BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, July 14, 2013

10 MASJID TERBESAR DUNIA

Beberapa masjid di dunia mampu memuatkan hingga beribu-ribu jemaah. Masjid ini bukan saja menjadi tempat ibadah, tetapi juga bukti kemajuan seni bina peradaban Islam. Berikut adalah 10 masjid terbesar di dunia.
1. Masjidil Haram, Arab Saudi 
Masjid terbesar di dunia, tentu saja Masjidil Haram di Makkah, Arab Saudi. Ia adalah tempat paling suci umat Islam. Di masjid ini terletaknya Kaabah yang menjadi kiblat solat bagi umat Islam di seluruh dunia. Masjidil Haram mempunyai asal-usul sejarah yang sangat panjang sejak zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. 

Hari ini, Masjidil Haram mampu menampung 820,000 jemaah dan hingga empat juta pada musim Haji. Struktur bangunannya kini memiliki keluasan 356,800 meter persegi. Namun, kerja meluaskannya terus dilakukan. Masjidil Haram mencatat jumlah paling ramai pada musim haji.

2. Masjid Nabawi, Arab Saudi 

Selepas Masjidil Haram, Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi menjadi masjid kedua terbesar di dunia. Masjid ini adalah masjid paling suci kedua bagi umat Islam. 

Masjid Nabawi yang asal dibina pada tahun 622 dan berada di sebelah rumah Nabi Muhammad (SAW). Kini, Masjid Nabawi sudah menjalani beberapa kali peluasan dan tapak rumah Rasulullah (SAW) sekarang berada di dalam Masjid Nabawi di kawasan Raudah. 


3. Masjid Imam Reza, Iran 

Masjid Imam Reza ialah masjid ketiga terbesar di dunia dan sekali gus yang terbesar di Iran. Ia terletak di Mashhad, Iran. Masjid Imam Reza ialah masjid terbesar di dunia untuk ukuran bangunan utama iaitu seluas 598,657 meter persegi dan boleh memuatkan 700,000 jemaah. 


4. Taj ul Masajid, India 

Masjid terbesar di India dan yang keempat terbesar di dunia ialah Taj ul Masajid. Masjid ini terletak di Bhopal, India. Taj ul Masajid siap dibina pada 1901. Bangunan masjid ini besar kerana ia turut menempatkan madrasah. Taj ul Masajid memiliki kapasiti 400,000 jemaah. 


5. Masjid Istiqlal, Indonesia 

Masjid Istiqlal di Jakarta ialah masjid kelima terbesar di dunia. Selain menjadi masjid terbesar di Indonesia, ia juga yang terbesar di Asia Tenggara. Masjid yang terletak di tengah-tengah bandar raya Jakarta ini dapat memuatkan seramai 120,000 jemaah. 


6. Masjid Hassan II, Maghribi 

Masjid yang keenam terbesar di dunia terletak di Casablanca, Maghribi, Afrika Utara. Masjid Hassan II turut menjadi masjid yang terbesar di Maghribi dan mampu menampung hingga 105,000 jemaah. Masjid ini siap dibina pada 1993. 


7. Masjid Badshahi, Pakistan 

Masjid ketujuh terbesar di dunia ialah Masjid Badshahi di Lahore, Pakistan. Masjid ini wujud sejak tahun 1673. Masjid Badshahi dibina pada zaman kesultanan Moghul yang keenam iaitu Aurangzeb. Ukurannya lebih besar daripada Masjid Faisal Pakistan, tetapi hanya dapat memuatkan seramai 100,000 jemaah. 


8. Masjid Jama, India 

India bukan saja mempunyai sebuah tetapi dua masjid yang tersenarai dalam masjid terbesar di dunia. Masjid Jama diiktiraf sebagai masjid kelapan terbesar di dunia. Masjid ini terletak di Delhi, India. Ia dibina pada 1656 dan mampu menampung seramai 85,000 jemaah. 


9. Masjid Faisal, Pakistan 

Masjid Faisal yang terletak di Islamabad ialah masjid yang terbesar di Pakistan dari segi kapasiti jemaah. Masjid Faisal memiliki keluasan 5,000 meter persegi. Dalam sekali solat, masjid ini dapat menampung 300,000 jemaah. 


10. Masjid Sheikh Zayed, Emiriah Arab Bersatu 

Masjid ini terletak di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu dan juga menjadi masjid yang terbesar di negaranya. Masjid Sheikh Zayed mempunyai keluasan 6,705 meter persegi dan mampu menampung 40,000 jemaah. Nama masjid ini diambil sempena nama pemimpin Emiriah Arab Bersatu iaitu Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan.

BARANG TERPAKAI SERENDAH RM 1

Barang terpakai serendah RM1
Salah sebuah kedai yang menjual barangan terpakai di simpang empat Benut.
PONTIAN - Orang ramai boleh mendapatkan pelbagai barangan terpakai dengan harga  serendah RM1 jika berkunjung ke kawasan Simpang Empat Benut, dekat sini.

Antara barangan yang ditawarkan seperti pakaian, barangan elektrik, perkakasan rumah sehinggalah barangan kulit dan berjenama dijual sepanjang deretan kedai yang beroperasi bermula dari jam 9 malam sehingga lewat pagi.

Peniaga, Samsudin C Ani, 54, berkata, tiada harga tetap yang diletakkan oleh peniaga dan pembeli perlu membuat tawar menawar.

“Saya sudah berniaga di sini sejak tujuh tahun lalu, orang ramai yang datang ke sini untuk membeli dan  melihat barang yang dijual  semakin bertambah terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

“Sehingga kini terdapat limapeniaga yang menjalankan perniagaan barangan terpakai yang diambil dari Singapura,” katanya.

Menurutnya, permintaan barangan berjenama atau kulit menjadi pilihan utama pembeli yang sentiasa menantikan barangan tersebut pada harga yang cukup murah.

“Selain itu, barangan antik turut dijual di sini, di mana peminat barangan antik  sanggup datang dari jauh bagi mendapatkan barangan yang  mereka cari,” katanya.

Manakala, bagi peniaga Abd Latif Rostam, 64, dia gembira perniagaan barangan  terpakainya mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya, pusat perniagaan tersebut mudah untuk ditemui memandangkan ia terletak di persimpangan empat  yang menjadi laluan dari Simpang Renggam dan Batu Pahat ke Pontian seterusnya ke  Johor Bahru.

“Pembangunan di kawasan simpang empat initerus berjalan rancak dengan pembukaan pusat perdagangan baru di Benut,” katanya.

Bagi pengunjung, Jumat Jaafar, 56, dia akan berkunjung ke kedai barangan terpakai di sini untuk mencari barangan terpakai yang masih elok untuk digunakan.

“Siapa kata barangan terpakai tidak elok, saya pernah membeli kipas angin di sini. Sudah tiga tahun saya guna dan masih elok sehingga  sekarang,” katanya.

BUBUR PEDAS SARAWAK


KUCHING - Jika bubur lambuk amat terkenal di Semenanjung Tanah Melayu sebagai juadah berbuka puasa, bubur pedas pula merupakan sajian wajib kepada masyarakat Islam di Sarawak.

Bubur yang mempunyai pelbagai campuran sayur-sayuran termasuk tauhu kering, cendawan kering, kulat hitam, sayur midin, putik jagung, daun kunyit dan daun kudu, yang dicampurkan daging ayam dan lembu, kulit lembu serta udang dengan santan dan cili, juadah itu sering disediakan di masjid sekitar bandaraya Kuching untuk disumbangkan kepada orang ramai.

Di Bazar Ramadan Medan Niaga Satok di Kubah Ria di sini, terdapat pelbagai juadah istimewa namun bubur pedas, yang dijual RM2-3 sebungkus, paling digemari pengunjung yang terdiri daripada semua lapisan masyarakat tempatan serta pelancong.

Siti Maz Adella berkata jualan bubur pedas di gerainya mendapat sambutan yang baik, termasuk dari pengunjung luar yang ingin mencuba kelazatan unik juadah asli Sarawak itu, yang sememangnya sedap, lemah dan pedas.

Bubur pedas agak unik kerana diperbuat daripada rempah khas yang hanya boleh didapati di Sarawak dan mempunyai potensi besar untuk dieksport ke pasaran luar atau antarabangsa.

Kuih asli Melayu Sarawak terkenal, seperti bongkol, yang kebiasaanya dijual dengan harga 50-60 sen sebiji, celorot (40 sen) dan kelupis (RM3), turut menjadi hidangan popular pada bulan puasa dan boleh diperolehi di setiap bazar Ramadan.

Bagi peniaga Norazlia Ramli, yang mampu menjual 150 bungkus bongkol setiap hari, kuih itu diperbuat daripada tepung beras, gula nipah, santan, pati pandan dan telur, yang dimasukkan ke dalam daun pisang untuk dikukus.         

Kuih celorot, yang diperbuat daripada gula nipah, santan dan tepung beras, juga dibalut dalam daun nipah untuk dikukus manakala kelupis, yang diperbuat daripada beras pulut dan kemudiannya dikukus dalam daun nipah tiga kali selama tiga jam sering dimakan bersama kuah kacang, kari ayam, rendang daging dan serunding

BUKA PUASA DI RESTORAN CINA MUSLIM HJ. SHARIN LOW

KAKITANGAN Restoran Hj. Sharin Low Grand bergambar di hadapan restoran berkenaan di Bandar Baru Uda, 
Johor Bahru, baru-baru ini.

SETIAP kali tibanya Ramadan, golongan suri rumah pasti pening kepala memikirkan juadah yang mahu dimasak untuk berbuka puasa bersama seisi keluarga.
Tidak perlu bersusah payah, apatah lagi kebanyakan golongan wanita hari ini keluar bekerja yang mana sudah tentu mereka tidak sempat menyediakan juadah berbuka.
Apa kata makan sahaja di luar memandangkan ada banyak restoran menawarkan bufet Ramadan pada harga berpatutan.
Bandar raya Johor Bahru tidak ketinggalan menjanjikan aneka hidangan lazat daripada masakan Melayu, Cina, Thai mahupun Barat untuk berbuka puasa.
Antara premis yang mesti disinggahi untuk berbuka puasa adalah Restoran Hj. Sharin Low Grand.
Restoran itu menawarkan masakan Cina Muslim yang lazat dengan menyediakan pelbagai pakej berbuka yang mampu memenuhi cita rasa para pelanggan.
Penyelia restoran tersebut, Linah Lim, 55, berkata, sempena genap setahun kewujudan restoran yang terletak di Jalan Padi 1, Bandar Baru UDA ini dan kebetulan kehadiran bulan Ramadan yang mulia, pihaknya menawarkan enam pakej Bufet Ramadan, mulai 6 Julai hingga 6 Ogos ini.
Katanya, bersesuaian dengan konsep Ramadan yang melibatkan ibadah puasa dan kemudian umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, kesemua pakej tersebut dinamakan dengan menu-menu yang menjadi kemestian pada Aidilfitri.
"Kami ada enam pakej pada harga RM108, RM138, RM188, RM238, RM368 dan RM428. Masing-masing kami namakan pakej itu dengan nama ketupat, lemang, lodeh, serunding, rendang dan lepat.
"Pada prinsipnya kami memang prihatin terhadap kemampuan pelanggan terutama golongan menengah yang mana golongan ini cukup ramai. Untuk itu pihaknya menyediakan pakej mengikut keperluan pelanggan.
"Misalnya, pakej lodeh yang berharga RM188 untuk enam orang, kami sediakan sembilan menu termasuk kurma, daging hiris nipis bersama terung, siakap stim stail nyonya, telur masin hoi sin tofu, daging kong po, hot and sour kang, kwai fah chee, nasi putih dan air mata kucing," katanya kepada S2.
Jelas Linah, pada asasnya hidangan yang disediakan memang banyak berbanding dengan pakej di restoran atau hotel lain.
Sebagai contoh, katanya, dengan hanya bayaran RM368 bagi pakej rendang, terdapat 11 menu untuk hidangan lapan orang.
Katanya, pakej itu termasuk kurma, sayur naga dengan bawang putih, isi ketam dengan tahu, sup sirip ikan yu, telur masin kwai tau meow, siakap stim stail nyonya, ayam nanas, sotong dengan madu, mini spring roll, nasi putih dan air mata kucing.
Linah juga berkata, bagi pakej lepat, yang berharga RM428 sebanyak 12 menu disediakan dan ia sesuai untuk lapan orang.
"Untuk pakej itu, kami menyediakan menu seperti kurma, sup sirip ikan yu, brokoli dengan abalone, siakap stim, daging kei mei, telur masin kwai tau meow, udang har lok, tomato omelette, sotong stail barat, chines pan cakem, nasi putih dan air mata kucing," ujarnya.
Mengulas perkembangan restoran itu, Linah memberitahu, sebelum ini pihaknya telah membuka lebih daripada enam cawangan di sekitar Lembah Klang antaranya di Sri Gombak, Batu Caves, Ampang, Bukit Antarabangsa, Shah Alam, Bangi dan Kajang.
Beliau menambah: "Kami juga membuka cawangan di Ipoh, Kota Bahru, Alor Setar dan Kuantan dengan kesemua rangkaian restoran itu diurus oleh Sharin Low Abdullah, selaku Pengarah Urusan Restoran Hj. Sharin Low Grand."
Ditanya bagaimana timbul idea untuk mewujudkan rangkaian makanan Cina Muslim, Linah berkata, negara kita cukup unik kerana dihuni oleh tiga bangsa utama iaitu Melayu, Cina dan India yang mana mereka saling menghormati baik dari segi budaya mahupun agama.
"Hubungan yang baik antara sesama kaum ini telah menjadikan mereka mudah untuk menerima apa sahaja budaya termasuk makanan, yang menyebabkan kami membuat keputusan untuk mewujudkan restoran seumpama ini," katanya.
Linah berkata, peluang yang terbuka luas itu digunakan bagi membuka restoran seumpamanya di kawasan penempatan Melayu dengan memastikan semua bahan bekalan adalah halal.

KEKAL SIHAT DI BULAN RAMADHAN

KETIKA berpuasa, kadar metabolik seseorang individu mulai menurun tetapi mekanisme tubuh lain pula akan berfungsi.
Secara umumnya, berpuasa pada bulan Ramadan mampu meningkatkan kesihatan seseorang tetapi ada juga kemungkinan ia menjadi lebih teruk!
Faktor penentu yang menyumbang kepada masalah kesihatan individu bukan kerana puasa itu sendiri, tetapi disebabkan jenis makanan yang diambil daripada waktu berbuka sehingga waktu bersahur.
Masalah yang kerap terjadi ketika berpuasa ada antaranya boleh diatasi jika tahu caranya. Berikut terdapat beberapa langkah yang boleh diguna pakai sepanjang bulan Ramadan ini:

1. Pedih ulu hati. Apabila seseorang itu berfikir tentang makanan, otak akan menghantar isyarat di bahagian perut untuk menghasilkan asid yang boleh menyebabkan pedih ulu hati. Oleh itu, pedih ulu hati merupakan antara masalah yang kerap terjadi sepanjang bulan Ramadan. Jadi, pastikan kamu memilih makanan yang lambat dihadam ketika bersahur.

2. Dehidrasi. Kekurangan air di dalam tubuh akan merendahkan kadar metabolisme dan menyebabkan dehidrasi. Sepanjang Ramadan, masalah dehidrasi lebih kerap berlaku kerana kamu perlu menahan lapar dan dahaga lebih daripada 10 jam. Disebabkan itu, penting untuk menikmati air secukupnya semasa bersahur dan juga berbuka.

3. Sakit kepala. Ketika berpuasa, sakit kepala kerap terjadi
kerana beberapa faktor seperti kelaparan, kurang tidur ataupun mengambil kafein dan tembakau. Oleh itu, kurangkan pengambilan kafein dan tembakau secara perlahan-lahan dan dapatkan tidur yang cukup untuk mengurangkan sakit kepala ketika berpuasa.

4. Sembelit. Antara faktor seseorang itu mengalami sembelit adalah pengambilan makanan segera secara berlebihan serta pengambilan air dan fiber yang tidak mencukupi di dalam diet. Bagi mengelakkan masalah tersebut, kurangkan pengambilan makanan segera. Sebaliknya, tambah jumlah pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.

5. Paras gula rendah. Jika berasa pening, letih, lesu, menggigil, mengalami daya tumpuan yang rendah atau tidak dapat menjalankan aktiviti fizikal ketika berpuasa, kemungkinan kamu mengalami simptom bahawa tahap gula rendah dalam darah. Jadi, pengambilan makanan dan minuman yang bergula ketika sahur dan semasa berbuka puasa perlu dikawal bagi membantu mengelakkan penurunan gula dalam darah secara mendadak. Untuk itu, makanlah buah-buahan segar dan minum jus tanpa gula sebagai sumber tenaga ketika berbuka puasa.

GESA SEGERA NAIK TARAF JALAN BELOKOK-TANJUNG BIN

Gesa segera naik taraf jalan
Keadaan jalan sempit memerlukan pembinaan segera laluan dari Pekan Nenas ke Tanjung Bin.
PONTIAN - Penduduk di beberapa buah kampung di Mukim Sungai Karang dan Serkat, berharap kerja-kerja penyambungan jalan Pekan Nenas ke Tanjung Bin dapat disegerakan.

Penduduk memberitahu  laluan sejauh kira-kira lima kilometer yang merentasi Kampung Sungai Karang, Simpang Kiri, Kampung Sungai Boh, Sungai Chengkeh, Sungai Dinar itu bakal memberi manfaat besar kepada mereka.

Penduduk, Mohammad Samir berkata, apabila jalan baru itu siap sepenuhnya, penduduk dapat menikmati kemudahan jalan yang lebih selesa untuk keluar masuk kampung.

“Dianggarkan hampir 100 penduduk tinggal di kampung-kampung di Mukim Sungai Karang menggunakan laluan itu.

“Laluan ini  juga untuk  hantar anak ke sekolah terutamanya bagi yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Boh, katanya.

Mohammad berkata, dia juga bimbang dengan soal keselamatan penduduk yang menggunakan jalan terbabit memandangkan laluan itu menjadi laluan utama pekerja ke kawasan projek pembangunan di Tanjung Bin.

Katanya, pekerja di kawasan pembangunan berkenaan yang kebanyakannya berkereta didapati memandu dengan laju tanpa menyedari jalan di laluan berkenaan sempit dan kecil berbanding jalan masuk dari Pekan Nenas ke Peradin.

“Kami berharap laluan ini dapat disambung semula bagi membolehkan semua pihak mendapat manfaat bukan sahaja kepada pekerja di Tanjung Bin malah penduduk kampung sendiri dapat menggunakannya dengan selamat dan selesa,” katanya.

Mohammad berkata, dengan beberapa projek baru di Tanjung Bin pada tahun ini, dijangka lebih ramai tenaga pekerja diperlukan termasuk pekerja tempatan yang tinggal di Pekan Nenas, Gelang Patah, Johor Bahru dan sebagainya.

“Saya lihat peluang ekonomi yang lebih baik kepada penduduk kampung apabila laluan baru tersebut siap sepenuhnya kelak.

“Apabila laluan terbabit digunakan oleh pelbagai kenderaan, jalan berkenaan akan menjadi tumpuan seterusnya boleh dimanfaatkan penduduk kampung dengan membuka gerai menjual buah-buahan dan sebagainya untuk menambah pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Rimba Terjun, Mohamad Ali Wahab memberitahu projek penyambungan laluan terbabit terletak dibawah kerajaan persekutuan.

“Saya difahamkan Jabatan Kerja Raya sudah pun memohon peruntukan bagi melakukan kerja penyambungan laluan tersebut,” katanya.

Friday, July 12, 2013

DENGGI PONTIAN MELONJAK LEBIH 100%

Muji Salimon (tiga dari kiri) mengetuai Program Gotong-Royong Perdana Denggi Peringkat Daerah Pontian
 di Taman Kota Emas, Pontian, Johor, baru-baru ini. Turut kelihatan, Dr. Norashikin Mahadan (dua dari kiri).

PONTIAN 11 Julai - Sebanyak 44 kes penyakit denggi dilaporkan berlaku di daerah Pontian bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding 21 kes dalam tempoh sama pada 2012 lalu iaitu peningkatan sebanyak 105.6 peratus.
Pegawai Kesihatan Kanan Pejabat Kesihatan Pontian, Dr. Norashikin Mahadan berkata, sebanyak 85 peratus daripada kes tersebut berpunca daripada pembiakan nyamuk aedes di luar premis melibatkan beberapa lokasi seperti di Lorong Pisang, Lorong Nipah, Lorong Manggis, Lorong Kemang, Lorong Mengkudu, Lorong Ciku dan Lorong Kenanga.
"Beberapa tindakan diambil bagi membendung pembiakan aedes dengan mengedarkan risalah dan maklumat kepada penduduk, penyemburan asap dan lawatan susulan. Walaupun tiada kematian dilaporkan, peningkatan kes yang tinggi memerlukan langkah-langkah yang segera agar tidak menjadi ancaman kepada orang ramai.
"Unit Vektor dari Pejabat Kesihatan Pontian turut menganjurkan pelbagai program kesedaran dan bertemu penduduk dari semasa ke semasa. Kami berharap orang ramai mengambil langkah yang perlu bagi membantu mengurangkan kes jangkitan denggi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Gotong-Royong Perdana Denggi Peringkat Daerah di Taman Kota Emas, di sini baru-baru ini.
Program yang disempurnakan oleh Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon itu turut dihadiri Pentadbir Tanah Daerah Pontian, Abd. Rahman Salleh; Yang DiPertua Majlis Daerah Pontian, Miswan Yunos dan Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Supritendan, Jokhiri Abd. Aziz.
Gotong-royong tersebut mendapat kerjasama yang baik melalui penyertaan kira-kira 500 kakitangan jabatan-jabatan kerajaan, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, jawatankuasa penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan sukarelawan lain.
Menurut Norashikin, jabatan serta agensi kerajaan juga dapat memainkan peranan masing-masing dalam membendung pembiakan aedes dengan menggalakkan kakitangan mereka mengambil langkah pencegahan membunuh jentik-jentik di rumah dan menjaga kebersihan.
"Tanggungjawab bagi memerangi denggi adalah tanggungjawab semua pihak memandangkan statistik yang berlaku di setiap daerah akan menyumbang kepada laporan jumlah penyakit denggi di peringkat negeri," katanya.