BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, November 6, 2013

PELABURAN DI ISKANDAR RM 129.42 BILLION

Mohamed Khaled Nordin menunjukkan buku Pelaksanaan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Malaysia yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. 

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Iskandar Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan terkumpul sebanyak RM129.42 bilion dari 2006 sehingga Oktober tahun ini, kata Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mohamed Khaled, yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berkata, daripada jumlah itu, 44 peratus atau RM56.32 bilion adalah pelaburan yang telah direalisasikan.
"Setakat ini, pelabur tempatan menyumbang RM84.61 bilion (65 peratus) kepada pelaburan dijanjikan dengan baki RM44.81 bilion datang dari seberang laut," kata beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berikutan pelancaran Pelaksanaan Inisiatif Rendah Karbon dan Aplikasi Mudah Alih Pelancong Iskandar Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, pengilangan (termasuk elektrikal dan elektronik, petrokimia dan oleo-kimia serta makanan dan perkembangan agro) mencatatkan pelaburan komited terkumpul tertinggi iaitu sebanyak RM45.6 bilion.
Ini diikuti oleh logistik sebanyak RM4.81 billion, pelancongan (RM2.5 bilion), penjagaan kesihatan (RM2.59 bilion), pendidikan (RM.156 bilion), perkhidmatan kewangan (RM0.6 bilion) dan industri kreatif (RM0.4 bilion).
Beliau berkata, sektor hartanah juga menyumbang kepada pembangunan Iskandar Malaysia, dengan bahagian kediaman, runcit dan perindustrian secara bersama menyumbangkan pelaburan terkumpul sebanyak RM49.31 bilion sehingga 31 Oktober diikuti utiliti pada RM12.64 bilion.
Pelaburan kerajaan, terutama dalam prasarana dan kemudahan awam serta teknologi terkini, masing-masing menyumbang RM8.31 bilion dan RM1.03 bilion kepada keseluruhan pelaburan.

Tuesday, November 5, 2013

FIREFLY JB-PEKANBARU

Azman Ahmad (kiri) menerima sirih sebagai simbolik ucapan selamat datang ke Pekanbaru, Riau dalam kunjungan bersama media Johor ke Pekanbaru, baru-baru ini.

PEKANBARU, Indonesia 4 Nov. - Syarikat penerbangan komuniti, Firefly yakin bahawa laluan Johor Bahru-Pekanbaru yang dilancarkan Ogos lalu akan membuka lebih banyak ruang terutama dari aspek pelancongan dan pelaburan antara Johor dan Riau, Indonesia.
Ketua Pegawai Komersial Firefly, Azman Ahmad berkata, kadar serendah RM99 yang ditawarkan bagi kos penerbangan berkenaan mendapat maklum balas yang positif dan promosi semakin giat dilakukan bersama ejen pelancongan dan pihak hotel sama ada di Pekanbaru mahupun Johor Bahru.
"Riau merupakan antara lokasi pengeluar utama kelapa sawit mentah di Indonesia serta kaya dengan minyak dan gas. Justeru, ia mampu menjadi destinasi pilihan rakyat Johor untuk melabur, melancong, membeli-belah dan membuat rawatan kecantikan, khususnya di Pekanbaru.
"Selain mempunyai hubungan sejarah, tarikan pelancongan di Johor seperti Taman Tema Legoland dan Taman Tema Keluarga Hello Kitty di Nusajaya pula menjadi pilihan terbaharu penduduk Riau untuk berhibur di samping mendapatkan rawatan di pusat-pusat perubatan berasaskan syariah di negeri itu berbanding Melaka dan Kuala Lumpur sebelum ini," katanya.
Azman berkata demikian kepada kumpulan pemberita yang mengikuti rombongan bersama Firefly, Tourism Malaysia Johor dan Jabatan Pelancongan Negeri Johor ke Pekanbaru, baru-baru ini.
Beliau berkata, untuk itu, pihaknya bersedia meningkatkan laluan Johor Bahru-Pekanbaru-Johor Bahru setiap hari berbanding hanya tiga kali seminggu ketika ini, sekiranya mendapat permintaan yang tinggi bagi menarik lebih ramai pengunjung.
Katanya, buat permulaan, Firefly juga bekerjasama dengan Hotel Grand Hawaii, Pekanbaru bagi menawarkan pakej penerbangan serta penginapan pada kadar yang menarik kepada pengunjung dari Malaysia.
"Kita sudah bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Tourism Malaysia dalam mempromosi laluan ini yang diyakini akan mendapat sambutan memandangkan tempoh penerbangan yang singkat, kira-kira satu jam sahaja ," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Grand Hawaii, Achmad Irawan berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan 10 hingga 15 peratus pengunjung sebulan ke hotel bertaraf tiga bintang itu menerusi kerjasama antara Firefly.
Beliau berkata, hotel itu yang terletak di pusat bandar Pekanbaru itu menawarkan bilik serendah 288,000 Rupiah (RM81.20) selain beberapa kelebihan termasuk lokasinya hampir dengan Mall Pekanbaru.

Thursday, October 31, 2013

PENDUDUDK TAMAN SURAYA DIHANTUI BANJIR KILAT

  • Dihantui masalah banjir kilatSuraya menunjukkan paras air banjir yang sering naik di rumahnya.
 1 / 1 
PONTIAN - Tidur di atas meja dan kerusi sudah menjadi perkara biasa setiap banjir kilat berlaku buat dua keluarga yang tinggal di Lorong Belakang Taman Suraya, di sini.

Banjir kilat yang berpunca dari-pada air pasang besar itu, akan berlaku dalam tempoh sekurang-kurangnya empat kali sebulan.

Hamidah Othman 53, berkata, setiap kali banjir berlaku, dia bersama dua anak dan empat cucunya yang tinggal di situ tidak dapat berbuat apa-apa kerana air naik secara tiba-tiba  dengan begitu cepat.

“Semua perkakasan seperti barang elektrik sudah dialas batu supaya tidak terkena banjir, pun begitu, air bayang melimpah ke dalam rumah kadangkala naik sehingga paras lutut.

“Keadaan itu menyebabkan ada barang yang rosak seperti tikar  getah yang perlu diganti baru kerana terendam dalam air dalam tempoh masa yang agak lama,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, longkang yang mengalir terus ke laut tidak dapat menampung jumlah air yang banyak ketika berlaku air pasang menyebabkan terjadinya limpahan air yang mengakibatkan banjir.

Tambahnya, air longkang akan cepat penuh pada musim hujan, jika berlaku pertembungan air pasang, limpahan air longkang akan  berlaku menyebabkan rumah akan dimasuki air.

“Fenomena air pasang berlaku  tidak menentu kadangkala pada  sebelah malam, petang atau pagi,” katanya.

Menurutnya, masalah banjir akan dapat diatasi sekiranya pintu tali air dibina di situ bagi menghalang air laut mengalir ke dalam longkang ketika fenomena air pasang berlaku.

Hamidah berkata, kejadian banjir yang berlaku ini sudah diketahui banyak pihak termasuk pemimpin setempat, malah lawatan juga sudah dibuat untuk meninjau masalah yang berlaku di sini.

“Saya amat berharap agar pembinaan pintu air dapat dilakukan segera supaya masalah banjir yang membelenggu selama ini berakhir,” katanya.

Bagi anaknya pula, Mohd Syuib Ibrahim, 27,  berkata, walaupun  sudah menjadi kebiasaan menghadapi banjir  kilat, namun dia tetap bimbang  dengan keselamatan dua orang anaknya yang masih lagi kecil.

Menurutnya, dia ada bercadang untuk berpindah, tetapi dengan pendapatan sebagai peniaga kuih muih, impian itu terpaksa dilupakan.

“Sekiranya tali air dibina di sini, masalah banjir dapat diatasi seterusnya membolehkan kami sekeluarga tinggal dengan lebih selesa di sini,” katanya.

Tambahnya lagi, cadangan pembinaan tali air telah dikemukakan kepada pihak yang berkaitan namun sehingga kini masih belum mendapat sebarang jawapan mengenainya.

Sementara itu, Ketua Kampung Daud Sanusi berkata, pihaknya sudah mengetahui masalah yang dihadapi oleh keluarga tersebut yang tinggal di kawasan berhampiran dengan laut.

“Masalah ini sudah dibawa ke pihak berkaitan bagi tindakan susulan. Walaupun hanya dua rumah sahaja di situ, namun mereka tidak pernah diabaikan untuk menerima bantuan seperti bantuan baik pulih rumah yang diberikan oleh ahli parlimen,” katanya.

SELAMATKAN PESISIR PANTAI

  • Selamatkan segera pesisir pantaiKelihatan batu bata yang ditambak di sebuah kawasan di Rimba Terjun sudah runtuh akibat hakisan pantai.
 1 / 1 
PONTIAN - Hakisan yang semakin membimbangkan di sepanjang kawasan pesisir pantai di Kampung Rimba Terjun memerlukan tindakan segera dari kerajaan.

Pembinaan benteng atau tembok penahan hakisan ombak yang dianggarkan melebihi lima kilometer itu iaitu dari kawasan di belakang Pasar Awam Pontian sehingga ke Sungai Parit Raja, perlu dilakukan segera bagi mengurangkan hakisan pada masa hadapan.

Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wee Jeck Seng berkata, akibat permasalahan itu menyebabkan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan pesisir pantai hidup dalam kebimbangan, memandangkan terdapat kawasan tanah yang sudah ditelan laut.

Jelasnya, banyak aduan mengenai masalah hakisan diajukan penduduk kepada pihaknya.

“Perkara itu sudah pun dibawa ke Mesyuarat Tindakan Daerah Pontian dan sehingga kini difahamkan terdapat kawasan yang telah dibina benteng bagi kawasan yang terjejas teruk.

“Saya juga akan membawa perkara ini ke sidang Dewan Rakyat supaya pembinaan benteng diberikan perhatian segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rungutan penduduk di Mukim Rimba Terjun yang terjejas sehingga terdapat kawasan kebun mereka yang sudah hilang akibat hakisan yang berlaku.
Menurutnya, kos dan peruntukkan yang agak besar menjadi halangan kepada pembinaan benteng sepertimana yang diharapkan penduduk.

“Penduduk perlu bersabar kerana peruntukkan yang begitu besar diperlukan bagi pembinaan benteng dan tembok di kawasan pesisir pantai di sini.

“Sebagai langlah jangka masa panjang, pembinaan benteng lebih baik berbanding menambak semula kawasan yang terhakis itu,” katanya.

Menurutnya lagi, tinjauan juga telah dilakukan pegawai-pegawai Pejabat Daerah Pontian dan Jabatan Pengaliran dan Saliran ( JPS) ke kawasan yang terjejas.

“Kawasan yang terjejas dengan hakisan pantai bukan sedikit, tetapi di sepanjang pantai di Pontian hingga ke Tanjung Piai yang juga memerlukan perhatian serius dari pihak kerajaan,” katanya.

Sinar Harian pada keluaran 12 Oktober lalu, menyiarkan keluhan penduduk Kampung Rimba Terjun yang bimbang dengan ancaman hakisan pantai sehingga menyebabkan terdapat kawasan kebun yang hilang akibat hakisan.

KEMATIAN KE TEMPAT KERJA MENINGKAT

KLUANG - Kadar kemalangan membabitkan pekerja yang berulang-alik ke tempat kerja meningkat mendadak sejak lima tahun lalu, dan senario ini amat membimbangkan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ia dikenal pasti berpunca daripada kekurangan kesedaran penjagaan keselamatan dan kesihatan diri setiap pekerja terutama ketika memandu.

Menurutnya, berdasarkan statistik diperoleh daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapati, senario itu bermula pada 2008 dengan 19,041 kes, diikuti tahun berikutnya 20,810 kes (2009); 22,036 kes (2010); 24089 kes (2011) dan 26,262 kes (2012).

“Peningkatan tersebut dijangka berterusan sebanyak 24 peratus pada tahun ini kerana setakat Julai lalu, bacaan kadar kemalangan ketika ulang-alik ke tempat kerja dilaporkan sebanyak 16,440 kes.

“Laporan Perkeso turut mendapati, antara punca berlaku kemalangan ke tempat disebabkan tabiat memandu tergesa-gesa, memotong kenderaan secara berbahaya dan peningkatan penggunaan motosikal dalam kalangan pekerja,” katanya selepas merasmikan program OSH in School, di Kolej Vokasional Kluang, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus NIOSH Wilayah Selatan, Khairunnizam Mustapha dan Pengarah Kolej Vokasional Kluang, Md Salim Bahari.

Lam Thye berkata, senario tersebut turut akan menyebabkan majikan kehilangan tenaga kerja mahir, produktif dan berkualiti, jika berlaku kes kematian mahupun kehilangan upaya untuk bekerja.

Sementara itu, beliau berkata, kes kemalangan di tempat kerja atau kemalangan industri turut mencatatkan peningkatan dengan sebanyak 61,573 kes direkodkan tahun lalu.

“Pada 2011, hanya 59,897 kes kemalangan di tempat kerja berlaku manakala sehingga Julai tahun ini pula, sebanyak 37,704 kes kemalangan sudah dilaporkan.

“Saya berharap, pekerja pelbagai sektor mahupun generasi muda yang akan memasuki alam pekerjaan supaya sentiasa sedar kepentingan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja bagi memastikan persekitaran tempat kerja lebih terjamin selamat,” katanya.

PENTINGNYA ISU MAKANAN HALAL & HARAM

JIKA kita tinjau ke beberapa buah bandar logo halal Jakim masih berkurangan. Ada kedai atau restoran yang masih belum memaparkan logo halal Jakim. Manakala ada restoran terutama di pusat beli-belah yang masih menunggu logo halal ini.

Bagi restoran atau gerai yang mendapat logo halal Jakim. Logo tersebut mestilah dipaparkan di tempat yang boleh dilihat dengan jelas terutama di tempat makanan yang disediakan bagi mengelakkan rasa was-was orang ramai sewaktu mengambil makanan yang disajikan.

Ramai kalangan umat Islam prihatin tentang makanan yang halal ini sangat sensitif dengan perkara ini. Bayangkan jika ada restoran yang menulis dengan tulisan tangan “pork free” bagi menyatakan bahawa restoran tersebut tidak menghidangkan makanan haram iaitu khinzir.

Bagi restoran yang menulis perkataan ini sewajarnya memahami tujuannya dan tahu konsep halal dan haram.

Soal berkaitan isu halal dan haram ini bukan sahaja terletak kepada persoalan tiada hidangan daging yang haram; malah lebih jauh dari itu, iaitu bagaimana makanan ini diperoleh daripada sumber yang halal.

Misalnya, ayam disembelih dengan betul mengikut cara Islam. Penyediaan makanan yang bersih dan halal. Penggunaan bekas memasak yang tidak bercampur dengan makanan haram.
Tempat menyimpan makanan bahan mentah seperti daging tidak bercampur atau tiada langsung yang haram.

Oleh itu, perkara-perkara ini menjadi tanda tanya dalam pemikiran umat Islam. Pertanyaan sering diajukan dalam fikiran. Adakah restoran di pusat beli-belah ini halal walaupun pekerjanya dari Indonesia atau Bangladesh? Hanya hati kecil kita yang dapat menjawabnya sebab kebanyakannya tuan punya restoran tersebut bukan orang Islam.

Makanan yang halal ialah makanan yang mendapat keredaan ALLAH dan membawa kebaikan rohani dan jasmani. Islam menggalakkan manusia memakan makanan yang baik dan halal kerana terjamin kesihatan tubuh badan. Makanan halal mendatangkan kecergasan pada akal fikiran.

Sukar dijangkiti penyakit seperti penyakit kencing tikus dan sebagainya.

Makanan halal dapat mempengaruhi akhlak dan tingkah laku yang baik. Manakala makanan yang haram ialah makanan yang ditegah oleh syarak dan boleh membawa kepada kemudaratan kesihatan tubuh badan.

ALLAH melarang umatnya makan makanan yang haram kerana boleh memudaratkan tubuh badan. Mendatangkan penyakit yang berbahaya. Anggota badan menjadi lemah dan tidak bertenaga. Makanan haram mempengaruhi perangai seseorang ke arah keburukan.

Kesan daripada memakan makanan haram ialah mendapat azab daripada ALLAH, boleh melemahkan tubuh badan, merosakkan akal fikiran dan hati menjadi mati dan kotor. Inilah sebabnya kenapa makanan halal itu sangat penting dalam kehidupan umat Islam.

Nabi SAW bersabda: “Tiap tubuh yang tumbuh daripada (makanan) yang haram maka api neraka lebih utama membakarnya.” (Riwayat Ath Thabrani).

Semoga isu halal dan haram berkaitan makanan ini sentiasa dalam pandangan dan perhatian orang ramai terutama umat Islam. Pihak Jakim juga mestilah sentiasa memantau restoran, terutama di pusat beli-belah yang menyediakan makanan kepada orang ramai.

Dari segi pelancongan kalangan pelancong dari negara Timur Tengah dan pelancong yang beragama Islam juga sentiasa melihat logo halal Jakim yang dipaparkan sebelum makan di sesebuah restoran yang menyediakan makanan kepada orang ramai khususnya pelanggan di pusat beli-belah.

Nabi SAW bersabda: “Wahai Sa’ad, perbaikilah (murnikanlah) makananmu nescaya, kamu menjadi orang yang terkabul doanya.

Demi yang jiwa Muhammad dalam genggaman-Nya. Sesungguhnya, seorang hamba melontarkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya; maka tidak akan diterima amal kebaikannya selama empat puluh hari. Sesiapapun yang dagingnya tumbuh dari yang haram; maka api neraka lebih layak membakarnya." (Riwayat Ath Thabrani).

Justeru, sama-samalah kita memikirkan tentang makanan yang halal dan haram ini yang memberikan impak besar dalam kehidupan kita di dunia dan akhirat.

Wednesday, October 30, 2013

KEGILAAN JUS SAYURAN DI CARLIFONIA


SEGELAS jus sayur mengandungi zat dan vitamin yang mencukupi untuk mereka yang berdiet.


BUNYI kisaran kobis hijau, timun dan bayam kedengaran di dapur kediaman guru yoga, Kia Miller, 44, yang terletak berhampiran Pantai Venice, California di Amerika Syarikat (AS).
Miller kelihatan teruja ketika menceritakan obsesinya terhadap jus tersebut yang dikatakan baik untuk kesihatan.
"Saya seronok melakukannya, rasa seperti menekan butang penetapan semula. Ia seolah-olah memberikan anda peluang untuk memikirkan tentang hubungan dengan makanan.
"Ia merupakan cara yang terbaik untuk tubuh memperoleh nutrisi daripada sayur-sayuran segar," ujar Miller ketika ditemu bual di kawasan pinggir pantai tersebut.
Kedai jus berkonsep bar memang mudah ditemui di California kerana kota itu sudah lama membudayakan amalan alaf baharu. Di kawasan elit seperti Santa Monica dan Beverly Hills, bar jus dapat dilihat di setiap sudut jalan.
Pemandangan seperti orang lalu lalang sambil memegang cawan polistiren yang mengandungi jus sayur adalah sesuatu yang biasa. Malah penggemar jus sayur lebih mudah ditemui berbanding penggemar kopi.
"Jus ini dianggap seperti wain baharu," kata Miller sambil menghidangkan jus tersebut kepada wartawan.

DI Los Angeles dan New York, AS sahaja terdapat sebanyak 6,500 bar jus.


Jus sayur mengandungi pelbagai jenis sayur yang terdiri daripada kobis hijau, halia, ubi kayu, lobak, santan dan kacang almond. Bagi penggemar buah-buahan pula, mereka boleh mendapatkan jus yang dikisar daripada kurma, pisang, epal dan daun saderi.
Minuman kecantikan
Ada antara penduduk di negara tersebut menjadikan jus sayur sebagai rejim minuman kecantikan yang diamalkan untuk tempoh tiga hari, tujuh hari ataupun 30 hari secara berturut-turut.
Bagi yang ingin menurunkan berat badan, boleh mencuba meminum jus sayur selama lima hari tanpa makan hidangan lain. Tidak mustahil amalan tersebut membolehkan anda menurunkan berat sebanyak 10 kilogram.
Pakar fisioterapi, Heather, 42, baru menamatkan tempoh pembuangan toksin dalam badan yang dibuat selama 72 jam.
"Proses ini membuatkan saya rasa lebih sihat dan seperti ketagih untuk melakukannya lagi. Saya rasa lebih dekat dengan diri sendiri dan bertenaga," kata Heather.
Pengurus bar jus berketurunan India, Baba Ji, membuka dua cawangan pada dua tahun lepas di Silver Lake dan Los Feliz yang terletak di timur Hollywood.
"Beberapa tahun kebelakangan ini, minuman jus menjadi satu fenomena. Semua orang mahu membuka bar jus. Mereka semua mahu membuang toksik dalam badan," katanya.
Harga bagi jus tersebut bergantung kepada lokasi. Contohnya, kos bagi bekalan minuman jus selama tiga hari dianggarkan bernilai antara AS$120 hingga AS$150 (RM380 hingga RM476). Jangan terkejut jika kos bagi jus untuk lima hari boleh mencecah RM1,270.

JUS buah-buahan dan sayur-sayuran merupakan langkah terbaik untuk membuang toksik dalam badan.


Harga
Seorang pelanggan di bar tersebut percaya tabiat meminum jus itu mengubah kehidupan mereka.
Laporan kewangan mingguan Barron yang dibuat pada Julai lalu menganggarkan nilai keuntungan yang diperoleh daripada industri penghasilan jus adalah sekitar RM15.86 bilion. Industri tersebut turut mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak empat hingga lapan peratus setahun.
Setakat ini, AS memiliki sebanyak 6,200 bar jus yang tertumpu di Los Angeles dan New York. Kafe Starbucks terbesar yang pertama mengkhususkan jualan minuman jus dibuka di Seattle dan San Fransisco tahun ini. - AFP