BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, November 19, 2013

KURANG 1% KOPITIAM ADA SIJIL HALAL

Tidak dinafikan, industri kopitiam begitu popular kerana perniagaan itu dianggap unik dengan hiasan dalaman dan keenakan hidangan untuk pelanggan.

Berdasarkan maklumat daripada Bahagian penyelidikan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij), jumlah kopitiam di negeri ini yang mempunyai sijil halal adalah tidak sampai satu peratus .

Ia diakui Penolong Pengarah, Hal Ehwal Islam, Unit Pengurusan Halal Jaij, Mohd Mahzan Ibrahim, kepada wartawan Sinar Harian, melalui satu sesi temu bual, baru-baru ini mengupas isu halal membabitkan kopitiam di negeri ini.

Isu halal sensitif kepada umat Islam, pemantauan dan penguatkuasaan bukan sahaja dilakukan bagi memastikan pemilik sijil halal mematuhi peraturan ditetapkan malah Jaij turut menjalankan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan bagi perbahasan halal.


Apakah takrifan bagi aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan halal?

MOHD MAHZAN: Semua kilang produk atau restoran termasuk premis makanan atau rumah sembelihan yang telah mendapat sijil halal daripada pihak berautoriti atau yang meletakkan label atau logo halal selain perbahasan halal perlu dibuat pemantauan supaya tiada sebarang keraguan timbul daripada pihak pengguna dan nasihat serta teguran dapat diberikan kepada pihak pengusaha.

Selain itu, pemantauan yang dijalankan juga dapat memberi keyakinan kepada pengguna tentang status halal dan kesucian tersesuatu produk dikeluarkan atau sajian makanan disediakan.

Pemeriksaan dan pemantauan dijalankan terikat dari segi undang-undang kepada Akta Perihal Dagangan 2011 membolehkan tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan dilakukan apabila perlu dan berkaitan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasan Halal) 2011.


Bagaimana percambahan kopitiam di Johor?

MOHD MAHZAN: Berdasarkan perkembangan dilihat, kebanyakan kopitiam  beroperasi secara turun temurun, selain kewujudan kopitiam moden yang telah dikomersialkan secara francais.

Berdasarkan pertemuan kami dengan pengusaha kopitiam di negeri ini, mereka mengakui menjual kopi yang dibuat sendiri, roti bakar yang dihidangkan bersama kaya yang dimasak sendiri, selain telur separuh masak.


Berapa banyak kopitiam yang memohon sijil halal, berapa banyak yang telah diluluskan dan berapa yang masih tertangguh?

MOHD MAHZAN: Di negeri ini, hanya 17 kopitiam yang memiliki sijil halal namun ia adalah kopitiam di bawah label yang sama.

Sebanyak 30 permohonan termasuk dikemukakan oleh kopitiam persendirian, namun yang diluluskan adalah 17 sahaja iaitu kopitiam dibuat secara francais.

Kita tidak nafikan jumlah yang memohon untuk memperoleh sijil halal adalah masih rendah dalam kalangan pengusaha kopitiam. Berdasarkan jumlah 17,000 premis makanan hanya 150 premis yang mempunyai sijil halal ia termasuk kopitiam francais.

Bagaimanapun sebagai pengguna Islam kita mempunyai kuasa untuk tidak makan di premis yang tidak mempunyai sijil halal khususnya premis makanan yang diusahakan oleh orang Islam.

Berdasarkan pemantauan yang kita lakukan, pengusaha kopitiam tidak dapat dedahkan bahan yang digunakan khususnya untuk membuat roti dan kaya yang digunakan.

Mereka mengakui kaya dimasak di rumah sekaligus pemantauan bahan-bahan digunakan tidak dapat dilaksanakan.

Untuk pengetahuan, telur yang digunakan perlu dibasuh terlebih dahulu, kita juga perlu memastikan adakah mereka membasuhnya terlebih dahulu apatah lagi ia disediakan di rumah oleh orang bukan Islam.

Selain itu, dapur digunakan untuk menghasilkan kaya  mestilah tidak bercampur ketika memasak  makanan tidak halal selain peralatan digunakan. Disebabkan ianya tidak jelas maka sijil halal tidak dapat dikeluarkan.


Walaupun masih banyak kopitiam milik pengusaha bukan Islam namun masih banyak pelanggan dari kalangan orang Islam masih menjadi pelanggan mereka.

MOHD MAHZAN: Kita akui hidangan dijual di kopitiam mempunyai penggemar mereka sendiri daripada kalangan pelanggan Islam. Melalui pemantauan yang dilaksanakan terdapat pengusaha yang menggunakan taktik tertentu untuk menarik pelanggan.

Terdapat juga pengusaha kopitiam yang mendapatkan khidmat pekerja Islam untuk bekerja di premis mereka. Secara psikologinya sudah tentu ia dapat menghilangkan rasa syak pelanggan untuk singgah ke kedai mereka apabila terlihat pekerja Islam turut bekerja di situ termasuk menyediakan minuman dan sebagainya.

Walaupun mengajikan pekerja Islam ia tidak menjamin kesucian makanan yang ditawarkan.


Apakah Istilah digunakan oleh premis termasuk perbahasan halal untuk menarik pelanggan Muslim?

MOHD MAHZAN: Taktik ini adalah kebiasaan yang digunakan premis makanan khususnya bagi pemilik bukan Islam iaitu mempamerkan tanda halal atau ditanggung halal selain menyatakan menjual makanan Islam.

Selain itu, terdapat juga yang menggunakan daftar syarikat bercirikan Islam menggunakan nama-nama bercirikan Islam atau menggunakan nama premis diambil daripada bahasa Arab.
Mempamerkan imej yang melambangkan Islam seperti gambar kubah, masjid dan ayat al-Quran adalah tidak dibenarkan oleh pengusaha premis makanan.

Ia seolah-olah cuba mengaburi mata pengguna Islam  melalui penggunaan imej bercirikan Islam.


Bagaimana proses untuk pemilik kopitiam mendapatkan sijil halal?

MOHD MAHZAN: Permohonan hendaklah menyediakan fail khas syarikat ‘Fail Pengesahan Halal Negeri Johor’ bagi menyimpan semua dokumen berkaitan supaya mudah untuk dirujuk apabila pemeriksaan dijalankan ke atas premis tersebut.

Bagi permohonan pembaharuan Sijil Halal hendaklah dikemukakan sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum tarikh tamat sijil sedia ada berserta salinan dokumen yang lengkap.


Adakah pihak Jaij memperoleh kes berkaitan penipuan sijil dan logo halal membabitkan pengusaha kopitiam?

MOHD MAHZAN: Setakat ini kita tidak mempunyai kes berkaitan penipuan logo dan sijil halal oleh pengusaha kopitiam di negeri ini, bagaimanapun kes membabitkan logo halal tidak diiktiraf membabitkkan premis makanan pernah, namun bukan kopitiam.

Monday, November 18, 2013

KERUGIAN AGIH ZAKAT SENDIRI

DI dalam Islam telah disyariatkan agar umat Islam yang mahu berzakat, hendaklah mengutamakan pemberian zakatnya kepada pihak amil (institusi zakat) yang telah dilantik oleh pihak pemerintah Islam. Ini kerana, daripada aspek pengagihan zakat, maka para amil sepatutnya lebih tahu, lebih mahir dan lebih saksama dan adil dalam agihannya. Atas dasar itu jugalah, para fuqaha menyarankan, bahawa tidak boleh seseorang muzakki (pembayar) itu mengeluarkan sendiri zakatnya, melainkan ia hendaklah diserahkan kepada amil yang telah disediakan.

Imam al-Qurtubi menyatakan: "Apabila pemerintah berlaku adil dalam mengambil dan membahagikan harta zakat, maka tidak boleh bagi pemilik harta mengagihkannya sendiri zakatnya." Manakala AthaĆ¢€™ pula berkata: "Berikanlah zakat itu kepada pemerintah apabila mereka mengeluarkannya tepat kepada sasarannya." (Eksklusif Zakat, hal. 110)
Apa yang berlaku, seandainya muzakki itu mengeluarkan sendiri zakatnya tanpa amil, dia mungkin tidak begitu mengetahui latar belakang penerimanya, maka di saat itulah dia mudah ditipu. Harus diingat, tersalah memberi sedekah adalah tidak sama dengan tersalah memberikan zakat, kerana sedekah adalah sunat hukumnya sedangkan zakat adalah ibadah rukun yang fardu, maka ada kaedah sah dan batalnya.
Dek kerana itulah, ada fuqaha yang mewajibkan, jika seseorang itu tersalah berzakat sehingga terjatuh kepada si penipu, maka wajib atas dirinya mengeluarkan sekali lagi zakatnya dan jika dia tidak mengeluarkannya, dia dikira masih berhutang kepada Allah SWT.
Kesimpulannya, tunaikanlah zakat kepada pihak amil yang telah disediakan dan tidaklah menjadi kesalahan bagi muzakki untuk memantau agihan yang dilaksanakan oleh pihak amil. Seandainya terbukti pihak amil menyeleweng zakat, maka berikanlah teguran yang wajar.
Jika memang didapati pihak amil telah gagal memikul tugas mengagih zakat dengan berkesan, maka kala itu baharulah ulama memberikan izin agar muzakki memberikan zakatnya sendiri kepada penerima. Seandainya itu belum terjadi, maka sentiasalah mengutamakan institusi zakat, demi menjamin agihan yang lebih tepat dan berkesan terlaksana. WallahuaĆ¢€™lam.

KONSEP KOPITIAM DI KILLINEY

Pelanggan menikmati hidangan di Restoran Killiney Kopitiam di Galleria PJH Precint 4,
 Putrajaya. 

ASASNYA restoran kopitiam memiliki ciri dan konsep yang sama walaupun nama dan tempat asalnya berbeza antara satu sama lain.
Ia merupakan kedai makanan segera yang menampilkan gaya kopitiam lama dari segi hiasan, tetapi lazimnya dibina di kawasan yang lebih moden dan bersih seperti pusat beli-belah.
Begitu juga dengan apa yang disajikan. Biasanya, menu yang ditawarkan kepada pelanggan adalah ringkas tetapi beraneka pilihan yang menjadi kegemaran masyarakat, termasuk masakan tradisi sesuatu kaum di negara ini.
Konsep itu sama seperti yang dijalankan di Restoran Killiney yang terletak di Galeria Putrajaya, Putrajaya. Ia merupakan sebuah restoran kopitiam francais yang dimulakan di Singapura oleh seorang rakyat Malaysia.
Kini restoran itu memiliki 70 buah outlet di tujuh buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Hong Kong, Australia, Brunei dan China.
Namun begitu, pemiliknya, Safwan Zakwan Zulkifle menyifatkan persamaan menu kopitiam tersebut bukanlah satu halangan besar dalam usahanya menarik lebih ramai pelanggan, khususnya dalam kalangan penjawat awam.
Beliau berkata, hidangan yang disediakan bukan hanya diminati dan menyelerakan tetapi sesuai dengan tempoh masa rehat makan tengah hari penjawat awam di Putrajaya.
''Tempoh makan tengah hari bagi penjawat awam hanyalah dalam masa dua jam dan sudah pasti, mereka mahu menikmati hidangan yang tidak mengambil masa lama untuk disediakan.
''Kita juga menyediakan set hidangan makan tengah hari yang berbeza dari Isnin hingga Jumaat, manakala pada hari Sabtu pula, pelanggan boleh menikmati hidangan lain," katanya lagi.

Antara set hidangan makan tengah hari tradisional yang menjadi kegemaran ramai di restoran itu adalah asam pedas, masak lemak cili api, nasi tomato dan nasi hujan panas.
Ternyata, usaha Safwan Zakwan itu menampakkan sambutan yang menggalakkan walaupun ia baharu beroperasi awal tahun ini.
Bukan hanya faktor menyediakan sajian dalam tempoh masa yang singkat penting bagi menarik pelanggan, malah apa yang penting adalah majoriti pelanggan berpuas hati dengan mutu masakan yang disajikan.
''Kalau boleh, biarlah setiap pelanggan dapat menikmati hidangan tersebut dalam tempoh dua jam waktu rehat makan tengah hari," katanya.
Dalam pada itu, beliau kini sedang berusaha mendapatkan kebenaran daripada Perbadanan Putrajaya untuk membolehkannya meletakkan meja dan kerusi di luar premisnya pada waktu malam.
Selain itu, pihaknya turut memohon untuk meletakkan papan layar gergasi di luar premisnya bagi membolehkan para pelanggan menikmati rancangan televisyen, termasuk perlawanan bola sepak tempatan dan luar negara.
''Kami mahu para pelanggan menikmati hidangan sambil melihat panorama keindahan waktu malam di Putrajaya," katanya.
Mengulas lanjut, katanya, pelanggan tidak perlu bimbang kerana pihaknya tetap memasukkan hidangan yang disenaraikan 'wajib' dalam menu kopitiam seperti kopi, teh, telur, roti bakar, mi siam, laksa dan kari ayam.

SELERA KELANTAN DI RESTORAN HAYAKI


MENDENGARKAN nama Restoran Hayaki, sudah tentu terbayang menu masakan Jepun atau Korea.
Jangan tertipu! Restoran Hayaki menghidangkan makanan Pantai Timur khususnya masakan Kelantan persis di tempat asalnya.
Sebut saja menu negeri Cik Siti Wan Kembang itu daripada nasi kerabu, ayam percik, nasi dagang ikan tongkol, nasi kukus ayam goreng, pulut mangga, semuanya ada dan menggamit selera.
Mango ice rock iaitu isi mangga dikisar dengan ais dan ditambah dengan kiub mangga pula sungguh menyegarkan!
Jika tidak suka mangga, anda boleh mencuba ice mint coffee, minuman nescafe susu yang ditambah pudina bagi kelainan rasa.
Ditambah dengan pulut mangga yang dicurah santan pekat, pasti membuat air liur meleleh.
Pengurus Cawangan Hayaki Kopitiam (M) Sdn. Bhd., Mohd. Jawaidi Mohd. Zin berkata, Hayaki bermula di Kota Bharu, Kelantan pada 1998 dengan empat cawangan.
"Selepas itu pada 2010, Hayaki mengembangkan sayapnya ke Lembah Klang dengan cawangan di Setapak, Damansara, Kajang dan Shah Alam," katanya.
Bagi mendapatkan rasa persis di Kelantan, menurutnya, hampir semua bahan mentah seperti mangga serta rempah diambil dari negeri itu.
Ini termasuk warna ungu pada nasi kerabu, tidak menggunakan pewarna tetapi mengikut ramuan tradisi iaitu daripada sejenis bunga.
Sebagai bonus, restoran yang dibuka 24 jam setiap hari ini menyediakan kemudahan WiFi bagi pengunjungnya.

Friday, November 15, 2013

MUZIUM BUGIS PERLUKAN PERHATIAN

  • Muzium Bugis perlu perhatianAbdullah menunjukkan keadaan permaidani bertompok dan uzur yang telah berusia 10 tahun di Muzium Bugis.
 1 / 1 
PONTIAN - Muzium Bugis terletak di Taman Rekreasi Awam Rambah, di sini, memerlukan perhatian daripada pihak bertanggungjawab bagi menaik taraf infrastruktur dan prasarana yang uzur.

Antara perkara yang perlu diberikan tumpuan ke atas muzium berusia hampir 10 tahun itu adalah permaidani, tandas dan bumbung.

Penjaga muzium, Abdullah Samat, 61, berkata, keadaan permaidani yang kotor dengan terdapat kesan tompok hitam wajar diberikan perhatian dan perlu ditukar.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengunjung yang seterusnya dikhuatiri akan menjejaskan imej muzium yang menyimpan kira-kira 200 barangan masyarakat Bugis.

“Pengunjung terutamanya dari luar sering mengajukan soalan tentang keadaan permaidani. Mereka bimbang jika ia terlalu kotor untuk dipijak.

“Namun, setelah keadaan permaidani diperjelaskan, pengunjung akan masuk ke dalam muzium bagi melihat sejarah dan barang yang dipamerkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdullah berkata, muzium itu juga sering menerima kunjungan kumpulan pelajar yang ingin mengetahui sejarah masyarakat Bugis dengan lebih mendalam.

Tambahnya, ruang legar di hadapan pintu masuk utama muzium sering digunakan sebagai lokasi sesi penerangan kepada pelajar.

“Walaupun kurang senang untuk duduk di atas permaidani tersebut, namun pelajar tidak mempunyai pilihan lain,” katanya.

Jelasnya, masalah berkenaan sudah ajukan kepada pihak bertanggungjawab termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil rakyat, namun sehingga kini masih belum mendapat sebarang jawapan.

Abdullah berkata, dia amat berharap kemudahan di muzium ini dapat diberikan perhatian yang sewajarnya daripada pihak yang berkaitan memandangkan potensi yang cukup besar disumbangkan kepada pembangunan pelancongan di negeri ini.

“Tanpa sebarang bayaran yang dikenakan kepada pengunjung, muzium ini amat mengharapkan bantuan bagi memperbaiki kemudahan di sini,” katanya.

PNK PONTIAN HANTAR MEMO KEPADA MB

  • PNK Pontian hantar memo kepada MBNelayan Pontian bertekad untuk tetap mempertahankan tapak kegiatan mereka daripada dirobohkan.
 1 / 1 
PONTIAN - Gabungan Jawatankuasa Mempertahankan Pusat Kegiatan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pontian dekat sini akan menyerahkan memorandum kepada Pejabat Menteri Besar bagi menyatakan pendirian untuk membatalkan perobohan bangunan didiami mereka.

Memorandum itu disifatkan langkah terakhir yang terpaksa diambil nelayan bagi mengekalkan tapak bangunan pusat kegiatan yang telah dibangunkan nelayan tempatan sejak 30 tahun lalu di situ.

Sebelum ini kira-kira 50 nelayan telah mengadakan bantahan terhadap keputusan merobohkan sebahagian bangunan pusat kegiatan khususnya bengkel pemprosesan makanan untuk industri kecil dan sederhana ( IKS).

Setiausaha Gabungan Jawatankuasa, Samsudin Jaafar berkata, mereka sudah beberapa kali menghantar memorandum kepada Pejabat Menteri Besar dan jabatan kerajaan terlibat merayu agar tapak pusat  kegiatan itu dikekalkan.

Beliau menyifatkan usaha itu sia-sia kerana tiada sebarang surat jawapan mahupun perbincangan bersama dilakukan sepanjang tempoh setahun sejak isu pengambilalihan sebahagian kawasan PNK timbul.

“Sebelum ini, nelayan sering bertanya mengenai status tapak pusat kegiatan tersebut sama ada terus kekal atau berpindah.

“Namun, tidak sebarang maklumat diberikan pihak berkaitan sehinggalah pada Selasa lalu, di mana nelayan di sini menerima maklumat terdapat bangunan akan dirobohkan,” katanya.

Menurutnya, bangunan berkenaan merupakan tempat aktiviti kepada hampir 1000 nelayan yang berdaftar di bawah PNK  menjana ekonomi mereka.

Justeru, beliau meminta agar pihak yang berkenaan memikirkan langkah yang sewajarnya termasuk membayar ganti rugi kepada nelayan sekiranya masalah itu gagal diatasi sehingga sebahagian bangunan pusat kegiatan PNK itu dirobohkan.

“Satu perjanjian juga perlu dibuat antara pihak persatuan nelayan bersama pemaju dan pihak kerajaan negeri bagi memastikan nelayan di sini mendapat kawasan baru sebagai ganti.

“Perjanjian itu perlu sebagai jaminan masa depan nelayan yang bersusah payah membangunkan kawasan pusat kegiatan di sini,” katanya.

MUSIM DURIAN DI PONTIAN

  • Musim durian tambah rezeki peniagaZairi dan isterinya Liza, menunjukkan durian yang dijual di gerainya di persimpangan Teluk Kerang.
 1 / 1 
PONTIAN - Ketibaan musim durian sekali setahun menyaksikan kewujudan gerai buah-buahan di tepi jalan sekitar daerah ini tidak ubah seperti cendawan selepas hujan.

Di sepanjang laluan utama ke Tanjung Piai dari Pekan Nenas dan bandar Pontian sahaja, terdapat lebih 10 gerai menjual buah durian.

Pemborong dan peniaga, Zairi Mohd Salleh berkata, musim durian berlaku secara berperingkat bermula dari Oktober lalu dan dijangka berakhir Disember ini.

“November merupakan kemuncak musim buah durian di sini, di mana jumlah buah lebih banyak berbanding bulan sebelumnya.

“Keadaan ketika ini umpama pesta durian di mana peniaga-peniaga menawarkan harga murah dan adakalanya dijual secara borong,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Beliau yang sudah enam tahun menjadi pemborong durian memberitahu, durian jenis kampung yang mempunyai isi tebal paling banyak terdapat di daerah ini.

Katanya, durian kampung mempunyai tarikan tersendiri walaupun tidak popular seperti durian jenis musang king.

“Ramai menggemari durian kampung yang musimnya hanya sekali setahun, kerana rasanya yang lemak dan enak.

“Malah ada yang datang mencari durian kampung di sini kerana mahu merasai durian kampung segar yang baru gugur dari pokok,” katanya.

Beliau berkata, musim durian pada kali ini cukup menjadi dengan sambutan baik pembeli.

“Pembeli yang rata-ratanya terdiri dari pelancong yang hendak ke Tanjung Piai dan Kukup, biasanya akan singgah mendapatkan durian di gerai-gerai durian tepi jalan di sini.

“Jualan pada hari minggu sahaja mampu mencecah hampir RM2,000 dan jumlah itu dijangka meningkat apabila tiba musim cuti persekolahan hujung tahun.

“Harga sekilo durian kampung di sini jual pada harga RM3 sekilo bergantung kepada gred,” katanya.

Katanya, sejak dua minggu lalu, sebanyak 200 kilogram durian dijual setiap hari kepada pemborong dari Johor Bahru.

“Pekebun-pekebun durian tempatan akan menghantar durian mereka ke gerai untuk dikumpul dan kemudian dijual kepada pemborong.

“Seawal jam 7 pagi lagi pekebun-pekebun telah datang menghantar durian untuk dikumpul,” katanya.

Beliau turut berharap gerai-gerai buah-buahan diberi perhatian sewajarnya oleh Jabatan Pelancongan dan pihak berkuasa tempatan di sini  kerana ia dilihat dapat menjadi tarikan baru kepada sektor pelancongan di sini.

“Selepas musim durian, rambutan dan pulasan akan menyusul, musim buah-buahan di sini sentiasa ada kerana lokasinya terletak berhampiran kampung-kampung yang mempunyai banyak dusun,” katanya.