BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, June 16, 2013

30 TAHUN SAJI UDANG GALAH- LEBAN CHONDONG, ROMPIN PAHANG

ANTARA menu yang disajikan adalah udang galah goreng kunyit.

DAERAH Rompin cukup terkenal dengan udang galah sejak dahulu lagi sehinggakan kebanyakan kedai makan di daerah ini pasti mempunyai menu berasaskan udang galah.
Tidak hairanlah jika ada peminat udang galah sanggup datang dari Kuala Lumpur semata-mata mahu menikmati keenakannya.
Salah sebuah kedai yang popular di sini adalah Gerai Makan Azizah yang menampilkan kelainan dalam kebanyakan masakan udang galah yang disajikan.
Sekali pandang, gerainya yang terletak di Leban Chondong itu tidak mempunyai sebarang keistimewaan berbanding dengan kedai makan yang lain.
Namun, Gerai Makan Azizah yang telah dibuka sejak 30 tahun yang lalu merupakan antara gerai yang popular di daerah ini yang menyajikan menu udang galah.
Menurut pemilik gerai terbabit, Norazura Sulaiman, 36, pelanggan yang datang boleh memilih sendiri udang galah segar yang ingin dimasak.
Katanya, pelanggan boleh memilih pelbagai menu antaranya udang masak lemak, goreng berlada dan goreng kunyit.
"Selain itu, gerai ini turut menyediakan mi bandung, mi rebus dan mi goreng serta masakan panas berasaskan udang galah," katanya kepada S2.
Menurutnya, harga udang galah adalah berbeza mengikut gred yang mana gred A berharga RM75 sekilogram selepas dimasak.
"Udang galah gred B pula berharga RM55 sekilogram selepas dimasak. Udang galah yang mentah turut dijual iaitu bagi gred A, RM60 sekilogram manakala gred B RM45 sekilogram.
"Pelanggan terlebih dahulu memilih udang mengikut saiz dan bilangan yang mereka inginkan sebelum ditimbang dan ditentukan harga sebelum dimasak.
"Biasanya, pelanggan tidak mempersoalkan harga kerana berpuas hati dapat menikmati udang yang besar dan segar," katanya.
Menurut Norazura, ada pelanggannya yang datang dari Kuala Lumpur dan Johor semata-mata mahu menikmati masakan udang galah di gerainya.
"Ramai pelanggan yang datang akan mengambil peluang untuk bergambar sebelum menjamu selera. Saya diberitahu pelanggan bahawa mereka dapat tahu mengenai warung ini melalui blog dan laman sosial seperti Facebook," jelasnya.
Katanya, jualan udang galah di gerainya mampu mencecah 100 kilogram setiap hari pada musim cuti persekolahan dan pada hari biasa, mampu mencecah sehingga 40 kilogram.
Gerai turun-temurun sejak dari zaman ibunya ini dibuka setiap hari dan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 7 petang.

MAGGI KETAM- RELAX CAFE TUMPAT KELANTAN

MAGGI Ketam dan Maggi Udang merupakan menu istimewa Relax Cafe.

MASAKAN mi segera daripada apa sahaja jenama termasuk Maggi mungkin lebih mudah dihidangkan di rumah.
Tetapi jika anda mahukan kelainan dan kelazatan masakan berasaskan mi segera, maka anda perlu singgah di Relax Cafe yang terletak di Tumpat, Kelantan.
Ini kerana kafe itu ada menyediakan Maggi Ketam yang mampu membangkitkan selera sesiapa sahaja yang ‘terhidu’ bau kuahnya.
Terletak di Jalan Kampung Kutan Tengah, Wakaf Baru, lokasi itu juga merupakan laluan utama ke Pasir Mas. Justeru, kafe itu sentiasa dikunjungi ramai, apatah lagi ia memiliki 1,001 keistimewaan buat penggemar makanan tersebut.
Lebih menarik, Relax Cafe yang dibuka sejak sembilan tahun lalu oleh sepasang suami isteri, Matruddin Mat Sena, 45, dan Fadzilah Mansor, 38, merupakan satu-satunya restoran di negeri ini yang menyediakan hidangan istimewa itu.
Melihatkan penyediaan Maggi Ketam yang kemudian dihidangkan ketika masih panas, ditambah pula dengan aroma yang menusuk hidung, pastinya membuatkan anda teruja dan tidak sabar untuk menikmatinya.
Bukan itu sahaja, ‘kelibat’ seekor ketam besar ataupun udang galah dalam sajian itu membuatkan anda semakin ghairah untuk menikmatinya.
Hanya menyajikan bahan segar dan berkualiti kepada pengunjung, Relax Cafe sememangnya dapat memenuhi selera penggemar ketam dan udang galah.
Matruddin berkata, hasil usaha dia dan isterinya, restoran berkenaan kini menjadi tumpuan peminat hidangan ketam dan udang dari seluruh negara.
Katanya, keistimewaan Maggi Ketam itu sebenarnya terletak pada ramuannya yang dicipta sendiri oleh dia dan isterinya.
Ujarnya, di dalam hidangan tersebut, selain daripada ketam yang menjadi daya penarik utama, dia turut meletakkan bebola ikan, lala, udang, telur dan sotong.
“Setiap hidangan yang disediakan disiapkan hanya dalam tempoh lima minit. Jadi, pelanggan tidak perlu menunggu lama untuk menikmatinya," katanya.
Tambah Matruddin, setiap pelanggan boleh memilih ketam pelbagai saiz daripada seberat 200 sehingga 900 gram dan harga setiap hidangan itu bergantung kepada saiz ketam yang dipilih.
Beliau berkata, harga tersebut adalah antara RM14 sehingga RM63 dan bagi ketam yang bersaiz besar, ia juga sesuai dimakan oleh dua atau tiga orang.
“Selalunya, pelanggan akan melakukan tempahan terlebih dahulu kerana kebanyakan mereka datang secara berkumpulan ataupun dengan keluarga," katanya sambil memberitahu pelanggannya juga terdiri daripada orang-orang kenamaan dan selebriti.
Beliau menambah: “Lebih menarik, pelancong luar negara seperti Ukraine, Sweden, Perancis, Thailand dan Jordan turut datang menikmati hidangan Maggi Ketam di sini."
Katanya lagi, dia amat menitikberatkan kepuasan pelanggan dan sehingga kini perniagaannya mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Insya-Allah, harga yang dibayar pelanggan berbaloi dengan kemanisan serta kepadatan isi ketam mahupun udang galah yang segar," katanya.
Dibuka setiap hari kecuali Jumaat, Relax Cafe beroperasi dari pukul 4 petang hingga 1 pagi.

HUTANG ISI RUMAH MENINGKAT

Ahmad Maslan mengisi borang pembukaan akaun Bank Simpanan Nasional pada Program Kesedaran dan Pendidikan Kewangan bersama Bank Negara Malaysia di Benut, Pontian, Johor, semalam.

PONTIAN 15 Jun - Pinjaman perumahan dan kenderaan serta penggunaan kad kredit membuatkan golongan berpendapatan rendah dan penjawat awam negara ini berada dalam nisbah hutang lebih tinggi, sekali gus meningkatkan bebanan isi rumah.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, hutang isi rumah yang kini mencecah RM800 bilion atau 89.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu turut disumbangkan oleh hutang berpanjangan golongan berpendapatan bawah RM3,000 yang meminjam daripada institusi bukan bank seperti koperasi.
"Walaupun belum sampai ke tahap kritikal, usaha sedang dilakukan bagi membantu mereka menguruskan kewangan dengan lebih baik melalui kesedaran dan pendidikan Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (LINK) yang diusahakan Bank Negara.
"Amalan gaya hidup mewah bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi negara lain, namun kerajaan melakukan pencegahan sebelum bertambah parah kerana ramai berbuat demikian walaupun mengetahui kemampuan kewangan mereka terbatas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesedaran dan Pendidikan Kewangan, Kaunter Bergerak BNMLINK yang diadakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Pontian di Dewan Serbaguna Benut di sini hari ini.
Yang turut hadir, Penolong Gabenor Bank Negara, Abu Hassan Alshari Yahya dan Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, trend gaya hidup mewah membimbangkan kerana ramai sanggup berhutang bagi mendapatkan sesuatu yang diminati seperti telefon bimbit, beg tangan, pakaian berjenama dan kenderaan mewah.
"Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah memberikan khidmat kaunseling kepada 219,995 individu sejak 2007 dengan 89,450 kes dibawa kepada Program Pengurusan Hutang. Ini menunjukkan mereka boleh mengawal tetapi terperangkap dengan gaya hidup," katanya.
Dalam perkembangan lain, isu harga rumah yang tinggi akan dibangkitkan dalam perbincangan Bajet 2014 pada minggu hadapan melibatkan beberapa perkara seperti kos bahan binaan dan infrastruktur yang ditanggung oleh pemaju sehingga mendakwa tidak mendapat banyak keuntungan.

Sunday, June 9, 2013

KURUS: TIADA JALAN PINTAS

Senaman merupakan cara terbaik dalam membantu mengurangkan berat badan.

BERAT badan semakin meningkat merupakan salah satu masalah yang sering dikaitkan dengan wanita.
Untuk menurunkan berat badan mereka rela mengambil jalan pintas dengan cara makan pil kurus dan diet tidak seimbang.
Hakikatnya menurut Penolong Pengurus Dietetik (Pakar Pemakanan), Hospital Gleaneagles, Phang Chin Yee, tiada jalan pintas yang boleh dilakukan melainkan senaman dan kawalan pemakanan.
"Seperti semua sedia maklum, tidak kira sesiapa pun, setiap orang harus melakukan senaman sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali dalam seminggu. Senaman merupakan elemen penting dalam penjagaan berat badan.
"Dari segi pemakanan pula, haruslah memilih kaedah memasak yang sihat iaitu tumis kurang minyak, sup, kukus, bakar mahupun panggang.
"Paling penting, buang lemak daging dan kulit ayam sebelum memasak kerana ini juga mampu menaikkan berat badan," jelas Chin Yee.
Selain berat badan yang seimbang, kulit yang sihat juga akan terjaga sekiranya seseorang mengawal pemakanan mereka.
Tambah Chin Yee lagi, sayur-sayuran dan buah-buahan juga amat penting semasa makan kerana mampu mengawal berat badan di samping sebagai menu yang menyihatkan.
"Amalkan meminum air sebanyak lapan gelas sehari agar tubuh badan kita tidak kekurangan air," tambahnya ditemui pada perbincangan gaya hidup sihat anjuran Gleaneagles Kuala Lumpur baru-baru ini.
Perbincangan berkisar mengenai bagaimana menjaga berat badan dengan cara yang sihat selaras dengan komitmen untuk menggalakkan gaya hidup sihat.
Sementara itu, Pakar Fisioterapi Gleneagles, Cheryl Tiang berkata, kebanyakan individu terutama yang bekerja tidak ada masa untuk melakukan senaman.
"Senaman tidak semestinya hanya dilakukan di gimnasium, malah boleh juga dilakukan di rumah.
"Latihan senaman bertujuan untuk memulihkan tubuh badan setelah seharian melakukan tugasan masing-masing.
"Di rumah, anda bukan sahaja dapat menjimatkan wang bahkan masa kerana senaman boleh dilakukan di mana-mana yang bersesuaian dan disukai," katanya.
Tambah Cheryl, bagi mereka yang tidak cukup tidur pula, dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang secukupnya kerana ia mampu mempengaruhi kesihatan.
Penggunaan bahan dalam masakan juga mampu menaikkan berat badan seseorang terutama yang mengandungi banyak lemak.
Chef Eksekutif Gleneagles, Rezuan Sulaiman atau Chef Zuan berkata, memakan organ dalaman haiwan seperti hati, limpa, paru-paru dan sebagainya juga tidak elok untuk kesihatan.
Ini kerana organ-organ tersebut merupakan tempat toksin dikumpul sebelum dineutralkan.
"Makan makanan ringan dan penambah perisa dalam masakan juga tidak digalakkan kerana kandungan garamnya yang tinggi boleh menyebabkan darah tinggi, osteoporosis dan sebagainya," katanya.
Tambah Chef Zuan, pengambilan oat pada waktu pagi juga dapat memberikan tenaga dalam tubuh badan.

HANG LI PO CAFE-SENAWANG N.SEMBILAN


















Jika berjalan-jalan di Senawang, Negeri Sembilan apa kata singgah di Hang Li Po Cafe untuk membasah tekak dan menikmati ikan bakar segar bersama nasi lemak kampung.
Biasanya jika hendak merasai ikan bakar panas-panas, anda perlu ke Umbai, Melaka tetapi kini anda tidak perlu pergi terlalu jauh. Dengan tempoh perjalanan lebih kurang 45 minit dari Kuala Lumpur anda dapat menikmati menu istimewa ini dalam suasana yang sungguh santai.
Berkonsep nusantara dengan hiasan dalaman yang keseluruhannya menggunakan perabot jati, tarikan kafe ini sudah dapat dilihat sebaik anda meletakkan kereta di hadapannya.
Pintu masuk ke kafe ini teguh daripada kayu jati yang indah berukiran halus. Sekali pandang Hang Li Po Cafe nampak seperti restoran bertaraf lima bintang yang menghidangkan menu dan harga yang bertaraf hotel.
Namun usah mudah terpengaruh dengan pandangan pertama kerana belum masuk dan belum cuba makanannya, anda tidak akan tahu.
Seperti kata pemilik Hang Li Po Cafe, Zaini Harith, harga begitu sederhana dan amat berpatutan.
"Semua golongan mampu dan boleh menikmati makanan yang dihidangkan di sini. Harga ikan bakar pun tidaklah terlalu mahal bergantung pada saiz dan jenis ikan iaitu ikan siakap, bawal dan pari.
"Ikan bakar ini pula diramu dengan bahan-bahan seperti nanas, mangga, bunga kantan, cincaluk dan budu bagi membangkitkan aroma yang lazat dan menyelerakan.
"Selain itu, kami masukkan juga sayur-sayuran seperti kangkung dan bendi dan pelanggan dapat menikmati ikan bersama-sama sayur.
"Bagi set nasi ayam bersama pencuci mulut dan jus Hang Li Po Cafe, harganya cuma RM10 sahaja,'' kata Zaini yang ditemui di Hang Li Po Cafe bersama-sama suaminya, Adam Mat.
Menurut Zaini, pelanggan boleh memilih sama ada nasi putih atau nasi lemak kampung beralas daun pisang untuk dimakan bersama ikan bakar. Lebih membuka selera kerana air asam istimewa dan cincaluk cili padi yang boleh dicecah dengan ikan bakar.
Bagi pelanggan yang inginkan menu ringkas, mereka mempunyai pilihan menu lain seperti soto, mi kari atau bubur nasi berlauk telur masin, lobak masin, cili padi kicap dan ikan bilis goreng.
Kata Zaini lagi, kafe yang dibuka pada bulan November tahun lalu hasil idea bersama suami yang juga produser drama dan filem tempatan memilih nama Hang Li Po.
"Cuma terdapat juga segelintir pelanggan yang macam was-was hendak masuk ke kafe kerana mereka ingatkan kafe ini milik orang Cina melihatkan pada tanglung yang kami gantung. Sebenarnya kafe ini milik kami sepenuhnya,'' katanya yang mempunyai pelanggan berbilang kaum seperti Melayu, Cina, India serta rakyat asing seperti Eropah, Korea dan Jepun yang diraikan oleh rakan niaga di sini.
Zaini menjelaskan, pelanggan semakin ramai pada pukul empat petang ke atas kerana kafe itu menyediakan menu tradisional atau menu kampung seperti lempeng kelapa, lempeng pisang, lempeng labu, lempeng lobak merah dan cekodok ikan bilis yang boleh dicecah bersama sambal tumis.
Sambil menjamu selera, pelanggan terbuai dengan halwa telinga dan dendangan lagu-lagu klasik tahun 50-an membuatkan anda terlupa seketika segala masalah.
Memulakan perniagaan dari pukul 12 tengah hari hingga 12 malam, kafe yang boleh memuatkan sehingga 70 orang pada satu masa ini menerima tempahan pelanggan yang ingin mengadakan sebarang majlis di sini.

Thursday, May 30, 2013

INAP DESA KG. PUTERI MENANGIS

PENDUDUK menunjukkan pintu gerbang seperti Menara Berkembar Petronas mengalu-alukan
 pelawat ke Kampung Parit Puteri Menangis di Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN 29 Mei - Bermula dengan 10 buah rumah pada 2000, kini Inap Desa Kampung Parit Puteri Menangis, Ayer Baloi di sini bersedia menjadi tuan rumah yang mesra kepada pelawat dari dalam dan luar negeri dengan tambahan enam buah rumah dalam segmen agropelancongan di kampung ini.
Menurut Pengerusinya, Sujak Hussin, 53, pihaknya mempunyai sebanyak 16 buah rumah yang terlibat secara aktif bagi sama-sama menjadikan aktiviti tersebut sebagai kegiatan ekonomi penduduk tempatan melalui pelbagai produk makanan, kebudayaan, pertanian, industri kecil dan sederhana (IKS), ternakan dan sukan.
Menurut beliau, semuanya ditawarkan dengan pakej serendah RM170 semalam bermula pukul 12 tengah hari sehingga keesokannya termasuk makan minum sebanyak empat kali serta lawatan ke produk pelancongan.
"Kami bersedia menawarkan suasana kelainan kepada pelawat seperti memotong buah nenas, memetik buah kelapa sawit, memberi makan kambing, menggoreng makanan ringan serta aktiviti kebudayaan seperti tarian zapin, permainan congkak, silat mahupun berhibur dengan lagu-lagu karaoke tahun-tahun 60-an dan 70-an.
"Dengan kemudahan prasarana yang baik dan berdekatan dengan Lebuhraya Utara Selatan di laluan masuk Tol Sedenak dan Simpang Renggam, menjadikan kampung ini destinasi percutian sempurna. Malah, sebanyak empat orang penduduk telah membuat lawatan kerja ke Jepun bagi menimba pengalaman dalam bidang tersebut," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Bagi Pengerusi IKS kampung tersebut, Masnah Rahmat, 47, beliau bersama pengusaha industri hiliran di kampung itu sentiasa bersedia menerima tetamu yang datang bermalam di inap desan berkenaan dan melihat sendiri penghasilan produk kaum ibu seperti kuih siput, pelbagai jenis kerepek dan kuih tradisional seperti baulu dan bangkit.
Menurutnya, kaum ibu turut sama memajukan ekonomi keluarga dalam bidang IKS ketika kaum bapa memerah keringat di kebun kelapa sawit dan nenas seiring usaha memacu ekonomi kampung selari saranan transformasi luar bandar (RTC) oleh kerajaan.
"Saya gembira kerana Kampung Parit Puteri Menangis telah mengorak ke satu arah yang tepat sesuai dengan saranan kerajaan agar penduduk desa juga melibatkan diri dalam bidang pelancongan berasaskan pertanian," katanya.
Bagi pekebun nanas, Ngadiman Tasno, 66, dia juga bersedia menawarkan kepada pelancong yang ingin mencari pengalaman memotong buah nanas.
Katanya, pelbagai jenis tanaman nanas diusahakan di kebunnya seperti nanas jenis Morris, N36, Gandol, Josephine dan Sarawak yang juga menjadi sebahagian daripada produk Inap Desa Kampung Parit Puteri Menangis.

PENYAKIT LAZIM KANAK-KANAK

Cabaran getir menjaga anak kecil ialah apabila mereka jatuh sakit, memandangkan pada tahap usia baru lahir hingga kanak-kanak, sistem ketahanan badan masih belum berkembang sepenuhnya.
Antara penyakit yang lazim dihidapi oleh setiap anak kecil ialah demam panas, batuk, selesema, asma dan sebagainya.
Berada dalam situasi tersebut pasti akan merisaukan apatah lagi apabila anak tidak berhenti merengek dan menangis disebabkan suhu badan meningkat.
Perunding dan Pakar Kardiologi Kanak-Kanak, Datuk Dr. Zulkifli Ismail berkata, sebagai ibu bapa, mereka harus mengetahui sekurang-kurangnya fakta asas tentang penyakit yang lazim dihidapi kanak-kanak.

Sebagai contoh katanya, suhu badan normal pada bayi yang sihat adalah daripada 36.5 darjah celcius sehingga 37.8 darjah celcius. Suhu manusia selalunya akan naik semasa siang dan turun semasa malam.
Beliau berkata, secara umumnya bayi tidak dianggap demam kecuali apabila suhu badannya melebihi 37.7 darjah celcius pada waktu pagi atau melebihi 38.2 darjah celcius pada waktu petang.
"Jika suhu badan anak meningkat ibu bapa juga perlu tahu langkah-langkah awal yang boleh diambil di rumah sebelum membawanya berjumpa doktor.
"Antaranya, beri anak minum banyak air, tanggalkan pakaian dan tuamkan badannya.
"Berikan anak ubat demam jenis paracetamol , diclofenac atau ibuprofen untuk ubat makan, manakala bagi ubat demam melalui dubur adalah daripada jenis paracetamol dan diclofenac . EIak memberi anak makan ubat jenis aspirin," jelas Dr. Zulkifli pada Seminar Keibubapaan anjuran Positive Parenting di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, bayi berusia bawah enam bulan yang demam lebih daripada dua hari, mengalami kekejangan, lesu dan muntah-muntah hendaklah dibawa berjumpa doktor dengan segera.

Rawatan awal boleh mengelak daripada keadaan bayi menjadi lebih teruk sehingga mungkin boleh membawa maut.
Sementara itu katanya, demam kadang kala akan disertai dengan selesema dengan simptom-simptom seperti bersin, mata berair, batuk dan keletihan.
Asma pula sering dijangkiti oleh kanak-kanak berusia dua hingga tujuh tahun yang mengalami batuk (termengah-mengah) pada waktu malam.
"Jika keadaan ini berlaku disaran segera berjumpa doktor dan mendapat inhalers yang bersesuaian.
"Rumah yang ada anak mengalami asma tidak sesuai membela binatang peliharaan dan elak daripada menggunakan permaidani kerana ia mengumpul habuk .
"Diingatkan juga untuk menjemur tilam dan bantal di bawah matahari sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk menghindari habuk, serta cadar ditukar setiap minggu," jelasnya.
Menurut Zulkifli, kanak-kanak juga sering mengalami masalah cirit-birit yang mana mereka akan kerap membuang air besar dan muntah.
Bagi rawatan awal, ibu bapa boleh memberikan air yang mengandungi garam untuk penghidratan (satu paket ke dalam 250ml air).
Jelasnya, jika cirit birit berterusan disebabkan pemberian susu formula yang tidak sesuai, tukar kepada susu ibu atau susu tanpa laktosa.
"Elak memberi ubat terutama antibiotik yang akan membuatkan cirit birit semakin teruk.
"Kebersihan menjadi perkara penting dalam kes ini. Bersihkan tangan, jangan biarkan susu terlalu lama di dalam botol dan rebus air untuk menghapuskan bakteria, serta hidang makanan dengan cara bersih," kata Dr. Zulkifli.
Selain itu beliau menjelaskan, setiap kanak-kanak yang baru lahir harus melalui program imunisasi secukupnya seperti yang disaran oleh pihak berkuasa perubatan di negara ini.
Ini bagi mencegah dan melindungi anak-anak daripada penyakit.
Antara vaksin yang perlu diambil oleh setiap bayi yang dilahirkan ialah vaksin demam campak yang diambil sebanyak dua dos, manakala vaksin rotavirus pula diberikan kepada anak sebelum usianya menjangkau enam tahun
Vaksin hepatitis A pula diberikan pada anak yang menjangkau usia dua tahun. Vaksin-vaksin lain yang perlu diberi perhatian seperti, pneumoccal conjugatemeningococcal conjugate dan influenza.

Menurut Dr. Zulkifli, gejala pneumokokal telah menyebabkan kematian 1.6 juta kanak-kanak seluruh dunia setiap tahun walaupun penyakit itu boleh dicegah melalui vaksinasi.
"Sebab itu golongan paling berisiko menghidap pneumokokal ini ialah bayi baru lahir hingga usia dua tahun dan dewasa berusia 65 tahun ke atas yang disebabkan antibodi yang lemah," jelasnya.
Pneumokokal sebenarnya adalah sekumpulan penyakit yang disebabkan oleh bakteria streptococcus pneumonia yang menyebabkan jangkitan kuman dalam darah, meningitis atau jangkitan pada membran selaput otak serta saraf tunjang dan sebagainya.