BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, June 26, 2014

DAPATKAN SIJIL HALAL SEBELUM PROMOSI BUFFET RAMADHAN

  • Logo halal. - Gambar hiasanLogo halal. - Gambar hiasan
 1 / 1 
PUTRAJAYA - Dapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri terlebih dahulu sebelum pengusaha premis makanan atau hotel-hotel mempromosi juadah Ramadan mereka, nasihat Jakim hari ini.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, para pengusaha diingatkan agar tidak menggunakan ungkapan seperti 'Bufet Ramadan', 'Makanan Berbuka Puasa', 'Iftar Ramadan' atau 'Makanan Bersahur' sewenang-wenangnya yang boleh mengelirukan pengguna Islam.

“Ini kerana ungkapan-ungkapan tersebut termasuk dalam takrif halal dan perbuatan menggunakan ungkapan sedemikian dengan sewenang-wenangnya boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) dan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.  

“Oleh yang demikian, hanya premis yang mendapat pengesahan pensijilan halal Malaysia oleh Jakim atau Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri sahaja boleh menggunakan ungkapan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga menasihatkan para pengguna Islam supaya bijak memilih premis  menawarkan bufet Ramadan yang diperakui halal oleh Jakim atau Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri.

“Gunakanlah kuasa sebagai pengguna ini sebaiknya dalam memilih premis untuk tujuan berbuka puasa kerana premis yang menawarkan promosi bufet Ramadan dan telah mendapat pensijilan halal ini pastinya telah diperiksa dan dijamin pematuhan halalnya. Ini untuk mengelakkan daripada perkara yang was-was,” kata Othman.

Sehubungan itu beliau berkata pada bulan Ramadan, pemantauan lebih tertumpu kepada restoran, premis makanan, dan hotel yang mengadakan promosi berbuka puasa bagi memastikan pihak yang menawarkan perkhidmatan tersebut benar-benar mematuhi keperluan perundangan.

Beliau juga menasihatkan premis dan hotel yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia supaya sentiasa mematuhi piawaian yang ditetapkan kerana pemantauan dan penguatkuasaan berterusan akan dijalankan.

“Sekiranya didapati mereka tidak lagi mematuhi piawaian pensijilan halal yang ditetapkan, tindakan undang-undang juga boleh dikenakan ke atas mereka tanpa kompromi,” katanya.

Othman berkata permohonan pensijilan halal pada dasarnya bersifat sukarela dan sejak 2010 hingga Jun tahun ini, sebanyak 2,151 premis makanan, restoran dan dapur hotel telah mendapat sijil pengesahan halal Malaysia di seluruh negara manakala 358 lagi masih dalam proses untuk mendapatkannya.

"Dalam masa yang sama, sebanyak 351 premis makanan, restoran, dan dapur hotel gagal di peringkat permohonan atas faktor tidak menepati piawaian pensijilan halal Malaysia seperti ramuan kritikal yang tidak mempunyai sijil halal, masalah kebersihan, premis yang menyediakan menu tidak halal dan apa-apa yang diputuskan oleh Panel Pengesahan Halal Malaysia," katanya.

Othman menambah kata bahawa sebanyak 2,860 permohonan telah diterima daripada premis makanan, restoran dan dapur hotel dalam tempoh yang sama.

Berdasarkan statistik Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan yang menjalankan pemeriksaan ke atas premis makanan termasuk dapur hotel yang
mengadakan promosi bufet Ramadan tahun lepas, Othman berkata empat premis telah dikenakan tindakan penggantungan Sijil Pengesahan Halal, manakala empat premis lain diambil tindakan serta disiasat di bawah APD 2011 dan tujuh premis diberikan amaran.

“Jakim masih memantau pematuhan APD 2011 di premis-premis ini selepas tempoh tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan akta berkenaan sekiranya masih ingkar,” katanya.

Othman berkata maklumat premis makanan, restoran dan dapur hotel yang mempunyai sijil pengesahan halal boleh didapati melalui Direktori Halal Malaysia di www.halal.gov.my. 

Monday, June 23, 2014

PENAMBAKAN SELAT JOHOR TAK PERLU EIA

  • Penambakan Selat Johor tidak perlukan EIA
 1 / 1 
JOHOR BAHRU - Kerja penambakan laut bagi projek "Forest City" yang dibimbangi Singapura berkemungkinan memberi kesan terhadap alam sekitar republik itu, tidak memerlukan laporan Kesan Alam Sekitar (EIA) kerana keluasan yang ditambak tidak melebihi 50 ekar (20 hektar).
  
Menurut Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Mokhtar Abdul Majid, pada ketika ini kerja penambakan laut di Selat Johor, berhampiran Laluan Kedua, Gelang Patah itu hanya melibatkan kawasan seluas 49 ekar (19.6 hektar).
  
"Memandangkan keluasan kawasan yang ditambak tidak melebihi 50 ekar, maka ia tidak memerlukan laporan EIA," katanya kepada Bernama hari ini ketika ditanya tentang projek penambakan laut yang mendapat perhatian kerajaan Singapura itu.
  
Beliau mengesahkan projek penambakan laut di Selat Johor terbabit dilaksanakan oleh syarikat pemaju daripada China, Country Garden Holdings Ltd dan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).
  
Mokhtar berkata, kerja penambakan laut itu bermula pada awal Mac lepas dan dijangka mengambil masa selama lapan bulan untuk siap.

Dua hari lepas, Kementerian Luar Singapura menyatakan kebimbangannya tentang kemungkinan kesan merentasi sempadan ke atas republik itu akibat projek pembangunan hartanah itu di Selat Johor.
  
Jurucakapnya berkata ada kewajipan antarabangsa bagi pihak berkuasa Malaysia serta Singapura untuk bekerjasama dalam perkara itu dan meminta Malaysia mengemukakan maklumat berkenaan kerja penambakan terbabit.
  
Mokhtar berkata, pihak JAS Johor telahpun mengemukakan maklumat tertentu berkenaan projek penambakan laut "Forest City" seluas 49 ekar itu kepada ibu pejabat JAS bagi tindakan lanjut.
  
Selain penambakan laut melibatkan kawasan seluas 49 ekar, pihak JAS Johor katanya, turut dimaklumkan terdapat cadangan tambahan untuk menambak 5,000 ekar lagi di bawah projek "Forest City" itu.
  
Bagaimanapun, katanya pihak berkenaan perlu mengemukakan cadangan terperinci tentang penambakan laut itu dan laporan Kajian Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA) kepada ibu pejabat JAS.
  
Memandangkan sehingga kini belum ada cadangan secara rasmi, mahupun laporan DEIA tentang cadangan penambakan kawasan seluas 5,000 ekar di Selat Johor itu, beliau berkata pihaknya tidak dapat mengulas lanjut tentangnya.

SALAHGUNA LOGO HALAL: DENDA 1 HINGGA 5 JUTA

  • Logo Halal
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Individu yang didapati menyalahgunakan logo halal pada produk mereka berdepan dengan denda RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun, manakala syarikat pula boleh didenda tidak kurang RM5 juta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata perkara itu diperuntuk di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

"Sebenarnya yang tetapkan barangan halal ataupun tidak halal itu tanggungjawab Jakim (Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia), namun jika produk itu tidak halal tetapi dicetak logo halal pada pembungkusannya maka pengeluar akan didakwa menurut Akta Perihal Dagangan 2011," katanya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai produk 'Bihun Istimewa Cap Masjid' keluaran sebuah kilang di sini yang mengguna pakai logo halal pada pembungkusannnya sedangkan syarikat tidak mempunyai pensijilan halal Jakim.

Isu itu terbongkar susulan penyebaran beberapa keping gambar pemprosesan bihun yang dibuat dalam keadaan kotor dan jijik menerusi laman sosial.

Sementara itu, mengulas barangan kawalan sempena Aidilfitri, Hasan berkata pihaknya sedang meneliti senarai barangan yang berkenaan.

"Kami akan umumkan secepat mungkin selepas senarai dimuktamadkan," katanya yang ditemui selepas  melancarkan buku 'Patent Drafting Manual for Beginners' yang diterbitkan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Terdahulu dalam ucapannya, Hasan berkata MyIPO kini dalam proses membuat kajian impak bagi mengukur tahap kesedaran mengenai kepentingan perlindungan hak harta intelek dalam kalangan kumpulan sasaran iaitu usahawan, belia dan pelajar.

Katanya kajian MyIPO mendapati permohonan hak harta intelek meningkat daripada 31,279 pada 2009 kepada 41,638 pada 2013.

"Bagaimanapun, permohonan tempatan hanya sekitar 40 peratus daripada jumlah keseluruhan permohonan diterima," katanya.

Mengenai buku itu, Hasan berkata ia bertujuan membantu pemilik-pemilik harta intelek khususnya pereka cipta dalam teknik-teknik pendraftan spesifikasi paten yang mengikut kehendak Akta Paten 1983 dan Peraturan-peraturan di bawahnya.

Ini bagi tujuan pemfailan permohonan paten yang menggariskan teknik pendraftan paten sama ada secara nasional atau penfailan antarabangsa.

Hasan berkata buku itu dijual pada harga RM60 dan turut diedarkan secara percuma kepada semua perpustakaan awam dan institusi pengajian tinggi seluruh  negara. 

MALAYSIA PERLU COP HARAM, BUKAN HALAL

  •  Dr Mohd Asri Zainul AbidinDr Mohd Asri Zainul Abidin
 1 / 1 
SHAH ALAM - Ahli Akademik, Profesor Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan supaya Malaysia mengwujudkan label 'haram' berbanding menggunakan sijil halal.

Menurut Mohd Asri, perubahan itu penting kerana sebagai negara Islam, barangan halal lebih banyak daripada barangan yang haram.

"Pasal kita pergi rumah orang Islam dalam negara yang dikatakan negara Islam, sepatutnya tidak timbul soal haram.

"Yang haram itu sedikit, kalau kita hendak cop, kita cop yang sedikit itulah. Apa yang jual haram, kalau dia tidak cop haram kita ambil tindakan.

"Bagi saya tiada orang buat cop haram palsu. Langkah ini akan memudahkan lagi umat Islam di negara kita, sepertimana yang dibuat di Tesco iaitu ada bahagian Non Halal," katanya ketika sesi wacana Sinar Harian kali siri ke-29 hari ini.

Sementara itu ketika menyentuh mengenai isu umat Islam yang termakan khinzir pula, Asri menegaskan bahawa Tuhan itu bersifat pemaaf, dan Tuhan tidak menghukum manusia yang melakukan perkara yang tidak disengajakan oleh mereka.

“Tidak perlu membersihkan darah.

“Kalau kita termakan khinzir, Tuhan tidak akan menghukum atas kesilapan tersebut,kerana Tuhan tidak menghukum manusia yang ‘tersilap’,” jelasnya.

BELI PRODUK MUSLIM, MAJUKAN EKONOMI UMAT

  •  Dr Mohd Asri Zainul AbidinDr Mohd Asri Zainul Abidin
 1 / 1 
SHAH ALAM - Bagi memastikan ekonomi umat Islam terus berkembang maju, serta soal halal haram tidak timbul umat Islam disaran agar membeli barangan keluaran Muslim.

Menurut Pensyarah Pengajian Islam Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Asri Zainul Abidin, umat Islam perlu merubah minda serta amalan, supaya lebih mengutamakan barangan keluaran Muslim ketika membeli barangan keperluan.

"Jadi Muslim beli barangan Muslim, semua beli barangan Muslim.

"Tapi kita tidak 'support' diri kita, jadi perkara ini perlu diubah, jadikan ini satu kesedaran," katanya pada Wacana Sinar siri ke-29 bertajuk Isu Halal: Apa Hak Pengguna, di Auditorium Sultan Muhammad V, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Oleh itu Asri menegaskan bahawa umat Islam boleh mencontohi sikap masyarakat Yahudi dari segi memperkayakan ekonomi masyarakatnya.

"Yang bagusnya orang Yahudi ini ialah mereka sokong sepenuhnya keluaran barangan orangnya.

"Mereka teliti dan betul-betul memastikan bahawa satu-satu produk keluaran masyarakatnya, baru mereka beli," jelasnya.

EXCELIFE LANCAR MINUMAN TERUS TANPA GULA

  • Satu daripada tiga perasa minuman botanikal kesihatan Excelife.Satu 

  • EXCCELIFEdaripada tiga perasa minuman botanikal kesihatan Excelife.
 1 / 1 
EXCELIFE Nutriceuticals (Excelife), anak syarikat ZY Phyto Industries Sdn Bhd melancarkan tiga jenis minuman botanikal terus diminum tanpa gula yang pertama di Malaysia.

Pengarah Urusan ZY Phyto Industries Sdn Bhd, Sharifah Ameelia Akma Mohd Ramly berkata, minuman itu boleh didapati dalam tiga perisa dan mempunyai khasiat berbeza.

“Minuman ini ada perisa berbeza iaitu Excelife FIRM yang berperisa strawberi, Excelife FIT berperisa anggur dan Excelife FRESH yang didatangkan dalam perisa epal.

"Setiap minuman ini mempunyai khasiat dan fungsi tersendiri iaitu Excelife FIRM berfungsi membantu menjaga kesihatan dalaman wanita, Excelife FIT untuk bantu meningkatkan tenaga dan Excelife FRESH bertujuan membantu mengekalkan keremajaan kulit,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Produk Minuman Kesihatan dan Kecantikan Excelife, baru-baru ini.

Katanya, minuman itu dalam bentuk sedia untuk diminum yang pertama di Malaysia.

“Gaya hidup kini memang mencabar dan memerlukan pengguna untuk sentiasa berada dalam keadaan bergerak pantas setiap masa.

“Jadi dengan minuman seperti ini pengguna masih boleh kekalkan kesihatan dalaman serta luaran hanya dengan sebotol minuman sahaja, tanpa perlu dibancuh,” katanya.

Menurut Sharifah Ameelia, syarikat itu merancang melantik ejen dan stokis bagi tujuan pemasaran dan pengedaran yang lebih mantap.

“Kami juga akan lancarkan kempen yang pelbagai untuk memastikan produk ini mendapat tapak yang kukuh dalam pasaran,” katanya.

KAMBING GOLEK ISTANA BAMBU-AMPANG, SELANGOR


KAMBING golek antara sajian utama di Istana Bambu.

SANTAI Ramadan bersama cita rasa nusantara menjadi tema Restoran Istana Bambu, Ampang, Selangor tahun ini. Para pengunjung akan disajikan dengan lebih 70 menu berbuka puasa yang menyelerakan.
Masakan kampung tradisional, sajian Cina, Thailand dan Arab antara variasi yang ditawarkan restoran dengan kapasiti 600 tetamu itu.
Menu istimewa yang wajib dicuba pengunjung termasuklah kambing golek, ayam bakar Sunda, patin tempoyak, asam pedas, masak lemak daging salai dan makanan laut menggunakan resipi khusus Istana Bambu.
Kuih-kuih tradisional seperti cara berlauk, kaswi, cara manis dan pulut panggang pasti memenuhi selera kampung anda.
Mungkin selepas menjamah makanan berat, rehatkan perut seketika sebelum menyambung eksplorasi gastronomi anda dengan mencuba seleksi pencuci mulut yang disediakan. Rangkaian tiga jenis bubur iaitu bubur nangka, pulut hitam dan serawa durian sememangnya tepat untuk mereka yang berjiwa Melayu.
Pilihlah teh lemon ais, kordial mangga dan oren serta minuman panas seperti teh tarik sebagai pelepas dahaga. Namun untuk pembasah tekak yang lebih memuaskan, pilihan ais batu campur dan cendol jangan sesekali dilepaskan.
Selain keenakan sajian klasiknya, suasana di Istana Bambu itu sendiri menciptakan pengalaman berbuka puasa yang mendamaikan. Seni bina kampung restoran di pinggir Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) itu disempurnakan dengan penggunaan buluh bagi membentuk latar desa tepian sawah yang sederhana.
Atmosfera sebegitu mampu menggantikan kebosanan warga kota terhadap ruang makan atau restoran berkonsep moden. Malah kemudahan utama seperti surau turut disediakan.
Mereka yang bercadang untuk mengadakan majlis berbuka puasa korporat atau berkumpulan disarankan membuat tempahan lebih awal.