Saleem (sinonimnya Saleem IKLIM) dalam siri jelajah seninya bersama masyarakat Pontian, sempat 2 kali meluangkan masa singgah di Kemangi dalam masa 2 minggu. Ditemani isteri, pengurus dan krew, Saleem dengan selesa menikmati hidangan sambil memuji kualiti, kepantasan dan kelazatan makanan di Restoran Kemangi. Naratifnya, Saleem menzahirkan pada nota yang dititipkan pada naskah kelangsungan seni terbarunya "CINTA KITA BERBEZA". Sepintas lalu meneliti 10 lagu dari album ini ternyata tidak mengecewakan. Menampilkan lagu-lagu hits nukilan pelbagai komposer antaranya Eddie Hamid, Saari Amri, Tapai dan Hillary, album ini lebih daripada cukup untuk membuktikan keseriusan Saleem mengetengahkan produk terbaik untuk peminat-peminat beliau.
BANNER KEMANGI
FACILITIES
Saturday, August 31, 2013
MEE UDANG BERASAP DI TANJUNG PIANDANG
Di sepanjang jalan dari Matang menuju ke Kuala Sepetang, terdapat banyak gerai dan restoran mi udang yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan setelah makanan tersebut menjadi tarikan destinasi pelancongan di Taiping.
Di hujung minggu atau musim cuti perayaan, lalu lintas di laluan itu pasti sibuk dengan kenderaan yang datang dari jauh semata-mata mahu merasai kesedapan mi udang terutama udang segar di situ.
Disebabkan popularitinya, mi udang kini boleh didapati di banyak tempat di seluruh negara termasuk di Tanjung Piandang yang juga kawasan nelayan di Kuala Kurau, Parit Buntar, Perak.
Sebuah gerai mi udang yang popular di Tanjung Piandang adalah Ros Mee Udang Berasap Sungai Baru yang terletak di Batu 12, Jalan Pantai, Sungai Baru yang terletak di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Baru dan Balai Belia Sungai Baru.
Dibuka sejak enam tahun lalu, restoran yang diusahakan oleh ibu tunggal, Rosnah Mohd Noor, 40, dan rakan kongsinya Che Saad Omar, 50, itu mendapat sambutan hebat daripada penduduk tempatan, malah pengunjung luar kawasan ini.
Nama Ros Mee Udang Berasap Sungai Baru sudah cukup menggambarkan tarikan dan keistimewaan mi udang yang dijual di restoran tersebut.
Berbeza dengan mi udang yang dijual di tempat-tempat lain, mi udang di restoran tersebut dimasak dan dihidangkan seperti masakan mi claypot yang panas dan berasap bagi memberikan kepuasan kepada pelanggan menikmati hidangan tersebut.
Seperti mi udang di Kuala Sepetang, mi udang di Ros Mee Udang Sungai Baru menggunakan udang-udang segar yang mudah diperolehi di kawasan tersebut yang sebahagian besar penduduknya bekerja sebagai nelayan.
Menurut Rosnah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ros, walaupun premisnya itu menyediakan pelbagai menu lain termasuk mi Jawa, mi rebus, mi ketam, mi sotong, masakan ala Thai, stimbot dan sebagainya, mi udang berasap merupakan menu paling popular dalam kalangan pelanggan.
Kata Kak Ros, dia menggunakan resipinya sendiri untuk menghasilkan mi udang berasap itu kerana mahu pelanggan merasai keunikan masakan tersebut berbanding di tempat-tempat lain.
"Pelanggan juga boleh memilih pelbagai jenis masakan mi udang berasap. Ada mi udang berasap biasa, sederhana dan istimewa. Harga sepinggan mi udang biasa adalah RM5, sederhana RM7 dan istimewa RM9.50," katanya.
Rosnah yang pernah bekerja di beberapa buah restoran di Pulau Langkawi, Kedah itu bersyukur kerana restorannya itu mendapat sambutan sangat baik daripada orang ramai.
"Pada hari biasa pun ramai orang datang ke sini untuk menjamu selera terutamanya mi udang berasap. Kalau hari cuti, memang tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang bertali-arus walaupun ada 10 orang pekerja di restoran ini," ujarnya.
Selain tarikan pada menu masakan, restoran itu menawarkan menu minuman tersendiri yang boleh menarik perhatian pengunjung. Antaranya, minuman coklat tiga musim, jus buah-buahan tiga musim dan air batu campur (ABC).
Kata Rosnah, selain menyediakan masakan yang sedap dan kualitinya terjamin, premisnya juga mementingkan kebersihan dan faktor itu menjadi antara tarikan orang ramai untuk singgah makan di situ.
Bagi mereka yang mengunjungi kawasan Parit Buntar, bolehlah singgah makan di Ros Mee Udang Berasap Sungai Baru untuk mencuba keunikan masakan mi udang di restoran tersebut yang harganya lebih murah berbanding di tempat-tempat lain.
Maklumat lanjut mengenai restoran tersebut boleh didapati di laman sosial Facebook di alamat https://www.facebook.com/pages/cafe-kak-ros-mee-udang-berasap-sungai-baru/241596425864411.
Wednesday, August 28, 2013
80% PEKERJA LEGOLAND ANAK TEMPATAN
NUSAJAYA - Sebanyak 80 peratus atau 560 orang daripada 700 pekerja Taman Tema Air Legoland Malaysia yang dibuka sejak September tahun lepas, merupakan rakyat Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri R Vidyanathan berkata sebanyak 10 peratus lagi pekerja berasal dari Sabah dan Sarawak, manakala bakinya dari negeri lain.
"Daripada jumlah tersebut 82 peratus terdiri daripada bangsa Melayu, 12 peratus India, lima peratus Cina dan satu peratus adalah bangsa lain.
"Pengambilan daripada pelbagai latar belakang bangsa, kaum dan agama ini sangat penting bagi memastikan operasi taman tema ini tidak terganggu kerana ia tidak akan ditutup termasuk pada musim perayaan," katanya.
Beliau menjawab soalan lisan Aminolhuda Hassan (Pas-Parit Yaani) mengenai peluang pekerjaan anak Johor di Legoland Malysia, pada Persidangan pertama Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor ke-13, di Kota Iskandar di sini, hari ini.
Bagi memastikan anak tempatan mendapat peluang bekerja di situ, Vidyanathan berkata, setahun sebelum pembukaannya, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) membuat kajian mengenai jenis pekerjaan dan kemahiran yang diperlukan.
"Pelbagai usaha dilakukan sebelum itu untuk mendapat jumlah pekerja tempatan yang berkelayakan termasuk menganjurkan beberapa karnival kerjaya di beberapa daerah di negeri ini selain mengiklankan kekosongan jawatan di akhbar tempatan," katanya.
Menurutnya, memandangkan taman tema tersebut bertaraf antarabangsa, pekerja yang berjawatan pembantu taman tema dibayar gaji minimum RM1,600 manakala untuk jawatan pengurus dan juruteknik, RM2,200 sebulan.
Jelasnya, jumlah itu agak tinggi jika dibandingkan dengan kawasan lain di negeri ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Boo Cheng Hau (DAP-Skudai) mengenai gaji minimum pekerja di Legoland Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri R Vidyanathan berkata sebanyak 10 peratus lagi pekerja berasal dari Sabah dan Sarawak, manakala bakinya dari negeri lain.
"Daripada jumlah tersebut 82 peratus terdiri daripada bangsa Melayu, 12 peratus India, lima peratus Cina dan satu peratus adalah bangsa lain.
"Pengambilan daripada pelbagai latar belakang bangsa, kaum dan agama ini sangat penting bagi memastikan operasi taman tema ini tidak terganggu kerana ia tidak akan ditutup termasuk pada musim perayaan," katanya.
Beliau menjawab soalan lisan Aminolhuda Hassan (Pas-Parit Yaani) mengenai peluang pekerjaan anak Johor di Legoland Malysia, pada Persidangan pertama Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor ke-13, di Kota Iskandar di sini, hari ini.
Bagi memastikan anak tempatan mendapat peluang bekerja di situ, Vidyanathan berkata, setahun sebelum pembukaannya, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) membuat kajian mengenai jenis pekerjaan dan kemahiran yang diperlukan.
"Pelbagai usaha dilakukan sebelum itu untuk mendapat jumlah pekerja tempatan yang berkelayakan termasuk menganjurkan beberapa karnival kerjaya di beberapa daerah di negeri ini selain mengiklankan kekosongan jawatan di akhbar tempatan," katanya.
Menurutnya, memandangkan taman tema tersebut bertaraf antarabangsa, pekerja yang berjawatan pembantu taman tema dibayar gaji minimum RM1,600 manakala untuk jawatan pengurus dan juruteknik, RM2,200 sebulan.
Jelasnya, jumlah itu agak tinggi jika dibandingkan dengan kawasan lain di negeri ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Boo Cheng Hau (DAP-Skudai) mengenai gaji minimum pekerja di Legoland Malaysia.
PENDUDUK PERPAT TIMBUL MAHU BENTENG KEKAL
Mansor menunjukkan kawasan tepi pantai yang memerlukan benteng kekal kerana kedudukan laut yang semakin hampir.
PONTIAN - Hakisan benteng yang berlaku di Kampung Perpat Timbul, di sini, semakin membimbangkan apabila terdapat bahagian di kawasan itu yang runtuh dan pecah.
Hakisan yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan itu, turut menyebabkan kemusnahan pokok bakau yang tidak lagi mampu menjadi penahan ombak yang kuat.
Keadaan itu menyebabkan air laut melimpah ke kawasan tali air ketika musim air pasang besar yang seterusnya membawa kepada risiko berlakunya banjir kilat.
Ketua Umno Cawangan Perpat Timbul, Mansor Maidin berkata, hakisan yang berlaku itu telah menghakis 20 meter daratan setahun.
Justeru, tindakan segera membina tembok kekal perlu dilakukan bagi memastikan penduduk kampung tidak menjadi mangsa banjir kilat akibat pertembungan air pasang besar dan hujan lebat.
Menurutnya, kira-kira 200 rumah berhampiran kawasan tebing dan tali air berisiko dilimpahi air banjir.
"Selain itu, tanaman seperti kelapa sawit dan pisang juga akan rosak dan merugikan penduduk kampung yang kebanyakannya terdiri daripada pekebun.
“Penduduk amat berharap agar kerajaan membina benteng kekal untuk memperlahankan hakisan pantai dan mengurangkan risiko terjadinya banjir kilat di sini,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Azman berkata, rumahnya terletak berhampiran benteng dan tali air iaitu kira-kira 50 meter.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan rumahnya sentiasa dinaiki air jika berlaku air pasang besar dan hujan lebat.
“Dalam setahun, dua kali banjir kilat disebabkan air pasang berlaku. Keadaan ini tidak dapat dielakkan dan kami terpaksa hadapi banjir ini yang kerap terjadi pada waktu tengah malam tanpa diduga.
“Langkah segera perlu diambil kerana hakisan semakin hari semakin teruk dengan banyak kawasan benteng yang telah terhakis,” katanya.
Hakisan yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan itu, turut menyebabkan kemusnahan pokok bakau yang tidak lagi mampu menjadi penahan ombak yang kuat.
Keadaan itu menyebabkan air laut melimpah ke kawasan tali air ketika musim air pasang besar yang seterusnya membawa kepada risiko berlakunya banjir kilat.
Ketua Umno Cawangan Perpat Timbul, Mansor Maidin berkata, hakisan yang berlaku itu telah menghakis 20 meter daratan setahun.
Justeru, tindakan segera membina tembok kekal perlu dilakukan bagi memastikan penduduk kampung tidak menjadi mangsa banjir kilat akibat pertembungan air pasang besar dan hujan lebat.
Menurutnya, kira-kira 200 rumah berhampiran kawasan tebing dan tali air berisiko dilimpahi air banjir.
"Selain itu, tanaman seperti kelapa sawit dan pisang juga akan rosak dan merugikan penduduk kampung yang kebanyakannya terdiri daripada pekebun.
“Penduduk amat berharap agar kerajaan membina benteng kekal untuk memperlahankan hakisan pantai dan mengurangkan risiko terjadinya banjir kilat di sini,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Azman berkata, rumahnya terletak berhampiran benteng dan tali air iaitu kira-kira 50 meter.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan rumahnya sentiasa dinaiki air jika berlaku air pasang besar dan hujan lebat.
“Dalam setahun, dua kali banjir kilat disebabkan air pasang berlaku. Keadaan ini tidak dapat dielakkan dan kami terpaksa hadapi banjir ini yang kerap terjadi pada waktu tengah malam tanpa diduga.
“Langkah segera perlu diambil kerana hakisan semakin hari semakin teruk dengan banyak kawasan benteng yang telah terhakis,” katanya.
Saturday, August 24, 2013
BAGAIMANA PENIAGA MUSLIM MENYOKONG PRODUK HALAL
Halal atau tidak? Itulah yang selalu menjadi isu oleh para pembeli atau pengguna pada hari ini. Ternyata mereka semakin bijak menilai sesuatu produk yang dipasarkan. Kualiti menjadi suatu keutamaan bagi mereka. Atas sebab itu juga, produk-produk yang bermutu terus menjadi pilihan masyarakat dewasa ini. Maka tidak hairan jika kebanyakkan dalam kalangan masyarakat pada hari ini bijak untuk menetapkan piawaian terhadap sesuatu produk iaitu produk yang dijamin akan halalnya adalah produk yang telah mencapai tahap yang ditetapkan. Sangat penting juga untuk kita memilih produk-produk yang halal kerana produk-produk tersebut lebih dipercayai akan kebersihan dan keselamatannya. Suatu situasi yang tidak pelik apabila masyarakat Cina dan India atau mereka yang bukan Muslim di negara kita turut memilih produk halal. Cumanya, adakah wajar sekiranya para pengguna sahaja yang terus-menerus menyokong pemasaran produk halal? Tentu tidak sama sekali kerana para peniaga terutama yang beragama Islam dilihat mempunyai peranan yang begitu penting dalam usaha menaikkan lagi produk-produk berstatus halal. Timbul persoalan, bagaimanakah cara untuk para peniaga Muslim menyokong produk halal?
1.0 Memasarkan Sendiri Produk-Produk Berstatus Halal
Secara umumnya dapat difahami, bahawa para pengguna tidak akan dapat menggunakan produk-produk halal sekiranya tidak dipasarkan oleh para peniaga. Apa yang pasti, para peniaga terutamanya peniaga Muslim perlu memainkan peranan dengan terus memasarkan produk halal di premis-premis mereka. Itu sudah memadai sebagai satu tanda sokongan mereka terhadap barangan halal. Mereka juga tidak sepatutnya menjual barangan yang tidak mempunyai logo halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan barangan halal terus menjadi pilihan utama untuk kegunaan seharian para pengguna. Selain itu juga, peniaga Muslim mestilah sentiasa peka dengan isu-isu semasa berkaitan halal dan haram sesuatu produk. Tujuannya adalah supaya mereka sendiri tidak memasarkan produk tersebut di premis mereka.
Andakah anda tahu dan ingat bahawa dua tiga tahun kebelakangan ini kita pernah digemparkan dengan berita sosej yang dihasilkan dengan menggunakan kelongsong yang diperbuat daripada usus khinzir? Mendengarnya sahaja sudah cukup untuk membuatkan tekak menjadi kembang dan loya jauh sekali untuk menjamahnya. Begitu juga dengan satu kes di Selangor yang mana satu serbuan dilakukan di kilang pemprosesan ayam oleh pihak Majlis Agama Islam dan mendapati ayam-ayam tersebut disembelih dan diproses dengan cara yang bertentangan dengan Syarak. Info-info sebegini yang seharusnya diambil tahu oleh para peniaga termasuk para pembekal agar mereka tidak sekali-kali mendapatkan dan memasarkan produk-produk yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat yang terbabit. Sekiranya perkara sebegini tidak diambil pusing, maka yang akan menjadi mangsa adalah para pengguna dan ini tidak sepatutnya terjadi!! Pengguna mempunyai hak untuk mendapatkan barang-barang yang bermutu dan berkualiti.
Apa yang dapat disimpulkan, dengan menjual produk-produk halal peniaga-peniaga Muslim ini bukan sahaja telah menyokong pemasaran barangan halal tetapi turut memenuhi permintaan pengguna yang sememangnya menginginkan barangan yang mempunyai piawaian halal yang diiktiraf JAKIM.
2.0 Promosi & Kempen Penjualan Produk-Produk Halal
Cara lain yang boleh dilakukan peniaga Muslim untuk menunjukkan tanda sokongan mereka terhadap produk-produk halal adalah dengan mengadakan promosi-promosi atau kempen-kempen yang berkaitan dengan penjualan produk halal di premis-premis mereka. Itu juga akan menjadi sebagai salah satu cara untuk menarik perhatian pelanggan supaya datang ke kedai mereka. Produk halal adalah produk yang meyakinkan dan diinginkan oleh majoriti besar para pengguna. Selain memberi keuntungan kepada para peniaga, promosi yang dilakukan akan memastikan pemasaran produk halal menjadi bertambah luas serta mungkin boleh menjadi fenomena baru dalam masyarakat iaitu mesti mendapatkan barangan yang halal untuk kegunaan mereka.
Mengambil contoh, pernahkah anda mendengar tentang satu perusahaan makanan ‘Char Kuey Tiow’ Sungai Dua? Untuk makluman bagi mereka yang tidak pernah mendengar tentang cerita Char Kuey Tiow Sungai Dua ini, pihak mereka menggunakan slogan “Char Kuey Tiow Sungai Dua – Telur Ayam Dibasuh”. Slogan ‘telur ayam dibasuh’ sudah cukup untuk memberi gambaran kepada para pelanggan bahawa pihak peniaga begitu mengamalkan kebersihan dalam perniagaan mereka. Tahukah anda bahawa telur ayam yang tidak dibasuh untuk tujuan memasak boleh menimbulkan persoalan hukum dari sudut Syarak kerana dikhuatiri najis ayam yang masih melekat ditelur tersebut akan turut termasuk kedalam makanan yang ingin dimasak. Mungkin nampak kecil, tetapi slogan yang digunakan oleh mereka iaitu ‘telur ayam dibasuh’ menunjukkan bahawa mereka menjaga tahap kebersihan yang juga merupakan elemen penting dalam persoalan halal dan haram. Apa yang penting, cara mereka telah dapat menarik lebih ramai pelanggan sekaligus menjadi satu promosi dan strategi dalam mengembangkan perniagaan mereka.
Bagi premis-premis yang menjual makanan dan minuman seperti restoran, apa yang boleh dilakukan adalah dengan memaparkan sijil pengesahan halal premis mereka terutama bagi premis-premis yang menyediakan perkhidmatan menjual makanan segera. Jelasnya, sijil tersebut akan memberi makluman kepada para pelanggan bahawa premis anda menjual seratus peratus makanan halal. Dari aspek lain pula, para peniaga restoran atau kedai makan digalakkan untuk menjaga kebersihan premis masing-masing dan mendapatkan gred A bagi tahap kebersihan restoran atau kedai mereka kerana faktor kebersihan akan turut mempengaruhi nilai halal itu sendiri. Tindakan peniaga Muslim mempromosikan produk-produk halal di premis mereka merupakan salah satu cara bijak untuk mereka terus menyokong pemasaran barangan yang berstatus halal.
3.0 Mengenalpasti Pembekal Produk
Seperkara lagi yang menjadi tanggungjawab para peniaga Muslim iaitu mengenalpasti para pembekal produk-produk yang mereka pasarkan. Menjadi suatu kemestian untuk mereka mengetahui tentang latarbelakang pembekal termasuk sama ada pembekal mendapat kelulusan daripada pihak berkepentingan seperti pihak kementerian dan sebagainya untuk membekalkan bahan-bahan tersebut. Mungkin agak remeh bagi sesetengah para peniaga Muslim untuk mengambil tahu sehingga ke peringkat tersebut tetapi mahu atau tidak, hal itu sebenarnya menjadi sebahagian daripada tanggungjawab mereka. Akan tetapi, mungkin juga terdapat beberapa perkara yang berada diluar jangkauan para peniaga untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut dan hal sebegitu memang banyak berlaku.
Apabila bercakap tentang status pembekal produk, negara kita baru-baru ini dikejutkan dengan berita adanya telur ayam tiruan yang datangnya daripada negara Tembok Besar, China. Mendengar sahaja perkataan ‘tiruan’, mungkin persoalan pertama yang berlegar-legar di minda kita adalah bahan-bahan yang digunakan untuk membuat telur ayam tiruan tersebut. Maka sudah pasti juga akan timbulnya isu halal dan haram sama ada bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan telur tiruan tersebut adalah dibenarkan disisi Syarak atau tidak. Adalah lebih baik jika kita mengambil langkah selamat dengan tidak mengimport telur ayam – telur ayam daripada China. Bukan sahaja meragukan, malah telur ayam tiruan tersebut mungkin juga boleh membahayakan kesihatan. Maka, inilah yang dikatakan perlunya untuk para peniaga mengambil berat dan mengetahui berkaitan latar belakang pihak pembekal. Sebenarnya banyak lagi isu-isu berkaitan produk-produk yang diragui status halalnya khususnya bagi produk-produk yang datang daripada luar negara. Tetapi apa yang boleh diperkatakan adalah perkara tersebut menjadi tanggungjawab para peniaga untuk meneliti dan menilai produk-produk daripada pihak pembekal sebelum menerimanya untuk dipasarkan.
4.0 Penganjuran Kursus atau Seminar Kepada Para Peniaga Muslim
Cara lain yang mungkin berkesan untuk memastikan peniaga-peniaga Muslim menyokong produk-produk halal adalah dengan melibatkan mereka untuk menyertai kursus dan seminar yang berkaitan produk halal. Kursus dan seminar ini kebiasaannya dianjurkan oleh pihak kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) atau mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Objektif utama kursus dan seminar sebegini adalah untuk menyuntik kesedaran ke dalam diri para peniaga Muslim supaya mementingkan pemasaran produk-produk yang berstatus halal. Selain itu, kursus dan seminar yang dianjurkan juga boleh menjadi satu wahana untuk melontarkan persoalan, bertukar pandangan, berkongsi masalah serta mencari jalan penyelesaiannya diantara para peniaga dengan pakar-pakar yang dilantik termasuk penasihat Syariah. Secara tidak langsung akan dapat membantu para peniaga juga para pengguna mengetahui dengan lebih lanjut maklumat-maklumat semasa berkaitan persoalan halal dan haram sesuatu produk.
Contoh seminar halal ialah seperti Pameran Perdagangan Antarabangsa Ke-8 2011 (MIHAS) yang telah diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 6 sehingga 9 April yang lalu. Begitu juga dengan Halal Fiesta Malaysia 2011 (HALFEST) yang telah berlangsung pada 12 hingga 16 Oktober 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Acara-acara sebegini dapat memberi ruang dan peluang kepada para peniaga dan para pembekal untuk terus memperkenalkan produk-produk halal yang mereka hasilkan kepada pengguna-pengguna dalam negara. Selain itu, penganjuran pameran dan pesta sedemikian rupa boleh menjadi platform kepada para peniaga Muslim untuk mengembangkan lagi sayap perniagaan mereka lantas menaikkan lagi jenama produk-produk halal yang mereka hasilkan. Lebih menarik lagi, aktiviti-aktiviti seperti MIHAS dan HALFEST ini boleh menjadi satu titik tolak kepada syarikat-syarikat tempatan untuk bekerjasama membangunkan pasaran halal di peringkat negara seterusnya dapat merangsang industri halal di Malaysia untuk bertindak lebih berani dengan memasuki pasaran global.
Kesimpulan yang boleh diambil adalah produk-produk halal menjadi pilihan utama pengguna-pengguna di Malaysia. Masyarakat pada hari ini lebih bersikap terbuka dan berani untuk menyuarakan hak mereka. Oleh itu amat penting untuk para peniaga Muslim menyokong produk-produk halal melalui cara-cara yang telah diperbincangkan. Sekiranya para peniaga sendiri tidak memasarkan barangan yang halal atau diragui statusnya, maka bagaimana masyarakat tempatan boleh menyokong dan mendapatkan produk halal yang mereka ingini? Tidak rugi sama sekali jika para peniaga Muslim membuat promosi berkaitan penjualan produk-produk halal di premis mereka. Malah cara itu dilihat sebagai satu strategi yang lebih bijak untuk menarik seramai mungkin pelanggan ke premis dan kedai-kedai mereka. Namun begitu, untuk menaikkan produk-produk halal tidak hanya menjadi tanggungjawab pihak peniaga semata-mata, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan. Pihak kerajaan melalui agensi-agensinya seperti JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), para penggiat industri halal negara serta masyarakat tempatan perlu bersatu padu dan bersama-sama menyokong produk-produk yang halal. Produk halal adalah produk yang dijamin kebersihannya dan sudah pasti ianya turut boleh digunakan oleh semua kaum seperti Melayu, Cina dan India sama ada Muslim atau bukan Muslim. Untuk itu, marilah kita bersama-sama terus menyokong pemasaran barangan halal di negara kita kerana produk yang halal dijamin kebaikkan dan keselamatannya.
Tuesday, August 20, 2013
RESTORAN MAMAK: POPULARITI VS CABARAN
Pemandangan di restoran mamak kebanyakannya sama sahaja. Pengusaha restoran mamak akan melaburkan sedikit wang untuk membeli TV skrin 42 inci untuk tatapan pelanggan sambil menjamu selera. Ada kalanya mereka akan memancarkan siaran TV itu tadi ke skrin projektor untuk memberi lebih kepuasan kepada hati pelanggan. Konsep restoran juga bersifat lebih terbuka dengan kerusi meja jenis tahan karat dan kipas air dipasang untuk keselesaan. Bagi pengusaha restoran yang lebih ‘celik IT’, mereka turut menyediakan kemudahan Wi-Fi percuma untuk pelanggannya, walaupun pelanggan itu tadi hanya memesan secawan teh tarik. Meja dan kerusi diatur sehingga ke laluan pejalan kaki restoran, dan ada juga pengusaha kedai yang terpaksa meletakkan kerusi dan meja sehingga menutupi sebahagian jalan raya, hanya untuk menampung jumlah pelanggan yang berkunjung ke restoran mereka.
Restoran mamak. Tentu anda tertanya-tanya, asal-usul istilah ‘mamak’ itu. Mengikut kajian yang dibuat di Internet, istilah ‘mamak’ berasal daripada istilah bahasa Tamil ‘maa-ma’, iaitu gelaran untuk bapa saudara sebelah ibu. Barangkali istilah ‘kedai mamak’ atau ‘restoran mamak’ dipetik daripada amalan kanak-kanak menggelar si penjaga kedai ‘uncle’ atau ‘maa-ma’ dalam bahasa Tamil. Perkataan ‘mamak’ ini kemudiannya sudah jadi mesra di bibir dan dengan budaya setempat masyarakat kita.
Terdapat banyak restoran mamak yang diusahakan di negara ini. Pada tahun 1994, hanya terdapat sebanyak 40 restoran Mamak di Malaysia. Bagaimanapun sehingga tahun 2012, mengikut senarai yang diperoleh daripada Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), terdapat lebih 7,500 restoran mamak di Malaysia. Walau bagaimanapun, hanya kira-kira 2,950 restoran mamak yang menjadi ahli dan bernaung di bawah PRESMA. PRESMA merupakan sebuah pertubuhan yang diasaskan pada Mac 1994. Idea asal penubuhan pertubuhan ini adalah untuk menyelesaikan segala masalah dan cabaran yang timbul di samping dapat menyatukan semua pengusaha restoran mamak di bawah satu bumbung.
Kepopularan Restoran Mamak
Kenapa restoran mamak di negara kita ini cukup popular? Apakah kekuatannya? Yang pastinya sudah tentu atas faktor makanannya yang murah dan pelbagai. Jika dibandingkan dengan restoran atau warung biasa, kos untuk sarapan pagi contohnya hidangan roti canai dan teh tarik tidak sampai RM3 seorang. Begitu juga nasi lemak bungkus yang terdapat atas meja di restoran mamak, masih lagi mengekalkan harga RM1 ke RM1.20 sebungkus. Bagi mereka yang masih menuntut, tentulah restoran mamak menjadi pilihan untuk mereka makan sambil berborak dengan teman-teman. Kerapkali juga restoran mamak menjadi tumpuan kaki bola pada musim kejohanan bola sehingga ada pengusaha yang menganggapnya sebagai musim pelanggan!
Restoran mamak juga menghidangkan pelbagai jenis hidangan India Muslim seperti roti canai, roti telur, martabak, thosai, capati, nasi kandar, nasi biryani, Maggi goreng, rojak mamak, teh tarik dan pelbagai jenis jus buah-buahan. Kini, dalam usaha untuk menarik lebih ramai pelanggan, terdapat juga restoran Mamak yang turut menyediakan gerai-gerai tambahan di restoran mereka. Gerai-gerai masakan Thai, sate dan juga kerang bakar dibuka agar pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan makanan yang enak dan sedap.
Dalam mana-mana perniagaan di dunia ini, lokasi memainkan peranan penting. Jika diamati, kebanyakan pengusaha restoran mamak memilih untuk membuka premis mereka di lot tepi bangunan. Walaupun terpaksa mengeluarkan lebih belanja untuk membeli atau menyewa premis kedai yang sedemikian, namun pelaburan itu dianggap berbaloi. Antara faedah premis seperti ini adalah untuk memudahkan pelanggan mencari restoran mereka, mendapat lebih ruang meletakkan kerusi meja di luar premis dan menyenangkan pelanggan meletakkan kenderaan masing-masing. Pengusaha kedai mamak juga sangat yakin dengan pelaburan yang dibuat. Adalah satu senario yang biasa jika restoran mamak merupakan restoran yang pertama dibuka di deretan rumah kedai yang baru. Tidak takut untuk menghadapi persaingan, ini terbukti apabila di sesetengah tempat boleh ada lebih daripada sebuah kedai mamak di satu deretan kedai yang sama.
Kebanyakan restoran mamak memilih untuk beroperasi 24 jam sehari. Justeru memudahkan pengunjung untuk mengisi perut yang lapar pada bila-bila masa. Pada siang hari, restoran mamak akan dipenuhi oleh para pelanggan bersama keluarga mereka dan kebiasaannya senario ini akan berubah bila menjelang malam. Restoran mamak ini tadi akan mula dipenuhi oleh remaja-remaja yang meluangkan masa bersama rakan-rakan mereka sambil menonton siaran langsung perlawanan bola sepak. Sudah tentu, dengan membuka restoran dan beroperasi selama 24 jam sehari, pengusaha restoran berupaya untuk mendapat pendapatan yang lumayan. Ini terbukti apabila industri restoran mamak di negara ini telah dapat memberi sumbangan yang besar dengan menjana ekonomi negara sebanyak kira-kira RM8 bilion setahun.
Selain itu, pemilik restoran mamak sangat menitik beratkan layanan terhadap pelanggan mereka. Jumlah pelayan restoran pada satu-satu masa adalah sangat ramai. Masuk sahaja ke dalam restoran, sudah ada pelayan restoran yang akan mengekori kita sehingga ke meja makan semata-mata untuk mendapatkan pesanan makanan. Makanan yang dipesan juga dihantar dengan segera. Pelayan juga amat menghormati pelanggan yang datang ke restoran. Jarang dapat dilihat pelayan yang duduk-duduk di kerusi pelanggan ataupun mengangkat pinggan makanan sebelum pelanggan membayar wang makanan mereka. Apabila pelanggan puas hati dengan layanan yang diberikan, sudah pasti mereka akan kembali semula ke restoran tersebut. Bolehlah diumpamakan restoran mamak ini cuba untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dengan kadar bayaran perkhidmatan yang rendah dan berpatutan!
Selain itu, pengusaha restoran mamak ini juga cuba menerapkan amalan-amalan murni untuk memastikan perniagaan mereka sentiasa diberkati Allah. Contohnya, restoran mamak banyak memaparkan ayat-ayat suci Al-Quran dan ada juga yang memperdengarkan bacaan Al-Quran di restoran mereka. Sering kali pada setiap hari Jumaat, pengusaha restoran juga tidak melupakan amalan bersedekah walaupun sekadar sebiji pisang untuk setiap pelanggan.
Cabaran
Pengusaha restoran mamak juga sering kali diuji. Daripada isu bahan yang digunakan dalam masakan sehinggalah kepada isu kebersihan restoran. Rempah kas kas yang digunakan dalam hidangan masakan restoran Mamak pernah dijadikan isu. Ada suara yang mengatakan rempah kas kas ini boleh menyebabkan ketagihan pengunjung restoran terhadap masakan mamak. Kebimbangan mula timbul apabila mengetahui kas-kas ini berasal daripada pokok popi, yang dapat menghasilkan sejenis dadah yang dipanggil opium atau nama glamornya candu. Pengusaha-pengusaha restoran mamak pula merasakan diri mereka disabotaj dan menganggap isu ini telah memberikan kesan yang buruk terhadap imej restoran mamak. Pihak PRESMA pula teguh berdiri di belakang pengusaha restoran mamak. PRESMA menyatakan kesediaan untuk mengarahkan semua restoran mamak untuk menghentikan penggunaan kas-kas jika benar-benar ada bukti termasuk bukti saintifik bahawa bahan itu boleh membawa kepada ketagihan. Namun, isu ini masih samar-samar dan tiada bukti kukuh yang dikeluarkan sehingga ke hari ini.
Kini timbul pula isu daun pisang tiruan yang digunakan oleh pengusaha restoran mamak bagi menggantikan daun pisang yang sebenar. Pengusaha cuba mengurangkan kos perniagaan dengan menggunakan daun pisang kertas yang Cuma berharga RM5.50 untuk 100 helaian berbanding daun pisang sebenar yang berharga 30sen setiap helai. Daun pisang tiruan ini dikatakan membahayakan kesihatan kerana dibuat daripada kertas yang di kitar semula. Apabila dihidangkan dengan hidangan yang panas, daun pisang tiruan ini dikatakan akan mengeluarkan bahan kimia yang membahayakan kesihatan. Walau bagaimanapun, isu ini dianggap selesai apabila contoh daun pisang tiruan ini telah dihantar ke SIRIM untuk diuji. SIRIM juga telah mengesahkan bahawa daun pisang tiruan itu selamat dan mematuhi kehendak Akta Makanan Malaysia.
Dari segi isu kebersihan pula, kita pun sedia maklum yang kebanyakan restoran mamak ini beroperasi 24 jam sehari. Oleh itu, kemungkinan agak sukar bagi mereka untuk mengekalkan isu kebersihan, kerana pengunjung sentiasa ada dalam restoran. Namun tanggapan operasi lebih masa penyebab faktor kebersihan merudum adalah tidak betul. Soal kebersihan sebenarnya bergantung kepada sikap pengusaha dan pekerja di restoran itu dan bukannya pada jangka masa restoran beroperasi. Ini terbukti apabila ada juga restoran mamak yang beroperasi 24 jam mempunyai tahap kebersihan yang baik sehingga diberi penilaian Gred A oleh pihak berkuasa tempatan yang sentiasa memantau soal kebersihan.
Restoran mamak juga pernah menghadapi krisis pekerja. Tahun 1994 dan 1995 merupakan tahun yang paling mencabar. Pembukaan banyak restoran mamak telah menyebabkan krisis pekerja berlaku. Pada tahun 1996, dasar kerajaan yang membenarkan pengambilan pekerja asing dari negara sumber (negara jenis masakan yang dijual) menjadi penyelesaian kepada masalah kekurangan pekerja. Masakan mamak bersumberkan rempah ratus dari India, maka pengambilan pekerja dari India telah dibenarkan. Namun cabaran baru pula timbul apabila faktor bahasa menjadi masalah dalam memahami kehendak pelanggan. Ada yang terpaksa mengulang permintaan pelanggan agar apa yang didengar sama dengan apa yang difahami. Ada pula yang lain dipesan, lain pula hidangan yang sampai. Namun pelayan ini bertindak merendah diri dan segera menggantikan dengan hidangan yang betul untuk menjaga hati pelanggan itu.
Masalah obesiti dan kegemukan di Malaysia juga sering kali dikaitkan dengan faktor pemakanan. Masyarakat selalu diingatkan dengan keperluan untuk menghindari makanan-makanan berkolesterol. Acap kali makanan di restoran mamak disalahkan kerana mempunyai kandungan lemak dan gula yang tinggi. Contohnya teh tarik, roti canai, pasembor, nasi kandar, nasi biryani dan pelbagai jenis makanan berkari dan bersantan. Namun, sekiranya seseorang itu mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan melakukan senaman yang mencukupi, maka makan makanan di restoran mamak bukan lah penghalang untuk mendapat kesihatan yang baik.
Kesimpulan
Sehingga kini, kejayaan sebenar restoran Mamak masih dilihat sebagai misteri. Tidak banyak buku, ulasan di laman web atau artikel yang ditulis untuk mengupas rahsia sebenar kejayaan mereka. Apa yang dicatatkan dalam artikel ini hanyalah pada pandangan penulis sahaja. Mungkin ada kebenarannya, namun kebarangkalian untuk terdapatnya faktor-faktor lain yang mempengaruhi kecemerlangan restoran Mamak amatlah tinggi. Apa yang pasti, restoran Mamak mempunyai pengaruh yang besar dalam penguasaan perniagaan restoran. Faktor-faktor di atas mungkin antara penyebab kejayaan, namun yang pasti, kejayaan tidak akan dapat dicapai tanpa kerja keras dan amalan tidak berputus asa dalam menguruskan perniagaan mereka.
Monday, August 19, 2013
MDP HARAP PENDUDUK LEBIH POSITIF
PONTIAN 15 Ogos - Cadangan pembangunan sebuah tapak pelupusan sisa pepejal sanitari bernilai RM20 juta perlu diterima secara positif oleh penduduk bagi memastikan daerah ini tidak berhadapan dengan krisis sampah pada masa akan datang.
Menurut Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP), Miswan Yunus, tapak cadangan seluas 10.66 hektar di Mukim Jeram Batu/Pengkalan Raja itu akan menggantikan tapak pelupusan sampah sedia ada di Jalan Sawah, Pekan Nanas yang tidak lagi mampu beroperasi dalam tempoh dua tahun dari sekarang.
"Ia dijangka dapat menampung kira-kira 160 tan bahan buangan yang diterima dari seluruh Pontian pada masa tersebut. Tapak cadangan pelupusan baru di bawah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara penting memandangkan ketika ini sebanyak 120 tan sampah diterima oleh pusat pelupusan Jalan Sawah.
"Kami berharap cadangan ini dapat diterima oleh penduduk memandangkan jumlah sampah yang meningkat pada setiap hari memerlukan sistem pengurusan yang baik ditambah dengan pengunaan teknologi terkini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis dialog bersama penduduk kampung mengenai kajian penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi cadangan pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal sanitari di Balai Raya Kampung Ulu Pulai, di sini semalam.
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr. Zaini Abu Bakar; ADUN Pekan Nanas daripada DAP, Yeo Tung Siong; Perunding Projek Asia Pacific Environmental (ASPEC), Datin Zaharah Mahmud dan Ketua Kampung Ulu Pulai, Abd. Aziz Layong.
Tambah Miswan, cadangan tapak pelupusan tersebut tidak akan menjejaskan penduduk berhampiran seperti di Ulu Choh, Kampung Ulu Pulai, Taman Mas Merah, Kampung Batu 26 dan Kampung Jeram Batu.
Bagaimanapun, kira-kira 100 penduduk yang menghadiri dialog tersebut menolak cadangan berkenaan kerana bimbang lokasinya yang dirasakan terlalu hampir dengan kawasan kampung sekali gus berisiko menjejaskan kehidupan seharian serta kualiti hidup 1,500 penghuninya.
Abd. Aziz menegaskan, penduduk tidak mahu melalui hari-hari yang diselubungi bau sampah walaupun pihak perunding memberi jaminan masalah tersebut tidak berlaku memandangkan tapak tersebut akan beroperasi selama 20 tahun.
"Kami akan menubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi memastikan tapak pelupusan itu tidak dibina berhampiran Kampung Ulu Pulai dan bercadang membawanya kepada pengetahuan Menteri Besar Johor," ujarnya.
Menurut Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP), Miswan Yunus, tapak cadangan seluas 10.66 hektar di Mukim Jeram Batu/Pengkalan Raja itu akan menggantikan tapak pelupusan sampah sedia ada di Jalan Sawah, Pekan Nanas yang tidak lagi mampu beroperasi dalam tempoh dua tahun dari sekarang.
"Ia dijangka dapat menampung kira-kira 160 tan bahan buangan yang diterima dari seluruh Pontian pada masa tersebut. Tapak cadangan pelupusan baru di bawah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara penting memandangkan ketika ini sebanyak 120 tan sampah diterima oleh pusat pelupusan Jalan Sawah.
"Kami berharap cadangan ini dapat diterima oleh penduduk memandangkan jumlah sampah yang meningkat pada setiap hari memerlukan sistem pengurusan yang baik ditambah dengan pengunaan teknologi terkini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis dialog bersama penduduk kampung mengenai kajian penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi cadangan pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal sanitari di Balai Raya Kampung Ulu Pulai, di sini semalam.
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr. Zaini Abu Bakar; ADUN Pekan Nanas daripada DAP, Yeo Tung Siong; Perunding Projek Asia Pacific Environmental (ASPEC), Datin Zaharah Mahmud dan Ketua Kampung Ulu Pulai, Abd. Aziz Layong.
Tambah Miswan, cadangan tapak pelupusan tersebut tidak akan menjejaskan penduduk berhampiran seperti di Ulu Choh, Kampung Ulu Pulai, Taman Mas Merah, Kampung Batu 26 dan Kampung Jeram Batu.
Bagaimanapun, kira-kira 100 penduduk yang menghadiri dialog tersebut menolak cadangan berkenaan kerana bimbang lokasinya yang dirasakan terlalu hampir dengan kawasan kampung sekali gus berisiko menjejaskan kehidupan seharian serta kualiti hidup 1,500 penghuninya.
Abd. Aziz menegaskan, penduduk tidak mahu melalui hari-hari yang diselubungi bau sampah walaupun pihak perunding memberi jaminan masalah tersebut tidak berlaku memandangkan tapak tersebut akan beroperasi selama 20 tahun.
"Kami akan menubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi memastikan tapak pelupusan itu tidak dibina berhampiran Kampung Ulu Pulai dan bercadang membawanya kepada pengetahuan Menteri Besar Johor," ujarnya.
Subscribe to:
Posts (Atom)




