BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, February 8, 2011

ISU LOGO HALAL TIADA KESUDAHAN


UTUSAN MALAYSIA: Rabu 9 Febuari 2011
Hasil siasatan wartawan Unit Khas Utusan Malaysia di lima pasar raya besar sekitar ibu kota menemui, sejumlah 25 daripada lebih 50 barangan menggunakan logo halal tidak diiktiraf.
Tambah menyedihkan apabila kebanyakannya terdiri daripada barangan makanan yang digunakan setiap hari seperti mi segera, kicap, tuna dan rempahan sup selain makanan ringan.
Kesemua produk yang mempunyai logo ‘halal’ tersebut cuba dijejaki melalui laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) namun tiada maklumat mengenainya.
Pemeriksaan ini sekali gus membuktikan produk-produk itu tidak didaftarkan secara sah.
Berbeza dengan barangan sama daripada jenama lain yang diperiksa, maklumat seperti nama syarikat, jenama dan jenis barangan serta tarikh tamat tempoh sijil pengesahan halal dipaparkan.
Paling mengejutkan, enam produk yang telah diharamkan penggunaan logo halal oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkuatkuasa pada 5 Februari tahun lalu, masih kebal di pasaran.
Tindakan dalam memastikan kesejahteraan umat Islam benar-benar terpelihara dari aspek halal haram mengikut ajaran agama itu mungkin tiada impaknya apabila logo seperti Islamic Food and Research Council, SAS-H Consultancy, Perak Religious Officer Association, Halal Food Council S.E.A dan IFANCA International masih boleh dilihat digunakan pada hampir setiap jenis makanan.
Ini juga memudahkan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan mengaburi mata pelanggan menerusi logo halal masing-masing.
Tambah malang, hanya sebilangan kecil produk di pasar raya didapati menggunakan logo standard Jakim biarpun jabatan itu sudah menetapkan sejak Ogos 2009, ia hendaklah dicetak pada label produk berserta dengan nombor rujukan MS dan 10 digit terakhir nombor rujukan permohonan.
Statistik Bahagian Penguatkuasaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pula menyatakan sebanyak 60 peratus daripada 66 kes pelbagai kesalahan yang dikesan pada tahun 2010 adalah melibatkan pemalsuan logo halal Jakim.

Bukan semua produk logo halal adalah halal

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Pengguna Islam perlu lebih prihatin semasa memilih produk makanan, minuman dan barangan kegunaan harian lain kerana bukan semua produk yang memiliki logo halal berada di bawah pemantauan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Zainal Abidin Jaffar berkata, bidang kuasa jabatan itu selaku pengeluar pengurusan pensijilan halal hanya terhad dalam usaha memantau aktiviti para pemegang sijil pengesahan halal Malaysia.
“Ini sekali gus menjelaskan peranan Jakim hanya terbatas kepada pemegang sijil halal yang sah sahaja.
“Manakala bagi produk yang tidak berdaftar dan didapati menggunakan logo halal palsu atau ‘ciplak’, penguatkuasaannya hanya boleh dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menerusi Akta Perihal Dagangan (APD) 1972,” katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.
Menurut Zainal Abidin, isu penyalahgunaan dan pemalsuan logo halal di negara ini bukan perkara baru dan berharap pengguna akan lebih prihatin dalam memahami dan menangani perkara ini.
“Sekiranya pengguna berasa ragu dengan kesahihan sesuatu logo halal, sebaiknya hindarilah daripada membeli produk tersebut.
“Pengguna juga boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan agar siasatan dapat dilakukan serta-merta bagi memastikan logo halal hanya digunakan oleh produk atau pemegang sijil pengesahan halal,” katanya.
Tegas Zainal Abidin, satu bentuk penguatkuasaan amat diperlukan pada masa ini bagi mengawal pemalsuan logo halal dan pengeluaran sijil halal oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Segala persoalan hanya boleh dirungkai dengan penggubalan Akta Halal dan saya berharap ia dapat direalisasikan secepat mungkin bagi membantu menghilangkan segala kekeliruan pengguna Islam berhubung isu halal-haram dan sekali gus membela nasib mereka daripada terus dikhianati,” katanya.

Friday, February 4, 2011

MASTIKA FEBUARI 2011








Majalah Mastika merupakan sebuah majalah berbahasa Melayu yang diterbitkan secara bulanan. Ia merupakan sebuah majalah yang bercorak kisah misteri, seram, masyarakat, dan pengetahuan umum.

Majalah Mastika mula dikeluarkan pada 1 Jun 1951 dengan nombor ISSN 012-5598. Di sepanjang penerbitannya, Majalah Mastika telah dikemudi dan diperkemaskan oleh beberapa orang tokoh.

Tokoh-tokoh tersebut merangkumi Abd Rahim Kajai sebagai pengarang pertama, kemudian diikuti oleh Tan Sri Abdul Samad Ismail, Munir Ghazali, A. Samad Said dan Zainol Fakir. Majalah ini mendapat sambutan masyarakat, sehingga tahun 2007 majalah ini telah memegang rekod jualan tertinggi selama sepuluh tahun berturut-turut. Hal ini mungkin kerana majalah ini memaparkan isu-isu yang dekat dengan masyarakat.

MAJALAH PC FEBUARI 2011






Majalah PC merupakan sebuah majalah berbahasa Melayu yang diterbitkan di Malaysia. Ia diterbitkan secara bulanan. Ia merupakan majalah khusus dalam bidang komputer dan diterbitkan secara bulanan. "Sumber komputer, internet dan multimedia" merupakan motto bagi majalah ini.

Majalah ini berharga RM4.80 di Semenanjung Malaysia dan RM5.80 di Sabah/Sarawak. Ia diterbitkan oleh Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd.

Ia merupakan majalah berbahasa Melayu tentang komputer paling laris jualannya di Malaysia.

Wednesday, February 2, 2011

PAMER JENAMA HARAM ?


BERDOSA PAMER JENAMA HARAM
Credits to : Ustaz Zaharudin Abdul Rahman.

SEBAGAI peminat sukan bola sepak, sudah menjadi lumrah bagi seseorang itu untuk meminati sesebuah pasukan, khususnya dari Eropah.

Sebagaimana maklum, kerana minat itu juga, ramai sanggup memiliki serta mendapatkan setidak-tidaknya jersi yang digunakan pasukan mereka sama ada yang tiruan mahupun asli.
Namun, dalam menzahirkan perasaan minat terhadap pasukan yang disokong, ramai ‘mengaburkan’ mata hingga sanggup memakai dan menggunakan jersi pasukan yang sebenarnya turut memaparkan pelbagai logo bertemakan salib atau gambar seperti syaitan.

Jadi, sebagai orang yang beragama Islam, saya ingin mengetahui, apakah hukum pemakaian jersi berkenaan dan jika benar ia dilarang, adakah dalil mengenainya.

Ini kerana, berdasarkan perbualan bersama rakan, mereka mengatakan pemakaian jersi yang memaparkan lambang atau logo syaitan atau berbentuk salib adalah dibolehkan, cuma tidak boleh mengagungkan lambang berkenaan.
Menjawab persoalan ini, perlu diketahui bahawa pemakaian atau penggunaan lambang berbentuk syaitan atau yang memaparkan imej salib memang tidak dibolehkan bagi seorang Muslim.

Ini kerana, seseorang yang beragama Islam tidak dibenar mengiklankan sebarang perkara yang bertentangan dengan Islam.

Dalil larangan ini juga mudah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “...dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat seksaan-Nya.” (Al-Maidah, 2)

Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini membawakan sebuah hadis yang menjelaskan lagi larangan memberi apa juga bantuan sama ada tersirat dan tersurat kepada hal-ehwal yang bertentangan dengan akidah dan hukum Islam.

Ini dinyatakan olehnya dalam hadis riwayat Muslim dan Ibn Majah yang bermaksud: “Barang siapa yang menyeru atau mengajak ke arah sesuatu yang sesat (dosa), dia akan menanggung dosanya sebagaimana dosa-dosa orang yang mengikuti ajakan dan seruannya sehinggalah hari kiamat, tidak terkurang dosa itu walau sedikit.”

Dalam isu pemakaian pakaian atau jersi pasukan bola sepak yang diminati, seseorang itu perlu mengetahui dan meneliti lambang serta logo yang tertera adakah ia memang dizahirkan oleh pihak pasukan itu sebagai lambang salib atau bukan.

Jika ia bukan lambang salib tetapi dirasakan sebagai salib hasil imaginasi sendiri yang membayangkannya, tiada masalah untuk mengguna serta memakainya.

Dalam hal ini, contoh terdekat adalah seperti logo kenderaan jenama Chevrolet yang mungkin boleh membuatkan seseorang itu berimaginasi ia adalah lambang salib tetapi pada masa sama individu lain pula berasakan sebaliknya.

Apapun, jika seseorang itu secara tidak dapat dikawal sentiasa terbayang merasakan ia lambang salib, tatkala itu, elok ia dijauhi juga. Namun, dalam konteks biasa, logo kereta itu bukan salib.

Menyentuh mengenai minat terhadap bola sepak, sudah diketahui memang ramai antara kita meminati pasukan Manchester United hinggakan bukan saja sanggup memakai pakaian pasukan mereka, sebaliknya kerana minat juga, mereka mengagungkan logo pasukan itu dengan menampalnya di cermin kereta dan sebagainya.

Realitinya, Manchester United memang menggunakan lambang yang sinonim dengan bentuk syaitan sebagaimana lambang itu dikenali sebagai ‘Red Devil’ atau syaitan merah yang merujuk kepada pasukan berkenaan.

Walaupun hakikat sebenarnya kita tidak tahu bentuk syaitan sebenarnya, namun apabila manusia membuat imaginasi tersendiri mengenai bentuk syaitan, menamakannya sebagai ‘devil’ dan diterima umum sebagai satu lambang yang menjadi kemegahan, tatkala itu lambang ‘Red Devil’ yang berada di logo Manchester United juga termasuk dalam kategori tidak dibolehkan.

Logo ini memang tidak boleh digunakan, diiklankan atau disiarkan oleh seseorang Muslim sama ada untuk ditampal di dinding mahupun digunakan pada pakaian.

Justeru, apa-apa logo jika diterima umum sebagai satu lambang syaitan, kemungkaran, kejahatan dan dihiasi amalan dan perbuatan yang menyanjung kejahatan atau syaitan, ia haram digunakan.

Bagaimanapun, jika imej syaitan lebih membawa kepada hal bola sepak dan bukan lambang kepada perlakuan jahat dan maksiat, tatkala itu ia masih boleh digunakan.

Begitu juga jika ada individu tertentu berjaya mengelakkan hati dan pemikirannya daripada mengakui ia sebuah lambang syaitan dan kekal berasakan ia hanya sebuah lambang kumpulan bola sepak terkenal dunia yang tiada kaitan dengan syaitan atau sepertinya, tatkala itu boleh dan diharuskan baginya untuk memakainya.

Namun, perlu diberi perhatian, jika lambang itu boleh menimbulkan fitnah di kalangan individu lain yang melihatnya hinggakan pemakainya dianggap menyokong sesuatu yang diharamkan, hukum ‘harus’ itu akan berubah kepada ‘makruh’.

Dalam hal penggunaan lambang atau logo ‘Red Devil’, hukum boleh jadi berbeza-beza kerana kepercayaan, keyakinan si pemakai dan orang yang melihat.

Cara terbaik, sudah tentulah menjauhinya kerana ia mampu mewujudkan rasa ‘syubhah’.

Yang pasti, individu yang soleh dan mengabdikan diri kepada Allah SWT tidak akan sama sekali memerlukan logo ini di dalam kehidupannya.

Jika berminat sekalipun, cukup setakat menyokong pasukan itu dalam perlawanan mereka tanpa perlu membabitkan diri dan menghabiskan duit dengan membeli jersi serta barang berserta logo sedemikian.

Namun begitu, memakai jersi pasukan Liverpool dengan jelas memaparkan logo arak Carlsberg, adalah muktamad hukumnya haram menurut hukum Islam berdasarkan dalil dan hujah sebelum ini dan juga yang diberikan di bawah.

Pengharaman juga adalah muktamad bagi mana-mana pakaian dan barangan yang mempromosi iklan bank konvensional yang menawarkan produk riba.

Umat Islam dilarang sama sekali secara sepakat ulama, mempromosikan mana-mana bank konvensional kerana dosanya sama seperti berperang dengan Allah SWT serta Rasul-Nya serta ia juga sama seperti seseorang itu berzina sebanyak 36 kali.

Hal ini juga disentuh oleh ulama terkenal, Dr Yusuf Al-Qaradawi yang menjelaskan: “dan apa-apa yang diharamkan penggunaannya, diharamkan juga mengambilnya sebagai barangan yang disayangi atau sebagai perhiasan.”

Jadi, kenyataan ini menjelaskan apabila seseorang itu menjadikan ia perhiasan sama ada di rumah atau pakaian untuk dipertontonkan, ia sebenarnya satu cara serta bentuk pengagungan terhadap lambang itu.

Maka, hukum memakai baju yang memaparkan lambang salib secara jelas dan berlogo apa-apa jenama yang diharamkan oleh Islam seperti Carlsberg itu adalah berdosa dan diharamkan untuk orang Islam memakainya dan dijadikan perhiasan.

Manakala hukum memakai pakaian yang berlogo Red Devil adalah di antara harus dan makruh sebagaimana dinyatakan tadi.

Namun, jika ia benar-benar dianggap sebagai logo dan tanda Devil dan tanda negatif dan kejahatan bagi masyarakat awam di sesuatu tempat, ia boleh berubah menjadi haram dan serta-merta tidak boleh dipakai Umat Islam.

Monday, January 31, 2011

MURTABAK RAJA

Utusan Malaysia 31 Jan. 2011

 

KUALA TERENGGANU 31 Jan. - Biarpun mula dipasarkan secara komersial di negeri ini beberapa bulan lalu oleh AR Food House, Murtabak Raja keluaran Muslim Best mendapat sambutan di luar jangkaan.
Produk sejak beku itu dihasilkan dengan gandingan kepakaran MARDI yang menyerlah keenakan rasa murtabak sebenar merupakan antara produk makanan keluaran Muslim Best yang menjana perniagaan AR Food House.
Menurut pemilik AR Food House, Syed Mohd. Nor Syed Alwi, 59, walaupun pelbagai produk makanan dijual di premisnya di bandar Dungun namun Murtabak Raja merupakan produk utama untuk diedarkan di pasaran.
Walaupun rangkaian pengedaran masih belum meluas, secara purata 1,000 pek Murtabak Raja berjaya dijual dan bagi Syed Mohd. Nor, ia membuktikan penerimaan masyarakat cukup membanggakan.
Baginya, ia turut membuktikan Murtabak Raja, hidangan kerabat istana Kelantan silam dihasilkan dengan begitu teliti dengan menitikberatkan mutunya dan boleh menjadi hidangan dalam semua suasana terutama keraian atau menu hidangan pada bila-bila masa.
Selain murtabak, premis yang beroperasi di No. 6, Taman Permint Indah, Jalan Paka, Dungun itu turut mengedarkan beberapa produk lain antaranya nuget, sosej, daging burger, oblong, roti canai, karipap, popia cendawan berkeju dan samosa coklat pisang.
"Murtabak Raja mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri dengan pilihan perasa daging tempatan berperisa lada hitam, sardin bersos salsa nanas dan kari ayam rempah ratus tradisional.
"Ia didatangkan dengan lebih besar, tebal dan padat, berintikan 100 peratus daging lembu dan ayam tempatan serta sardin berkualiti bersalut telur gred tinggi dan bawang segar.
"Ia tanpa kuah atau pencicah biasa. Sekeping Murtabak Raja segera seberat 1 kilogram ini berharga RM16 cukup untuk dimakan empat orang dewasa dan boleh disimpan di dalam tempat beku peti sejuk selama setahun.
"Malah kalau disimpan di ruang biasa di dalam peti sejuk pun, murtabak ini mampu bertahan selama tiga bulan, inilah keistimewaan Murtabak Raja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pesara pegawai kerajaan memberitahu, beliau yang dibantu anaknya, Mohd. Afzan Fauzi, 35, bagi mengendalikan perniagaan itu yakin Murtabak Raja mempunyai potensi untuk menjadi sebahagian menu harian masyarakat.
Menurutnya, Dungun merupakan lokasi agak strategik dengan persekitaran bandarnya yang semakin membangun selain mempunyai beberapa institusi pengajian tinggi serta kolej memberi impak yang baik bagi perniagaannya.
Di samping itu jelas Syed Mohd. Nor, status halal bagi produk keluaran Muslim Best khususnya Murtabak Raja mampu meraih keyakinan pelanggan dan umat Islam tidak perlu was-was mengenainya.
Mengenai awal memulakan perniagaannya, beliau berkata, ia sebenarnya bermula secara kecil-kecilan di rumahnya dan setelah mendapat sambutan, skop perniagaannya telah dikomersialkan pada November lalu.
"Kalau dilihat daripada segi harga mungkin agak mahal daripada murtabak biasa, tapi ia dapat menjadi hidangan untuk ramai orang, malah rasanya jauh lebih sedap dan disimpan sehingga setahun," katanya.
Melihat potensi besar produk ini, Syed Mohd. Nor kini menyimpan impian untuk membesarkan perniagaannya dengan cadangan membuka kiosk ala kopitiam di negeri ini.
Justeru, beliau turut mempelawa sesiapa yang berminat untuk menjadi ejen atau stokis bagi mengedarkan produk keluaran Muslim Best itu di negeri ini dengan menghubungi talian 0123932142.
Pada masa sama kata beliau, pihaknya juga bersedia membantu mereka yang berminat dengan menyediakan peti sejuk beku yang harganya akan dipotong berdasarkan keuntungan