BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, August 11, 2014

PERKAMPUNGAN ALA "NELAYAN AMSTERDAM" DI PASIR GUDANG

JOHOR BAHRU 10 Ogos - Kerajaan negeri berhasrat membangunkan Pasir Gudang sebagai destinasi ekopelancongan di kawasan nelayan di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata, dua kawasan perkampungan nelayan telah dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, idea membangunkan kawasan itu dikenal pasti pihaknya selepas mengadakan lawatan ke perkampungan nelayan di Amsterdam, Belanda baru-baru ini dengan mengekalkan seni bina rumah kayu masyarakat Melayu lama.
"Kita bercadang untuk membina rumah tradisional Melayu di kawasan perkampungan nelayan yang ingin dibangunkan.
Dengan adanya perkampungan ini, nelayan-nelayan boleh menjual produk mereka kepada para pengunjung.
"Perkara ini telah disuarakan dalam mesyuarat Exco untuk membangunkan ekopelancongan di Johor seiring dengan pembangunan pesat bangunan pencakar langit. Kita berharap perkara ini dapat direalisasikan dalam masa terdekat," katanya selepas menghadiri sambutan Hari Inovasi Jabatan Pertanian negeri di sini baru-baru ini.
Ismail berkata, pihaknya sedang menyediakan kertas kerja lengkap, selain mengenal pasti beberapa lagi tempat yang sesuai untuk dibangunkan.
Pihaknya juga berharap dengan adanya perkampungan tersebut nanti dapat merancakkan aktiviti nelayan di kawasan terbabit dan mampu meningkatkan ekonomi golongan berkenaan.
Mengenai industri kecil dan sederhana (IKS), Ismail berkata, pengusaha perlu mendalami ilmu memproses produk akhir hasil tani, sekali gus memberi peluang kerja kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntuk RM2 juta untuk membantu 300 pengusaha IKS bagi memberi khidmat nasihat, kursus, sijil halal dan bantuan peralatan dan mesin.
"Bagi menggalakkan industri ini terus berkembang, kita akan memendekkan jangka masa pemberian bantuan skim dari enam bulan kepada dua bulan bagi membantu usahawan IKS," katanya.

Friday, August 8, 2014

PUASA 6 SYAWAL

SETELAH sebulan menghadapi cabaran Ramadan, sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan kemuncak kepada kegembiraan bagi umat Islam setelah tamat melakukan kewajipan yang disyariat dalam rukun Islam ketiga itu.
Lazimnya, rata-rata umat Islam tidak melepaskan peluang mengadakan rumah terbuka dan ziarah-menziarahi bagi menyambut hari kemenangan yang dianugerahkan pada bulan Syawal itu.
Bagaimanapun, dalam kegembiraan tersebut, tidak bermakna kita tidak dituntut melakukan ibadah lain. Hakikatnya, bulan Ramadan yang dilalui selama sebulan perlu dijadikan permulaan bagi mendidik jiwa untuk terus istiqamah dalam beribadat kepada Allah SWT.
Kesinambungan daripada itu, puasa enam hari pada bulan Syawal merupakan amalan sunat yang sangat digalakkan untuk dilakukan oleh umat Islam bagi memperoleh kelebihan berlipat ganda yang ditawarkan dan janjikan oleh Allah SWT.
Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, maka pahalanya adalah sama seperti puasa sepanjang tahun."
Namun, permasalahan mengenai puasa enam sering menjadi kekeliruan apabila menjelang Syawal. Antaranya, adakah puasa enam boleh digabungkan dengan puasa qada pada bulan Ramadan atau perlu dilaksanakan secara berturut-turut dan banyak lagi.
Menjelaskan perkara itu, Pengerusi Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (Infad), Dr. Irwan Mohd. Subri berkata, terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama mengenai persoalan puasa enam, namun pandangan yang paling afdal adalah mengikut mazhab Shafie.
Bagaimanapun tambahnya, pandangan mazhab lain masih boleh diamalkan dan diterima amalannya oleh Allah SWT kerana Islam tidak memberatkan hambanya untuk melakukan ibadah.
“Kesimpulan ringkas yang boleh diambil adalah, puasa enam boleh dilakukan dengan tiga keadaan iaitu qada terlebih dahulu kemudian diikuti dengan puasa enam, puasa enam dahulu kemudian diikuti dengan puasa qada dan harus juga digabungkan kedua-duanya.
“Namun yang paling afdal dilakukan adalah keadaan pertama iaitu memisahkan puasa qada dan puasa enam dengan melakukan puasa qada terlebih dahulu kemudian diikuti dengan puasa enam pada bulan Syawal.
“Ini bagi memperbanyakkan amalan kita kepada Allah SWT," katanya.

Afdal berturut-turut

Melihat budaya sambutan Aidilfitri di negara ini yang kebanyakan umat Islam mengadakan rumah terbuka dan ziarah-menziarahi yang memakan masa berhari-hari, diharuskan melakukan puasa enam secara berselang seli.
Mengulas mengenai kekeliruan melakukan puasa enam secara berturut-turut, Irwan berkata, tidak disyariatkan untuk berbuat demikian, namun perbuatan tersebut merupakan amalan yang paling afdal.
Ia berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang bertakwa. (Ali-Imran: 133)
“Tidak disyaratkan untuk dilakukan puasa enam secara berturut-turut. Ia boleh juga diselang-selikan asalkan dalam bulan Syawal dan bilangannya mencukupi enam hari kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam hari, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya.
“Namun, menurut pendapat ulama, termasuk mengikut mazhab Syafie dan Imam Nawawi yang terbaik ialah melakukannya secara berturut-turut dan lebih afdal lagi dimulai dari hari raya kedua," jelasnya.

SOLAT MENGHORMATI WAKTU

ALHAMDULILLAH pada ruangan kali ini, saya merasa terpanggil untuk membincangkan isu solat menghormati waktu, terutamanya ketika kita bermusafir menuju ke tanah suci Mekah. Ini adalah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas (kerana tiada air untuk berwuduk atau tiada tanah untuk bertayamum) dan juga solat yang tidak dapat menghadap kiblat.
Solat ini wajib di qada semula setelah beroleh air atau tanah ataupun dapat menghadap kiblat. Kita juga boleh mengqada solat hormat waktu ini secara jamak ataupun qasar dengan syarat kita masih berada dalam musafir.
Apabila kita telah kembali ke tempat asal maka solat hormat waktu mestilah di qada secara sempurna. Jika ditakdirkan kita meninggal semasa musafir dan kita masih belum mendapatkan air untuk berwuduk atau tanah untuk bertayamum bagi mengqada solat, maka memadai solat menghormati itu telah diterima Allah SWT.
Sebaliknya jika kita berpeluang untuk mengqada solat hormat waktu ini setelah adanya air atau tanah, tetapi kita masih melengah-lengahkannya maka kita dikira berdosa.
Aisyah menceritakan bahawasanya beliau telah meminjam daripada Asma’ seutas rantai, lalu ia hilang. Maka Rasulullah SAW menghantar beberapa orang sahabat baginda untuk mencarinya.

Lalu tiba waktu solat, dan mereka pun solat tanpa wuduk. Apabila mereka mendatangi Nabi SAW, mereka mengadu hal tersebut, lalu turunlah ayat tayamum.

Pendapat ulama

Al-Hafiz Al-Iraqi (725-806 Hijrah) menyatakan bahawa ada empat pendapat daripada Al-Syafie berhubung solat tanpa taharah.
Pendapat yang paling sahih di sisi ulama mazhab (Al-Syafie) ialah: Wajib solat kerana menghormati waktu dan wajib mengulanginya jika mampu salah satu daripadanya (wuduk atau tayamum).
Ada juga pendapat wajib solat dan tidak wajib mengulanginya. Ini adalah pilihan Al-Muzani. Kata Abu Thaur: “Inilah yang menepati qiyas dan ia disebut oleh Ibnu Abd Al-Bar daripada sebilangan fuqaha."
Imam Al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya ia pendapat yang paling kuat dalil dan pendapat ini dikukuhkan oleh hadis ini iaitu mereka (para sahabat) solat tanpa wuduk sebelum turun ayat tayamum dan tidak dinukilkan bahawa Nabi SAW mengarahkan mereka untuk mengulanginya."

Secara mutlak, solat merupakan ibadah badaniyah yang paling utama. Ini berdasarkan peristiwa seorang lelaki telah bertanya Nabi SAW tentang amalan yang afdal.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Solat. Dia terus bertanya: Kemudian apa pula? Nabi bersabda: Kemudian solat. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda bersabda: Solat. Baginda telah mengulangi jawapan ‘solat’ sebanyak tiga kali." (riwayat Ibnu Hibban)
Menebus dosa
Dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada menyatakan dua solat yang dilakukan seseorang Islam dengan betul akan menebus dosa-dosa yang berlaku di antara kedua-dua solat tersebut. Ini berdasarkan hadis, Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dengan melakukan solat lima waktu Allah akan menghapuskan dosa-dosa. (riwayat al-Bukhari)
Hadis seterusnya, Uthman r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka semua solat fardu yang dilakukannya akan menebus dosa yang ada di antara solat tersebut. (riwayat Muslim)

Begitu juga orang yang cuai mengerjakan solat, sama ada sengaja melengah-lengahkan atau meninggalkannya akan membawa kepada kekufuran sekiranya dia berterusan begitu. Oleh itu, solat merupakan santapan utama bagi iman sebagaimana yang telah disebutkan.
Seterusnya hadis daripada Ummu Aiman, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan engkau sengaja meninggalkan solat, sesungguhnya sesiapa yang sengaja meninggalkan solat dia akan terlepas daripada mendapat perlindungan Allah dan Rasul-Nya." (riwayat Imam Ahmad)
Semoga dengan pencerahan ini, walau apa jua keadaan sekalipun solat hendaklah diutamakan kerana ia membawa kepada kejayaan dan kemenangan.

Thursday, August 7, 2014

LINDUNGI TAMAN NEGARA TANJUNG PIAI


SUHAIMI Salleh (depan, enam dari kiri) bersama sukarelawan PASBH di pintu masuk
Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian sebelum melakukan kerja-kerja menanam anak-anak
pokok bakau di kawasan tersebut baru-baru ini. -

PONTIAN 6 Ogos - Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) dan Taman Negara Johor Pulau Kukup (TNJPK) dekat sini perlu terus di­lindungi daripada usaha pembangunan yang boleh menjejaskan keaslian kedua-dua kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh berkata, kedua-dua taman tersebut merupakan kawasan hutan paya bakau yang perlu bebas daripada bentuk pembangunan pada masa depan.
Beliau berkata, kedua-duanya juga berperanan sebagai 'benteng' bagi menahan ombak, ribut dan angin kencang yang boleh mengundang sebarang kemusnahan jika berlaku pembangunan.
"Sekiranya ada cadangan pembangunan di kawasan tersebut ia perlu dipertimbangkan dengan mengambil kira terhadap kepentingan khazanah alam yang terdapat di kedua-dua taman negara tersebut.
"Taman negara tersebut juga merupakan aset utama kepada sektor pelancongan daerah Pontian yang merupakan tanah Penghujung Benua Asia serta hutan paya bakau terbesar di dunia," katanya semasa merasmikan Program Menanam Pokok Bakau anjuran Persatuan Alam Sekitar Bumi Hijau (PASBH) yang disertai 60 sukarelawan di TNJTP, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Presiden PASBH, P. Sivakumar. Sebanyak 300 anak pokok bakau berjaya ditanam di TNJTP bagi membantu memelihara ekosistem di kawasan tersebut.
Suhaimi berkata, penglibatan pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar dan masyarakat telah banyak membantu pihak TNJTP menggantikan pokok-pokok bakau yang tumbang disebabkan oleh hakisan.
Sementara itu, Sivakumar memberitahu, persatuan itu yang baru ditubuhkan tahun lalu akan menjalankan aktiviti berkaitan alam sekitar dengan kerjasama pihak swasta termasuk mengadakan program kesedaran alam sekitar kepada para pelajar bagi memberi mereka pendedahan tentang pen­tingnya alam sekitar yang baik kepada kehidupan.

Wednesday, August 6, 2014

JAMBATAN KUKUP-KARIMUN

PENUNTUT UTM yang menyertai program kajian mengenai pembinaan terowong dan jambatan 
menghubungkan Kukup di Johor dengan Pulau Karimun, Sumatera menemu bual Datuk Bandar 
Karimun, Nurdin Basirun di Tanjung Balai, Indonesia, baru-baru ini. - Ihsan UTM

JOHOR BAHRU 5 Ogos - Penduduk di Kepulauan Riau menyambut baik cadangan pembinaan terowong dan jambatan yang menghubungkan kawasan Kukup di negeri ini dengan Pulau Karimun, Sumatera dan berharap ia dipercepatkan.
Kajian yang dilakukan oleh sekumpulan 15 penuntut Kolej Tun Fatimah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini mendapati ia memberi impak positif kepada penduduk Malaysia dan Indonesia.
Ketua kumpulan penuntut itu, Nurdiana Nordin berkata, kajian selama seminggu itu di sepanjang laluan yang terlibat dengan pembinaan terowong dan jambatan itu adalah untuk mengkaji kesan sosial, ekonomi dan budaya.
"Pembinaan terowong dan jambatan bermula dari Tanjung Balai di Pulau Karimun Besar melalui Pulau Kundur, Pulau Parit, Kuala Kampar, Teluk Meranti, Kerinci hingga ke Pekan Baru.
"Rata-rata penduduk yang ditemui percaya laluan menghubungkan Malaysia dan Pulau Sumatera itu mampu merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka," katanya, di sini baru-baru ini.
Projek terowong dianggarkan menelan kos RM15 bilion tersebut melibatkan gandingan terowong bawah laut sepanjang 17.5 kilometer dan beberapa jambatan termasuk yang terpanjang 13 kilometer dari Kukup, Pontian ke Pulau Karimun, Riau di Sumatera.
Tambah Nurdiana, kebanyakan penduduk di kawasan terlibat yakin bahawa aktiviti pelancongan bakal berkembang pesat kerana kos pengangkutan akan menjadi lebih murah dan cepat.
"Jika pembinaan menjadi kenyataan, lebih ramai pelawat dari Malaysia dan Singapura berkunjung ke sana dan peluang pekerjaan baharu dapat diwujudkan. Nilai mata wang Malaysia dan Singapura yang lebih tinggi berbanding rupiah membolehkan ramai pelancong berbelanja membeli produk hasil keluaran penduduk tempatan," katanya.
Katanya lagi, dengan terbinanya terowong dan jambatan, dijangka lebih banyak pelabur berminat membuka industri di wilayah yang kaya dengan petroleum dan gas itu sekali gus mengatasi masalah pengaliran keluar tenaga kerja di Indonesia apabila lebih banyak pelabur membuka kilang di sana.

Monday, August 4, 2014

SELERA DAPUR ARANG-KUALA IBAI, KT.


SELERA Dapur Arang menjadi tumpuan pengunjung yang menggemari ikan bakar.

GENERASI hari ini pasti ada yang tidak kenal apa itu dapur arang. Malah mereka mungkin tidak mengetahui masakan menggunakan dapur arang jauh lebih enak dan rasanya sukar ditandingi berbanding dengan hidangan dari dapur biasa.
Melihat keunikan itu, pemilik kedai Selera Dapur Arang, Mohd. Shafie Mustafa, 36, memilih untuk mengekalkan kaedah memasak makanan dengan menggunakan dapur arang.
Lebih istimewa apabila ketika rata-rata kedai makan di sekitar Terengganu berlumba-lumba menyediakan hidangan ikan bakar berempah buat para pelanggan dengan menggunakan dapur biasa, Mohd. Shafie pula cenderung untuk menyajikan ikan bakar 'kosong' yang dicicah dengan air asam semata-mata.
Selain bertujuan meneruskan warisan turun-temurun katanya, konsep memasak menggunakan dapur arang mempunyai nilai-nilai tersendiri. Malah, difahamkan hidangan ikan yang dibakar menggunakan dapur arang itu merupakan satu-satunya yang terdapat di Terengganu.
Percubaan ikan bakar kosong untuk disajikan kepada orang ramai itu merupakan sesuatu yang di luar kebiasaan, tetapi ternyata berjaya memikat selera ramai apabila restoran yang baru dibuka pada 20 Mac lalu itu dikunjungi pelanggan dari seluruh negara termasuk pelancong antarabangsa.
Tambahan pula, umum mengetahui ikan bakar kosong sememangnya terbukti berkhasiat dan rendah kalori, sekali gus sesuai diamalkan dalam diet seharian.
Mengakui tidak mempunyai sebarang kepakaran mahupun resipi rahsia dalam hidangan ikan bakar menggunakan dapur arang itu, Mohd. Shafie berkata, bahan yang menjadi keutamaan dan dititikberatkan dalam prosedur operasi standard (SOP) adalah kesegaran ikan dan juga kualiti air asam.
Bagaimanapun, katanya, air asam 'kaw' yang dihasilkan sendiri oleh isterinya itu sering mendapat pujian pelanggan.
"Di sini (Terengganu), kita sudah biasa makan ikan bakar berempah dan susah nak jumpa ikan bakar kosong. Kunjungan ke beberapa restoran di Kelantan dan Melaka memberi banyak inspirasi untuk saya bangunkan perniagaan berkonsepkan ikan bakar dari dapur arang.
"Istimewanya ikan bakar kosong menggunakan dapur arang ini adalah ia lebih cepat dimasak dan pelanggan dapat menikmati keaslian rasa masakan itu. Tempoh masak bagi setiap ikan adalah antara lima hingga enam minit," katanya ketika ditemui S2.
Menurut Mohd. Shafie, pelanggan boleh memilih sendiri kesemua sembilan jenis ikan segar yang ditawarkan antaranya cencaru, kembung, pari, merah, cermin, muduk dan sotong.
Katanya, kos bagi setiap hidangan bergantung kepada harga ikan semasa. Bagaimanapun, harganya dijamin berpatutan dan murah.
Selain hidangan ikan bakar, Selera Dapur Arang turut menyediakan menu lain termasuk nasi goreng nelayan yang berharga RM3.00, ulam-ulaman kampung (RM2.00), pulut kelapa (RM1.50), ikan singgang dan ikan patin masak tempoyak.
"Kami menerima banyak permintaan untuk menyediakan masakan panas dalam kalangan pelanggan. Jadi, dalam masa terdekat dijangka terdapat penambahan menu antaranya makanan laut, maggi dapur arang, keropok lekor dapur arang dan colek perut.
"Kami juga merancang untuk membuka cawangan di Kuantan, Pahang dalam bulan September ini," katanya.
Mohd. Shafie berkata, kedai makannya kini beroperasi setiap hari kecuali Isnin, bermula pukul 5 petang hingga 1 pagi dan mampu memuatkan 60 pelanggan pada satu-satu masa.
Menurutnya, terdapat 30 buah dapur arang di restoran itu dengan dibantu 14 pekerja termasuk lima tukang masak.
Katanya, Selera Dapur Arang yang terletak di Jalan Tok Adis, Kuala Ibai, Kuala Terengganu itu turut menerima tempahan untuk sebarang majlis dan mereka yang berminat boleh melayari laman Facebook (FB) Dapur_Arang dan Instagram dapur_arang2014 untuk maklumat lanjut.

OKSIGEN TULIN ELAK PENYAKIT

MOHD Norazri Hamzah

PENCEMARAN udara di sekeliling menyebabkan manusia kekurangan oksigen di dalam badan.
Kebanyakan penyakit pada era moden berpunca daripada kekurangan oksigen di dalam darah, otak dan organ lain. Keadaan ini berlaku hampir di seluruh dunia.
Oksigen membantu tubuh untuk meregenerasi sel, membantu membesarkan daya penyerapan nutrisi, meningkatkan sistem pertahanan tubuh dan meneutralkan zat-zat beracun di dalam darah.
Authur C. Guyton, M.D. dalam bukunya The Textbook on Medical Physiology mengatakan bahawa semua penyakit kronik berpunca daripada kekurangan oksigen yang berlaku di peringkat sel.
Oleh itu, oksigen merupakan kunci kepada kehidupan. Kita boleh hidup beberapa hari tanpa makanan dan air tetapi kita tidak dapat hidup secara purata selama empat minit sahaja tanpa oksigen.
Bahkan, sel-sel otak kita akan mati dalam waktu 15 hingga 20 saat sahaja tanpa adanya oksigen. Hal ini kerana setiap sel dalam tubuh manusia amat memerlukan oksigen untuk pertumbuhan dan sel terus hidup.
Manfaat oksigen pada sudut kesihatan tidak kurang pentingnya kerana dapat meningkatkan daya ingatan dan kecerdasan otak, mencegah kanser, asma dan pelbagai penyakit kronik lain.
Selain itu, ia dapat meningkatkan metabolisma tubuh, mengurangkan racun dan toksin dalam darah serta menstabilkan tekanan darah.
Di samping itu, oksigen juga berperanan untuk memperkuatkan jantung dan sistem pertahanan tubuh.
Hakikatnya, oksigen membantu untuk mencegah stres dan gugup selain mencantikkan kulit dari penuaan diri atau tua sebelum umur. Dalam pada itu, Arrakasta MO Sdn. Bhd. merupakan syarikat bumiputera tunggal yang terdiri daripada usahawan muda dan berpengalaman luas dalam bidang kesihatan dan merupakan pengedar tunggal Dr. Arras Oxygen Concentrator di Malaysia yang mendapat sambutan pengguna sejak dilancarkan.
Pengurus Besar Arrakasta MO Sdn Bhd, Mohd Norazri Hamzah menjelaskan setiap tubuh badan manusia mempunyai 60 billion sel yang memerlukan oksigen.
Selain sambutan dan permintaan yang menggalakkan daripada masyarakat tempatan, Arrakasta MO berjaya mengubah tanggapan masyarakat bahawa oksigen sangat berkait rapat dengan semua jenis penyakit dan bukannya pada masalah kesihatan pernafasan sahaja.
Fungsi utama darah ialah membawa bekalan oksigen ke seluruh anggota badan. Justeru itu, semua kaedah rawatan di dunia penting untuk memastikan perjalanan darah yang lancar termasuk pintasan jantung, terapi, bekam, berurut, akupuntur dan sebagainya.
Menurut Azri lagi, Dr. Arras Oxygen Concentrator berfungsi menyalurkan oksigen tulen yang cukup di dalam darah selain membantu masalah pernafasan.
Uniknya Dr. Arras Oxygen Concentrator adalah mesin oksigen pertama di Malaysia yang mempunyai tiga fungsi istimewa dalam satu mesin.
"Fungsi utama Dr. Arras Oxygen Concentrator adalah membekalkan oksigen tulen sehingga 90 peratus yang bebas daripada pencemaran berbanding persekitaran yang hanya mempunyai 20 peratus oksigen sahaja," katanya.
Selain itu, dengan menggunakan teknologi Jerman terkini iaitu sistem penapisan HEPA, ia bukan sahaja menapis udara malah bendasing lain seperti bulu binatang, habuk, asap, serta berupaya memerangkap dan membunuh virus dan bakteria sekecil 0.03 mikron yang terampai di dalam udara.
Pada masa yang sama, ia akan membebaskan =5,000,000 ion negatif untuk memastikan udara disekitar bukan sahaja bersih tetapi sihat. Ujarnya lagi, ion negatif biasanya terdapat di kawasan tenang seperti hutan, air terjun dan kawasan pendalaman.
"Kami melihat oksigen tulen, udara bersih dan ion negatif berkait rapat antara satu sama lain. Setelah kajian daripada penyelidikan (R&D) Arrakasta MO, kami menggabungkan ketiga-tiga fungsi ini di dalam satu mesin. Ia lebih menjimatkan serta lebih praktikal dan memberi nilai tambah kepada pengguna.
"Kebanyakkan pengguna Dr. Arras Oxygen Concentrator ialah mereka yang mengalami masalah asma, copd, paru-paru kronik, semput, jantung, perkembangan minda, kanser dan sebagainya. Alhamdulillah dengan izin-Nya mendapat kesan yang memberangsangkan dan membantu mempercepatkan proses penyembuhan,"ujarnya.
Menurut Azri lagi, mesin ini sesuai untuk luka besar, terbakar, ibu mengandung serta tiada pantang larang penggunaannya dan tidak berbahaya.
Di samping mereka yang mengalami masalah kesihatan, Dr. Arras Oxygen Concentrator juga amat sesuai untuk pencegahan. Selain itu, ia sesuai untuk mereka yang sedang belajar sama ada di peringkat rendah atau di peringkat tinggi, atlet, golongan profesional dan mereka yang bekerja di ruangan terhad dan tertutup.
"Kami berharap Dr. Arras Oxygen Concentrator dapat dijadikan alat bantuan kecemasan di rumah sebelum mendapatkan rawatan di hospital. Ini sesuai dengan visi dan misi syarikat mewujudkan kawasan bebas dan sihat untuk rakyat Malaysia," katanya.