BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, April 7, 2015

MASAKAN MENADO DI RESTORAN ROA- BANGSAR KL

Pereka fesyen terkenal, Jovian Mandagie mengorak langkah baharu apabila memilih untuk terjun ke bidang makanan dan minuman (F&B) dengan membuka restoran yang memfokuskan kepada hidangan Indonesia.
Mempunyai susur galur keturunan Menado, Jovian membawakan hidangan asli masyarakat itu ke Malaysia dan mahu pelanggan ‘mencabar’ deria rasa mereka kerana masakan Manado terkenal dengan hidangannya yang pedas.
Kata Jovian, nama ROA diambil bersempena dengan nama ikan Roa yang hanya boleh ditemui di Menado.
Kebiasaannya, hidangan ikan Roa disediakan dengan cara digoreng dan dicampurkan dengan cili, bawang merah serta bawang putih sebagai bahan utama.
“Mengambil inspirasi daripada kegemaran masyarakat di sana, saya mengaplikasikan kepada keseluruhan menu di ROA dengan menyediakan menu dengan ramuan serta bahan-bahan segar berasaskan selera masakan Menado yang berempah pedas dan menyelerakan.
“Resipi ROA diperturunkan oleh nenek saya sendiri yang sememangnya gemar memasak. Apabila pelanggan mengatakan hidangan di sini pedas bayangkan resipi asalnya adalah tiga kali ganda lebih pedas.
“Bagaimanapun, saya tidak boleh menyamakan selera Menado dengan orang di sini, jadi saya mengolah kembali agar hidangan Menado dapat diterima dan walaupun pedas, ramai yang menggemarinya,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran restoran ROA cawangan kedua di Jalan Telawi, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, pelanggan boleh meminta jika mahu dikurangkan pedas dalam setiap masakan yang dipesan.
Meskipun usia restoran pertama miliknya di Seksyen 7, Shah Alam baru sahaja memasuki bulan ke enam, namun dia bersyukur maklum balas yang diterima amat memberangsangkan sehinggalah dia membuka cawangan kedua untuk memenuhi permintaan daripada warga kota sekitar Kuala Lumpur.
Ucapan ‘selamat bakudapa’ atau ‘selamat datang’ daripada Jovian menyambut kedatangan pengunjung.
Dijemput untuk merasai sendiri hidangan tersebut, saya dihidangkan dengan pelbagai masakan daripada pembuka selera sehinggalah kepada pencuci mulut dari negara seberang itu yang tidak pernah dicuba sebelum ini.
Bermula dengan bubur Manado, hidangan yang sangat terkenal dalam kalangan masyarakat di sana, dilihat secara luaran sama tetapi setelah dicuba terdapat kelainan dari segi rasa.
Bubur nasi telah dicampur bersama sayur-sayuran seperti bawang, kacang panjang, bayam, kangkung, serta jagung manis bersama pelengkapnya sambal pedas.
Sebagai pembuka selera, saya dihidangkan pula dengan mie cakalang. Sup jernih yang dihidangkan bersama mi telur, hirisan ayam, dan pelbagai rempah Menado membangkitkan rasa menyelerakan.
Hidangan utama menyusul dengan sajian sos Roa , begedel jagung, ayam rica-rica, kuah asam ikan marlin, udang tuturaga, sapi bumbu sate garo, sayur campur dan ikan bawal bakar.
Ujar Jovian, ayam rica-rica mendapat sambutan yang menggalakkan. Rasanya seperti ayam masak pedas, namun kelainannya terletak pada tekstur ayam yang lembut serta sambal pedas yang diadun bersama resipi istimewa.
“Mereka yang tidak gemarkan masakan pedas boleh mencuba kuah asam marlin. Bunyinya agak ganjil tetapi sebenarnya marlin adalah ikan yang dipotong kecil-kecil bersama tomato dan daun kesum. Menu kuah asam ini amat menyihatkan kerana turut menggunakan herba-herba Indonesia sebagai pelengkap resipi,” katanya yang ditemani isteri, Nina Ismail.
Tat kelapa dan teh sere dingin dihidangkan sebagai pencuci mulut. Selepas menikmati hidangan pedas, kombinasi dua sajian ini berjaya melengkapkan menu Menado penulis pada malam itu.
Melihat kepada dekorasi restoran, Jovian begitu teliti dengan pemilihan tema pada restoran yang sudah dirancangnya sejak tahun 2011 lagi.
Mahu pelanggan yang datang menjamu selera dapat menikmati suasana yang begitu tenang dan mendamaikan, sentuhan klasik dan vintaj pada keseluruhan restoran membangkitkan aura sofistikated yang cuba diterjemahkan Jovian.
Pilihan warna coklat muda, krim, dan sawo matang bersama lampu suram menampilkan suasana mewah dan memberi kesan dramatik pada ruang makan. Selain dinding yang dihias pelbagai poster vintaj, susunan meja makan dan kerusi juga kemas.
Restoran yang dibuka dari pukul 10 pagi hingga 12 malam setiap hari itu juga menerima tempahan untuk majlis keramaian.

RESTORAN API-API-MELAKA

SEKIRANYA ke negeri Melaka, jangan lupa untuk singgah di sebuah restoran yang sangat terkenal dalam kalangan penggemar masakan stimbot dan gril, iaitu Restoran Api-Api yang terletak di No. 8, Jalan Lagenda 6, Taman Satu Legenda, Melaka.
Menyediakan lebih 100 jenis masakan dan 60 buah makanan gril yang akan bertukar setiap hari mengikut cita rasa pengunjung, deria hati pula akan terpesona dengan panorama keindahan bot-bot kecil yang membawa penumpang (River Cruise) di Sungai Melaka, iaitu dilokasi yang bersebelahan dengan restoran ini.
Pemiliknya, Akmal Zaaba , 32, berkata, restoran ini boleh memuatkan 300 orang pelanggan pada satu-satu masa, dan beroperasi dari pukul 12 tengah hari hingga 12 malam.
Selain stimbot dan gril, restoran itu turut menghidangkan masakan istimewa negeri Melaka seperti asam pedas Melaka, rendang daging, ikan bakar Umbai, daging bakar, dan daging masak lemak.
Yang menariknya, pelbagai jenis air minuman dihidangkan buat tetamu tetapi air berkarbonat dan air panas boleh ditambah seberapa banyak yang dimahukan pelanggan. Kuih-kuih juga disediakan sebagai pencuci mulut termasuk ais krim kesukaan kanak-kanak.
Dibuka pada tahun 2012, berkonsepkan pelbagai pilihan makanan untuk semua pengunjung, bermakna restoran ini menyediakan segalanya dari nasi putih ke pasta, goreng-gorengan, sup ayam, tom yam, aneka bubur, mihun goreng dan lain-lain jenis mi.
Jika mahukan sesuatu yang berlainan sebagai kudap-kudapan terdapat kuih-kuih kampung seperti pelbagai jenis kuih loyang dan kuih talam, selain sate
“Restoran Api-Api selalu menjadi tempat kunjungan pertama pelancong dari dalam dan luar negara yang mahu mendapat masakan yang bersesuaian dengan cita rasa.
“Jika mahu yang sejuk, panas, segera, gril, stimbot, malah cita rasa kampung dan negeri, di sinilah tempatnya. Ada yang mengatakan sekiranya datang ke restoran ini seolah-olah sudah mengembara ke seluruh negeri Melaka kerana dapat merasai hidangan yang pelbagai.
“ Masa yang sibuk dengan pelanggan adalah selepas Maghrib sehinggalah 11.00 malam,” jelasnya yang memberitahu mempunyai 18 orang kakitangan dam lima orang chef berpengalaman.
Restoran ini berkonsepkan moden dengan warna hitam dan merah menjadi pilihan untuk memberikan keselesaan kepada semua pengunjung dan membawa kenangan manis yang dinikmati ketika berada santai di restoran ini yang boleh dihubungi talian 017-6788182.

MIAMI GRILL PERTAMA HALAL DI ASIA-SUNWAY PYRAMID

Pernahkah anda menonton siri televisyen terkenal Miami Vice atau CSI Miami? Jika pernah, pasti anda dapat membayangkan bagaimana gaya hidup masyarakat di bandar Miami, Florida, yang amat sinonim dengan aktiviti pantai.
Malah, paling mudah diingati, mereka sangat gemar menikmati hidangan roti panjang dengan hirisan daging panggang empuk iaitu cheesesteak. Sajian autentik berasal dari Philadelphia, Amerika Syarikat (AS).
Makanan tersebut sangat popular sebagai makanan jalanan di kebanyakan negara Barat.
Pun begitu, anda tidak perlu terbang selama 28 jam apatah lagi mengeluarkan kos tiket sehingga mencecah RM10,000 untuk ke Miami, hanya semata-mata mahu menikmati cheesesteak.
Ini kerana, sejak Januari lalu rangkaian restoran popular dari AS, Miami Grill, telah beroperasi di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor.
Lebih menarik, restoran tersebut merupakan satu-satunya cawangan Miami Grill di Asia, yang menyediakan sajian halal.
Demi mahu berkongsi keenakan rasa sajian autentik itu, pemiliknya, Izatsham Othman, berusaha membawa Miami Grill ke Malaysia walaupun bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi berdepan cabaran mencari bahan-bahan halal bermula daripada bahan utama, daging sehinggalah ke penyediaan sos.
Namun, dia yakin perniagaan francais yang dimiliki penyanyi rap popular berasal dari Miami, Pitbull, mampu memberi pengalaman berbeza dalam menikmati hidangan dari negara Uncle Sam itu.
Menjengah masuk ke Miami Grill, halwa telinga anda pasti dihidangkan dengan lagu-lagu popular Pitbull seperti I Know you want me, Timber, Rain Over Me dan sebagainya.
Malah, wajah lelaki berketurunan Cuba itu melatari skrin di restoran berkenaan.
Menghidangkan sajian popular seperti classic philly cheesesteak , philly nacho cheese, mixed wing, grilled chicken, Greek salad, big Miami burger, dan banyak lagi, penggemar makanan Barat wajib singgah dan mencuba hidangan berkenaan yang ternyata berbeza daripada restoran lain.
“Antara hidangan yang paling mendapat sambutan philly cheesesteak yang merupakan hidangan popular di restoran ini.
“Sajian philly cheesesteak di sini amat berbeza kerana menyamai rasa asli makanan itu walaupun dihasilkan oleh chef dari negara ini.
“Biarpun kita tidak menggunakan bahan-bahan yang tidak dibenarkan, rasa cheesesteak di sini tetap sedap, segar dan mampu dinikmati dengan harga yang berpatutan,” katanya.
Ujar Izatsham, ini kerana setiap rasa makanan yang dihidangkan telah melalui proses ujian rasa oleh chef dari Miami bagi menjaga kualiti sajian yang dijual di semua cawangan restoran itu.
Namun, apa yang penting kesemua bahan yang digunakan adalah halal dan menepati kehendak syariat.
“Bagi mendapatkan rasa yang asli sama seperti apa yang dihidangkan di Miami Grill di luar negara, kita telah berusaha bersungguh-sungguh mencari resipi terbaik untuk setiap hidangan.
“Istimewanya, di sini kita mempunyai satu pasukan pakar yang cukup hebat di dapur yang kita panggil The Hot Miami Grilling Team bagi menghasilkan bukan sahaja makanan yang segar dan lazat, malah mempersembahkan makanan yang cantik kepada pelanggan.
“Mereka juga merupakan pasukan yang mengendalikan pelanggan terutama pelanggan yang baharu pertama kali berkunjung ke sini agar dapat menikmati hidangan terbaik,” tambahnya.
Melihat persembahan beberapa sajian yang dihidangkan, sudah cukup menggiurkan biarpun belum menjamahnya.
Antaranya, sajian cadangan chef iaitu, classic philly cheesesteak yang dipersembahkan di atas sekeping papan, manakala kentang goreng pula diletakkan di dalam sebuah raga besi yang pasti membuatkan tangan laju memetik kamera di telefon untuk mengabdikan foto makanan itu sebagai kenang-kenangan.
Sajian ini menggunakan kepingan daging rib eye yang dihiris senipis tiga milimeter yang kemudiannya dipanggang bersama lada benggala hijau, bawang dan cendawan shitake yang dikaramelkan, serta diperasakan dengan beberapa perapan seperti lada sulah, serbuk paprika dan oregano.
Bagi memberi rasa yang mewah, sudah pasti taburan keju diletakkan ke atas hirisan daging seberat 150 gram yang kemudiannya disumbat ke dalam roti yang telah dibakar bersaiz lapan inci. Lazimnya hidangan ini dimakan bersama kentang goreng dan coleslaw.
Bagi menikmati keenakan pada tahap maksimum, sajian ini perlu dimakan ketika panas kerana anda boleh merasai tekstur keranggupan kulit roti di bahagian luar manakala kelembutan pada bahagian dalam, ditambah rasa pedas perapan daging.
Bagi menambahkan kelazatan, pelanggan boleh juga menikmati hidangan itu dengan tujuh jenis pilihan sos cicah antaranya chipotle, cayenne hot pepper, Texas petal, sos wing, sos Thai, sos cili dan sos tomato.
Selain hidangan utama, restoran tersebut turut menyediakan 30 jenis minuman termasuk tiga pilihan mocktail. Uniknya, bagi memberi kelainan serta memperkenalkan buah-buahan tempatan, terdapat hidangan pemanis mulut khas yang diperbuat daripada buah durian iaitu kek keju aiskrim buah D24.
“Kita sangat mementingkan kualiti makanan yang dihidangkan agar mempunyai cita rasa yang sama seperti restoran Miami Grill yang lain, namun dalam soal halal kita tidak abaikan sama sekali.
“Justeru, pelanggan tidak perlu bimbang kerana segala apa yang dihidangkan di restoran ini tiada unsur mencurigakan,” jelasnya.
Restoran tersebut beroperasi setiap hari bermula pukul 10 pagi sehingga 10 malam dan menyediakan hidangan utama bermula harga serendah RM19.90.
Bagi mereka yang ingin mencuba, boleh mengunjungi Miami Grill di 127 LG2 Blue Concourse, Sunway Pyramid atau menghubungi talian 03-5622 1853 atau 03-5613 3363 untuk tempahan atau pertanyaan lanjut

Thursday, March 26, 2015

CHICKEN RICE GUYS-SEKSYEN 7 SHAH ALAM

Aroma itik goreng berempah sememangnya menaikkan selera. Bermula daripada hanya secebis daging itik goreng berempah menyebabkan penulis menambah lagi nasi ayam yang dihidangkan bersama-sama ayam panggang dan ayam kukus.
Rasa daging itik memang sedikit kenyal tetapi dengan adunan rempah ratus dan cukup segala perasa, mampu menghilangkan bau hamis yang ada pada itik. Malah bagi mereka yang pertama kali merasainya pasti tidak tahu ia adalah daging itik.
Menurut pemilik Chicken Rice Guys, Firman Fauzi, 34 dan Imran Audi Mohd Onn Yap, 24, mereka bermula dengan gerai nasi ayam stail Hainan di hadapan restoran mereka sekarang di Jalan Zirkon 7F/F, Seksyen 7, Shah Alam.
“Walaupun baru setahun kami memperkenalkan itik goreng berempah dengan nasi ayam tetapi mampu menarik ramai pelanggan tetap yang gemar meratahnya,” kata Firman.
Pada mulanya mereka hanya menjual nasi ayam dan apabila pelanggan bertambah ramai dan kebetulan kedai ini mahu disewakan, mereka berdua terus membuka restoran di kawasan berhampiran.
Kedua-dua sepupu membuka restoran ini memandangkan kesukaran mendapatkan makanan Cina yang halal seperti yang dimakan semasa kecil bersama keluarga.
“Saya pernah mencari nasi itik tetapi kebanyakkannya tidak halal menyebabkan kami berdua mengambil keputusan memasukkan itik dalam menu. Mulanya hidangan itik hanya pada Khamis dan Jumaat tetapi atas permintaan pelanggan kami memasak itik goreng berempah setiap hari.
“Semua hidangan dimasak seperti di rumah malah bagi mi kari, kami mengopek kerang setiap hari bagi mendapatkan rasa kerang yang segar bagi kepuasan pelanggan.
“Kami juga menggunakan teknik memasak tersendiri bagi mendapatkan ayam kukus yang enak,” kata Imran merangkap chef di restoran ini.
Restoran yang dibuka pada 17 Mac tahun lalu menghidangkan pelbagai menu termasuk roti bakar kaya mentega, ban benggali, wantan goreng, mi udang, mi kari putih dan mi wantan kicap yang amat digemari oleh kanak-kanak kerana tidak pedas.
Pelanggan juga boleh memilih pelbagai minuman istimewa seperti crush ice coffee, teh lemon ais, limau asam boi, ribena soda laici dan minuman panas.
Menurut Firman selain restoran, mereka juga sedia menerima pelbagai tempahan seperti katering malah bersedia menghantar pesanan sekitar Shah Alam.

Tuesday, March 24, 2015

USAHAWAN LEMANG BETAWI

Mohd. Saiful Bahari Roslin menjual lemang Betawi di Medan Niaga
KUCHING 23 Mac – Secara tradisi, lemang biasanya dimasak dan dibakar di atas bara api menggunakan buluh.
Lemang yang juga merupakan antara makanan wajib dihidangkan kepada tetamu pada Hari Raya Aidilfitri cekup enak dinikmati bersama kuah kacang atau rendang.
Pada hari biasa, memang sukar mencari lemang untuk dinikmati dan tidak ramai yang rajin memasaknya memandangkan proses membuat makanan tradisional ini agak sukar kerana perlu mencari buluh, pulut, santan dan kayu api atau sabut kelapa untuk membakarnya.
Menyedari makanan itu mempunyai peminat sendiri, Mohd. Saiful Bahari Roslin, 38, memanfaatkan peluang tersebut untuk mencari rezeki dengan menjual lemang di Medan Niaga Satok, Kubah Ria di sini pada setiap hujung minggu.
Dinamakan lemang Betawi, produk makanan dihasilkan oleh lelaki berasal dari Kampung Tupong, Petra Jaya di sini, cukup istimewa kerana lemang tersebut tidak perlu dimasak dan dibakar dalam buluh.
Menurut Mohd. Saiful, resepi lemang Betawi diwarisi daripada nenek moyangnya yang tinggal di Kota Samarahan dekat sini.
Beliau berkata, berbeza dengan lemang biasa, lemang Betawi dimasak dengan cara kukus selama kira-kira 4 jam dalam periuk besar di atas dapur gas.
“Lemang ini akan dibalut dan diikat kemas dengan daun pisang. Untuk membentuk rupanya sama seperti lemang, kita perlu memasukkan daun pisang ke dalam buluh yang menjadi acuan dan dikeluarkan semula lalu diikat dengan tali nilon.
“Saya juga mengisar daun pandan untuk mendapatkan patinya yang kemudian dicampur dalam lemang yang dimasak agar berbau harum dan mempunyai rasa yang enak,” katanya ketika ditemui di Medan Niaga Satok baru-baru ini.
Walaupun tidak dimasak menggunakan buluh dan dibakar, Mohd. Saiful berkata, rasa lemang Betawi dibuatnya tetap enak dan tidak jauh rasa berbanding lemang biasa.
Beliau berkata, lemang yang mempunyai panjang kira-kira 66 sentimeter itu dijual dengan harga RM6 sebatang.
Katanya, sambutan orang ramai terhadap lemang Betawi cukup menggalakkan apabila beliau mampu menghabiskan jualan 80 hingga 90 batang lemang bermula pukul 6 hingga 10 pagi setiap kali membuka gerainya di medan niaga tersebut.
“Bagi memudahkan orang ramai menikmati lemang ini, saya turut menjual kuah kacang buatan sendiri dengan harga RM3 sebungkus.
“Perniagaan menjual lemang Betawi merupakan pekerjaan tetap saya kerana jika tidak berniaga pada hujung minggu, saya akan sibuk memenuhi tempahan daripada pelanggan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menempah lemang Betawi daripada Mohd. Saiful boleh menghubungi beliau menerusi 016-8689004.

Friday, March 20, 2015

BARBEKU DI TERRACE @ MELUR & THYME

Hidangan barbeku cukup terkenal di negara kita kerana kebanyakan orang lebih gemar menikmati sajian makan malam mereka secara beramai-ramai tidak kira bersama keluarga atau teman-teman dan pastinya barbeku adalah sajian yang paling dicari.
Dengan sajian yang menjurus kepada cita rasa rakyat Malaysia dan kesemua sajian pula disediakan oleh chef yang berpengalaman, sesiapa sahaja tidak mahu terlepas untuk merasai sendiri sajian makan malam sebegitu.
Tidak perlu berfikir panjang mencari lokasi tepat untuk makan malam kerana bermula 6 Mac ini, Restoran Melur&Thyme akan menawarkan pengalaman berbeza kepada pelanggannya dengan menyajikan hidangan bufet barbeku yang merangkumi pelbagai sajian bakar, tapas, aneka hidangan sampingan, serta aneka pencuci mulut di tingkat Terrace di pusat beli-belah NU Sentral yang merupakan cawangan ketiga restoran milik Sharifah Nur Diyana Syed Zulkiflee.
Masih mengekalkan resipi asli dan moden yang menjadi signatur mereka, selain makanan utama yang dibakar, sajian yang segar perlu disertakan dalam menu agar sajian barbeku anda lengkap. Variasi salad bersama pelbagai pilihan sos sudah cukup untuk membuka selera anda untuk terus menikmati makan malam.
Anda tidak perlu risau akan bau asap yang akan mencemari pakaian kerana tempat barbeku terletak di sudut paling hujung dan lokasi tempat makan di bahagian luar restoran tidak membawa sebarang bau-bau yang tidak enak.
Semuanya sudah tersedia di depan mata oleh barisan chef dan anda boleh menikmati sajian barbeku dengan tenang dan selesa.
Pilihan makanan bakar seperti lamb chop shoulder, chicken chop, steak striploin, rib eye, serta pelbagai makanan laut boleh dicuba. Sajian tapas yang begitu popular di Melur&Thyme semestinya menawarkan sajian kegemaran orang Asia iaitu itik.
Diperap dengan kaedah tradisional mampu memberikan lebih keaslian kepada setiap hidangan walaupun jika dilihat hidangan yang disajikan tampak ringkas namun menyelerakan.
Wajib dicuba, hirisan kentang goreng, roti bawang putih, kentang lenyek, coleslaw, jagung bakar, dan sosej sebagai hidangan sampingan yang enak dimakan bersama apa jua pilihan daging terutamanya bersama lamb chop shoulder yang mencipta rasa yang tidak boleh dilupakan.
Tidak perlu bimbang kerana bahan-bahan yang digunakan dijamin bersih, segar dan sudah pasti restoran ingin berikan yang terbaik dengan pelbagai menu untuk dinikmati semua.
Dengan harga bermula RM69 untuk dewasa dan RM35 bagi kanak-kanak, anda dapat menikmati makan malam dalam suasana yang cukup mendamaikan ditemani angin malam di tingkat paling atas NU Sentral.
Berlatar belakangkan pemandangan malam bandar raya Kuala Lumpur, pastinya pertemuan bersama keluarga atau teman-teman anda pastinya menjadi kenangan paling terindah.
Dibuka setiap hari namun untuk sajian bufet barbeku ini hanya ditawarkan pada hujung minggu sahaja bermula pada pukul 6 petang. Yang pasti tidak rugi sekiranya anda menikmati hidangan barbeku di sini sebagai idea lokasi makan malam anda bersama yang tersayang.

Sunday, March 15, 2015

JEPUN BERMINAT PROJEK KERETAPI LAJU KL-SINGAPURA

SENDAI (Jepun) 15 Mac - Jepun menunjukkan minat yang bersungguh-sungguh untuk terlibat dalam membekalkan gerabak keretapi berkelajuan tinggi (HSR) yang bakal menghubungkan Kuala Lumpur (KL) dan Singapura.
Minat itu dizahirkan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe kepada Timbalan Perdana, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan yang berlangsung di sini, semalam.
Shinzo yang secara peribadi meminta untuk bertemu Muhyiddin memberikan gambaran dan isyarat bawah sistem pengangkutan HSR di negara itu yang diterajui pengurusan Shinkazen memiliki kepakaran dan teknologi tinggi yang mampu memenuhi kehendak Malaysia dan Singapura.
“Jepun amat berminat kerana dia tahu Malaysia dan Singapura telah capai kata sepakat untuk laksanakan HSR.
“Mereka (Jepun) yakin mereka mempunyai teknologi yang terbaik, sistem terbaik dan memberikan gambaran bahawa minat itu amat tinggi termasuk (daripada) agensi Shinkazen,” kata Muhyiddin dalam sidang akhbar di sini hari ini