BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, December 28, 2013

BAHAYA MINYAK MASAK

MENURUT Pakar Pemakanan dari DEMC Hospital Shah Alam, Siti Nurhayati Ali, penggunaan minyak masak dalam menyediakan hidangan bagi tumisan mahupun gorengan perlu dihadkan dalam masakan seharian apatah lagi sekiranya minyak yang digunakan itu telah dipakai berulang kali.
Katanya, semasa menggoreng, minyak masak melepaskan sisa toksik dipanggil aldehydes yang mencemar udara dan boleh masuk ke dalam sistem pernafasan manusia.
Sisa toksik ini juga tertinggal di dalam minyak ketika menggoreng. Oleh itu, semakin kerap minyak masak digunakan berulang kali, semakin banyak sisa toksik yang terkumpul.
Makanan yang digoreng menggunakan minyak yang diguna semula akan menyerap sisa toksik aldehydes tersebut.
"Apabila seseorang makan makanan itu, ia mengundang masalah-masalah kesihatan yang serius seperti penyakit atherosclerosis (salur darah tersumbat akibat menjadi keras dan tebal), penyakit hati, penyakit jantung, penyakit alzheimer, parkinson dan barah.
"Oleh kerana itu, sebaik-baiknya minyak masak digunapakai maksimum sehingga dua atau tiga kali sahaja.
"Itupun bergantung kepada perubahan struktur atau kelikatan warna minyak berkenaan," kata Siti Nurhayati.
Beliau menambah, sekiranya minyak berkenaan telah bertukar warna dan kelikatannya, kelihatan kehitaman atau perang kehitaman, minyak berkenaan sebenarnya tidak boleh digunakan lagi dan perlu dibuang.
Siti Nurhayati juga menjelaskan minyak sisa menggoreng haiwan yang berdarah seperti ayam, ikan atau daging seelok-eloknya tidak diguna semula dan terus dibuang.
Ini kerana darah haiwan yang bercampur ke dalam minyak berkenaan akan meningkatkan kandungan karbon dan mengubah struktur asid lemaknya yang berbahaya kepada kesihatan.
"Hal ini berbeza bagi minyak hasil daripada gorengan sayur, ikan bilis, tempe, tauhu, kuih-muih dan sebagainya.
"Minyak masak berkenaan masih boleh dipakai untuk kali kedua dan ketiga asalkan tidak bertukar warna serta segala sisa gorengan didalamnya ditapis dan dibuang," katanya.
Siti Nurhayati mengakui, disebabkan mahu mengurangkan kos, kebanyakan peniaga akan menggunakan minyak masak berulangkali.
Sekiranya peniaga perlu juga menggoreng dalam minyak yang sama, gorengan berkenaan perlu dilakukan dengan cepat dan tidak perlu direndam (di dalam minyak) terlalu lama.
"Sebagai pengguna, kita perlu lebih peka dengan makanan yang dibeli dan perlu bersikap memilih terhadap gerai atau kedai makanan. Jika berkesempatan lihat dahulu sama ada minyak yang digunakan adakah telah bertukar kehitaman.
"Ini kerana minyak yang digunakan berulangkali akan bertukar menjadi gelap akibat pembentukan karbon. Minyak ini berbahaya kerana mengandungi bahan toksik HNE atau 4-hydroxy-trans-2 nonel yang tinggi," katanya.
Siti Nurhayati menambah, bukan hanya minyak yang hangus sahaja membahayakan malah makanan yang hangus seperti contoh sate, roti bakar, charkueytiau atau apa sahaja makanan yang bewarna hitam akibat sisa hangus adalah tidak elok kerana mengandungi HNE.
Pengambilan makanan hangus untuk jangka masa panjang boleh mengundang penyakit keradangan dan kanser di dalam badan.
Siti Nurhayati menerangkan, pada asasnya minyak masak terdiri daripada lemak tepu dan lemak tidak tepu. Lemak tidak tepu pula terdiri daripada dua bahagian iaitu lemak mono tidak tepu dan lemak poli tidak tepu.
Minyak kelapa sawit merupakan lemak tepu namun kebaikkannya adalah stabil digunakan untuk masakan yang memerlukan suhu yang tinggi atau masakan minyak penuh (deep fried) seperti menggoreng ayam dan daging.
"Minyak zaitun sebagai contoh adalah minyak mono tidak tepu. Minyak ini baik kerana ia mudah terurai dan akan meningkatkan kolesterol baik dalam badan.
"Contoh-contoh minyak mono lain adalah minyak kacang, minyak badam, minyak avokado dan minyak bunga matahari. Minyak-minyak ini juga mempunyai omega 3 dan 6 yang diperlukan oleh badan.
"Walaubagaimanapun, minyak tidak tepu ini tidak sesuai digunakan untuk masakan yang memerlukan jangka masa yang lama atau terdedah kepada suhu yang terlalu tinggi kerana minyak ini akan cepat hangus," katanya.
Siti Nurhayati menyarankan agar setiap isi rumah mempunyai dua jenis minyak masak iaitu minyak kelapa sawit dan minyak berasaskan lemak poli tidak tepu atau mono tidak tepu.
Gunakan minyak kelapa sawit untuk menggoreng atau deep fry manakala gunakan minyak berasaskan lemak poli tidak tepu atau mono tidak tepu seperti minyak zaitun untuk menumis atau dijadikan sos salad (salad dressing).
Namun apa pun makanan bergoreng perlu dihadkan kepada tiga kali seminggu manakala bagi hari-hari lain pilihlah cara masakan yang lebih sihat seperti sup, kukus, panggang dan gril. Apabila minyak digunakan terlalu banyak ia juga sebenarnya penyumbang kepada masalah kegemukan badan dan kolesterol yang tinggi. 
1 gram (gm) minyak = 9 kalori
berbanding 1 gm karbohidrat = 5 kalori
1 sudu makan minyak = 15 gram sebab itu 1 sudu makan minyak = 15 gram x 9 kalori = 135 kalori
Cuba bayangkan sekiranya minyak yang digunakan dalam jumlah yang banyak.
Agaknya berapa ratus atau ribu kalori yang kita serap setiap kali makan makanan yang bergoreng?

Monday, December 23, 2013

TIDUR BERKUALITI UNTUK KESIHATAN

MENDAPATKAN tidur yang berkualiti merupakan perkara paling penting yang anda boleh lakukan demi kesihatan badan.
Tidur yang mencukupi memberikan badan kita masa dan tenaga untuk pulih daripada ketegangan hari sebelumnya dan membantu kita untuk kekal cergas dan fokus sepanjang hari.
Jika anda sukar tidur seperti kerap terjaga ketika tidur atau tidak selesa, pelbagai cara boleh dilakukan bagi mengembalikan ketenangan waktu tidur.

Kekalkan jadual waktu tidur.
Tidur pada waktu yang sama, setiap hari malah di hujung minggu serta hari cuti. Konsistensi membuatkan badan anda terbiasa dengan kitaran jadual tidur tersebut.

Perhatikan makan dan minum anda.
Jangan masuk tidur jika berasa lapar atau terlampau kenyang. Rasa tidak selesa akan membuatkan anda kerap terjaga. Kesan rangsangan nikotina, kafein dan alkohol yang mengambil masa berjam-jam untuk hilang juga akan mengganggu tidur anda.

Cipta ritual waktu tidur.
Lakukan perkara yang sama setiap malam sebelum tidur seperti mandi air panas, membaca buku atau mendengar muzik yang menenangkan sebagai peringatan kepada badan untuk berehat. Elakkan menggunakan peralatan elektronik dalam ritual waktu tidur.

4Berada dalam keadaan selesa.
Hias bilik tidur dengan gaya yang sesuai untuk tidur seperti lampu tidur yang malap dan warna cat bilik yang menenangkan. Tilam dan bantal yang berkualiti amat penting. Pilih tilam dan bantal mengikut keselesaan anda.

5 Had tidur waktu petang.
Tidur petang yang panjang boleh mengganggu waktu tidur yang sepatutnya terutama penghidap insomnia. Hadkan waktu tidur petang selama 10 hingga 30 minit sahaja dan hanya pada waktu rembang petang.

6Lakukan aktiviti fizikal dalam rutin seharian anda.
Aktiviti fizikal secara berkala boleh membuatkan anda mendapat tidur yang berkualiti serta lebih cepat tidur. Namun, jangan bersenam ketika menghampiri waktu tidur.

7 Pengurusan tekanan.
Tekanan terutamanya di tempat kerja boleh menyebabkan seseorang susah untuk tidur kerana banyak berfikir. Belajar untuk menguruskan tekanan di sekeliling seperti menjadi seorang yang lebih teratur dalam hidup dengan membahagikan perkara yang penting dan kurang penting.

8 Temui doktor.
Hampir semua orang kadang-kadang mengalami masalah untuk tidur tetapi jika ia terlalu kerap berlaku sehingga mengganggu kualiti hidup, ia mungkin tanda penyakit atau masalah-masalah lain. Dapatkan bantuan doktor.

NASI AMBENG RK RECIPE CAFE-MELAWATI KL


Riezman Khuzaimi dan Kartina Ayoob.

BARANGKALI ramai dalam kalangan kita yang sudah lama tidak menikmati sajian terkenal dari selatan tanah air seperti nasi ambeng. Lebih-lebih lagi di Kuala Lumpur, tidak banyak restoran atau pengusaha makanan yang menyediakan masakan Johor asli sebagai menu utama mereka.
Bagaimanapun warga kota kini berpeluang merasai sendiri keenakan kedua-dua hidangan pemikat selera yang kaya dengan aroma dan rempah-ratus itu apabila berkunjung ke RK Recipe Cafe (RK) milik pelakon Riezman Khuzaimi dan Kartina Ayoob.
Mungkin ada yang bertanya apa itu nasi ambeng? Ia merupakan sajian kebanggaan orang Jawa yang disajikan semasa majlis kenduri.
Nasi ambeng lazimnya dihidangkan bersama lauk-pauk di dalam dulang dan dimakan secara beramai-ramai.
Lauk-pauk yang disediakan bagi memeriahkan nasi ambeng ini antaranya ayam kicap, gulai ayam, serunding dan sayuran.
Menurut Kartina, nasi ambeng merupakan makanan istimewa RK dan sering menjadi pilihan untuk menu katering.
"Kami menyediakan nasi ambeng setiap Sabtu dan Ahad. Setakat ini menu ini menjadi pilihan keluarga yang datang pada hujung minggu dan reaksi yang diberikan pelanggan sangat positif," ujar Kartina.
Selain nasi ambeng, RK turut menyajikan makanan lain seperti yee mee, spageti bebola daging, nasi ayam dan nasi goreng kampung.
Tidak ketinggalan, RK menerima tempahan katering untuk majlis perkahwinan, hari jadi dan keramaian.
Anda juga boleh menikmati kek cawan hasil tangan Kartina sendiri.
Menurut Kartina, kebanyakan menu ditawarkan adalah hasil tangan dia dan suaminya.
Mereka hanya dibantu oleh pembantu tukang masak untuk kerja-kerja penyediaan makanan.
Katanya, sebelum membuka restoran, Kartina telah melakukan penyelidikan dan perancangan teliti. Tidak hairanlah, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPAJ) memberi gred A kepada restoran RK.
"Saya sudah membuat persediaan awal bahan mentah yang dibungkus mengikut sukatan yang betul. Maksudnya, pelanggan A dan B akan dapat sukatan makanan yang sama. Ini juga penting supaya mutu kebersihan dan kualiti makanan terjamin," katanya yang merancang membuka cawangan RK di Singapura.
Idea RKDitanya tentang idea nama RK, Kartina memberitahu, nama tersebut merupakan gabungan Riezman dan Kartina.
Jelasnya, RK sudah lama ditubuhkan yang pada awalnya menjalankan perniagaan biskut raya dan pakaian secara kecil-kecilan.
Kemudian, ia berkembang kepada perniagaan katering pada tahun lalu sehinggalah pasangan ini mengambil keputusan membuka sebuah restoran.
"Selepas saya berehat setahun daripada bekerja, kami membuat keputusan menjalankan perniagaan berasaskan makanan. Sebelum ini, RK beroperasi di rumah dan kalau ada pelanggan, kami hanya berjumpa di luar.
"Lama-kelamaan, kami terfikir untuk membuka sebuah restoran yang akan menjadi pusat sehenti termasuklah tempahan katering," katanya.

Wednesday, December 18, 2013

PENDUDUK BIMBANG AIR LAUT MASUK KAMPUNG

  • Bimbang air laut masuk kampung
  • Khalid (kanan) menunjukkan keadaan benteng yang pecah di kampung 
  • Tanjung Piai berhampiran taman negara.
 1 / 1 
PONTIAN - Penduduk di Kampung Tanjung Piai dan beberapa kampung di sekitar Serkat, di sini bimbang kemungkinan berlaku banjir disebabkan benteng penahan air laut yang pecah sebelum ini masih belum dibaiki.

Benteng yang terletak berhampiran Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) pecah sepanjang 10 meter, selepas fenomena air pasang besar terjadi, minggu lalu.

Ketua Kampung Tanjung Piai, Rohaizad Abdul Hamid berkata, benteng penahan air laut begitu penting sekali kepada penduduk.

Ini kerana katanya, kedudukan kampung terletak hanya beberapa meter dari laut dipisahkan oleh benteng penahan air laut sepanjang kira-kira 3 kilometer.

“Sebelum ini, pokok bakau menjadi penahan air laut namun disebabkan hakisan yang semakin teruk sejak 10 tahun lalu, benteng terpaksa di bina.

“Benteng itu berfungsi mengelak air laut dari terus melimpah ke kawasan rendah di kampung-kampung,” katanya.

Menurutnya, keadaan benteng yang pecah itu dibimbangi akan mengakibatkan limpahan air laut berlaku terutamanya ketika air pasang besar berlaku.

“Pihak yang berkenaan sudah dimaklumkan mengenai keadaan benteng yang pecah dan telah menghantar pegawai untuk melihat benteng itu.

“Diharapkan masalah benteng tersebut segera diatasi dan menjadikan situasi banjir kilat yang berlaku di Tampok Laut Benut, akibat benteng pecah sebagai pengajaran,” katanya.

Penduduk, Mohd Ali Shah, 45, berkata, air pasang yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini, meningkatkan risiko kerosakan benteng yang lebih teruk sehingga mengakibatkan limpahan air laut ke kawasan darat terjadi.

“Seterusnya menyebabkan kejadian banjir di beberapa buah kampung yang terletak tidak jauh dari benteng,” katanya.

Sementara itu Pengurus TNJTP, Khalid Zahrom, berkata benteng yang pecah itu menyebabkan kawasan laluan jalan raya ke taman negara dipenuhi air laut yang melimpah selepas air pasang berlaku.

“Air laut yang melimpah di atas jalan raya, menyukarkan pengunjung untuk datang ke taman negara.

“Keadaan itu juga menimbulkan rasa kurang senang kerana pengunjung perlu menunggu sehingga air laut surut sebelum dapat melalui jalan tersebut untuk ke taman negara,” katanya.
Justeru beliau meminta agar pihak yang berkaitan dapat melakukan tindakan segera membaiki benteng yang pecah itu bagi mengelak kejadian buruk berlaku.

KAMPUNG PERMATA-TUNGGU MASA DITELAN OMBAK

  • Tunggu masa ditelan ombak
  • Penduduk melihat keadaan rumah yang rosak akibat dipukul ombak di Kampung Permata.
 1 / 1 
PONTIAN - Sebanyak 40 keluarga di Kampung Permata, di sini, tidak lena tidur kerana jarak rumah mereka yang semakin hampir dengan laut akibat hakisan ombak berikutan fenomena air pasang besar yang melanda.

Penduduk, Hamdan Abdullah, 50, berkata, hakisan tersebut menyebabkan rumahnya yang berjarak tidak sampai 10 meter dengan laut hampir roboh.

“Rumah saya boleh roboh bila-bila masa sahaja jika air laut semakin naik. Pada musim tengkujuh sekarang ini, air masuk ke dalam rumah tidak kira siang atau malam,” katanya.

Menurutnya, dia juga bimbang masalah hakisan yang semakin serius memungkinkan rumahnya yang berusia 13 tahun itu dan lima rumah penduduk lain yang terletak begitu hampir dengan laut lenyap daripada pandangan.


Hanya mampu berdoa

Dia tidak mampu berbuat apa-apa ketika air pasang memasuki rumahnya selain hanya mampu berdoa agar struktur kediaman yang dibina daripada kayu itu terus kukuh.

“Saya juga terpaksa mengambil langkah sendiri untuk menghalang kerosakan lebih teruk akibat aliran air pasang yang deras dengan memacakkan buluh-buluh di tepi rumah.

“Buluh-buluh yang dipacakkan itu melambatkan aliran air pasang yang deras ke dalam rumah,” katanya.

Hamdan berkata, dia meminta agar benteng batu segera dibina di kawasan pesisir pantai yang masih belum lagi mempunyai benteng di situ.

Jelasnya, benteng pasir yang dibina kira-kira setahun lepas hanya sepanjang 200 meter, ia tidak merangkumi keseluruhan kawasan pesisir pantai di kampung ini yang berkeluasan kira-kira 500 meter.

“Cadangan pembinaan benteng telah banyak kali diajukan kepada wakil kerajaan negeri dan persekutuan. Saya berharap masalah ini mendapat perhatian dan tidak dibiarkan begitu sahaja,” katanya
.

Hakisan ubah kampung

Sementara itu, bagi penduduk lain, Zainab Hussin, 57, berkata, dia bimbang keselamatan keluarganya memandangkan jarak rumah dengan laut hanya kira-kira 100 meter sahaja.

Menurutnya, hakisan yang berlaku telah merubah keadaan Kampung Permata yang dahulu mempunyai banyak pokok bakau sebagai penahan ombak.

“Kalau dahulu air laut tidak pernah jejak lantai rumah, tapi sekarang perkara sebaliknya yang berlaku setiap kali air pasang.

“Setiap kali musim air pasang tiba, sukar untuk kami melelapkan mata mengenangkan keadaan rumah tambahan pula ketika itu angin laut begitu kuat,” katanya.


Bina benteng segera

Justeru, pembinaan benteng penahan ombak di situ perlu disegerakan bagi mengelakkan penduduk diancam risiko bahaya hakisan laut.

Menurutnya, hasrat untuk berpindah sentiasa diluahkan, namun ramai yang tidak mampu selain perlu menanggung anak.

“Ia kerana, penduduk di sini kebanyakannya berpendapatan sederhana. Ada yang bekerja sebagai pekerja kilang dan penjual kuih,” katanya.

CITARASA D'NAZRIL-KOTA TINGGI

  • Keunikan menu belangkas
  • Effa menunjukkan pilihan belangkas segar.
 1 / 2 
BAGI peminat masakan kampung dan makanan laut, pastinya tidak rugi untuk mencuba hidangan di gerai Citarasa D’Nazril yang terletak berdekatan Pusat Latihan Akli atau kira-kira empat kilometer dari bandar Kota Tinggi.

Gerai yang popular dengan masakan belangkas itu juga sering menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk dalam kawasan ini, malah luar daripada daerah ini.

Pemiliknya, Effa Adriana Samsuri, 22, berkata, gerai tersebut mula beroperasi pada Jun lalu dimana Citarasa D’Nazril memiliki keistimewaan sendiri dengan mengutamakan hidangan masakan tradisional Melayu sebagai menu utama.

Menurut Effa, gerainya beroperasi tujuh hari seminggu dan dibuka pada jam 6 pagi hingga 3 petang bermula dengan hidangan sarapan pagi sehinggalah makan tengah hari.

“Antara masakan yang amat digemari pengunjung ialah belangkas masak masak cili, siput sedut masak lemak cili api, sotong bunting masak lemak dan lada hitam.

“Hidangan tersebut sering menjadi daya tarikan para pengunjung yang ke mari dan paling laris di sini. Apa yang penting, kami sentiasa mengutamakan keselesaan pelanggan melalui layanan mesra dan hidangan yang segar," katanya.

Effa memberitahu, selain tiga jenis masakan utama tersebut, pihaknya turut menghidangkan masakan asam pedas mayung, sembilang, keli, ikan duri, ketam dan beberapa jenis masakan lain.

“Sebagai gandingan kami turut menyediakan sayur-sayuran kampung seperti pucuk paku, pucuk ubi, pucuk labu, sayur keladi, nangka muda dan betik, di samping ulam-ulaman.

“Bagi menu sarapan pagi pula, kami menyediakan nasi lemak, mi goreng, lontong dan pelbagai lagi," katanya.

Dia yang dibantu ibu saudara dan tiga adik beradiknya berkata, gerainya sesuai buat mereka yang ingin mencari kelainan dan jemu dengan menu harian.

Menceritakan pengalamannya ketika mula membuka gerai itu katanya, dia bermula dengan bermodalkan RM200.

Effa berkata, nama Citarasa D’Nazril juga diambil sempena nama anaknya, Mohd Nazril, 2, hasil perkongsian hidup bersama suaminya Abdul Nasir Mohamed, 30.

Menurutnya, pada awalnya, gerai tersebut beroperasi pada waktu malam, bagaimanapun kurang mendapat sambutan.

“Alhamdulillah setelah diubah kepada makan pagi dan tengah hari, sambutan diterima amat menggalakkan dimana pelanggan suka dengan kira-kira 30 juadah tempatan yang kami sediakan di sini.

“Malah tidak dinafikan harga runcit sekarang semakin meningkat, namun kita masih mengekalkan harga murah dan berpatutan di gerai ini," katanya.

Sunday, December 15, 2013

RESTORAN PERMATA SENIBONG, JB

CRISPY Kailan

SEBUT sahaja Senibong, pasti ramai yang tahu ia adalah kawasan popular dengan deretan restoran makanan laut. Salah satu daripadanya adalah restoran Permata Senibong yang bertemakan menu Nyonya dan Cina.
Permata Senibong yang beroperasi sejak tiga tahun lalu di pesisir Selat Tebrau itu terletak tidak jauh dari pusat bandar dan Tambak Johor. Kebanyakan pelanggannya adalah dari dalam dan luar negara terutama pekerja sektor korporat tempatan dan pelancong dari Singapura.
Pengurus Operasinya, Amrol Hisham Dzulkifli, 48, ketika ditemui memberitahu tentang sejenis hidangan yang tidak pernah dilihat di restoran makanan laut lain di sekitar Johor Bahru, berbentuk seperti bunga rampai dan mempunyai rasa seperti rumpai laut.
"Inilah dia 'Crispy Kailan', salah satu keunikan di Permata Senibong. Kami sengaja memilih tema masakan Nyonya dan Cina kerana mahu lari daripada stereotaip, selain mahu menampilkan keunikan masakan makanan laut yang segar dan mampu menggamit tunas rasa pelanggan.
"Ketam sebagai contoh, jika anda memang penggemar makanan laut maka mudah untuk anda tahu bahawa kami menyediakan bahan yang segar," katanya.
Antara hidangan istimewa adalah Creamy Salted Egg Crab, dengan persembahan berbeza kerana mempunyai sedikit kuah yang diadun menggunakan susu berbanding dengan menu ketam masak telur masin yang biasa.
Sementara itu, Amrol Hisham, memaklumkan bahawa cengkerang ketam yang biasanya keras hingga terpaksa menggunakan ragum untuk dipecahkan di tempat lain berbeza dengan jenis yang dihidangkan di restoran itu.
"Di Permata Senibong, cengkerang ketam mudah dipecahkan untuk mendapatkan isinya yang segar. Makan pula dengan kuah telur asin berkrim, pasti sesiapa sahaja akan berpuas hati," ujarnya.
Dalam pada itu, hidangan 'mantou' juga tidak kurang enaknya. Ia boleh dimakan begitu saja atau dicolek dengan kuah. Ia juga begitu lembut sehingga tidak perlu dikunyah.
Suasana malam di situ juga sesuai untuk majlis meraikan ulang tahun perkahwinan, kelahiran atau sebarang bentuk keraian kerana kilauan lampu dari Senokor, Singapura mewujudkan ilusi eksklusif yang tidak terbanding tempat lain.
Kalau diceritakan tentang menu lain, sudah tentu ia menggunakan bahan sayuran seperti kailan, kangkung, asparagus, brokoli dan beberapa jenis yang lain, manakala ikan dan makanan laut pula terdiri daripada pilihan siakap, jenahak, merah, kerapu, kerapu bara, udang, ketam dan pelbagai lagi.
Contohnya, sotong yang dimasak Kham Heong atau udang secara Kung Pow memberikan keunikan tersendiri kepada Permata Senibong yang mampu menempatkan sehingga 200 orang pada satu-satu masa itu.
Amrol Hisham turut menjelaskan bahawa makanan laut yang dihidangkan di restorannya itu tidak dikelaskan sebagai mahal, malah beliau memberitahu terdapat pakej-pakej yang berbaloi untuk dicuba, malah boleh dinaik taraf dengan menukar menu di dalamnya seperti jenis ikan dan makanan laut yang disediakan.
"Biasanya pelanggan tetap kami adalah petugas bank, sektor kerajaan dan korporat. Mereka akan memilih pakej seperti set untuk empat, enam atau 10 orang. Ramai yang memilih untuk mengadakan keraian di sini, terutama pada waktu cuti sekolah atau hujung minggu.
"Walaupun tampil dengan keunikan yang mewujudkan suasana eksklusif, namun setiap pelanggan mempunyai pilihan mengikut kemampuan kewangan mereka," katanya lagi.
Beroperasi mulai pukul 4.00 petang hingga lewat dinihari, Permata Senibong sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelanggannya dengan hidangan enak serta layanan mesra seolah di premis lima bintang.
Pihak yang berminat untuk menempah boleh menghubungi Amrol Hisham di talian 013-7211516 atau rakan kongsinya, Khairul Anuar Napi di talian 019-7766879.