BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, January 22, 2014

NAIK TARAF TAMBAK PONTIAN

Pesisiran pantai perlu dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan seperti pemasangan lampu, tempat istirehat 
dan laluan berjogging bagi keselesaan pengunjung di Pusat Perdagangan Pontian, Pontian.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju projek Pusat Perdagangan Pontian perlu menaik taraf kemudahan di kawasan pesisiran pantai bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung.
Apa yang dimaksudkan adalah dengan memasang lampu limpah dan menyediakan tempat rehat di kawasan tersebut bagi memudahkan orang ramai berehat bersama keluarga terutama pada hujung minggu.
Walaupun ada beberapa wakaf atau pondok rehat di kawasan tersebut, kemudahan ini masih perlu ditambah memandangkan ramai pengunjung menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat berkelah bersama ahli keluarga.
Sekiranya usaha menambah kemudahan dapat ditingkatkan, ini akan menjadikan pesisiran pantai di Pusat Perdagangan Pontian menjadi satu lokasi yang menarik serta menjadi tumpuan lebih ramai pengunjung.
Oleh yang demikian, penduduk bandar Pontian berharap pihak yang berkenaan memberikan tumpuan kepada bagi menambah baik kemudahan sedia ada seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2014.
Bagi penduduk Pontian, Pusat Perdagangan Pontian atau lebih dikenali sebagai 'Tambak' boleh disifatkan sebagai 'Danga Bay' yang menjadi tumpuan ramai terutama pada waktu malam dengan pelbagai kegiatan perniagaan yang dijalankan di kawasan berkenaan.
Kawasan pesisiran pantai di kawasan itu juga menjadi lokasi tumpuan bagi aktiviti berjoging pada waktu pagi dan petang, dan saya cadangkan laluan yang sesuai seperti mana terdapat di Stadium Mini Pontian turut dibina di kawasan tersebut.
Di samping itu, PBT dan pemaju juga boleh mengadakan perbincangan bagi menyediakan tapak perniagaan khusus bagi mereka yang menggunakan kenderaan seperti van supaya lebih teratur dan tersusun.

Sunday, January 19, 2014

HARGA KERETA DIRAMAL TURUN 30%

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Harga kenderaan di Malaysia dijangka akan diturunkan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh lima tahun ini, dengan unjuran pengurangan antara 20 peratus hingga 30 peratus pada akhir tahun 2018.
Utusan Malaysia difahamkan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menyediakan kerangka kerja Penurunan Harga Kereta (CPR) yang mengandungi pelbagai langkah bermula 2013 hingga 2018, dan faktor sebenar ialah liberalisasi industri automotif tempatan.
Butir-butir lengkap mengenai perkara ini dijangka diumumkan esok oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang akan memperincikan Dasar Automotif Negara (DAN) yang sekian lama ditunggu-tunggu.
Menurut sumber, kerajaan dijangka merasionalisasikan struktur cukai pada 2018, selain pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada tahun hadapan akan menurunkan lagi harga kereta.
Kerajaan ujarnya lagi, telah melaksanakan inisiatif untuk mengurangkan kadar duti eksais sebagaimana terkandung dalam Program Pautan Perindustrian (ILP).
''Selain itu, peserta industri automotif akan memainkan peranan penting dalam menjadikan operasi mereka lebih berdaya saing menerusi langkah-langkah pemotongan kos dan penambahbaikan kualiti.
''Liberalisasi industri automotif ini akan mewujudkan persekitaran yang lebih berdaya saing dan akan membolehkan lebih banyak kuasa pasaran menentukan harga yang lebih kompetitif," katanya di sini hari ini.
Sebilangan kecil syarikat kereta telah menurunkan harga beberapa model mereka bermula tahun lalu, misalnya Honda Jazz yang dulunya berharga RM89,900 telah menyaksikan penurunan 17 peratus menjadi RM74,800 dan Proton FLX dari RM41,811 menjadi RM36,888 (Proton SV) iaitu turun 12 peratus.
Sumber tersebut berkata, selain memastikan wujud pelan tindak yang menyeluruh bagi memacu industri automotif negara menerusi dasar tersebut, langkah penurunan harga kereta tersebut juga sejajar dengan manifesto pilihan raya Barisan Nasional pada tahun lalu.
''Tidak seperti pakatan pembangkang yang sesuka hati mahu menurunkan harga, kerajaan BN telah mendapatkan input daripada peserta industri dan sama-sama bersepakat bahawa penurunan 20 hingga 30 peratus itu boleh dikotakan, praktikal dan munasabah," jelasnya.
Mengenai hala tuju syarikat-syarikat Bumiputera dalam dasar automotif negara, pegawai tersebut berkata, MITI memberi penekanan khusus dalam aspek ini.
''Kerajaan dijangka mengumumkan penyediaan dana bagi membantu syarikat Bumiputera membina daya saing dalam bidang teknologi, rantaian pembekalan dan pembangunan modal insan sekali gus menembusi industri automotif antarabangsa," ujarnya.

Saturday, January 18, 2014

TRANSFORMASI JB

  • Transformasi JB beri manfaatMd Jais Sarday ketika Majlis Perasmian Creative Fest 2014 di Danga Bay, di sini.
 1 / 1 
JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri menggariskan tiga langkah utama bagi menjayakan penjenamaan semua Johor Bahru ke arah bandar raya lebih ‘vibrant’ dan ‘liveable city’.

Tiga langkah berkenaan adalah membuka peluang ekonomi baharu kepada semua lapisan masyarakat, meningkatkan kualiti alam sekitar dan mempromosikan identiti setempat dengan mengoptimumkan aset sedia ada di bandar raya ini dari segi tinggalan warisan dan budaya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebanyak RM260 juta diperuntukkan Kerajaan Pusat untuk melaksanakan kerja-kerja berkaitan di beberapa fasa utama pelaksanaan projek prasarana program transformasi itu.

“Objektif utama program transformasi Johor Bahru adalah menyediakan ekosistem ekonomi lengkap selain merubah wajah bandar raya ini kepada sebuah bandar raya mampan melalui aktiviti komersial, menggalakkan aktiviti perniagaan kecil dan sederhana serta pembangunan budaya.

“Usahawan di bandar raya ini akan menerima impak langsung daripada pelaksanaan program sekali gus ke arah peningkatan ekonomi selari pembukaan peluang perniagaan baru yang lebih inovatif bagi menghidupkan lagi suasana Johor Bahru,” katanya, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md Jais Sarday ketika Majlis Perasmian Creative Fest 2014 di Danga Bay, di sini.

Mohamed Khaled berkata, bagi memastikan ekosistem perniagaan bersifat dinamik dan berdaya saing, kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor, Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor dan
Perbadanan Usahawan Negeri Johor bekerjasama merancang pelbagai aktiviti antaranya seminar keusahawanan serta bengkel perniagaan.

“Kesannya, kita dapat melihat ekosistem perniagaan di bandar raya ini semakin meningkat iaitu sebanyak 20.8 peratus bagi perniagaan baru.

“Tambahan pula, berdasarkan statistik daripada Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC), sebanyak 1,710 perniagaan baru didaftarkan sehingga Februari tahun lalu berbanding 1,696 pada tahun 2012,” katanya.

Sementara itu, beliau menyifatkan Creative Fest 2014 sebagai platform terbaik usahawan Johor merebut peluang memperkenalkan produk serta jenama masing-masing selain meningkatkan imej perniagaan melalui Seminar Outreach Usahawan sepanjang dua hari program berkenaan berlangsung.

MENTARANG BAKAR SEKINCHAN


PENGGEMAR makanan laut pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati keunikan rasa mentarang bakar yang banyak terdapat di gerai-gerai tepi jalan di sekitar Kampung Sungai Leman, Sekinchan, Sabak Bernam, Selangor.
Antara yang menjadi tumpuan adalah gerai Faridah Mentarang Bakar yang sering dikunjungi penggemar makanan laut itu.
Pemiliknya, Sazali Zainal, 54, berkata, rata-rata pelanggan yang berkunjung ke gerainya bukan sahaja daripada kalangan penduduk sekitar, malahan ada yang datang dari Lembah Klang.
Menurutnya, kemudahan yang disediakan di gerai miliknya menjadi faktor utama pelanggan kerap berkunjung ke situ seperti ruang makan menarik, tempat letak kereta percuma dan hidangan istimewa berasaskan mentarang.
"Pelanggan boleh memilih untuk menikmati makanan yang disaji sama ada secara bersila di pondok atau duduk di meja makan yang disediakan di pinggir tali air dalam suasana kampung yang sangat menarik," katanya.
Keistimewaan lain yang terdapat di situ adalah pelanggan boleh membeli mentarang segar untuk dibawa pulang pada harga berpatutan.
"Ada di antara pelanggan membeli mentarang pada harga RM10 sekilogram untuk dibawa pulang," kata Sazali.
Dia yang membuka gerainya bermula dari pukul 10 pagi hingga 7 malam setiap hari kecuali Jumaat berkata, keunikan rasa mentarang bakar semakin digilai penggemar makanan laut sehinggakan dia mendapat tempahan dari luar Selangor.
"Mungkin sebelum ini mentarang bakar tidak dikenali tetapi selepas hasil laut ini dikomersialkan, ia terus menjadi makanan yang digemari," ujarnya.
Menurutnya, pada hari-hari biasa, dia mampu menjual kira-kira 50 kilogram tetapi hujung minggu mampu mencecah 100 kilogram.
Di gerainya juga terdapat air kelapa segar dari jenis kelapa pandan dan kelapa gading yang amat digemari para pelanggan.
Gerai mentarang bakar miliknya merupakan yang pertama dibuka di daerah itu sejak empat tahun lalu dan menjadi pelopor sebelum diikuti oleh beberapa peniaga lain.
"Harapan saya adalah kawasan Sekinchan dapat menjadi tumpuan penggemar makanan laut khususnya mentarang dan besar lagi harapan saya agar makanan ini dapat dikomersialkan secara lebih meluas, sekali gus menjadi tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara," katanya.

BOB REPUBLIC BURGER BAKAR-SUBANG JAYA














MOHD. NAJIB membakar The Killer Rib selama tiga jam bagi menghasilkan tekstur daging yang lembut.

GERAI Bob Republic Burger Bakar di Subang Jaya, Selangor terkenal dengan hidangan menu burger bakar yang diolah mengikut cita rasa tempatan.
Gerai berusia tiga tahun yang terletak di Jalan USJ 9/3E itu juga dikenali dengan pembaharuan sajian yang ditawarkan kepada pelanggan. Menu terbaharunya merupakan tulang rusuk bakar yang diberi nama The Killer Rib.
Hidangan istimewa itu merupakan tulang rusuk lembu atau kambing yang diperap dengan herba oregano dan thyme sebelum dibakar di atas api kecil selama tiga jam. Ia dihidangkan bersama sos campuran Picco de gallo dan nachos.
Seorang pelanggan setia, Azimah Yacob, 32, yang menetap di Selayang, Selangor berkata, gerai berkenaan merupakan lokasi wajib yang akan dikunjunginya hampir setiap hujung minggu.
"Antara sebab saya gemar datang ke sini ialah hidangan rusuk bakar yang sedap dan lembut yang ditawarkan pada harga yang sangat berpatutan.
"Saya dapati pemiliknya juga sering melakukan pembaharuan menu bagi menarik pelanggan," katanya ketika ditemui Kosmo! di gerai berkenaan.
Selain burger dan tulang rusuk bakar, gerai yang menawarkan 15 jenis hidangan itu juga terkenal dengan sajian Barat seperti quessadillas dan fajita wrap iaitu gabungan daging bakar dan roti tortilla bersama sos salsa dan krim masam.
Tanpa MSG
Bagi penduduk Subang Jaya, Zahari Zainal, 32, dia sangat menggemari burger bakar dan fajitas wrap di gerai tersebut kerana kelazatan hidangan berkenaan. Bahkan, dia juga diyakini bahawa sajian-sajian yang ditawarkan tidak menggunakan bahan perasa tambahan seperti monosodium glutamate (MSG).




















KEENAKAN The Killer Rib menjadi taruhan terbaharu di gerai Bob Republic Burger.

"Saya merupakan peminat burger bakar. Malah sudah banyak gerai burger yang saya cuba. Namun, setiap kali saya memakan burger yang disediakan, saya terasa dahaga dan keadaan ini dipercayai kerana pengusaha gerai-gerai terlibat menggunakan bahan perasa tambahan.
"Namun, saya tidak mengaalmi pengalaman itu apabila menikmati hidangan di gerai Bob Republic Burger," katanya yang mengunjungi gerai tersebut sebanyak tiga kali seminggu.
Pemilik gerai, Mohd. Najib Muhammad Helme atau lebih dikenali sebagai Bob, 33, berkata, kepuasan pelanggan merupakan keutamaan perniagaannya.
"Sehubungan itu, kualiti makanan amat dititikberatkan kerana kami percaya sokongan pelanggan merupakan tunjang perniagaan ini," katanya yang berpengalaman menjadi tukang masak di beberapa buah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
Menurut Bob, segala peringkat penyediaan makanan diteliti. Ini termasuk aspek rasa setiap hidangan, penggunaan ramuan halal dan penjagaan kebersihan dapur dan gerai.
Menurutnya, para pelanggan Bob Republic Burger kebanyakannya terdiri daripada penuntut di institusi-institusi pengajian tinggi dan penduduk sekitar yang ingin menikmati hidangan lazat seperti di sebuah restoran lima bintang, namun dalam keadaan santai.
"Saya percaya antara sebab utama mereka ke gerai ini bukan sahaja disebabkan rasa dan kepelbagaian hidangan tetapi harga yang berpatutan.
"Hidangan kami disediakan pada harga serendah RM8 untuk hidangan burger bakar dan RM18 bagi The Killer Rib," katanya sambil memaklumkan gerai tersebut boleh menempatkan kira-kira 50 orang pelanggan pada satu-satu masa.
Di samping itu, Bob menambah, pihaknya juga menerima tempahan awal bagi mereka yang berada jauh dari kawasan Subang Jaya.

GOURMET HOT DOG CAFE

Muzaffar Naeem dan adiknya, Mukarram (tiga dan empat dari kiri) bersama kakitangan Gourmet Hot Dog Cafe .

WALAU pelbagai jenis makanan dari seluruh dunia boleh didapati di Malaysia, pilihan untuk peminat hot dog di negara ini masih belum mencukupi.
Hot dog makanan yang begitu terkenal di Amerika Syarikat memang mempunyai keistimewaan tersendiri apatah lagi apabila dinikmati dalam suasana kafe yang sungguh santai dan selesa.
Gaya hidup penduduk kota yang sentiasa mengejar masa, membuatkan makanan ringkas namun mengenyangkan seperti hot dog inimenjadi semakin tinggi permintaannya.
Idea tersebut direalisasikan oleh dua beradik, Muzaffar Naeem, 33 dan Mukarram, 28, yang berasal dari Kepulauan Maldives.
Mereka berdua mengambil risiko melabur di negara ini untuk perniagaan makanan yang berkonsepkan ‘makanan jalanan dalam suasana kafe’, malah Gourmet Hot Dog Cafe boleh dikatakan kafe hot dog pertama di Kuala Lumpur yang mempertaruhkan konsep sedemikian.
"Awalnya kami sekeluarga melawat Malaysia pada tahun 1999 dan mula jatuh hati dengan keindahan negara ini.
Kemudian Mukarram melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur dan selepas tamat belajar, kami mengambil risiko membuka sebuah kafe yang dinamakan Gourmet Hot Dog Cafe pada September 2013," ujar Muzaffar yang ditemui di premis perniagaannya baru-baru ini.
Kata Muzaffar, peminat hot dog harus mencuba di kafenya kerana menggunakan bahan-bahan segar, malah roti, sosej dan daging hot dog dihasilkan sendiri oleh ketua chef, Chef Saiful Bahri Kamaruddin tanpa menggunakan bahan pengawet.
"Sosej kami memang melebihkan daging daripada bahan perisa, 90 peratus dari kandungan sosej kami ialah daging. Daging lembu kami diimport halal dari Australia manakala daging kambing pula halal dari New Zealand.
"Kafe ini juga sedang dalam proses mendapatkan kelulusan halal dari Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia_ sedikit masa lagi.
"Semua set ditawarkan di sini adalah dari idea kami bersama dengan Chef Saiful Bahri sendiri," katanya yang mahu memperkenalkan cita rasa hot dog asli Amerika di kalangan penduduk tempatan.
Kafe tersebut juga menyediakan hot dog khas untuk mereka yang mengamalkan pemakanan sayuran atau vegetarian. Antara set yang harus dicuba pelanggan ialah The Socal yang diinspirasikan daripada hot dog di California dan TheNYC yang diinspirasikan dari New York.
"Selepas lebih 100 hari beroperasi, kami mendapat maklum balas positif daripada pelanggan yang mahukan tambahan nasi untuk selera tempatan. Sebelum ini selain hot dog kami turut menyediakan pasta dan smoothies untuk mempelbagaikan pilihan," kata Mukarram pula.
Lebih membanggakan pasangan dua beradik ini ialah apabila premis mereka dikunjungi oleh Pengasas Cafe 1901, Ahmad Zakir Jaafar, yang turut memberikan ucapan tahniah dan penghargaan kepada usaha mereka mempelbagaikan pilihan untuk peminat hot dog di negara ini.
"Saya mahu pelanggan menikmati hot dog dalam suasana selesa dengan sekorasi yang diilhamkan oleh pereka hiasan dalaman dari United Kingdom. Ini pasti memberikan pelanggan satu pengalaman berbeza.
"Selain itu kami turut memberikan wifi percuma dan diskaun bagi pelajar sebanyak 10 peratus serta 30 peratus untuk mereka yang datang secara berkumpulan.
"Lebih menarik kami turut menganjurkan satu cabutan bertuah, di mana apabila pelanggan berbelanja dalam nilai minimum RM50 mereka berpeluang mengisi satu borang pertandingan untuk melayakkan mereka mendapatkan percutian hebat di Kepulauan Maldives seramai dua orang. Hadiah ini merangkumi tiket kapal terbang dan penginapan di sana selama lima malam. Pertandingan berakhir 31 Mac ini," kata Mukarram.

Monday, January 13, 2014

PELUANG BELI KAMBING AQIQAH RM 1

Osman Cheya Kutty menunjukkan replika wang RM1 sebagai simbolik mengenai tawaran pakej 
RM1 program Aqiqah Perdana kepada bayi dilahirkan pada tarikh yang sama dengan sambutan
 Maulidur Rasul, pada sidang akhbar di Kangkar Tebrau, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 12 Jan. - Ibu bapa kepada bayi yang dilahirkan di hospital kerajaan di negeri ini pada sambutan Maulidur Rasul Selasa ini layak membeli seekor kambing dengan harga RM1 bagi tujuan ibadat aqiqah.
Program kali kedua anjuran Osman Goat Farm itu menyasarkan lebih ramai pembeli dan pada tahun ini kira-kira 900 ekor kambing dari baka 'feral' dan 'boer' disediakan untuk tujuan tersebut.
Pengarah Urusan Osman Goat Farm, Osman Cheya Kutty berkata, program Aqiqah Perdana ini bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan menunaikan ibadat aqiqah sempena memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
"Program ini adalah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat untuk membantu meringankan beban ibu bapa yang ingin melakukan ibadah berkenaan.
"Program ini juga merupakan salah satu cara kami mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang menyokong perniagaan kami selama ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Osman menawarkan kambing dengan harga RM1 kepada pasangan yang mengemukakan sijil kelahiran anak di pejabatnya di Nombor 38, Jalan Enau, Kangkar Tebrau bermula 14 hingga 18 Januari ini.
Beliau berharap pasangan yang dikurniakan bayi pada Selasa ini tidak melepaskan peluang merebut tawaran berkenaan kerana harga sebenar seekor kambing antara RM850 dan RM900 bergantung kepada berat dan jenis.
"Kami juga menawarkan harga istimewa kepada pelanggan yang ingin mengadakan majlis di masjid atau surau iaitu RM650 seekor dalam tempoh dua bulan bermula 14 Januari ini.
"Wakil masjid atau surau hanya perlu membawa surat pengesahan daripada pengurusan masjid ketika berurusan di pejabat kami," katanya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Osman Goat Farm di talian 019-7563000 dan 07-3554200 atau melayari laman web www.osmangoatfarm.com serta Facebook https://www.facebook.com/osmangoat.farm.