BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, September 9, 2012

BERDEKATAN SINGAPURA: LEGOLAND DAPAT KELEBIHAN

Pembukaan Legoland pada September ini menjadikan Johor pemegang status ibu kota keriangan dan taman tema Malaysia

SINGAPURA - Terletak berdekatan dengan Singapura di penghujung selatan wilayah Iskandar di Nusajaya, Johor, Malaysia, telah menjadikan Legoland sebagai satu daya tarikan pelancong antarabangsa, kata Pengurus Besar Legoland Malaysia Siegfried Boerst.
"Legoland Malaysia adalah satu projek yang benar-benar menarik bagi kami kerana ia merupakan peluang hiburan yang kami cari di Asia.
"Iskandar Malaysia menyokong kami dan kami mempunyai peluang baik kerana berdekatan dengan Singapura dan terletak di penghujung selatan Malaysia di sini benar-benar menjadikan kami destinasi pelancongan antarabangsa," katanya kepada Bernama pada hari previu keluarga media Legoland Malaysia baru-baru ini.
Boerst berkata taman itu mencatatkan kemajuan sangat baik dan " kami amat gembira mempunyai pengunjung di taman ini untuk melatih kakitangan kami bersiap sedia bagi pembukaan kepada orang ramai pada 15 September ini.
Beliau berkata syarikat itu telah menjual pas tahunan menerusi Internet bagi pasaran pengunjung dari Singapura dan Malaysia.
"Kami juga telah menjual tiket harian kepada rakan kongsi perjalanan kami dan pengusaha pelancongan atau di jerayawara kepada tetamu individu.
"Kami telah mengadakan jerayawara di Singapura dan Johor sejak beberapa bulan lepas.
Beliau berkata jualan pas tahunan mendapat sambutan baik dan Legoland akan meneruskan jualan pas seumpama itu.
"Lebih 35 peratus pas telah dijual di Singapura, jadi kami melihat Singapura sebagai pasaran residen kami bersama dengan Johor.
"Kami sangat dekat hanya 10 minit daripada Pusat Pemeriksaan Imigresen Tuas. Sangat mudah untuk datang ke sini bagi warga Singapura," katanya.
Oleh kerana Singapura dan Johor adalah pasaran residen kami, Boerst berkata:"Kami menumpukan banyak aktiviti bagi pasaran-pasaran ini."
Selain daripada pasaran residen ini, beliau berkata "kami mempunyai pelancong domestik yang terdiri daripada sesiapa sahaja dari Malaysia termasuk dari Lembah Klang, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak".
Dari segi pelancong antarabangsa, beliau berkata Legoland menyasar pelancong antarabangsa yang telahpun datang ke Malaysia atau Singapura.
Terletak di bahagian selatan Malaysia, katanya, Legoland boleh menarik pelancong yang datang ke Singapura atau ke Kuala Lumpur terutamanya di masa depan apabila Lapangan Terbang Senai memulakan lebih banyak penerbangan terus antarabangsa.
Apabila ditanya mengenai sasaran pengunjung, Boerst berkata:"Buat permulaan ini kami menyasar terutamanya orang yang telah datang ke Malaysia dari negara Asean seperti Indonesia, Thailand dan Filipina."
Tetapi sekarang, katanya, terdapat potensi besar mendapatkan pengunjung dari India, China dan juga Hong Kong.
"Kami ada ramai rakan Facebook...sebagai contoh Hong Kong merupakan bilangan ketiga terbesar yang berminat dengan projek itu (Legoland).
"Oleh itu kami juga boleh melihat ada potensi besar bagi pasaran-pasaran tersebut terutamanya dengan strategi destinasi resort Legoland untuk menambah taman air dan hotel tahun depan," katanya.
Menerusi projek taman air dan hotel, katanya "ia akan membolehkan kami menarik lebih ramai pelancong yang mahu tinggal beberapa hari dan yang sedang bercuti singkat di Johor.
"Kami sedang membina hotel itu dan ia sepatutnya siap dan dibuka kepada orang ramai awal 2014," katanya.
Pembinaan taman air yang terletak bersebelahan taman tema itu, akan bermula bulan ini dan dijangka siap separuh kedua 2013.
Beliau berkata kos taman air dan taman tema itu bersama-sama dengan semua kemudahan adalah sebanyak RM720 juta.
Dari segi sasaran pengunjung, Boerst berkata: "Bagi tahun pertama, sasaran kami ialah lebih satu juta pengunjung, tetapi dengan melihat sambutan setakat ini, kami amat yakin memperoleh lebih ramai lagi.
Bagi warga Singapura yang membeli pas tahunan, penggunaan Malaysia Automated Clearance System (MACS), sudah tentunya amat baik kerana ia akan membantu mereka memudahkan perjalanan merentas sempadan.
Beliau berkata Legoland bekerjasama rapat dengan Imigresen dan telah mengadakan perbincangan dengan mereka beberapa bulan lepas.
"Mereka (pihak Imigresen) berusaha membantu kami bagi memudahkan proses merentas sempadan," katanya.
Menjadi taman tema antarabangsa pertama di Malaysia dan Legoland pertama di Asia, Boerst berkata Legoland berusaha keras untuk melatih kakitangannya.
"Bagaimanapun kebanyakan mereka tidak pernah bekerja di taman tema, itulah sebabnya mengapa kami membuat pelancaran tidak rasmi sekarang dengan menjemput tetamu khas (pihak media) untuk merasai sendiri pengalaman di taman ini (yang sekaligus) menjadi asas latihan baik kepada kakitangan kami," katanya.
Menyentuh mengenai kemudahan untuk pergi ke taman itu bagi warga Singapura, beliau berkata Legoland telah menyediakan bas-bas khas untuk membawa pengunjung ke taman tema itu.
"Terdapat bas kuning (Causeway Link) dari Jurong East yang akan membawa pengunjung ke Malaysia terus ke Legoland.
Beliau berkata ada juga bas pengantara dari Singapore flyer di mana pengunjung boleh menempah bagi perjalanan balik.
"Bas akan mengambil mereka di Singapore flyer dan menghantar terus ke Legoland.
"Oleh itu sekiranya pengunjung tidak mempunyai kereta mereka masih boleh datang ke Legoland," katanya.
Perkhidmatan Bas Causeway Link akan bermula minggu ini dan perkhidmatan di Singapore flyer akan bermula bersempena dengan pembukaan rasmi Legoland pada 15 September, katanya.
Legoland, yang diuruskan oleh Merlin Entertainment Group, pengendali daya tarikan pengunjung kedua terbesar dunia itu menampilkan tujuh kawasan bertema dengan lebih 40 permainan, pertunjukan dan daya tarikan.
Boerst berkata: "Kami merupakan satu-satunya taman tema yang benar-benar menyasar kepada keluarga dan kanak-kanak dan berharap mereka akan berseronok merasai pengalaman ini."

Saturday, September 8, 2012

585 PREMIS AKAN DICAT SEMULA


PONTIAN – Sebanyak 585 premis perniagaan di bandar ini akan terlibat dengan program mengecat bangunan di bawah peruntukan Majlis Daerah Pontian (MDP) yang akan bermula pada 16 September dan berakhir 15 Oktober ini.
Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP), Miswan Yunus berkata, langkah mengecat semula premis perniagaan ini diambil bagi mengindahkan daerah ini yang telah dimasukkan ke dalam kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (Irda).
Menurutnya, untuk menjayakan program tersebut, MDP telah melantik beberapa pengusaha cat bagi memudahkan pemilik premis perniagaan mendapatkan bekalan cat.
“Pihak MDP juga akan memilih warna yang bersesuaian bagi setiap blok bangunan bertujuan memudahkan setiap blok-blok ini dikenal pasti mengikut warna.
“Kita ambil contoh seperti di Melaka, Tangkak, Muar dan beberapa tempat lain yang menggunakan konsep warna bagi blok-blok premis perniagaan bagi memudahkan pelancong mengenal pasti bangunan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di MDP di sini, kelmarin.
Menurutnya, bagi memastikan program tersebut berjaya, MDP akan melakukan pemantauan dengan bantuan bahagian penguatkuasaan MDP sendiri.
Katanya, walau bagaimanapun, premis-premis perniagaan yang mempunyai warna korporatnya sendiri seperti bank dan bangunan-bangunan jabatan kerajaan tidak perlu mengikut spesifikasi warna yang telah ditentukan MDP.
“Namun premis tersebut perlu mengecat bangunan mereka mengikut warna korporat masing-masing,” katanya.
MDP juga katanya, turut melibatkan persatuan Peniaga Tiong Hua Pontian, bagi menjayakan program terbabit.
“Pihak MPD juga bercadang untuk memperluaskan lagi program mengecat semula bangunan ke pekan-pekan kecil lain selepas kawasan bandar,” katanya.
Jelasnya, beliau amat berharap program ini akan mendapat sambutan dalam kalangan pemilik premis perniagaan memandangkan program seumpama ini pernah dilakukan sebelum ini.
“MDP amat mengharapkan sokongan daripada pemilik premis bagi mengindahkan kawasan bandar dengan mengecat bangunan mereka sepanjang program mengecat semula bangunan berlangsung,” katanya.
Sementara itu, bagi Pengerusi Persatuan Peniaga Tiong Hua Pontian, Boo Sang Hui berkata, seramai 250 ahli persatuan dijangka akan terlibat di dalam program mengecat semula bangunan itu.
“Kita akan bekerjasama dengan pihak MDP bagi mengindahkan lagi kawasan bandar di dalam daerah Pontian yang sememangnya mempunyai pelbagai daya tarikan untuk dikunjungi pelancong,” katanya.

LAGUNA MERSING BATAL


Sultan Johor
Sultan Johor




















SENAI - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengumumkan pembatalan projek mega di Mersing, Laguna Mersing kerana pemaju gagal mematuhi syarat perjanjian.

Titah Sultan Ibrahim, baginda memantau sendiri kemajuan projek terbabit yang diumumkan pelaksanaannya pada 14 April lalu.

"Pemaju telah gagal untuk memenuhi syarat-syarat perjanjian yang ditandatangani pada 25 Februari lalu," titah baginda di sini, hari ini.

Mengikut perjanjian, pihak pemaju hendaklah meningkatkan modal berbayar sebanyak RM200 juta, namun sehingga  hari ini, selepas tamat tempoh enam bulan, pemaju masih gagal untuk memenuhi syarat asas tersebut.
"Dengan kegagalan tersebut, maka projek ini dengan sendirinya terbatal," titah baginda pada majlis ulang tahun Rejimen Gerak Khas Ke-47 di Kem Iskandar Mersing di sini.
Baginda turut mengingatkan mana-mana pihak untuk jangan mencari jalan mudah untuk mengaut keuntungan di negeri ini.
"Negeri Johor memang sedang pesat membangun dan sentiasa terbuka kepada mana-mana pemaju yang betul-betul komited, mempunyai kepakaran dan modal yang nyata.
"Sekiranya ada mana-mana pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dengan mencari jalan mudah untuk mengaut keuntungan, maka pergilah ke tempat lain kerana tiada tempat untuk orang seperti ini di negeri Johor," titah Sultan Johor.
Baginda akan perhatikan setiap yang berlaku di negeri ini bagi menjamin pembangunan yang dibuat benar-benar memberi faedah kepada rakyat.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerak Khas menegaskan, jawatanya bukan sebagai sandaran dan baginda mahukan segala rancangan pembangunan rejimen dimaklumkan kepada tuanku dan tidak membelakanginya.
"Dukacita saya maklumkan sehingga hari ini kelengkapan yang dibekalkan kepada Kor Gerak Khas masih tidak mencukupi dan segala permintaan yang dibuat masih tidak diendahkan dan seolah-olah kor ini dianaktirikan," titah baginda.

Friday, September 7, 2012

COKLAT KURANGKAN RISIKO STROKE


Coklat mengandungi flavonoid yang bertindak sebagai antioksida.

SUAMI, bapa, abang atau adik lelaki anda penggemar coklat? Jangan risau, coklat memberikan manfaat buat lelaki yang 'mencintainya'.
Kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik di Sweden menunjukkan lelaki yang kerap makan coklat kurang risiko diserang strok.
Hasil kajian itu telah diterbitkan dalam satu jurnal neurologi, yang mana ia membabitkan kajian lebih sedekad terhadap lebih 37,000 lelaki yang gemar makan coklat.
Sukatan coklat yang dimakan lelaki terbabit dalam kajian itu adalah bersamaan dengan satu pertiga cawan yang dipenuhi dengan cip coklat.
Dengan pengambilan kerap padaan sukatan sebanyak itu telah mengurangkan 17 peratus risiko diserang strok berbanding lelaki yang langsung tidak makan coklat.
Ini bukanlah kajian pertama yang menyatakan manfaat coklat pada kesihatan kardiovaskular manusia.
Sebelum ini banyak kajian lain menunjukkan penggemar coklat mempunyai risiko rendah mendapat penyakit berkaitan sistem tersebut seperti penyakit jantung, strok dan tekanan darah tinggi.
"Apa yang mengurangkan risiko penggemar coklat ini kepada penyakit strok adalah kandungan flavonoid yang terdapat di dalamnya," kata Susanna Larsson, penyelidik dari Institut Karolinska di Stockholm yang juga ketua kepada penyelidikan terbabit.
Larsson turut melakukan kajian yang sama terhadap golongan wanita tahun lalu dan turut menemukan hasil yang sama.
Menurut kajian tersebut, flavonoid adalah satu kompaun yang bertindak sebagai antioksida.
Ia mempunyai kesan yang amat baik terhadap tekanan darah, kolesterol dan fungsi saluran darah.
Dalam kajian tersebut, lelaki Sweden berusia lingkungan 49 hingga 75 tahun dilaporkan makan seperti biasa dan juga makan coklat sebagai makanan sampingan mereka.
Selepas 10 tahun tempoh pemantauan, hanya 1,995 daripada jumlah keseluruhan lelaki yang terbabit dalam kajian tersebut mengalami serangan strok buat pertama kali.
Kumpulan penyelidik Larsson itu juga menyenaraikan faktor-faktor lain yang terlibat dalam kajian mereka seperti berat badan, cara pemakanan dan sama ada mereka mempunyai tekanan darah tinggi atau sebaliknya.
"Walaupun faktor yang dinyatakan di atas telah diambil kira tetapi lelaki yang makan banyak coklat mendapat pengurangan risiko sebanyak 17 peratus diserang strok," jelasnya.
Sementara itu, seorang penyelidik, Richard Libman, yang juga Naib Pengerusi Jabatan Neurologi di Institut Cushing Neuroscience Manhasset, New York, Amerika Syarikat berkata, flavanoid bukan saja terdapat dalam coklat malah makanan lain seperti epal, brokoli, soya, teh dan kekacang.
"Begitupun dengan fakta yang didapati di atas bukan bermakna orang ramai boleh makan coklat sesuka hati.
"Fikirkan juga kesan negatif akibat pengambilan coklat tersebut seperti obesiti dan diabetes jenis 2," tegasnya.

Sunday, September 2, 2012

HAB MINYAK & GAS DI PONTIAN


JOHOR BAHARU 2 September - Pusat Maritim dan Petrokimia Tanjung Bin (TBPMC) kini pada peringkat akhir rundingan dengan beberapa syarikat berpotensi yang berminat untuk melabur kira-kira RM2 bilion di hab industri minyak dan gas itu.
TBPMC yang berkeluasan 902 hektar (2,255 ekar) dan dibangunkan pada kos RM2.4 bilion oleh Seaport Worldwide Sdn Bhd, yang juga merupakan anak syarikat milik penuh Johor Port.
Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Shahrull Allam Shah Abdul Halim berkata, sebuah syarikat telah pun menandatangani memorandum persefahaman dengannya yang bakal menyaksikan pelaburan sebanyak RM1 bilion di TBPMC.
Pelaburan RM1 bilion itu juga melibatkan pembinaan kemudahan jeti di TBPMC.
"Kita sedang berunding secara serius dengan tiga pelanggan yang berpotensi dengan keseluruhan pelaburan bernilai kira-kira RM2 bilion," katanya kepada Bernamabaru-baru ini.
Dengan kemasukan tiga pelabur baru itu ke TBPMC, beliau berkata, ia akan menambah kapasiti kemudahan penyimpanan minyak di pusat itu sebanyak tiga juta meter padu lagi.
Menurut Shahrull Allam Shah, jika dibangunkan secara keseluruhan sebagai pusat penyimpanan minyak, TBPMC berkemampuan menampung sehingga 10 juta meter padu minyak.
Pada ketika ini, TBPMC mempunyai satu pelanggan iaitu ATT Tanjung Bin Sdn. Bhd. (ATB) yang telah pun beroperasi dengan kemudahan penyimpanan minyak sebanyak 860,000 meter padu.
ATB merupakan syarikat usaha sama 50:50 antara syarikat pedagang tenaga terbesar dunia, Vitol Terminals BV and konglomerat maritim tempatan, MISC Bhd.
ATB yang mula dibina pada September 2009 dengan pelaburan permulaan sebanyak RM1 bilion, beroperasi di atas tanah seluas 49.2 hektar (123 ekar) di TBPMC, kata Shahrull Allam Shah.
Kemudahan penyimpanan minyak milik ATB itu pada akhirnya akan memiliki kapasiti penyimpanan minyak sebanyak antara 1.2 juta dan 1.4 juta meter padu, katanya.
Menurut Shahrull Allam Shah, fokus syarikat pada ketika ini adalah untuk membangunkan fasa pertama TBPMC di atas tanah seluas antara 120 hektar (300 ekar) hingga 160 hektar (400 ekar) dengan kemudahan bagi aktiviti penyimpanan minyak.
"Terletak berhadapan dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas, dengan lokasi yang amat strategik, 45 minit daripada Selat Melaka serta laut yang dalam dan berkemampuan menerima kapal-kapal besar sehingga VLCC (pengangkut minyak mentah amat besar), TBPMC merupakan destinasi menarik untuk industri minyak dan gas," kata Shahrull Allam Shah

Saturday, September 1, 2012

JALUR GEMILANG TERBESAR PONTIAN


Jalur Gemilang terbesar Pontian
Pelajar dan kakitangan bergambar di hadapan Jalur Gemilang yang dihasilkan mereka.
PONTIAN - Sekumpulan 21 pelajar Kolej Komuniti Cawangan Tanjung Piai, dekat sini berjaya menghasilkan Jalur Gemilang terbesar yang dibuat dengan menggunakan kain yang dijahit sendiri sempena sambutan ulang tahun ke-55 kemerdekaan negara semalam.

Bendera berukuran 9.1 x 18.3 meter itu berjaya disiapkan dalam masa dua hari yang turut dibantu kakitangan kolej komuniti terbabit.

Pengarahnya, Shudermawan Jaruman berkata, tujuan membuat Jalur Gemilang tersebut adalah untuk memupuk semangat kemerdekaan dalam kalangan pelajar selain merupakan aktiviti kolej pada bulan kemerdekaan.

Menurutnya, selain membuat Jalur Gemilang terbesar, kolej juga mengadakan beberapa program antaranya Rangoli Merdeka dan Kuiz Merdeka di antara pelajar dan kakitangannya.

“Sempena bulan kemerdekaan ini, pada sebelah pagi, pelajar dan kakitangan mengadakan perarakan dengan membawa Jalur Gemilang di sekeliling Pusat Perdagangan Pontian.

“Jalur Gemilang yang terbesar di Pontian ini akan dipasang di bangunan kolej tersebut sehingga 16 September ini,” katanya ketika ditemui di kolej berkenaan, baru-baru ini.

Shudermawan berkata, semangat yang ditunjukkan oleh pelajar dan kakitangan adalah luar biasa dan mereka teruja apabila Jalur Gemilang itu berjaya disiapkan dalam masa dua hari dan kini dipasang di bangunan kolej komuniti.

Sementara itu Penyelaras Program Merdeka Raya 2012, S Anita berkata, kerja-kerja membuat Jalur Gemilang tersebut menggunakan kain sepanjang 260 meter dengan menelan belanja sebanyak RM2,400.

“Jalur Gemilang yang terbesar itu kini dipasang di bangunan kolej komuniti bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan. Selain itu ia juga membolehkan orang ramai melihat Jalur Gemilang tersebut,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu adalah perkara yang harus dibanggakan kerana ia bukan sahaja membabitkan pelajar, tetapi juga kakitangan kolej komuniti berkenaan.

“Usaha itu wajar dipuji kerana ia merupakan usaha gigih semua pihak dan ia jelas melihatkan kerjasama dan semangat bersatu dalam kalangan pelajar dan kakitangan,” katanya.

LEGOLAND JALANI UJIAN AKHIR



ANTARA permainan yang disediakan di Taman Tema Legoland Malaysia di Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU - Taman tema terbaharu, Legoland Malaysia di Nusajaya kini dalam peringkat percubaan tahap terakhir membabitkan semua permainan dan perkhidmatan yang ditawarkan sebelum ia dibuka kepada umum pada 15 September ini.Ia bertujuan memastikan kesemua fasiliti yang terdapat di taman tema berkenaan dapat beroperasi dengan baik dan selamat.Pengarah Jualan dan Pemasaran Legoland Malaysia, Thila Munusamy berkata, bagaimanapun syarikat pengurusan menjemput beberapa pihak seperti media dan ahli keluarga pengurusan merasai dulu keriangan di taman tema tersebut bagi mendapatkan maklum balas terhadap persediaan sebelum dibuka.
"Percubaan terakhir ini juga merupakan latihan secara langsung kepada kakitangan di taman tema itu."Kami menyasarkan seramai mungkin pengunjung pada hari pembukaan rasmi nanti," katanya kepada pemberita semasa lawatan khas media dan ahli keluarga pengurusan ke Legoland Malaysia di sini semalam.