BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, December 2, 2013

SERBUK DADIH KAYLA DENGAN 13 PERASA


NUR SHAHAR dan Rossuhaida menunjukkan produk serbuk dadih Khayla yang turut dipasarkan di Tesco 
seluruh negara sejak September lalu.


PERNAHKAH anda terfikir untuk menyediakan dadih lazat semudah memasukkan serbuk dadih ke dalam air, didihkan campuran itu dan terus sejukkannya?
Selain dapat disediakan dalam masa yang singkat, dengan menggunakan produk serbuk dadih anda tidak perlu lagi tercari-cari bahan lain seperti susu, gula atau agar-agar ketika ingin membuat dadih sendiri di rumah.
Malah, lebih menarik lagi dengan serbuk dadih tersebut anda boleh menghasilkan dadih pelbagai perisa daripada coklat sehinggalah buah durian.
Diberi nama Khayla, perniagaan produk serbuk dadih tersebut dirintis oleh pasangan suami isteri dari Kedah, Nur Shahar Ramli, 40, dan Rossuhaida Mohd. Yusuf, 37.
Pernah bertugas sebagai jurutera perisian di Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas), namun demi minat dalam bidang perniagaan Nur Shahar nekad berhenti kerja dan memulakan syarikat Aisy Vision Enterprise bersama isterinya.
Mereka menghasilkan produk inovatif dan unik iaitu serbuk dadih pelbagai perisa diberi jenama Khayla yang ternyata mudah mendapat tempat di hati pengguna.
Serbuk dadih hanya perlu dimasak dengan air mendidih sebelum disejukkan di dalam peti sejuk dalam anggaran masa sekitar sejam.
“Pada tahun 2007, saya dan isteri berhenti kerja dan kami berdua melakukan kajian dan penyelidikan dalam perniagaan serbuk dadih. Alhamdulillah pada tahun 2009, kami akhirnya mula merintis perniagaan itu,” kata Nur Shahar.
Beliau ditemui di Tapak Ekspo Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kedah 2013 di Dataran Jubli Emas, Jalan Suka Menanti, Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

PILIH dadih strawberi atau durian kampung mengikut cita rasa anda.


Ujarnya, pada permulaannya beliau dan isteri mendapatkan resipi daripada seorang saudara sebelum mengolahnya berdasarkan kajian dan penyelidikan sendiri.
“Sewaktu mula-mula dahulu kami minta saudara-mara dan rakan rasa secara percuma dadih pelbagai perisa ini untuk dapatkan komen yang jujur.
“Daripada situlah, saya dan isteri cuba berkali-kali lagi, bagi menghasilkan serbuk dadih terbaik dan lazat,” katanya yang berasal dari Seberang Perak, Alor Setar.
Ujar Nur Shahar, ketika memulakan Aisy Vision Enterprise pada tahun 2009, mereka mendapat suntikan modal melalui pinjaman RM30,000 daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).
“Selepas itu, syarikat mendapat geran bantuan sebanyak RM30,000 daripada Majlis Pembangunan Ekonomi Belia untuk meningkatkan kualiti pembungkusan serbuk dadih ini,” katanya.
Dengan kualiti pembungkusan yang lebih segar, menurut Nur Shahar jualan bulanan serbuk dadih Khayla meningkat daripada RM7,000 kepada RM30,000 sebulan.
Rossuhaida berkata, Khayla dipasarkan dengan 13 jenis perisa pada masa ini antaranya asli, coklat, jagung, vanila, strawberi, oren, pandan, tembikai susu, durian kampung, mangga, kapucino, keladi dan beri biru.
Idea menggunakan buah-buahan tempatan termasuk durian katanya, dicetuskan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Tambah Rossuhaida, buah mangga chokanan diperoleh dari ladang mangga milik MADA, strawberi dari ladang Cameron Highlands dan durian serta nanas dari peladang berdekatan.
Ujarnya, dengan lebih 100 ejen, Khayla kini sudah boleh didapati di pasar raya besar Tesco terpilih di seluruh negara sejak September lalu.
Kata beliau, pihaknya mempunyai perancangan untuk menembusi pasaran luar negara, namun ia terpaksa ditangguhkan sementara bagi memberi tumpuan kepada pasaran di pasar raya besar dalam negara.
“Kita juga merancang untuk membesarkan kilang di Lembah Paya Pahlawan di Jitra bagi membolehkan kapasiti pengeluaran dapat ditingkatkan mengikut permintaan,” jelasnya.
Rossuhaida berkata, perjalanan perniagaannya banyak didukung dengan bantuan berterusan daripada MADA, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
“MADA banyak membantu dengan memanggil kami menyertai ekspo dan pameran di seluruh negara. Ia membantu dalam mempromosikan produk dadih Khayla kepada masyarakat,” jelasnya.
Justeru, Rossuhaida meminta semua usahawan menjalinkan hubungan baik dengan agensi-agensi kerajaan untuk mendapatkan khidmat nasihat dan sokongan dalam memajukan perniagaan.

TABIAT YANG MEROSAKKAN GIGI

MASALAH gigi bukan sahaja disebabkan kurang menjaga kebersihan gigi tetapi juga disebabkan tabiat yang dilakukan sehari-hari.
Berikut terdapat lima tabiat yang mungkin kamu lakukan tanpa disedari yang mana perlu dijauhi bagi melindungi kesihatan gigi. - LYNN
Memberus dengan kuat
MENGGUNAKAN berus gigi yang keras dan ditambah tekanan yang diberi semasa memberus boleh menjejaskan pelindung enamel. Jika itu berlaku, gigi menjadi sensitif serta menyusutkan gusi. Jadi, gunakan berus yang lembut untuk menggosok dan lakukan gerakan secara membulat selama dua minit. Disarankan menggunakan berus elektrik yang boleh memberus ke bahagian sukar dan membantu membuang lebih banyak plak berbanding berus gigi biasa.

Ubat gigi yang salah

Beberapa jenis ubat gigi terutama yang mengandungi tartar control bersifat tajam yang mana boleh menghakis enamel dan menyusutkan gusi. Bagi melindungi gigi, belilah ubat gigi yang mempunyai kandungan fluorida.

Jadikan gigi sebagai alat

RAMAI yang gemar mengoyak bungkusan makanan ringan atau melonggarkan ikatan dengan menggunakan gigi. Tabiat itu sebenarnya boleh menyebabkan gigi retak dan pecah serta merosakkan tampalan sedia ada. Malah, mengunyah ais dan menggigit makanan yang keras seperti gula-gula juga boleh merosakkan gigi.

Minum banyak soda

MINUMAN bersoda mengandungi asid fosforik yang boleh menghakis gigi. Disebabkan itu, sebaik-baiknya gunakan straw semasa minum soda bagi meminimumkan hubungan antara soda dan gigi. Pastikan juga, kamu memberus gigi selepas itu.

Abaikan masalah

GUSI berdarah dan nafas berbau yang kronik adalah petanda penyakit gusi. Untuk melawan nafas berbau, banyakkan minum air kosong bagi mengekalkan kelembapan dalam mulut dan hapuskan bakteria berlebihan. Bagi mengelakkan pendarahan pada gusi, gosok dan flos gigi setiap hari. Flos gigi juga dapat mengeluarkan plak.

TARIF BARU ELEKTRIK BERMULA 1 JANUARI 2014

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Berkuat kuasa 1 Januari 2014, kadar purata tarif elektrik di Semenanjung akan dinaikkan sebanyak 4.99 sen/kWj atau peningkatan sebanyak 14.89 peratus daripada kadar purata semasa 33.54 sen/kWj kepada 38.53 sen/kWj.
Bagi negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, kadar purata tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 5.00 sen kWj (peningkatan sebanyak 16.9 peratus) daripada kadar semasa iaitu 29.52 sen/kWj kepada 34.52 sen.
Tarif elektrik baharu bagi semenanjung, Sabah dan Labuan itu diumumkan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili di bangunan Parlimen hari ini.
Menurut Maximus, bagi Semenanjung, tarif baharu itu akan menyaksikan penyelarasan tarif elektrik mengikut kategori pengguna iaitu:
* Purata tarif domestik akan dinaikkan daripada 28.63 sen/kWj kepada 31.66 sen/kWj, iaitu penyelarasan sebanyak 1.21 sen/kWj (3.03 peratus)
* Purata tarif komersial akan dinaikkan daripada 41.01 sen/kWj kepada 47.92 sen/kWj iaitu penyelarasan sebanyak 6.91 sen/kWj (16.85 peratus)
* Purata tarif industri pula dinaikkan daripada 30.94 sen/kWj kepada 36.15 sen/kWJ iaitu penyelarasan sebanyak 5.21 sen/kWj (16.85 peratus)
Jelas Maximus, selaras dengan dasar melindungi kebajikan pengguna domestik berpendapatan rendah, tiada kenaikan tarif terhadap pengguna 300kWj/ sebulan ke bawah.
"Kerajaan akan terus membantu dengan memberikan rebat kepada pengguna-pengguna yang bil elektrik berjumlah RM20 dan ke bawah," katanya.
Beliau turut memaklumkan peruntukan subsidi khusus itu adalah sebanyak RM2.4 bilion setahun di Semenanjung dan RM155 juta setahun di Sabah serta Labuan.
Menurutnya, sebanyak 70.67 peratus atau 4.56 juta pengguna daripada 6.45 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 62 peratus atau 260,000 pengguna daripada 418,000 pengguna domestik di Sabah dan Labuan yang menggunakan elektrik pada kadar 300 kWj ke bawah, tidak akan terjejas.
Maximus memberitahu, program merasionalisasikan subsidi menerusi semakan semula tarif elektrik itu menjimatkan beban kerajaan sebanyak RM4 bilion setahun dalam bentuk pembelian gas daripada Petronas untuk penjanaan kuasa.
"Bagi mengukuhkan kedudukan kewangan negara dan ke arah penetapan harga gas berasaskan mekanisme harga pasaran, usaha rasionalisasi subsidi merupakan langkah yang perlu dilakukan kerajaan.
"Di samping itu, kerajaan juga perlu memastikan syarikat-syarikat utiliti mampu menampung peningkatan kos pembekalan elektrik dan mempertingkatkan pelaburan bagi menyediakan infrastruktur dan operasi pembekalan elektrik yang lebih baik," katanya.
Katanya, biarpun tarif baharu dilaksanakan, kerajaan tetap menanggung jumlah subsidi pelepasan hasil perolehan gas asli sebanyak RM14 bilion setahun di Semenanjung dan RM570 juta di Sabah dan Wilayah Persekutuan.
Menurut Maximus, bagi mempertingkatkan sumbangan Tenaga Boleh Baharu, kadar kutipan Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu akan dinaikkan daripada 1 peratus kepada 1.6 peratus berkuatkuasa 1 Januari 2014 di Semenanjung dan akan turut diperluas ke Sabah dan Labuan.
Dalam pada itu, jelasnya, kadar tarif elektrik Sabah Electricity Sdn. Bhd. yang rendah sebelum ini menjadi faktor penghalang kepada usaha untuk mempertingkatkan tahap kualiti pembekalan elektrik di Sabah.
Katanya, serentak dengan semakan semula tarif di Sabah dan Labuan, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM1.812 bilion bagi projek-projek pengukuhan infrastruktur baharu yang kritikal bagi 2014 hingga 2016 termasuk Projek Talian Penghantaran Southern Link.
"Kerajaan juga sebelum ini telah memperuntukkan bantuan kewangan sebanyak RM230.6 juta bagi tempoh 2013-2014 untuk pembiayaan projek-projek pengurangan System Average Interruption Duration Index (SAIDI) di seluruh Sabah," katanya.

Sunday, December 1, 2013

SHISHA LEBIH BAHAYA DARIPADA ROKOK ?


Shisha atau juga dikenali dengan nama 'hookah' adalah sejenis peralatan paip air yang menegak.

BERSANTAI di kafe atau restoran sambil sambil menyedut shisha bukanlah perkara luar biasa di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur pada waktu malam.
Mereka yang biasanya terdiri daripada golongan muda atau pertengahan usia akan berbual panjang tanpa menghiraukan kepulan asap shisha.
Shisha atau juga dikenali dengan nama 'hookah' adalah sejenis peralatan paip air yang menegak dan lazimnya digunakan untuk menghisap tembakau yang berperisa.
Gaya hidup ini sudah lama diamalkan di Timur Tengah. Sebelum kemunculan tembakau, bahan yang sering digunakan di dalam shisha adalah candu dan hashish. Shisha dipercayai mula membanjiri negara ini dengan kedatangan pelancong-pelancong dari Timur Tengah khususnya sekitar 1990-an.
Ramai juga menyatakan ia lebih selamat daripada merokok, tetapi adakah fakta ini benar?
Satu kajian yang dijalankan Persatuan Paru-paru Amerika pada 2007 menunjukkan peningkatan penggunaan shisha di seluruh dunia dan kebanyakannya terdiri daripada remaja dan pelajar universiti. Mereka menganggap shisha suatu produk herba dan berpendapat bahawa asap shisha tidak mengandungi tembakau.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan sedang mengkaji peruntukan undang-undang yang sesuai bagi mengharamkan aktiviti menghisap dan perniagaan berasaskan shisha di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kajian yang dilaksanakan itu meliputi pelbagai kesan buruk akibat tabiat menghisap shisha yang semakin popular termasuk dalam kalangan belia.
Kajian berkenaan meliputi beberapa aspek yang perlu diambil kira sebelum keputusan muktamad dikeluarkan.
Berdasarkan laporan awal yang diperolehi pihak kementerian, terdapat pelbagai unsur negatif disebabkan tabiat menghisap shisha kerana ada yang memasukkan nikotin pelbagai perisa termasuk mencampurkan dadah dan itulah punca masalah bermula.
Dalam konteks ini, isu yang timbul adalah bahan perisa yang digunakan di negara ini didapati berbeza dengan budaya menghisap shisha di Pakistan dan Afghanistan yang menjadi tradisi rakyat negara itu yang menggunakan herba asli sebagai perisa.

Asap toksik

Menurut Pakar Perubatan dan Pernafasan Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Daniel Lee Keat Chye, kebanyakan pengguna menganggap shisha selamat dan tidak memberi kesan kepada kesihatan.
Sebaliknya, Dr. Daniel berpendapat, sebenarnya shisha lebih berbahaya daripada sebatang rokok.
“Cara penyediaan shisha sebenarnya mendatangkan bahaya kerana puncak balang hookah atau mangkuk yang menakung shisha selalunya diliputi kerajang aluminium dan bara diletakkan di atasnya untuk memanaskan tembakau tersebut. Asap toksik terhasil apabila bara arang bertindak balas dengan kerajang aluminium.
“Bukan itu sahaja, tapak balang hookah yang berasaskan kaca berperanan sebagai kebuk asap dan diisi dengan air. Air ini akan bercampur dengan asap toksik dan akan menambah kelembapan asap. Ini mengakibatkan wap dan asap karsinogenik berada lama dalam paru-paru," ujarnya.
Ia secara tidak langsung menjadikan asap yang disedut ketika menikmati shisha lebih banyak berbanding sebatang rokok.
Tambah Dr. Daniel, ramai pengguna shisha tidak menyedari aktiviti ini boleh menyebabkan ketagihan nikotin sama seperti rokok.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu sesi selama 60 minit bershisha menghasilkan antara 100 ke 200 kali lebih banyak asap berbanding rokok biasa.
Shisha juga dikatakan 400 kali lebih bahaya daripada rokok kerana mengandungi karbon monoksida, nikotin dan tar dalam kepekatan yang tinggi.
“Lazimnya shisha akan dihisap antara 45 minit hingga satu jam manakala sebatang rokok pula hanya sekitar lima minit.
“Jadi kesan-kesannya adalah sama seperti perokok iaitu penghisap shisha berisiko menghidap kanser paru-paru, sakit dada, kerosakan koronari jantung dan mengalami kesan sampingan akibat pengambilan nikotin secara berlebihan," ujarnya.
Jelas beliau, perkongsian paip shisha juga boleh mendedahkan mereka kepada penyakit yang merebak melalui air liur seperti tuberkulosis atau TB (tibi).
Kita tidak tahu secara jelas latar belakang orang yang berkongsi paip dengan kita dan mungkin jika pengguna shisha sebelum itu mengalami batuk, selesema atau demam, kita boleh dijangkiti.
Dr. Daniel menasihatkan orang ramai agar tidak menjadikan aktiviti menghisap shisha sebagai gaya hidup.
“Secara umumnya, mungkin ramai yang beranggapan aktiviti ini tidak berbahaya berbanding dengan rokok. Sebenarnya, kesannya masih sama dan mungkin lebih teruk daripada merokok. Oleh itu, orang ramai perlu menjauhi aktiviti ini dan lakukan perkara yang lebih baik," ujarnya.

Friday, November 29, 2013

MEKANISME TARIF ELEKTRIK BARU DIKAJI

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Malaysia dijangka memperkenalkan mekanisme tarif elektrik baharu dengan memperkenalkan sistem waktu puncak dan bukan puncak ke atas pengguna kediaman.
Perbincangan mengenainya sedang dilakukan oleh syarikat utiliti, Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga.
Ketua Pegawai Eksekutif MyPower Corporation (MyPower), Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata, kajian itu akan mengambil sedikit masa dan tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
"Kaedah ini telah diguna pakai di peringkat industri komersial.
"Kajian menyeluruh akan dilakukan bagi memperkenalkannya kepada pengguna akhir," katanya kepada pemberita selepas menjadi ahli panel di dalam Forum Kecekapan Tenaga, di sini hari ini.
Sistem waktu puncak dan bukan puncak merupakan mekanisme tarif elektrik yang mana kadar caj elektrik berbeza mengikut waktu tertentu.
Sebagai contoh, kadar caj elektrik yang dikenakan pada waktu malam adalah lebih murah berbanding waktu siang.
Mekanisme ini dianggap sebagai alternatif kepada pengguna untuk mengurangkan bayaran bulanan elektrik apabila lebih banyak menggunakan tenaga elektrik pada bukan waktu puncak.
Beberapa negara maju di Eropah serta Australia telah mengguna pakai kaedah tersebut.
Ketika ini, mekanisme caj elektrik yang dikenakan kepada pengguna kediaman di Malaysia adalah berdasarkan blok kepenggunaan kilowatt.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili dilaporkan berkata, kenaikan tarif elektrik dijangka berlaku awal tahun hadapan sebagai sebahagian daripada program merasionalisasikan subsidi.
Sebanyak RM12 bilion diperuntukkan setiap tahun oleh kerajaan untuk subsidi sektor tenaga.

Wednesday, November 27, 2013

BERSEDERHANA DALAM WALIMAH

SINONIM dengan musim cuti panjang persekolahan sekarang, maka ramailah dalam kalangan anggota masyarakat yang mengambil kesempatan untuk mengadakan walimah atau kenduri kahwin bagi menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran apabila bercantumnya dua hati insan yang dinobatkan sebagai raja sehari dalam ikatan pernikahan.
Kemeriahannya akan lebih terasa kerana sesuai dengan pengertian walimah itu sendiri yang bermaksud mengadakan suatu majlis makan yang turut mengundang sanak-saudara dan sahabat-handai, sama ada yang dekat mahupun jauh untuk turut sama menyerikan lagi majlis yang diadakan.
Anas bin Malik dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW telah melaksanakan majlis kenduri kahwin dengan seekor kambing untuk isteri-isterinya dan juga untuk Zainab.
Jelas daripada mafhum hadis tersebut bahawa hukum mengadakan walimah atau kenduri perkahwinan adalah diharuskan oleh agama sebagai mengumumkan suatu ikatan pernikahan, tetapi hendaklah mengikut batas-batas yang telah ditetapkan oleh syariat Islam.
Menurut pandangan Syed Sabaq dalam salah sebuah kitabnya, beliau menerangkan bahawa walimah atau kenduri kahwin dapat dilaksanakan ketika berlangsungnya akan nikah atau sesudahnya. Ia juga boleh dilangsungkan pada hari perkahwinan (mencampuri isterinya) atau sesudahnya.
Sebuah lagi hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah mengundang para sahabat baginda untuk menghadiri majlis walimah baginda sesudah baginda mencampuri isteri baginda iaitu Zainab r.a.
Pada kisah Abi Usaid juga didapati bahawa walimah yang dilakukan beliau di mana Rasulullah SAW telah menghadirinya, Abu Usaid telah menghidangkan kurma yang telah disimpan pada malam harinya. Kurma itulah yang dihidangkan kepada para tetamu lain yang datang. Ini bermakna, walau jenis makanan apa sekalipun yang ingin dihidangkan oleh pihak keluarga yang mengadakan walimah, itu terpulanglah kepada kemampuan yang dimiliki.
Begitu pun, dalam mengadakan majlis kenduri kahwin ini, janganlah pula ada di kalangan keluarga Islam yang mengadakannya dengan melampau batas syariat.
Antaranya menyerlah sikap ingin menunjuk-nunjuk yang ada ketikanya melampaui dengan mengadakan kenduri besar-besaran, boros berbelanja hingga memberi kesan kepada keadaan kewangan pada kemudian harinya, melakukan pembaziran wang ringgit dan harta benda, membuat pinjaman bank dan berhutang dalam jumlah yang agak besar semata-mata kerana menurut nafsu dan keinginan yang melampau.
Firman Allah SWT dalam surah al-IsraĆ¢€™ yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang boros itulah saudara syaitan. Dan syaitan itu adalah sangat engkar kepada Tuhannya.
Sudah menjadi budaya masyarakat barangkali, daripada golongan yang mewah dan kaya, apabila mengadakan kenduri kahwin, jarang sekali yang mendahulukan orang miskin dan kurang berada sebagai tetamu untuk meraikan majlis tersebut.
Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis baginda yang telah diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud: Sejelik-jelik makanan ialah makanan dari majlis kenduri kahwin yang hanya dijemput orang-orang kaya, orang-orang fakir dan miskin tidak pula diundang untuk makan bersama.

PENDUDUK KAMPUNG PERMATA PONTIAN KERESAHAN

  • Penduduk resah tsunami kecilHakisan yang berlaku menyebabkan kampung semakin dekat dengan laut.
 1 / 1 
PONTIAN - Musim air pasang besar dan tengkujuh yang berlaku sejak Oktober lalu, membuatkan kira-kira 40 keluarga yang tinggal di Kampung Permata di sini tidak lena tidur.

Kampung yang diancam hakisan pantai kesan air pasang dan ombak besar menyebabkan kedudukan kampung semakin dekat dengan laut.

Penduduk, Azizah Mad, 40, berkata, pokok bakau yang menjadi benteng penahan ombak telah pupus akibat hakisan pantai sejak beberapa tahun lalu.

Ia menyebabkan ancaman kepada penduduk kampung yang rata-ratanya terdiri dari golongan kurang berkemampuan seperti pekerja binaan, pekebun, pemandu lori dan sebagainya.

“Setiap kali tibanya bulan Oktober, penduduk di sini akan dihantui kebimbangan air pasang besar yang akan menyebabkan hakisan dan banjir kilat.
“Kami (penduduk) akan mula berjaga pada sebelah malam kerana bimbang akan terjadinya air pasang besar yang akan berlaku tanpa disangka,” katanya.

Menurutnya, kejadian air pasang besar yang melanda itu diumpamakan seperti tsunami kecil oleh penduduk di sini.

Selain menyebabkan banjir kilat, air pasang turut membawa sampah-sarap yang mengotorkan kawasan di dalam dan luar rumah.

“Langkah segera perlu diambil bagi mengelak Kampung Permata 'hilang' akibat hakisan, tembok yang dibina masih belum cukup kuat menahan ombak besar.

“Benteng penahan hakisan perlu segera dibina bagi mengatasi masalah itu dan berharap agar masalah ini diberi perhatian serius Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu bagi Mohammad Ali, cadangan pembinaan benteng perlu segera dilaksanakan bagi memastikan kawasan kampung yang sudah lama bertapak di situ dikekalkan.

Katanya, pelbagai pihak telah membangkitkan cadangan meneruskan projek pembinaan benteng penahan ombak sepanjang kira-kira empat kilometer di Kampung Permata yang terletak di tengah-tengah Taman Sri Aman dan bandar Pontian.

“Penduduk mengharapkan benteng dapat dibina segera, kerana penduduk tidak mempunyai pilihan lain selain terus tinggal di sini kerana ketiadaan tapak tanah dan tidak mampu untuk berpindah,” katanya.