BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, September 15, 2012

12 JENIS BUBUR DI TITI GANTUNG, BOTA


BERANEKA jenis bubur dijual di warung Bubur Perak di Batu 30, Titi Gantung, Bota, Perak.
BUBUR merupakan hidangan popular orang Malaysia terutama masyarakat Melayu pada waktu petang. Namun, bukan mudah untuk mencari premis makanan yang menjual bubur, apatah lagi yang mempunyai pelbagai jenis.
Jika anda seorang penggemar masakan itu, anda patut singgah di gerai Bubur Perak & Makanan Tradisional di Batu 30, Titi Gantung, Bota, Perak. Gerai itu terletak di hadapan Kompleks Pertanian Titi Gantung di tepi Lebuh Raya Ipoh - Lumut.
Ini kerana di situ terdapat sebanyak 12 jenis bubur iaitu bubur lambuk, bubur jagung, bubur kacang hijau, bubur pulut hitam, bubur gandum, bubur caca marba, bubur sagu bandung, bubur pengat pisang, bubur pengat ubi keledek, bubur pengat ubi keladi, bubur kacang merah dan bubur pengat nangka.
Harganya juga tidak mahal iaitu cuma RM2 semangkuk jika makan di situ dan RM2.50 jika dibungkus untuk dibawa pulang.
Bagaimanapun, pada bulan puasa yang lalu, gerai Bubur Perak & Makanan Tradisional hanya menjual 10 jenis bubur iaitu kecuali bubur kacang merah dan pengat nangka sahaja kerana bilangan pelanggan tidak seramai hari biasa.
Selain bubur, gerai itu menjual pisang goreng, ubi keledek dan ubi keladi goreng.
Menurut pengusaha gerai tersebut, Badri Hamzah, 53, gerainya mendapat sambutan hebat kerana menawarkan pelbagai jenis bubur tradisional yang boleh dipilih oleh orang ramai.
"Bubur bukan tidak ada dijual di tempat lain tetapi susah hendak cari. Lebih-lebih lagi kedai yang menjualnya menawarkan begitu banyak jenis bubur," katanya ketika ditemui S2 di gerainya.
Bubur di gerai Bubur Perak & Makanan Tradisional juga popular kerana rasanya yang sedap dan dijual dalam keadaan masih panas.
Badri juga tidak menggunakan daging tetapi hanya ayam dan udang dalam masakan bubur lambuk agar penganut Hindu pun boleh makan.
"Pelanggan saya bukan hanya orang Melayu, tetapi orang Cina dan India juga makan di sini. Sebab itulah, saya memastikan bubur saya boleh dimakan oleh semua orang," katanya sambil memberitahu pelanggannya terdiri daripada 60 peratus orang luar dan 40 peratus penduduk tempatan.
"Paling ramai adalah pelancong yang melalui Lebuh Raya Ipoh - Lumut," tambahnya.
Ditanya tentang rahsia keenakan bubur yang dijualnya, Badri yang mempunyai pengalaman selama 10 tahun dalam perniagaan bubur memberitahu, dia agak cerewet dalam penyediaan bubur terutama memastikan masakan itu hanya menggunakan santan segar.
"Saya juga memasak sendiri bubur ini walaupun saya ada tujuh pembantu. Tiga jam diperlukan untuk memasak kesemua bubur yang dijual ini," ujarnya sambil memberitahu resipi bubur itu adalah ciptaannya sendiri yang diolah daripada resipi yang dipelajari daripada ibunya, Puteh Zainah Tuah, 89.
Satu lagi perkara menarik mengenai gerai bubur itu adalah deretan bendera Perak dan Jalur Gemilang yang dipacak di hadapan premis tersebut mempunyai makna tertentu.
Sekiranya, bendera-bendera tersebut sudah dipacakkan, ia bermakna bubur sudah siap dimasak untuk dijual dan jika tiada bendera dipacak, ia bermaksud bubur belum siap dimasak atau sudah habis dijual.
Sementara itu, seorang pelanggan setia gerai bubur itu, Burhanuddin Karim, 63, memberitahu, dia meminati semua jenis bubur yang dijual di gerai itu.
"Saya beli bubur di sini setiap hari. Bubur yang paling saya minat adalah bubur ubi keledek dan ubi keladi," katanya.
Seorang lagi pelanggan dari Ipoh, Haniff Radman, 33, memberitahu, ini merupakan kali pertama dia singgah di gerai tersebut.
"Kebetulan saya lalu di sini ternampak gerai bubur ini. Jadi, saya singgah membeli bubur untuk mencuba rasanya," katanya.
Gerai Bubur Perak & Makanan Tradisional itu dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 7 malam.

Wednesday, September 12, 2012

KLIA 2 BEROPERASI MEI 2013


KLIA2
KLIA2





















KUALA LUMPUR - Terminal Syarikat Penerbangan Kos Rendah (LCC), KLIA2 di Sepang, kini diambang menjadi hos kepada 10 syarikat penerbangan kos rendah sebaik ia beroperasi pada Mei 2013, kata Ketua Pegawai Kewangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Faizal Mansor.
Katanya pengendali lapangan terbang itu masih mengalu-alukan lebih banyak syarikat penerbangan menggunakan KLIA2, kerana lapangan terbang itu berupaya menampung 45 juta penumpang setahun.
Katanya KLIA2 direka bentuk untuk menampung semua jenis syarikat penerbangan tetapi sangat sesuai untuk model perniagaan syarikat penerbangan kos rendah.
"Sebaik lapangan terbang itu beroperasi pada Mei 2013, MAHB akan mempunyai hampir 10 syarikat penerbangan kos rendah beroperasi dari sana. Antaranya ialah Zest Airways, Lion Air, Tiger Airways, Cebu Pacific Air dan AirAsia.
"Kami mengalu-alukan lebih banyak syarikat penerbangan ke KLIA2. Lima tahun dahalu, hanya ada lima syarikat penerbangan kos rendah tetapi kini terdapat kira-kira 30 hingga 40 syarikat penerbangan kos rendah," kata Faizal kepada Bernama.
Yang terbaharu menyertai kumpulan itu, katanya ialah Malindo Airways, yang diperkenalkan pada Selasa, melalui usaha sama antara National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (NADI) dan PT Lion Grup.
Mengenai Malindo Airways, Faizal berkata MAHB akan memulakan perbincangan terperinci dengan syarikat penerbangan kos rendah terbaharu itu tidak lama lagi, khususnya mengenai tahap ruang dan kemudahan yang diperlukan Malindo Airways dari lapangan terbang baharu itu.
"Kami telah mengadakan persefahaman dan masih belum berbincang secara terperinci."
"MAHB mengalu-alukan syarikat penerbangan baharu ke Malaysia serta ke KLIA2.
Bagi sesebuah lapangan terbang, lebih banyak persaingan lebih baik," katanya.
KLIA2 dibina pada kos hampir RM4 bilion bagi menggantikan Terminal Syarikat Penerbangan Kos Rendah sementara yang dibina pada 2006.
Lapangan terbang baharu itu, yang terletak kira-kira 2.0 km dari terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang utama, sebaik siap akan menjadi Terminal LCC terbesar di rantau ini dengan kawasan keseluruhan 242,000 meter persegi.
KLIA2 akan turut menampilkan ciri-ciri hab pengangkutan pelbagai mod bagi bas, teksi, dan kereta api Express Rail Link (ERL) bagi menyediakan hubungan bagi para penumpang dan juga orang ramai, sebagai tambahan kepada sistem pengendalian bagasi separa automatik, zon sokongan, kargo dan kompleks dalam penerbangan, kompleks meletak 6,000 kenderaan, dua hingga tiga hotel dan ibu pejabat masa depan AirAsia.
Pembukaan KLIA2 akan turut membantu menjadikan Malaysia sebagai salah satu hab penerbangan di Asia Tenggara. 

TEORI 88888 UNTUK SIHAT

Cadangan makan sehingga 80 peratus kenyang mengelakkan kita makan secara berlebihan hingga memudaratkan kesihatan. 



Apa yang anda bayangkan dengan angka 88888? Bagi masyarakat Cina, lapan menjadi angka membawa tuah kerana sebutannya dalam bahasa Cina, batt seakan sama dengan sebutan bertuah atau kekayaan, fatt.
Kini formula lima angka lapan ini akan membawa tuah pada kesihatan jika anda amalkan secara berterusan.
Kempen 88888 ini diperkenalkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Januari awal tahun lalu. Menurut beliau, formula ini merupakan amalan gaya hidup yang dapat menghindari penyakit tidak berjangkit.
Ia merangkumi makan sehingga 80 peratus kenyang, makan malam sebelum pukul 8 malam, minum lapan gelas air, tidur cukup lapan jam dan berjalan kaki 8,000 langkah sehari.
80 peratus kenyangPengarah Perkhidmatan Perubatan Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Abu Hasan Samad memberitahu, orang ramai boleh mengubah amalan pemakanan dan senaman menerusi formula ' 88888 '.
"Jika kita lihat gaya hidup masyarakat dahulu dan sekarang sangat berbeza. Dulu, masyarakat tidak makan makanan segera sebaliknya, makan sayur-sayuran yang ditanam sendiri.
Pada hari ini kita banyak menyambut majlis perayaan dengan hidangan pelbagai makanan. Ini menyebabkan kita banyak makan tetapi kurang menggunakan fizikal untuk mengeluarkan peluh. Sebab itulah, kementerian menyeru masyarakat mengubah gaya hidup melalui makanan dan senaman dengan kaedah 88888," ujarnya.
Tambah beliau, cadangan makan sehingga 80 peratus kenyang menggalakkan kita merancang makanan. Jadi, kita akan makan apa yang perlu sahaja.
Bahaya makan lewat malamSelain itu, orang ramai turut digalakkan makan sebelum pukul lapan malam.
"Seperti yang kita tahu, ada segelintir masyarakat yang enam kali makan sehari iaitu sarapan, minum pagi, tengahari, minum petang, makan malam dan lewat malam.
Amalan makan tengah malam adalah bahaya.
Ini kerana budaya makan lewat malam sudah menjadi satu perkara biasa bagi mereka yang bergelar warga kota. Mana tidaknya, mereka gemar mengunjungi premis-premis restoran atau gerai yang dibuka 24 jam setiap hari," ujarnya.
Beliau menambah, ramai antara mereka tidak sedar risiko kesihatan jangka panjang yang mereka boleh hadapi secara beransur-ansur akibat pembawaan budaya ini.
Sekiranya mereka melakukan aktiviti berat seperti bersukan tiada salahnya mengambil makanan berlebihan di waktu malam.
Bagaimanapun, ia menjadi masalah yang besar kepada individu yang tidak melakukan apa-apa aktiviti di waktu malam kerana akan terdedah kepada masalah kegemukan.
"Protein dan karbohidrat adalah nutrien yang amat diperlukan oleh badan tetapi sekiranya berlebihan ia menjadi punca penyakit yang berkait dengan kolestrol.
Ditambah pula kadar metabolisme yang rendah pada badan di waktu malam , kalori yang tidak digunakan akan bertukar menjadi lemak dalam badan," ujarnya.
Sekiranya makan lewat dari pukul 8 malam ke atas, kemungkinan badan kita gagal membakar kalori yang diproses daripada makanan yang dicernakan.
Ini kerana pergerakan aktiviti malam yang terhad dan bertambah teruk sekiranya tidur terus selepas makan kerana lemak yang tidak dibakar kepada bentuk tenaga akan terkumpul di dalam badan.
Dr. Abu menjelaskan, lama-kelamaan aktiviti ini akan menjadi masalah perut buncit dan gemuk sebelum ia berubah menjadi kepada obesiti untuk tahap yang lebih serius.
Beliau menasihatkan pengambilan makanan yang terbaik ialah makan sebelum pukul lapan malam
Minum air dan cukup tidur Selain makanan, air juga penting untuk tubuh badan.
"Kita disarankan mengambil lapan gelas bersamaan dua liter sehari. Jika kita kurang minum air, badan akan menjadi kering. Ia juga menyebabkan kencing menjadi pekat dan memberi kesan pada buah pinggang atau penyakit lain seperti batu karang," ujarnya.
Menurut Dr. Abu, tidur juga penting kerana ia merupakan masa rehat yang terbaik.
Namun, kebanyakan daripada kita pada hari ini tidur lewat iaitu selepas 12 tengah malam.
Akibatnya, kita hanya tidur empat hingga lima jam sahaja.
Nasihatnya, golongan dewasa perlu tidur selama tujuh hingga lapan jam sehari.
"Sebab itulah, kita dinasihatkan makan awal supaya kita boleh tidur dua jam selepas itu. Pukul 10 malam adalah waktu yang terbaik untuk tidur dan kita boleh bangun seawal enam pagi.
Bangun pada waktu pagi baik untuk kecergasan dan kesegaran badan," katanya.
SenamanSelain tidur, kita juga digalakkan melakukan senaman.
Dr. Abu tidak menafikan kebanyakan orang pada hari ini sukar melakukan senaman seperti berjoging atau ke gim.
Jadi, dengan berjalan sekurang-kurangnya 8000 langkah sehari, kita dapat membakar kalori.
"Masalahnya, ramai yang sering membeli alasan apabila hendak berjalan kaki ke sesuatu tempat seperti panas dan penat.
Bukan itu sahaja, anak-anak di rumah tidak banyak melakukan pergerakan fizikal kerana mereka tertumpu pada permainan video atau gajet. Tanpa melakukan senaman, badan menjadi lesu dan boleh menggalakkan obesiti," ujarnya.
Justeru, kita digalakkan berjalan seperti menaiki tangga yang boleh kita lakukan di pejabat dan lupakan fungsi lif untuk sementara waktu.
Selain itu, Dr. Abu berharap, orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat lain seperti berhenti merokok.

AIR SUAM UNTUK KESIHATAN



Hadkan aktiviti (luar rumah) dan banyak minum air suam," Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu pemberita pada satu majlis baru-baru ini, bila ditanya mengenai apa yang orang ramai perlu buat jika jerubu melanda.
Kenapa perlu minum air suam? Ramai yang menyangka tabiat minum air suam hanya petua atau cerita daripada ‘orang tua-tua’ sahaja.
Tetapi, pengamal penjagaan kesihatan juga memang berpendapat bahawa minum air suam dapat memanjangkan umur sel badan!
Air dingin
“Minum air sejuk mungkin boleh beri kepuasan bagi menghilangkan dahaga.
“Tetapi ahli sains percaya air yang sejuk akan mengentalkan lemak dalam makanan yang baru diambil dan menyukarkan sistem pencernaan lemak dalam badan.
“Ini selanjutnya menyukarkan pengeluaran bahan buangan lemak dari dalam badan," jelas pengamal perubatan Dr. A.Radha.
Minum air sejuk atau yang mempunyai ketulan ais adalah tidak sebaik minum air biasa dari segi hidrasi badan.
Teorinya adalah, air sejuk menyebabkan salur darah perut mengecut dan melambatkan proses penyerapan.
Ada pengkaji bidang perubatan yang mempunyai pandangan berbeza tentang sama ada minum air sejuk lebih baik daripada minum air suam terutama selepas melakukan senaman.
“Ada doktor yang menyarankan minum air biasa adalah lebih baik daripada minum air sejuk kerana badan terpaksa mengeluarkan tenaga lebih untuk memanaskan air sejuk ini ke tahap suhu badan, menyebabkan terjadinya kehilangan air dari badan.
“Tetapi ada juga doktor yang menyatakan bahawa selepas aktiviti senaman yang cergas, minum air sejuk akan mudah menyejukkan badan jika dibandingkan dengan air suam," jelas Dr. Radha.
Kata Dr. Radha, mereka yang minum air sejuk sebenarnya akan minum lebih banyak air kerana air sejuk rasanya lebih sedap dan lebih memuaskan.
Bila air sejuk melalui sistem dalam badan, ia mengentalkan lelemak makanan yang baru atau sedang dimakan.
Ini menyebabkan penghadaman serta penyerapan makanan lebih sukar selain dari membuang apa yang tidak perlu dari badan.
Tetapi jika ditukar air sejuk kepada air suam atau panas (seperti teh atau kopi), air yang suam itu akan membantu mencairkan lelemak dalam makanan yang diambil dan memudahkan pencernaan.
“Ia turut membantu membuang lemak dengan cara yang lebih senang dari sistem badan serta mengurangkan risiko salur darah tersumbat," kata beliau.
Kalau hendak bantu seseorang yang tengah demam panas, jangan guna air sejuk tetapi gunakanlah air yang agak suam.
Kata Dr. Radha, air yang sejuk sebenarnya boleh merangsang dan menaikkan suhu badan. Jika mereka yang demam minum air sejuk, badan mereka akan jadi ‘kesejukan’. Jadi air suam adalah pilihan yang baik.
Minum air suam juga boleh menenang dan merelakskan badan, kata beliau lagi.
Warna kencing
Menurut Dr. Radha, indikasi terbaik sama ada badan mencukupi imbangan air adalah dengan melihat warna air kencing.
“Jika warna air kencing pekat kekuningan, seseorang itu mungkin tidak cukup air dalam badan, tetapi jika air kencing itu berwarna kuning pucat dan cerah maka kandungan cecair badan adalah mencukupi. Harus diingat warna air kencing pada sebelah pagi adalah lebih pekat," katanya.
Menurut beliau lagi, ahli sains percaya minum air suam ketika makan boleh membantu mengurangkan berat badan.
“Jika kita tukar air sejuk yang diminum dengan air suam seperti minuman teh, kopi atau herba, lemak dalam makanan akan kekal cair dan lebih mudah bagi serapan serta pengeluaran dari badan.
“Ini akan membantu mengurangkan berat badan selain membuang lemak dari bersalut dalam salur darah," katanya.
Mengikut amalan perubatan tradisional Cina, untuk kekal sihat seseorang digalakkan minum air suam.
“Air sejuk sebenarnya tidak baik untuk perut anda," katanya lagi.

Sunday, September 9, 2012

THE LOAF: CAWANGAN BERTAMBAH SEIRING MUTU



ANEKA pilihan roti, kek dan pastri yang enak serta segar menggamit pengunjung ke cawangan The Loaf.


THE LOAF, kedai bakeri dan pastri berkonsepkan Jepun terus melebarkan sayapnya di negara ini. Bermula dengan hanya sebuah premis di Marina Telaga Harbour, Langkawi, Kedah pada tahun 2006, The Loaf terus gah melalui pembukaan cawangan yang kesembilan di Paradigm Mall, Kelana Jaya, Petaling Jaya.
Pengarah Urusan M&M Consolidated Resources Sdn. Bhd., Jiro Suzuki berkata, pembukaan cawangan terbaharu itu adalah bagi memenuhi permintaan banyak pihak yang menggemari kualiti roti jenama itu.
“Ketika pembukaan cawangan pertama di Langkawi kira-kira enam tahun lalu, kami menerima sekitar 7,300 pengunjung sahaja.
“Kini dengan sembilan cawangan, kedai kami dikunjungi purata 2,400 pelanggan sehari dengan jualan mencecah RM1.2 juta sebulan,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah mantan Perdana Menteri dan juga Pengerusi M&M Consolidated Resources Sdn. Bhd., Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Tambah Jiro, syarikat itu akan membuka tiga buah cawangan baharu menjelang hujung tahun ini dengan salah satunya terletak di Pantai Chenang, Langkawi.

DR. MAHATHIR (tengah) dan Jiro (kiri) menunjukkan kebolehan membuat roti sebagai gimik pelancaran pembukaan The Loaf di Paradigm Mall, Kelana Jaya, baru-baru ini. Aksi kedua-duanya turut disaksikan oleh Dr. Siti Hasmah.


“Pada tahun 2013, kami turut merancang untuk membuka dua buah cawangan lagi bagi menjadikan jumlah keseluruhannya 14 cawangan termasuk sebuah dapur utama.
“Kami menyasarkan untuk membuka cawangan di kediaman ekspatriat kerana permintaan bagi roti-roti berkualiti tinggi begitu tinggi dalam kalangan mereka,” ujarnya.
Jelasnya, antara kunci kejayaan The Loaf ialah sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan oleh Dr. Mahathir, selaku ‘orang kuat’ di sebalik jenama roti dan pastri itu.
“Dr. Mahathir seorang yang penuh dengan aspirasi dan inspirasi serta wawasan untuk membawa The Loaf ke satu peringkat terbaik dalam industri makanan dan minuman (F&B) di Malaysia.
“Beliau sentiasa berpandangan jauh dan tidak pernah kering dengan idea yang inovatif demi memastikan The Loaf terus berkembang pada masa hadapan,” katanya lagi.
Selain itu, Jiro berkata, roti yang dihasilkan di The Loaf mengekalkan ciri-ciri pembuatan roti secara tradisional di Jepun iaitu tidak menggunakan bahan-bahan awet dan kimia.
Lebih daripada itu, bahan-bahan utamanya juga diimport khas dari luar negara seperti gandum dari Kanada, mentega dari Belgium dan garam dari Pergunungan Himalaya.
“Kami amat menitikberatkan soal kualiti dan bahan-bahan yang digunakan demi kepuasan pelanggan,” ujarnya.

SPAD RANCANG KERETAPI TRANSIT LAJU KL-JB


JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) merancang untuk mewujudkan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi transit yang akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata, perkhidmatan yang dikenali sebagai transit train itu akan membuat persinggahan di beberapa destinasi termasuk Nilai 2, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Johor Bahru.

“Destinasi persinggahan ini masih belum diputuskan sepenuhnya kerana kita akan mencari kawasan yang berpotensi untuk membangun agar dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi.

“Transit train ini juga akan menggunakan laluan yang sama seperti transit express yang akan menghubungkan Kuala Lumpur-Johor Bahru-Singapura dalam masa 90 minit sahaja,” katanya.

Bagaimanapun katanya, perancangan bagi pelaksanaan kedua-dua transit itu masih di peringkat kajian dan laporan berhubung kajian itu dijangka diserahkan kepada Perdana Menteri menjelang suku pertama tahun depan.

“Kita juga telah berunding dengan pihak berkepentingan serta Kerajaan Negeri yang terbabit dan turut menggunakan khidmat perunding untuk menyediakan laporan kajian bagi penelitian di peringkat SPAD.

“Kemudian baru kita serahkan kepada Perdana Menteri dan keputusan untuk meneruskan rancangan ini diserahkan kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Raya dan Penyerahan Baucar Bantuan Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) yang turut dihadiri Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad di sini, semalam.

ISKANDAR MALAYSIA KE-4 TERBAIK


Iskandar Malaysia
Artikel dalam majalah FDI berkenaan Iskandar Malaysia yang diiktiraf sebagai destinasi keempat terbaik Zon Bebas Global Masa Hadapan 2012/2013.





















SENAI - Iskandar Malaysia diiktiraf sebagai destinasi keempat terbaik Zon Bebas Global Masa Hadapan 2012/2013 oleh FDI, majalah penerbitan antarabangsa yang dimiliki The Financial Times Ltd dan sekali gus ia meningkatkan daya saing sebagai pilihan terbaik untuk destinasi pelaburan.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda), Datuk Ismail Ibrahim berkata, pengiktirafan ini adalah satu kejutan yang amat menggembirakan.

“Pengiktirafan ini pasti akan membantu Iskandar Malaysia  diingati oleh usahawan, pemimpin korporat, dan pembuat dasar. Kami di Irda sentiasa komited mengekalkan dan meningkatkan daya tarikan serta kemudahan menjalankan perniagaan Iskandar Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Ismail berkata, dari 2006 sehingga akhir Jun tahun ini, Iskandar Malaysia mencatatkan pelaburan kumulatif komited sebanyak RM95.45 bilion atau kira-kira AS$30.24 bilion.

“Ini adalah satu gambaran bahawa strategi dan pelan pelaksanaan Iskandar Malaysia adalah sangat komprehensif dan mesra pelabur,” katanya.

Sementara itu, kedudukan pertama Zon Bebas Global Masa Hadapan 2012/2013 dinamakan FDI sebagai Zon Bebas Lapangan Terbang Dubai selain Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai di tempat kedua dan Zon Perdagangan Bebas Shanghai Waigaoqiao di tangga ketiga.

Menurut laporan majalah tersebut, sejumlah 600 zon bebas dari seluruh 120 negara yang dijemput telah ditugaskan untuk melengkapkan kaji selidik kedua-dua data kualitatif dan kuantitatif mengenai zon bebas.

Sejumlah 56 zon menyertainya dan mengemukakan butir-butir yang diperlukan di bawah lima kategori iaitu insentif, kemudahan, keberkesanan kos, pengangkutan dan promosi terbaik FDI.