BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, April 11, 2013

KIOSK SATAY GRILL BERANANG: SATE TANPA ARANG !















TIADA kesan arang dan tidak mempunyai lemak merupakan keistimewaan Kiosk Satay Grill.
KALI pertama menikmati sate yang dibeli dari Kiosk Satay Grill, Muhamad Khafrizal Khalid, 17, mengakui dia dan keluarganya menyukai keenakan sate tersebut.
Walaupun saiz sate itu sedikit kecil berbanding sate yang ada di pasaran, namun harganya berpatutan.
Apatah lagi, sate itu hanya menggunakan paha ayam dan daging berkualiti yang menjadikan rasanya enak.
"Sesekali saya membeli sate antara 40 hingga 50 cucuk untuk dibawa pulang makan bersama keluarga. Meskipun ia masih baharu, saya berharap pada masa hadapan, Kiosk Satay Grill mampu berkembang agar ia mudah didapati di tempat lain," kata Khafrizal yang tinggal di Beranang, Selangor.
Anak kedua daripada empat beradik berpendapat, persembahan Kiosk Satay Grill yang menarik berjaya menarik perhatian pelanggan.
Sementara itu, seorang usahawan Kiosk Satay Grill, Akmal Amsyar Azmi, 18, mula berniaga Satay Grill selepas diperkenalkan oleh bapa saudaranya awal Januari tahun ini.
Meskipun baru tiga bulan menjalankan perniagaan, sambutan yang diterima sangat positif. Bahkan, dia juga mempunyai pelanggan tetap.
"Sate ini enak kerana ia tiada kepingan lemak tetapi menggunakan paha atau daging berkualiti,'' katanya memberitahu satu cucuk sate ayam dijual pada harga 70 sen manakala daging pula 80 sen secucuk.
Ketika ditemui baru-baru ini, Akmal Amsyar memberitahu, purata jualan satenya mencecah sehingga 500 cucuk untuk satu malam.
Beliau juga mengakui adakalanya tidak menang tangan kerana permintaan yang tinggi sehinggakan pelanggan terpaksa menunggu.
Dibantu oleh rakan dan adiknya, dia membuka kios itu di pangsapuri Bandar Tasik Kesuma, Beranang.
"Segelintir pembeli gemar makan di sini, sementara sebahagian yang lain membawa balik ke rumah," katanya yang membuka kiosnya dari pukul 6 petang hingga 11 malam.


AKMAL menunjukkan sate yang dibungkus rapi sebelum diedarkan di seluruh negara.

Anak sulung daripada tiga adik-beradik itu pada peringkat awal perniagaan mendapat bantuan modal daripada keluarganya.
Akmal mengakui, perniagaan sate itu mudah dikendalikan. Dia percaya sesiapa sahaja boleh berniaga asalkan mempunyai tekad dan keazaman yang tinggi.
Meskipun tidak mempunyai pengalaman dan kemahiran, namun atas faktor minat dia mencubanya.
"Perniagaan ini mendidik saya menjadi seorang yang sabar dan menghargai kepayahan hidup. Alhamdullilah, semangat dan sokongan keluarga menjadi kekuatan saya," ujarnya yang sedang menunggu tawaran melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.
Mohd. Admir Apit Apandi, 34, usahawan muda Kiosk Satay Grill bersependapat dengan Akmal. Menurutnya, aspek kebersihan, jumlah modal yang kecil dan gerai yang menarik menjadi faktor dia tertarik menjalankan perniagaan tersebut.
"Saya berani jual kerana pernah menghadiri kursus yang disediakan dan melihat sendiri proses pembuatan sate dari peringkat awal hingga akhir.
"Saya percaya ia akan menjadi satu fenomena baharu di Malaysia seperti burger bakar," ujarnya yang menjalankan perniagaan setiap hari dari pukul 5 petang hingga 11 malam di kawasan perumahan Taman Bukit Subang, Shah Alam.
Sepenuh masa
Admir yang mengusahakan kios tersebut bersama isterinya mengakui, sehingga kini dia tidak menerima rungutan daripada pelanggan.
Menurutnya, permintaan membeli sate meningkat selepas waktu pulang bekerja iaitu sekitar pukul 6 petang.
Teknik pembakaran baharu sate iaitu dengan menggunakan gril menjadikan sate masak sekata dan tidak mempunyai kesan arang.
Menjalankan perniagaan itu sepenuh masa selepas berhenti sebagai pemandu lori, pelanggan Admir terdiri daripada kaum Melayu dan Cina.
"Kuah kacang memainkan peranan yang penting kerana di situlah ia menjadikan sebab sate digemari oleh orang ramai," kata Admir bahawa resipi kuah itu dipelajari isterinya ketika bekerja di sebuah restoran suatu ketika dahulu.
Jelas Admir, dia memilih untuk berniaga sate kerana ingin meningkatkan taraf hidup.
Kiosk Satay Grill merupakan produk perniagaan terbaharu yang diperkenalkan oleh Ezfas Foods Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat milik bumiputera dan pembekal makanan sejuk beku.
Pendekatan itu diambil atas kesedaran untuk menyemai semangat berniaga. Pada masa sama, syarikat itu menawarkan platform perniagaan tersedia dengan produk halal dan berkualiti terus dari kilang.


KESELURUHAN proses pengilangan sate oleh Syarikat Ezfas Foods dipantau oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Makanan tradisi
Sate dijadikan perniagaan kerana ia merupakan salah satu makanan tradisi masyarakat Melayu sejak dahulu lagi.
Pegawai Penggerak Usahawan Kiosk Satay Grill menjelaskan, Zaiful Lizan, 42, idea itu tercetus hasil daripada pemerhatian konsep perniagaan burger yang berjaya di Malaysia pada masa kini.
"Jika burger berjaya mendapat tempat, mengapa tidak sate sedangkan perniagaan sate amat popular sejak tahun 50-an.
"Sehubungan itu, kami terpanggil untuk mempopularkan kembali zaman kegemilangan sate ke seluruh Malaysia," katanya ketika ditemui di Shah Alam baru-baru ini.
Kiosk Satay Grill telah memberikan alternatif baharu kepada peniaga yang mahu berjinak-jinak di dalam industri perniagaan.
Menurut Zaiful, biasanya sate boleh dibeli di restoran-restoran yang menyediakan menu itu, namun fenomena tersebut mungkin berubah dengan adanya kios ini.
Mereka yang menjalankan perniagaan sate bersama Kiosk Satay Grill berpeluang berniaga di tempat-tempat yang strategik dan berpotensi mendapat keuntungan lumayan dengan modal yang rendah.
Tambah Zaiful, dengan tagline Citarasa asli Tip Top 1973, Kiosk Satay Grill mampu menarik perhatian orang ramai. "Ia merupakan satu projek perniagaan menggunakan konsep gerai pasang siap dan kaedah pembakaran sate dengan gas tanpa arang.
"Kios pasang siap secara tidak langsung membantu memudahkan usahawan berniaga di dua atau tiga tempat sehari seterusnya mampu meningkatkan jualan harian mereka.
"Peniaga Kiosk Satay Grill juga tidak perlu bersusah payah memproses sate. Mereka hanya perlu mengambil daripada stokis berhampiran atau terus dari kilang untuk menjualnya," katanya.
Pada masa sama, sate yang dibakar menggunakan gas lebih enak dan baik untuk kesihatan kerana tidak mempunyai arang.

MAKANAN SEGAR MENYIHATKAN


Indra Balaratnam (kiri) ketika pelancaran kempen mendidik orang ramai tentang pengambilan makanan segar oleh MBG baru-baru ini.

Ramai daripada kita tahu apa yang patut dimakan, tetapi tidak ramai yang sedar bahawa cara menyediakan makanan penting untuk mengekalkan khasiatnya agar sentiasa sihat sejahtera.
Dalam filem dokumentari Food Matters terbitan tahun 2008, Dr. Paul Kouchakoff dari Switzerland dipetik sebagai berkata, jika seseorang mengambil diet yang mengandungi lebih daripada 51 peratus makanan dimasak, badan akan bertindak balas kepada makanan seolah-olah diserang oleh organisma asing.
Sebaliknya kata beliau, jika 51 peratus daripada sajian makanan tidak dimasak atau dimakan 'segar', seseorang itu kurang berkemungkinan untuk mengalami leukositosis (kenaikan jumlah bilangan sel darah putih).
Ini bermakna, tidak akan ada tindak balas sel darah putih untuk mencetuskan amaran bahaya palsu kepada sistem ketahanan badan.
Memandangkan terdapat begitu banyak makanan diproses, terlebih masak dan makanan tidak sihat yang kini menimbulkan masalah kardiovaskular dan pada sistem ketahanan badan, masyarakat sewajarnya perlu memikirkan dengan serius tentang langkah kembali kepada asas.
Ini dengan cara mengambil makanan dalam bentuk paling asal, asas dan asli (makanan segar yang kaya dengan khasiat pemakanan - tetapi khasiatnya akan berkurangan jika dimasak).
Pakar diet tempatan, Indra Balaratnam, berkata, konsep mengambil makanan dalam bentuk yang semula jadi atau 'makanan segar' bukan pekara baru.
Sebaliknya kata beliau, konsep itu telah sekian lama menjadi amalan di kalangan mereka yang mementingkan kesihatan.
"Di Malaysia, semakin ramai orang yang merangkumkan lebih banyak makanan segar dalam bentuk yang semula jadi ke dalam diet harian mereka.
"Sesetengah orang mengambil lebih banyak makanan yang boleh dimakan dalam bentuk yang semula jadi seperti buah-buahan, sayuran, jus, biji-bijian, kekacang dan bijirin.
"Makanan seperti ini kaya dengan serat, vitamin, anti oksida, protein dan lemak yang sihat. Makanan segar juga kaya dengan enzim dan nutrien semula jadi yang membantu fungsi badan dan kesihatan secara keseluruhan," katanya.
Indra berkata, sesetengah orang mengambil makanan seperti daging dan ikan segar atau dimasak pada tahap kepanasan tidak lebih daripada 40 hingga 46 darjah.
Langkah ini dapat mengelakkan kerosakan kebanyakan enzim semula jadi ini yang diperlukan oleh tubuh badan.
"Itulah sebabnya makanan segar juga dikenali sebagai 'makanan hidup'.
" Untuk kesihatan optimum, kita patut mengambil pelbagai makanan yang dimasak dan juga makanan segar untuk menjamin diet yang sihat dan seimbang," kata Indra.
Satu lagi kelebihan kata beliau, ialah makanan segar tidak mengandungi pengawet, pewarna dan perasa tiruan mahupun bahan tambahan yang tidak perlu.
Selain itu, kaedah memasak tanpa penggunaan terlalu banyak minyak dapat mengurangkan kandungan lemak berbanding sajian goreng biasa yang berminyak.
"Terdapat juga orang yang makan hasil ternakan dalam bentuk segar seperti susu pasteur, telur dan daging segar yang sememangnya baik untuk kesihatan," katanya.

Monday, April 8, 2013

FRUIT REBEL



BUAH dan sayur sememangnya amat berkhasiat dan lazat tetapi sering diabaikan di dalam diet seharian kerana cara pemakanannya yang tidak variasi dan membosankan.
Hidangan pencuci mulut yang sepatutnya boleh dimanfaatkan dengan memakan buah-buahan akhirnya diganti dengan manisan seperti aiskrim dan kek yang kurang khasiatnya malah boleh menjejaskan kesihatan.
Mencipta kelainan, Fruit Rebel memperkenalkan cara baru orang ramai dapat menikmati buah-buahan dengan persembahan yang lebih menarik dan campuran pelbagai jenis coklat yang menghasilkan rasa yang berbeza.
Bayangkan pelbagai jenis buah yang digubah indah di dalam pasu menyerupai gubahan jambakan bunga, pastinya ia menjadi tumpuan ahli keluarga mahupun tetamu yang datang ke rumah membuatkan mereka teringin menikmatinya.
Apa lagi buah-buahan seperti epal, pisang dan strawberi yang disalut dengan coklat pelbagai rasa lalu dihias dengan badam mahupun parutan isi kelapa, sesiapa sahaja terutamanya kanak-kanak yang kurang gemar buah-buahan akan tertarik untuk mencubanya.
Rojak Fruit Rebel iaitu semangkuk campuran buah-buahan segar seperti strawberi, anggur, oren dan sun melon dan tembikai susu dicampur dengan sos istimewa gabungan mayonis dan yogurt lalu ditabur dengan kisaran oreo dan badam amat menyegarkan tekak.
Istimewanya lagi, Fruit Rebel yang baru membuka kiosk pertama di Plaza Shah Alam turut menyediakan penghantaran `jambakan buah’ ke rumah pelanggan atau sebagai kejutan bagi teman atau keluarga.
Ujar Pengarah Urusan Fruit Rebel, Mohd. Faisal Ahmad, idea mengindahkan cara persembahan potongan buah-buahan diperolehi daripada pengalaman berada di luar negara terutamanya di Amerika Syarikat (AS) dan negara-
negara Eropah.
“Di sana, penghantaran jambakan buah merupakan perkara biasa sama seperti penghantaran bunga untuk majlis tertentu atau kejutan.
“Pelanggan dapat memilih pelbagai pilihan gubahan buah mengikut tema dan penghantaran boleh dibuat seawal tempoh 24 jam.
“Di kiosk pula, Fruit Rebel menyediakan buah-buahan yang dicelup coklat pelbagai perasa serta rojak Fruit Rebel yang mudah dibawa kemana-mana," ujarnya yang bakal membuka sebuah lagi kiosk Fruit Rebel di Empire Subang bulan Jun ini.
Buah celup coklat di kiosk Fruit Rebel dijual dalam bentuk kotak comel untuk enam atau 12 ketul dan menariknya lapisan coklat itu tidak cair.
Buah celup coklat turut dijual secara pembelian online di mana ia diletak di dalam kotak-kotak yang eksklusif sesuai dijadikan hadiah malah diletakkan pada dulang hantaran perkahwinan.
Terang Mohd. Faisal, kesegaran dan kualiti buah diutamakan di kiosk serta perkhidmatan hantaran.
Antara caranya ialah mengambil tahu pukul berapa pelanggan yang memesan menerusi laman web mahu menggunakannya dan ia akan dipotong dan dihias kurang 24 jam dari waktu tersebut.
“Selepas ini kami merancang mempelbagaikan lagi hidangan yang bertemakan buah-buahan bagi memenuhi permintaan ramai," ujarnya yang turut merancang memfrancaiskan Fruit Rebel.

MUSLIM BEST PELBAGAIKAN PRODUK




KUALA LUMPUR 7 April - Muslim Best Marketing (M) Sdn. Bhd. (Muslim Best) melalui rangkaian produk makanan sejuk bekunya akan mempelbagaikan lagi produk berasaskan ubi vitato.
Pengurus francais dan promosinya, Umi Kalsom Salleh berkata, syarikatnya kini dalam usaha untuk menawarkan menu baharu khususnya kepada mereka yang mementingkan penjagaan kesihatan.
"Dengan mempelbagaikan produk daripada ubi vitato ini, kami berharap dapat meningkatkan lagi penjualan piza ubi vitato tersebut yang kini mencecah 2,000 kotak sebulan.
"Piza vitato ini mengandungi 30 peratus campuran ubi keledek vitato dalam setiap adunan yang kaya dengan bahan antioksidan seperti B-karotena (memberi warna oren) yang bertukar menjadi vitamin A di dalam badan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di gerai Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Malaysia 2013 (Mihas 2013).
Tambah Umi Kalsom, bahan antioksidan tersebut dapat mengelakkan kerosakan pada sel dan asid deoksiribonukleik (DNA), seterusnya menghalang pertumbuhan sel kanser dan melambatkan proses penuaan.
Selain piza, Muslim Best mengedarkan produk sejuk beku lain, antaranya murtabak raja, karipap rindu daging lada hitam, samosa coklat pisang dan popia cendawan berkeju.
"Murtabak raja keluaran Muslim Best merupakan produk yang paling mendapat sambutan dengan penjualan sebanyak 20,000 kotak setiap bulan.
"Murtabak raja ini telah dikomersialkan di pasaran Maghribi dan masih dalam perbincangan untuk memperluaskan lagi pemasaran di sana dalam tahun ini," jelasnya.
Menurutnya, murtabak raja itu didatangkan dengan pelbagai perisa iaitu berintikan ayam lada hitam, daging lada hitam, kari ayam, rendang, ikan tuna dan vitato.

Wednesday, April 3, 2013

DANA INDUSTRI HALAL


Abdullah Ahmad Badawi berucap merasmikan Persidangan Minggu Halal Dunia 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 3 April - Forum Halal Sedunia mengumumkan rancangan penubuhan sebuah dana ekuiti swasta bernilai AS$500 juta (RM1.54 bilion) yang tertumpu kepada pembangunan industri halal.
Penubuhan dana secara berperingkat itu diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi pada majlis pelancaran Azka Capital pada Forum Halal Sedunia yang kelapan, hari ini.
"Dalam dekad yang lepas terdapat banyak perkembangan dalam industri halal global dari aspek kesedaran, piawaian dan pensijilan, perkilangan dan perdagangan.
"Kini tiba masanya untuk menjana pelaburan yang kukuh dan membuka lebih banyak peluang bagi menggalakkan penyertaan dalam sektor halal yang amat penting ini," kata Abdullah dalam ucap tama beliau semasa Persidangan Minggu Halal Dunia 2013, di sini.
Menurut kajian, jualan global halal, termasuk makanan, produk farmaseutikal dan kosmetik menjana AS$2.1 trilion (RM6.4 trilion) setiap tahun.
Azka Capital adalah sebuah firma penasihat ekuiti persendirian yang memberi tumpuan kepada inisiatif-inisiatif dalam industri halal dan Abdullah merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat firma berkenaan.
Firma terbabit merupakan usahasama terkini Forum Halal Sedunia di peringkat global sebagai penggerak dan pengolah industri halal dalam merapatkan juang di antara industri halal dan sektor kewangan Islam.
Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Azka Capital, Rushdi Siddiqui dalam satu kenyataan akhbar berkata, keselamatan makanan menjadi aspek penting dalam dasar keselamatan negara.
Katanya, ini kerana negara-negara Islam kebanyakannya merupakan pengimport bersih makanan dan secara amnya tidak mempunyai kawalan terhadap rantaian bekalan dan integriti makanan mereka.
"Skandal daging kuda di Eropah baru-baru ini dan penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) daging babi dalam daging yang telah disahkan halal oleh syarikat multinasional yang bertanggungjawab untuk menjamin integriti halal sepatutnya tidak boleh diterima.
"Janji kosong ke atas jaminan keselamatan makanan tidak lagi mencukupi. Dana ini merupakan peluang untuk para pelabur dan penggubal dasar mengambil langkah-langkah yang lebih konkrit bagi menjamin integriti bekalan makanan," ujarnya.
Azka Capital akan melantik penasihat daripada pengamal sektor makanan halal bertaraf dunia dan menerima khidmat nasihat syariah daripada Amanie Advisors dan Dar Al Shariah dari Dubai.
Pada masa ini, import makanan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) melebihi AS$40 bilion (RM123 bilion) setahun dan penduduk Islam global dijangka meningkat daripada 1.6 biion kepada 2.2 bilion menjelang 2030.

NANGKA MADU "DUKUNG ANAK"


Nangka madu 'dukung anak'
Abdul Hamid menunjukkan nangka madu yang ditanam berhampiran rumahnya di Pekan Kayu Ara Pasong berbentuk seakan ibu yang mendukung anak.
PONTIAN - Seorang pekebun terkejut apabila nangka madu yang ditanam berhampiran rumahnya di Pekan Kayu Ara Pasong, dekat sini, berbentuk seakan-akan ibu yang sedang mendukung anak.

Abdul Hamid Sargidon, 70, berkata, dia menanam benih nangka madu itu beberapa tahun lalu dan hanya menyedari pokok itu mula mengeluarkan buah pada minggu lalu.

“Saya nampak pokok nangka madu itu mula berbuah dan buahnya hanya sebiji di batang pokok.

“Saya dan isteri kemudiannya membersihkan kawasan sekitar pokok yang dipenuhi dengan lalang dan dahan pokok pelam yang terletak di sebelahnya beberapa hari lalu,” katanya.

Jelasnya, selepas dibersihkan, dia dan isteri amat terkejut apabila mendapati nangka madu itu mempunyai bentuk seakan seorang ibu yang mendukung anaknya.

“Saya dan isteri terfikir bentuk nangka seolah-olah melambangkan kami yang mempunyai sebuah keluarga besar iaitu anak seramai enam orang dengan 17 cucu serta seorang cicit yang masih kecil,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Katanya, kejadian pelik itu pertama kali dialami sepanjang penglibatannya dalam bidang pertanian dan tidak pernah melihatnya di tempat lain.

“Saya akan terus biarkannya membesar dan jaga pokok nangka madu ini dengan sebaiknya,” katanya.

Kewujudan nangka pelik itu turut menyebabkan rumahnya menjadi tumpuan penduduk sekitar yang mahu melihat sendiri buah tersebut.

TUKANG MASAK GAGAL UCAP 2 KALIMAH SYAHADAH


Tukang masak  gagal ucap kalimah syahadah
Tukang masak restoran disiasat Noridzuan (kanan) dan pegawai penyiasat Jaip yang lain.
KUANTAN – Rahsia seorang tukang masak dan pembuat minuman bukan Islam yang ‘berselindung’ di sebalik kopiah akhirnya terbongkar selepas mereka gagal mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Pegawai Pemeriksa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip).

Tukang masak yang mengaku Islam itu bekerja di sebuah restoran di Jalan Besar, Tanah Rata, Cameron Highlands yang menghidangkan pelbagai makanan antarabangsa, semalam.

Ketua Unit Pengurusan Halal, Jaip, Noridzuan Abdul Manan berkata, dua tukang masak itu mengaku beragama Islam walau pun nama yang tertera di dalam dokumen pengenalan diri tidak langsung menggambarkan mereka Islam.

“Walau pun mereka memakai kopiah tetapi tetap mengundang rasa curiga pasukan pemeriksa. Telahan tersebut ternyata berasas apabila kedua pekerja tidak mampu mengucap dua kalimah syahadah dan gagal membaca surah al-Fatihah,” katanya selepas
membuat pemeriksaan di restoran itu, semalam.

Katanya, lebih mengecewakan, restoran berkenaan menggunakan tulisan halal dan kalimah Bismilah pada papan tanda di luar restoran.

“Mereka mempamerkan tulisan halal sedangkan ada pengendali makanan bukan beragama Islam. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana boleh mengelirukan,” katanya.

Noridzuan berkata, restoran itu diperiksa Jawatankuasa Kajian Makanan dan Barang Gunaan Cameron Higlands berdasarkan aduan awam yang mencurigai status halal restoran itu.

Menurutnya, restoran yang baru memulakan operasi beberapa bulan lalu itu menarik pelanggan dengan pelbagai jenis hidangan Melayu, barat dan makanan arab.

Bagaimanapun, katanya, Jaip mengambil langkah tegas dengan memberi notis amaran kepada pemilik restoran kerana kesalahan kerana menggunakan pernyataan Halal dan Kalimah Bismilah yang disiasat berdasarkan Akta Perihal Dagangan 2011.

“Pemilik restoran bakal berdepan dengan tindakan undang-undang jika sabit kesalahan dan ternyata tidak peka dengan sensitiviti umat Islam,” katanya.

Lawatan disertai 10 Pegawai dari Jaip, Pejabat Agama Islam Daerah Cameron Highlands, Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Daerah Raub.