BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, March 12, 2015

6 AMALAN CERGASKAN OTAK


kesihatan
OTAK amat penting kerana semua aktiviti dalam badan dikawal oleh organ itu. Otak yang sihat penentu kepada kesempurnaan fungsi organ dan anggota badan lain.
Akan tetapi, ramai antara kita tidak menyedari terdapat amalan seharian yang kurang bermanfaat kepada tubuh turut memberi kesan sampingan terhadap tumbesaran dan fungsi otak.

Amalan- amalan tersebut melibatkan aspek pemakanan, kecergasan badan, pemikiran dan pembentukan hormon dalam badan. Jika amalan kehidupan seharian kita lemah, maka otak juga tidak dapat berfungsi dengan baik.

Lebih mengejutkan, ada antara golongan muda pada masa kini menjadi pelupa dan mudah mengalami masalah lemah berfikir.
Namun, masalah-masalah ini bukanlah penyakit yang tidak dapat diubati. Dengan panduan cara hidup yang sihat di samping pemakanan bermanfaat, otak kita bukan sahaja boleh kembali berfungsi dengan baik malah kekuatannya dapat dilipat gandakan.

Ruangan Kesihatan kali ini berkongsi tentang amalan gaya hidup dan pemakanan sihat yang membantu menguatkan memori serta daya berfikir seseorang.
Sarapan
Sarapan  penting bagi memastikan otak mampu berfungsi dengan baik. Individu yang tidak bersarapan  akan mengakibatkan kurang  kandungan gula dalam darah yang mana penting untuk membekalkan nutrien ke otak.

Jangan merokok
Asap rokok mengandungi bahan beracun yang merosakkan sel-sel otak. Selain melemahkan pengaliran darah ke otak,  asap rokok juga membawa kepada penyakit berbahaya seperti kanser.

Tidur mencukupi
Otak yang sihat dan cergas terhasil daripada rehat serta tidur yang mencukupi. Namun, elakkan daripada tidur berlebihan kerana amalan itu boleh mengakibatkan otak seseorang menjadi lemah dan kurang aktif.

Vitamin E dan B12
Amalkan pengambilan makanan yang mengandungi vitamin E dan B12 seperti badam, sayur bayam, susu, telur dan banyak lagi. Vitamin-vitamin tersebut amat penting bagi pertumbuhan sel-sel otak dan pada masa sama menguatkan daya ingatan.

Amalan membaca
Amalan membaca sememangnya terbukti dalam meningkatkan daya kreativiti dan pemikiran. Ini kerana apabila kita membaca, pelbagai informasi akan diserap dan membuatkan otak lebih berfikir serta berimaginasi.

Hidu udara bersih
Oksigen merupakan sumber penting untuk memastikan otak dapat berfungsi dengan baik. Udara segar membantu meningkatkan kecerdasan otak dan memperbaiki sel-sel otak yang rosak.

Tuesday, March 10, 2015

GANGGUAN HATI BERLEMAK

Penyakit hati berlemak mungkin jarang didengari oleh kebanyakan orang. Namun, penyakit ini sebenarnya menjadi kebimbangan seluruh dunia berikutan peratusan penghidapnya yang meningkat saban tahun.
Di Malaysia, penyakit hati berlemak dikategorikan kepada dua iaitu steatosis alkohol (pengambilan alkohol berlebihan) dan hati berlemak bukan alkoholik atau lebih dikenali sebagai NAFLD.
Kajian menunjukkan NAFLD menjadi penyakit kronik utama dalam kebanyakan negara industri seperti di Amerika Utara, Eropah dan Asia Pasifik.
Di negara ini pula, 80 peratus individu yang menghadapi masalah kegemukan atau obesiti menghidapnya.
NAFLD merupakan sejenis gangguan hati kronik yang merangkumi penyakit hati tanpa pengambilan alkohol yang serius.
Susulan itu, penghidap berisiko mendapat fibrosis, steatosis bukan alkoholik (NASH), kegagalan hati dan kanser hati.
Boleh berlaku kepada sesiapa sahaja walaupun kepada kanak-kanak kecil, penyebab sebenar NAFLD masih belum diketahui.
Begitupun, penyakit tersebut berkait rapat dengan obesiti, kencing manis melitus (DM) jenis 2, dyslipidemia (tahap kolesterol yang tinggi terutama triglyceride) dan sindrom metabolik (MS).
Presiden Yayasan Hepar Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, kesedaran di negara ini tentang NAFLD dan bahayanya masih lagi kurang.
Sedangkan katanya, penyakit tersebut boleh wujud sejak bertahun-tahun tanpa dikesan sehinggalah pemeriksaan rutin dijalankan.
“Pada kebiasaannya pesakit yang mempunyai risiko untuk menghidap NALFD akan di kesan mempunyai keganjilan pada ujian darah fungsi hati atau kadar ALT atau AST yang tinggi.
“Namun pada sesetengah pesakit, biopsi hati mungkin dijalankan untuk memastikan kewujudan lemak pada hati dan tahap penyakit tersebut.
“Kebanyakan pesakit tidak menyedarinya. Malah pemeriksaan biasa tidak mampu mengesan kehadiran lemak pada hati.
“Pada tahap tersebut, penyakit ini mungkin sudah berevolusi ke peringkat yang seterusnya seperti pembentukan parut pada hati (sirosis) atau lebih teruk lagi boleh berlaku iaitu kanser hati,” katanya ketika majlis perbincangan bersama media tentang NAFLD dan kesedarannya di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Ujar Dr. Mohd. Ismail lagi, dalam kebanyakan kes , NAFLD tidak menyebabkan berlakunya apa-apa tanda atau gejala sehingga mencapai tahap yang lebih malignan yang menyulitkan diagnosis.
Keadaan yang tidak disedari ini akan berlarutan dalam jangka masa yang panjang.
Terdapat juga peratusan kecil kes yang menunjukkan penghidap mengalami keletihan, berat badan berkurangan, hilang selera makan, nausea, sakit di bahagian perut, dan penyakit kuning (jaundis).
Di Malaysia, golongan yang berisiko menghidap NAFLD adalah mereka yang obes, jantina lelaki dan berketurunan India, kerana kajian menunjukkan mereka berada di tahap pertama dalam peratusan kes yang telah berlaku.
“Hati adalah organ yang berfungsi untuk menukar lemak yang dimakan kepada jenis lemak yang digunakan oleh tubuh.
“Bagaimanapun, apabila seseorang itu menghadapi masalah obesiti, keadaannya mempengaruhi metabolisme lemak. Apabila proses metabolisme lemak terganggu, lemak boleh berkumpul di dalam hati dalam jumlah yang berlebihan sehingga mengakibatkan hati berlemak,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas lebih lanjut tentang penyakit tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hepar Malaysia, Datuk Prof. Dr. Nor Shahidah Khairullah berkata, disebabkan kaitan NAFLD yang rapat dengan obesiti dan diabetes, pengubahan gaya hidup kekal sebagai cara yang paling berkesan dalam usaha menangani penyakit ini.
“Pesakit dinasihatkan agar mengamalkan tabiat pemakanan yang lebih sihat, aktif secara fizikal, dan mengurangkan berat badan yang berlebihan.
“Dalam sesetengah kes, beberapa diet tambahan boleh membantu mengurangkan lemak di hati, namun kajian masih dijalankan untuk menentukan kepentingannya dalam rawatan NAFLD.
“Kajian awal menunjukkan Fospolipid Penitng (EPL) menunjukkan keberkesanan tinggi dalam menangani hati berlemak. Fospolipid dikenali sebagai unit asas dalam binaan membran sel hati yang menyokong fungsi utama organ tersebut,” katanya.
Atas sebab itu pesakit perlu berada pada tahap paling optimum dalam penjagaan penyakit masing-masing, seperti kawalan diabetes yang baik, pengurangan pemakanan berlemak bagi menurunkan tahap kolesterol, dan pengurangan berat badan pada mereka yang obes.
“Senaman dan aktiviti riadah hendaklah digalakkan kepada pesakit kerana senaman adalah berkesan untuk mengurangkan sel lemak di hati.
“Amalan hidup sihat perlu ditekankan. Kajian telah membuktikan bahawa pengurangan berat badan akan membantu pengurangan tahap penyakit hati berlemak pada seseorang pesakit,” ujarnya.
Katanya, sehingga kini, biopsi hati kekal sebagai cara utama dalam menentukan NAFLD dan kaedah-kaedah lain seperti Tomografi Berkomputer (CT), Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), Ultrasonografi (US) dan penggabungan teknik, membantu mengesan penyakit ini.
Walaupun banyak kemajuan yang berjaya dicapai ke arah meningkatkan pemahaman tentang NAFLD, sebenarnya lebih banyak lagi penyelidikan perlu dijalankan.
“Ini bagi mewujudkan garis panduan klinikal dan kaedah rawatan rasmi demi menangani penyakit tersebut dengan lebih baik.
“Kerjasama antara semua pihak menjadi kunci utama yang bukan sahaja kepada penyelidikan, tetapi juga bagaimana untuk menghentikan trend kesihatan yang membimbangkan ini.
“Pendekatan yang lebih proaktif ke arah menangani NAFLD yang lebih baik juga perlu dititikberatkan oleh kerajaan, profesional perubatan dan individu itu sendiri.

Sunday, March 8, 2015

MI RAMEN JADI BURGER: BOB REPUBLIC BURGER BAKAR

MI ramen jadi burger? Rasa aneh apabila dimaklumkan menu terbaru yang diperkenalkan oleh penjual burger bakar terkenal Malaysia, Bob Republic Burger Bakar, mi ramen yang dijadikan ‘roti’ burger.
Namun, apabila merasa sendiri ciptaan makanan unik itu, hilang rasa seram pada awalnya memikirkan gabungan pelik tersebut, sebaliknya timbul rasa ‘jatuh cinta’ kepada burger tersebut kerana memberi dimensi lain dalam menikmati burger selain rasanya yang ternyata sedap.
Cerita pemilik Bob Republic Burger Bakar, Mohd. Najib Halimi, burger ramen mungkin sesuatu yang baru di sini tetapi ia sebenarnya sudah terkenal di Korea dan Amerika Syarikat.
Mi ramen dicelur terlebih dahulu sehingga lembut sebelum ditapis dan disejukkan. Ramen yang sudah lembut itu kemudian digaul sekali dengan telur bersama-sama lada hitam dan garam serta sedikit rempah dan kemudian dibentukkan sebelum digoreng.
Seterusnya, menjadi kepakaran Bob Republic Burger Bakar mencipta resipi yang lain daripada yang lain bagi menonjolkan rasa burger ramen tersebut.
Daging burger bakar yang dibuat sendiri menggunakan daging premium dilapiskan bersama potongan epal hijau yang dimasak secara saute sehingga menjadi karamel, menggabungkan rasa manis dan masam dengan pedas sos buatan sendiri yang amat sesuai dengan tekstur roti ramen yang lembut dan kenyal itu.
“Kami memastikan setiap bahan merupakan yang berkualiti selain dari sumber yang halal termasuk mi ramen,” ujarnya ketika ditemui di salah satu cawangan gerainya di Setia Walk, Puchong.
Selain burger ramen, ujar Mohd. Najib, Bob Republic Burger Bakar turut menyediakan hidangan terbaru, Ultras Burger, inspirasi daripada semangat Ultras Malaya yang tidak pernah jemu memberi sokongan kepada pasukan bola sepak Malaysia.
Daging lembu bahagian rusuk dimasak dengan api perlahan selama enam jam sehingga ia benar-benar lembut. Ia kemudian dicarik-carik halus dan kemudian dicelup dengan sos barbeku yang dibancuh sendiri, membuatkan rasanya menyerap dengan sempurna ke dalam daging.
Bagi memberi kelainan, roti bamboo charcoal digunakan yang kemudian dicelorengkan dengan serbuk jagung memberi ilusi belang kuning hitam yang menggambarkan pasukan Harimau Malaya dan disapu pula dengan jem kranberi sebelum diletakkan carikan daging yang diproses sebelum itu.
Rasa manis jem kranberi yang bersaing dengan rasa sos barbeku itu cukup-cukup memberi ‘kick’ kepada hidangan Ultras Burger ini.
Roti buatan sendiri iaitu roti herba yang beraroma foccacia turut berada dalam pilihan roti gerai tersebut yang menyuntik kelainan berbanding gerai burger bakar lain.
Selain burger, hidangan yang menjadi buruan ramai di Bob Republic Burger Bakar semestinya Killer Ribs yang rasanya setanding yang disediakan restoran lima bintang.
Daging tulang rusuk dimasak perlahan selama empat jam terlebih dahulu bagi memberikan tekstur yang lembut sebelum diperap bersama serbuk cili, madu, oregano, daun parsli dan herba-herba lain selama semalam dan menariknya ia hanya berharga RM16 sahaja.
Sesuai dengan moto mereka iaitu rasa lima bintang, harga tepi jalan, dengan harga yang rendah, anda dapat menikmati hidangan setaraf restoran terkemuka.
Bagi penggemar burger atau mereka yang sudah bosan dengan menu harian, apa kata terus ke Bob Republic Burger Bakar dan mencuba hidangan unik dan terbaru mereka.

Friday, March 6, 2015

KAFE KOMUNITI 1MALAYSIA-PERMATANG PAUH P.PINANG

DEKORASINYA ringkas namun hidangan yang disediakan mampu membuatkan pelanggan datang untuk kali kedua.
Itulah tarikan yang cuba ditampilkan Kafe Komuniti 1Malaysia yang terletak di Kampung Penanti dekat Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Kafe itu menjanjikan kelainan dengan menyediakan hidangan berasaskan udang galah.
Lebih mengujakan, udang galah yang dipesan itu ditangkap terus dari kolam memancing udang galah yang dibuka 24 jam setiap hari di kafe itu. Justeru, para pelanggan akan menikmati hidangan yang menggunakan udang galah segar.
Menurut Pengerusi Komuniti 1 Malaysia Kampung Penanti, Ibrahim Ahmad, kolam memancing udang di belakang rumahnya itu dibuka hampir lima tahun lalu dan menjadi pilihan penduduk kampung untuk mengisi masa lapang mereka.
“Pada awalnya, saya hanya menjual makanan ringan, namun berubah kepada kafe yang menyediakan masakan panas yang dipesan oleh pemancing bagi mengisi perut mereka.
“Selepas itu, saya mula memikirkan idea untuk menyediakan hidangan berasaskan udang galah untuk dinikmati pelanggan, bukan sahaja pemancing tetapi juga orang luar yang mencari tempat makan yang santai,” katanya.
Antara menu yang disediakan di kafe itu adalah maggie kuah udang galah, maggie goreng udang galah, nasi goreng udang galah dan tom yam udang galah.
Selain itu, antara menu yang turut menjadi pilihan utama pelanggan adalah udang galah stim limau dan udang galah goreng kunyit yang disediakan dengan menggunakan resipi sendiri.
Ibrahim menambah, dalam masa terdekat ini, beliau merancang untuk menambah kepelbagaian menu dengan menyediakan udang galah bakar, kari udang galah dan ikan bakar.
“Pada masa ini, hidangan asas seperti nasi goreng dan maggie goreng udang galah sering disediakan untuk pelanggan, manakala bagi mereka yang mahukan kelainan, pastinya memilih menu udang galah stim limau.
“Istimewanya, resipi masakan stim limau ini disediakan sendiri oleh saya dan ia memiliki rasa yang agak unik dengan kombinasi rasa masam dan pedas,” ujarnya.
Ditanya mengenai bekalan udang galah, Ibrahim berkata, beliau memperoleh udang galah bersaiz besar daripada nelayan sungai di Sungai Dua dan Sungai Kerian dekat Nibong Tebal.
Harga yang ditawarkan bagi setiap hidangan pula mengikut timbangan berat udang tersebut.
Selain itu, pelanggan yang memancing di kolamnya juga boleh meminta kakitangannya memasak udang yang dipancing mereka.
Jelas Ibrahim, pelanggan yang menjamu selera di situ bukan sahaja dari kawasan sekitar, malah ada yang sanggup datang dari Sintok dan Changlun, Kedah serta Pangkalan Hulu di Perak.
“Ada pelanggan yang datang ke sini pada mulanya hanya untuk memancing, namun mereka kembali ke sini untuk menikmati hidangan udang galah yang disediakan.
“Terdapat juga sebahagian pelanggan yang datang ke sini untuk mencuba hidangan yang disediakan selepas mendengar cerita daripada rakan-rakan mereka,” katanya.

Wednesday, March 4, 2015

RESTORAN MASTAN GHANI-TELUK INTAN, PERAK

SEKUMPULAN pelanggang menjamu selera di Restoran Mi Rebus dan
TELUK INTAN 2 Mac. – Kunjungan ke bandar ini yang terkenal dengan keunikan Menara Condong Teluk Intan seperti tidak lengkap jika tidak mencuba keenakan mi rebus dan rojak di Restoran Mastan Ghani.
Resepi rahsia daripada rempah ratus, cili, bawang goreng dan serbuk perasa cili sos yang dijadikan kuah mi rebus, pastinya membuka selera mereka yang berkunjung ke restoran ini.
Keenakan mi rebus Mastan Ghani mendapat sambutan sehingga restoran itu mampu membuka empat cawangan di sekitar bandar Teluk Intan antaranya di Taman Intanova di sini dan satu lagi di Silibin, Ipoh.
Memulakan perniagaan secara kecil-kecilan pada tahun 1961 di sebuah kedai sederet di Jalan Selat, Padang Tembak berdekatan Masjid Melayu kira kira 200 meter dari Menara Condong, seakan-akan menjadi kemestian kepada pengunjung ke bandar ini untuk singgah di Restoran Mastan Ghani.
Diasaskan oleh Mohamed Mastan Ghani bersama anak-anaknya, mi rebus dan rojak yang dihasilkannya menjadi kegemaran semua kaum termasuk pelancong asing.
Setelah pernah melalui saat jatuh bangun dalam perniagaan, kini jenama mi rebus dan rojak terus unggul dan bertahan, malah kini dimajukan lagi oleh cucu Moha­med Mastan, Mohamed Dani Mohd. Sultan, 37.
Mohamed Dani, yang juga seorang kontraktor berjaya di daerah ini berkata, beliau sentiasa berusaha untuk menambah baik perniagaan hasil resepi warisan datuknya.
Menurutnya, dia mahu melihat Restoran Mastan Ghani menjadi tumpuan semua kaum untuk menjamu selera.
Justeru itu, beliau mengakui sentiasa menerima idea dan teguran membina daripada pelanggan kerana restoran tersebut disifatkannya sebagai milik semua kaum.
“Semua pandangan dan idea yang diberikan oleh pelanggan akan dijadikan garis panduan kepada pekerja restoran bagi memenuhi kehendak dan cita rasa mereka,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, para pelanggan mengakui keenakan mi rebus dan rojak di Restoran Mastan Ghani.
Ahmad Khair Omar, 61, berkata, mi rebus Mastan Ghani mempunyai kelainan kerana diadun dengan ramuan yang mempunyai aroma yang tersendiri.
Katanya, mi rebus yang dihasilkan di restoran Mastan Ghani membuka selera dan pelanggan yang pertama kali merasainya, pasti akan datang lagi.
Menurutnya, dia sudah menjadi pelanggan tetap Restoran Mastan Ghani sejak tahun 1960-an lagi ia­itu ketika restoran berkenaan menjalankan perniagaan di Jalan Selat, dekat Padang Tembak.
“Ketika itu apa yang menjadi tarikan pelanggan ialah mi rebus dibungkus dalam daun pisang," katanya.
Subramaniam, 59, pula memberitahu, dia mula merasai keenakan mi rebus Mastan Ghani sejak 10 tahun lalu.
Katanya, keenakan mi rebus itu terletak pada kuahnya yang pekat.
“Saya selalu membawa keluarga dan anak-anak yang balik dari Kuala Lumpur menikmati mi rebus di restoran ini,” katanya.
Fauzai Osman, 56, berkata, selain keenakan mi rebus dan rojak di Restoran Mastan Ghani, layanannya juga memuaskan hati pelanggan.
“Pekerja di restoran ini baik, cepat dan bersopan. Restoran ini juga bersih dan tersusun,” katanya.

ISTIMEWANYA PUDING RAJA DI PAHANG

KEBANYAKAN masakan yang dihasilkan di Pahang berasaskan kepada bahan mentah yang terdapat di persekitarannya di samping kepelbagaian ramuan dan teknik masakan yang dipengaruhi geografi, taraf sosial, pendidikan dan agama.
Keadaan geofizikal Pahang yang terdiri daripada tanah tinggi, tanah pamah, pulau, tasik dan persisiran pantai di samping kepelbagaian sosio-budaya yang meliputi masyarakat Orang Asli hingga kehidupan di istana turut mewarnai variasi sajian harian masyarakat.
Selain pengaruh masyarakat berbilang kaum, kepelbagaian makanan juga dipengaruhi dari segi geografi.
Menurut Datuk Ahmad Farid Abdul Jalal, masakan Pahang juga menerima pengaruh dari China, Arab, Parsi dan India seawal abad pertama sebelum masihi lagi.
Begitu juga dengan kedatangan orang Barat pada zaman penjajahan turut mempengaruhi corak dan citra masakan Melayu Pahang.
“Masakan di setiap daerah di Pahang juga mempunyai kelainan. Kalau pergi ke Temerloh, sajian di sana lebih kepada masakan yang ringkas seperti ikan masak tempoyak. Di Pekan pula masakan agak mewah kerana banyak menggunakan rempah ratus.
“Sajian yang terdapat di istana juga sedikit sebanyak mempengaruhi masakan masyarakat memandangkan tukang masak juga terdiri daripada rakyat jelata. Jadi apa yang dimasak di istana turut diperturunkan kepada rakyat.
“Puding raja merupakan salah satu sajian istimewa yang terdapat di Pekan. Jika singgah di Pekan, pengunjung mesti merasai makanan tersebut kerana tidak terdapat di tempat lain. Keistimewaan yang terdapat pada puding raja dapat dilihat dari segi variasi bahannya yang turut menggunakan buah prun, ceri dan biji gajus. Terdapat juga sajian ayam berempah yang dimasak tanpa dipotong menjadi beberapa bahagian kecil,” katanya.
Hidangan lain yang turut terdapat di Pekan termasuk, pulut panggang, laksa Pahang, dadar berlauk, tepung talam, temosa raja dan banyak lagi.
Sementara itu, masakan masyarakat Orang Asli jika dahulu hanya bergantung kepada bahan-bahan yang mudah diperolehi dari kawasan persekitarannya kini turut menerima pengaruh daripada masakan orang Melayu yang tinggal di kampung berhampiran yang menggunakan bahan-bahan seperti asam, gula dan santan kelapa.
Sungguhpun begitu, mereka masih tetap mempertahankan keaslian dan identiti masakan tradisi Orang Asli selain menggunakan proses atau kaedah penyediaan makanan yang ringkas seperti bakar, panggang, rebus dan salai.

Monday, March 2, 2015

RESTORAN GOBANG MAJU-SETAPAK KL

Kepala patin gulai tempoyak.
Kaya dengan khasiat tersendiri, ikan patin Sungai Pahang adalah antara menu masakan yang mempunyai identitinya tersendiri.
Apatah lagi jika dimasak dengan resepi tradisi turun-temurun. Sebab itu tidak menghairankan kebanyakan kedai yang menghidangnya senantiasa dipenuhi oleh penggemar ikan ini.
Untuk itu bagi peminat ikan patin masak tempoyak yang dahulunya hanya boleh didapati di sekitar daerah Temerloh, Pahang kini mereka boleh menikmatinya di ibu kota.
Restoran Gobang Maju yang telah membuka cawangan pertamanya di Taman Seri Rampai, Setapak sedia menerima pengunjung terutama peminat masakan asli negeri Pahang.
Dibuka sejak penghujung November lalu, restoran ini menyediakan sajian masakan gulai patin tempoyak yang menjanjikan satu kepuasan tanpa perlu menempuh perjalanan jauh.
Menurut Pengurus Restoran Gobang Maju, Muhamad Rizal Muhamad Rosely, beliau yang berpengalaman 20 tahun dalam industri sajian makanan menyifatkan pembukaan cawangan ini adalah sesuatu yang amat istimewa.
“Tujuan utama pembukaan cawangan ini adalah untuk memudahkan pelanggan menikmati masakan (patin tempoyak) tanpa perlu keluar dari Kuala Lumpur selain tergesa-gesa kerana mengejar masa.
“Saya akui ada pelanggan kebanyakannya datang dari luar Temerloh semata-mata untuk menikmati hidangan ini”, jelasnya.
Restoran pertama mereka di Temerloh sudah beroperasi selama empat tahun sebelum membuka cawangan di sini.
Malah chef utama, Farhan Marzuki didatangkan khas dari Temerloh dan mampu menyediakan masakan panas bermula dari pukul 11 pagi sehingga waktu tamat operasi sekitar 11 malam.
Muhamad Rizal menambah, keistimewaan masakan ikan patin tempoyak ini menggunakan bahan-bahan segar yang dibawa khusus dari Pahang tanpa sedikit pun mengubah cita rasa sebagaimana restoran miliknya yang pertama.
Mengakui bahawa ikan patin mempunyai beberapa spesies tetapi beliau membawa ikan patin dari sangkar ternakan di Sungai Pahang.
“Saya tidak menafikan bahawa patin adalah spesies liar dan ada juga diternak di dalam kolam tetapi apa yang saya sajikan adalah patin bersaiz sama.
“Tujuannya bagi memastikan setiap hidangan mempunyai rasa yang sama selain memudahkan urusan penetapan harga jualan” jelas Rizal.
Restoran Gobang Maju boleh menempatkan seramai kira-kira 200 pelanggan pada satu-satu masa di waktu siang. Manakala sebelah malamnya pula bertambah sehingga 250 orang.
Persekitaran kawasan restoran juga luas dan cukup selesa lengkap kemudahan surau serta ruang lot tempat letak kereta.
Selain masakan gulai patin tempoyak, pelanggan juga boleh memilih paih patin bakar atau talapia yang dihidangkan dengan tempoyak.
Gulai daging, udang, ayam goreng berempah, keli goreng, kembung, kerisi adalah antara makanan lain yang disediakan selain pelbagai pilihan ulam-ulam segar dan sayur goreng. Dalam pada itu, Restoran Gobang Maju juga menjual tempoyak segar yang dibawa terus dari Temerloh.
Sebarang pertanyaan atau tempahan boleh dibuat menerusi telefon 019-9569696/019-9625445.