BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, March 10, 2013

NASI LEMAK UJANG, GOMBAK & BB SELAYANG



NASI lemak pada masa kini bukan lagi hanya dimakan semasa sarapan pagi. Setiap masa sama ada pagi, tengah hari, petang, malam atau lewat malam, nasi lemak tetap disukai.
Jika anda merupakan penggemar tegar nasi lemak dan tinggal di sekitar Gombak, Batu Caves atau Selayang, Selangor, nama Nasi Lemak Ujang bukan sesuatu yang baharu.
Nasi Lemak Ujang sebenarnya sudah mencipta nama apabila memulakan perniagaan di Taman Greenwood, Gombak, Selangor, sejak tahun 1981.
Pastinya ada rahsia tersendiri bagaimana nasi lemak itu masih bertahan dan menawan hati penggemarnya walaupun kini telah menjangkau usia 32 tahun.
Perniagaan nasi lemak yang dimulakan oleh Juairiah Mohd. Sharif, 60, kini diteruskan oleh anak perempuannya, Noraishah Mohd. Nor, 43, setelah Juairiah kini uzur.
Noraishah yang ditemui di cawangan kedua Nasi Lemak Ujang di Bandar Baru Selayang (BBS) berkata, memandangkan sambutan yang tidak menang tangan di Taman Greenwood, beliau terfikir untuk membuka cawangan di BBS.
Sebelum itu, beliau pernah berniaga di belakang Hotel Concorde dan sambutan yang diterima juga terlalu amat menggalakkan. Malangnya gerai tersebut terpaksa di tutup kerana kekurangan pekerja.
''Saya tinggal di BBS dan apa yang saya lihat masih belum ada lagi orang yang menjual nasi lemak pada waktu malam di sekitar sini. Pada mulanya saya hanya membuka gerai sahaja dan kemudian menyewa ruang kecil di restoran ini.
''Bagaimanapun pemilik restoran ini mempelawa supaya saya menyewa keseluruhan restoran ini kerana dia sendiri melihat setiap hari ramai yang datang berbaris untuk membeli nasi lemak. Dia sendiri penggemar Nasi Lemak Ujang,'' kata anak sulung daripada lima beradik itu.
Menurut Noraishah yang pernah bekerja di sebuah hotel di ibu negara, memang sejak muda lagi dia selalu membantu ibunya membuat nasi lemak.
Apabila keadaan kesihatan ibunya tidak mengizinkan, ibunya meminta dia untuk mengambil alih. Bagaimanapun ketika itu, dia masih bekerja.
''Suami (Mohamad Yusni Haron) yang banyak mendorong saya untuk meneruskan perniagaan Nasi Lemak Ujang ini.
''Setahun saya belajar memasak dan kemudian mengambil alih sepenuhnya memandangkan adik-beradik lain tidak berminat.
''Suami yang turut berhenti kerja kini membantu sepenuhnya. Saya memasak semua lauk-pauk sementara suami memasak nasi,'' kata Noraishah yang turut dibantu oleh enam orang pekerja.
Setiap hari dia memasak sehingga 100 kilogram beras untuk nasi lemak di gerai di Taman Greenwood dan restoran di BBS.
Cara memasak nasi lemak itu amat rumit di mana beras akan direndam selama setengah jam, ditos, dikukus separuh masak, kemudian direndam pula dalam air panas, dikacau sekejap, ditos semula, disiram air sejuk hingga beras sejuk.
Beras kemudian dikukus semula dan setelah itu dituang santan yang telah dimasak dahulu ke atas nasi dan dibiarkan 15 minit sehingga santan dan nasi mesra.
Inilah rahsia kelazatan Nasi Lemak Ujang. Walaupun cara pembuatannya rumit, namun hasilnya sehingga licin pinggan.
Nasi Lemak Ujang boleh dimakan dengan lauk nasi lemak biasa tetapi terdapat juga beberapa jenis lauk-pauk yang memang menyelerakan seperti sambal sotong, sambal udang, sambal kerang, rendang ayam, rendang daging, rendang limpa, paru goreng berlada, ayam masak merah, ikan keli goreng, ayam goreng dan bergedil.
Dalam sehari, lima hingga enam tong nasi lemak habis dijual di mana setiap satu tong adalah untuk 100 orang. Selain mempunyai pelanggan tetap, Nasi Lemak Ujang amat disukai oleh kaum Cina.
''Banyak permintaan untuk francais terutamanya daripada pelanggan Cina tetapi saya rasa cukuplah dua ini sahaja kerana hendak memfrancais perniagaan ini bukannya senang. Takut pula jika rasanya nanti tidak sama,'' ujar Noraishah yang memberitahu, terbaharu dia menerima katering daripada sebuah restoran di Hotel Genting Highlands untuk nasi lemaknya.
Noraishah boleh dihubungi di 017-3337791 atau facebook Nasi Lemak Ujang.

KEENAKAN BAKLAVA



Bagi mereka yang menyukai dan sudah biasa dengan makanan Asia Barat, Baklava bukanlah sesuatu yang asing.
Walaupun resipi asal Baklava hanya dimakan begitu sahaja, tetapi saya mengambil inisiatif untuk menukar sedikit cara persembahan makanan ini dengan mengubah sedikit bentuknya dan menggunakan buah-buahan beri iaitu strawberi, bluberi dan raspberi.
Baklava merupakan makanan pemanis mulut yang enak dan sangat popular di negara Asia Barat yang diperbuat daripada kulit pastry phyllo yang dilapis-dilapiskan bersama campuran kacang.
Kemudian akan dibakar dan disiramkan dengan sirap sebelum disajikan.
Pastry phyllo adalah kepingan doh yang nipis dan apabila ia dibakar akan menjadi garing.
Makanan ini boleh dibuat daripada doh tetapi dengan perkembangan teknologi, pastry phyllo boleh dibeli di pasar raya yang terpilih.
Asal usul manisan ini tidak mempunyai sejarah yang tepat. Walaupun banyak budaya yang menuntut Baklava adalah hak penuh mereka namun ia dikatakan berasal daripada Turki kerana Baklava telah wujud sejak zaman pemerintahan kerajaan Uthmaniah lagi di Turki.
Ia banyak dibuat di dapur istana sultan semasa zaman kerajaan Uthmaniah dan sultan akan mempersembahkan Baklava dalam dulang kepada tentera-tentera yang baru dilantik semasa acara pentauliahan mereka pada hari ke-15 Ramadan dan acara ini dinamakan sebagai Baklava Alayi.
Walaupun makanan ini boleh didapati sepanjang tahun, namun ketika Ramadan kuih ini menjadi lebih popular.
Tesktur Baklava adalah rangup dan kenyal terhasil daripada kacang dan kulit pastry phyllo yang menyerap air gula. Rasa Baklava ini memang manis kerana menggunakan gula dalam adunan kacang dan ia juga disiram pula dengan sirap manis.
Dalam campuran sirap, lemon atau serbuk kayu manis dicampurkan untuk memberikan kelainan rasa pada
Baklava. Anda boleh mengurangkan sukatan gula jika tidak suka ia terlalu manis.
Baklava biasanya disediakan dalam dulang yang besar.Setiap lapisan pastry phyllo akan disapukan dengan mentega cair. Setiap lapisan juga akan diletakkan campuran kacang yang telah dihancurkan seperti kacang walnut, pistachio dan hazelnut.
Anda boleh menggunakan kacang lain seperti pecan atau lain lain kacang yang anda suka sebenarnya. Terpulang kepada anda. Selepas itu ia akan ditutup dengan lapisan pastry phyllo yang baru.

Tuesday, March 5, 2013

MESIN ATM TABUNG HAJI DIPECAH PENJENAYAH



SEORANG anggota polis memeriksa kamera CCTV dalam kejadian penjenayah memecahkan dua buah ATM di bangunan Tabung Haji di Pontian semalam.



PONTIAN - Sekumpulan penjenayah bertindak memecahkan dua buah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di bangunan Tabung Haji di sini dan berjaya melarikan wang tunai RM456,000 awal pagi semalam.
Mengulas kejadian tersebut, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin berkata, dalam kejadian pukul 4 pagi itu, kumpulan yang dipercayai terdiri daripada empat orang itu memasuki premis berkenaan.
Katanya, mereka telah menutup televisyen litar tertutup (CCTV) sebelum bertindak memecahkan dua daripada mesin ATM yang terdapat di dalam premis berkenaan.
"Mereka turut memotong mesin ATM. Ia berdasarkan kepada kesan habuk besi yang dijumpai.
"Selain itu, penjenayah terbabit juga bertindak meletakkan sebuah lori berhampiran CCTV bagi mengelakkan identiti mereka diketahui," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian di sini semalam.
Menurut Zahaliman, hasil siasatan awal polis mendapati, kumpulan penjenayah tersebut terdiri daripada empat orang atau lebih berdasarkan kepada kesan cap jari yang ditemui pihaknya.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam satu kes berasingan yang terjadi kira-kira pukul 2 pagi semalam, Zahaliman berkata, sekumpulan penjenayah gagal melarikan wang tunai daripada sebuah mesin ATM di sebuah pejabat pos di Benut dekat sini.
Polis percaya, katanya, insiden itu membabitkan lebih daripada dua orang penjenayah yang berjaya memasuki premis berkenaan dan menyembur cat ke arah CCTV yang ada di dalam premis itu.
"Terdapat kesan terbakar pada mesin ATM berkenaan dan polis berjaya menjumpai dua kesan cap jari dipercayai milik suspek.
"Justeru, kita akan siasat sama ada kedua-dua kes berkenaan dilakukan oleh penjenayah yang sama kerana kedu-dua kes itu berlaku pada waktu dan modus operandi hampir sama," katanya.
Kes berkenaan, jelasnya disiasat mengikut Seksyen 379/5 (11) Kanun Keseksaan iaitu samun



mesin ATM
Anggota polis sedang melakukan siasatan di tempat kejadian rompakan dua mesin ATM di bangunan Tabung Haji bandar Pontian, semalam.
PONTIAN – Tindakan nekad sekumpulan penjenayah merompak wang dari mesin juruwang automatik (ATM) di Pekan Benut, di sini, berhasil selepas percubaan kedua.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 2 pagi semalam, perompak terbabit bertindak mengumpil mesin ATM yang diletakkan di pejabat Pos, namun cubaan mereka gagal.

Tidak mahu berputih mata, dua jam kemudian, dua mesin ATM di bangunan Tabung Haji di bandar Pontian, dirompak menggunakan gergaji sebelum wang sebanyak RM456,000 dilarikan.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin mengesahkan kejadian tersebut dan tidak menolak kemungkinan rompakan dilakukan penjenayah sama.

“Siasatan pada rakaman awal kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki memasuki kawasan ATM di Pekan Benut, sebelum bertindak menyembur cat hitam pada kamera tersebut.

“Polis percaya dua penjenayah cuba melakukan rompakan itu berdasarkan kepada dua cap jari ditemui pada mesin ATM terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini, semalam.

Zahaliman berkata, dalam insiden kedua, polis menemui habuk kayu dipercayai kesan daripada gergaji digunakan perompak untuk memecah dua mesin wang itu.

“Orang ramai yang lalu di situ termasuk pelanggan di kedai makan yang terletak berhadapan bangunan tersebut, tidak menyedari kejadian itu berikutan sebuah treler diletakkan di hadapan bangunan.

“Ini berdasarkan rakaman awal CCTV di situ, sebelum perompak menutupnya dengan pita pelekat,” katanya.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan taktik meletakkan treler bagi menutup pandangan adalah sebahagian daripada modus operandi perompak,” katanya.

Monday, March 4, 2013

DOA MENOLAK KEBATHILAN



اللهم ارنا الحق حقا وارزقنا اتباعه وارنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه
1) Allahumma arinal haqqa, haqqa, warzuqnattiba’ah,
wa arinal bathila bathila, warzuqnajtinabah
Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yang batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya (menghapuskannya).
وقل رب أدخلني مدخل صدق وأخرجني مخرج صدق
واجعل لي من لدنك سلطانا نصيرا
وقل جاء الحق وزهق الباطل إن الباطل كان زهوقا
2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj’alli min ladunka sulthanan nasiiran
wa qul ja alhaqqu wa zahaqal bathil innal bathila kana zahuqan
Ya Allah, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah(pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.

Sunday, March 3, 2013

USTAZ NAZREY JOHANI (RAIHAN) DI KEMANGI





Mungkin tak ramai mengenali nama individu ini berbanding tagline RAIHAN, pelopor nasyid kontemporari yang meledak fenomena tersendiri dekat 90 an lalu. RAIHAN yang beliau cetuskan pada 1996 bersama Azahari Ahmad (Allahyarham), Abu Bakar Mohd Yatim, Che Amran Idris dan Amran Ibrahim telah mengangkat industri nasyid Malaysia secara komersial. Lagu-lagu seperti Peristiwa Subuh, Sesungguhnya, Iman Mutiara dan Syukur telah membawa Raihan ke mercu populariti  hingga mengangkat album Puji-Pujian mencatatkan rekod penjualan album tertinggi melebihi 1.5 juta unit di Malaysia. Album Tawakkal (2006) menjadi titik peralihan kepada Nazrey Johani  meninggalkan kumpulan Raihan untuk bergerak di dalam bidang dakwah di negeri kelahirannya Sabah selain bermotivasi dan bernasyid secara bersendirian.

Ustaz Nazrey Johani bersama keluarga sempat singgah di Restoran Kemangi malam Selasa 19/2 lalu sempena program dakwah dan ceramah Maulidurrasul 1434H anjuran SK Bandar Pontian.Alhamdulillah dan jutaan terima kasih kami ucapkan atas kesudian Ustaz Nazrey Johani melapangkan masa menjamu selera di KEMANGI. Tidak ketinggalan juga kepada Guru Besar SK Bandar Pontian Encik Sadan Kosanon dan Encik Mohd Amril Norman di atas inisiatif ini.

Saturday, March 2, 2013

MAKANAN IKAN HALAL


Makanan ikan halal dihasilkan
Wan Abu Bakar (dua, kiri) bersama Ketua Pegawai Pemasarannya, Mohd Izurin Azman Bakti dan kakitangannya menunjukkan pelet yang dihasil dan dipasarkan Zeotech Industries.
Pengeluar makanan akuatik Bumiputera pertama di Kelantan, Zeotech Industries (M) Sdn Bhd kini dalam usaha membantu penternak ikan di negara ini mengurangkan kebergantungan terhadap sumber makanan yang diragui kebersihan dan kesuciannya.

Ketua Pegawai Operasinya, Wan Abu Bakar Wan Omar berkata, makanan ikan  atau pelet yang dihasilkan syarikat itu dijamin halal, suci dan selamat bukan sahaja untuk ternakan, malah manusia.

"Ini kerana bahan- bahan digunakan seperti dedak padi, beras hancur, isi ikan yang kebiasaannya digunakan untuk membuat keropok dan tepung gandum, sudah melalui proses penyelidikan dan dibuktikan tidak mengandungi bahan beracun serta tidak memudaratkan,” katanya kepada Sinar Harian di Karnival Antarabangsa Bio Kelantan 2013 (Bio-K’ 13), yang berlangsung di Kelantan Trade Centre (KTC), semalam.

Wan Abu Bakar berkata, jika sebelum ini ramai dalam kalangan penternak memilih perut ayam dan bahan buangan semata-mata untuk mengurangkan kos, namun kini alasan tersebut mungkin tidak lagi relevan kerana sudah wujud pelet halal dihasilkan syarikatnya.

"Masalah kos bukan lagi menjadi persoalan kerana makanan ikan dikeluarkan Zeotech Industries murah dan mampu dibeli penternak," katanya.

Beliau berkata, syarikatnya sentiasa memantau kualiti produk supaya ikan dapat membesar menepati jadual, selain menghasilkan pelet tanpa bau dan bebas daripada racun serta sisa toksik.

“Penternak tidak perlu ragu tahap kebersihan dan kesucian pelet kami kerana produk kami telah melepasi ujian halal dari makmal diiktiraf selain dilengkapi sistem pengilangan yang maju, kakitangan berpengalaman dan kawalan kualiti ketat,” katanya.

Menurutnya, pelet dihasilkan Zeotech Industries bukan sahaja sesuai untuk ikan malah boleh dimakan ternakan lain termasuk kambing, lembu dan itik.

Beliau menambah, ikan yang diberi pelet tersebut bukan sahaja sihat dan cepat membesar, malah tidak hanyir selain rendah risiko kematian kerana membantu meningkatkan kadar oksigen dalam air.

Mengulas lanjut, Wan Abu Bakar berkata, pelet yang sudah berada di pasaran seluruh Malaysia sejak empat tahun lalu itu bukan sahaja menjanjikan keuntungan maksimum kepada penternak, malah mampu menjamin perkembangan ekonomi penternak.

Dalam pada itu, bercakap mengenai sasaran, Wan Abu Bakar berkata, syarikat itu menyasarkan pengeluaran 100 tan metrik pengeluaran sebulan bagi tahun ini.

"Zeotech Industries adalah satu-satunya syarikat bumiputera Melayu yang diberi lesen mengeluarkan makanan ikan oleh Jabatan Perikanan dan kini kami menyasarkan untuk menguasai pasaran antarabangsa.

“Setakat ini, kami sudah menguasai Malaysia dan kini berusaha memasuki negara seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan Filipina,” katanya yang turut berharap mendapat kepercayaan dan peluang lebih besar daripada penternak dan pengusaha Melayu di negara ini.

Friday, March 1, 2013

HILANGKAN HAMIS KAMBING



TIDAK dinafikan ramai yang gemar menikmati daging kambing, namun ramai juga beranggapan daging tersebut boleh menyebabkan pelbagai penyakit. Sebenarnya banyak sungguh manfaat, khasiat dan kesan daripada kambing.
Tahukah anda khasiat dan kelebihan daging kambing? Dalam artikel ini juga saya akan berkongsi bagaimana ingin mengurangkan bau hamis kambing kerana daging kambing mempunyai rasa dan bau yang agak kuat.
Bau hamis kambing yang kuat pasti akan mematikan selera untuk menikmatinya.
Daging kambing amat sesuai untuk mereka yang menjaga kesihatan. Menurut kajian oleh Persatuan Jantung Amerika, daging kambing baik untuk mereka yang mempunyai masalah berkaitan jantung kerana daging ini mempunyai tinggi kualiti proteinnya dengan nisbah kandungan lemak yang sihat.
Daging kambing lebih mudah dihadam kerana struktur molekul daging kambing yang berbeza. Daging kambing juga mengandungi zat besi dan kandungan potasium yang rendah kandungan mineral.
Kesemua asid amino yang diperlukan oleh tubuh kita ada dalam daging kambing. Walaupun daging kambing merupakan daging terbaik, namun kepada pesakit darah tinggi dinasihatkan untuk tidak mengambilnya kerana kolesterol kambing boleh menguraikan kolesterol dalam darah yang menjadi punca kepada penyakit darah tinggi.
Kolesterol kambing yang menguraikan darah yang tercemar dengan kolesterol tepu akan menyebabkan isipadu darah meningkat.
Pesakit darah tinggi yang mengambil daging kambing akan mengalami gejala penguraian akibat peningkatan isi padu darah seperti pening.
Tetapi bagi mereka yang tidak mengalami masalah tekanan darah tinggi dinasihatkan agar mengamalkan pemakanan daging kambing untuk mengelakkan penyakit darah tinggi.
Bagi mereka yang sering menjaga kecantikan kulit, daging kambing mungkin boleh dijadikan satu terapi kecantikan untuk anda. Amalan memakan daging kambing adalah salah satu cara mudah untuk mendapatkan kulit yang lebih gebu dan cantik.
Vitamin C semula jadi yang tidak teroksida juga terdapat dalam daging kambing. Vitamin C tidak teroksida amat penting untuk pembinaan dan ketahanan sel kulit. Vitamin C yang tidak teroksida akan menyeimbangkan dan mencantikkan kulit.
Untuk menghilangkan bau hamis dan rasa yang kuat daripada kambing, apa kata anda cuba beberapa tip yang saya kongsikan ini.
Cara masakan kambing yang sangat popular adalah dibakar atau dibuat gulai. Jika anda memilih untuk membakarnya bahan perapannya perlulah bersesuaian.
Gunakan lebih asid seperti cuka, perahan jus lemon atau yogurt supaya ia dapat mengurangkan bau hamis kambing.
Jika anda memilih untuk membuat hidangan gulai atau berkuah anda boleh melakukan beberapa cara antaranya adalah setelah anda menghiris daging kambing, lumurkan dengan sedikit tepung gandum dan biarkan selama 15 minit.
Kemudian bersih daging dan perah limau kasturi atau lemon. Biarkan 30 minit dan bilas. Tapis dan tos air basuhan. Daging kambing sedia untuk dimasak.
Selain itu anda boleh rebus daging hingga mendidih sehingga berbuih. Buangkan buih tersebut hingga habis, kemudian barulah dimasak mengikut resipi anda. Cara ini juga boleh mengurangkan kolesterol dan bau hamis pada daging.
Tip untuk gunakan daging kambing pula adalah seelok-eloknya perap daging dengan tepung dulu sekurang-kurangnya satu jam untuk menghilangkan bau hanyir.