BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, October 25, 2014

RISTORANTE ITALIANO CAPRICCIOSA PASTA & PIZZA-SUNWAY PYRAMID

Sajian piza dan pasta merupakan makanan yang popular di Itali, namun ini sudah jadi sajian sejagat termasuk di negara ini.
Sebut sahaja piza, pelbagai gambaran dan jenis sajian terbayang di mata satu persatu. Tambahan pula dengan aneka perisian dan sos yang menggiurkan ketika cebisan piza memasuki mulut.
Salah satunya menikmati aneka piza dan pasta istimewa adalah di Ristorante Italiano Capricciosa Pasta & Pizza, yang terletak di Sunway Piramid, Petaling Jaya, Selangor.
Melangkah masuk ke dalam restoran Itali dengan susun atur yang serba ringkas tetapi tersusun ini, pengunjung disambut dengan aroma wangi piza membuatkan selera untuk menikmati sajian semakin terbuka.
Pelanggan boleh memilih sama ada menikmati sajian tersebut dalam restoran atau mahukan suasana santai di bahagian luar tepi restoran.
Kelainan menu piza dan pasta bukan sahaja terletak pada cara pembuatan dan penyediaan bahan-bahannya, malah tarikan pada sos yang dihasilkan sendiri oleh tukang masak
Rangkaian Pertama Ristorante Italiano Capricciosa Pasta & Pizza di Malaysia yang mula di buka pada 2011, merupakan sajian asli Itali yang mendapat pengesahan sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pengarah Urusannya, Ryan Poh berkata, mereka menggunakan bahan-bahan yang baik dan berkualiti dengan penyediaannya mengikut kaedah yang betul.
“Setiap bahan-bahan yang digunakan dalam menu di sini kami gunakan bahan yang berkualiti diimport kebanyakan dari luar negara.
“Cara penyediaan dan aspek kebersihan makanan yang dihasilkan sangat dititikberatkan melalui penggunaan bahan yang segar dan asli
“Adunan doh piza dan pasta dibuat menggunakan tangan setiap hari bagi menjamin rasa segar apabila dimakan. Rasa sos untuk pasta dan piza juga berbeza kerana dihasilkan menggunakan resipi asli dengan dua perasa iaitu tomato dan campuran sos,” katanya
Tambahnya lagi, sempena meraikan keriangan pelanggan yang meminati sajian Itali, terdapat lebih 20 menu baharu yang disajikan kepada pelanggan termasuklah hidangan pembuka selera, salad, menu pencuci mulut dan banyak lagi.
“Inovasi baharu memperkenalkan lima jenis sajian pembuka selera seperti Crispy Fried Mushrooms, Black Mussels, Garlic & Chili Shrimps, Herb Chicken Sausages dan Trio Platter Itali
“Sajian ini diadun dengan perisa sempurna dan tekstur yang lembut membuatkan pelanggan tidak sabar menunggu lama untuk menikmatinya.
“Menggunakan bahan-bahan yang baik semua aneka pasta termasuk Vongole, Neopolitan dan Chicken Basil Pesto di masak sejurus pelanggan membuat tempahan supaya kesegaran dan hanya rasa menu terbaik disediakan kepada mereka,” katanya
Katanya lagi, antara menu baharu yang dijangka mendapat sambutan dari pelanggan adalah pasta Vongole dan piza Beef Bolognaise yang disediakan dengan rasa asli Itali
“Pasta Vongole bukan sahaja pasta sederhana anda kerana ia datang dengan kepah beraneka perisa yang berjus kaldu
“Sementara piza Beef Bolognaise dimasak dengan teliti menggunakan sos daging lembu yang dimasak di atas api perlahan selama berjam-jam setiap pagi.
“Antara menu baru lain yang perlu dicuba pelanggan termasuklah Creamy Garlicky Salmon, Baked Lobster yang disajikan dengan pasta berkrim dan diadun bersama-sama sayur segar,”katanya.
Sementara itu, Capricciosa Malaysia juga merupakan rangkaian pertama di dunia menyediakan sajian pinggan besar kepada pelanggan yang ingin kepuasan ketika menikmati sajian di sini.
“Terdapat tiga jenis sajian termasuklah Ocean Platter untuk campuran makanan laut, Carnivore Platter untuk sajian daging dan Ultimate Surf & Turf untuk sajian seimbang
“Hidangan ini yang bermula dari RM 59.90 dengan pinggan besar boleh dinikmati seramai dua hingga tiga orang dalam satu-satu masa,” katanya.

Friday, October 24, 2014

HIMPUNAN 20 NASI LEMAK TERBAIK

Nasi lemak merupakan antara sarapan pagi kebanyakan rakyat Malaysia.


PENGENDALI laman web makanan pertama di Malaysia, FriedChillies Media Sdn. Bhd. (Friedchillies) sekali lagi akan menganjurkan acara I Eat Nasi Lemak bertempat di TM Covention Centre, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.
Acara yang dijadualkan berlangsung pada 2 November 2014 dari pukul 10 pagi hingga 5 petang itu bakal mengumpulkan 20 penjual nasi lemak terbaik dari seluruh negara.
Acara I Eat Nasi Lemak 2014 merupakan penganjuran kali kedua selepas kejayaan pada tahun 2013 apabila berjaya menarik 5,000 orang pengunjung dalam tempoh lima jam.
Pengurus acara Friedchillies, Hafeez Izwan berkata, pihaknya menjemput penjual-penjual nasi lemak yang baharu pada tahun ini selain mengekal beberapa penjual pada tahun lalu.
Antara yang menarik ialah nasi lemak ikan keli dan nasi lemak kukus goreng. Pihak penganjur juga menjemput penjual nasi lemak vegetarian dari Kepong, Kuala Lumpur dan penjual nasi lemak organik bagi mereka yang mementingkan kesihatan.
“Acara tahun lalu berjaya mengeratkan hubungan antara penjual dengan penggemar nasi lemak.
“Pengunjung pada hari tersebut tidak perlu masak di rumah kerana semua berpeluang membungkus lauk dan nasi untuk dibawa pulang,” ujar Hafeez.
Acara I Eat Nasi Lemak 2014 akan berlangsung seperti Hari Kantin. Para pengunjung perlu membeli kupon terlebih dulu sebelum menukarnya dengan nasi lemak, lauk dan minuman.
Setiap kupon bernilai RM2. Pengunjung boleh membeli dalam bentuk buku kupon yang bernilai RM10.
Selain berpeluang merasai pelbagai jenis nasi lemak, pengunjung juga boleh menyertai pertandingan makan nasi lemak pada hari tersebut.
Friedchillies juga akan melancarkan kempen Hari Nasi Lemak Sedunia.
“Mereka boleh masak atau pergi ke restoran terdekat yang menjual nasi lemak bersama keluarga atau rakan-rakan,” katanya.

AMBIL SARAPAN ELAK RISIKO DIABETIS

Bijirin sarapan terbaik untuk kesihatan.
Bijirin sarapan terbaik untuk kesihatan.
Tahukah anda pengambilan sarapan bukan sahaja memberikan tenaga harian, malahan terdapat juga bukti menunjukkan bahawa pengambilan sarapan membantu mengurangkan risiko penyakit kencing manis atau diabetis melitus jenis 2.
Diabetes adalah penyakit kronik yang kekal akan kekal seumur hidup. Sekiranya penyakit diabetis tidak dikawal ia akan membawa kepada komplikasi serius termasuk serangan jantung, kegagalan fungsi jantung, kemusnahan buah pinggang, penyakit mata, kerosakan saraf dan ulser sehingga membawa kepada amputasi kaki.
Kajian menunjukkan seramai 2.6 juta orang dewasa di Malaysia menghidap diabetis akibat amalan gaya hidup yang tidak sihat dan kurang melakukan aktiviti fizikal.
Menurut Pakar Perunding Endokrinologi, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Norlaila Mustafa, trend rakyat Malaysia tidak mengambil sarapan semakin merisaukan.
“Tabiat mengambil atau meninggalkan sarapan boleh memberi kesan terhadap risiko diabetis.
“Secara asasnya pengambilan sarapan berfungsi untuk menghindarkan kelaparan dan membantu mengelakkan seseorang terlebih makan pada waktu kemudian.
“Ini akan menggalakkan seseorang mengambil makanan pada kadar sepatutnya dan membantu mengurangkan risiko obesiti,” katanya semasa menghadirkan diri dalam taklimat media anjuran Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS).
Katanya lagi, pengambilan sarapan juga memberi kesan psikologi yang positif dengan kajian yang menunjukkan wanita yang mengambil sarapan akan mempunyai tahap rintangan insulin dan kolesterol yang lebih rendah.
“Tahap kolesterol yang rendah mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung. Berkenaan rintangan insulin, ia merupakan keadaan di mana hormon tidak mampu untuk membawa glukosa ke dalam sel badan secara berkesan.
“Keadaan ini menyebabkan sel badan kelaparan sementara glukosa berkumpul dalam darah dan memusnah segala saluran darah .
“Jika keadaan dibiarkan berterusan lama-kelamaan insulin ini akan menyebabkan diabetis,” ujarnya.
Kata Norlaila lagi, penemuan juga menunjukkan sama ada kanak-kanak mahupun dewasa yang mengambil sarapan mempunyai berat badan dan kandungan lemak yang lebih baik lantas mengurangkan risiko penyakit kardiavaskular.
“ Kajian menunjukkan kanak-kanak yang mengambil bijirin sarapan tinggi serat mempunyai rintangan insulin yang lebih rendah berbanding mereka yang mengambil jenis makanan lain,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi beberapa tip pengambilan sarapan yang sihat bagi mengurangkan risiko mendapat penyakit diabetes.
“Seeloknya ambil sarapan dalam tempoh sejam atau selepas berjalan, dan elakkan mengambil sarapan yang lewat.
“Makan makanan yang tinggi protein kerana kandungan serat yang tinggi membantu kita kurang rasa lapar dalam tempoh yang lama.
“Tambah buahan dan sayuran seperti pisang dalam bijirin dan lada benggala dalam omelette. Elakkan mengambil pastri, makan makanan manis seperti donut dan mufin ketika bersarapan. Makanan ini membuatkan kita berasa cepat lapar. Banyakkan juga minum air kosong setiap hari,” jelasnya.

Saturday, October 18, 2014

KEMANGI DI LIGA BOLA SEPAK PONTIAN 2014

Kemangi telah mengambil pendekatan baru menaja pasukan bolasepak Tanjung Bin Power Plant(TBPP FC) untuk kejohanan Liga Bola Sepak Daerah Pontian sessi 2014.Dalam perlawanan petang Sabtu 18 Oktober, buat pertama kalinya jersi berlogo KEMANGI telah diperagakan oleh TBPP FC ketika menentang pasukan dari Api-Api, GEMILANG FC.








Saturday, October 11, 2014

KEBAIKAN MANDI AIS

MANDI ais juga dapat membantu seseorang menjadi lebih kurus.

Umum mengetahui bahawa ais boleh mendatangkan banyak kesan negatif kepada tubuh badan seperti melemahkan penghadaman yang membawa kepada masalah perut buncit, menjadikan tubuh mudah letih dan sebagainya.
Tetapi itu terjadi apabila anda sering mengamalkan minum air sejuk atau mengunyah ais batu. Namun, tahukah anda, jika sering mengamalkan mandi air sejuk atau mandi ais, ia merupakan satu terapi dan mempunyai banyak kebaikan.
Malah, mandi ais juga telah menjadi salah satu teknologi dalam rawatan untuk merawat penyakit, kecantikan dan juga menenangkan minda.
Mandi air sejuk dikatakan dapat menjadi penawar untuk demam dan jangkitan kuman pada badan. Menurut satu kajian, kadar metabolisme yang tinggi hasil daripada mandi air sejuk adalah disebabkan badan kita cuba memanaskan badan secara sendiri dan mengaktifkan sistem imunisasi, sekali gus menghasilkan lebih banyak sel darah putih.
Selain itu, mandi ais juga dapat meningkatkan tenaga kerana jantung akan mengepam darah dengan lebih aktif seterusnya darah dapat mengalir dengan lancar ke seluruh badan.
Bukan itu sahaja, mandi ais juga dapat membantu untuk menjadi lebih kurus apabila ia merupakan cara terbaik untuk membakar lemak. Ini kerana kalori yang dibakar melalui haba kebanyakannya datang daripada lemak.
Apabila badan terdedah dengan suhu sejuk, lemak akan terbentuk. Sel-sel lemak inilah yang akan membakar glukosa dalam badan bagi menghasilkan haba badan. Penghasilan lebih banyak sel lemak akan membantu pembakaran lebih banyak tenaga, seterusnya dapat menjadikan tubuh lebih kurus.
Tekanan perasaan juga dapat dikurangkan dengan mandi air sejuk. Kajian dari Universiti Virginia Commonwealth mendapati air sejuk boleh merangsang ‘titik biru’ pada otak iaitu sumber utama bahan kimia yang membantu mencegah tekanan perasaan yang dikenali sebagai noradrenaline.
Air sejuk juga dapat menjadikan kulit dan rambut lebih sihat apabila ia membantu mengecilkan kutikel kulit dan pori-pori, seterusnya mengurangkan masalah jerawat. Selain itu, air sejuk dapat membantu menyingkirkan kotoran dan toksin dalam kulit menjadikan kulit lebih bersih dan awet muda.
Cara yang paling cepat untuk memulihkan otot yang tercedera adalah dengan mandi ais, selain dapat mengurangkan kesakitan sebanyak 20 peratus. Malah, untuk kaum lelaki pula, mandi ais dikatakan dapat meningkatkan kadar hormon testosterone yang akan memberikan kekuatan dan tenaga tambahan.

PERIA BERSIHKAN DARAH


Sebut sahaja peria , pastinya ramai yang membayangkan kepahitannya. Bak kata orang tua yang pahit itulah ubat. Peria atau nama saintifiknya Momordica charantia diakui sejak zaman dahulu lagi akan khasiatnya dalam perubatan tradisional berasaskan herba.
Terdapat dua jenis peria iaitu peria biasa yang berbentuk panjang dan juga peria ‘katak’ yang bersaiz lebih kecil.
Kebiasaannya, pokok peria ini mudah didapati di negara-negara beriklim tropika yang panas dan khatulistiwa seperti di negara kita, Indonesia, Sri Lanka, India dan Filipina.
Sayur peria amat diminati oleh masyarakat Cina. Walaupun pahit tetapi mempunyai banyak khasiat.
Bagi mengurangkan rasa pahit, peria direndam dalam air garam terlebih dahulu sebelum dimasak.
Habitat pokoknya memanjat menggunakan sulur paut manakala daunnya bersaiz sederhana mengandungi lima cuping dan berbau langu.
Bunganya berwarna kuning sementara buahnya pula ada yang berbentuk panjang dan bujur, bergantung kepada benih dan jenisnya, namun yang pasti peria mempunyai kulit yang berkedut-kedut.
Berdasarkan kajian, setiap 100 gram peria mengandungi 0.8 gram protein untuk membina tisu badan, 2.9 gram karbohidrat untuk tenaga, 0.9 gram fiber untuk penghadaman dan 56 miligram kalsium untuk menguatkan gigi dan tulang.
Lain-lain kandungan peria ialah lemak dan mineral. Peria juga boleh mencuci darah kotor yang menyebabkan bisul, kudis buta dan gatal-gatal. Caranya ialah dengan meminum segelas perahan buahnya yang dicampur dengan perahan limau nipis. Lakukan amalan ini selama tiga hingga empat bulan.
Ini boleh membantu mereka yang mengalami masalah gout, lelah, darah tinggi dan kencing manis. Bagi mereka yang mengalami masalah ketagihan alkohol, anda boleh cuba meminum perahan daunnya.
Perahan yang sama juga boleh digunakan untuk mengubati buasir. Caranya ialah mencampurkan perahan air daun peria dengan segelas susu dan amalkan selama sebulan; manakala akarnya dilumatkan dan airnya disapukan pada bahagian buasir.
Walaupun pahit, peria mengandungi tonik yang bertindak sebagai julap dan membuka selera makan. Selain itu, ia juga boleh dijadikan ulam oleh wanita yang baru bersalin untuk menambah susu badan.

GERD

ADAKAH anda sering merasa pedih hulu hati atau tidak selesa di bahagian dada hingga menular ke kerongkong?
Atau pernahkah anda mengalami kembung perut atau sendawa yang kerap walaupun belum menikmati makanan.
Sekiranya anda mempunyai gejala-gejala ini, anda mungkin mengalami simptom penyakit refluks gastroesofageal (GERD).
GERD adalah keadaan yang terjadi apabila refluks atau jeluak kandungan gastrik menyebabkan simptom atau komplikasi yang mendatangkan masalah.
GERD boleh menyerang sesiapa saja termasuk orang muda di peringkat paling produktif dalam hidup mereka. Penyakit ini boleh mendatangkan kesan kepada mutu kehidupan seseorang serta prestasi kerja mereka.

Di Malaysia, dianggarkan 50 peratus daripada jumlah penduduk dewasa mengidap sekurang-kurangnya satu masalah gastrousus. Kesilapan atau kegagalan mendiagnosis GERD boleh menyebabkan rawatan yang salah dan tidak berkesan.
GERD merupakan gangguan penyakit pencernaan kronik yang berlaku apabila asid di dalam perut atau kadangkala, kandungan perut, mengalir semula ke dalam saluran esofagus (laluan di antara mulut dan perut).
Keadaan ini secara lazimnya dikenal pasti melalui rasa pedih ulu hati yang kerap dan berterusan dan regurgitasi asid. Pendedahan esofagus secara berterusan kepada kandungan perut akan mengakibatkan luka pada lapisan dinding esofagus. Keadaan ini dikenali sebagai radang esofagus yang erosif.
Pada 2004, kadar kelaziman GERD di Malaysia ialah 38.8 peratus manakala kadar kelaziman radang esofagus yang erosif telah meningkat daripada dua peratus kepada 8.4 peratus dalam tempoh 10 tahun.
Ini selaras dengan kadar kelaziman di beberapa negara Asia yang turut menunjukkan trend penyakit GERD yang semakin meningkat. Pun begitu, penyakit ini masih kurang didiagnos dan kurang dirawat oleh sebab tahap keseriusan simptom-simptom penyakit ini biasanya tidak dikenal pasti.

Bergantung kepada tahap keseriusan GERD, pakar-pakar kesihatan boleh memperkenalkan PPI sebagai sejenis rawatan jangka panjang apabila terapi asas seperti ubat-ubatan di kaunter (OTC) tidak memadai untuk merawat GERD. PPI bertindak dengan mengurangkan rembesan asid selain mematikan pam asid di dalam perut.
Menurut Ketua Jabatan Gastroenterologi dan Hepatologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Goh Khean Lee, Kajian GERD di Asia Pasifik (GAPS) menunjukkan 94 peratus daripada bilangan pesakit masih mengalami simptom GERD dan 62 peratus daripada jumlah tersebut mengalaminya pada waktu malam.
‘’Ini berlaku walaupun mereka telah menerima PPI yang diangggap sebagai rawatan utama GERD. Terdapat juga 66 peratus daripada pesakit yang mengalami ketidak selesaan pada waktu malam disebabkan simptom pedih ulu hati dan ini mengakibatkan gangguan semasa tidur.
‘’Justeru, 56 peratus daripada pesakit terpaksa menggunakan pelbagai jenis rawatan tambahan untuk mengawal keadaan mereka," kata Dr. Khean Lee yang juga merupakan penulis utama kajian ini yang telah diterima untuk penerbitan di dalam Jurnal Gastroenterogi dan Hepatologi.
Walaupun menjalani rawatan PPI, GAPS telah mendedahkan bahawa hampir separuh daripada pesakit yang dikaji (48 peratus) merasakan simptom GERD telah mengganggu kehidupan mereka.

Hanya 24 peratus daripada pesakit dapat mengawal kesakitan dan ketidakselesaan yang dialami. Kajian itu juga menunjukkan bahawa hampir 60 peratus daripada pesakit mahukan kawalan simptom penyakit sehingga 24 jam untuk memberi kelegaan pada waktu malam dan 44 peratus pesakit memilih untuk mengambil PPI pada bila-bila masa.
"Ramai pesakit GERD di Asia melaporkan tekanan dan produktiviti kerja yang merosot akibat simptom-simptom mereka, dan ini menunjukkan impak GERD terhadap kualiti kehidupan pesakit. Oleh itu, satu ejen yang memberikan tindakan rawatan untuk jangka masa yang lebih panjang dengan risiko minimum untuk simptom kembali, terutamanya sekali pada waktu malam, harus disediakan bagi menangani batasan rawatan yang sedia ada,’’ jelas beliau pada majlis pelancaran rawatan oral sekali sehari untuk mengawal penyakit radang esofagus yang erosif iaitu Dexilant (dexlansoprazole) oleh Takeda Malaysia Sdn. Bhd. baru-baru ini.
Dalam pada itu, Profesor Emeritus Perubatan, Jabatan Gastroenterologi dan Hepatologi, Pusat Sains Kesihatan Universiti Virginia, Profesor David A. Peura memberitahu, sebagai satu jenis PPI dengan formulasi DDR, setiap kapsul Dexilant mengandungi dua jenis granul bersalut enterik.
Granul-granul ini mempunyai profil pelarutan berbeza yang bergantung kepada nilai pH, yang direka untuk melepaskan ubat di lokasi-lokasi yang berbeza di dalam saluran gastrousus.

Kajian klinikal telah menunjukkan Dexilant 30 miligram (mg) berkesan ke atas 75 peratus pesakit radang esofagus yang erosif yang kekal sembuh selepas lebih enam bulan manakala Dexilant 60mg telah terbukti berkesan dalam menyembuhkan semua gred penyakit radang esofagus yang erosif sehingga lapan minggu. Di samping itu, pesakit yang menggunakan Dexilant 30mg kekal bebas daripada pedih ulu hati untuk 96 peratus daripada tempoh masa 24 jam.
Dexilant 30mg juga menunjukkan keberkesanan yang ketara berbanding dengan plasebo dalam mengawal pedih ulu hati untuk lebih daripada 24 jam bagi pesakit yang menghidap penyakit refluks gastroesofagus tidak erosif (non-erosive gastroesophageal reflux disease; NERD) kerana lebih ramai pesakit ini mengalami kelegaan sepenuhnya daripada pedih ulu hati selama 24 jam untuk tempoh empat minggu.