BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, December 18, 2013

PENDUDUK BIMBANG AIR LAUT MASUK KAMPUNG

  • Bimbang air laut masuk kampung
  • Khalid (kanan) menunjukkan keadaan benteng yang pecah di kampung 
  • Tanjung Piai berhampiran taman negara.
 1 / 1 
PONTIAN - Penduduk di Kampung Tanjung Piai dan beberapa kampung di sekitar Serkat, di sini bimbang kemungkinan berlaku banjir disebabkan benteng penahan air laut yang pecah sebelum ini masih belum dibaiki.

Benteng yang terletak berhampiran Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) pecah sepanjang 10 meter, selepas fenomena air pasang besar terjadi, minggu lalu.

Ketua Kampung Tanjung Piai, Rohaizad Abdul Hamid berkata, benteng penahan air laut begitu penting sekali kepada penduduk.

Ini kerana katanya, kedudukan kampung terletak hanya beberapa meter dari laut dipisahkan oleh benteng penahan air laut sepanjang kira-kira 3 kilometer.

“Sebelum ini, pokok bakau menjadi penahan air laut namun disebabkan hakisan yang semakin teruk sejak 10 tahun lalu, benteng terpaksa di bina.

“Benteng itu berfungsi mengelak air laut dari terus melimpah ke kawasan rendah di kampung-kampung,” katanya.

Menurutnya, keadaan benteng yang pecah itu dibimbangi akan mengakibatkan limpahan air laut berlaku terutamanya ketika air pasang besar berlaku.

“Pihak yang berkenaan sudah dimaklumkan mengenai keadaan benteng yang pecah dan telah menghantar pegawai untuk melihat benteng itu.

“Diharapkan masalah benteng tersebut segera diatasi dan menjadikan situasi banjir kilat yang berlaku di Tampok Laut Benut, akibat benteng pecah sebagai pengajaran,” katanya.

Penduduk, Mohd Ali Shah, 45, berkata, air pasang yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini, meningkatkan risiko kerosakan benteng yang lebih teruk sehingga mengakibatkan limpahan air laut ke kawasan darat terjadi.

“Seterusnya menyebabkan kejadian banjir di beberapa buah kampung yang terletak tidak jauh dari benteng,” katanya.

Sementara itu Pengurus TNJTP, Khalid Zahrom, berkata benteng yang pecah itu menyebabkan kawasan laluan jalan raya ke taman negara dipenuhi air laut yang melimpah selepas air pasang berlaku.

“Air laut yang melimpah di atas jalan raya, menyukarkan pengunjung untuk datang ke taman negara.

“Keadaan itu juga menimbulkan rasa kurang senang kerana pengunjung perlu menunggu sehingga air laut surut sebelum dapat melalui jalan tersebut untuk ke taman negara,” katanya.
Justeru beliau meminta agar pihak yang berkaitan dapat melakukan tindakan segera membaiki benteng yang pecah itu bagi mengelak kejadian buruk berlaku.

KAMPUNG PERMATA-TUNGGU MASA DITELAN OMBAK

  • Tunggu masa ditelan ombak
  • Penduduk melihat keadaan rumah yang rosak akibat dipukul ombak di Kampung Permata.
 1 / 1 
PONTIAN - Sebanyak 40 keluarga di Kampung Permata, di sini, tidak lena tidur kerana jarak rumah mereka yang semakin hampir dengan laut akibat hakisan ombak berikutan fenomena air pasang besar yang melanda.

Penduduk, Hamdan Abdullah, 50, berkata, hakisan tersebut menyebabkan rumahnya yang berjarak tidak sampai 10 meter dengan laut hampir roboh.

“Rumah saya boleh roboh bila-bila masa sahaja jika air laut semakin naik. Pada musim tengkujuh sekarang ini, air masuk ke dalam rumah tidak kira siang atau malam,” katanya.

Menurutnya, dia juga bimbang masalah hakisan yang semakin serius memungkinkan rumahnya yang berusia 13 tahun itu dan lima rumah penduduk lain yang terletak begitu hampir dengan laut lenyap daripada pandangan.


Hanya mampu berdoa

Dia tidak mampu berbuat apa-apa ketika air pasang memasuki rumahnya selain hanya mampu berdoa agar struktur kediaman yang dibina daripada kayu itu terus kukuh.

“Saya juga terpaksa mengambil langkah sendiri untuk menghalang kerosakan lebih teruk akibat aliran air pasang yang deras dengan memacakkan buluh-buluh di tepi rumah.

“Buluh-buluh yang dipacakkan itu melambatkan aliran air pasang yang deras ke dalam rumah,” katanya.

Hamdan berkata, dia meminta agar benteng batu segera dibina di kawasan pesisir pantai yang masih belum lagi mempunyai benteng di situ.

Jelasnya, benteng pasir yang dibina kira-kira setahun lepas hanya sepanjang 200 meter, ia tidak merangkumi keseluruhan kawasan pesisir pantai di kampung ini yang berkeluasan kira-kira 500 meter.

“Cadangan pembinaan benteng telah banyak kali diajukan kepada wakil kerajaan negeri dan persekutuan. Saya berharap masalah ini mendapat perhatian dan tidak dibiarkan begitu sahaja,” katanya
.

Hakisan ubah kampung

Sementara itu, bagi penduduk lain, Zainab Hussin, 57, berkata, dia bimbang keselamatan keluarganya memandangkan jarak rumah dengan laut hanya kira-kira 100 meter sahaja.

Menurutnya, hakisan yang berlaku telah merubah keadaan Kampung Permata yang dahulu mempunyai banyak pokok bakau sebagai penahan ombak.

“Kalau dahulu air laut tidak pernah jejak lantai rumah, tapi sekarang perkara sebaliknya yang berlaku setiap kali air pasang.

“Setiap kali musim air pasang tiba, sukar untuk kami melelapkan mata mengenangkan keadaan rumah tambahan pula ketika itu angin laut begitu kuat,” katanya.


Bina benteng segera

Justeru, pembinaan benteng penahan ombak di situ perlu disegerakan bagi mengelakkan penduduk diancam risiko bahaya hakisan laut.

Menurutnya, hasrat untuk berpindah sentiasa diluahkan, namun ramai yang tidak mampu selain perlu menanggung anak.

“Ia kerana, penduduk di sini kebanyakannya berpendapatan sederhana. Ada yang bekerja sebagai pekerja kilang dan penjual kuih,” katanya.

CITARASA D'NAZRIL-KOTA TINGGI

  • Keunikan menu belangkas
  • Effa menunjukkan pilihan belangkas segar.
 1 / 2 
BAGI peminat masakan kampung dan makanan laut, pastinya tidak rugi untuk mencuba hidangan di gerai Citarasa D’Nazril yang terletak berdekatan Pusat Latihan Akli atau kira-kira empat kilometer dari bandar Kota Tinggi.

Gerai yang popular dengan masakan belangkas itu juga sering menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk dalam kawasan ini, malah luar daripada daerah ini.

Pemiliknya, Effa Adriana Samsuri, 22, berkata, gerai tersebut mula beroperasi pada Jun lalu dimana Citarasa D’Nazril memiliki keistimewaan sendiri dengan mengutamakan hidangan masakan tradisional Melayu sebagai menu utama.

Menurut Effa, gerainya beroperasi tujuh hari seminggu dan dibuka pada jam 6 pagi hingga 3 petang bermula dengan hidangan sarapan pagi sehinggalah makan tengah hari.

“Antara masakan yang amat digemari pengunjung ialah belangkas masak masak cili, siput sedut masak lemak cili api, sotong bunting masak lemak dan lada hitam.

“Hidangan tersebut sering menjadi daya tarikan para pengunjung yang ke mari dan paling laris di sini. Apa yang penting, kami sentiasa mengutamakan keselesaan pelanggan melalui layanan mesra dan hidangan yang segar," katanya.

Effa memberitahu, selain tiga jenis masakan utama tersebut, pihaknya turut menghidangkan masakan asam pedas mayung, sembilang, keli, ikan duri, ketam dan beberapa jenis masakan lain.

“Sebagai gandingan kami turut menyediakan sayur-sayuran kampung seperti pucuk paku, pucuk ubi, pucuk labu, sayur keladi, nangka muda dan betik, di samping ulam-ulaman.

“Bagi menu sarapan pagi pula, kami menyediakan nasi lemak, mi goreng, lontong dan pelbagai lagi," katanya.

Dia yang dibantu ibu saudara dan tiga adik beradiknya berkata, gerainya sesuai buat mereka yang ingin mencari kelainan dan jemu dengan menu harian.

Menceritakan pengalamannya ketika mula membuka gerai itu katanya, dia bermula dengan bermodalkan RM200.

Effa berkata, nama Citarasa D’Nazril juga diambil sempena nama anaknya, Mohd Nazril, 2, hasil perkongsian hidup bersama suaminya Abdul Nasir Mohamed, 30.

Menurutnya, pada awalnya, gerai tersebut beroperasi pada waktu malam, bagaimanapun kurang mendapat sambutan.

“Alhamdulillah setelah diubah kepada makan pagi dan tengah hari, sambutan diterima amat menggalakkan dimana pelanggan suka dengan kira-kira 30 juadah tempatan yang kami sediakan di sini.

“Malah tidak dinafikan harga runcit sekarang semakin meningkat, namun kita masih mengekalkan harga murah dan berpatutan di gerai ini," katanya.

Sunday, December 15, 2013

RESTORAN PERMATA SENIBONG, JB

CRISPY Kailan

SEBUT sahaja Senibong, pasti ramai yang tahu ia adalah kawasan popular dengan deretan restoran makanan laut. Salah satu daripadanya adalah restoran Permata Senibong yang bertemakan menu Nyonya dan Cina.
Permata Senibong yang beroperasi sejak tiga tahun lalu di pesisir Selat Tebrau itu terletak tidak jauh dari pusat bandar dan Tambak Johor. Kebanyakan pelanggannya adalah dari dalam dan luar negara terutama pekerja sektor korporat tempatan dan pelancong dari Singapura.
Pengurus Operasinya, Amrol Hisham Dzulkifli, 48, ketika ditemui memberitahu tentang sejenis hidangan yang tidak pernah dilihat di restoran makanan laut lain di sekitar Johor Bahru, berbentuk seperti bunga rampai dan mempunyai rasa seperti rumpai laut.
"Inilah dia 'Crispy Kailan', salah satu keunikan di Permata Senibong. Kami sengaja memilih tema masakan Nyonya dan Cina kerana mahu lari daripada stereotaip, selain mahu menampilkan keunikan masakan makanan laut yang segar dan mampu menggamit tunas rasa pelanggan.
"Ketam sebagai contoh, jika anda memang penggemar makanan laut maka mudah untuk anda tahu bahawa kami menyediakan bahan yang segar," katanya.
Antara hidangan istimewa adalah Creamy Salted Egg Crab, dengan persembahan berbeza kerana mempunyai sedikit kuah yang diadun menggunakan susu berbanding dengan menu ketam masak telur masin yang biasa.
Sementara itu, Amrol Hisham, memaklumkan bahawa cengkerang ketam yang biasanya keras hingga terpaksa menggunakan ragum untuk dipecahkan di tempat lain berbeza dengan jenis yang dihidangkan di restoran itu.
"Di Permata Senibong, cengkerang ketam mudah dipecahkan untuk mendapatkan isinya yang segar. Makan pula dengan kuah telur asin berkrim, pasti sesiapa sahaja akan berpuas hati," ujarnya.
Dalam pada itu, hidangan 'mantou' juga tidak kurang enaknya. Ia boleh dimakan begitu saja atau dicolek dengan kuah. Ia juga begitu lembut sehingga tidak perlu dikunyah.
Suasana malam di situ juga sesuai untuk majlis meraikan ulang tahun perkahwinan, kelahiran atau sebarang bentuk keraian kerana kilauan lampu dari Senokor, Singapura mewujudkan ilusi eksklusif yang tidak terbanding tempat lain.
Kalau diceritakan tentang menu lain, sudah tentu ia menggunakan bahan sayuran seperti kailan, kangkung, asparagus, brokoli dan beberapa jenis yang lain, manakala ikan dan makanan laut pula terdiri daripada pilihan siakap, jenahak, merah, kerapu, kerapu bara, udang, ketam dan pelbagai lagi.
Contohnya, sotong yang dimasak Kham Heong atau udang secara Kung Pow memberikan keunikan tersendiri kepada Permata Senibong yang mampu menempatkan sehingga 200 orang pada satu-satu masa itu.
Amrol Hisham turut menjelaskan bahawa makanan laut yang dihidangkan di restorannya itu tidak dikelaskan sebagai mahal, malah beliau memberitahu terdapat pakej-pakej yang berbaloi untuk dicuba, malah boleh dinaik taraf dengan menukar menu di dalamnya seperti jenis ikan dan makanan laut yang disediakan.
"Biasanya pelanggan tetap kami adalah petugas bank, sektor kerajaan dan korporat. Mereka akan memilih pakej seperti set untuk empat, enam atau 10 orang. Ramai yang memilih untuk mengadakan keraian di sini, terutama pada waktu cuti sekolah atau hujung minggu.
"Walaupun tampil dengan keunikan yang mewujudkan suasana eksklusif, namun setiap pelanggan mempunyai pilihan mengikut kemampuan kewangan mereka," katanya lagi.
Beroperasi mulai pukul 4.00 petang hingga lewat dinihari, Permata Senibong sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelanggannya dengan hidangan enak serta layanan mesra seolah di premis lima bintang.
Pihak yang berminat untuk menempah boleh menghubungi Amrol Hisham di talian 013-7211516 atau rakan kongsinya, Khairul Anuar Napi di talian 019-7766879.

Friday, December 13, 2013

DIDIK HATI, JAGA LIDAH

MENDIDIK hati adalah pendidikan diri yang paling penting dalam kehidupan setiap manusia. Kalangan orang tua-tua dahulu selalu menasihatkan generasi sesudahnya agar didik hati supaya sentiasa istiqamah dan berbudi bahasa. Pendidikan hati dengan keimanan dan ketakwaan akan menjurus kepada kesederhanaan dan keinsafan.
Hati yang baik akan menjauhi segala dosa terutama yang melibatkan perkataan dan perbuatan. Justeru, kalangan remaja masa kini sewajarnya mendidik hati supaya segala tindak-tanduk kita sentiasa terpelihara dan tidak dimurkai Allah SWT.
Nabi SAW bersabda: “ Barang siapa memperbaiki hubungannya dengan Allah maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barang siapa memperbaiki apa yang dirahsiakan, maka Allah akan merahsiakannya, maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya (terang-terangan).” (riwayat Al Hakim)
Justeru, taubat, istighfar, zikrullah, tilawatil Quran, solat fardu dan nawafil serta amal soleh yang lain merupakan kunci yang terbaik ke arah mendidik dan membentuk hati, perasaan dan jiwa ke arah menjadi Mukmin yang mendapat hidayah, keampunan dan rahmat Allah SWT.
Hati dikatakan tempat bertapaknya segala hasad dengki, sombong, bakhil, riak, munafik (nifak), bangga diri (ujub), putus asa, cintakan dunia, perasaan dukacita, mengikut hawa nafsu, buruk sangka, enggan bertaubat daripada dosa, benci sesama Muslim, kufur terhadap Allah, tidak menyedari kejahilan diri, malas melaksanakan ibadah, ragu-ragu terhadap kebenaran ajaran Islam bermula.
Semua sifat ini bermula daripada hati. Kemudian memantulkan kepada percakapan dan perbuatan. Islam melarang keras semua perasaan ini wujud di hati kita kerana ia merupakan dosa hati yang boleh membinasakan diri dan dibenci oleh Allah SWT dan rasul-Nya.
Allah berfirman yang bermaksud: Adakah patut mereka dengki kepada manusia atau nikmat yang Allah berikan kepada mereka daripada kurnia-Nya. (an-Nisa: 54)
Menurut Imam al-Ghazali tujuh perkara yang tercela yang boleh merosakkan diri sendiri. Antaranya; suka kepada permusuhan, merasakan kemuliaan diri, takbur, mengagumi diri sendiri, takut hilang cita-cita yang diinginkan, suka menjadi ketua dan jiwanya jahat dan kikir.
Oleh itu, amalan berbudi bahasa dalam masyarakat perlu ditekankan kembali melalui didikan hati di rumah dan di sekolah. Melalui pendidikan hati akan menjadikan budi bahasa lebih terpuji dan berfikir sebelum sesuatu perbuatan yang dilakukan.
Lantaran itu, Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang segak tubuhmu dan tidak pula pada kedudukan mahupun harta kekayaanmu, tetapi Allah memandang pada hatimu. Barang siapa memiliki hati yang soleh Allah menyukainya. Bani Adam yang paling dicintai Allah ialah yang paling bertakwa. (riwayat Ath-Thabrani dan Muslim)
Ini akan menjadikan kehidupan dalam masyarakat lebih tenteram dan tidak akan berlaku perbuatan yang menjurus kepada kesombongan, hasad dengki, riak, cintakan dunia dan bangga terhadap kelulusan, rupa paras serta kedudukan.

PENJAWAT AWAM PERLU BERSUKAN DEMI KESIHATAN


PASUKAN Majlis Daerah Pontian gembira setelah muncul juara karnival sukan agensi kerajaan daerah Pontian 
sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di Pontian.

PONTIAN 12 Dis. - Kakitangan awam perlu mengamalkan gaya hidup sihat bagi memastikan mereka sentiasa berada di tahap terbaik bagi melaksanakan segala tanggungjawab yang diamanahkan melalui pelbagai aktiviti anjuran agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon berkata, kajian menunjukkan hanya 30 peratus rakyat di negara ini bersukan dan beriadah pada setiap hari dan jumlah itu masih jauh daripada sasaran 50 peratus pada tahun 2020 yang bertujuan melahirkan masyarakat yang sihat dan cerdas.
"Sukan juga merupakan medium memupuk perpaduan serta meluaskan pergaulan antara kaum. Walaupun sibuk dengan tugas seharian, soal penjagaan kesihatan diri perlu diberikan perhatian supaya tidak akan mengganggu tugas seharian di pejabat dan alasan tiada ruang dan peluang tidak timbul kerana banyak gelanggang sukan disediakan.
"Slogan ' Malaysia Cergas' di bawah Kementerian Belia dan Sukan diharap dapat meningkatkan penglibatan orang ramai di dalam aktiviti sukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Keceriaan Bangunan dan Karnival Sukan Antara Agensi Kerajaan Daerah Pontian Sempena Keputeraan Sultan Johor di sini semalam.
Yang turut hadir Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian, Miswan Yunus; Pentadbir Tanah Pontian, A. Rahman Salleh dan Pegawai Belia dan Sukan, Muzaizi Mohamad.
Jabatan Kerja Raya (JKR) muncul johan pertandingan keceriaan bangunan, membolehkan mereka pulang dengan wang tunai RM10,000 sementara tempat kedua dan ketiga jatuh kepada Pejabat Kesihatan dan Pejabat Pertanian yang sekadar berpuas hati dengan RM700 dan RM500.
Karnival sukan dimenangi oleh Majlis Daerah Pontian sebagai juara keseluruhan, menewaskan Pejabat Pendidikan Daerah Pontian dan Syarikat Air Johor Holding (SAJH) Pontian.
Menurut Muji, pelbagai strategi dan pelan tindakan akan digunakan untuk meningkatkan kesihatan masyarakat sekali gus menyumbang kepada pembangunan yang seimbang serta kestabilan politik dan keharmonian kehidupan rakyat pelbagai kaum serta peningkatan kesejahteraan hidup rakyat.

Monday, December 2, 2013

TOP STEAK HOUSE-TAMAN SRI RAMPAI, KL

PENCAHAYAAN lampu kuning menjadikan ruang makan tampak eksklusif.

BAGI yang pernah berkunjung ke restoran makanan Barat, Top Steak House yang terletak di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur, mereka pasti merasai keunikan seni reka dalaman yang cuba ditonjolkan.
Paling ketara apabila kemasan kayu jenis pain dengan pilihan rona kuning cair melatari ruang makan di premis berkeluasan kira-kira 149 meter persegi itu.
Apa yang unik ialah susunan kayu tersebut disuntik dengan elemen tiga dimensi (3D), sekali gus menjadikan bahagian dinding tampak timbul.
“Kayu jenis pain ini dipilih kerana ia sesuai digunakan dalam seni hiasan dalaman selain lebih mudah dijaga.
“Sebenarnya, kayu ini kita import dari Australia,” ujar Pengurusnya, Mohd. Razmil Azhar, 23, yang memberitahu, premis tersebut baru sahaja dibuka kepada pengunjung 21 Oktober lalu.
Tidak mahu terlalu sarat dengan penggunaan kayu, kedai yang cuba bereksperimen dengan konsep ‘Old Country’ itu cuba menerapkan unsur rekaan industri.
Ia jelas dapat dilihat daripada binaan susunan geometri batu-bata di tempat membancuh air.
Batu-bata berwarna merah itu dibiarkan lekat dengan campuran simen tanpa sebarang kemasan luar bagi mewujudkan konsep tersebut.
Kaunter pembayaran dan tempat membancuh minuman turut direka dengan binaan bumbung mini.

SENI BINA bumbung rumah beratapkan asbestos dibina di ruang makan.


Dengan beratapkan asbestos, ia seolah-olah menggambarkan terdapat unsur rumah di dalam restoran tersebut.
Pembahagi ruang makan dan dapur turut dihiasi dengan binaan tingkap kayu yang boleh dibuka.
Ia direka bagi memudahkan makanan yang dipesan dihantar kepada pelayan untuk dihidangkan kepada pelanggan.
Bijak bermain dengan warna, pemilihan tona coklat menjadi asas dalam setiap pemilihan warna seni rekaan dalaman kedai tersebut.
Kemasan
Daripada kemasan dinding, lantai dan juga siling, kesemuanya mempamerkan warna coklat daripada tona yang pelbagai.
“Warna coklat ini dipilih bagi disesuaikan dengan warna kayu pain yang digunakan pada dinding.
“Selain itu, ia juga dapat mewujudkan suasana yang tenang dan menjadikan pandangan mata lebih sejuk,” ujarnya yang memperuntukkan kira-kira RM400,000 bagi proses ubah suai restoran tersebut.
Restoran yang menyediakan 61 juadah ala Barat itu kelihatan lebih klasik dan mewah dengan penggunaan lampu kuning dari sudut penataan cahaya.
Kedai yang beroperasi setiap hari ini hanya menggunakan kipas angin bagi pengudaraan di ruang makan di dalam kedai.
DERETAN meja dan kerusi diletakkan di tepi restoran bagi pengunjung yang ingin makan di ruang terbuka.


Malah, ruang makan juga tidak tertutup, sekali gus memberi laluan pengudaraan yang lebih baik.
“Kita juga sengaja tidak menggunakan alat penyaman udara kerana ada antara hidangan menu kita yang menggunakan hot plate yang mengeluarkan asap.
“Jadi, kita tidak mahu keadaan di dalam kedai dicemari asap dan bau,” katanya yang memberitahu, ia merupakan cawangan kedua bagi rangkaian Top Steak House di Kuala Lumpur.
Bijak menggunakan kedudukannya di lot hujung, bahagian luar koridor juga disusun dengan perabot meja dan kerusi bagi membenarkan pelanggan menikmati hidangan di kawasan terbuka.
Lantaran elemen kayu banyak digunakan dalam dekorasi dalaman, penjagaan khas tetap dititikberatkan bagi memastikan ia tahan lama.
“Serangga perosak seperti anai-anai memang suka kepada produk-produk kayu.
“Sebab itulah setiap bulan kita akan pastikan kawalan dilakukan secara berkala dengan penggunaan bahan antimakhluk perosak,” ujarnya.