BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, January 6, 2014

STIMBOT JAZZ HOUSE-KG. BARU KL


Jaja (kanan) dan Zulhelmi menunjukkan hidangan stimbot yang boleh dipilih.
MAHU mencuba stimbot? Apa kata ke Jazz House berhampiran Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur dan makan sampai kenyang.
Pelanggan boleh mencuba kelainan dengan memilih lebih 80 hidangan stimbot gaya kampung dengan pilihan kuah asam rebus, sup ayam dan tomyam dengan hanya RM25 saja.
Selain itu hidangan seperti ketam, sotong, pepahat, lala, bebola ikan, pilihan sayur-sayuran serta pelbagai jenis mi juga antara pilihan yang boleh dinikmati.
Bagi yang tidak kenyang dengan stimbot, pelanggan boleh menceduk menu nasi yang ditukar setiap hari dengan pilihan antar12 hingga 15 jenis lauk.
Menurut pemiliknya Huraizah Ahmad Bustimi atau lebih mesra dipanggil Jaja, setiap hari mereka akan menukar menu nasi sama ada nasi putih, nasi lemak, nasi beriani atau nasi minyak.
“Selain itu pelanggan boleh memilih antara empat hingga enam pencuci mulut dengan pilihan air panas dan sejuk," katanya yang menjalankan perniagaan bersama-sama adiknya Zulhelmi.
Jazz House yang dibuka pada 11 Julai 2013 lalu kini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
Menurut Jaja, hampir setiap minggu ada saja majlis yang diadakan di Jazz House sama ada majlis bertunang, hari jadi, korporat atau kursus.
“Setiap hujung minggu, terdapat pihak yang mengadakan kursus jahitan manik di sini," katanya yang mengambil tempahan katering, barbeku dan majlis perkahwinan.
Jaja menambah, sempena menyambut tahun baru 2014, pihaknya sedang merancang menambahkan menu stimbot gril ala kampung.
Restoran berkonsepkan rumah santai ini juga turut menyediakan bilik VIP, bilik keluarga dan bilik solat bagi memudahkan pelanggan.

Wednesday, January 1, 2014

SELAMAT DATANG 2014


SELAMAT datang 2014, selamat berlalu 2013. Banyak suka duka dilalui sepanjang tahun lalu. Hari demi hari, minggu bertemu minggu, bulan berganti bulan, sedar atau tidak, tirai 2013 sudahpun berlabuh empat hari yang lalu.
Apa yang tinggal adalah perkara yang baik sewajarnya kita jadikan pedoman, yang buruk kita bina sempadan. Kita putar kembali hari pertama pada tahun 2013. 1 Januari 2013 jatuh pada hari Selasa. Semangat berkobar kita menanam azam. Kita merancang sebaik mungkin perjalanan sepanjang menjalani kehidupan selama 365 hari pada tahun lalu. Banyak impian dan cita-cita yang hendak dicapai.
Banyak juga harapan dan impian yang kita semai sepanjang mengharungi tahun tersebut. Ada yang berhasrat untuk memiliki kereta besar dan rumah besar. Ada yang ingin mengembalikan bentuk badan yang ramping. Ada yang menyimpan niat untuk ke tanah suci Mekah.

Bermacam-macam azam kita dengar kala menjelang tahun baru pada setiap tahun. Di saat-saat akhir sebelum 2013 berlalu, kita audit dan semak semula perkara yang sudah dilaksanakan dan yang masih belum diselesaikan.
Adakah azam 2013 yang masih belum tercapai adalah azam tahun-tahun sebelum ini?. Sekiranya sudah berjaya dan terlaksana, kita ingatkan diri kita betapa berat dan kuatnya usaha kita untuk mencapai azam tersebut. Jikalau masih belum sempurna dan terlaksana, kita semak di mana yang kurang dan silapnya.
Ada kala azam yang lama masih boleh diteruskan walaupun tahun sudah berubah angka. Ingat, tiada sempadan dalam melakukan perkara yang baik, tambahan pula dalam usaha memajukan diri sendiri.
Segelintir orang menganggap perihal azam tahun baru ini perkara lapuk dan tidak memberi impak. Namun daripada sudut pandangan positif, azam tersebut mampu memberi inspirasi dan kekuatan untuk seseorang melaksanakan sesuatu perkara.
Buat yang kuat berazam, teruskan usaha ini. Tidak menjadi satu kesalahan untuk menyimpan azam. Jangan mudah berputus asa dengan kritikan-kritikan daripada rakan mahupun teman maya. Usaha dan keluar dari kotak. Kita perlu luaskan dan anjak pemikiran kita.
Selamat menanam azam untuk tahun baru 2014 dan selamat memperkasakan azam yang setiap tahun kita impikan menjadi realiti. Semoga tahun 2014 memberi sinar cahaya dan kejayaan yang cemerlang untuk seluruh rakyat Malaysia.

Sunday, December 29, 2013

ISKANDAR MALAYSIA IBARAT MADU DIHURUNG LEBAH

  • Iskandar MalaysiaIskandar Malaysia
 1 / 1 
JOHOR BAHRU - Sektor hartanah di Iskandar Malaysia diibaratkan seperti "madu dihurung oleh lebah-lebah", berikutan kerancakan projek-projek hartanah di wilayah pembangunan khas selatan tanahair itu akhir-akhir ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gadang Holdings Berhad Tan Sri Kok Onn berkata, Iskandar Malaysia kini merupakan kawasan pertumbuhan yang kedua penting dalam negara selepas Kuala Lumpur.

"Pada ketika ini, Johor Baharu dan Iskandar Malaysia diibaratkan seperti 'gula atau madu yang dihurung oleh lebah-lebah', dengan syarikat-syarikat daripada dalam dan luar negara berlumba-lumba memasuki pasaran hartanah di Iskandar Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran projek pembangunan hartanah bersepadu "Capital City" yang memiliki Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM2.2 bilion di sini, baru-baru ini.

Projek hartanah terbaru di Iskandar Malaysia itu, melibatkan pembinaan blok-blok hotel dan kediaman serta pusat membeli-belah adalah hasil usaha sama di antara Kumpulan Gadang, Hatten Group Sdn Bhd serta Sunbuild Development Sdn Bhd.

Menurut Kok Onn lagi, walaupun projek pembangunan minyak dan gas di Pengerang terletak di luar Iskandar Malaysia, tetapi beliau berkeyakinan wilayah pembangunan khas itu akan turut menerima kesan daripadanya.

Dengan Petronas komited melabur RM60 bilion di Projek Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID), Iskandar Malaysia turut akan menerima limpahan daripada pelaburan besar di Pengerang itu, katanya.

Kumpulan Gadang katanya, turut terlibat di dalam projek pembinaan infrastruktur di Pengerang.

Semenjak dilancarkan pada akhir 2006 hingga kini, Iskandar Malaysia yang berkeluasan 2,217 km persegi atau dua kali ganda Singapura telah berjaya menarik kira-kira RM130 bilion pelaburan daripada dalam dan luar negara.

Di antara sektor yang paling banyak menerima pelaburan di Iskandar Malaysia adalah hartanah.

Bagaimanapun Kok Onn berkata, disebabkan kerancakan pembangunan hartanah di Iskandar Malaysia, nilai tanah di kawasan pembangunan khas itu turut melambung dengan tinggi.

Katanya, nilai tanah di beberapa lokasi yang "panas" di Iskandar Malaysia seperti di Danga Bay telah meningkat daripada RM150 kaki persegi tidak lama dahulu kepada kira-kira RM1,000 kaki persegi ketika ini.

Walaupun berhadapan dengan nilai tanah di Iskandar Malaysia yang melambung, ia tidak menghalang syarikat-syarikat hartanah daripada dalam dan luar negara untuk membeli tanah-tanah bagi projek pembangunan hartanah mereka.

Baru-baru ini syarikat hartanah tempatan, Mah Sing Group Bhd telah membeli 540 hektar tanah di Pasir Gudang bernilai RM429 juta bagi projek hartanah terbarunya yang mempunyai nilai kasar sebanyak RM5 billion.

Dua hari lepas, syarikat Tebrau Teguh Bhd dan Tropicana Corp Bhd juga akan bekerjasama bagi membangunkan projek hartanah di Plentong, Johor Bahru yang mempunyai nilai kasar RM3.7 bilion.

Selain syarikat tempatan, syarikat hartanah luar termasuk Country Garden Holdings Ltd turut melabur RM800 juta untuk membeli plot-plot tanah di Danga Bay bagi membangunan projek hartanah bernilai RM18 bilion meliputi 9,000 unit kondominium.

Syarikat hartanah yang berpangkalan di Guangzhou,China, R&F Properties Co Ltd turut melabur RM4.5 bilion untuk membeli enam plot tanah di Johor Bahru untuk pembangunan hartanahnya

BANAFEE VILLAGE-JB


MAKANAN Arab yang membuka selera.
Restoran Banafee Village adalah antara yang terbaik di Malaysia. Dicadangkan jika berkunjung ke Johor eloklah singgah sekejap di restoran ini. Ia terletak di tengah-tengah bandar Johor Bahru di Jalan Dato Abdullah Tahir Avenue berhadapan dengan Hotel New York.
Pelbagai jenis makanan Malaysia, dari Timur Tengah dan makanan selera Asia disajikan di bahagian dalam restoran itu. Selain menghidangkan makanan yang lazat, restoran ini juga adalah tempat yang sesuai untuk anda dan keluarga atau dengan pasangan untuk menjamu selera kerana suasananya yang sunyi dan berkonsep tropikal.
Makanannya bukan sahaja enak malahan harganya juga berpatutan dan lebih daripada itu menikmati juadah dalam suasana yang menarik. Bagaimanapun anda terpaksa menunggu giliran yang panjang untuk mendapatkan makanan yang dipesan, terutama apabila restoran ini dipenuhi pelanggan di sebelah malam.
Dalam satu temu bual, Pengurus Restoran Banafee, Mohd. Juferi Kidam yang berkhidmat sejak tahun 2009 di situ berkata: "Makanan yang paling popular dalam kalangan para pelanggan ialah ayam penyet, ketam bercili, nasi goreng maharaja, "kambing mandy” selain nasi goreng cina dan nasi Arab (kambing).
"Wow yea.. saya sangat suka makan ayam penyet di Restoran Banafee! Rasanya memang sedap. Anda mesti mencubanya. Saya nasihatkan anda mencubanya jika ke Banafee Village. Tetapi jangan salahkan saya jika terpaksa menunggu giliran yang panjang dari 5 hingga 15 minit untuk mendapatkan makanan yang dipesan.”
Jika anda datang awal sekitar pukul 5 hingga 7 petang, anda pasti akan mendapat pesanan dengan cepat dan lebih daripada itu boleh menikmati suasana menarik di sekeliling kerana ketika itu para pelanggan masih belum ramai.
Selalunya restoran Banafee dipenuhi pelanggan di sebelah malam kerana selain menikmati makanan yang enak juga dihiburkan oleh persembahan band muzik.
Anda juga akan menyukai suasana syahdu dan dingin di ruang terbuka di situ. Cara mereka memulihara suasana tropika rumah di situ juga menarik, tetapi pada masa sama bangunan tinggi sedang dalam pembinaan di situ akan menjadikan restoran itu agak terlindung dan kerana itu orang ramai terpaksa mencarinya dan seterusnya sukar mendapat tempat untuk meletak kenderaan.
Sekiranya anda ingin menikmati makanan lazat di tempat terbuka dalam suasana dingin dan selesa, Restoran Banafee Village akan memenuhi citarasa anda itu.

OLD TIMER KOPI-BB BANGI


Kopi dan pisang bakar kelapa coklat.
DI lihat pada namanya, mungkin ramai tidak menyangka bahawa cafe yang terletak di lot tepi di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor ini kepunyaan 100 peratus anak Melayu.
Walaupun nama yang diberi ialah Old Timer Kopi, menurut pemiliknya, Muhamad Faiz Ismail, 28, ia adalah bertepatan dengan konsep kopitiam yang dibawanya.
Telah memulakan operasi sejak awal tahun 2009, Old Timer Kopi sememangnya merupakan sebuah kopitiam yang pastinya menyediakan hidangan yang memenuhi cita rasa anda.
Tidak terhad hanya kepada sajian Melayu, kafe ini menyediakan pelbagai juadah yang boleh dirangkumi sebagai satu Malaysia.
Ini kerana menurut Muhamad Faiz, sajian pelbagai tersebut adalah untuk memenuhi cita rasa serta permintaan daripada para pelanggannya yang rata-rata terdiri daripada kaum Cina.
"Boleh dikatakan di Old Timer Kopi, 80 peratus pelanggan kami adalah daripada kaum Cina, manakala selebihnya Melayu dan India.
"Jadi kami mengambil keputusan untuk menyediakan hidangan atau masakan yang menjurus kepada kaum tersebut, lagi pun orang Melayu juga suka menikmati masakan Cina yang disajikan di sini.
"Begitupun, kami tidak lupa dengan sajian Melayu yang turut mendapat sambutan daripada semua kaum," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di Lot 39-G-1, Jalan Medan PB1A, Medan PB, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.
Dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 1 pagi, Old Timer Kopi menyediakan lebih daripada 60 menu manakala air pula lebih daripada 100 pilihan.
Berbicara lebih lanjut mengenai sajian yang disediakan di situ, Muhamahad Faiz menyatakan pihaknya menyediakan hidangan secara sihat di mana penggunaan bahan-bahan berlemak seperti santan serta minyak seboleh-bolehnya dikurangkan atau tidak digunakan langsung.
Bahan-bahan tersebut sebaliknya akan digantikan dengan penggunaan susu serta mentega.
Ini kerana kata Muhamad Faiz lagi, menu yang disajikan di kedainya banyak menggunakan bahan-bahan tersebut jadi adalah lebih baik dia memikirkan sesuatu ke arah kebaikan.
Apa yang pasti, kesemua hidangan yang disediakan di Old Timer Kopi dihasilkan menerusi dapur utama yang terletak di Kajang dan diselia oleh seorang chef yang berpengalaman serta profesional.
Muhamad Faiz memberitahu, Old Timer Kopi juga mempunyai sebuah lagi cawangan yang terletak Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) dan pengwujudan dapur utama adalah bagi mengawal serta menjaga kualiti serta rasa.
"Cawangan di TTDI baharu sahaja dibuka awal November lalu jadi dalam usaha untuk menjaga kualiti serta memberikan rasa yang sama, kesemua hidangan yang disajikan disediakan di dapur utama.
"Selain itu, kesemua pekerja yang diambil bekerja adalah terlatih," ulasnya lanjut.
Lebih menarik, kebanyakan menu yang ditawarkan adalah resipi ibunya sendiri Latifah Haron, yang telah diolah semula oleh chef profesional untuk memenuhi cita rasa terkini pelanggan.
Antara menu-menu yang menjadi kegemaran ramai ialah mi kari, mi wantan, asam pedas jenahak Old Timer dengan nasi putih, mi rebus Muar Old Timer dengan rusuk kambing dan banyak lagi.
Selain itu, antara menu tradisional Melayu yang diketengahkan ialah lempeng kari, pisang bakar keju coklat, pisang bakar kelapa coklat, dan pisang bakar dengan ais krim.
Tidak ketinggalan hidangan sate yang turut disajikan pada sebelah malam di cawangan Bangi.

Saturday, December 28, 2013

RESTORAN MASTER YEN TEPPANYAKI & GRILL-IPOH, PERAK


SEMUA tukang masak Master Yen Teppanyaki and Grill perlu mengikuti kursus selama sebulan
 bagi memahirkan mereka dengan teknik memasak teppanyaki.
KEUNIKAN serta keenakan sajian dari negara matahari terbit, Jepun sering mendapat perhatian tidak kira di mana sahaja.
Kriteria hidangannya yang bukan sahaja mudah dimasak, malah boleh dimakan mentah atau dicicah dengan sos sahaja membuatkan sesiapa sahaja teringin untuk menikmatinya.
Keistimewaannya itu menjadikan ia mudah diterima pelanggan yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.
Bagi penggemar hidangan Jepun, mereka kini tidak lagi perlu pergi jauh kerana restoran Master Yen Teppanyaki and Grill yang baru dibuka di Ipoh, Perak pada awal bulan ini menyediakan pelbagai hidangan enak yang pasti membuka selera.
Menurut pemiliknya, Shahrin Nizam Hussin Shah, 37, teppanyaki adalah salah satu jenis makanan Jepun yang menggunakan periuk leper yang diperbuat daripada besi (teppan) manakala 'yaki' pula bermaksud goreng.
Jelasnya, antara bahan ramuan yang biasa digunakan dalam masakan ini adalah daging, udang, ayam, udang karang dan pelbagai jenis sayuran yang biasanya dimasak menggunakan minyak kacang soya.
Tambah beliau, jika mengikut resipi asli Jepun, mereka turut menggunakan minyak sayuran, minyak daripada lemak haiwan dan mirin iaitu sejenis arak sebagai antara bahan untuk menyedapkan teppanyaki.
''Kebanyakan restoran Jepun di sini masih menggunakan mirin dalam masakan mereka, namun restoran kami tidak menggunakannya dan diganti dengan mentega. Insya-Allah, teppanyaki di sini halal dan rasanya juga masih sama seperti yang menggunakan mirin.
''Begitu juga harga yang kami tawarkan sangat berpatutan dan lebih rendah berbanding harga di restoran teppanyaki yang lain. Harga makanan di sini bermula daripada RM4.50 hingga RM16 sahaja," katanya ketika ditemui di restorannya yang terletak berhadapan Hotel Kinta River Front, Ipoh, Perak baru-baru ini.
Menurut Shahrin Nizam, Master Yen Teppanyaki and Grill yang dibuka pada pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam itu menawarkan lima jenis teppanyaki iaitu udang, ikan, daging, ayam dan salmon.
Katanya, setiap set turut disertakan nasi dan lobak masin bercampur bawang putih yang dimasak dengan air gula.
"Pengunjung juga boleh memesan sembilan lagi hidangan tambahan termasuk sukiyaki iaitu sejenis sup Jepun yang mengandungi pelbagai jenis sayuran dan cendawan.
"Selain sukiyaki, pengunjung juga boleh memesan salmon sashimi, lamb chop, beef steak, chicken chop, california roll, salmon temaki dan sate sotong sebagai pembuka selera, selain teh hijau," katanya.
Restoran ini boleh memuatkan 24 pengunjung dalam satu-satu masa dan pengunjung boleh mendapat makanan yang dipesan dalam masa 10 minit.
''Berbeza dengan makanan kita, teppanyaki dimasak di hadapan pelanggan dan makanan dihidangkan terus sebaik sahaja dimasak. Jadi, makanan itu masih segar dan dimakan ketika masih panas," katanya yang berhasrat membuka cawangan Master Yen Teppanyaki and Grill di Pulau Pinang.
Shahrin Nizam memberitahu, kesemua pekerjanya juga mahir memasak teppanyaki dan mereka juga telah dihantar berkursus selama sebulan untuk memahami dengan lebih mendalam bidang masakan berkenaan.
''Semua bahan asas teppanyaki telah diperap terlebih dahulu dengan herba rahsia kami selama sehari dan hanya perlu dicampur mentega, serbuk lada putih dan garam sahaja semasa dimasak.
''Bermula 18 November lalu, kami juga telah membuka pesanan untuk makan tengah hari yang mana pelanggan boleh membuat pesanan masing-masing antara pukul 10 pagi hingga 11.30 pagi sebelum mengambilnya pada waktu yang dikehendaki," katanya.
Untuk keterangan lanjut atau menempah makanan di Master Yen Teppanyaki and Grill, bolehlah hubungi Shahrin Nizam di talian 012-5595656 atau 012-4411250 atau datang terus di restoran berkenaan yang terletak di hadapan Hotel Kinta River Front.

BAHAYA MINYAK MASAK

MENURUT Pakar Pemakanan dari DEMC Hospital Shah Alam, Siti Nurhayati Ali, penggunaan minyak masak dalam menyediakan hidangan bagi tumisan mahupun gorengan perlu dihadkan dalam masakan seharian apatah lagi sekiranya minyak yang digunakan itu telah dipakai berulang kali.
Katanya, semasa menggoreng, minyak masak melepaskan sisa toksik dipanggil aldehydes yang mencemar udara dan boleh masuk ke dalam sistem pernafasan manusia.
Sisa toksik ini juga tertinggal di dalam minyak ketika menggoreng. Oleh itu, semakin kerap minyak masak digunakan berulang kali, semakin banyak sisa toksik yang terkumpul.
Makanan yang digoreng menggunakan minyak yang diguna semula akan menyerap sisa toksik aldehydes tersebut.
"Apabila seseorang makan makanan itu, ia mengundang masalah-masalah kesihatan yang serius seperti penyakit atherosclerosis (salur darah tersumbat akibat menjadi keras dan tebal), penyakit hati, penyakit jantung, penyakit alzheimer, parkinson dan barah.
"Oleh kerana itu, sebaik-baiknya minyak masak digunapakai maksimum sehingga dua atau tiga kali sahaja.
"Itupun bergantung kepada perubahan struktur atau kelikatan warna minyak berkenaan," kata Siti Nurhayati.
Beliau menambah, sekiranya minyak berkenaan telah bertukar warna dan kelikatannya, kelihatan kehitaman atau perang kehitaman, minyak berkenaan sebenarnya tidak boleh digunakan lagi dan perlu dibuang.
Siti Nurhayati juga menjelaskan minyak sisa menggoreng haiwan yang berdarah seperti ayam, ikan atau daging seelok-eloknya tidak diguna semula dan terus dibuang.
Ini kerana darah haiwan yang bercampur ke dalam minyak berkenaan akan meningkatkan kandungan karbon dan mengubah struktur asid lemaknya yang berbahaya kepada kesihatan.
"Hal ini berbeza bagi minyak hasil daripada gorengan sayur, ikan bilis, tempe, tauhu, kuih-muih dan sebagainya.
"Minyak masak berkenaan masih boleh dipakai untuk kali kedua dan ketiga asalkan tidak bertukar warna serta segala sisa gorengan didalamnya ditapis dan dibuang," katanya.
Siti Nurhayati mengakui, disebabkan mahu mengurangkan kos, kebanyakan peniaga akan menggunakan minyak masak berulangkali.
Sekiranya peniaga perlu juga menggoreng dalam minyak yang sama, gorengan berkenaan perlu dilakukan dengan cepat dan tidak perlu direndam (di dalam minyak) terlalu lama.
"Sebagai pengguna, kita perlu lebih peka dengan makanan yang dibeli dan perlu bersikap memilih terhadap gerai atau kedai makanan. Jika berkesempatan lihat dahulu sama ada minyak yang digunakan adakah telah bertukar kehitaman.
"Ini kerana minyak yang digunakan berulangkali akan bertukar menjadi gelap akibat pembentukan karbon. Minyak ini berbahaya kerana mengandungi bahan toksik HNE atau 4-hydroxy-trans-2 nonel yang tinggi," katanya.
Siti Nurhayati menambah, bukan hanya minyak yang hangus sahaja membahayakan malah makanan yang hangus seperti contoh sate, roti bakar, charkueytiau atau apa sahaja makanan yang bewarna hitam akibat sisa hangus adalah tidak elok kerana mengandungi HNE.
Pengambilan makanan hangus untuk jangka masa panjang boleh mengundang penyakit keradangan dan kanser di dalam badan.
Siti Nurhayati menerangkan, pada asasnya minyak masak terdiri daripada lemak tepu dan lemak tidak tepu. Lemak tidak tepu pula terdiri daripada dua bahagian iaitu lemak mono tidak tepu dan lemak poli tidak tepu.
Minyak kelapa sawit merupakan lemak tepu namun kebaikkannya adalah stabil digunakan untuk masakan yang memerlukan suhu yang tinggi atau masakan minyak penuh (deep fried) seperti menggoreng ayam dan daging.
"Minyak zaitun sebagai contoh adalah minyak mono tidak tepu. Minyak ini baik kerana ia mudah terurai dan akan meningkatkan kolesterol baik dalam badan.
"Contoh-contoh minyak mono lain adalah minyak kacang, minyak badam, minyak avokado dan minyak bunga matahari. Minyak-minyak ini juga mempunyai omega 3 dan 6 yang diperlukan oleh badan.
"Walaubagaimanapun, minyak tidak tepu ini tidak sesuai digunakan untuk masakan yang memerlukan jangka masa yang lama atau terdedah kepada suhu yang terlalu tinggi kerana minyak ini akan cepat hangus," katanya.
Siti Nurhayati menyarankan agar setiap isi rumah mempunyai dua jenis minyak masak iaitu minyak kelapa sawit dan minyak berasaskan lemak poli tidak tepu atau mono tidak tepu.
Gunakan minyak kelapa sawit untuk menggoreng atau deep fry manakala gunakan minyak berasaskan lemak poli tidak tepu atau mono tidak tepu seperti minyak zaitun untuk menumis atau dijadikan sos salad (salad dressing).
Namun apa pun makanan bergoreng perlu dihadkan kepada tiga kali seminggu manakala bagi hari-hari lain pilihlah cara masakan yang lebih sihat seperti sup, kukus, panggang dan gril. Apabila minyak digunakan terlalu banyak ia juga sebenarnya penyumbang kepada masalah kegemukan badan dan kolesterol yang tinggi. 
1 gram (gm) minyak = 9 kalori
berbanding 1 gm karbohidrat = 5 kalori
1 sudu makan minyak = 15 gram sebab itu 1 sudu makan minyak = 15 gram x 9 kalori = 135 kalori
Cuba bayangkan sekiranya minyak yang digunakan dalam jumlah yang banyak.
Agaknya berapa ratus atau ribu kalori yang kita serap setiap kali makan makanan yang bergoreng?