BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, November 15, 2013

PNK PONTIAN HANTAR MEMO KEPADA MB

  • PNK Pontian hantar memo kepada MBNelayan Pontian bertekad untuk tetap mempertahankan tapak kegiatan mereka daripada dirobohkan.
 1 / 1 
PONTIAN - Gabungan Jawatankuasa Mempertahankan Pusat Kegiatan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pontian dekat sini akan menyerahkan memorandum kepada Pejabat Menteri Besar bagi menyatakan pendirian untuk membatalkan perobohan bangunan didiami mereka.

Memorandum itu disifatkan langkah terakhir yang terpaksa diambil nelayan bagi mengekalkan tapak bangunan pusat kegiatan yang telah dibangunkan nelayan tempatan sejak 30 tahun lalu di situ.

Sebelum ini kira-kira 50 nelayan telah mengadakan bantahan terhadap keputusan merobohkan sebahagian bangunan pusat kegiatan khususnya bengkel pemprosesan makanan untuk industri kecil dan sederhana ( IKS).

Setiausaha Gabungan Jawatankuasa, Samsudin Jaafar berkata, mereka sudah beberapa kali menghantar memorandum kepada Pejabat Menteri Besar dan jabatan kerajaan terlibat merayu agar tapak pusat  kegiatan itu dikekalkan.

Beliau menyifatkan usaha itu sia-sia kerana tiada sebarang surat jawapan mahupun perbincangan bersama dilakukan sepanjang tempoh setahun sejak isu pengambilalihan sebahagian kawasan PNK timbul.

“Sebelum ini, nelayan sering bertanya mengenai status tapak pusat kegiatan tersebut sama ada terus kekal atau berpindah.

“Namun, tidak sebarang maklumat diberikan pihak berkaitan sehinggalah pada Selasa lalu, di mana nelayan di sini menerima maklumat terdapat bangunan akan dirobohkan,” katanya.

Menurutnya, bangunan berkenaan merupakan tempat aktiviti kepada hampir 1000 nelayan yang berdaftar di bawah PNK  menjana ekonomi mereka.

Justeru, beliau meminta agar pihak yang berkenaan memikirkan langkah yang sewajarnya termasuk membayar ganti rugi kepada nelayan sekiranya masalah itu gagal diatasi sehingga sebahagian bangunan pusat kegiatan PNK itu dirobohkan.

“Satu perjanjian juga perlu dibuat antara pihak persatuan nelayan bersama pemaju dan pihak kerajaan negeri bagi memastikan nelayan di sini mendapat kawasan baru sebagai ganti.

“Perjanjian itu perlu sebagai jaminan masa depan nelayan yang bersusah payah membangunkan kawasan pusat kegiatan di sini,” katanya.

MUSIM DURIAN DI PONTIAN

  • Musim durian tambah rezeki peniagaZairi dan isterinya Liza, menunjukkan durian yang dijual di gerainya di persimpangan Teluk Kerang.
 1 / 1 
PONTIAN - Ketibaan musim durian sekali setahun menyaksikan kewujudan gerai buah-buahan di tepi jalan sekitar daerah ini tidak ubah seperti cendawan selepas hujan.

Di sepanjang laluan utama ke Tanjung Piai dari Pekan Nenas dan bandar Pontian sahaja, terdapat lebih 10 gerai menjual buah durian.

Pemborong dan peniaga, Zairi Mohd Salleh berkata, musim durian berlaku secara berperingkat bermula dari Oktober lalu dan dijangka berakhir Disember ini.

“November merupakan kemuncak musim buah durian di sini, di mana jumlah buah lebih banyak berbanding bulan sebelumnya.

“Keadaan ketika ini umpama pesta durian di mana peniaga-peniaga menawarkan harga murah dan adakalanya dijual secara borong,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Beliau yang sudah enam tahun menjadi pemborong durian memberitahu, durian jenis kampung yang mempunyai isi tebal paling banyak terdapat di daerah ini.

Katanya, durian kampung mempunyai tarikan tersendiri walaupun tidak popular seperti durian jenis musang king.

“Ramai menggemari durian kampung yang musimnya hanya sekali setahun, kerana rasanya yang lemak dan enak.

“Malah ada yang datang mencari durian kampung di sini kerana mahu merasai durian kampung segar yang baru gugur dari pokok,” katanya.

Beliau berkata, musim durian pada kali ini cukup menjadi dengan sambutan baik pembeli.

“Pembeli yang rata-ratanya terdiri dari pelancong yang hendak ke Tanjung Piai dan Kukup, biasanya akan singgah mendapatkan durian di gerai-gerai durian tepi jalan di sini.

“Jualan pada hari minggu sahaja mampu mencecah hampir RM2,000 dan jumlah itu dijangka meningkat apabila tiba musim cuti persekolahan hujung tahun.

“Harga sekilo durian kampung di sini jual pada harga RM3 sekilo bergantung kepada gred,” katanya.

Katanya, sejak dua minggu lalu, sebanyak 200 kilogram durian dijual setiap hari kepada pemborong dari Johor Bahru.

“Pekebun-pekebun durian tempatan akan menghantar durian mereka ke gerai untuk dikumpul dan kemudian dijual kepada pemborong.

“Seawal jam 7 pagi lagi pekebun-pekebun telah datang menghantar durian untuk dikumpul,” katanya.

Beliau turut berharap gerai-gerai buah-buahan diberi perhatian sewajarnya oleh Jabatan Pelancongan dan pihak berkuasa tempatan di sini  kerana ia dilihat dapat menjadi tarikan baru kepada sektor pelancongan di sini.

“Selepas musim durian, rambutan dan pulasan akan menyusul, musim buah-buahan di sini sentiasa ada kerana lokasinya terletak berhampiran kampung-kampung yang mempunyai banyak dusun,” katanya.

KISAH EMPAYAR JAGUNG NELSON


PADA suatu petang, ketika Nelson sedang menguruskan kedai permainan kanak-kanak miliknya di Asia Jaya, Petaling Jaya, Selangor, dia didatangi seorang lelaki. Lelaki itu membawa sebuah bakul penuh berisi jagung. Perkenalan spontan itu memberi ruang kepada lelaki itu meluahkan kesukarannya memasarkan jagung yang ditanamnya.
Tanpa berfikir panjang, Nelson terus membeli beberapa tongkol jagung daripada lelaki itu lalu membawa pulang ke rumah. Malam itu, Nelson sekeluarga menikmati jagung kukus yang dibelinya pada siang tadi. Kelembutan dan kemanisan jagung itu memikat hati Nelson. Dia bertemu semula penjual jagung itu dan bersetuju melantik lelaki tersebut sebagai pembekal utama jagung.
Peristiwa itu berlaku pada awal tahun 1980-an. Nelson kemudiannya membuka gerai kecil di hadapan kedai permainannya untuk menjual jagung. Tidak memakan masa yang panjang, jagung Nelson mempunyai pengikut setia, malah hasil jualan makanan itu lebih laris berbanding perniagaan permainan kanak-kanak. Tiga tahun kemudian, Nelson mengubah keutamaan bisnesnya daripada kedai permainan kepada gerai jagung.
Sambutan menggalakkan jagung tersebut mendorong Nelson, 57, atau Datuk Nelson Kwok Teng Toong membawa bisnes kecilnya ke dalam sebuah pasar raya di Seksyen 14, Petaling Jaya. Tahun 1985 menjadi permulaan kepada pengenalan jenama Nelson Corn (jagung manis) di Jaya Supermarket.
"Hari pertama operasi sahaja, sudah ramai orang beratur. Waktu itu saya dan isteri yang berniaga. Jagung dikukus mengikut pesanan pelanggan dan saya masih ingat bekalan jagung tidak cukup untuk menampung permintaan orang ramai.
"Ketika itu jagung masih dijual mengikut tongkol. Satu tongkol berharga RM1.20 dan ia boleh terjual sebanyak 1,000 tongkol sehari. Hujung minggu jagung mesti habis dijual," kenang Nelson ketika ditemui Kosmo!.
Ladang sendiri
Lapan tahun beroperasi di Jaya Supermarket, Nelson yakin sudah tiba masa untuk mengembangkan perniagaannya ke negeri lain. Dilema tercetus apabila masalah ketahanan jagung mengekang kelancaran pembukaan cawangan baharu.
Tanpa ladang sendiri, Nelson bergantung sepenuhnya kepada pembekal yang terdiri daripada petani-petani kontrak. Jagung yang dibawa ke luar Selangor mengecut dengan pantas dan 
membuatkan rasa aslinya hilang. 

Keuntungan perniagaan merosot dan hal tersebut menggugat keselesaan Nelson.
Mujur anak kedua daripada empat adik-beradik itu mampu menyelamatkan perniagaan tersebut daripada tersungkur. Program penyelidikan dan pembangunan dilaksanakan bagi mencari penyelesaian terhadap isu ketahanan jagung.
Solusi terbaik ditemui. Maka teknik pengasingan biji jagung daripada tongkol digunakan. Biji-biji jagung itu kemudiannya disejuk beku untuk dihantar ke cawangan Nelson di luar kawasan Lembah Klang.
Sejak itu, terciptalah budaya memakan jagung di dalam cawan. Percaya atau tidak, Nelson Corn ialah perusahaan makanan ringan berasaskan jagung pertama di dunia menggunakan pendekatan sedemikian.
Pulau Pinang menjadi cawangan pertama selepas Jaya Supermarket. Ia diikuti dengan pembukaan Nelson Corn di Kompleks PKNS, Seksyen 14, Shah Alam, Selangor. Menerusi program francais, Nelson kemudiannya menyenaraikan Nelson Corn sebagai sebuah perusahaan francais di Malaysia.
Hari ini, selepas 28 tahun bergelumang dengan jagung, jenama Nelson Corn telah berkembang di 16 buah negara dengan jumlah kedai melebihi 800 buah dan dijangka akan terus bertambah.
"Nelson Corn juga berjaya dibawa masuk ke Mesir dan Vietnam. Saya tidak menyangka perniagaan ini mampu berkembang dengan jayanya selepas memperkenalkan jenama ini di Indonesia pada tahun 1998.
"Penerimaan positif membuatkan saya lebih berani untuk meluaskan empayar Nelson Corn. Arab Saudi menjadi destinasi luar negara kedua dan sekarang ia telah memiliki lebih 400 cawangan di sana," kongsi Nelson yang juga membuka cawangan di Tanah Suci Mekah.
Baka jagung
Seiring perkembangan perniagaannya, Nelson turut membuat keputusan untuk memiliki ladang jagung sendiri. Empat tahun lalu, ladang jagung berkeluasan 97 hektar di Chemor, Perak dijadikan pusat penanaman dan pemprosesan utama Nelson Corn.
Jagung gred N28 hasil penyelidikan khusus digunakan bagi memastikan setiap produk keluaran Nelson Corn terjamin kualitinya. Malah bekalan jagung daripada kira-kira 161 hektar ladang petani kontrak turut disyaratkan menggunakan baka jagung yang sama.

DALAM tempoh tiga dekad mengabdikan diri dalam bisnes jagung, Nelson berjaya 
mengangkat produk Malaysia ke mata dunia.


Kawalan piawaian tersebut membolehkan setiap jagung yang dieksport ke cawangan luar negara tidak mempunyai perbezaan dari segi kualiti dan rasa.
"Kalau anda ke luar negara dan mencuba jagung Nelson di negara tersebut, anda pasti merasai keenakan yang sama. Semua cawangan di luar negara menggunakan jagung yang dibekalkan dari Malaysia.
"Ia membolehkan pelanggan membezakan kualiti jagung Nelson berbanding jenama lain. Saya mahu mengekalkan keseragaman ini sampai bila-bila," jelas Nelson.
Menyedari masalah golongan petani di Malaysia yang berdepan kesukaran memasarkan hasil tanaman mereka, Nelson mewujudkan program bantuan dengan nama Balik Kampung Tanam Jagung.
Mungkin ia kedengaran lucu kerana frasa itu sering merujuk kepada jenaka sinis terhadap individu yang gagal dalam sesuatu pekerjaan. Nelson cuba membuktikan kebenaran di sebalik kenyataan itu dan mahu petani sedar bahawa menceburi bidang pertanian dan perladangan mampu menjana pendapatan yang menguntungkan.
Di bawah program tersebut, Nelson menggalakkan petani-petani untuk menanam jagung N28 dan akan membeli semula hasil tanaman mereka untuk diproses menjadi produk-produk Nelson Corn.
Pemandu van
Menyelak layar hidup Nelson, menemukan rentetan kisah yang menarik. Sebelum berkecimpung dalam bidang perniagaan, Nelson yang menamatkan pengajian setakat tingkatan enam pernah berkhidmat sebagai pemandu van.
Selama empat tahun, dia membawa dan menghantar bekalan air kacang soya dari kilang pembekal ke pasar raya dan kedai-kedai runcit. Selepas itu, Nelson beralih profesion menjadi kerani sebelum memutuskan untuk membuka kedai permainan kanak-kanak.
Meskipun bapanya seorang pemborong ikan masin dan ikan bilis, tidak pernah sekali dia dipanggil bagi menguruskan perniagaan keluarga tersebut. Bapa Nelson mahu anak-anaknya belajar berdikari dan merasai pengalaman bekerja dari bawah sebelum bercadang menguruskan perniagaan sendiri.

FLORA CAFE- JLN. AMPANG KL


SEKILAS pandang sebuah lot kedai yang terletak di Ground Floor, Bangunan Ampwalk, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, tidak ubah seperti sebuah kedai bunga atau kedai menjual barangan Inggeris Cottage.
Mana tidaknya, setiap sudut premis tersebut dipenuhi dengan kuntuman bunga-bungaan pelbagai warna dan jenis.
Tertarik dengan ‘keindahan’ itu, kaki terus melangkah mendekati premis tersebut untuk mendapatkan kepastian.
Namun, segala tanggapan yang dibuat nyata meleset sebaik melihat papan tanda kedai yang tertera perkataan Flora Kafe.
Pengurusnya, Mohd. Nizam Bujang atau lebih dikenali sebagai Mell berkata, kafe tersebut diilhamkan daripada pemiliknya, Abdul Razak Ahmad yang merupakan seorang pengubah bunga dan perunding perkahwinan.
Menurutnya lagi, pemilik Flora Kafe itu menggunakan kepakaran dan kreativitinya untuk menghasilkan sebuah kafe yang cantik dan dihiasi dengan bunga bagi memberikan kelainan kepada pelanggan.
"Uniknya walaupun dekorasi kafe kelihatan seolah-olah seperti dalam taman Inggeris, tetapi kita tawarkan menu tempatan.
"Menu tempatan itu ialah makanan popular negeri Johor, termasuk laksa Johor, mi Bandung, ubi goreng Flora, sira ubi dan jus katira," katanya.
Menurut Mohd. Nizam lagi, semua menu yang ditawarkan kafe itu disediakan sendiri oleh Hamimah Ahmad mengikut resipi turun temurun.
Dalam pada itu, Hamimah berkata, pelanggan yang memesan laksa Johor pasti akan terpikat kerana kuahnya yang pekat dan cukup rasa.
"Kuah laksa Johor di sini memang pekat kerana kita banyak gunakan ikan dan udang kering.
"Ubi goreng Flora pula memang lain daripada yang lain kerana ia diperap dengan beberapa jenis herba sebelum digoreng dan enak dicicah bersama sambal kicap," katanya.
Selain menu laksa Johor, Flora Kafe turut menawarkan set makan tengahari pada hari Isnin hingga Khamis dengan harga RM13, manakala pada hari Jumaat pula pelanggan akan disajikan set Bufet Jumaat pada harga RM25.
Bagi yang berminat boleh menghubungi talian 017-3024112 atau layari www.facebook.com/flora.k.ampwalk.

Thursday, November 7, 2013

RESTORAN KELISA CORNER-BB BANGI


KESEMPATAN berkunjung ke restoran Kelisa Corner yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini menggamit nostalgia kampung halaman.
Aroma dan keenakan juadah ikan bakar mampu membangkitkan selera sesiapa sahaja.
Menariknya, premis ini menawarkan makanan laut bakar seperti ikan, udang dan sotong yang disajikan bersama ulam-ulaman sebagai menyokong kempen amalan pemakanan sihat.
Pelanggan boleh memilih untuk menikmatinya bersama nasi putih dan pelbagai pilihan lauk-pauk lain.
Kesemua ikan diperap dengan rempah ratus sebelum dibakar dan dihidangkan bersama dua jenis pencicah.
Menurut pengusahanya, Indun Ahmad, restoran ini sebenarnya dikenali kerana keenakan sate yang dihidangkan bersama nasi himpit yang dibungkus dengan daun pisang.
"Kami masih lagi menjual sate dan mengekalkan kuahnya yang pedas dan manis.
"Dari dulu hingga kini, kami kekalkan rasa dan kualitinya, begitu juga dengan hidangan lain yang terdapat di Kelisa Corner.
"Bilangan pelanggan yang kian bertambah memberi idea untuk kami sentiasa menambah menu. Terbaharu, kami mengetengahkan makanan laut bakar untuk pelanggan," katanya.
Menurut Indun, terdapat pelbagai jenis makanan laut seperti ikan cencaru, keli, talapia, pari, sotong yang boleh dipilih berdasarkan selera pelanggan.
Tambahnya, kesemua makanan laut itu diperoleh secara segar setiap hari dari pasar borong berdekatan.
Bagi pelanggan yang inginkan menu ringkas, mereka mempunyai pilihan lain seperti cucur udang, rojak atau memilih nasi berlauk lain.
Dengan tenaga kerja terhad, Indun tetap mengutamakan kepuasan pelanggan dan perkhidmatan yang pantas. Dia tidak betah membiarkan pelanggan menunggu lama.
"Sejak dibuka, sambutan yang diterima amat menggalakkan malah ramai juga pelanggan dari luar Lembah Klang datang untuk menikmati ikan bakar di sini," katanya.


MENTEGA ATAU MARJERIN ?


Seringkali ada segelintir orang yang keliru antara mentega dan marjerin. Jika dipandang sekali imbas, kedua-dua lemak ini memang karakternya hampir sama. Tetapi ternyata mempunyai perbezaan yang ketara jika digunakan dalam masakan.
Mentega merupakan produk industri susu kerana bahan utama pembuatannya berasal daripada lemak haiwan atau susu (80-82 peratus) yang diproses menjadi pepejal lemak.
Ini ditambah dengan bahan tambahan lain seperti air, garam dan pepejal susu (curd) selain diperkaya dengan vitamin A, D, E dan K yang tidak larut dalam air.
Mentega mampu memberikan rasa kenyang yang berpanjangan dan enak kerana itulah harganya sedikit mahal. Marjerin pula adalah pepejal lemak lembut yang diproses daripada minyak tumbuhan seperti sawit.

Kita boleh membezakan daripada warnanya. Warna mentega kekuningan pudar manakala marjerin warnanya kuning pekat. Di pasar raya mentega akan dibalut dengan bungkusan aluminium atau kertas dan dijual di bahagian sejuk dingin.
Ciri-ciri mentega adalah ia mempunyai aroma yang kuat dan tajam. Walaupun mentega juga boleh dicairkan dan dijadikan minyak untuk menumis dan menggoreng kacau, namun ia lebih sesuai untuk kek dan biskut.
Terdapat dua jenis mentega yang dijual iaitu yang bergaram dan tanpa garam.
Jika menggunakan mentega yang bergaram anda tidak perlu lagi meletakkan garam dalam kek atau biskut. Tetapi terpulanglah kepada anda jika mahu juga menambahkan garam, tetapi jangan berlebihan.
Mentega tanpa garam lebih berkualiti dan tahan lebih lama. Tetapi jika menggunakan mentega tanpa garam anda mempunyai pilihan untuk meletakkan garam mengikut sukatan yang anda suka dalam produk bakaran anda.
Apa pun terpulanglah kepada anda untuk memilih jenis mentega mengikut kesesuaian makanan yang ingin anda sediakan.
Sebenarnya menggunakan mentega asli dan segar membuatkan anda berasa puas hati dengan hasil bakaran. Mentega dapat menambah isipadu kek dan biskut selain dapat memberi rasa lemak dan lazat.

Kek yang menggunakan mentega pasti menjadi lembut dan gebu. Jika digunakan dalam biskut pula ia akan menghasilkan rasa rangup pada biskut.
Kelebihan seterusnya jika menggunakan mentega asli, aroma yang dihasilkan menjadi harum dan meningkatkan selera kita untuk menikmatinya.
Aroma yang wangi dan semerbak itu membuatkan ramai yang memilih untuk menggunakan mentega dalam masakan.
Walaupun harga mentega asli sedikit mahal terutamanya mentega tanpa garam tetapi apa salahnya menggunakannya jika hasilnya harum dan sedap.
Mentega adalah produk yang tidak tahan pada suhu panas. Ia mudah mencair berbanding dengan marjerin yang lebih tahan pada suhu persekitaran yang panas.
Jadi, sebaiknya anda perlu menyimpan mentega dalam peti sejuk supaya jangka hayatnya boleh tahan untuk beberapa bulan. Berikut adalah beberapa tip dalam kita memilih dan menggunakan mentega.
Pertama pilih mentega yang masih baik bungkusannya Jangan membeli mentega yang sudah terkoyak bungkusannya.

Elakkan menggunakan mentega yang sudah naik cendawan atau mempunyai bintik-bintik hitam. Jika anda tidak habis menggunakan mentega simpan dalam bekas yang bertutup dan simpan dalam peti sejuk.
Jangan dibiarkan ditempat yang panas atau terdedah pada cahaya matahari kerana ia mudah mencair.
Jika anda ingin menggunakan mentega untuk membuat kek atau biskut sebaiknya anda biarkan ia lembut dan barulah dipukul.

KEPELBAGAIAN SARDIN

Chef Collin Edward Lim menunjukkan cara menyediakan otak-otak sardin pada majlis pelancaran buku
 Fish and Olive Oil oleh Ayam Brand di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

SARDIN, makanan dalam tin yang cukup popular kerana bukan sahaja boleh dimakan sebaik sahaja tin dibuka, malah cara masakan dan hidangannya juga boleh dipelbagaikan mengikut selera dan kreativiti masing-masing.
Jika sebelum ini sardin cukup sinonim dijadikan inti untuk sandwich, roti, karipap, dan pelbagai snek, sardin juga seringkali menjadi hidangan untuk dinikmati bersama nasi.
Sama ada dimasak sambal sardin, kari sardin, gulai cili padi sardin dengan kentang, dan masak kicap sardin, sardin sememangnya memenuhi selera pelbagai lapisan masyarakat.
Hari ini sekiranya dilihat pada pek bungkusannya, sardin turut dibungkus bersama dengan minyak zaiton. Secara tidak langsung menjadikannya satu makanan segera yang sihat.
Baru-baru ini, bertempat di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur, satu demonstrasi masakan dengan menggunakan sardin dan tuna jenama Ayam Brand telah diadakan
Sebenarnya, jika kita bijak mengolah masakan yang sedia ada hari ini, sardin ataupun tuna mampu dijadikan sajian utama untuk hidangan harian.
Chef jemputan, Chef Collin Edward Lim menunjukkan cara-cara menghasilkan otak-otak dan chutney daripada sardin dan tuna.

Resipi sihat

Bukan sahaja ringkas serta mudah cara penyediaannya, kedua-dua resipi tersebut boleh disediakan pada bila-bila masa dan di mana jua.
Bagi otak-otak sardin, penyediaannya hanya memerlukan sekitar 15 hingga 20 minit dan ia perlu dimasak secara kukus.
Manakala bagi chutney tuna pula tidak perlu dimasak dan tempoh masa penyediaannya cuma 10 hingga 15 minit sahaja.
Tidak sekadar menunjukkan bagaimana cara-cara untuk memasak sardin dalam pelbagai hidangan, Ayam Brand turut melancarkan buku resipinya yang pertama Fish and Olive Oil.
Menampilkan 30 resipi sihat, 15 daripadanya resipi tuna bersama minyak zaiton sementara selebihanya sardin bersama minyak zaiton.
Dihasilkan oleh pereka makanan yang terkenal, Pelita Lim, buku resipi tersebut menampilkan resipi-resipi ringkas tetapi sedap untuk dinikmati.
Boleh disajikan dalam tempoh tidak sampai satu jam, resipi-resipi yang ditampilkan terdiri daripada makanan Melayu, Cina, India, Thai, Jepun, Itali, Perancis, dan fusion.
Antara resipi yang terdapat di dalam buku Fish and Olive Oil ialah sardin tempura garam dan lada sulah, wonton rangup sardin berkeju , sardin kukus halia, kerabu tuna, cucur tuna, serunding kelapa tuna, piza tuna, dan banyak lagi.
Sementara itu, menurut Pakar Perunding Diet, Indra Balaratnam, sajian harian seharusnya mengandungi hidangan ikan, sumber protein yang sepatutnya diambil setiap hari.
Tambahnya, sajian tersebut perlulah dalam jumlah 100 gram atau ikan bersaiz sebesar tapak tangan.
"Apa yang disarankan ini dipetik daripada Garis Panduan Diet Malaysia 2010 di mana pengambilan ikan dalam sajian harian merupakan sebahagian daripada protein yang seharusnya diambil.
"Jika pengambilan protein untuk sajian harian ia didapati mampu menjana sel-sel.
"Untuk pengetahuan bersama, sebenarnya ikan sardin merupakan ikan yang bagus untuk dinikmati kerana ia mengandungi minyak semula jadi, omega 3, vitamin D, B12, E, dan juga B6," katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.
Ujarnya lagi, selain ikan sardin, ikan tuna turut mengandungi pelbagai jenis vitamin serta minyak semula jadi yang mampu melengkapkan sajian harian anda.
Jadiulasnya, dalam pemilihan makanan harian, dia menasihati agar setiap individu membuat pilihan yang betul dan tepat kerana secara tidak langsung ia memberi kesan kepada diri masing-masing.