BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, February 15, 2014

PISANG GORENG MAWAR CAFE-JALAN SG. CHAT, JB


PISANG goreng boleh dianggap sebagai salah satu kudapan 'wajib' dan menjadi identiti rakyat Johor. Ini kerana boleh dikatakan di setiap taman perumahan atau pekan kecil, wujud gerai-gerai menjual pisang goreng yang disajikan dengan sambal kicap.
Di sebalik kewujudan pelbagai gerai tersebut, salah satu 'port' goreng pisang yang terkenal di bandar raya Johor Bahru dan menjadi tarikan pelancong adalah Mawar Cafe di Jalan Sungai Chat, berhampiran Hotel Thistle dan menghadap Pantai Lido.
Gerai pisang goreng yang terletak berhampiran bangunan Majlis Wanita Johor (Mawar) itu juga mempunyai tarikan tersendiri iaitu menjual pelbagai jenis pisang yang menjadi teras perniagaannya.
Pengusaha Mawar Cafe, Kamisah Ali, 52, berkata, antara jenis pisang yang digunakan untuk membuat pisang goreng di kafenya adalah pisang nipah, tanduk, nangka dan paling eksklusif adalah pisang raja.
"Pisang goreng Mawar Cafe sering menjadi tarikan kerana dihasilkan daripada jenis pisang bermutu dan ramuan bancuhan tepung yang diadun dan direka sendiri. Maknanya, mutu pisang dan bancuhan tepung memang kami pastikan yang terbaik.
"Bagi memastikan bekalan pisang tanduk dan nipah tidak terputus, kami telah pajak dengan pembekal dari Perak, manakala pisang raja dari Pontian," katanya yang telah mengusahakan perniagaan itu kira-kira 11 tahun lalu.
Dia yang dibantu oleh anaknya, Noraznia Rasid, 23, berkata, gerai berkenaan turut dikendalikan oleh lima pekerjanya dan dibuka mulai pukul 11 pagi hingga 6.30 petang dan hari yang paling ramai pelanggan adalah pada hujung minggu.
Kamisah berkata, gerainya menepati ciri-ciri Gagasan 1Malaysia kerana dikunjungi semua kaum yang mana pelanggan Melayu, Cina dan India boleh duduk semeja semata-mata untuk menikmati pisang goreng yang merupakan salah satu juadah warisan masyarakat negeri ini.
"Seperkara lagi yang saya ingin kongsikan tentang perniagaan ini, pisang goreng kami sering menjadi salah satu menu utama minum petang kerabat diraja Johor dan yang menjadi kemestian adalah pisang raja, selain nipah dan tanduk," katanya.
Selain pisang goreng, pihaknya juga menjual kuih-muih tradisional dan moden, nasi lemak, pelbagai jenis mi dan roti berlauk yang turut menjadi tarikan pengunjung ke situ.
Lebih mengujakan Mawar Cafe popular dalam kalangan orang kenamaan, para pemimpin negeri dan negara serta artis popular termasuk Mawi, Chef Wan, Erra Fazira, Amy Search dan Datuk Khadijah Ibrahim.
Kamisah memberitahu, berikutan permintaan tinggi daripada warga Singapura, pihaknya telah membuka sebuah gerai di republik itu dua tahun lalu yang dikendalikan oleh suaminya, Rasid Abdul Ghani, 56.

YEOB BAY RESORT & HOTEL TELUK SENANGIN, LUMUT PERAK

PETUGAS Yeob Bay Hotel & Resort, Lumut, Perak sedia membantu tetamu pada bila-bila masa.

BAGI anda yang mengimpikan sebuah percutian begitu mendamaikan iaitu jauh daripada hiruk-pikuk bandar, menginap di Yeob Bay Hotel & Resort mungkin patut berada dalam senarai perancangan anda.
Terletak di tepi pesisir pantai Teluk Senangin, kira-kira 20 kilometer dari Lumut Perak, yang masih tidak terusik dengan skala pembangunan besar, kedudukannya menghadap Pulau Pangkor turut menjanjikan pemandangan menarik saujana mata memandang.
Menikmati deruan ombak dan hembusan angin pantai akan lebih bermakna jika anda turut menikmati kemudahan barbeku pada waktu malam yang ditawarkan oleh pihak hotel di ruang kafe terbuka dengan hanya RM30 seorang.
Restorannya yang dibuka dari pukul 7 pagi sehingga 10 malam pula menawarkan menu masakan Melayu dan Barat seperti nasi goreng kampung dan cina, mi goreng, kueh teow goreng, chicken chop, fish and chip, lamb chop dan kentang goreng.
Yeob Bay Hotel & Resort yang pada asasnya dibuka oleh pemilik sebuah syarikat katering iaitu Yeob Catering berpusat di Ampang, Kuala Lumpur turut menyajikan minuman seperti capuccino, coklat panas, ice-blended mocha dan blue lagoon soda di restorannya.
Pengurus Operasi Yeob Bay Hotel & Resort, Mohd. Taufiq Mohd. Salleh berkata, hotel berkenaan yang 100 peratus dimiliki oleh bumiputera itu mempunyai 50 buah bilik dan boleh memuatkan sehingga 110 orang pengunjung.
Beliau berkata, terdapat empat jenis bilik yang disediakan iaitu jenis standard (dua katil single) dan joint room (empat katil single) yang menawarkan pemandangan pantai serta deluxe (satu katil bersaiz queen) dan superior (dua katil bersaiz queen) yang menghadap bukit.
"Setiap bilik berkonsepkan moden dilengkapi dengan bilik air, pendingin hawa, televisyen berskrin LCD dengan saluran Astro, namun tidak mempunyai almari.
"Hotel tiga tingkat ini juga mempunyai surau dan kemudahan tempat makan untuk tetamu khas (VIP) yang boleh memuatkan sehingga 60 orang," katanya.
Mohd. Taufiq berkata, pihaknya kini giat mempromosi Yeob Bay Hotel & Resort sebagai destinasi seminar, sesuai untuk golongan korporat dan kerajaan.
Beliau berkata, terdapat empat pakej seminar yang ditawarkan untuk kehadiran maksimum 100 orang, sama ada secara bermalam mahupun tidak bermalam, pada kadar yang cukup berpatutan beserta sarapan dan makan tengah hari.
"Kami mempunyai dewan seminar yang dilengkapi dengan projektor LCD, papan putih, sistem audio. Kudapan seperti gula-gula dan air mineral serta peralatan alat tulis iaitu pensel dan kertas turut disediakan secara percuma.
"Antara agensi kerajaan yang pernah memilih hotel kami termasuklah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak," katanya.
Waktu operasi hotel hanya dari pukul 7 pagi sehingga 11 malam dan penggunaan alkohol tidak dibenarkan di situ.
Yeob Bay Hotel & Resort yang mula beroperasi sekitar Jun tahun lalu, telah didaftarkan di bawah Persatuan Hotel Malaysia (MAH).
Bagi mereka yang berminat untuk membuat tempahan mahupun mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi talian 05-6880207 atau 013-2670767.

BEKAM MUKA REDAKAN SAKIT KEPALA

Bekam muka juga mampu mengeluarkan darah kotor sekali gus
 mengurangkan kesakitan kepala yang dialami.

SAKIT kepala atau migrain, situasi yang mungkin berpunca daripada faktor pemakanan, keturunan atau gaya hidup, yang muncul sekali-sekala dan jarang berlarutan pada jangka masa yang lama.
Begitupun, sakit kepala yang berlarutan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ada kalanya ia boleh memudaratkan diri dan menjadi lebih teruk.
Selain pengambilan ubat tahan sakit, pil serta minyak angin, ramai yang tidak mengetahui dengan melakukan bekam mampu mengurangkan sakit kepala secara beransur-ansur.
Bekam yang lazimnya dilakukan di bahagian belakang badan untuk mengeluarkan darah kotor secara tidak langsung adalah bertujuan untuk melancarkan peredaran darah di dalam badan dan begitu juga dengan bekam yang dilakukan di kepala.
Namun begitu, cara bekam yang dilakukan untuk mengurangkan sakit kepala selain di bahagian kepala adalah di bahagian muka.
Menurut pengusaha Spa De’Ara Beauty, Norliana Mat Damuri, 30, tidak dinafikan pelbagai persoalan bermain di fikiran apabila bercakap mengenai bekam ini, seperti yang diketahui, kaedah bekam badan sahaja akan meninggalkan kesan inikan pula berbekam di bahagian muka.
Tambahnya, perkhidmatan bekam di bahagian muka ditawarkan di spanya itu sejak 17 tahun lalu dan merupakan antara perkhidmatan yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan para pelanggannya.
“Sebenarnya rawatan bekam ini tidak ramai yang mahu lakukan kerana akan meninggalkan kesan parut berminggu-minggu (mengikut kondisi individu tersebut) tetapi selain dapat melancarkan peredaran darah serta membuang darah kotor, berbekam bagus untuk mereka yang mempunyai masalah migrain, resdung, dan sakit kepala.
“Keunikan bekam ini (di bahagian muka) ialah selain dapat mengurangkan segala kesakitan yang dialami, boleh juga menyembuhkan penyakit tersebut tetapi proses ini akan mengambil masa.
“Yang pasti segala-galanya bergantung kepada keadaaan serta situasi individu itu sendiri," katanya ketika ditemui di premis perniagaannya yang juga merupakan kediamannya di No. 4B, Blok 3, Flat PKNS, Seksyen 16, Shah Alam, Selangor.
Mengakui mewarisi perniagaan tersebut daripada ibunya, Norliana memberitahu dia mula membantu ibunya menguruskan perniagaan spa tersebut sejak berusia 16 tahun.
Tidak hanya sekadar menjadi pembantu, malah Norliana turut diperturunkan ilmu cara-cara untuk mengurut serta melakukan pelbagai lagi perkhidmatan yang diberikan di spanya itu seperti bertangas, sauna, urutan muka, urutan selepas bersalin, dan banyak lagi.
Baru enam bulan mengambil alih sepenuhnya perniagaan tersebut daripada ibunya, Norliana menjelaskan dia hanya memberi perkhidmatan kepada kaum wanita sahaja kecuali bekam kerana akan dibantu oleh suaminya untuk pelanggan lelaki.
Apa yang istimewanya mengenai spa De’Ara Beauty ini ialah segala herba, minyak urut, set bersalin serta jamu yang digunakan adalah buatan sendiri dengan menggunakan herba-herba tempatan.
“Keistimewaan yang ditampilkan di sini ialah segala minyak serta jamu yang digunakan semasa proses mengurut dan sebagainya dihasilkan sendiri dengan menggunakan resipi asli dan juga herba-herba tempatan yang berkualiti.
“Jadi segala-galanya adalah semula jadi tanpa sebarang campuran bahan kimia dan Insya-Allah dengan izin-Nya, segala perkhidmatan yang diberikan mampu mengurangkan penyakit yang ada," ujarnya lagi.
Berbalik kepada rawatan bekam muka yang diberikan, Norliana menjelaskan sebelum melakukan proses bekam, pelanggan terlebih dulu akan melalui sesi urutan pada bahagian leher dan bahu ataupun satu badan bagi melancarkan peredaran darah.
Ini kerana katanya, toksin selalunya akan berkumpul di hujung kulit dan urutan itu bertujuan memudahkan toksin atau darah kotor dikeluarkan melalui proses bekam tadi.
Jumlah gelas bekam yang digunakan di beberapa bahagian muka seperti dagu, dahi dan pipi bergantung kepada keadaan fizikal dan tahap kesihatan seseorang pelanggan itu.
Norliana juga menegaskan, proses berbekam tersebut seelok-eloknya dilakukan dua kali sebulan bagi mendapatkan kesan lebih ketara.
Selain bagus untuk kesihatan, bekam muka ini juga dapat membantu menaikkan seri wajah selain dapat mengurangkan masalah jerawat dan masalah berdengkur.
Katanya lagi, pelanggan akan dikenakan bayaran RM5 untuk setiap cawan yang digunakan dan setiap rawatan yang diberikan hanya berdasarkan temu janji yang dibuat.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh kunjungi laman sosial Facebook liana de’ara online butik & spa.

Friday, February 14, 2014

MY BODYWORK PULIHKAN SARAF

MUHAMAD Bahagia Jemali menunjukkan teknik SMART yang dilakukan terhadap pelanggan di Taman 
Bukit Kempas, Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 13 Feb. - Rasa letih selepas seharian bekerja atau lenguh dan sengal-sengal otot sudah pasti 'menerbitkan' idea untuk sesiapa sahaja untuk ke spa atau pusat urutan baik ala Thai ataupun tradisional Melayu, malah sudah menjadi kebiasaan keadaan tersebut hilang selepas beberapa hari atau bertambah teruk.
Namun terdapat juga yang mengadu bahawa masalah mereka bertambah teruk dan perkara itu, menurut Muhamad Bahagia Jemali, 34, mempunyai penyelesaiannya kerana apa yang perlu dilakukan adalah membetulkan pergerakan seseorang sekali gus menghilangkan kesakitan.
Beliau yang mengasaskan My Bodywork dan berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang terapi urutan sukan (sport massage therapy) memberitahu, beliau adalah pengamal yang berdaftar di bawah Malaysia Society for Complementary Medicine (MSCM) yang menggunakan teknik Spinal Motion Alignment Restoration Technique (SMART).
"Kita membetulkan pergerakan dan otot supaya mengikut turutan sebenar dan semua teknik adalah berdasarkan pengetahuan anatomi dan fisiologi. Pergerakan manusia dan fungsi tubuh memerlukan keseimbangan kekuatan otot dan ketahanannya dengan otot yang terdapat di bahagian sendi.
"Namun ketidakseimbangan boleh berlaku apabila otot melakukan kerja yang berbeza akibat berada dalam keadaan lemah. Contohnya apabila kita mengangkat barang, sepatutnya otot bisep yang bekerja dan dibantu otot kecil yang lain namun sebaliknya berlaku apabila otot kecil yang dibantu bisep seterusnya menyebabkan berlakunya sengal, lenguh dan sakit," katanya ketika ditemui di sini.
Hal yang demikian, katanya, dapat dilihat pada bahagian lutut kerana kuadrisep dan hamstring bekerja pada arah yang berlawanan dan keadaan tidak seimbang antara kedua-dua otot tersebut akan memberi tekanan kepada sendi.
Secara umum, kata Muhamad Bahagia, ketidakseimbangan otot yang biasa berlaku adalah dari perbezaan ketahanan dan kekuatan otot bahagian sisi ke sisi iaitu kiri ke kanan atau sebaliknya dan depan ke belakang.
"Kebanyakan sindrom kesakitan pada otot skeletal adalah disebabkan perbezaan kekuatan otot di bahagian hadapan dan belakang badan atau ketidakseimbangan otot di sekeliling sendi berbanding perbezaan kekuatan otot sisi ke sisi.
"Ketidakseimbangan otot juga dikenal pasti berpunca daripada dua masalah utama iaitu punca biomekanik yang disebabkan pergerakan berulang pada satu arah atau postur tubuh yang sudah menjadi kebiasaan. Satu lagi punca adalah ketidakseimbangan saraf pada otot disebabkan kecenderungan kumpulan otot tertentu sama ada kuat atau lemah," katanya.
Keadaan ketidakseimbangan otot, katanya, sering berlaku bukan sahaja kepada atlet malah kepada orang yang sering bekerja menggunakan sebelah bahagian dominan contohnya duduk lama di bahagian hadapan komputer sehingga muncul simptom sakit di bahagian leher dan bahu yang kemudian mencetuskan sakit kepala.
Jelasnya, postur (pusat tengah graviti) telah berubah mengakibatkan otot sub-occipital, rectus capitus dan banyak lagi akan menjadi tegang dan juga boleh menyebabkan individu tersebut mengalami simptom bahu kehadapan (forward shoulder) dan leher kehadapan (forward neck).
"Manusia berfungsi seperti kereta, apabila sampai pada sesuatu tahap ia perlu diservis. Sama juga dengan badan manusia kerana SMART adalah satu teknik terapi yang dijalankan berdasarkan pendekatan klinikal di mana ujian pergerakan akan dijalankan sebelum terapi dilakukan dan setiap klien perlu mengisi borang untuk menyatakan tahap kesihatan mereka.
"Borang tersebut akan menjadi rujukan setiap teknik dan progres yang berlaku kepada klien dan disimpan untuk rujukan temujanji akan datang. Yang menarik tentang terapi ini ianya langsung tidak menyakitkan tetapi selepas sesi terapi klien kebanyakannya akan merasa sangat lega," katanya.
Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang teknik SMART boleh menghubungi Bahagia menerusi 013-7277007 dan mengunjungi laman facebooknya Bodywork My.

MDP CIPTA SEJARAH LANTIK WANITA KETUAI WHIP

NORZITA A. Kahar (tengah) mengetuai majlis angkat sumpah sebagai Ahli Majlis, 
Majlis Daerah Pontian bagi tempoh 1 Februari 2014 hingga 31 Disember 2015 
di Dewan Persidangan MDP di Pontian, Johor, semalam. 

PONTIAN 13 Feb. - Majlis Daerah Pontian (MDP) mencatat sejarah tersendiri apabila seorang wanita dipilih sebagai Ketua Whip yang baharu bagi tempoh 1 Februari 2014 hingga 31 Disember 2015.
Pemilihan seorang peguam, Norzita A. Kahar, 40, bagi menggantikan Ketua Whip sebelum ini, Abd. Malik Ibrahim merupakan yang pertama sejak MDP ditubuhkan pada 1976.
Ketika ditemui selepas majlis angkat sumpah Ahli Majlis MDP di hadapan Yang Dipertua MDP, Miswan Yunos, Norzita melahirkan perasaan terharu kerana diberikan tanggungjawab bagi mengetuai Ahli Majlis.
Beliau berharap akan mendapat kerjasama daripada ahli majlis serta ketua-ketua jabatan bagi merealisasikan peranan mereka untuk sama-sama menjayakan agenda serta perancangan MDP.
Dalam masa yang sama, beliau berjanji untuk menjaga suara pembayar cukai serta menyelesaikan masalah berbangkit dengan bijaksana mengikut peraturan sedia ada.
"Dengan kepercayaan yang diberikan ini, saya akan berusaha meningkatkan prestasi serta peranan ahli majlis sebagai penghubung antara MDP dengan pembayar cukai supaya mereka mendapat perkhidmatan yang memuaskan," katanya yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Pontian.
Selain Norzita, turut mengangkat sumpah ialah Zarina Mohd. Bain, Noor Shuhada Sulaiman, Nasrihat Turiman, Mohd. Don Abdullah, G.D.T. Sarvendaraja, Ang Lin In, Khalid Ibrahim, Hairulanuar Tukijo, L. Krishnanan, Mohd. Helmi Buang, Mohd. Nasrol Hassan Md. Amin, Roselee Mohd. Tahir dan Md. Israk Abdullah.
Sembilan tempat yang sepatutnya diisi oleh wakil MCA dari Bahagian Tanjung Piai dan Pontian dijangka akan dipenuhi selewat-lewatnya bulan depan.
Sementara itu, Miswan Yunos dalam ucapannya menyasarkan MDP mampu mengutip hasil cukai sebanyak RM20 juta pada tahun ini berbanding RM19 juta pada tahun lalu.
"Selain kutipan cukai pintu sama ada kediaman dan industri, hasil turut disumbangkan oleh pembangunan industri yang dijalankan di kawasan pembangunan Tanjung Bin, Serkat dan Pekan Nanas," katanya sambil berharap ahli majlis yang baharu dapat menyumbang idea dan membantu menjayakan semua agenda pembangunan yang dirancang pihaknya.

Wednesday, February 12, 2014

SEPARUH KAMPUNG WAK MUSA TERBAKAR

  • Separuh kampung terbakar
  • Api masih membakar sebahagian daripada rumah mangsa di Kampung Wak Musa.
 1 / 1 
PONTIAN - Empat beranak termasuk seorang warga emas terpaksa mernyusup keluar dari pintu belakang untuk menyelamatkan diri selepas rumah yang didiami Kampung Wak Musa, Batu 36, Pekan Nenas, terbakar pagi semalam.

Mereka merupakan antara 20 keluarga yang kehilangan tempat tinggal selepas dua blok rumah kayu yang dihuni musnah dalam kebakaran kira-kira jam 9.30 pagi, semalam.

Mangsa, Nurul Amirah Mohd Noh, 22, berkata, dia menyedari kebakaran tersebut setelah melihat api dari rumah jiran yang terletak di hadapan rumahnya.

“Kebetulan pada masa itu, saya baru sahaja selesai mandi, tiba-tiba saya ternampak api dari rumah jiran.

“Saya berlari keluar untuk melihat apa yang sedang berlaku, namun api sudah mula menjilat bahagian hadapan rumah,” katanya.

Dia kemudiannya terus mengejutkan dua anaknya dan neneknya keluar dari rumah mengikut pintu belakang.

Nurul Amirah berkata, dia terus mendukung anak, Mohd Firdaus, 2, dan Sarah Hazirah, 3, serta  memimpin tangan nenek, Sapura Ibon, 78,  keluar dari pintu belakang untuk menyelamatkan diri.

“Mujur kami sempat keluar dari rumah kerana api merebak begitu cepat. Dalam sekelip mata sahaja, keseluruhan rumah telah terbakar,” katanya.

Dia yang masih lagi trauma dengan kejadian itu bersyukur kerana anak-anak dan neneknya tidak mengalami kecederaan dan sempat keluar sebelum api marak.

Tersedar dari tidur

Seorang remaja yang tinggal bersendirian di rumah berjaya menyelamatkan diri selepas terdengar bunyi bising di luar rumah.

Nurul Fateha Zulkifli, 19, berkata ketika kejadian dia sedang sedang tidur seorang diri di dalam bilik.

“Selepas mendengar bunyi bising dari luar rumah, saya terjaga lalu mendapati asap tebal sudah memenuhi ruang di dalam bilik.

“Saya terus berlari ke luar menuju ke dapur, namun asap tebal telah menyelubungi keseluruhan bahagian dapur.

“ Saya terus menjerit meminta pertolongan dan mujur saya sempat keluar dari pintu hadapan,” katanya.

Sementara itu, bagi ibu Nurul Fateha, Salina Mat, 41, tidak menyangka rumah yang dihuni sejak 20 tahun itu musnah terbakar di depan mata.

“Saya begitu sebak lihat rumah terbakar di depan mata. Tiada apa yang dapat dilakukan selain menahan air mata.

“Mujur, anak saya Nurul Fateha sempat keluar dari rumah menyelamatkan diri,”katanya.

Jelasnya, ketika kejadian, dia bersama suami, Zulkifli Md Nor, 48, sedang berniaga sarapan pagi berhampiran Taman Utama Pekan Nenas.

“Saya ada terlihat kepulan asap ketika sedang berniaga. Saya fikir kebakaran kebun kelapa sawit, rupanya rumah kami terbakar.

“Selepas menerima panggilan daripada anak, saya dan suami segera pulang ke rumah tetapi api sudah marak ketika itu,”katanya.

Motorsikal terbakar

Sementara itu, Shukor Abd Latif, 24, memberitahu ketika kejadian dia berada di dapur memasak mi segera.

“Selepas melihat api dari bahagian dapur rumah jiran, saya segera keluar dan mendapati api sedang marak membakar rumah-rumah jiran di blok hadapan.

“Tidak lama selepas itu, api terus menyambar ke rumah saya yang terletak di blok tengah.

“Saya tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen termasuk wang tunai RM1,200 dan sebuah motosikal. Mujur isteri dan anak berusia tiga tahun sempat keluar dari rumah,” katanya.

Dia yang bekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, bersyukur kerana berada di rumah ketika kejadian.

Manakala Pegawai Operasi, Salleh Ahmad berkata, tiga jentera bomba dan 16 anggota dari Balai Bomba Pekan Nenas dan Pontian Baru dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kira-kira jam 10.02 pagi.

“Sebaik saja kami tiba di lokasi kejadian, 22 rumah di dua blok telah musnah dijilat api.

“Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira 10 minit daripada merebak ke satu lagi blok rumah yang menempatkan sembilan buah keluarga,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak lima motosikal dan sebuah van turut musnah dalam kebakaran itu.

“Tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan, namun punca kejadian serta kerugian masih lagi dalam siasatan.

“Kebakaran ini merupakan yang terbesar berlaku di Pontian dalam tahun ini, melibatkan 22 rumah,” katanya.

Sementara itu Ketua Kampung Kawasan (6) Mukim Jeram Batu, Abd Jahenal Kahir, berkata mangsa akan ditempatkan sementara waktu di Balai Raya Taman Sri Jaya yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian.

Katanya kebanyakannya penduduk bekerja di kilang di Pekan Nenas dan tiada di rumah ketika kejadian.

“Bantuan khas berupa pakaian dan barangan makanan yang disumbangkan oleh Ahli Parlimen Tanjung Piai dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  akan diagihkan kepada mangsa, “katanya.

Tuesday, February 11, 2014

TIDAK SARAPAN PUNCA GEMUK

Mengikut satu laporan terkini, pengambilan sarapan pagi yang tidak teratur boleh meninggalkan kesan buruk pada kesihatan dalam tempoh tiga dekad berikutnya.
Hasil penyelidikan daripada seorang penyelidik dari Sweden mendapati individu yang tidak menitikberatkan soal pengambilan sarapan pagi dalam tempoh jangka masa semasa kehidupan antara zaman kanak-kanak hingga dewasa menunjukkan lebih tanda-tanda sindrom metabolik dalam tempoh 27 tahun akan datang berbanding dengan mereka yang mengambil sarapan pagi secara betul dan teratur.

Sindrom metabolik merupakan satu istilah perubatan bagi kombinasi tiga penyakit berkait iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi dan obesiti, dan ia boleh menyebabkan peningkatan risiko untuk penyakit jantung dan angin ahmar sehingga 68 peratus ke atas lelaki dewasa.
Dengan membuat kajian ke atas kumpulan responden 27 tahun lalu, para penyelidik dari Sweden ini turut mendapati mereka yang tidak mengambil sarapan pagi atau bersarapan pagi sambil lewa mampu meningkatkan risiko penyakit kencing manis dan obesiti.
Pada tahun 1981, para penyelidik dari Universiti Umee, Sweden turut membuat soal selidik ke atas sekumpulan para pelajar yang belajar di sekolah di bahagian bandar Utara Lulea, bagaimana cara pemakanan serta pengambilan sarapan pagi mereka setiap hari.
Kemudian, kesemua responden turut diminta untuk kembali semula pada tahun 2008, selepas 27 tahun daripada tarikh kajian tersebut dilakukan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.
Melalui kajian yang dilakukan, selain ingin melihat tanda-tanda sindrom metabolik para penyelidik juga ingin melihat sama ada cara pengambilan sarapan pagi yang tidak betul ataupun tidak menitikberatkan soal pengambilan sarapan pagi mampu mengundang pelbagai jenis penyakit lagi yang berkaitan.

Melalui kajian tersebut juga didapati sebanyak 68 peratus para remaja yang mengabaikan atau tidak menitikberatkan soal pengambilan sarapan pagi akan menghidap sindrom metabolisme ini seperti yang dihidapi kebanyakkan orang dewasa jika hendak dibanding dengan mereka (remaja) yang begitu berdisiplin dalam soal pengambilan sarapan pagi ini.
Pada masa yang sama, selain soal kaji selidik yang mengandungi soalan-soalan berkaitan dengan pengambilan sarapan pagi, para pengkaji turut membuat kajian yang merangkumi pelbagai soalan mengenai faktor sosio ekonomi dan juga pelbagai jenis gaya hidup.
Bagaimanapun, penyelidikan lebih lanjut perlu dilakukan untuk lebih memahami mekanisma yang digunakan, serta hubungan antara sarapan pagi dan sindrom metabolisme. Bagaimanapun, kajian awal ini telah mendapatkan terdapat kesan secara langsung ke atas kadar gula dalam darah.

Selain itu menurut para penyelidik tersebut, kegemukan terutama di bahagian perut dan kencing manis, nyata jelas mempunyai kaitan dengan pengambilan sarapan yang tidak sempuran ketika zaman kanak-kanak mereka.
“Kajian lanjut diperlukan dalam usaha untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai mekanisma yang terlibat antara pengambilan sarapan pagi yang diambil sambil lewa dengan sindrom metabolisme.
“Tetapi keputusan yang diperoleh serta kajian-kajian yang dilakukan sebelum ini turut mencatatkan kesan yang negatif terhadap peredaran gula dalam darah sekiranya sarapan pagi diabaikan ataupun cara pengambilannya adalah sambil lewa," ujar ketua penyelidik, Maria Wennberg.

Kajian tersebut turut menyokong beberapa keputusan kajian sebelum ini dari Universiti of Tel Aviv yang mendapati pengambilan lebih kalori pada waktu pagi berbanding pengambilannya pada waktu petang boleh mengurangkan risiko penyakit kencing manis dan obesiti.
Selain itu, pengambilan sarapan pagi yang banyak juga didapati mampu membuatkan seseorang itu mengalami penurunan berat badan.
Keputusan yang diperoleh pada akhir kajian tersebut turut mendapati mana-mana individu yang mengambil sarapan pagi dalam kuantiti yang banyak manakala kuantiti yang sedikir untuk makan tengah hari dan juga makan malam mampu mengurangkan berat badan sekitar 19.1 paun.
Berbanding bagi mereka yang mengambil banyak kalori pada sebelah petang atau malam hanya mampu mengurangkan berat badan sehingga 7.9 paun dalam sehari.