BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, January 12, 2014

RESTORAN ADEQ SU IKAN BAKAR-KUALA TERENGGANU

SUASANA yang tenang di Restoran Adeq Su Ikan Bakar.

RESTORAN Adeq Su Ikan Bakar yang terletak agak tersembunyi dari laluan utama Jalan Kamaruddini mungkin tidak perlu lagi diperkenalkan kepada penduduk di sekitar bandar raya Kuala Terengganu.
Agak ringkas binaan premisnya di pinggir sebatang tali air tetapi menyediakan persekitaran yang tenang dan santai untuk pengunjung menikmati juadah pada lewat petang dan malam.
Lebih dikenali dengan tarikan ikan bakar, menu tom yam 'pok tek' dan pelbagai menu lain yang unik serta kreatif ternyata memikat ramai pelanggan yang kebanyakannya datang secara berkumpulan.
Restoran ini diusahakan oleh kapten skuad bola sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar atau lebih dikenali sebagai Hai-O bersama kakak saudaranya, Shukuriah Abd. Ghafar dan suaminya, Kamal Ariffin.
Ia sering menjadi pilihan liputan oleh media elektronik, akhbar dan majalah bagi mengisi ruangan masakan berdasarkan reaksi yang diberikan oleh pelanggan.
Restoran tersebut juga menjadi pilihan ramai orang kenamaan termasuklah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; selebriti yang bertandang ke Kuala Terengganu serta skuad bola sepak untuk menjamu selera.

WARUNG SU NASI KERABU-KETEREH, KELANTAN

WAN Rahmah Wan Daud menunjukkan nasi kerabu dan nasi berlauk yang menjadi 
menu istimewa warungnya di Ketereh, Kelantan.

BAGI sesetengah pengunjung, tidak lengkap sekiranya kunjungan ke Kelantan tanpa mencuba keenakan nasi kerabu yang merupakan makanan tradisi negeri Cik Siti Wan Kembang.
Malah bagi mereka yang tidak pernah berkunjung ke negeri ini mungkin agak janggal dengan tradisi masyarakat Kelantan yang lebih mengutamakan menu 'berat' seperti nasi kerabu mahupun nasi berlauk untuk sarapan.
Justeru, merasai nikmat sarapan di Kelantan adalah satu perkara yang wajib dilakukan jika bercuti ke negeri itu.
Su Warong Nasi Kerabu yang terletak di Batu 11 Ketereh dan berada di tepi jalan utama antara Machang ke Kota Bharu adalah destinasi paling tepat untuk disinggahi.
Hidangan nasi kerabu di warung ini pasti tidak mengecewakan.
Warung ini telah menyediakan resipi nasi kerabu sejak turun temurun yang dimiliki oleh Wan Rahmah Wan Daud, 54. Beliau telah memulakan perniagaan sejak 15 tahun lalu.
Menurut Wan Rahmah, selain popular dengan hidangan nasi kerabu daging serta ayam bakar, warungnya turut menyediakan nasi berlauk ikan dan ayam gulai yang mendapat permintaan pelanggan.
Malah ujarnya, pilihan sarapan di Su Warong Nasi Kerabu sangat berpatutan dengan pelbagai jenis lauk seperti daging bakar, ayam bakar, ikan goreng, jeruk bawang, telur masin, solok lada dan sebagainya untuk memenuhi selera setiap pelanggan.
"Di sini, kami menyediakan pelbagai jenis pilihan dengan harga serendah RM3 sepinggan untuk hidangan biasa sehingga RM6 bagi campuran pelbagai lauk," katanya ketika ditemui S2.
Jelas Wan Rahmah, menjaga hati pelanggan adalah perkara yang amat dititikberatkan olehnya kerana ia cukup penting bagi menarik lebih ramai pengunjung ke warungnya.
Selain itu, dia turut mementingkan kebersihan bahan mentah serta bekalan halal agar makanan yang dihasilkan lebih berkat serta tidak memudaratkan pelanggan.
"Biasanya, pelanggan yang berkunjung ke sini terdiri daripada penduduk setempat serta pengunjung luar dari Kelantan yang ingin merasai hidangan nasi kerabu.
"Oleh sebab itu, setiap hari saya akan mendapatkan bekalan bahan mentah yang segar bagi menjamin kualiti hidangan serta menghargai pelanggan yang datang dari jauh semata-mata untuk menjamu selera di sini," katanya.
Warong yang dibuka setiap hari bermula seawal pukul 6 pagi hingga 2 petang itu juga menerima tempahan untuk majlis keramaian.
Bagi mereka yang ingin membuat tempahan dan mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi Wan Rahmah di talian 017-7489717.
Sementara itu, seorang pelanggan, Khairi Mat Yusof,30, berkata, dia telah menjadi pelanggan tetap dan akan berkunjung ke Su Warong Nasi Kerabu sekurang-kurangnya sekali setiap minggu.
"Hidangan nasi kerabu di sini sangat sedap dan tiada mana-mana kedai yang mampu menandingi keenakannya.
"Selain itu, harga yang ditawarkan juga amat berpatutan menyebabkan saya sentiasa berkunjung ke sini," katanya.
Rosmawati Zawawi, 24, pula berkata, dia selalu berkunjung ke warung tersebut bagi menikmati hidangan sarapan di situ.
"Nasi kerabu di sini memang sangat sedap. Sebab itulah, ramai orang datang...sampai ada yang sanggup beratur," katanya.

Friday, January 10, 2014

GEMPA BUMI DI KUKUP ?

  • Runtuhan siling gegar premis
 1 / 2 
PONTIAN - 9 JANUARI: Seorang pekerja kedai makan nyaris maut apabila siling bangunan jatuh secara tiba-tiba di bilik sewanya di tingkat dua bangunan komersial di Pekan Kukup, pagi semalam.

Mangsa, Ong Lian Peng, 45, berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur di dalam bilik sewanya itu.

“Mujur bunyi bising seperti barang dihempas sebelum itu membuatkan saya terjaga dari tidur.

“Saya terkejut melihat siling-siling mula jatuh sedikit demi sedikit, saya terus berlari keluar. Ketika itu saya hanya fikir gempa bumi dan hanya mahu keluar segera menyelamatkan diri,” katanya.

Katanya, dia tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang dan keluar sehelai sepinggang.

Sementara itu, pemilik kedai makan, Tey Siang Huat, 50, memberitahu, dia terdengar bunyi bising seperti barang jatuh dari tingkat tiga sebelum keluar dari kedai makan.

Dia menyifatkan kejadian tersebut paling buruk pernah berlaku setelah hampir dua tahun berniaga di situ.

“Ketika kejadian, terdapat 10 orang pelanggan dan enam pekerja berada di dalam kedai.

“Selepas keluar dari bangunan, kami lihat kesan retak n mula terbentuk di luar bangunan malah tiang di hadapan bangunan juga mula condong,” katanya.

Katanya, retakan kecil pernah dikesan berlaku sebelum ini, namun ia masih tidak merbahaya dan perniagaan dapat dijalankan.

“Kemungkinan saya tidak dapat berniaga sementara menunggu siasatan dilakukan, pendapatan saya mungkin akan terjejas,” katanya.

Bukan gempa bumi

Kejadian empat lot bangunan komersial di Pekan Kukup yang retak secara tiba-tiba tiada kaitan dengan gempa bumi mahupun tsunami.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, Zulbahry Sulong ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, tiada laporan gegaran yang boleh mengakibatkan gempa bumi dan tsunami diterima setakat ini.

Katanya, dalam kejadian jam 9 pagi itu melibatkan empat bangunan komersial tiga tingkat terdiri daripada kedai makan dan rumah tumpangan itu retak secara mengejut.

“Tiada laporan orang awam yang cedera dan mereka diminta tidak mendekati kawasan bangunan tersebut sementara menunggu pihak berwajib melakukan kajian.

“Penduduk setempat juga diminta tidak bimbang kerana langkah-langkah keselamatan telah diatur bagi memastikan penduduk tidak terjejas,” katanya.

Kukup merupakan sebuah pekan kecil terletak di pinggir laut di Selat Melaka dan berhadapan dengan Pulau Karimon Indonesia.

Penduduk, Nur Azura Mohd Nor, 20, berkata, dia tidak merasa sebarang gegaran yang berlaku ketika berada di rumahnya di Kampung Benteng awal pagi semalam.

“Keadaan seperti biasa semalam, cuma cuaca agak mendung, penduduk di sini tiada rasa sebarang gegaran.

“Saya hanya mengetahui mengenai kejadian bangunan retak dari seorang rakan, kemudiannya saya datang untuk melihat sendiri keadaan  bangunan yang retak,” katanya.

Bagi Koh Yin Song 30, kejadian bangunan retak yang pertama kali berlaku di Kukup telah menarik perhatian penduduk setempat.

“Ramai yang datang melihat bangunan yang retak di sini, sebagai penduduk saya berharap pihak berkuasa segera ambil tindakan atasi masalah bangunan retak di sini,” katanya.

Ubahsuai bangunan undang keretakan

Sementara itu, Majlis Daerah Pontian (MDP) tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca daripada kerja-kerja ubahsuai bangunan yang dilakukan pemiliknya.

Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian, Miswan Yunos berkata, pihaknya akan melantik pihak perunding bagi menyiasat perkara tersebut secara terperinci.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak faktor semulajadi iaitu berlaku mendepan tanah ekoran kedudukan Pekan Kukup yang terletak di  pinggir laut.

“Pihak perunding forensik bangunan akan dilantik dalam masa terdekat bagi menjalankan kajian supaya tahap keselamatan bangunan dapat ditentukan.

“Selain itu, langkah-langkah keselamatan bagi mengelak kejadian serupa berlaku akan dikenalpasti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, MDP telah mengarahkan pemilik dan penghuni bangunan yang terletak bersebelahan mengosongkan bangunan tersebut.

“Pemilik dan penghuni bangunan di situ diminta memberikan kerjasama dengan mengosongkan bangunan.

“Penguat kuasa MDP juga akan membuat kawalan di bangunan tersebut bagi memastikan ia tidak diceroboh,” katanya.

Wednesday, January 8, 2014

MENCINTAI RASULULLAH S.A.W

UMAT Islam di Malaysia secara khususnya boleh dikatakan sangat beruntung. Walaupun sedang diuji dengan banyaknya ancaman dari segi akidah, kekurangan sistem syariah dan kebejatan akhlak, namun masih disinari dengan nur Nabi Muhammad SAW.

Itulah nur kelahiran Baginda SAW yang sentiasa ditunggu dan disambut saban tahun setiap 17 Rabiulawal. Tidak dinafikan, masih ada lagi yang menyambutnya dengan sekadar sambutan.

Sekurang-kurangnya, masih lagi menjadi penyelamat bagi umat Islam di akhir zaman ini. Dengan harapan semakin tahun semakin ramai berpeluang mengingati dirinya adalah hamba ALLAH SWT yang beragama Islam maka sudah semestinya perlu mencintai Rasulullah SAW.

Hayatilah firman ALLAH yang bermaksud, “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat ALLAH dan kedatangan hari kiamat serta dia banyak menyebut ALLAH.” (Surah al-Ahzab: 21)

Mengapa Nabi SAW diutuskan?

Pendakwah bebas dan juga penulis buku berbentuk islamik, Ustaz Amly Asenar menjelaskan, untuk meningkatkan penghayatan dan kefahaman dalam sambutan Maulidur Rasul maka perlu mengetahui mengapakah Rasulullah SAW diutuskan kepada kita?

Memang benar, kita mencintai dan memperlihatkan kecintaan tersebut namun nilai cinta itu akan hambar dan hanya omongan kosong tanpa mengetahui sebab Baginda SAW diutuskan.

“Rasulullah SAW diutuskan sebagai membawa perutusan daripada ALLAH. Apakah perutusan itu? ALLAH berfirman yang bermaksud: “Dialah (ALLAH) yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan hikmah. Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.” (Surah al-Jumuah: 2)

“Baginda SAW membawa utusan untuk menyampaikan ayat-ayat ALLAH kepada manusia. Apakah ayat-ayat itu? Syeikh Abdul Halim Mahmud seorang ulama besar Al-Azhar mengatakan, “Ayat-ayat ALLAH ialah segala ajaran-Nya, hukum-Nya dan taklif-Nya kepada semua manusia.

Sesungguhnya ALLAH tidak mahu meninggalkan manusia tanpa pertunjuk dalam urusan menguruskan kehidupan dengan tujuan membina satu masyarakat yang bertunjangkan akidah, akhlak dan syariat. Oleh sebab itu, ALLAH mengutuskan kepada penduduk bumi satu perlembagaan yang perlu diikuti".

“Lihatlah betapa besar tanggungjawab Baginda SAW! Maka tidak hairan apabila kita membaca riwayat hidupnya, pasti penuh dengan pengorbanan tanpa sedikit pun agenda mengaut keuntungan dunia dan menikmati kemewahan hidup,” katanya kepada Halaqah.

Menurutnya, sewajarnya sambutan ini dimaknakan dengan tranformasi diri seperti yang dikehendaki oleh ALLAH dan Rasul-Nya. Cari dan galilah setiap sudut kehidupan Baginda SAW yang ada persamaan dengan diri kita nescaya akan ada panduan dan pertunjuk daripada Baginda SAW yang boleh dijadikan manfaat.

Positifnya Baginda SAW

Sebagai contoh, kehidupan Rasulullah SAW yang membesar tanpa kasih sayang daripada ayah dan ibunya. Begitu ramai anak-anak yatim di luar sana yang senasib dengan Baginda SAW. Malangnya, anak-anak yatim ini lebih senang menyalahkan takdir dan orang-orang yang berada di samping mereka. Mereka memberontak, menyalahkan, merosakkan diri.

Jika anak-anak ini membaca catatan hidup Baginda SAW maka sudah pasti hati mereka akan menjadi tenang. Betapa berharganya nilai diri seorang anak yatim walaupun tidak mendapatkan kasih sayang ibu bapa namun mereka mendapat kasih ALLAH dan Rasul sebagai ganti. Andainya mereka tahu!

“Rasulullah SAW membesar menjadi insan yang begitu pengasih kerana Baginda SAW tahu harga dan nilai kasih sayang itu. Sering mengusap kepala anak-anak yatim malah memberikan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang mengikut cara Baginda SAW. Peringatan yang berat diberikan kepada mereka yang suka makan harta anak yatim. Semua ini menggambarkan betapa lembutnya hati mereka yang mendapat kasih sayang ALLAH.

“Ketika kecil pula, Baginda SAW tidak menunjukkan sikap yang pasif atau kekurangan kerana tiada ayah dan ibu. Malah Baginda SAW lebih berdikari dan berterima kasih kepada semua ahli keluarga Baginda SAW seperti pakciknya Abu Talib yang sudi menjaga dan membesarkannya,” katanya.

Ustaz Amly berkata lagi, bagi membahaskan kisah hidup Baginda SAW dalam konteks anak yatim sahaja mampu memberikan pelbagai pengajaran dan petunjuk. Oleh itu, bagi memaknakan sambutan dan selawat maka kenalilah diri dan carilah pertunjuk daripada kehidupan Baginda SAW.

Adakah anda seorang pemimpin? Pendidik? Pekerja? Suami? Isteri? Ibu? Ayah? Apa jua posisi anda maka anda berkewajipan menjadikan Rasulullah sebagai contoh ikutan.

Kenali Baginda SAW

Generasi hari ini perlu didekatkan dengan Rasulullah SAW dengan cara yang lebih menarik lagi. Bentuk penceritaan dan pembacaan mesti dibantu dengan kecanggihan teknologi yang ada. Dunia filem, kartun dan rancangan televisyen perlu bergerak sepenuhnya ke arah ini.

Dengan inilah anak-anak cucu mampu mengenali sedalamnya siapakah dia Nabi akhir zaman. Alangkah indahnya jika watak upin dan ipin yang begitu diminati kanak-kanak diselitkan sepenuhnya ajaran dan akhlak Rasulullah SAW daripada dimasukkan elemen Melayu sahaja.

Selain itu, membuka ruang yang luas kepada kanak-kanak dan remaja untuk menterjemahkan keperibadian Baginda SAW dalam apa jua bentuk daripada penumpuan diberikan kepada acara tarian dan nyanyian semata-mata. Apa yang disebutkan hanyalah pengamatan peribadi dan saya berkeyakinan apabila peluang diberikan maka ramai akan tampil memberikan idea dan tenaga.

Kemanisan sambutan dan selawat akan lebih dirasai dan bermakna apabila keperibadian Rasulullah SAW berada dalam diri setiap orang Islam. Bermula dengan pemimpin yang takutkan ALLAH dan seterusnya rakyat yang bekerja dengan jati diri seorang Muslim. Buktikan sambutan bukan sekadar berselawat!

Monday, January 6, 2014

KHADIJAH'S KITCHEN-DANAU KOTA, SETAPAK KL


Khadijah Ibrahim bersama kakitangan Khadijah'S Kitchen.
SUARA lantang yang sedikit serak-serak basah milik wanita ini memang bisa menggegar sanubari. Kelebihan itu menjadikan Datuk Khadijah Ibrahim antara penyanyi wanita yang kekal popular pada kelasnya yang tersendiri.
Kehebatan wanita berusia 54 tahun ini bukan sekadar pada suara bahkan pada air Ă¢€˜tanganĂ¢€™nya juga.
Ramai yang sedia maklum Khadijah memang mempunyai air tangan yang istimewa dan bakat tersebut telah diserlahkan menerusi restorannya yang diberi nama Khadijah's Kitchen.
Selepas lima tahun beroperasi di Petaling Jaya (PJ), Selangor, Khadijah kini meluaskan sayapnya dengan membuka cawangan kedua di PV 128, Danau Kota, Setapak.
Dekorasi menarik dengan latar belakang cat merah hati memang menzahirkan satu suasana tenang sambil menikmati menu istimewa Khadijah sendiri.
"Beza antara Khadijah's Kitchen di PJ dengan yang di Setapak ini, kami di sini mempunyai lebih ramai pelanggan di waktu malam.
"Alhamdulillah walau baru tiga bulan dibuka kami telah mempunyai pelanggan di kalangan jiran tetangga di sini dan masing-masing mempunyai masakan kegemaran mereka.
"Menu mesti cuba di sini tentulah tauhu telur, kalau tak cuba memang tak sah, " jelas Khadijah.
Bukan setakat menunya yang istimewa dan sedap, namun yang paling menarik ialah kesemua masakan telah disediakan sendiri oleh penyanyi ini.
Bahagian dalam restoran yang selesa dengan dekorasi yang cantik juga memberikan keselesaan kepada para pengunjung.
Memartabat masakan Melayu
Khadijah mengakui, fokus beliau adalah pada masakan Melayu semata-mata bagi memartabatkan resepi tradisi nenek moyang terdahulu.
"Di Malaysia tiap-tiap negeri mempunyai keunikan masakan yang tersendiri. Di Khadijah'€™s Kitchen selain lauk pauk, kami menyediakan hidangan istimewa identiti setiap negeri seperti laksa Johor, laksa Kelantan, laksa Terengganu dan mi rebus yang diletakkan bawah kategori makanan segera, " jelas beliau yang mengusahakan restoran bersama anak dan menantunya.
Selain tauhu telur, pelanggan juga tidak harus melepaskan peluang mencuba menu, istimewa asam pedas ala tomyam dan sup tulang kambing yang dimakan bersama roti Perancis.
Menurut Khadijah, selain menawarkan menu seperti yang ada di restoran Petaling Jaya, beliau turut membuat hidangan ala-carte dan menu set untuk pelanggan yang mengejar masa.
Tambahnya lagi, di cawangan ini juga terdapat lebih daripada 20 jenis resipi dan Khadijah'€™s Kitchen juga menyediakan perkhidmatan katering sekali dengan penghantaran.
"Apa yang lebih menarik di restoran ini juga disediakan ruang khas untuk penganjuran majlis seperti perjumpaan keluarga, majlis cukur jambul, majlis hari jadi dan sebagainya yang boleh menempatkan kira-kira 400 tetamu pada satu masa, " katanya sambil memberitahu pakej hi-tea bermula daripada RM35 dan bufet padadari RM49 seorang.
Paling penting katanya, makanan yang disediakan di Khadijah'€™s Kitchen adalah dari hati nya.
"Jika tidak mencapai apa yang dijangka pelanggan saya mohon maaf, saya tidaklah boleh menjadi seorang yang sempurna tapi mahu beri yang terbaik pada pelanggan, " ujarnya menutup bicara.

STIMBOT JAZZ HOUSE-KG. BARU KL


Jaja (kanan) dan Zulhelmi menunjukkan hidangan stimbot yang boleh dipilih.
MAHU mencuba stimbot? Apa kata ke Jazz House berhampiran Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur dan makan sampai kenyang.
Pelanggan boleh mencuba kelainan dengan memilih lebih 80 hidangan stimbot gaya kampung dengan pilihan kuah asam rebus, sup ayam dan tomyam dengan hanya RM25 saja.
Selain itu hidangan seperti ketam, sotong, pepahat, lala, bebola ikan, pilihan sayur-sayuran serta pelbagai jenis mi juga antara pilihan yang boleh dinikmati.
Bagi yang tidak kenyang dengan stimbot, pelanggan boleh menceduk menu nasi yang ditukar setiap hari dengan pilihan antar12 hingga 15 jenis lauk.
Menurut pemiliknya Huraizah Ahmad Bustimi atau lebih mesra dipanggil Jaja, setiap hari mereka akan menukar menu nasi sama ada nasi putih, nasi lemak, nasi beriani atau nasi minyak.
“Selain itu pelanggan boleh memilih antara empat hingga enam pencuci mulut dengan pilihan air panas dan sejuk," katanya yang menjalankan perniagaan bersama-sama adiknya Zulhelmi.
Jazz House yang dibuka pada 11 Julai 2013 lalu kini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
Menurut Jaja, hampir setiap minggu ada saja majlis yang diadakan di Jazz House sama ada majlis bertunang, hari jadi, korporat atau kursus.
“Setiap hujung minggu, terdapat pihak yang mengadakan kursus jahitan manik di sini," katanya yang mengambil tempahan katering, barbeku dan majlis perkahwinan.
Jaja menambah, sempena menyambut tahun baru 2014, pihaknya sedang merancang menambahkan menu stimbot gril ala kampung.
Restoran berkonsepkan rumah santai ini juga turut menyediakan bilik VIP, bilik keluarga dan bilik solat bagi memudahkan pelanggan.

Wednesday, January 1, 2014

SELAMAT DATANG 2014


SELAMAT datang 2014, selamat berlalu 2013. Banyak suka duka dilalui sepanjang tahun lalu. Hari demi hari, minggu bertemu minggu, bulan berganti bulan, sedar atau tidak, tirai 2013 sudahpun berlabuh empat hari yang lalu.
Apa yang tinggal adalah perkara yang baik sewajarnya kita jadikan pedoman, yang buruk kita bina sempadan. Kita putar kembali hari pertama pada tahun 2013. 1 Januari 2013 jatuh pada hari Selasa. Semangat berkobar kita menanam azam. Kita merancang sebaik mungkin perjalanan sepanjang menjalani kehidupan selama 365 hari pada tahun lalu. Banyak impian dan cita-cita yang hendak dicapai.
Banyak juga harapan dan impian yang kita semai sepanjang mengharungi tahun tersebut. Ada yang berhasrat untuk memiliki kereta besar dan rumah besar. Ada yang ingin mengembalikan bentuk badan yang ramping. Ada yang menyimpan niat untuk ke tanah suci Mekah.

Bermacam-macam azam kita dengar kala menjelang tahun baru pada setiap tahun. Di saat-saat akhir sebelum 2013 berlalu, kita audit dan semak semula perkara yang sudah dilaksanakan dan yang masih belum diselesaikan.
Adakah azam 2013 yang masih belum tercapai adalah azam tahun-tahun sebelum ini?. Sekiranya sudah berjaya dan terlaksana, kita ingatkan diri kita betapa berat dan kuatnya usaha kita untuk mencapai azam tersebut. Jikalau masih belum sempurna dan terlaksana, kita semak di mana yang kurang dan silapnya.
Ada kala azam yang lama masih boleh diteruskan walaupun tahun sudah berubah angka. Ingat, tiada sempadan dalam melakukan perkara yang baik, tambahan pula dalam usaha memajukan diri sendiri.
Segelintir orang menganggap perihal azam tahun baru ini perkara lapuk dan tidak memberi impak. Namun daripada sudut pandangan positif, azam tersebut mampu memberi inspirasi dan kekuatan untuk seseorang melaksanakan sesuatu perkara.
Buat yang kuat berazam, teruskan usaha ini. Tidak menjadi satu kesalahan untuk menyimpan azam. Jangan mudah berputus asa dengan kritikan-kritikan daripada rakan mahupun teman maya. Usaha dan keluar dari kotak. Kita perlu luaskan dan anjak pemikiran kita.
Selamat menanam azam untuk tahun baru 2014 dan selamat memperkasakan azam yang setiap tahun kita impikan menjadi realiti. Semoga tahun 2014 memberi sinar cahaya dan kejayaan yang cemerlang untuk seluruh rakyat Malaysia.