BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, August 20, 2012

JOHOR BAKAL MUNCUL "IBU KOTA TAMAN TEMA MALAYSIA"

JOHOR BAHARU- Apabila taman tema Legoland pertama Asia di Nusajaya dibuka pada orang ramai September ini, ia menandakan kemunculan Iskandar Malaysia dan Johor sebagai destinasi pelancongan utama negara dan serantau. 
Selepas pembukaan taman tema Legoland bernilai RM750 juta itu, Iskandar 
Malaysia akan menerima tarikan baharu menerusi pembukaan taman tema keluarga Puteri Harbour pada November tahun ini pula. 
Kedua-dua taman tema bertaraf antarabangsa ini sudah semestinya akan menjadi 
daya penarik kepada jutaan pelancong dalam dan luar negara yang merancang untuk berkunjung ke Iskandar Malaysia dan Johor.
Menurut Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) 
Datuk Ismail Ibrahim, Iskandar Malaysia mampu merealisasi potensi besarnya dalam sektor pelancongan menerusi pelaksanaan beberapa projek infrastruktur.   
"Kami percaya Iskandar Malaysia akan menyediakan destinasi pelancongan 
sempurna untuk bersantai dan berhibur pada harga berpatutan dan kompetitif di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis taklimat tentang taman tema keluarga Puteri Harbour oleh anak syarikat Khazanah Nasional, Themed Attractions and Resort (TAR) Sdn Bhd baru-baru ini.
Taman tema keluarga Puteri Harbour yang juga terletak di Nusajaya dibina 
dengan kos RM115 juta, akan menampilkan beberapa watak animasi kegemaran kanak-kanak seperti Hello Kitty, Bob The Builder, Angelina Ballerina, Pingu dan Thomas  And Friends.
Ia juga akan menempatkan "Lat's Place," iaitu restoran kartunis kesayangan 
negara, Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai "Lat",  yang pertama di Malaysia.
Selain kedua-dua taman tema yang berkonsepkan keluarga itu, TAR juga 
merancang membuka dua lagi taman tema bertaraf antarabangsa di pusat peranginan Desaru, di timur Johor.
Kedua-dua taman tema di Desaru itu, Ocean Splash dan Ocean Quest itu akan 
dibina oleh TAR pada kos  RM267 juta dan dijangka siap untuk dibuka pada orang ramai pada pertengahan 2014. 
Pembukaan taman tema Legoland, Puteri Harbour, Ocean Quest dan Ocean Splash di dalam waktu terdekat di Johor dengan kos keseluruhan melebihi RM1 bilion, sememangnya akan melonjakkan sektor pelancongan Johor ke tahap yang tidak pernah diimpikan sebelum ini. 
Malah sudah ada pemerhati industri pelancongan yang melabelkan Johor sebagai 
"ibu kota taman tema Malaysia", berikutan pembukaan satu demi satu taman tema di negeri selatan tanah air ini. 
Iskandar Malaysia menurut Ismail sentiasa berusaha menarik lebih banyak 
pengendali taman tema untuk beroperasi di zon ekonomi khas itu, sebagai tambahan kepada taman-taman tema sedia ada. 
"IRDA sentiasa mencari untuk mempunyai lebih banyak taman tema di Iskandar 
Malaysia dan sekitaranya, yang memberi tumpuan pada hiburan dan pendidikan bercorak kekeluargaan," katanya kepada pemberita. 
Pembangunan taman-taman tema tidak sekadar di Iskandar Malaysia dan Desaru 
kerana di bawah projek "Mersing Laguna" bernilai RM22 bilion, perancangan juga telah dibuat untuk menempatkan beberapa taman tema antarabangsa. 

Sunday, August 19, 2012

MAMOGRAM ATAU ULTRASOUND

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
STATISTIK menunjukkan peningkatan kes kanser payudara di kalangan wanita. Insiden penghidap kanser payudara adalah 1:19 di negara ini menjadikannya kanser yang biasa di kalangan semua etnik di negara ini.
Imbasan biasanya dapat mengesan kanser pada peringkat 1 dan 2 dan kemungkinan besar masih boleh diubati.
Pakar Runding Radiologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Datin Dr. Fatimah Moosa berkata, bagi kanser peringkat 1, hampir 90 peratus boleh dipulihkan.
"Menurut piawaian Amerika Syarikat (AS) wanita yang berusia lebih 40 tahun disarankan membuat pemeriksaan mamogram setahun sekali sehingga berusia 50 tahun bagi pemeriksaan dua tahun sekali.
"Selepas berusia 70 tahun, mamogram boleh dilakukan pada bila-bila masa diperlukan," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Semua wanita mempunyai risiko mendapat kanser payudara bagaimanapun lebih 70 peratus kes yang berlaku tidak dapat dikenal pasti punca.
Dr. Fatimah menambah, biasanya risiko mendapat kanser payudara bertambah dengan peningkatan usia tetapi wanita dengan keluarga yang mempunyai sejarah kanser mempunyai peluang yang tinggi menghidapinya.
Wanita yang pernah diserang kanser mempunyai risiko yang tinggi untuk diserang sekali semula.
Wanita yang mempunyai lobular carcinoma juga lebih kerap diserang kanser serta mereka yang datang haid awal dan menopaus lewat selepas usia 55 tahun.
Selain itu wanita yang tidak melahirkan anak atau melahirkan selepas usia 35 tahun lebih terdedah kepada kanser payudara.
Mereka yang mengambil diet tinggi lemak, alkohol dan merokok juga terdedah kepada risiko kanser payudara.
Justeru bagi mengelakkan kanser payudara, ujian perlu dilakukan bagi mengesannya.
Biasanya mamogram digunakan untuk mengesan kanser di peringkat awal yang potensi pemulihan adalah lebih tinggi.
Imbasan penting kerana rawatan awal boleh dilakukan dan biasanya mereka yang didiagnos dengan kanser payudara tidak mempunyai risiko.
Mamogram pula hanya dilakukan pada wanita yang berusia 40 tahun ke atas kerana sel lemak telah mula berkurangan.
Jika mamogram hanya untuk wanita berusia 40 tahun ke atas bagaimana untuk mendiagnosis wanita 40 tahun ke bawah?
Dr. Fatimah berkata, wanita berusia bawah 40 tahun disarankan menggunakan teknik ultrasound jika disyaki menghidap kanser payudara.
"Bagaimanapun ultrasound hanya mengimbas kawasan tertentu saja dan bergantung kepada operator mahir serta hanya untuk kawasan sasaran," katanya.
Ultrasound sangat sensitif tetapi tidak spesifik seperti mamogram.
"Ultrasound tidak boleh mengimbas sebuah bahagian payudara," katanya.
Bagaimanapun jangan bimbang menjalani ujian berkenaan kerana dos radiasinya adalah rendah dan boleh dilakukan setiap tahun.
Justeru pesan Dr. Fatimah, jika terdapat kelainan di bahagian payudara, jangan segan untuk berjumpa doktor walaupun belum berusia 40 tahun.

KAWAL PEMAKANAN KETIKA BERAYA


Sekiranya kita tidak menjaga pemkanan sepanjang syawal, , ada kemungkinan badan tidak dapat melakukan proses detox dengan baik. - Gambar Hiasan

SYURGA makanan." Itulah ungkapan yang sesuai digambarkan apabila tiba 1 Syawal. Selagi tidak penuh makanan di meja, seperti tidak lengkap menu di pagi raya.
Lauk-pauk, kuih-muih, pencuci mulut dan minuman disediakan untuk hidangan keluarga di pagi raya.
Ada yang bertanya, "cukup tak makanan kita hari ni?" Ada pula yang berkata, "tidak seronok pula tanpa manisan serta minuman sejuk."
Selepas tiga hari menyambut Aidilfitri, timbul pula persoalan. Adakah berat badan akan bertambah atau kenapa badan semakin letih? Perkara ini biasa berlaku disebabkan tabiat pemakanan sepanjang Syawal.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui, badan kita baru sahaja melalui proses detox secara semula jadi sepanjang Ramadan. Sekiranya, amalan pemakanan kita bertukar, ada kemungkinan badan tidak dapat melakukan proses detox dengan baik.
Apa itu detox?Menurut Pakar Diet, Nurul Husna Abdul Karim dari Hospital Pakar DEMC Shah Alam, Selangor, amalan puasa dapat membantu individu mengawal pemakanannya. Sebaliknya, ramai yang terlupa amalan ini perlu diteruskan sepanjang Syawal.
"Detox adalah proses penyingkiran bahan toksik atau buangan dari sistem tubuh badan. Ramai mengandaikan detox boleh dilakukan dengan kaedah luaran sahaja seperti mengambil jus detox, teh herba, sauna dan lain-lain.
"Sebenarnya badan sendiri mempunyai sistem detox semula jadi iaitu organ hati, usus dan ginjal. Apabila kita berpuasa, badan akan melakukan detox secara semula jadi.
Apabila tiba Aidilfitri, kita mungkin tidak berjaya melakukannya secara semula jadi kerana faktor hidangan makanan yang pelbagai. Justeru, saya menyarankan umat Islam melakukan diet detox di bulan ini," katanya.
Secara ringkasnya pembuangan toksin dan nyah toksin menerangkan tentang proses penyingkiran toksin dari dalam tubuh badan.
"Manusia memilih untuk melakukan detox untuk memastikan sistem penghadaman usus bekerja dengan sepatutnya, memastikan kulit bersih dan segar serta memastikan sistem buah pinggang dan hati berjalan lancar.
"Apabila semua organ penyingkiran toksin ini berjalan dengan sepatutnya barulah tubuh kita boleh mengeluarkan toksin secara berkesan dan maksimum," jelasnya.
Menambah lanjut, menurutnya, pembuangan toksin amat penting bagi memastikan kesihatan tubuh badan. Tubuh badan mestilah menjalani pembuangan toksin setiap hari atau seseorang itu mungkin berhadapan dengan risiko penyakit
Tambah Nurul, diet detox tidak perlu dilakukan dalam tempoh yang panjang kerana ia memadai dilakukan dua hingga tiga hari sahaja sama seperti amalan puasa enam.
"Sebenarnya proses pembuangan toksin adalah lebih mudah sekiranya kita mengamalkan pemakanan sihat dengan mengambil makanan berserat tinggi, diet organik semula jadi dan menjalani kehidupan secara natural," katanya.
Siapa yang perlukan diet detox?Mereka yang kerap berasa letih akibat tekanan kerja, tidak menjaga pemakanan (kerap makan makanan segera atau proses), kerap sakit seperti selesema atau demam perlu mengamalkan diet detox.
"Selain itu, mereka yang mengalami masalah penghadaman atau sering sakit kepala juga perlu melakukannya. Namun, orang ramai perlu tahu bahawa amalan ini bukan untuk rawatan atau menyembuhkan penyakit. Ia bertujuan meningkatkan kecekapan organ detox badan. Sementara itu, golongan berpenyakit kronik, ibu mengandung atau ibu menyusu tidak sesuai melakukan diet detox," ujarnya.
Tempoh masaTambah Nurul, bagi merangsang, meningkatkan aktiviti dan kecekapan organ detox, diet ini boleh dilakukan dua hingga tiga hari berturut-turut.
"Ia bukan untuk jangka masa panjang. Bagi mereka yang berminat melakukan diet ini, tiga prinsip utama perlu diamalkan iaitu pertama, buah-buahan dan sayur-sayuran (kaya dengan fitokimia dan vitamin C). Kedua, kita mengamalkan produk bijiran seperti fosforus dan laksatif. Prinsip yang terakhir sayur-sayuran hijau termasuk brokoli, kubis, kubis bunga, kubis daun, kubis brussels termasuk sulfur baik untuk detox hati," ujarnya.
Persediaan diet detox perlu dilakukan satu hingga dua minggu sebelum melakukan diet detox. Selain itu, walaupun hidangan Syawal mungkin menguji kesabaran selera anda, Nurul menasihatkan orang ramai mengurangkan pengambilan kafein, gula dan makanan karbohidrat.
Anda juga tidak digalakkan mengambil makanan berminyak dan berlemak selain makanan segera atau proses. Hanya satu benda digalakkan mengambil secara berlebihan iaitu air!

RAIKAN AIDILFITRI


HARI Raya Puasa atau Hari Raya Aidilfitri adalah hari kebesaran yang disambut oleh seluruh umat Islam seluruh dunia. Ia besar bagi umat Islam yang dirayakan pada 1 Syawal setiap tahun setelah berakhir puasa di bulan Ramadan.
Aidilfitri adalah lambang kejayaan dalam menunaikan satu perintah Allah SWT. Ia merupakan kemenangan dalam bentuk maknawi. Aidilfitri juga adalah tanda tamatnya satu tempoh latihan kerohanian. Kegembiraan yang dirasai adalah atas dasar kesyukuran kerana mendapat sesuatu yang berharga iaitu iman dan takwa.
Pada hari itu juga segala dosa umat Islam yang telah menunaikan puasa Ramadan sebulan penuh dan membayar zakat fitrah akan dibersihkan sehingga seperti bayi yang baru dilahirkan ke dunia.
Hari Raya Aidilfitri seharusnya dirayakan mengikut sunah Nabi SAW. Antaranya disunatkan bangun pagi awal daripada biasa. Digalakkan memberus gigi dan membersihkan badan. Mandi sunat hari raya dan berpakaian indah mengikut syariat.
Umat Islam juga digalakkan memakai pakaian terbaik (yang tidak semestinya baru). Hal ini bagi mengelakkan supaya seseorang itu tidak berhutang atau melampaui batasan Islam dalam kesederhanaan berpakaian. Digalakkan memakai minyak wangi yang dibolehkan dibawa sembahyang.
Tunaikan solat hari raya, pada kebiasaannya bagi Mazhab Syafi'e dilakukan di masjid dan boleh juga dilakukan di kawasan terbuka jika masjid penuh iaitu di kawasan padang dan tanah lapang yang terbuka lagi bersih.
Digalakkan makan sedikit sesuatu yang manis pada Hari Raya Aidilfitri sebagai contoh kurma dengan bilangan ganjil, iaitu satu atau tiga biji kurma sudah memadai. Ini bagi mengelakkan perut terasa lapar sewaktu solat yang mengambil masa yang agak lama.
Disunatkan pergi ke tempat solat pada awal waktu bagi mengelakkan kesesakan di jalan dan terlambat dalam menunaikan solat Aidilfitri. Digalakkan berjalan kaki ke tempat solat hari raya, jika ia dalam lingkungan yang tidak jauh mengikut jarak perjalanan. Gunakan jalan yang berlainan pergi dan balik dari tempat solat Hari Raya Aidilfitri bagi mengenali jiran dan merapatkan silaturahim.
Mengikut mazhab Syafi'e digalakkan membaca takbir dengan kerap dan boleh dibaca dengan kuat. Apabila tiba di masjid lakukan solat sunat dua rakaat tanpa azan atau iqamah. Adalah dilarang untuk menunaikan solat sunat sebelum atau selepas solat hari raya di padang. Tetapi boleh dilakukan jika bersolat di dalam masjid , umpamanya solat Dhuha dan Tahiyatul Masjid.
Lakukan solat sunat dua rakaat apabila tiba di rumah iaitu setelah selesai solat sunat Aidilfitri. Selepas itu digalakkan menerima tetamu yang berkunjung ke rumah bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kejiranan.
Semasa solat hari raya, dalam rakaat pertama , Rasulullah SAW akan membaca surah al-A'la dan surah al-Ghasiyaah dalam rakaat kedua. Boleh juga dibaca surah Qaaf pada rakaat pertama dan al-Qamar pada rakaat kedua.
Diriwayatkan pada zaman Rasulullah SAW, apabila selesai menunaikan solat hari raya baginda akan berdiri menghadap orang ramai yang sedang duduk dalam barisan mereka, memberi khutbah, mengeluarkan arahan dan memerintahkan umat Islam melakukan kebaikan.
Jika ingin menghantar tentera atau jemaah, baginda akan lakukan dan begitu juga mengeluarkan arahan yang khusus yang baginda inginkan.
Khutbah diberikan selepas solat hari raya. Khutbah hari raya adalah sunat tetapi mendengarnya adalah wajib. Adalah dilarang keras (haram) untuk berjalan sekeliling, berbual atau menunaikan solat semasa khutbah.
Hal ini penting bagi mendengar amanat yang ingin disampaikan oleh Imam kepada makmum. Jika para makmum tidak memberi perhatian yang khusus sudah tentu amanat yang ingin disampaikan tidak tercapai.
Bersalaman antara satu sama lain adalah dibenarkan tetapi janganlah dilakukan sebagai adat atau dengan keterlaluan.
Bertemu dengan orang yang datang dari jauh dengan berjabat tangan atau dengan berpelukan apabila bertemu mereka adalah dibolehkan.

Saturday, August 18, 2012

KEENAKAN KULIT KERBAU SALAI

DAGING kerbau sememangnya digemari di Kampung Lukut dan Kampung Bukit Lintang, Kota Tinggi, Johor. Ia disifatkan lebih pejal, lebih manis dan tidak berbau seperti daging lembu ternak.Tidak hairanlah permintaan daging kerbau di kampung itu tidak pernah menyusut. Malah, setiap kali Syawal, hampir semua rumah akan menyediakan rendang kerbau dan lemang sebagai juadah istimewa Aidilfitri.
"Bila tiba sahaja bulan puasa, kami akan keluar memburu kerbau bertuan yang hidup meliar pinggir di kampung ini. Permintaan terhadap daging kerbau liar memang tinggi di kampung ini, malah orang luar juga sudah pandai mencari daging kerbau setiap kali raya tiba.

"Masa itu, bukan sahaja daging, semua bahagian kerbau akan habis terjual. Daripada tanduk, tulang, kepala, kulit, tidak ada yang tertinggal," ujar pemburu kerbau liar, Nurul Hisham Norden atau Dodot.Selain rendang kerbau dan kerbau salai masak lemak cili api, jangek adalah menu berasaskan kerbau yang menjadi signatur kampung itu.
"Jangek adalah kepingan kulit kerbau yang dibakar, dikikis dan diketuk berulang kali sehingga bersih daripada bulu-bulu.
"Selepas itu, ia akan disalai beberapa hari sehingga kering dan keras. Kemudian, kepingan itu diketuk menggunakan tukul besi sehingga warnanya yang hitam menjadi kekuningan.
"Apabila hendak dimasak, ia direbus terlebih dahulu sehingga lembut dan warna bertukar menjadi lut sinar seperti agar-agar.
"Setelah lembut, sejukkan terlebih dulu sebelum dipotong kecil-kecil dan sedia untuk dimasak," ujar Sareh Soho, 67.
Tambah isterinya, Sapiah Mohd. Yusof, 63, jangek enak dimasak lemak cili api bersama labu manis ataupun ubi kayu.
"Kalau suka, jangek juga boleh dimasak dengan rebung. Penyediaannya memang rumit, tetapi rasanya yang lembut tetapi sedikit kenyal sungguh enak.
"Malah, setiap kali ada rewang sempena kenduri kahwin ataupun anak-anak berkumpul sempena raya, mereka pasti meminta saya menyediakan hidangan jangek masak lemak cili api.
"Bagi yang pertama kali menikmatinya, pasti akan mencuba untuk kali kedua. Malah, besan saya dari Pulau Pinang turut menggemari hidangan ini," ujar ibu kepada 12 cahaya mata ini.
Kedua-dua kampung ini yang terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari bandar Kota Tinggi, Johor memang kaya dengan keunikan budaya dan adat warisannya.Ia dibuka pada tahun 1890 oleh Raja Lajim Raja Syed yang merupakan waris keturunan Raja Melewar dari Negeri Sembilan yang berhijrah dari Lukut di Port Dickson, Negeri Sembilan bersama lapan lagi saudaranya.Biarpun sudah 122 tahun berlalu, warisan Minangkabau dan adat Perpatih masih diamalkan di negeri Johor yang mengamalkan adat Temenggung hingga ke hari ini.Paling ketara, gaya percakapan penduduk di kampung ini yang menuturkan loghat asli Negeri Sembilan cukup untuk membuatkan orang luar yang bertandang ke sini beranggapan mereka berada di Negeri Sembilan, bukannya di Johor.

ZAKAT NIAGA PONTIAN MENINGKAT SETIAP TAHUN


PONTIAN 17 Ogos - Pembayaran zakat perniagaan yang diterima di daerah ini didapati meningkat daripada setahun dan setahun sejak 2008, sekali gus menunjukkan perkembangan mengenai kesedaran dalam kalangan usahawan beragama Islam untuk menunaikan kewajipan masing-masing.
Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon berkata, ia juga secara tidak langsung menunjukkan jumlah usahawan dan ahli perniagaan muslim sudah meningkat dan sumbangan yang diberikan dapat membantu lebih ramai golongan memerlukan.
"Sebagai contoh pada tahun 2010, bayaran zakat perniagaan yang diterima oleh Baitulmal Daerah Pontian ialah sebanyak RM386,000 dengan 184 pembayar zakat berbanding RM592,000 pada tahun 2011 dengan 192 pembayar zakat.
"Baitulmal diharap dapat terus menjalankan kempen serta penerangan kepada ahli-ahli perniagaan muslim mengenai kepentingan membayar zakat perniagaan seperti mana yang dituntut di dalam Islam," katanya ketika berucap pada Majlis Pembayaran Zakat Perniagaan dan Penyerahan Bantuan oleh lima syarikat bumiputera di Tanjung Piai Resort, Serkat di sini semalam.
Bagi penerima, Hamdan Ahmad, 49, sumbangan RM10,000 daripada Syarikat Penjuru Benua akan digunakan untuk membiayai sebahagian daripada kos pembedahan jantung anaknya, Siti Nor Alisa Diana, 10, di Institut Jantung Negara (IJN) pada tahun lalu yang masih belum selesai dibayar.
Dia yang berasal dari Lorong Pinang di sini berkata, pendapatan kurang RM1,000 sebulan sebagai pengawal keselamatan tidak cukup untuk membayar kos tersebut, di samping keperluan mereka sekeluarga.
"Syukur selepas pembedahan itu, keadaan kesihatan Nor Alisa bertambah baik dan dapat menjalankan kehidupan seharian seperti mana kanak-kanak lain pada usia 10 tahun," katanya lagi.
Seorang lagi penerima, Farid Asraf Omar, 20, yang menerima RM900 daripada MZ Enterprises bagi membayar yuran pengajian di Universiti Teknikal Melaka yang belum dapat diselesaikan sepenuhnya.
Katanya, beliau merupakan anak kedua daripada tujuh beradik bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang telah memberikan sumbangan tersebut kerana dapat meringankan beban kewangannya dan berazam untuk mengikuti pengajian dengan bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib keluarga dan menjadi contoh kepada adik-beradik lain.

Thursday, August 16, 2012

PEK MENU SEJUK BEKU SRI KULAI

NASI lemak antara pek sedia makan yang ditawarkan Sri Kulai.


MESKIPUN Syawal bakal menjelma dalam beberapa hari lagi, jenama perintis makanan sejuk beku yang halal, Sri Kulai masih memanjangkan tempoh promosi menu edisi khas Ramadan sehingga bulan September 2012.Kepada mereka yang mungkin merancang untuk menunaikan puasa enam pada bulan Syawal, menu ayam gulai lemak tradisional dan ayam kurma tradisional sesuai disajikan untuk bersahur atau berbuka puasa.Kedua-dua menu tersebut yang mendapat permintaan tinggi daripada pengguna sudah tiga kali diperkenalkan di pasaran. Dijual sejak awal Ramadan lalu, produk tersebut boleh didapati di stesen-stesen (RTE) Ready To Eat Sri Kulai.Setiap pek lauk seberat 360 gram hingga 400 gram boleh dikongsikan bersama tiga orang dan boleh dimakan selepas dipanaskan selama enam minit dalam ketuhar. Enak dimakan bersama nasi atau roti, kedua-dua menu tersebut dijual pada harga RM7.90 setiap pek sepanjang promosi hingga September ini.

PRODUK Sri Kulai boleh didapati di pusat beli-belah dan pasar raya besar terpilih.

Sebagai bonus, Sri Kulai turut memperkenalkan kad kesetiaan ideal buat mereka yang ingin mendapatkan produk tersebut tanpa memeningkan kepala. Kepada pemegang kad, anda berpeluang mendapat dua pek menu percuma bagi setiap pembelian enam pek produk Sri Kulai atau empat menu percuma yang lengkap untuk setiap pembelian 10 pek produk Sri Kulai.Sebagai memberi pilihan kepada pelanggan, anda boleh terus ke stesen Sri Kulai yang menawarkan 30 pilihan menu yang sedia dimakan. Produk Sri Kulai bebas pengawet, monosodium glutamnate (MSG) dibungkus menggunakan bahan yang mesra alam dan disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).Ia boleh didapati di pusat beli-belah Aeon Jusco, pasar raya besar Tesco, Giant, Village Grocer dan Cold Storage pada harga runcit bermula dari RM5.90.