BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, October 25, 2013

RAHSIA UMUR PANJANG PENDUDUK MEKAH

Kota suci Mekah tidak pernah sepi daripada menerima kehadiran tetamu Allah. Sama 
ada atas urusan menunaikan ibadat haji mahupun umrah.

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Allah telah menjadikan Kaabah, rumah suci itu sebagai pusat bagi manusia. (al-Ma'idah: 97)
Angkasawan pertama yang menjejakkan kaki di bulan, Neil Armstrong telah membuktikan bahawa kota suci Mekah yang terletaknya Kaabah adalah merupakan pusat kepada planet bumi.
Sebenarnya dalam al-Quran telah lebih dahulu membicarakan perkara ini. Maka sebagai hamba Allah yang diberikan akal fikiran, kita perlulah meneliti dan berfikir di sebalik rahsia-rahsia yang terkandung di dalam ayat-ayat suci al-Quran al-Karim itu.
Antara kalam-kalam Allah SWT mengenai Mekah sebagai pusat bumi adalah firman yang bermaksud: Demikianlah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran dalam bahasa Arab supaya kamu memberi peringatan kepada Ummul Qura (penduduk Mekah) dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya (negeri-negeri di sekelilingnya). (asy-Syura: 7)
Perkataan Ummul Qura bererti induk bagi kota-kota lain di sekelilingnya, menunjukkan Mekah adalah pusat bagi kota-kota lain dan yang lain hanyalah berada di sekelilingnya. Lebih daripada itu kata ummul (ibu) mempunyai erti yang cukup penting dan luas di dalam peradaban Islam.
Sebagaimana seorang ibu adalah sumber daripada keturunan, maka Mekah juga merupakan sumber dari semua negeri lain serta keunggulan di atas semua kota.
Firman Allah lagi yang bermaksud: Wahai jin dan manusia, jika kamu sanggup menembusi (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusinya kecuali dengan kekuatan (ilmu pengetahuan). (ar-Rahman: 33)
Perkataan aqthar adalah bentuk jamak daripada perkataan qutr yang bererti diameter dan ia mengacu pada langit dan bumi yang mempunyai banyak diameter.
Berdasarkan ayat ini dapat difahami bahawa diameter lapisan-lapisan langit itu di atas diameter bumi (tujuh lapisan bumi). Jika Mekah berada di tengah-tengah bumi, dengan itu bererti bahawa Mekah juga berada di tengah-tengah lapisan-lapisan langit.
Ada hadis yang menerangkan bahawa Masjidil Haram di Mekah, tempat Kaabah berada itu ada di tengah-tengah tujuh lapisan langit dan tujuh lapisan yang membentuk bumi.
Nabi Muhammad SAW bersabda: "Wahai orang Mekah, wahai orang Quraisy, sesungguhnya kamu berada di bawah pertengahan langit."
Berdasarkan penelitian di atas, bahawa Mekah berada pada tengah-tengah bumi (pusat dunia), maka benar-benar diyakini bahawa Kota Suci Mekah seharunya dijadikan rujukan waktu dunia. Bukannya Greenwich yang sekian lama menjadi rujukan umum. (Mekah sebagai pusat bumi, Dr. Mohamad Daudah).
Suka ditegaskan akan pengakuan yang dibuat oleh Neil Armstrong bahawa kota Mekah yang terletaknya Kaabah adalah pusat kepada planet bumi. Sedangkan al-Quran sejak 1,400 tahun lalu telah membicarakan mengenai kota Mekah dan Kaabah adalah sebagai pusat bumi ini.
Ketika kali pertama Neil Armstrong melakukan perjalanan ke luar angkasa dan mengambil gambar planet bumi, dia berkata: "Planet bumi ternyata bertumpu di kawasan yang sangat gelap, dan di manakah ia berpusat?"
Fakta ini telah diteliti melalui suatu penelitian ilmiah.
Para angkasawan telah menemui bahawa planet bumi mengeluarkan satu radiasi, secara rasmi mereka mengumumkan di Internet tetapi sayangnya 21 hari kemudian, laman sesawang tersebut hilang dan seperti ada alasan tersembunyi di sebalik penghapusan tersebut.
Setelah melakukan penelitian lebih lanjut, ternyatalah radiasi tersebut berpusat di kota Mekah dan tepatnya berasal dari Kaabah. Yang mengejutkan adalah radiasi tersebut bersifat infiniti (tidak berakhir).
Perkara ini terbukti ketika mereka mengambil gambar planet Marikh, radiasi tersebut masih berterusan. Para peneliti Muslim mempercayai bahawa radiasi ini memiliki karakteristik dan menghubungkan antara Kaabah di planet bumi dengan Kaabah di alam akhirat.
Di tengah-tengah antara kutub Utara dan kutub Selatan, terdapat suatu kawasan yang bernama Zero Magnetism Area, di mana apabila kita mengeluarkan kompas di kawasan tersebut, maka jarum kompas tersebut tidak akan bergerak sama sekali kerana daya tarikan yang sama besar antara kedua-dua kutub.
"Itulah sebabnya jika seseorang tinggal di Mekah, maka dia akan hidup lebih lama, lebih sihat dan tidak banyak dipengaruhi oleh kekuatan graviti. Oleh sebab itulah ketika kita mengelilingi Kaabah, maka seakan-akan diri kita dicas oleh suatu tenaga misteri yang menyebabkan kita bertenaga ketika mengelilingi (tawaf) di Kaabah dan ini adalah fakta yang telah dibuktikan secara ilmiah."
Penelitian lainnya ialah Hajarul Aswad merupakan batu tertua di dunia dan juga boleh terapung di air. Di sebuah muzium di England, terdapat tiga buah potongan batu tersebut (dari Kaabah) dan pihak muzium juga mengatakan bahawa bongkahan batu-batu tersebut bukan berasal dari sistem suria kita.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Hajar Aswad itu diturunkan dari syurga, warnanya lebih putih daripada susu dan dosa-dosa anak cucu Adamlah yang menjadikannya hitam (rujuk Jami' at-Tirmizi al-Hajj).
Begitu juga hadis yang bermaksud: "Hajar Aswad dari batu-batuan syurga dan tidak ada suatu benda di bumi yang turunnya dari syurga selain batu itu." (riwayat Tabarani)

ASAL USUL NAMA BANDAR DI JOHOR

Batu Pahat

Nama Batu Pahat dikatakan dari peristiwa memahat batu untuk mendapat bekalan air tawar di pantai Minyak Beku yang terletak di Kuala Sungai Batu, Batu Pahat. Kerja ini dilakukan oleh angkatan tentera Siam (Orang-orang Muslim Pattani Siam ) di bawah pimpinan Awi Dicu dalam abad ke-15 sewaktu hendak menyerang Melaka. Kesan pahatan tersebut masih terdapat hingga sekarang. Kesan ini dikenali sebagai Perigi Siam atau Perigi Batu Pahat. Pusat bandar bagi daerah Batu Pahat ialah Bandar Penggaram. Nama Penggaram itu dikatakan berasal daripada ‘pangkal jeram’, kerana terdapat jeram di sebuah sungai kecil yang mengalir dari bukit belakang bandar tersebut.

Muar

Muar lahir daripada perkataan ‘muara’ iaitu kuala sungai. Ini disebabkan oleh penempatan awal di kawasan tersebut terletak di muara Sungai Muar. Sungai Muar terkenal sejak zaman silam kerana sungainya yang lebar membolehkan para pelayar berlindung di musim gelora. Pelarian Raja Iskandar Syah (Parameswara) dari Singapura setelah dialahkan Majapahit pada awal abad ke-15 menggunakan sungai ini. Demikian pula apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, raja dan para pembesar Melaka melarikan diri melalui Sungai Muar.
Versi lain mengenai kewujudan nama tersebut ialah daripada perkataan ‘muak’ (jemu dan ‘mu-aru’ (Bahasa Tamil) bermaksud tiga sungai.
Bandar Maharani yang menjadi pusat bandar utama daerah Muar mendapat nama sempena nama Permaisuri Maharaja Abu Bakar pada 12 Ogos 1887. Oleh kerana pada masa itu Sultan Abu Bakar masih memakai gelaran Maharaja, permaisuri baginda memakai gelaran Maharani. Bandar itu dinamakan atas nama permaisuri yang megiringi Baginda dalam upacara perasmian bandar itu, Maharani Fatimah.

Mersing

Mersing mendapat nama daripada peristiwa penahanan buang daerah seorang pesuruh Sultan Pahang berbangsa Sikh, kerana melakukan kesalahan yang berat. Penahanan ini berlaku sewaktu Mersing belum ramai penduduk. Pekerja tersebut bernama Amer Singh, dan namanya menjadi terkenal di kawasan tersebut hingga menyebabkan tempat itu dikenali dengan nama Mersing.
Cerita lain yang membawa munculnya nama Mersing ialah dari peristiwa seorang dara bernama Mersing mencintai teruna perantau dari Pahang bernama Awang. Oleh kerana Mersing diminati oleh anak penghulu, bapa Mersing memilih anak Penghulu bakal menantunya.
Untuk memisahkan di antara Mersing dengan Awang, timbullah fitnah. Tetapi Awang berjaya membuktikan kesuciannya dengan menghapuskan fitnah tersebut. Akhirnya bapa Mersing bersetuju menerima Awang menjadi suami anaknya. Namun Awang tetap keras hati lalu meninggalkan keluarga Mersing dan penduduk di situ dalam keadaan menyesal. Dari nama dari itu lahirnya nama Mersing dan didendangkan kisahnya dalam lagu Seri Mersing.

Segamat

Nama Segamat berasal dari ungkapan kata ‘segera amat’ atau ‘segar amat’. Kata-kata itu lahir dari mulut Bendahara Tepok dalam pelariannya ke hulu Sungai Muar setelah Melaka ditawan Portugis. Bendahara Tepok yang mengalami penyakit lumpuh terpaksa diusung ke perahu. Ketika sampai ke Lubuk Batu, menurut beliau, segera amat sampainya angkatan pengiring-pengiringnya ke tempat yang selamat, jauh dari ancaman Portugis. Oleh kerana pada hari itu cuaca agak panas, Bendaraha Tepok pun mandilah di situ. Kata Bendahara Tepok setelah mandi, “Segar amat rasa badan ini” kata-kata Bendahara Tepok ini menjadi sebutan ramai pengikutnya hingga kemudiannya menamakan petempatan yang mereka duduki dengan nama Segamat.

Pontian

Perkataan Pontian dikatakan berasal dari kata ‘Perhentian’. Perhentian yang dimaksudkan itu ialah Sungai Pontian Besar, tempat berteduh dari gelora Selat Melaka bagi kebanyakan para pelayar yang hendak ke Singapura atau ke Melaka. Ada yang menyebutnya sebagai tempat perhentian para lanun untuk menunggu mangsa yang melintasi kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, kuala Sungai Pontian Besar adalah tempat perhentian nelayan memunggah tangkapannya, sementara Pontian Kecil menjadi Bandar utama bagi daerah Pontian.

Kota Tinggi

Kota Tinggi mengambil nama daripada kota yang dibina di atas kawasan tinggi di tebing Sungai Johor. Pembinaan kota tersebut untuk menangkis serangan Portugis yang berusaha hendak melenyapkan kuasa Kesultanan Melayu yang telah dialahkannya di Melaka pada tahun 1511.
Oleh Kerana Sungai Johor adalah kawasan yang selamat untuk berteduh dari gelora Laut Cina Selatan , ia telah menjadi tumpuan para pedagang sejak zaman silam lagi. Zaman Ptolemy kawasan tersebut dikenali dengan nama Palanda. Banyak tinggalan lama seperti manik dan permata dari zaman Han (SM200 - TM20) dan zaman Empayar Rom pernah ditemui di Kota Tinggi.

Tangkak

Nama Tangkak timbul daripada ‘tang merangkak’. ‘tang’ berasal dari perkataan tentang yakni tempat. Peristiwa itu berlaku ketika peneroka kawasan Tangkak, Long Mahmud tujuh bersaudara terpaksa merangkak naik ke tebing Sungai Tangkak menuju ke Bukit Tambak di kawasan Seri Makmur. Tebing-tebing sungai di kawasan Tangkak adalah lembut dan jerlus kerana paya ditumbuhi pokok-pokok resam, sendayan, pakis dan rembia.

Kluang

Bandar Kluang mengambil nama Keluang Kampung. Keluang sejenis kelawar besar pemakan buah. Ia memakan bunga durian dan buah-buahan seperti rambutan, rambai dan lain-lain. Penduduk kampung tersebut berjaya membunuh tupai yang datang ke dusun mereka, tetapi gagal menakutkan keluang yang begitu banyak setiap petang datang ke situ. Keluang yang banyak itu dikatakan datang dari sebuah bukit di belakang kampung mereka (bukit yang dimaksudkan mungkin Gunung Lambak). Akhirnya seorang pawang terpaksa mengadakan suatu upacara di bukit tersebut untuk memujuk keluang-keluang itu agar tidak datang ke dusun penduduk kampung tersebut.

Sunday, October 20, 2013

RASUAH ADALAH BERDOSA BESAR

Rasuah (dalam bahasa Arab disebut risywah) adalah pemberian sesuatu dengan tujuan membatalkan suatu yang haq atau untuk membenarkan suatu yang batil. (Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah)

Disimpulkan, ia adalah apa saja pemberian kepada seseorang untuk mendapatkan sesuatu yang bukan haknya atau untuk mengelakkan suatu kerugian yang sepatutnya terjadi kepadanya.

Hukum memberi atau menerima rasuah adalah haram, ia merupakan dosa besar kerana pelakunya dilaknat oleh ALLAH SWT dan Rasul-Nya. Daripada Abdullah bin ‘Amr berkata: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Riwayat Al-Tirmidzi)

Pemberi dan penerima rasuah berhak mendapat kemurkaan ALLAH dan dijauhkan daripada rahmat ALLAH kerana mereka telah melakukan perbuatan batil dan mengambil bukan hak mereka.

Di dalam al-Quran menceritakan tentang orang Yahudi. ALLAH berfirman, bermaksud: “Mereka adalah orang yang ALLAH tidak berkehendak menyucikan hati mereka, bagi mereka kehinaan di dunia dan azab yang pedih di akhirat. Mereka gemar dengar berita bohong dan gemar makan Al-Suht (yang haram).” (Surah Al-Maidah: 41-42)

Dalam mentafsirkan ayat ini, Umar Al-Khatthab, IbnMas’udra dan selainnya mengatakan yang dimaksudkan dengan Al-Suht (suatu yang haram) adalah rasuah. (Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurthubi)
Ibnu Mas’ud RA mengatakan, “Rasuah bagi menetapkan hukum (bagi pemerintah atau hakim) adalah kekufuran, ada pun bagi masyarakat adalah Al-Suht (haram).” (Al-Tabarani,Mu’jam Al-Kabir)

Namun, ramai di kalangan masyarakat yang terlibat dengan rasuah yang kadangkala tanpa mereka sedari, boleh jadi kerana istilahnya diubah kepada hadiah dan sebagainya. Hal ini terjadi baik untuk mendapatkan jawatan atau pekerjaan, tender, untuk masukkan anak ke sekolah atau universiti, atau untuk mencapai tujuan dunia yang lain. Ini adalah kezaliman kerana mengambil sesuatu yang mungkin sepatutnya hak orang lain.

Hadiah yang kita berikan kepada hakim atau pemerintah, juga termasuk dalam kategori rasuah yang diharamkan, walaupun ia dilakukan untuk mendapatkan hak kita kembali. Walaupun terjadi khilaf di mana ada ulama membolehkan memberi pemberian untuk mendapatkan hak, namun pendapat ini dibantahi sebahagian ulama yang lain.

Ini kerana jika kita memberi wang kepada hakim kerana kita di pihak yang dizalimi, kita sebenarnya membantunya dalam kezaliman yang dia lakukan, dan menggalakkannya untuk mengulangi lagi kezaliman itu pada masa akan datang. Kerana itu dalam banyak hal yang membabitkan kezaliman pemerintah, Islam banyak menyuruh supaya kita bersabar.

Ini merangkumi petugas-petugas yang mewakili pemerintah seperti polis dan sebagainya, janganlah kita memberi hadiah atau wang kepada mereka untuk melepaskan diri daripada hukuman, atau untuk meringankan hukuman.

Walaupun namanya diubah kepada hadiah, tetapi hakikatnya ia adalah rasuah yang haram dan mendapat laknat ALLAH danRasul-Nya, maka jangan sesekali kita terlibat di dalamnya.

Golongan hakim, petugas, pemerintah juga jangan menerima sebarang bentuk hadiah. Ini termasuk ghulul yang diancam dengan ancaman yang berat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang kami tugaskan dengan suatu pekerjaan lalu kami tetapkan gaji untuknya, maka apa yang dia ambil di luar itu adalah harta ghulul” (Sahih Abu Daud). Ini adalah bagi mengelakkan kezaliman, di mana orang berharta terlepas daripada hukum dengan membayar wang, manakala yang tidak berharta tidak bebas dari hukuman.

Takutlah kita apabila membaca firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa harta itu kepada hakim, supaya kamu memakan sebahagian harta benda orang lain dengan dosa padahal kamu mengetahui.” (Surah Al-Baqarah: 188)

Imam Al-Qurthubi berkata, “Sesiapa mengambil harta orang lain bukan dengan cara yang dibenarkan syariat maka dia telah memakannya dengan cara yang batil. Antara bentuk memakan dengan cara batil adalah seorang hakim yang memenangkan kamu sedangkan kamu tahu kamu salah. Sesuatu yang haram tidak berubah menjadi halal dengan keputusan hakim” (Al-Jami’ Li Ahkam Al-Qur’an).

LANGGAR ANAK SENDIRI, SALAH SIAPA ?


MEMBIARKAN anak kecil di dalam kereta tanpa pengawasan boleh mengundang padah. 


TRAGEDI yang berlaku pada 11 September lalu, mungkin menjadi igauan seumur hidup bagi seorang bapa, Mohd. Ali Hussin, 53.
Apa tidaknya, insiden yang berlaku pada pukul 12.30 tengah hari itu mengakibatkan dia kehilangan anak kesayangannya, Mohd. Adam, 2, yang menjadi mangsa korban kereta miliknya sendiri.
Lebih menyayat hati apabila mangsa ditemui berlumuran darah dalam keadaan secara melutut di dinding sambil kedua-dua tangan memegang selipar selepas dirempuh kereta yang ‘dipandu’ si abang.
Kejadian yang berlaku di pekarangan rumahnya sendiri di Taman Kerian, Parit Buntar, Perak itu tercetus selepas Mohd Ali meninggalkan kereta tanpa berkunci sebelum masuk ke dalam rumah sebentar bagi mengambil barangnya.
Namun, tiada siapa dapat menyangka, akal panjang anak kecilnya yang berusia empat tahun itu mampu ‘memandu’ kereta bapanya.
Tindakan si abang yang cuba ‘bereksperimen’ dengan kereta Mazda bapanya itu nyata merubah episod hidup dalam keluarga Mohd. Ali.
Insiden itu seolah-olah menjadi pembuka trend nahas maut membabitkan kenderaan undur milik ahli keluarga mangsa sendiri di negara ini.
Ia terbukti apabila dua minggu kemudian, kita digemparkan sekali lagi dengan kejadian seorang budak lelaki, Muhammad Rifaie, 2, yang maut selepas digilis treler yang dipandu bapanya di Taman Megah, Pontian, Johor.
Tidak hanya terhenti di situ, selang dua minggu selepas itu, Muhammad Faqih Mohd. Fitri yang berusia 10 bulan menjadi mangsa korban ibunya sendiri yang tidak sengaja merempuh anaknya ketika mengundurkan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya di Bukit Besar, Kuala Terengganu.
Ini merupakan sebahagian daripada insiden maut yang membabitkan kemalangan kenderaan yang mendapat liputan meluas.
KERATAN akhbar muka depan Kosmo! 10 Oktober 2013.


Kecuaian
Belum lagi dikira kes melibatkan kecederaan dan kanak-kanak yang mati lemas dalam kereta.
Sebagai manusia yang ada pegangan agama, kita percaya kematian seseorang itu dianggap ketentuan tuhan.
Namun, setiap apa yang berlaku pasti ada penyebabnya.
Jika nyawa anak-anak itu sendiri diragut oleh insan yang sudah diamanahkan oleh tuhan untuk menjaganya, sudah pasti sebagai ibu bapa, ia menjadi sejarah hitam dalam memori hidupnya.
Dalam hal sebegini, yang jelas ibu bapa sememangnya memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan kanak-kanak.
“Kejadian kemalangan undur kereta ini bukan hanya di Malaysia. Di negara maju seperti Amerika Syarikat dilaporkan sebanyak 448 kematian akibat langgar undur dari tahun 2006 hingga 2010.
“Di Australia sendiri, saban minggu sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak telah terlanggar akibat undur kereta. Kes kemalangan undur kereta ini boleh dikatakan antara kejadian yang kerap berlaku di luar negara selain kes lemas dalam kereta,” ujar Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Anak-Anak Malaysia, Mohd. Fairuz Mohamed Isa.
Mohd. Fairuz menjelaskan antara faktor berlakunya kemalangan tersebut ialah kecuaian penjaga itu sendiri.
Sikap suka tergesa-gesa memandu kereta keluar dari rumah menyumbang kepada kegagalan ibu bapa untuk memastikan keadaan sekitar berada dalam keadaan selamat sebelum menggerakkan kenderaan.
Katanya, sikap semula jadi kanak-kanak juga boleh menyumbang kepada berlakunya kemalangan tersebut.
“Memang sifat semula jadi kanak-kanak yang berasa teruja jika melihat ibu bapanya. Tidak kurang ada juga kanak-kanak yang begitu aktif dan agak nakal.
“Namun, ini bukanlah alasan bagi kita untuk membiarkan mereka tanpa sebarang pengawasan,” ujarnya.
IBU bapa perlu memantau keadaan persekitaran bagi memastikan ianya selamat sebelum mengundurkan kenderaan. - Gambar hiasan


Zon buta
Faktor luaran seperti keadaan kereta dan persekitaran juga dilihat antara yang boleh menyumbang kepada kes-kes kemalangan sedemikian.
“Sekiranya kenderaan tidak dilengkapkan dengan alat pengesan undur kereta, ia akan menyukarkan pemandu untuk mengenal pasti objek yang berada di belakang.
“Ini ditambah pula dengan keadaan enjin kereta yang berbunyi bising sehingga tidak dapat mendengar suara lain di sekeliling,” katanya yang memberitahu zon ‘buta’ kenderaan turut perlu diambil kira dalam memastikan keadaan di sekitar kenderaan.
Dalam hal sebegini, mencari kesalahan sesiapa bukanlah penyelesaiannya.
“Namun, kecuaian ini perlu diberi pengajaran dan masyarakat perlu belajar dari kesilapan. Kempen kesedaran, bimbingan dan kaunseling kepada ibu bapa perlu agar kejadian seumpama tidak berulang,” katanya yang memberitahu, Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika ibu bapa didapati bersalah atas kecuaian sehingga mengakibatkan anak-anak cedera.

PROMOSI MAKANAN PANTAI TIMUR DI HOTEL THISTLE JB

JOHOR BAHRU 19 Okt. - Penggemar makanan Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu boleh menikmati juadah tersebut di Hotel Thistle di sini hingga hujung bulan ini.
Chef Eksekutif hotel berkenaan, Chef Imran Hamid berkata, juadah tersebut akan dihidangkan untuk jamuan makan malam bermula pukul 6.30 petang hingga 10.30 malam sempena Pesta Makanan Pantai Timur yang dianjurkan pihaknya.
“Pesta ini diadakan bagi memperkenalkan menu makanan selain negeri Johor, sebelum ini kami telah memperkenalkan makanan dari Pulau Pinang yang mendapat sambutan menggalakkan.
“Kini kami memutuskan untuk mengetengahkan makanan dari dua negeri itu yang sememangnya terkenal dengan juadah yang enak," katanya ketika ditemui pada sesi prebiu di sini baru-baru ini.
Chef Imran memberitahu, antara menu utama yang akan disajikan ialah nasi kerabu, nasi dagang, keropok lekor dan kuih tradisional dari kedua-dua negeri berkenaan yang dihidangkan dalam tiga set menu secara berselang-seli.
“Harga bagi hidangan bufet itu bagi dewasa adalah RM85 manakala bagi kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun ialah RM42.50 pada setiap hari Jumaat.
“Sementara itu, pada setiap Sabtu hingga Khamis, harganya adalah RM65 bagi dewasa dan RM32.50 bagi kanak-kanak," katanya sambil memberitahu setiap Jumaat, terdapat persembahan kebudayaan untuk menghiburkan tetamu.
Pihaknya juga bercadang untuk memperkenalkan makanan tradisi orang Minang, masakan orang Negeri Sembilan serta masyarakat asli Minangkabau selepas ini.

Saturday, October 19, 2013

RESTORAN D'DAPOR EXPRESSS- LEBUH UNION, PULAU PINANG

SET hidangan dimasak menggunakan bahan-bahan segar sebaik mendapat tempahan 
daripada pelanggan restoran.

SEBAIK melangkah masuk ke Restoran D'Dapor Express yang terletak di Lebuh Union, Pulau Pinang, berkumandang irama gamelan yang membuatkan pengunjung terpaku seketika.
Bagaikan terpukau dengan suasana di dalam restoran yang dimiliki oleh Naser Medina itu, terutama hiasan dinding yang membangkitkan nostalgia kehidupan seharian di Pulau Mutiara suatu ketika dahulu serta beberapa poster seniman agung, Tan Sri P. Ramlee.
Menurut Naser, sejak mengambil alih pengurusan restoran pada penghujung 2011, beliau cuba membawa pelbagai perubahan sama ada aspek dekorasi mahupun menu di restoran yang menawarkan hidangan tradisional Melayu itu.
Malah bagi menghargai nilai estetika Melayu, nama-nama menu yang disediakan juga bercirikan kemelayuan serta mudah diingati oleh pelanggan yang rata-rata terdiri daripada pelancong asing.
"Biarpun sasaran utama pelanggan kami adalah pelancong asing, namun kami menawarkan pelbagai menu bercirikan Melayu serta mempunyai nama yang mudah diingati.
"Kami juga menyediakan beberapa hidangan istimewa iaitu kari kepala ikan menggunakan rempah yang dicipta sendiri dan udang karang yang menjadi pilihan ramai," ujarnya kepada S2 baru-baru ini.
Antara hidangan yang disediakan berasaskan ayam, daging, sayur-sayuran serta makanan laut yang dimasak segar setiap kali dipesan oleh pelanggan.
Nama-nama menu pula adalah Udang Buluh Perindu, Udang Petai Desa Permai, Sapi Rendang Seri Tanjung, Ikan Kukus Orang Tanjung, Sotong Kapitan Keling, Ayam Kelasah Malindo dan banyak lagi.
Selain untuk hidangan makan tengah hari dan makan malam, restoran yang boleh memuatkan 120 pelanggan pada satu-satu masa itu juga menyediakan tempahan berkumpulan serta majlis peribadi seperti jamuan keluarga dan hari jadi.
Malah ujar Naser, restoran tersebut juga pernah menjadi lokasi majlis perkahwinan dan jamuan hari raya bagi mereka yang inginkan suasana lebih santai.
Bercerita mengenai pelanggan, beliau menambah, antara pelancong yang sering berkunjung ke restoran itu adalah dari Jepun, Taiwan, China, Australia dan Timur Tengah.
"Kebiasaannya pemandu pelancong dan agensi pelancongan akan singgah di sini untuk membolehkan pelancong menikmati makan tengah hari dan ternyata hidangan disediakan digemari pelancong.
"Itulah sebabnya kami sentiasa memastikan mutu masakan yang disediakan di sini menepati cita rasa mereka, namun tidak sesekali mengabaikan ciri-ciri tradisional Melayu yang menjadi tunjang D'Dapor," ujarnya.
Menurut Naser, hidangan yang disediakan di D'Dapor tidak terlalu mahal malah berpatutan untuk memenuhi bajet setiap pelanggan, contohnya kari kepala ikan daripada RM35 dan udang karang pula daripada RM55 satu hidangan.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, pihaknya berhasrat membuka cawangan di beberapa lokasi terpilih, namun yang paling utama adalah strategi mengekalkan rasa asli ciptaannya sendiri.
Selain itu, beliau juga berhasrat membuka perkhidmatan katering untuk majlis-majlis keramaian dengan pilihan menu sama seperti yang disediakan di D'Dapor.

SOLAT DI RUANG UDARA

3 Rukun dengan menundukkan kepala sedikit dan tangan diletakkan atas lutut.

SOLAT merupakan tiang agama, waima walau di mana kita berada. Setiap umat Islam tidak terlepas daripada kewajipan melaksanakannya walaupun berhadapan segala kemungkinan sama ada situasi cemas atau sebagainya.
Hal itu menggambarkan bahawa solat adalah asas kepada sesuatu pegangan umat Islam selain ia merupakan ibadah berbentuk harian jika dibandingkan kewajipan lain seperti zakat, puasa dan haji yang dilaksanakan dalam tempoh tertentu.
Hal berkenaan termasuklah jika seseorang umat Islam sedang dalam perjalanan, sama ada menerusi pengangkutan darat, udara dan air.
Namun demikian, jika berada di darat atau di atas laut iaitu berada di atas muka bumi, kita boleh menunaikan dengan mudah sekali. Bagaimana pula ketika di udara?
Ketika diajukan soalan berkenaan kepada penumpang kapal terbang, mereka terus menjawab bahawa tidak melaksanakan kerana sedang berhadapan kesulitan.
Tanggapan itu sebenarnya adalah salah kerana tuntutan solat hanya gugur apabila seseorang itu berada dalam keadaan pengsan, haid bagi wanita dan sebagainya.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya. Dr. Muhd. Najib Abdul Kadir, solat wajib dilaksanakan walaupun berhadapan kesulitan termasuklah ketika penerbangan.
Namun ahli Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan itu berkata, namun demikian terdapat cara tertentu ketika berhadapan situasi menunaikan solat dalam penerbangan yang terbahagi kepada cara penentuan waktu dan kaedah pelaksanaannya.

Kaedah pelaksanaan

Jelas Muhd. Najib, perkara pertama yang perlu diketahui adakah ketika itu telah masuk waktu solat mengikut waktu tempatan, misalnya tibanya Zuhur sewaktu berada di ruang udara Pulau Pinang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Madinah.
"Maka ia boleh menunaikan solat Zuhur mengikut waktu Pulau Pinang sama ada hendak menjamakkan takdim dengan Asar ataupun sebaliknya.
"Namun dalam perjalanan itu, dia berada di Bangladesh dan masuk waktu Zuhur. Oleh demikian seseorang itu tidak perlu tunaikan solat itu lagi," terang Muhd. Najib.
Berkenaan waktu solat, penulis buku Rahsia Haji itu berkata para penumpang boleh bertanya sendiri kepada anak kapal dengan mereka akan merujuk kepada juruterbang.
Berhubung arah kiblat, Muhd. Najib berkata kebiasaannya dalam kapal terbang mempunyai paparan skrin yang menunjukkan lokasi dan arah tuju sesuatu penerbangan.
Muhd. Najib berkata, menerusi paparan itu memudahkan penumpang mengetahui arah kiblat. Namun ketika sedang menunaikan solat, arah kiblat bertukar maka dia tidak perlu mengulanginya semula.

Solat hormat waktu

Bagaimana hendak mengambil wuduk ketika dalam penerbangan sedangkan penggunaan air adalah terhad. Jika air berlebihan, boleh mendatangkan kemudaratan kepada kapal terbang.
Sehubungan itu, Muhd. Najib berkata penumpang boleh bersembahyang tanpa berwuduk dengan melakukan Solat Menghormati Waktu.
Muhd. Najib berkata, ada ketikanya, sama ada akibat darurat atau sebagainya, kita tidak dapat berwuduk atau bertayamun bagi menunaikan solat. Dalam hal ini umat Islam boleh menunaikan solat hormat waktu.
Tambah ahli akademi itu, pada asalnya solat ini bermaksud wujudnya kecacatan syarat yang tidak mencukupi iaitu tidak boleh berwuduk dan tayamum sama ada ketiadaan kedua-duanya atau keuzuran, sedangkan waktu solat masih ada ketika itu.
Namun jika masih dalam waktu solat, Muhd. Najib berkata, ia perlu mengulanginya. Tetapi jika sudah luput waktu solat, ia perlu menggantikan (qada).