hingga Khamis) dan 11 pagi hingga 10.30 malam (Jumaat, Sabtu dan hari cuti), Gyu-Kaku merupakan cawangan pertama di Malaysia.
Menawarkan hidangan dengan harga bermula RM15 dan ke atas, Gyu-Kaku turut menawarkan hidangan seperti makanan laut, pelbagai jenis mi, bibimbab dan pelbagai jenis nasi.
Yang pasti tidak rugi sekiranya anda melangkah untuk menikmati hidangan di restoran Jepun ini dan ia juga sesuai untuk menu berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan ini. - Mariatul Qatiah Zakaria