BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, January 14, 2016

BIMBANG RUMAH DIANCAM HAKISAN

Bimbang rumah diancam hakisan

PONTIAN - Hakisan tebing tanah yang semakin teruk di kawasan tali air Lorong Yang Muhammad Kampung Rimba Terjun di sini, menimbulkan kebimbangan buat 10 keluarga yang tinggal berdekatan.
Lebih menggusarkan, apabila ada penduduk mendakwa sebahagian kawasan dapur rumah mereka juga hampir runtuh disebabkan hakisan tersebut.
Malah, keadaan kampung terbabit yang hanya terletak kira-kira 500 meter dari laut itu juga menyebabkan kawasan tebing tali air berhampiran rumah penduduk mudah mengalami hakisan.
Wakil penduduk, Azmi Md Salleh, 57, berkata, dia begitu bimbang setiap kali hujan kerana tebing tali air turut alami hakisan sehingga menyebabkan sebahagian kawasan dapur rumahnya terjejas.
“Jarak rumah dengan tebing tidak sampai lima meter. Jadi, bila hujan lebat dan bertembung pula dengan air lautpasang , lebih banyak kawasan yang terhakis.
“Kejadian hakisan semakin teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila perubahan arus laut yang semakin deras menyebabkan kerap berlaku kejadian air pasang,” katanya.
Katanya, dia juga bimbang rumah didiami sejak lebih 30 tahun itu mendap sekiranya tiada tindakan segera diambil.
“Kami sangat berharap masalah ini dapat diselesaikan segera, tambahan pula sekarang cuaca tidak menentu.
“Sekiranya masalah ini tidak ditangani, mak cik khuatir masalah lebih besar akan berlaku, sekali gus mengancam nyawa,” katanya.
Bagi Azmin Din, 38, jarak antara rumah penduduk dengan tali air semakin dekat amat membimbangkan mereka, apabila tali air bertambah dalam dan luas dari hari ke hari.
“Jika 30 tahun lalu, kawasan belakang rumah penduduk di sini dipisahkan dengan kebun tanaman seperti sayur-sayuran.
“Namun kini tiada lagi kebun tanaman, sebaliknya rumah penduduk pula yang semakin dekat dan berdepan ancaman hakisan,” katanya.
Justeru, dia meminta pihak berkenaan melakukan kerja baik pulih kawasan benteng tali air terbabit bagi mengurangkan hakisan yang semakin kerap berlaku.
Azmin berkata, dia yakin sekiranya tindakan membaik pulih hakisan itu dilakukan lebih awal, dapat menjimatkan kos berbanding dibiarkan sehingga menjadi teruk.
“Saya difahamkan kerja bina benteng batu menghalang hakisan tebing dilakukan kira-kira dua tahun lalu, bagaimanapun tidak mampu menghalang hakisan daripada terus berlaku.
“Malah, ada penduduk sudah kemukakan aduan mengenai masalah benteng berkenaan dan berharap ia dapat ditinggikan lagi kerana rumah mereka semakin hampir dengan tali air,” katanya.
Azmin berharap, masalah tersebut diambil serius oleh pihak berkenaan sebelum berlaku kejadian tidak diingini sehingga mengancam nyawa penduduk.

Wednesday, January 13, 2016

DIABETES JEJAS SARAF KAKI


RISIKO kehilangan kaki sesuatu yang sangat ditakuti oleh kebanyakan pesakit diabetes atau kencing manis, lebih-lebih lagi sekiranya mereka mengalami luka teruk pada mana-mana bahagian kaki dan sukar disembuhkan.
Hal ini terjadi kerana lebih separuh daripada pesakit diabetes ini tidak menyedari bahawa mereka menghidapnya sehinggalah penyakit tersebut berada di tahap teruk.
Begitupun, sekiranya dikesan awal, risiko pemotongan kaki boleh dielakkan dan pesakit mampu menjalani kehidupan secara lebih sihat.
Menurut Pendidik Kanan Diabetes Institut Jantung Negara (IJN), Siah Guan Jian, penyakit diabetes dan kesakitan kaki saling berkait rapat.
Katanya, ini kerana kandungan glukosa yang tinggi secara konsisten dalam darah akan merosakkan sistem saraf khususnya di bahagian kaki dan tangan.
“Bagi pesakit diabetes, mereka akan merasai denyutan atau kebas pada tangan, betis atau kaki.

“Ini dikenali sebagai neurpoati dan akan berlaku secara perlahan dan mengambil masa yang panjang kerana kandungan glukosa yang tinggi secara konsisten dalam darah akan merosakkan sistem saraf terutamanya pada bahagian kaki dan tangan.
“Apabila ini terjadi kerosakan saraf boleh menular tanpa disedari dan keadaan neuropati boleh diperbaiki apabila kawalan glukosa darah diperketatkan,” ujarnya ketika ditemui pada forum Kencing Manis dan Kaki Anda di IJN, baru-baru ini.
Diabetis adalah satu keadaan yang berlaku apabila tahap gula dalam darah lebih tinggi daripada biasa.
Keadaan ini berlaku apabila organ pankreas tidak dapat mengeluarkan insulin dengan mencukupi atau apabila badan tidak dapat menggunakan insulin yang dikeluarkan itu secara berkesan.
Apabila insulin gagal dihasilkan atau tidak berfungsi dengan baik, ia tidak dapat membawa masuk glukos atau gula ke dalam sel dan tisu badan kita sebagai simpanan.
Akibatnya, darah akan mempunyai kadar gula yang terlalu tinggi untuk sel-sel badan kita dan secara amnya seseorang dianggap menghidap penyakit diabetes apabila kadar gula dalam darah semasa berpuasa lebih daripada tahap tujuh atau kadar gula selepas makan adalah daripada tahap 11.

Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, Guan Jian menjelaskan, kerosakan sistem saraf kaki bagi pesakit kencing manis akan menyebabkan pesakit ini kehilangan keupayaan mengesan sentuhan, kesakitan, perubahan suhu, dan perubahan pada sendi kaki sama ada pada sebelah atau kedua-dua belah.
Oleh yang demikian, Guan Jian menasihatkan pesakit diabetes terutamanya daripada kalangan kronik memberikan perhatian yang sewajarnya kepada penjagaan dan kebersihan kaki, sebagaimana anggota-anggota lain seperti mata, jantung, buah pinggang, dan kulit.
Pada masa yang sama, beliau turut menyarankan agar pesakit diabetes memeriksa celah-celah jari kaki dan tapak kaki sekurang-kurangnya sekali sehari, iaitu sebelum tidur untuk memastikan tahap kebersihan dan tiada luka atau kecederaan pada tempat-tempat yang dinyatakan tadi.
Dalam pada itu, Guan Jian memberitahu, memotong kaki atau bahagian yang luka bukan satu jalan penyelesaian kepada pesakit diabetis.
Tuturnya lanjut, sekiranya doktor memutuskan untuk melakukannya, pesakit perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum melakukan rawatan alternatif lain.
“Rawatan mencuci dan membersihkan luka ini hendaklah dilakukan oleh mereka yang berkemahiran seperti jururawat atau mereka yang berpengalaman dan biasa mengendalikan luka pesakit diabetes.

“Ini kerana bagi pesakit diabetes, mereka tidak digalakkan untuk merendamkan kaki dan cukuplah sekadar membersihkannya seperti biasa.
“Sekiranya luka yang kecil segera dirawat dan dibersihkan, tentu sekali luka tersebut dapat disembuhkan atau sekurang-kurangnya meminimumkan luka tersebut,” tegasnya.
Memberitahu dengan lebih terperinci, Guan Jian berkata, dari segi perubatan moden, penyakit diabetis ini tidak dapat diubati tetapi boleh dikawal.
Untuk itu, pesakit digalak menggunakan pelembap semasa mengurut kaki dan dinasihatkan tidak menyapu pelembap di bahagian celah-celah jari kaki.
Mereka juga tidak digalakkan berkuku kaki panjang dan memotong kuku kaki secara lurus.
Bagi pemilihan kasut pula, pesakit digalakkan membeli atau memakai kasut yang bertutup sepenuhnya dan bahagian depannya lebar supaya kaki tidak terhimpit.

Pada masa yang sama, kasut yang dibeli juga haruslah mempunyai ruang sekurang-kurangnya satu sentimeter di bahagian hadapan untuk membolehkan kaki ‘bernafas’.
“Bagi pesakit diabetes, pemilihan kasut adalah amat penting dalam usaha menjaga kesihatan kaki masing-masing.
“Untuk itu mereka dinasihatkan membeli kasut pada waktu petang di mana pada masa ini kaki akan kembang sepenuhnya setelah melakukan aktiviti.
“Pesakit juga diingatkan mengukur saiz untuk kedua-dua belah kaki, selain jangan memakai kasut sepanjang hari dan pakailah kasut secara perlahan-lahan,” katanya.

Sunday, January 10, 2016

DONAT BERSALUT EMAS

Donat bersalut emas

SEBUAH restoran mewah di Brooklyn, New York mendapat perhatian penggemar pastri selepas ia menghasilkan donat bersalut emas 24 karat.
Ia digelar sebagai Golden Cristal Ube Donut dan turut disaluti aising dihasilkan daripada kristal selain berintikan Ube (keladi ungu), mousse serta champagne.
Donat tersebut yang pada asalnya dijual sebagai edisi terhad dengan harga AS$100 (RM440) di Manila Social Club itu.
Bagaimanapun, ia telah menjadi menu kekal selepas mendapat sambutan ramai pelanggan.
Kini, ia turut dijual dengan harga AS$1,000 (RM4,400) untuk sedozen selain menjadi pilihan hidangan pencuci mulut ketika melamar pasangan untuk berkahwin. 

Saturday, January 9, 2016

NICK'S KITCHEN STUDIO-BANDAR BOTANIK, KLANG

SPAGETI itik salai, ayam roulade, (gulung) dan nasi putih ayam percik bersama kerabu epal, sup dan keropok merupakan antara masakan enak yang boleh dinikmati di Nick’s Kitchen Studio.
Memenuhi selera sesiapa sahaja yang ingin menikmati sajian Barat dan masakan kampung, restoran ini pastinya membuatkan anda ingin ‘kembali’ untuk merasai menu-menu yang lain.
Tidak keterlaluan rasanya memuji setiap masakan yang disediakan oleh pemilik Nick’s Kitchen Studio, Nik Badrul Hisham Nik Mustapha, 32, kerana walaupun sajian yang disediakan merupakan masakan Barat yang biasa terdapat di mana-mana restoran bertemakan masakan tersebut, tetapi ia amat berbeza.
Biarpun cuba menampilkan kelainan untuk disesuaikan dengan cita rasa masyarakat setempat, setiap masakan daripada air tangan Nik Badrul tetap mempunyai keenakan tersendiri.
Menurut Nik Badrul, dia memilih untuk membuka restoran berkonsepkan masakan Barat kerana begitu gemar menikmati sajian tersebut.
Pada masa yang sama, dia juga gemar memasak pelbagai jenis masakan Barat untuk memahirkan lagi dirinya dalam bidang masakan.
Apa yang menarik mengenai Nik Badrul untuk diperkatakan, ialah dia bukanlah seorang individu yang mempunyai latar belakang dalam bidang masakan tetapi disebabkan minat yang terlalu mendalam dalam bidang tersebut membuatkan dirinya bersungguh-sungguh mempelajari selok belok mengenai bidang tersebut.
“Terus terang saya katakan, saya merupakan seorang pelajar jurusan perhotelan dan bidang masakan ini merupakan satu bidang yang sama sekali jauh tersasar daripada apa yang dipelajari di kolej sebelum ini.
“Begitu pun, disebabkan minat yang terlalu mendalam membuatkan saya sanggup mempelajarinya sedikit demi sedikit hinggalah berjaya membuka Nick’s Kitchen Studio.
“Yang pasti, apa jua menu yang disediakan di sini semuanya akan dimasak oleh saya sendiri dan pada masa yang sama saya memberikan sedikit kelainan dalam setiap masakan untuk membezakan restoran saya dengan restoran-restoran masakan Barat yang lain,” ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di 59, Jalan Ramin 2, Botanic Business Gateway, Bandar Botanik, Klang, Selangor.
Setiap sajian yang dihidangkan sememangnya dilihat segar dan untuk itu Nik Badrul menjelaskan dia akan membeli bahan-bahan mentah setiap hari untuk menjamin kesegarannya.
Selain itu, Nik Badrul juga memberitahu, setiap sajian hanya akan dimasak selepas menerima tempahan daripada pelanggan dan sudah pasti ia dihidangkan terus daripada dapur.
Dibantu oleh ibu, makcik, dan pakciknya, Nik Badrul berkata perniagaan yang diusahakannya itu merupakan satu perniagaan keluarga di mana kesemua ahli keluarganya membantu dan memberi sokongan dalam usaha menjayakan lagi perniagaan tersebut.
“Saya pernah mempunyai pekerja-pekerja lain sebelum ini tetapi semuanya tidak bertahan lama kerana masing-masing hanya mementingkan wang daripada kualiti makanan yang disediakan.
“Sebelum saya menerima rungutan daripada pelanggan, lebih baik saya buat keputusan yang pastinya tidak merugikan mana-mana pihak.
“Dan saya bernasib baik kerana ahli keluarga yang lain sudi menghulurkan bantuan untuk membantu saya di sini dan buat masa sekarang sayalah tukang masaknya,” tuturnya lanjut.
Bercerita lebih lanjut mengenai pemilihan menu di restorannya itu, ulas Nik Badrul menu akan bertukar setiap hari melainkan yang mendapat sambutan hangat daripada pelanggan seperti nasi GST, pai ayam, fish and chip, cendawan quiche, chicken chop, dan herb crusted grill lamb chop.
Dibuka setiap hari kecuali Jumaat dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, Nick’s Kitchen Studio boleh memuatkan seramai 60 orang pada satu-satu masa.
Turut mengambil tempahan katering, Nik Badrul berkata dia menerima apa jua menu yang diminta oleh pelanggan dan tidak terhad hanya kepada masakan Barat sahaja.
Jadi kepada mereka di luar sana yang masih tercari-cari restoran untuk menikmati sajian bersama keluarga, apa kata anda kunjungi Nick’s Kitchen Studio.

Friday, January 8, 2016

NELAYAN MAUT TERKENA BILAH KIPAS BOT

Nelayan maut terkena bilah kipas

PONTIAN - Seorang nelayan maut selepas kepalanya terkena bilah kipas bot yang dinaiki di perairan Pontian berdekatan Pusat Perdagangan Pontian di sini, tengah hari tadi.
Mangsa, Zainal Abdullah, 59 yang juga pemastautin tetap meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Zakaria Abdul Rahman berkata dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa ditemani anak saudaranya Usman Umar, 41 yang juga nelayan menaiki sebuah bot fiber untuk menangkap ikan.
“Selepas kira-kira 50 meter dari Jeti Nelayan Pontian Kechil, bot yang dinaiki dipercayai telah melanggar objek keras dipercayai tunggul kayu.
“Akibat pelanggaran itu, bot berkenaan hilang kawalan sehingga berpusing beberapa kali sebelum kedua-dua mereka tercampak ke dalam laut dan bot terbabit terbalik.
“Zainal telah terkena bilah kipas bot. Usman cuba membantu Zainal namun gagal,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.
Zakaria berkata, Usman yang turut cedera di tangan kirinya telah diselamatkan oleh nelayan yang berada berdekatan lokasi kejadian.
Katanya, usaha mencari mayat mangsa dilakukan bersama anggota Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia ( JPAM) dan nelayan tempatan kira-kira 2.30 petang.
“Lebih kurang jam 3.30 petang, mayat mangsa ditemui  hanyut kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.
“Mayat telah di bawa ke bilik forensik Hospital Pontian. Ketika kejadian keadaan air laut surut dan cuaca juga baik,” katanya.

Tuesday, January 5, 2016

10 DARIPADA 100 PEKERJA ASING MENGHIDAP PENYAKIT BERBAHAYA

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Kebanjiran pendatang asing bukan sahaja memberi kesan sosioekonomi di Malaysia malah turut menjejaskan kesihatan dan keselamatan negara.
Data Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) memperlihatkan nisbah 10 daripada 100 pekerja asing yang disaring menghidap penyakit berbahaya seperti batuk kering (Tuberkulosis/Tibi), Hepatitis B dan AIDS.
Ketua Pegawai Eksekutif FOMEMA, Datuk Mohd Hatar Ismail menjelaskan masih ada pekerja asing yang gagal dalam pemeriksaan kesihatan walaupun setelah menjalani saringan kesihatan di negara asal.
"Ini baharu yang sah. Cuba bayangkan pekerja asing yang memang tidak ada permit, berapa ramai yang dijangkiti," katanya kepada Bernama.
Statistik Fomema menunjukkan hanya 1.2 juta pekerja asing di Malaysia mengambil pemeriksaan kesihatan setiap tahun.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dilaporkan berkata, terdapat hampir tujuh juta pekerja asing di negara ini, termasuk pendatang haram.
Mohd Hatar berkata, kes penyakit berbahaya yang paling tinggi di khalayak pekerja asing adalah Tibi, diikuti Hepatitis B dan AIDS.
"Penyakit Tibi boleh merebak melalui udara dan mereka (pekerja asing) gemar menaiki pengangkutan awam seperti bas dan tren," katanya.
Fomema ditubuhkan pada tahun 1997 bertujuan menguruskan ujian saringan kesihatan bagi semua pekerja asing yang berdaftar untuk bekerja di negara ini. -

Monday, January 4, 2016

NOTA CAFE-BANDAR BARU SELAYANG

Melangkah ke Nota Cafe, Bandar Baru Selayang berhampiran dengan Stadium Selayang bagaikan berada di rumah sendiri. Manakan tidak, hiasan dalaman yang santai, satu meja dengan empat kerusi berlainan bentuk, ada sofa untuk lepak dan paling cool ada kawasan untuk kanak-kanak dengan pensel warna dan sebakul kecil permainan.
Ditambah pula dengan menu makanan yang agak santai dengan tema fusion. Pelanggan boleh memilih sama ada hidangan makanan Barat atau makanan tempatan yang memang menepati tekak pelanggan tempatan.
Menurut pemilik Nota Cafe, Shazlira Hamzah, kafenya berkonsepkan gaya hidup komuniti menggunakan perabut terpakai yang dibaik pulih dengan hasrat untuk mengurangkan kos yang selari dengan konsep vintage dan retro serta minimalis tetapi ramai pelanggan yang menggelarkannya kafe hipster.
“Walaupun baru dibuka lebih dua bulan lepas Nota Cafe telah mempunyai pelanggan tetap dan telah mula menerima tempahan untuk majlis hari jadi dan majlis persendirian untuk syarikat,” katanya semasa ditemui di kafenya di Bandar Baru Selayang, Selangor baru-baru ini.
Bermula dengan hanya lapan menu makanan kini dalam masa lebih dua bulan Nota Cafe mempunyai lebih 30 menu makanan dan minuman. Makanan terdiri daripada enam kategori iaitu hidangan utama, kek dan manisan, santai, penkek, roti bakar dan sandwich yang boleh dipilih.
“Di sini pelanggan paling suka bebola daging lembu dan sos perang, nasi goreng nota noti yang seakan nasi goreng seafood, pasta oglio olio ayam panggang, chicken chop dengan soda merah sexy, soda mimpi mint atau pelbagai jenis jus.
“Dan mereka yang ingin kek dan penkek boleh memesan penkek, mango cheese cake dan butterscoth salted caramel yang sesuai dengan toffee nut ice, coffee long black atau cafe latee,” katanya yang pernah berkerja di pelbagai agensi swasta.
Setakat ini kata Shazlira, pelanggan sentiasa memberikan maklum balas membina dan ramai yang meminta mereka untuk menambahkan menu supaya pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan.
Shazlira yang memang bercita-cita membuka kafe memang teruja dengan konsep Nota Cafe bagi dihidangkan bukan hanya kepada warga Selayang tetapi terdapat pelanggan yang datang dari Ampang untuk menikmati hidangan di kafenya.
Bagi pelanggan yang ingin membuat tempahan untuk majlis hari jadi atau majlis ringkas syarikat perlu menempah lebih awal dan biasanya masa yang diperuntukan adalah sebelum kafe dibuka.
Apa lagi, jom cuba pelbagai pilihan menu yang dihidangkan di Nota Cafe yang dibuka setiap hari dari jam 12 tengahari hingga 10 malam kecuali Jumaat 5 petang hingga 10 malam.

Nota Cafe
No 8, jalan 2/8,
Bandar Baru Selayang,
Batu Caves, Selangor.
No. Tel: 03-61280074
Facebook: notacafe
Instagram: notacafe
Twitter: notacafe
Emel: notacafe@gmail.com
Waktu Operasi: 12 tengah hari hingga 10 malam (kecuali Jumaat 5 petang hingga 10 malam)