BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, May 14, 2013

USAHAWAN WANITA DISARAN PASAR PRODUK DALAM TALIAN


PONTIAN 14 Mei - Golongan usahawan wanita tempatan disaran memohon dan menggunakan geran yang disediakan di bawah program Get Malaysia Business Online (GMBO) bagi melonjakkan perniagaan dalam talian.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, GMBO merupakan inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2013 bagi manfaat 50,000 usahawan mikro di seluruh negara dengan setiap usahawan menerima sebanyak RM1,000 bagi membantu mereka memasarkan perniagaan secara dalam talian.
"Ini merupakan salah satu daripada objektif kewujudan Pusat Jalur Lebar bukan sahaja untuk merapatkan jurang digital, tetapi juga membangunkan ekonomi penduduk setempat," katanya dalam program Jom Celik Minda Merentasi Dunia Maya di Pusat Jalur Lebar 1Malaysia di Kampung Permatang Sepam, Benut dekat sini baru-baru ini.
Yang turut hadir Pemangku Ketua Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Selatan, Roszeta Kassim.
Ahmad berkata, kini terdapat ramai usahawan wanita yang melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi seperti membuat makanan ringan, jahitan, ternakan ayam kampung dan inap desa.
"Aktiviti ekonomi tambahan seperti itu sebenarnya boleh dipasarkan secara dalam talian kerana cepat dan mudah untuk tersebar secara meluas melalui kemudahan internet," katanya.
Justeru, beliau menyeru usahawan wanita agar dapat memanfaatkan kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) untuk merebut pasaran yang lebih terbuka bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara.

HOTEL TERAPUNG PERTAMA MALAYSIA


HOTEL terapung ini kini dalam perjalanan dari tempat pembinaannya di Lumut, Perak ke Eropah bagi menyiapkan kerja mengecat dan memasang perabot.

KUALA LUMPUR 9 Mei - Boustead Heavy Industries Corporation Bhd. (BHIC) dan Sunborn Marine (M) Sdn. Bhd. (SMM) hari ini mengumumkan penyiapan Sunborn III, hotel terapung berbentuk kapal pertama yang dibina di Asia Tenggara.
Hotel terapung milik syarikat pembuat kapal, Sunborn Ou Marine dari Finland tersebut telah dibina melalui anak syarikatnya SMM dengan kerjasama BHIC melalui Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) di Lumut, Perak.
Presiden SMM, Jari Niemi berkata, jumlah keseluruhan bagi projek tersebut bernilai RM462 juta dan merupakan kapal generasi kedua yang dilengkapi dengan EU Marine Equipment Directive (MED).
Katanya, Sunborn III yang panjangnya 140 meter itu mempunyai tujuh tingkat hotel, satu tingkat bahagian perkhidmatan serta dilengkapi 189 bilik tetamu dengan balkoni termasuk 22 Royal Suite.
"Kawasan awam hotel ini boleh menempatkan 1,000 orang termasuk lobi yang luas, kedai, restoran, dewan utama, kolam renang dan pelbagai lagi.
"Apa yang membezakan hotel terapung ini adalah kebanyakan kapal pelayaran lain disasarkan kepada golongan sederhana manakala hotel ini pula disasarkan kepada golongan yang berpendapatan tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar mengenai pengumuman perkara tersebut di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Eksekutif BHIC, David W. Berry.
Menurut Jari, hotel terapung itu kini dalam perjalanan ke Eropah selepas berlepas semalam bagi menyiapkan kerja keseluruhan seperti mengecat dan memasang perabot.
Jelasnya, terdapat pertambahan permintaan bagi hospitaliti di luar pesisir pantai kerana lokasi pesisir pantai utama semakin sukar untuk didapati.
"Situasi ini semakin teruk apabila berlaku perubahan cuaca global, bencana alam serta ketidakstabilan politik yang memberi kesan kepada pelancongan.
"Oleh itu, banyak pemaju hotel dan pelabur melihat untuk membina aset di atas air. Ini adalah pelaburan yang meningkat nilainya bergantung kepada sesebuah lokasi," jelasnya.

PINEWOOD TARIK PRODUKSI TEMPATAN, ANTARABANGSA



lakaran projek Pinewood Iskandar Malaysia Studios.

JOHOR BAHRU 13 Mei - Studio bertaraf dunia, Pinewood Iskandar Malaysia Studios (Pinewood Studio) sedang mempromosikan studionya dengan agresif bagi menarik produksi bertaraf antarabangsa dan tempatan apabila dibuka Jun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Lake berkata, beliau yakin studio yang menawarkan kemudahan produksi filem dan televisyen terbesar di rantau ini juga mampu menjadi penyumbang kepada pertumbuhan pesat di Iskandar Malaysia.
Menurutnya, Pinewood Studio akan dibuka pada bulan depan dengan sasaran menjadikan Johor khususnya dan Malaysia amnya sebagai lokasi pembikinan dan pengeluaran filem di rantau ini, kini sudah mendapat maklum balas positif.
Beliau yang masih menyembunyikan produksi dari negara mana atau filem pertama sama ada dari Hollywood atau pun Bollywood yang akan dikeluarkan di situ berkata, terdapat beberapa negara sudah menyatakan minat mereka.
"Kita kini sedang menjalankan perbincangan bersama produksi antarabangsa iaitu dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman, Australia, Jepun dan India dan siapa yang terpilih bakal memulakan kerja mereka dijangka Ogos atau September ini.
"Kita sedang berbincang dengan beberapa penerbit, kita teruja dengan perkembangan di Pinewood Studio," katanya.
Studio yang dibina di atas tanah seluas 20 hektar berhampiran dengan Medini di Nusajaya bakal menyediakan 100,000 kaki persegi kawasan pentas filem dan 60,000 kaki persegi studio televisyen.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Tamat Latihan 147 Tenaga Profesional Industri Filem dan Televisyen Pinewood Studio di Akademi Binaan Malaysia Wilayah Selatan, di sini semalam.
Yang turut hadir, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.
Dalam pada itu, Ismail yakin dengan pembukaan serta insentif yang diperkenalkan iaitu rebat sebanyak 30 peratus kepada pihak terlibat mampu menarik lebih banyak pengeluar filem untuk memilih Pinewood Studio sebagai salah satu lokasi filem mereka.

AMALAN DIBULAN REJAB


HARI ini kita telah memasuki bulan Rejab. Tidak lama lain Syaaban akan menjelang lalu Ramadan menyusul.
Rejab adalah kunci kebaikan dan ibadah. Berkata Abu Bakar Al-Warraq al-Balkhi: "Bulan Rejab bulan menanam pokok. Bulan Syaaban bulan menyiram pokok. Dan bulan Ramadan bulan menuai buahnya."
Itu kerana bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan rahmat daripada Allah SWT. Setiap Muslim merasakan keindahan dan kedekatan dengan-Nya. Pada bulan itu, setiap ibadah diberi ganjaran berkali-kali ganda. Belum lagi malam Lailatulqadar yang menjadi harapan setiap orang yang mencintai negeri akhirat.
Kesempurnaan Ramadan mustahil diraih tanpa persiapan. Dan persiapan itu bukan bermula apabila Ramadan bermula. Persiapan Ramadan mesti bermula sejak beberapa bulan sebelumnya. Rejab bulan yang sangat baik untuk kita memulai persiapan itu.

Bulan haram

Apa lagi sebenarnya Rejab memiliki kelebihan tertentu berbanding bulan-bulan yang lain. Ia adalah salah satu daripada empat bulan haram, yakni bulan-bulan yang sangat terhormat di sisi Allah SWT.
Rasulullah SAW pernah bersabda: Sesungguhnya masa telah beredar seperti mana keadaannya ketika Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun adalah 12 bulan. Di antara bulan-bulan itu terdapat empat bulan haram. Tiga di antaranya berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Dan (keempat) adalah Rejab Mudar yang terletak antara Jumada dan Syaaban. (al-Bukhari dan Muslim)
Sejak masa jahiliah, keempat-empat bulan haram ini sangat dihormati. Ia adalah bulan-bulan bertenang untuk meraikan para jemaah haji dan umrah. Peperangan dan pergaduhan diharamkan pada bulan-bulan tersebut.
Dalam Islam hukum ini memang dimansuhkan. Apabila diperlukan, umat Islam dibenarkan berperang pada bulan-bulan tersebut itu. Namun begitu, keempat-keempat bulan itu tetap memiliki kelebihan tersendiri dengan dilebihkan ganjaran pahala dan dosa padanya.
Berkata Ibnu Abbas: "Allah mengkhaskan beberapa bulan untuk dijadikan bulan haram dan mengagungkan kadarnya. Dosa maksiat yang dilakukan padanya sangat besar. Sebagaimana pahala ibadah yang dilakukan padanya juga sangat besar." (diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman)

Amalan

Tiada amalan khas yang mesti dilakukan pada bulan Rejab. Kita hanya diperintahkan untuk memperbanyak ibadah apa yang kita mampu lakukan.
Siapa yang mampu memperbanyak solat sunat dipersilakan. Namun begitu hindari daripada melakukan solat Raghaib yang selalu dilakukan pada Jumaat pertama bulan Rejab. Berkata Ibnu Rajab al-Hanbali: "Hadis-hadis yang menceritakan fadilat solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab adalah palsu. Solat ini bidaah menurut kebanyakan ulama."
Siapa yang hendak memperbanyak puasa sunat, juga digalakkan. Usman bin Hakim al-Ansari pernah bertanya kepada Said bin Jubeir tentang amalan puasa sunat pada bulan Rejab. Said menjawab: Aku mendengar Ibnu Abbas berkata: Rasulullah selalu berpuasa sehingga kami menyangka beliau tidak pernah berbuka. Dan baginda juga selalu berbuka sehingga kami menyangka beliau tidak pernah berpuasa. (riwayat Muslim)
Imam Al-Nawawi menjelaskan: "Maksud Said bin Jubeir adalah tidak ada larangan dan galakan khas untuk melakukan puasa di bulan Rejab. Akan tetapi hukum bulan ini seperti bulan-bulan lainnya. Asal hukum puasa adalah sunat."
Adapun ibadah umrah, maka sunat melakukannya pada bulan Rejab. Rasulullah pernah melakukan ibadah umrah di bulan Rejab. Ibnu Sirin meriwayatkan bahawa para tokoh-tokoh ulama salaf sangat menyukai ibadah umrah di bulan Rejab.
Selain ibadah-ibadah ini, lakukanlah ibadah-ibadah lain semampu kita. Perbanyakkanlah zikir, bacaan al-Quran dan selawat.
Jika tidak mampu melakukan ibadah dan kebaikan, minimal yang kita mesti lakukan adalah menjauhkan diri daripada maksiat. Jangan nodai bulan yang mulia ini dengan kata-kata kesat, lucah, ghibah, makian dan lain-lain. Siapa yang meninggalkannya kerana Allah, ganjaran besar telah menunggu untuknya.
Semoga Allah membuka hati-hati kita untuk menikmati keindahan Ramadan dengan memberinya hidayah untuk melakukan kebaikan sejak dari bulan Rejab dan Syaaban.

Sunday, May 12, 2013

MAKANAN DARI TONG SAMPAH



DALAM sehari, wanita ini membawa pulang 12 kotak makanan yang sudah luput tarikh.



KELLY turut menghidangkan piza dan keju yang sudah luput tarikh kepada rakan-rakannya.


SEJAK empat tahun lalu, tempat pembuangan sampah menjadi lokasi kegemaran Kelly Athena kerana ia membekalkan pelbagai bahan keperluan untuk hidangan hariannya bersama keluarga.
Wanita itu mempelajari amalan itu selepas menonton sebuah filem dokumentari mengenai sekumpulan orang yang menyelongkar bahan buangan di luar kedai, restoran dan pasar raya bagi mendapatkan makanan yang sudah luput tarikh.
Sejak itu, Kelly memperoleh berbagai-bagai barang makanan bernilai hampir RM381,500 daripada tong sampah. Dia turut menggunakan bahan itu untuk menyediakan hidangan kepada rakan-rakannya.
Bagaimanapun, obses Kelly itu menyebabkan suaminya enggan dikenali atau dipaparkan wajahnya di televisyen kerana berasa malu atas perbuatan isterinya yang suka menyelongkar tong sampah bagi mendapatkan makanan.
"Saya sering berada dalam ketakutan jika suatu hari nanti polis menghubungi saya," ujarnya.
Aktiviti mencari bahan terbuang tidak menjadi larangan di Arizona, tetapi beberapa perniagaan mungkin boleh menyaman Kelly yang sering menyamar sebagai pekerja sesebuah syarikat bagi mengelak aktivitinya disedari.
Kelly sanggup memandu sejauh hampir 50 kilometer sehari bagi memeriksa 20 tempat pembuangan sampah.
Secara purata, Kelly membawa pulang 12 kotak makanan sehari.
Peti sejuknya pula sentiasa penuh dengan bekalan makanan yang lazimnya sudah luput tarikh, tetapi dia yakin kesemua makanan itu masih sesuai dimakan.
Namun, dia tidak pernah memberitahu rakan-rakannya mengenai obsesnya itu sehinggalah dia menjemput mereka menghadiri parti di rumahnya.
Kelly menghidangkan makanan daripada bahan buangan itu kepada tetamunya.
Antara hidangan itu ialah piza yang sudah luput tarikh selama empat bulan bersama keju yang sudah dua minggu melepasi tarikh luput.
Jelasnya, kebanyakan rakannya memuji hidangan itu tanpa mengetahui ia sebenarnya adalah makanan terbuang yang diambil daripada tong sampah.
"Mereka memakan semuanya seperti biasa tetapi terkejut apabila diberitahu, saya memperoleh bahan itu daripada tong sampah," katanya.

RENDANG PUCUK UBI ALAF BARU

RENDANG pucuk ubi Mak Long Timah dijual pada harga RM8 untuk 100 gram

SEBUT sahaja ubi kayu, pasti mereka yang pernah hidup pada zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1940-an amat menghargai nostalgia makanan popular tersebut.
Disebabkan kesempitan hidup pada era tersebut, ubi kayu menjadi makanan utama sebagai pengganti nasi. Biarpun ada yang menganggap ubi kayu makanan golongan miskin, ia memiliki khasiat yang banyak.
Ubi kayu atau nama botaninya Manihot Esculenta Crantz ialah tumbuhan tropika dan subtropika daripada keluarga Euphorbiaceae yang terkenal sebagai sumber utama karbohidrat manakala daunnya boleh dijadikan sayur.
Ubi kayu berasal dari bahagian tropika Amerika Selatan tetapi kini taburannya hampir di semua kawasan tropika seluruh dunia.
Populariti ubi kayu telah mendorong sebuah syarikat bumiputera, Innova Food Industries mengkomersialkan makanan tradisional Negeri Sembilan iaitu rendang pucuk ubi bagi memenuhi permintaan penggemar makanan kampung itu.
Walaupun berlainan dari segi pembungkusan, jenama Rendang Pucuk Ubi Mak Long Timah tetap mengekalkan rasa rendang tradisi yang menyelerakan. Ia didatangkan dalam dua perisa iaitu udang dan ikan bilis.
Malah masakan rendang yang popular di Malaysia dan Indonesia ini juga telah diiktiraf oleh sisipan pelancongan CNN Go pada tahun 2011 sebagai 50 masakan terlazat di dunia. Ia sering dihidangkan ketika perayaan dan sambutan acara tertentu.
Tahan lama
































PERALATAN moden digunakan bagi mempercepatkan proses memasak rendang pucuk ubi yang memakan masa selama enam jam.
Bercerita lanjut, Pengurus Operasi Innova Food, Mohd. Fadzil Mohd. Isa memberitahu, resipi rendang pucuk ubi keluaran syarikatnya itu merupakan resipi turun-temurun daripada ibunya.
"Pada mulanya kami hanya memasak rendang pucuk ubi ini untuk dimakan sendiri selain memasarkannya secara kecil-kecilan di restoran kepunyaan ibu yang terletak di pekan Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan.
"Ketika itu kami hanya meletakkan rendang pucuk ubi di dalam bekas plastik sebelum mendapat idea untuk mengkomersialkannya kira-kira setahun yang lalu.
"Untuk tujuan itu, kami tampilkan rendang pucuk ubi di dalam bungkusan yang menarik dan senang dibawa ke mana sahaja termasuklah ke luar negara. Produk ini sedia dimakan begitu sahaja," ujarnya ketika ditemui kru Jurnal di kilang memasaknya di Kampung Tembun, Jelebu.
Tambah Mohd. Fadzil, keunikan produk keluaran syarikatnya itu terletak pada pengekalan kualiti masakan rendang itu sendiri selain tahan lama. Rendang pucuk ubi itu terdapat dalam perasa pedas, sederhana pedas dan asli.
"Setakat ini, belum ada syarikat lain yang mengeluarkan produk makanan tradisional seperti ini. Untuk itu, kami mengambil inisiatif mengkomersialkan produk ini yang sememangnya sudah mempunyai penggemar.
"Dengan harga RM8 bagi 100 gram, rendang pucuk ubi ini sesuai dimakan bersama nasi, lemang, ketupat, roti dan kuih-muih. Ia juga boleh dipanaskan semula untuk mendapatkan rasa yang lebih enak.
"Proses memasak rendang pucuk ubi ini mengambil masa selama enam jam bermula dengan proses penyediaan bahan mentah, memasak, menimbang dan membungkus. Pada kebiasaannya, kami akan memasak pada hari Selasa, Rabu dan Khamis.
"Setelah siap dimasak, ia disejukkan terlebih dulu sebelum dibungkus," jelasnya yang mengusahakan produk itu bersama adik-beradiknya yang lain.
Menurut Mohd. Fadzil, setiap sukatan perlu tepat bagi mengekalkan rasa asli rendang pucuk ubi resipi ibunya yang sememangnya sudah terkenal di sekitar Jelebu.
"Apabila sebut sahaja rendang pucuk ubi Mak Long Timah, pasti ramai yang mengetahuinya. Kami menggunakan daun pucuk ubi pulut kerana rasanya yang lebih sedap berbanding daun pucuk ubi batang merah yang biasanya dijadikan ulam itu.

RENDANG pucuk ubi Mak Long Timah mula dikomersialkan pada tahun lepas.


Makanan sejuk beku
"Kami tidak menggunakan bahan pengawet dalam penyediaan produk ini, jadi kami kena pastikan rendang pucuk ubi ini benar-benar kering supaya ia tahan lama.
"Jika dahulu kami menggunakan kaedah manual dengan memasaknya menggunakan kuali dan mengacaunya seperti dodol tetapi seiring dengan perkembangan teknologi, kini kami menggunakan peralatan moden bagi membantu mempercepatkan proses memasak.
"Dalam seminggu, kami berjaya memproses sebanyak 100 kilogram (kg) daun pucuk ubi bagi menampung tempahan sebanyak 5,000 peket sebulan," ujarnya sambil memberitahu, proses memetik daun pucuk ubi sahaja mengambil masa satu hingga dua jam kerana dilakukan secara manual.
Jelasnya, bagi memastikan bekalan bahan mentah sentiasa mencukupi, mereka mengambil inisiatif dengan menanam sendiri kira-kira 5,000 pokok ubi kayu di tanah seluas 0.4 hektar di belakang rumah.
"Pasaran produk ini sangat luas. Untuk itu, kami memerlukan bekalan bahan mentah yang mencukupi.
"Selain menanamnya di belakang rumah, kami turut memperoleh bekalan daripada pengusaha ubi kayu dan peniaga di pasar-pasar tani.
"Kami juga sedang berusaha melaksanakan projek tanaman ubi kayu secara menyeluruh di kawasan sekitar Simpang Durian di Jelebu," ceritanya sambil menambah, proses memetik daun pucuk ubi dilakukan sebanyak dua kali seminggu.
Ujarnya, proses penanaman batang ubi kayu secara berbaring dilakukan bagi mendapatkan daun pucuk ubi yang lebih banyak berbanding kaedah penanaman biasa iaitu secara menegak.
Menurut Mohd. Fadzil, di samping rendang pucuk ubi, pihaknya juga dalam perancangan untuk mengkomersialkan produk lain seperti pegaga, pucuk paku dan maman.
Tambahnya, rendang pucuk ubi itu turut mendapat tempahan daripada pelajar universiti yang sedang menuntut di Britain.
"Kami akan mempelbagaikan lagi produk-produk tambah nilai yang berkaitan dengan rendang pucuk ubi ini secara berperingkat-peringkat.
"Kami sedang merancang untuk menjadikan rendang pucuk ubi ini sebagai inti untuk makanan sejuk beku selain mempelbagaikan lagi perisanya," jelasnya sambil memberitahu, terdapat 10 pengedar di seluruh negara yang memasarkan produk keluaran syarikat itu.
Sementara itu, ibunya, Fatimah Zahara Abu Hasan atau lebih dikenali dengan panggilan Mak Long Timah, 76, memberitahu resipi rendang pucuk ubi merupakan resipi turun-temurun milik keluarganya.
"Dengan ubi kayu ini, saya boleh menghasilkan bermacam-macam jenis kuih dan masakan lain seperti lepat, talam dan kerepek.
"Malah di restoran saya turut menyediakan masakan kampung seperti pucuk ubi masak lemak," ujarnya yang sudah mengusahakan restoran di pekan Kuala Klawang itu selama 31 tahun.

Friday, May 10, 2013

RESTORAN GOLDEN ORCHIRD ORIENTAL THAI CUISINE-DAMANSARA JAYA


Pemandangan di bahagian luar Restoran Golden Orchid yang terletak di Damansara Jaya, Selangor.

BAGI mereka yang menggemari masakan Thai dan buntu mencari restoran yang menepati cita rasa, kini anda boleh mencuba sendiri masakan tersebut di Restoran Golden Orchid Oriental Thai Cuisine.
Restoran ini sememangnya mengekalkan cita rasa Thai asli yang akan membuatkan sesiapa yang merasainya tidak berasa rugi setelah mencubanya.
Pengurus restoran ini, Alfred Foo, 33, berkata, dia dan rakannya suka mencuba pelbagai jenis makanan dan dari situ ideanya timbul untuk mengendalikan restoran yang menghidangkan gabungan masakan Thai asli dan tempatan.
"Kebiasaannya di pasaran terdapat banyak makanan segera Jepun tapi kami membawa kelainan kerana menyediakan makanan segera Thai," jelasnya.
Tambah Alfred, sebagai usaha untuk mengekalkan rasa asli Thai ini, mereka menggunakan khidmat chef yang didatangkan khas dari Thailand.
"Chef dari Thailand dipilih untuk mengekalkan rasanya agar tidak mengecewakan para pelanggan yang makan di sini.
"Kami juga sedang dalam usaha untuk menambah bilangan chef dan kami mencari di sekitar Thailand untuk mencarinya," katanya ketika ditemui di restorannya di Damansara Jaya, Selangor.
Restoran yang santai dan selesa itu diubah suai dengan hiasan kayu berwarna gelap di selang seli dengan kepingan papan berwarna.
Antara makanan yang menjadi kegemaran pelanggan di restoran tersebut ialah tomyam makanan laut, sambal petai udang, kari hijau daging, kari merah ayam dan ikan stim ala Thai, manakala minuman yang paling terkenal di sini ialah minuman serai sejuk.
Harga yang dicaj adalah berpatutan dan mampu dibayar oleh semua golongan dan restoran ini juga halal.
Merangkumi lebih 3,000 kaki persegi, restoran ini mampu memuatkan 100 hingga 120 pengunjung pada satu-satu masa termasuk tempahan eksklusif bagi majlis-majlis tertentu.
Golden Orchid dibuka untuk operasi dari jam 11.30 pagi hingga 2.30 petang dan 5.30 petang hingga 10.00 malam setiap hari.