BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, August 4, 2014

OKSIGEN TULIN ELAK PENYAKIT

MOHD Norazri Hamzah

PENCEMARAN udara di sekeliling menyebabkan manusia kekurangan oksigen di dalam badan.
Kebanyakan penyakit pada era moden berpunca daripada kekurangan oksigen di dalam darah, otak dan organ lain. Keadaan ini berlaku hampir di seluruh dunia.
Oksigen membantu tubuh untuk meregenerasi sel, membantu membesarkan daya penyerapan nutrisi, meningkatkan sistem pertahanan tubuh dan meneutralkan zat-zat beracun di dalam darah.
Authur C. Guyton, M.D. dalam bukunya The Textbook on Medical Physiology mengatakan bahawa semua penyakit kronik berpunca daripada kekurangan oksigen yang berlaku di peringkat sel.
Oleh itu, oksigen merupakan kunci kepada kehidupan. Kita boleh hidup beberapa hari tanpa makanan dan air tetapi kita tidak dapat hidup secara purata selama empat minit sahaja tanpa oksigen.
Bahkan, sel-sel otak kita akan mati dalam waktu 15 hingga 20 saat sahaja tanpa adanya oksigen. Hal ini kerana setiap sel dalam tubuh manusia amat memerlukan oksigen untuk pertumbuhan dan sel terus hidup.
Manfaat oksigen pada sudut kesihatan tidak kurang pentingnya kerana dapat meningkatkan daya ingatan dan kecerdasan otak, mencegah kanser, asma dan pelbagai penyakit kronik lain.
Selain itu, ia dapat meningkatkan metabolisma tubuh, mengurangkan racun dan toksin dalam darah serta menstabilkan tekanan darah.
Di samping itu, oksigen juga berperanan untuk memperkuatkan jantung dan sistem pertahanan tubuh.
Hakikatnya, oksigen membantu untuk mencegah stres dan gugup selain mencantikkan kulit dari penuaan diri atau tua sebelum umur. Dalam pada itu, Arrakasta MO Sdn. Bhd. merupakan syarikat bumiputera tunggal yang terdiri daripada usahawan muda dan berpengalaman luas dalam bidang kesihatan dan merupakan pengedar tunggal Dr. Arras Oxygen Concentrator di Malaysia yang mendapat sambutan pengguna sejak dilancarkan.
Pengurus Besar Arrakasta MO Sdn Bhd, Mohd Norazri Hamzah menjelaskan setiap tubuh badan manusia mempunyai 60 billion sel yang memerlukan oksigen.
Selain sambutan dan permintaan yang menggalakkan daripada masyarakat tempatan, Arrakasta MO berjaya mengubah tanggapan masyarakat bahawa oksigen sangat berkait rapat dengan semua jenis penyakit dan bukannya pada masalah kesihatan pernafasan sahaja.
Fungsi utama darah ialah membawa bekalan oksigen ke seluruh anggota badan. Justeru itu, semua kaedah rawatan di dunia penting untuk memastikan perjalanan darah yang lancar termasuk pintasan jantung, terapi, bekam, berurut, akupuntur dan sebagainya.
Menurut Azri lagi, Dr. Arras Oxygen Concentrator berfungsi menyalurkan oksigen tulen yang cukup di dalam darah selain membantu masalah pernafasan.
Uniknya Dr. Arras Oxygen Concentrator adalah mesin oksigen pertama di Malaysia yang mempunyai tiga fungsi istimewa dalam satu mesin.
"Fungsi utama Dr. Arras Oxygen Concentrator adalah membekalkan oksigen tulen sehingga 90 peratus yang bebas daripada pencemaran berbanding persekitaran yang hanya mempunyai 20 peratus oksigen sahaja," katanya.
Selain itu, dengan menggunakan teknologi Jerman terkini iaitu sistem penapisan HEPA, ia bukan sahaja menapis udara malah bendasing lain seperti bulu binatang, habuk, asap, serta berupaya memerangkap dan membunuh virus dan bakteria sekecil 0.03 mikron yang terampai di dalam udara.
Pada masa yang sama, ia akan membebaskan =5,000,000 ion negatif untuk memastikan udara disekitar bukan sahaja bersih tetapi sihat. Ujarnya lagi, ion negatif biasanya terdapat di kawasan tenang seperti hutan, air terjun dan kawasan pendalaman.
"Kami melihat oksigen tulen, udara bersih dan ion negatif berkait rapat antara satu sama lain. Setelah kajian daripada penyelidikan (R&D) Arrakasta MO, kami menggabungkan ketiga-tiga fungsi ini di dalam satu mesin. Ia lebih menjimatkan serta lebih praktikal dan memberi nilai tambah kepada pengguna.
"Kebanyakkan pengguna Dr. Arras Oxygen Concentrator ialah mereka yang mengalami masalah asma, copd, paru-paru kronik, semput, jantung, perkembangan minda, kanser dan sebagainya. Alhamdulillah dengan izin-Nya mendapat kesan yang memberangsangkan dan membantu mempercepatkan proses penyembuhan,"ujarnya.
Menurut Azri lagi, mesin ini sesuai untuk luka besar, terbakar, ibu mengandung serta tiada pantang larang penggunaannya dan tidak berbahaya.
Di samping mereka yang mengalami masalah kesihatan, Dr. Arras Oxygen Concentrator juga amat sesuai untuk pencegahan. Selain itu, ia sesuai untuk mereka yang sedang belajar sama ada di peringkat rendah atau di peringkat tinggi, atlet, golongan profesional dan mereka yang bekerja di ruangan terhad dan tertutup.
"Kami berharap Dr. Arras Oxygen Concentrator dapat dijadikan alat bantuan kecemasan di rumah sebelum mendapatkan rawatan di hospital. Ini sesuai dengan visi dan misi syarikat mewujudkan kawasan bebas dan sihat untuk rakyat Malaysia," katanya.

Friday, July 25, 2014

SALAM AIDILFITRI 1435H: CUTI 26 JULAI-2 OGOS 2014


Salam Aidilfitri untuk semua Muslimin & Muslimat.Raikanlah hari kemenangan ini dengan kesederhanaan tapi penuh kesyukuran.

Operasi Restoran Kemangi ditangguhkan bermula 26 Julai dan akan dibuka semula seperti biasa pada 3 Ogos 2014, insyaallah.

CUTI AIDILFITRI 1435H/2014 : 26/7 - 2/8/2014

Wednesday, July 23, 2014

KAMPUNG MELAYU HALAL RESTAURANT DI HO CHI MINH CITY


Kampung Melayu Halal Restoran terletak di 31 Nguyen An Ninh, District 1 yang kini lebih dikenali sebagai Malaysia Street.

15 tahun yang lalu, usahawan Malaysia, Datuk Helmy Jaafar yang sering berulang alik ke Vietnam untuk urusan perniagaan mendapati kesukaran utama dihadapinya ialah mendapatkan makanan halal di negara sosialis itu.
Akibatnya, beliau yang menjalankan perniagaan telekomunikasi dan jual beli barangan seperti kasut dan produk daripada buluh terpaksa membawa bekalan mi segera dari Malaysia setiap kali pergi ke negara itu.
Akhirnya, empat tahun yang lalu, beliau dipujuk oleh rakan kongsi di Vietnam untuk membuka restoran di Bandar Raya Ho Chi Minh berikutan semakin ramai rakyat Malaysia yang melancong ke negara itu.
Tanpa pengalaman dalam bidang perniagaan makanan, Helmy akhirnya membuka restoran dikenali sebagai Kampung Melayu Halal Restoran yang terletak di 31 Nguyen An Ninh, District 1, tetapi kini lebih dikenali sebagai Malaysia Street.
Restoran itu terletak kira-kira 100 meter dari Pasar Ben Thanh, destinasi membeli-belah paling popular masa kini dalam kalangan rakyat Malaysia yang datang ke Ho Chi Minh.
Helmy memberitahu, tujuan utamanya ialah menawarkan makanan yang benar-benar halal bermula dari penyediaan bahan mentah hingga makanan dihidangkan kepada para pelanggannya.
“Sebab itu, tumpuan utama restoran ini ialah rakyat Malaysia yang berkunjung ke Ho Chi Minh. Ini terbukti apabila 90 peratus daripada pelanggan saya ialah rakyat Malaysia," katanya yang menetap di Seremban 2, Negeri Sembilan.
Beliau berkata demikian kepada sekumpulan wartawan Malaysia yang mengikuti lawatan tajaan agensi pelancongan Vietnam, Asia Tour Vietnam ke Bandar Raya Ho Chi Minh, Vietnam baru-baru ini.
Berikutan sambutan yang begitu menggalakkan, Helmy kemudian membuka sebuah lagi restoran, Saigon SriPenang Halal Restoran di 29 Luu Van Lang, District 1 yang juga berhampiran dengan Pasar Ben Thanh setahun selepas itu.
Restoran Kampung Melayu menawarkan 25 menu masakan yang lebih pro-Malaysia manakala Restoran SriPenang menghidangkan 28 menu yang merupakan masakan kampung gabungan Malaysia dan Vietnam.
Antaranya ialah nasi goreng ayam, ikan tiga rasa, tom yam, ikan masin serta pelbagai masakan laut dan masakan Vietnam yang mendapat sambutan menggalakkan.
Kedua-dua restoran itu mempunyai 60 kakitangan yang bekerja secara dua syif dan diketuai oleh dua chef dari Malaysia. Ia dibuka mulai pukul 5.30 pagi hingga 11.30 malam.
Helmy berkata, beliau mendapatkan bahan mentah untuk restorannya daripada komuniti Islam di Ho Chi Minh antaranya Imam Masjid Jamia Al-Anwar, Chey Muhamaoh, 69, yang turut membekalkan daging halal kepada lima buah restoran di bandar raya itu.
Sementara bahan sampingan seperti kicap dan rempah ratus dibawa dari Malaysia bagi mengekalkan citarasa negara selain harganya lebih murah.
Dengan usahanya ini terutama tarikan terhadap status halal telah mendorong rakyat Vietnam membuka restoran yang memaparkan logo halal di premis masing-masing. Untuk maklumat lanjut, Helmy boleh dihubungi di talian 017-7777730.

Thursday, July 17, 2014

KAMPUNG PARIT JERMAN BAKAL JADI TARIKAN PELANCONG

JOHOR BAHRU - Kerajaan Negeri Johor akan meninjau potensi yang ada di Kampung Parit Jerman di Pontian untuk dipromosikan sebagai tarikan pelancongan baharu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata usaha itu bagi meningkatkan kedatangan pelancong ke Pontian dan negeri ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama-sama media dan agensi pelancongan anjuran Jabatan Pelancongan Johor, Pejabat Kementerian  Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Johor dan Tourism Malaysia di sini malam tadi.

Kampung Parit Jerman kini menjadi bualan ramai termasuk di laman sosial ekoran kemenangan pasukan Jerman mengalahkan Brazil 7-1 pada saingan separuh akhir Piala Dunia 2014 baru-baru ini dan muncul juara Piala Dunia semalam.

Asal-usul nama Parit Jerman dikatakan bermula apabila terdapat penempatan satu kelompok bangsa Jerman yang mengusahakan ladang pertanian dan mengeluarkan hasil pertanian melalui sungai di kawasan itu.     
 
Dikatakan terdapat kesan batu bata dan tangga batu yang dianggap penduduk setempat terutama generasi tua sebagai bukti adanya aktiviti perdagangan dan peninggalan askar Jerman pada Perang Dunia Kedua.

Sementara itu, berucap pada majlis berkenaan, Tee meminta semua pihak menjalin kerjasama berterusan bagi merealisasikan Johor sebagai destinasi pelancongan yang unggul.

Beliau berkata Johor kini semakin dikenali ramai apabila kedatangan pelancong ke negeri ini direkodkan seramai 5.7 juta tahun lepas berbanding 3.9 juta pada tahun sebelumnya.

Katanya, daripada 5.7 juta itu, seramai 2.6 juta merupakan pelancong antarabangsa.

"Jumlah peningkatan pelancong ini meletakkan Johor berada pada kedudukan ketiga bagi jumlah keseluruhan kemasukan pelancong di negara ini. Jumlah kedatangan pelancong antarabangsa seramai 2.6 juta orang itu pula meletakkan Johor berada pada kedudukan kedua selepas Kuala Lumpur," katanya.

Tuesday, July 15, 2014

KAFE CHEMISTRY & LAB- SEKSYEN 7, SHAH ALAM


ALATAN makmal seperti picagari, bikar dan kelalang kon digunakan untuk menghidang 
minuman kepada pelanggan.

KRU Jurnal bagaikan terkesima melihat konsep unik dekorasi yang diketengahkan di Kafe Chemistry & Lab yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor ini.
Kafe yang baru dibuka bulan lalu ini sememangnya mudah mencuri perhatian disebabkan konsepnya yang berbeza.
Kebiasaannya, restoran di Malaysia menggunakan konsep moden, klasik, ala Eropah atau moden kontemporari tetapi pemilik mahukan pelanggan berasa seperti berada di dalam sebuah makmal.
Menurut pemilik, Intan Syafina Abd. Rahman, 28, idea untuk menerapkan konsep itu diperoleh hasil perbincangan bersama rakan kongsinya, Zuhairy Zakaria, 33.
"Sebenarnya, kami ada dua cadangan konsep bagi melatari kafe ini.
"Konsep makmal merupakan cadangan kedua kami memandangkan barangan yang diperlukan mudah diperoleh berbanding cadangan pertama.
"Oleh sebab itu, kami memilih untuk merealisasikan konsep makmal ini terlebih dulu tetapi kami tetap akan melaksanakan rancangan pertama itu yang berbeza daripada dekorasi sekarang," ujarnya sambil memberitahu, restoran itu mengamalkan konsep layan diri.

LUKISAN mural berkaitan proses eksperimen di makmal menjadi hiasan di dinding utama
 Kafe Chemistry & Lab ini.

Jelasnya, pihaknya mahu mencuba hiasan dalaman yang berbeza serta bersesuaian dengan pelanggan.
"Majoriti pelanggan kafe ini golongan pelajar institusi pengajian tinggi, jadi kami memilih tema yang dapat dikaitkan dengan mereka.
"Malah, makna nama kafe ini juga boleh dipelbagaikan dan tidak bertumpu pada satu maksud sahaja.
"Apabila bercakap tentang chemistry, ia sebenarnya merangkumi semua perkara seperti keserasian pelanggan dengan menu makanan serta minuman selain faktor keserasian antara pelanggan dengan rakan mereka.

Kafe ini diusahakan Intan Syafina (depan) bersama rakan kongsinya, Zuhairy.


"Ia bukan bermaksud 'kimia' semata-mata," tambahnya sambil menambah, kafe itu menggunakan tagline Sains untuk Bersosial (Science of Socializing).
Katanya, kesemua barangan makmal seperti bikar, picagari, tabung uji dan kelalang kon diperoleh daripada pembekal peralatan makmal di Lembah Klang.
"Sambutan daripada pelanggan amat menggalakkan. Sempena Ramadan ini, kami beroperasi dari pukul 5 petang hingga 4 pagi.
"Kami turut menyediakan menu masakan tempatan untuk pelanggan berbuka puasa dan bersahur," ujarnya.
Menurut Intan Syafina, harga makanan dan minuman di sini adalah antara RM6 hingga RM15.
Apa yang menarik, bukan sahaja kafe yang berkeluasan 157 meter persegi ini dihias dengan peralatan makmal bahkan pakaian kakitangan juga merupakan uniform makmal sebenar.

RUANG yang dikhaskan kepada pelanggan untuk menikmati minuman sambil bersantai.


Melangkah masuk ke pekarangan kafe yang dapat memuatkan seramai 100 pelanggan pada satu masa ini, kru Jurnal dihidangkan dengan pemandangan konsep industri pada ruang makan di bahagian luar kafe.
Batu bata merah yang tidak dilepa berjaya memberikan efeknya yang tersendiri.
Salah satu sudut di bahagian dalam pula dihias dengan peralatan makmal yang diletakkan di atas sebuah tong.
Pemilik turut mengabadikan gambar kenangan bersama pelanggan di dinding ruang santai kafe ini.
Kelihatan juga sebuah sinki yang dijadikan meja untuk pelanggan menikmati hidangan sambil bersantai.
Lukisan mural mengenai proses eksperimen pula menghiasi dinding utama kafe.
Penggunaan pinggan mangkuk antik seperti cawan dan pinggan pula diaplikasikan pada dinding yang tidak dilepa di ruang belakang kafe ini yang dikhaskan kepada pelanggan yang datang secara berkumpulan seramai lapan hingga 10 orang.
"Kami juga membuka tempahan katering untuk majlis berskala kecil seperti mesyuarat dan majlis sambutan hari jadi.
"Malah, ada juga pelanggan yang mahu mengadakan sesi praperkahwinan di kafe ini selepas melihat konsep yang kami ketengahkan," jelasnya yang mempunyai 17 orang kakitangan.

NASI AMBENG RIVERSTONE ECO RESORT-JLN. SUNGAI TUA, BT. CAVE


MENERUSKAN tradisi berbuka puasa di tengah rimba yang tenang dan mendamaikan, restoran D’River di Riverstone Eco Resort, menawarkan sebanyak 45 jenis hidangan termasuk masakan Jawa yang popular, nasi ambeng.
Antara sajian masyarakat Jawa yang tidak pernah dilupakan adalah nasi ambeng, pecel, kuih-muih seperti tiwol, pisang godog (rebus) dan ubi godog.
Selain itu, urap kecipir, tempe goreng bawang putih serta minuman istimewa wedang serey turut dihidangkan.
Pengarah Urusannya, Mohd. Ashari Sidik, berkata, sajian nasi ambeng di resort itu memang menjadi sebutan ramai, apatah lagi ia dihidangkan di dalam talam.
"Secara tradisinya, nasi ambeng dihidangkan di dalam talam dan dimakan antara empat hingga lima orang.
"Bagi yang tidak biasa menikmati nasi ambeng di dalam talam, mereka boleh meminta kami menyediakan pinggan," katanya lagi.
Mengulas rahsia masakan yang disajikan enak dan cukup ramuannya, Mohd. Ashari memberitahu, pihaknya menggunakan bahan segar dan berkualiti dalam setiap masakan.
Selain itu, semua sajian yang disediakan itu dimasak sendiri oleh isterinya, Hamidah Asararuddin.
"Bukan tak percaya pada pekerja tetapi, masakan daripada ‘air tangan’ isteri saya memang dijamin enak dan mampu membangkitkan selera," tambahnya.
Bagi yang tidak kenal sajian nasi ambeng, ia terdiri daripada satu set masakan yang terdiri daripada nasi putih, ayam semur, sambal goreng, mi goreng, serunding, sayur kacang dan ikan masin.
Resort ini terletak di Jalan Sungai Tua, Batu Caves, Selangor. Cara mudah ke sana adalah mengikut jalan raya menuju ke Hulu Yam dari Batu Caves.
Sebaik sahaja melepasi Empangan Batu, belok ke kiri jalan menuju ke resort yang terletak di tepi sungai dan dikelilingi hutan menghijau.
Konsep restoran terbuka membuatkan sesiapa sahaja yang berbuka puasa di sini berasa nyaman tatkala hembusan bayu tasik dari empangan bersebelahan bertiup ke arah restoran.
Selain itu, irama semula jadi daripada unggas hutan yang memecah keheningan malam turut menjadikan pengalaman berbuka puasa di resort ini sukar untuk dilupakan.
Dalam pada itu, sebagai pelengkap hidangan yang pelbagai, resort ini juga menyajikan masakan Melayu termasuk patin tempoyak.
"Ikan patin yang digunakan tidak berbau hanyir dan kami hanya menggunakan tempoyak baharu untuk menyediakannya," ujarnya.
Antara menu lain adalah soto ayam, asam pedas dan kerabu kacang botor, manakala kuih muih pula adalah sagu gula Melaka, bubur kacang hijau, pengat pisang, selain minuman teh tarik.
Kemudahan surau turut disediakan, manakala bufet Ramadan tahun ini bermula dari 3 Julai sehingga 26 Julai dari pukul 6.30 petang sehingga 9 malam.
Harga dewasa adalah RM40 dan kanak-kanak RM22.

Monday, July 14, 2014

JERMAN JUARA PILA DUNIA 2014-PENDUDUK KG. PARIT JERMAN BERPESTA

  • Penduduk mengenakan jersi skuad Jerman bagi menyokong pasukan pilihan mereka.Penduduk mengenakan jersi skuad Jerman bagi menyokong pasukan pilihan mereka.
 1 / 1 
PONTIAN - Jaringan kemenangan pemain Jerman, Mario Gotze pada minit ke-113 ke atas Argentina, disambut sorakan kegembiraan penduduk Kampung Parit Jerman semasa majlis tontonan perlawanan Piala Dunia 2014 itu di sini pagi ini.

Jeritan 'gol' memecah keheningan subuh tatkala masyarakat Islam tengah sibuk bersahur, diikuti tepukan gemuruh daripada lebih 50 penduduk yang hadir untuk menyaksikan perlawanan akhir itu.

"Kami rasa amat gembira dengan kemenangan ini dan berpuas hati pasukan Jerman yang sama nama dengan kampung kami telah mempamerkan mutu permainan yang baik," kata Ketua Kampung Kawasan (1), Mukim Ayer Masin, Mohd Asri Ali.

Kemaraan Jerman ke peringkat akhir pertandingan bola sepak berprestij itu telah melonjakkan nama Kampung Parit Jerman di laman sosial sehingga menjadi tumpuan media tempatan.

Ditemui pada majlis itu yang diserikan dengan aktiviti bersahur makanan terkenal masyarakat Jawa nasi ambeng, serta durian, manggis dan kuih-muih tempatan, Mohd Asri berkata sebelum ini beliau tidak menyangka kampung itu turut mendapat tempias daripada Piala Dunia

"Kita boleh lihat ramai yang singgah di jalan masuk ke kampung ini untuk bergambar di papan tanda nama kampung. Ramai orang sudah mengenali kampung ini," kata Mohd Asri.

Kini, penduduk kampung itu berhasrat untuk mengumpul dana bagi membina pintu gerbang yang cantik untuk memudahkan orang ramai yang ingin datang untuk melawat.

Beliau berkata jamuan khas akan diadakan pada awal Hari Raya bagi meraikan kemenangan pasukan Jerman itu.

Kampung Parit Jerman yang terletak berdekatan Kampung Belokok, lebih kurang lima kilometer dari Pekan Peradin didiami 100 penduduk terdiri daripada masyarakat Jawa, Bugis dan Banjar.

Kampung tersebut dinamakan sedemikian berikutan terdapatnya bukti kehadiran masyarakat Jerman yang berdagang dan membuka kawasan pertanian di Sungai Peradin suatu ketika dahulu.

Terdapat kesan peninggalan sejarah seperti batu-bata dan tangga batu yang dianggap penduduk generasi tua sebagai bukti peninggalan tentera Jerman.

Dikatakan, ia merupakan penempatan sementara tentera Jerman yang disediakan oleh sekutunya Jepun yang berpangkalan di Singapura, selain Kampung Parit Jerman di Sitiawan, Perak dan sebuah markas di Pulau Pinang pada Perang Dunia Kedua. -