BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, October 15, 2013

SALAM AIDILADHA 1434H



HARI ini kita berada pada 10 Zulhijjah. Selain Hari Raya Aidiladha, hari ini juga merupakan hari pertama bagi kaum muslimin melakukan ibadah korban dan akan berakhir pada hari tasyrik yang terakhir iaitu pada 13 Zulhijjah.
Selama tiga hari ini kita disunatkan untuk menyembelih haiwan ternak sebagai korban. Sama ada kambing, lembu ataupun unta. Dagingnya lalu dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin yang memerlukan.
Sebahagiannya boleh dijadikan hadiah kepada rakan handai dan boleh juga dimakan untuk santapan keluarga.
Penyembelihan haiwan korban ini sebenarnya simbolik bagi kepatuhan seorang mukmin kepada tuhannya. Allah tidak menilai kesempurnaan ibadah ini dengan daging dan darah haiwan tersebut, akan tetapi memandang kepada kualiti takwa yang terdapat di dalam hati pelaku ibadah ini.
Allah berfirman: Daging dan darah haiwan itu tidak akan mencapai Allah, akan tetapi ketakwaan yang berasal daripadamu. (al-Haj: 37)
Ibadah korban mengingatkan kita kepada kepatuhan Nabi Ibrahim yang bersedia menyembelih Ismail anak kandungnya sendiri kerana memenuhi perintah Allah SWT.
Kesediaan ini menunjukkan tingkat kehambaan baginda yang menempatkan Allah SWT di tingkatan tertinggi di dalam lubuk hatinya.
Sebagai seorang bapa, Ibrahim tentu sahaja sangat mencintai anaknya. Beliau bersedia berpenat lelah untuk memenuhi keperluannya, bahkan bersedia mengorbankan nyawa jika diperlukan untuk melindunginya.
Bagi seorang ayah, perintah menyembelih anak lebih berat daripada perintah untuk mati demi anak. Sangat berat bagi seorang ayah melihat anaknya mati, lebih-lebih lagi jika mesti menerusi tangannya sendiri.
Namun Ibrahim berjaya lulus dalam ujian ini. Beliau telah membuktikan kepada dunia bahawa tuntutan Allah lebih ia turuti dan mengenepikan perasaan, ego dan emosinya sendiri. Justeru Allah lalu memberinya gelaran Khalilullah (kekasih Allah).
Pengajaran ini hendaklah hadir dalam hati apabila kita melaksanakan ibadah korban. Sewaktu menyembelih haiwan korban, sebenarnya kita tengah menyembelih nafsu dan ego yang selama ini memperhambakan kita.
Kita ingin membebaskan diri daripada kedua-duanya agar benar-benar menjadi hamba Allah SWT tanpa berbelah bahagi.
Kita juga mesti ingat bahawa pengorbanan sejati belum dapat diraih selagi mana kita belum mempersembahkan sesuatu yang paling kita cintai untuk Allah SWT.
Allah berfirman yang bermaksud: Kamu tidak akan mencapai darjat berbakti sehinggalah kamu memberikan daripada apa-apa yang kamu cintai. (Ali Imran: 92)
Kata kuncinya ialah meninggalkan nafsu kerana Allah SWT. Kita mesti selalu merujuk kepada hukum Allah SWT dalam setiap tindakan yang hendak kita lakukan dan ucapan yang hendak kita sampaikan. Mana yang melanggar syariat mesti dibuang dan mana yang selari dengan syariat boleh diteruskan.
Perkara ini memang berat di permulaan. Kita berpuasa apabila semua orang makan, bangun tahajud apabila semua orang tidur dan menjaga lisan apabila semua orang sangat ringan membicarakan aib orang lain. Namun jika diteruskan, sedikit demi sedikit kemanisan iman akan terbit di hati.
Ibrahim Al-Khawas berkata: "Barang siapa yang meninggalkan keinginan nafsu, namun ia tidak merasakan kemanisan di dalam hati, itu pertanda ia tidak ikhlas apabila meninggalkannya."
Balasan lain yang telah disiapkan bagi orang yang meninggalkan nafsunya kerana Allah SWT ialah ia akan mendapat ganti yang lebih baik daripada perkara yang ia tinggalkan itu.
Berkata Ubay bin Kaab: "Tidaklah seorang hamba meninggalkan sesuatu kerana Allah SWT, melainkan Allah SWT akan memberinya sesuatu yang lebih baik daripada sumber yang tidak disangka-sangka."
Perkara ini hanya terbukti bagi orang yang pernah melakukannya.

Saturday, October 12, 2013

REMY'S KITCHEN-SERI KEMBANGAN

GERAI Remy's Kitchen di Bazar Larut Malam, Taman Equine, Seri Kembangan, Selangor menyediakan 
pelbagai makanan barat pada harga berpatutan.

WALAUPUN hanya beroperasi di sebuah gerai terbuka, itu bukan halangan buat Remy's Kitchen menyediakan masakan barat seperti mana restoran makanan barat terkenal lain.
Malah, bagi penggemar makanan barat yang mahukan kelainan, Remy's Kitchen yang beroperasi di Bazar Larut Malam, Taman Equine, Seri Kembangan, Selangor adalah pilihan paling tepat.
Gerai yang santai dan selesa itu menawarkan pelbagai menu menarik yang berbeza dengan hidangan barat yang biasa disajikan restoran ternama lain.
Yang paling istimewa, pemilik gerai ini juga menggunakan pisang goreng bagi menggantikan kentang goreng pada setiap hidangannya.
Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh memilih untuk memesan pisang goreng dengan sambal kicap pada harga yang murah.
Menurut pemilik gerai, Noor Azman Abd. Rahim, 28, bermula dengan minat memasak, dia dan dua rakan kongsinya membuat keputusan untuk membuka sebuah gerai ala barat yang unik.
"Kami memang gemar pisang goreng, disebabkan itu kebanyakan menu ada pisang goreng.
"Menu-menu yang terdapat di gerai ini juga adalah hasil daripada 'try and error' kami bertiga dalam menghasilkan makanan yang menepati cita rasa orang ramai," katanya.
Harga yang ditawarkan sangat berpatutan iaitu bermula RM2.50 sehingga RM28.
Terdapat 16 menu disediakan dan antara menu menarik yang terdapat di gerai berkenaan termasuklah Sloppy Joe iaitu burger daging cincang yang disediakan bersama kentang lenyek dan pisang goreng.
Selain itu, roti bakar Tommie juga antara menu menarik. Ini kerana ia menggunakan ramuan sendiri, selain pencuci mulut Johnny Tsunami yang menggabungkan pisang goreng dan ais krim. Kesemua menu itu pastinya mengujakan sesiapa sahaja yang mencubanya untuk kali pertama.
Sementara itu, rakan kongsinya, Muhammad Ikhwan Daniel Idrus, 28, pula berkata, bahan perapan yang digunakan adalah ramuan mereka sendiri.
"Kami banyak menggunakan resipi sendiri selain ubah suai resipi yang biasa terdapat di restoran," katanya.
Tambahnya, gerainya juga mengadakan promosi kepada pengunjung yang singgah ke Remy's Kitchen.
"Contohnya pada Hari Merdeka, sesiapa yang pakai jersi Malaysia akan dapat potongan harga," ujarnya.
Gerai yang terletak di Jalan Prima Tropika Barat 1, Taman Prima Tropika, Seri Kembangan itu dibuka setiap hari bermula pukul 8 malam sehingga 2 pagi.
Untuk maklumat lanjut mengenai gerai tersebut boleh hubungi Muhammad Ikhwan di talian 012-4426866 atau layari laman Facebook Remy's Kitchen.

Thursday, October 10, 2013

4 PREMIS DIARAH TUTUP

  • Empat premis diarah tutupBrohan menunjukkan notis penutupan premis yang dikeluarkan, kelmarin.
 1 / 1 
PONTIAN - Keadaan lantai yang  kotor menyebabkan empat kedai makan di bandar ini diarahkan menghentikan operasi perniagaan selama dua minggu oleh Jabatan Kesihatan Daerah Pontian.

Dalam operasi petang kel- marin, sebanyak 15 kedai makanan diperiksa secara mengejut bagi memastikan peniaga menjaga kebersihan di premis masing-masing.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Daerah Pontian, Brohan Aziz berkata, penutupan  empat kedai makanan berkenaan dilakukan kerana pemilik restoran  gagal mematuhi aspek kebersihan yang ditetapkan.

“Keadaan dapur tidak terurus dengan kerja membasuh pinggan  mangkuk dilakukan di atas lantai hanya menggunakan air di dalam besen.

“Air bilasan pinggan mangkuk kemudian dibuang atas lantai menyebabkan ia menjadi licin. Air pula bertakung di kawasan lantai yang berlubang,” katanya.

Brohan berkata, sepatutnya, peniaga perlu membasuh pinggan di dalam singki yang membolehkan air mengalir keluar sekaligus tidak terkena pada permukaan lantai seperti yang terkandung di dalam Akta Makanan 1983.

Menurutnya, peniaga memberi alasan kaedah membasuh pinggan di lantai adalah cara tradisi yang sudah biasa mereka amalkan.

“Kaedah itu tidak boleh lagi digunakan kerana dibimbangi  pinggan yang dibasuh akan terkena lantai menyebabkan jangkitan  kuman,” katanya.

Beliau berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan bagi mengesan peniaga yang gagal mematuhi arahan kebersihatan yang ditetapkan.

Tegasnya, pihak Jabatan Kesihatan meminta peniaga yang diberikan  notis segera melakukan kerja  pembersihan kedai.

“Pegawai kesihatan akan memantau kedai yang diberikan notis penutupan ini sebelum peniaga  dibenarkan memulakan operasi  perniagaan setelah notis penutupan berakhir,” katanya.

10% PENDUDUK MALAYSIA SAKIT MENTAL MENJELANG 2020

KOTA BHARU - Kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di negara ini diramal akan mengalami penyakit mental menjelang tahun 2020.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman berkata, pertambahan populasi penduduk berusia 50-an dan ke atas menjelang 2020 akan memberi implikasi terhadap sistem penjagaan dan pemberian perkhidmatan kesihatan seperti kesihatan mental dan fizikal.
"Golongan usia 50-an dan ke atas akan menghadapi kemerosotan tahap kesihatan akibat penyakit kronik, rasa sunyi akibat terpinggir daripada keluarga dan masyarakat, hilang minat akibat hilang pekerjaan serta masalah kewangan akibat kos sara hidup yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Psikologi Pekhidmatan Awam sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Peringkat Kebangsaan kali ke-19 di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan di sini, hari ini.
Lokman Hakim berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan bahawa kemurungan merupakan satu daripada penyakit mental yang menduduki tempat kedua teratas selepas penyakit jantung iskemia menjelang 2020.
Beliau berkata kerajaan, keluarga dan komuniti perlu memainkan peranan untuk memastikan kesihatan mental warga 50-an dan ke atas terjamin dengan memberi sokongan yang positif untuk persiapan seseorang ke arah usia emas.

Sunday, October 6, 2013

STEAK DAGING SEGAR DAN HALAL DI AYERS ROCK


SEBAIK melangkah ke restoran Ayers Rock Butcher & Grill (Ayers Rock) yang terletak di Wangsa Maju Kuala Lumpur, mata penulis terus melirik ke arah peti sejuk dingin (display chiller).
Terletak berhampiran dapur, peti sejuk beku tersebut dipenuhi ketulan daging lembu dan kambing segar diimport dari Australia, Norway dan New Zealand.
Lebih menarik, Ayers Rock bukan hanya menyediakan sajian stik, malah menjual daging mentah kepada orang ramai.
Pelanggan boleh memesan sama ada daging lembu grass fed, grain fed, black angus atau wagyu king mengikut berat yang dikehendaki iaitu 200 gram, 280 gram dan 350 gram.
Menurut Pemilik Bersama Ayers Rock Wangsa Maju, Mohd. Azren Datuk Osman, restoran ini menyediakan daging halal yang berkualiti tinggi buat pelanggan.
“Ayers Rock sebenarnya diasaskan oleh Ahmad Zakir Shafie yang merupakan seorang usahawan berpengalaman lebih 13 tahun dalam industri ternakan dan daging. Menurut Ahmad Zakir, nama Ayers Rock merupakan gambaran bukit batu terkenal di utara Australia," katanya,
Tambah Mohd. Azren, Ayers Rock tidak hanya menyediakan sajian stik, malah menjual daging kepada orang ramai seperti grass fed, grain fed, black angus dan wagyu king.
Jelasnya, daging lembu yang diimport ini mempunyai banyak perbezaaan dari segi kualiti dengan daging tempatan.
peti sejuk dingin yang menjual daging import halal di Ayers Rock Wangsa Maju, Kuala lumpur.

Daging lembu ini mempunyai rasa, tekstur, lemak dan ‘kemanisan’ berlainan, bergantung kepada pemakanan haiwan itu sama ada hanya makan rumput, bijirin dan wagyu. Bagaimanapun, Ayers Rock menggunakan wagyu daripada Australia yang tidak diberi minuman berasas arak.
“Kami menyediakan pelbagai stik termasuk daging kambing daripada New Zealand yang dipelihara dalam persekitaran halal sepenuhnya.
“Antara stik popular di kalangan pelanggan ialah T-bone premium beef, short ribs, tenderloin, wagyu ribeye, lamb cutlet, dan burger stik.
“Dalam pada itu, pelanggan yang tidak mahu makan daging, boleh mencuba stik salmon, cod atau udang galah," katanya.
Menariknya, salmon tersebut diimport dari Norway dan pati burger keluarannya pula mengandungi isi daging 85 peratus lebih banyak berbanding burger di pasaran.
Tidak ketinggalan, sos yang digunakan dalam setiap hidangan berbeza dengan restoran lain kerana dihasilkan sendiri oleh Ayers Rock.
Tambah Mohd. Azren, Ayers Rock mengenakan bayaran berbaloi kerana hidangan boleh dinikmati dengan kos semurah RM10 hingga RM200 di restoran yang dibuka tujuh hari seminggu bermula jam 11 pagi hingga 11 malam.
“Ayers Rock di Wangsa Maju turut menyediakan tempat meletak kereta khas untuk pelanggan. Orang ramai yang berminat untuk mengadakan majlis seperti hari jadi, perkahwinan dan sebagainya juga boleh menghubungi kami.
“Kami juga mempunyai pentas live band dan sistem bunyi sesuai untuk pelbagai majlis," katanya.

Saturday, October 5, 2013

DAPUR JENDELA: MENU SARAPAN WAKTU MALAM


PERSEKITARAN restoran Dapur Jendela di Jalan Tan Hiok Nee, Johor Bahru yang nampak ringkas tetapi 
amat selesa untuk bersantai dan menikmati makan malam.

LEMPENG yang dinikmati dengan sambal tumis ikan bilis biasanya dihidangkan pada waktu sarapan, namun menu tersebut yang ditawarkan pada sebelah malam di restoran Dapur Jendela menjadikan ia popular dalam kalangan pengunjung.
Dapur Jendela yang terletak di Jalan Tan Hiok Nee di Johor Bahru, Johor yang dibuka pada Oktober tahun lalu mula menjadi tumpuan ramai sejak hidangan lempeng yang dicicah dengan sambal tumis ikan bilis diperkatakan mereka yang pernah ke restoran itu.
Bukan hanya lempeng, malah hidangan yang biasa dinikmati untuk sarapan seperti soto, roti jala dan ubi rebus turut tertera pada menu di restoran yang dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula pukul 6 petang hingga 2 pagi itu.
"Saya gunakan sebanyak 12 kilogram tepung gandum yang mampu menghasilkan kira-kira 324 keping lempeng setiap hari bagi memenuhi permintaan pengunjung yang mahu mencuba hidangan tersebut," kata pemilik restoran, Nurshila Surip, 23.
Bekas pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Alor Gajah, Melaka itu berkata, semua menu tempatan yang ditawarkan di Dapur Jendela adalah daripada resipi ibunya, Zubaidah Sarai, 57, yang sering menjadi hidangan keluarga.
Menurutnya, idea untuk menawarkan hidangan tersebut tercetus apabila dia yang gemar melancong dan mencuba pelbagai makanan tradisional negeri lain jarang bertemu dengan masakan kampung seperti lempeng dan ubi kayu.
"Hidangan ubi kayu mungkin ada, namun bila bercakap mengenai lempeng yang dimakan dengan sambal tumis ikan bilis, memang saya tak jumpa di tempat lain. Di atas kesedaran itu, saya cuba komersialkan makanan yang menjadi menu keluarga.
"Alhamdulillah, selepas hampir setahun beroperasi, restoran ini sudah dikenali dan tidak sangka hidangan lempeng yang ringkas ini menjadi permintaan ramai," katanya kepada S2.
Selain lempeng, soto, roti jala dan ubi rebus, Dapur Jendela yang bakal menginjak usia setahun pada bulan depan turut menawarkan hidangan nasi kukus dan bubur nasi yang dinikmati bersama kangkung goreng belacan, masakan Barat dan pelbagai jenis jus buah-buahan.
Anak jati Johor itu juga berkata, kebanyakan menu di restorannya mudah disediakan dan tidak mengambil masa lama untuk dihidangkan kepada pelanggan yang mana ia menjadi antara kriteria pilihan pelanggan, selain disebabkan lempeng.
"Di Dapur Jendela, kami menghidangkan makanan seperti mana kami nikmati ketika berada di rumah. Tiada bahan dikurangkan dalam setiap hidangan, macam mana pelanggan rasa macam itulah ia dimasak ibu di rumah," katanya.
Restoran yang terletak di deretan bangunan lama berdekatan Bazar Karat itu, katanya, menampilkan konsep santai dengan menggunakan peralatan dapur seperti senduk, sudip, periuk, sudu dan garpu sebagai hiasan dalamannya.
Tambahnya, pengubahsuaian di kedai tersebut yang turut menggunakan piring hitam album artis lama itu dibuat hasil bantuan kakak serta abang iparnya yang masing-masing merupakan arkitek dan eksekutif di sebuah syarikat perkapalan.
"Restoran dua tingkat ini mampu memuatkan 60 orang dalam satu masa. Biarpun tempatnya tidaklah seluas restoran lain, namun ia memberi kepuasan kepada saya kerana apa yang penting adalah kepuasan pelanggan yang menikmati hidangan kami," katanya.
Nurshila yang pernah aktif dan mewakili Johor ke Sukan Malaysia di Kedah pada 2006 dalam acara sukan angkat berat memberitahu, nama restoran itu diambil bersempena dapur istimewa ibunya yang unik di rumah mereka.
"Dapur ibu di rumah jika dilihat seakan-akan diletak di dalam sebuah almari bertingkap. Jadi, setiap kali ibu hendak memasak, dia perlu buka pintu untuk ke dapur. Nama restoran ini diambil sempena dapur istimewa itu.
"Istimewanya dapur ini, ia bukan sahaja tempat untuk memasak, malah ibarat tempat mengeratkan kasih sayang. Ini kerana, melaluinya kami sekeluarga dapat merasai pelbagai juadah kegemaran, hasil air tangan ibu," jelasnya.
Dalam pada itu, Nurshila juga memasang impian untuk memperluaskan perniagaannya pada masa hadapan kerana mahu berkongsi resipi kampung di tempat lain agar tidak dilupakan generasi akan datang.

Friday, October 4, 2013

RUMAH SALEWANGENG, SERKAT

  • Wartakan Rumah SalewangengSuhaimi menyampaikan cendermata kepada Endok Chicuk, pada program Adat Perkahwinan Masyarakat Bugis di Serkat, kelmarin.
 1 / 2 
PONTIAN - Rumah tradisi masyarakat Bugis dikenali Rumah Salewangeng di Memorial Daeng  Hadadek, Serkat, di sini, yang dibina dengan kos RM1 juta perlu diwartakan sebagai rumah warisan.

Langkah itu perlu memandangkan masih ramai tidak mengetahui kewujudan rumah warisan tersebut meskipun lokasinya cukup strategik di kawasan pelancongan Tanjung Piai yang digelar Tanah Penghujung Benua Asia.

Adun Kukup, Suhaimi Salleh berkata, Jabatan Pelancongan Negeri sewajarnya menyenaraikan rumah warisan itu sebagai salah satu destinasi lawatan  dalam Kalendar Pelancongan Negeri Johor, mulai tahun  depan.

“Usaha pemilik, Endok Chichuk Daeng Hadadek, 68, yang membina rumah warisan ini amat baik kerana kediaman ini jarang dilihat sekarang.

“Kesediaannya mengeluarkan perbelanjaan besar untuk berkongsi maklumat bagi mengekalkan adat dan tradisi masyarakat Bugis harus disanjung tinggi kerajaan dan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Adat Negeri Johor 2013 'Adat Perkahwinan Masyarakat Bugis' di Rumah Salewangeng, Memorial Daeng Hadadek, Serkat, di sini, kelmarin.

Program tersebut anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Johor dengan kerjasama Pejabat Daerah Pontian, Majlis Kebudayaan Daerah Pontian (MKDP) dan pemilik Memorial Daeng Hadadek.

Turut hadir, Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon; Pengarah JKKN Johor, Abdul Hamid Muhamad; Penolong Pengarah Bahagian Pengembangan Budaya, Amirulazam Ibrahim dan Yang Dipertua Persatuan Bugis Johor (OGi’), Datuk Awang Muhammad.