BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, February 28, 2014

TRELER ANCAM KESELAMATAN

  • Treler ancam keselamatan
  • Kamal (kanan) menunjukkan kabel elektrik yang pernah tersangkut pada muatan treler di Mukim Rimba Terjun.
 1 / 1 
PONTIAN - Keselamatan kira-kira 500 penduduk di beberapa kampung sekitar Mukim Rimba Terjun terjejas berikutan treler yang menggunakan jalan di sini, tidak dipantau.

Penduduk mendakwa, treler terbabit membawa muatan bagi projek pembangunan di daerah ini.

Kamal Suboh berkata, saiz treler yang besar dan tinggi itu sepatutnya mempunyai kenderaan pengiring ketika melalui jalan di kampung.

“Apa yang dikesalkan, treler yang menggunakan laluan di sini tidak mementingkan keselamatan penduduk. Jika dahulu pasti ada kenderaan pengiring, namun keadaan itu berubah sejak setahun lalu," katanya.

Menurutnya, pada 10 Februari lalu, treler yang membawa muatan besar dan tinggi tersangkut pada wayar elektrik hingga nyaris menyebabkan dua rumah penduduk terbakar.

"Wayar elektrik yang tersangkut itu menyebabkan tiang elektrik jatuh menghempap ruang dapur sebuah rumah penduduk. Bagaimanapun, pemandu treler terbabit gagal dikesan kerana tidak memberhentikan kenderaan.

“Kami tidak menghalang pembangunan, tetapi diharap mereka memikirkan langkah keselamatan. Jika mahu menggunakan jalan di kampung ini, penduduk mencadangkan waktu perjalanan diubah ke malam kerana jalan lengang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Rimba Terjun, Daud Sanusi berkata, pihaknya turut menerima aduan penduduk bahawa treler yang menggunakan laluan kampung itu dipandu laju.

Menurutnya, keadaan itu mengancam keselamatan pelajar sekolah memandangkan terdapat sebuah sekolah rendah dan sekolah agama berhampiran jalan berkenaan.

“Pemantauan perlu dilakukan ke atas treler yang menggunakan laluan utama di sini. Kami harap pemandu treler tidak memandu laju dan mengambil kira aspek keselamatan,” katanya.

Sunday, February 23, 2014

ELSTEES CAFE- SUBANG JAYA

Razzi Iqram menunjukkan menu yang ada di kafenya.

MELANGKAH masuk ke Elstees Cafe yang terletak di Subang Jaya, Selangor rasa terpegun dengan hiasan dalamannya yang mendamaikan.
Pemilihan, gabungan dan susunan perabut yang sempurna memberikan ketenangan kepada pengunjung.
Aroma menu hidangan Barat dan Itali yang dihidangkan sungguh menggamit selera dengan pelbagai pilihan antaranya lamb stew dan roti, chicken marryland, ceasar salad, set burger, continental sandwich dan spaghetti seafood.
Dimiliki oleh anak muda berwawasan, Razzi Iqram, 25, yang membuka kafe selepas mengumpul modal hasil perniagaan mereka bentuk kemeja T dan aksesori lelaki secara atas talian selain kedai pakaiannya di Ipoh, Perak.
"Saya mendapat sokongan dan galakan penuh keluarga untuk membuka perniagaan walaupun emak dan ayah bukan dari dunia perniagaan.
"Tetapi abang saya yang membuka restoran makanan Barat di Shah Alam banyak membantu saya dalam pemilihan menu," kata graduan bidang grafik KLMU ini.
Menu restoran yang mendapat sentuhan dua chef berpengalaman, Razdee dan Izul menawarkan hidangan yang mampu dibeli bermula dengan RM3.50 hingga RM45.90.
"Cetusan idea bermula sejak di kolej kerana saya gemar makanan Barat tetapi harganya agak mahal," katanya yang mensasarkan pelajar sekitar Subang Jaya sebagai pelanggannya.
Walaupun Elstees Cafe baru beroperasi kira-kira dua bulan, ia mendapatkan sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung.
Anak muda yang berasal dari Ipoh ini berkata, mereka juga sedia menerima tempahan bagi majlis persendirian seperti hari jadi, makan malam atau majlis syarikat.

PLASTIK BOLEH DIMAKAN

Dr. Azwan Mat Lazim dan ahli kumpulan penyelidiknya menunjukkan plastik yang boleh 
dimakan serta anugerah yang diraih.

BIASANYA produk plastik, terutama beg plastik beli-belah tidak mesra alam dan memerlukan masa beratus-ratus tahun untuk mereput.
Tetapi kini terdapat beberapa pasar raya yang menggunakan beg plastik mesra alam yang cepat reput.
Terkini sekumpulan penyelidik Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjalankan kajian menghasilkan plastik yang boleh dimakan.
Ketua Penyelidiknya Dr. Azwan Mat Lazim berkata, idea bermula apabila melihat amat banyak bahan buangan dan tanaman eksotik yang kaya dengan kanji dan karbohidrat terbiar di kampung.
"Misalnya biji durian, ubi keling, ubi kemili, ubi kayu dan jagung banyak terbuang begitu sahaja," katanya semasa ditemui di UKM.
Apa yang lebih menarik jelas Dr. Azwan, sebahagian daripada tanaman berkenaan mempunyai ciri-ciri antibakteria yang sesuai untuk membungkus makanan selain mengekalkan kesegarannya.
Selain plastik yang dihasilkan boleh dimakan, ia boleh dimasukkan bahan-bahan lain seperti ekstrak cili atau bawang putih.
"Banyak yang boleh dilakukan untuk menghasilkan pembungkusan pintar. Mungkin satu hari nanti kita boleh masukkan indikator dalam bungkusan ikan bagi menentukan kesegarannya.

Penunjuk

"Ini kerana ikan yang tidak segar atau rosak akan mengeluarkan kumpulan amin yang mudah dikesan dengan menggunakan penunjuk yang boleh mengesan kumpulan amin yang dikeluarkan oleh ikan," katanya.
Perkara ini jelas Dr. Azwan akan memudahkan penjual dan pengguna yang tidak mempunyai pengalaman membeli barangan basah mendapatkan ikan yang lebih segar.
Bercerita tentang kaedah penghasilan plastik boleh dimakan, Dr. Azwan berkata terdapat hanya tiga peringkat pembuatan.
"Ia bermula dengan penghasilan filem, menambah bahan mentah seperti ubi kemili, ubi keling, ubi kayu atau biji durian serta pengikat silang dan penghasilan sampel," katanya.
Dr. Azwan berkata, tekstur biji durian boleh dikatakan sama dengan kanji daripada jagung dan sesuai menghasilkan plastik yang boleh dimakan.
"Sebagai pengguna, kita tidak akan merasa ragu dengan makanan yang dibalut dengan plastik yang boleh dimakan walaupun terdapat cebisan plastik pada makanan itu," katanya.

RESTORAN KENGSOM- KOTA BHARU

NATTAKARN (lima dari kiri) menunjukkan tanda bagus bersama para pekerjanya di Kota Bharu, Kelantan.

KEENAKAN sajian Thai mampu menambat selera segenap lapisan masyarakat di negara ini terutama tom yam.
Hidangan pedas dan masam itu menyebabkan ramai yang kecur air liur apabila mengingati kelazatan makanan tersebut.
Namun, mungkin ramai tidak mengetahui mengenai masakan kengsom yang lebih popular di Thailand berbanding dengan hidangan tom yam.
Jika diterokai makanan dari negara Gajah Putih itu, masih terdapat pelbagai pilihan menu yang perlu dicuba yang mana mampu membuka selera sesiapa sahaja.
Apabila berkunjung ke Kota Bharu, Kelantan terutama bagi penggemar makanan Thai, jangan lepaskan peluang untuk singgah makan di Restoran Kengsom yang menawarkan lebih daripada 200 pilihan menu kepada pengunjung.
Menurut pemilik restoran tersebut, Nattakarn Mangkong, 39, kebanyakan menu yang ditawarkan disediakan mengikut resipi asli yang direka oleh suaminya yang juga ketua tukang masak di situ.
Disebabkan itu, kata beliau, kebanyakan hidangan yang disajikan di restoran tersebut tidak dapat dinikmati di tempat lain walaupun menggunakan nama resipi yang sama.
NATTAKARN menunjukkan kengsom yang disajikan di restorannya.

"Walaupun terdapat kira-kira 200 pilihan menu, sudah tentu hidangan kengsom menjadi tarikan utama di restoran ini.
"Mempunyai kombinasi rasa seimbang antara pedas dan masam membuatkan asam pedas asli Thai ini unik, lazat serta digemari, selain faktor kesegaran ikan siakap yang digunakan," katanya kepada S2.
Menurut Nattakarn, antara menu lain yang menjadi pilihan pelanggan di restoran tersebut adalah tom yam, sotong kicap cair, udang bangnara, ayam pangpon dan ketam lembut telur masin.
Sempena perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, Restoran Kengsom menawarkan menu istimewa ‘golden prawn’ yang menggunakan inti udang serta isi ayam dan ketam yang dikisar.
Tambah Nattakarn, keenakan cita rasa masakan Thai yang sebenar dapat dinikmati kerana restoran tersebut menggunakan khidmat tukang masak yang diimport khas dari Thailand.
"Tukang masak dari Thailand dipilih bagi mengekalkan rasa asli masakan tradisi negara tersebut, selain memastikan pelanggan yang datang berpuas hati dengan hidangan yang disediakan," katanya.
Beroperasi setiap hari mulai pukul 12 tengah hari hingga 2.30 petang dan disambung semula pada pukul 6 petang hingga 10.30 malam, Restoran Kengsom sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelanggan dengan hidangan enak serta layanan mesra, seolah-olah berada di premis lima bintang.

Wednesday, February 19, 2014

RESTORAN D'BAKUL-SUBANG JAYA


KEPELBAGAIAN hidangan disediakan untuk pengunjung Restoran D'Bakul, 
Subang Jaya pada harga yang berpatutan.


SAAT melangkah masuk ke restoran D'Bakul di Subang Jaya, Selangor seperti berada di sebuah galeri seni yang penuh dengan hiasan dari kepulauan Indonesia.
Hiasan kain batik jawa, patung wayang kulit, lampu antik dan perabut kayu mewah pasti menjanjikan pengalaman seperti berada di negara seberang terutama kepada pelanggan yang pertama kali berkunjung ke restoran tersebut.
Restoran yang dibuka pada bulan Februari tahun lalu itu menyajikan pelbagai pilihan hidangan asli dari negara yang kaya dengan kepelbagaian jenis masakan itu.
Menurut seorang pelanggan yang mahu dikenali sebagai Eliza Ahmad, 26, yang menetap di Puchong, Selangor berkata, restoran berkenaan merupakan lokasi wajib yang akan dikunjunginya hampir setiap minggu.
"Saya gemar datang ke sini kerana hidangannya yang sedap dan asli ditawarkan pada harga sangat berpatutan. Antara menu yang menjadi pilihan saya sekiranya berkunjung ke sini ialah ikan talapia saus manja, gulai ayam, ayam panggang dan sup buntut," katanya ketika ditemui Kosmo! di restoran tersebut baru-baru ini.

RESTORAN D'Bakul dihias dengan hiasan bercirikan Indonesia.
Ujar ahli perniagaan itu, dia sering membawa rakan-rakan perniagaan berkunjung ke restoran itu untuk melakukan urusan perniagaan sambil menjamu selera kerana suasana di restoran tersebut yang eksklusif, bersih dan selesa.


Majlis keraian
Selain itu, dia turut memaklumkan bahawa restoran itu juga sesuai dijadikan lokasi untuk melakukan majlis keraian kerana harga setiap hidangan yang ditawarkan adalah sangat berpatutan dan berbaloi.
Menurut pengurus restoran D'Bakul, Dicky, kepuasan pelanggan merupakan keutamaan perniagaannya.
"Sehubungan itu, kualiti makanan amat dititik beratkan kerana kami percaya sokongan pelanggan merupakan tunjang perniagaan ini," katanya yang merupakan warganegara Indonesia.
Menurutnya, restoran D'Bakul menyediakan pelbagai hidangan masakan dari seluruh pelosok Indonesia seperti dari Jawa, Padang dan Bandung.
Antara menu yang sering menjadi pilihan pelanggan di restorannya ialah Nasi Goreng D'Bakul, Udang Sambal Petai, Nasi Ayam Penyet, Sup Buntut, Nasi Bakar dan Paket Gulai Ayam.
Dalam pada itu, dia turut memaklumkan menu-menu tersebut boleh didapati pada harga serendah RM7 sahaja.

MENU udang sambal petai ini pasti menyuntik selera sesiapa sahaja.

"Saya percaya antara sebab utama mereka ke restoran ini bukan sahaja disebabkan rasa dan kepelbagaian hidangan tetapi harga yang berpatutan," katanya sambil memaklumkan gerainya boleh menempatkan kira-kira 130 orang pelanggan pada satu-satu masa.
Dalam pada itu, dia turut memberitahu bahawa setiap peringkat penyediaan makanan dan minuman diambil berat. Ini termasuklah dari aspek keenakan setiap hidangan, penggunaan ramuan halal dan penjagaan kebersihan dapur dan persekitaran restoran.
"Sebagai langkah untuk terus memperbaiki dan mengekalkan mutu perkhidmatan, saya sentiasa memesan kepada kesemua 17 orang pekerja kami agar sentiasa melayan pelanggan penuh rasa hormat," katanya bahawa restoran tersebut dalam proses mendapat sijil halal.
Menurut Dicky, pelanggan di Restoran D'Bakul terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat antaranya termasuklah penduduk sekitar Subang Jaya dan warga Indonesia yang menetap di negara ini.
Di samping itu, dia turut memaklumkan bahawa restorannya juga sedia menerima tempahan secara bufet untuk pelanggan yang ingin mengadakan majlis keramaian.
Ujarnya, harga yang ditawarkan untuk setiap hidangan bufet adalah sangat berpatutan iaitu serendah RM45 sehingga RM120 seorang termasuk air kosong, teh panas dan buah-buahan.

MENCARI KEBERKATAN REZEKI

PERKARA penting dalam mencari rezeki bukannya berapa banyak yang kita peroleh tetapi sebaliknya, ada atau tidak keberkatan di dalam rezeki itu.
Rezeki melimpah-ruah tidak sama konsepnya dengan rezeki yang halal dan berkat. Ada orang mempunyai rezeki yang banyak tetapi sayangnya di dalamnya tidak terdapat unsur keberkatan.
Di dalam Islam, keberkatan rezeki yang diinginkan adalah bermaksud rezeki yang bertambah dan mengandungi kebaikan di dalamnya. Rasulullah SAW telah menggariskan beberapa cara agar rezeki menjadi lancar, berkat dan halal. Antaranya;

1 Menjauhi pekerjaan haram dan subahat

Setiap orang hendaklah taat kepada Allah SWT dan tidak melakukan dosa kerana dosa akan menutup pintu rezeki. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." (riwayat at-Tirmizi).
Selain itu, dekatkanlah diri kepada Allah dengan ibadah tambahan seperti solat Dhuha dan solat Tahajud.

2 Bekerja sungguh-sungguh

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT senang melihat hamba-Nya bersusah payah (kelelahan) dalam mencari rezeki yang halal." (riwayat Adailami)

3 Mengadu masalah rezeki hanya kepada-Nya

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa tertimpa kemiskinan, kemudian ia mengadukannya kepada sesama manusia, maka tidak akan tertutup kemiskinannya itu. Namun, siapa sahaja yang mengadukannya kepada Allah, maka Allah akan memberinya rezeki, baik segera ataupun lambat." (riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

4 Memperbanyakkan beristighfar 

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa memperbanyak istighfar, Maka Allah SWT akan menjadikan setiap kesulitan kelapangan dan setiap kesempitan jalan keluar dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak pernah disangka-sangkanya." (riwayat Imam Ahmad)

5 Sabar dan banyak membaca la hawla wa laa quwwata illa billah.

Diriwayatkan bahawa Salim, anak laki-laki ‘Auf bin Malik al-Asyja’iy telah ditawan oleh orang musyrik. Kemudian, ‘Auf datang mengadu kesedihannya kepada Rasulullah.
Baginda SAW berkata: “Bertakwalah kepada Allah, bersabarlah dan aku anjurkan agar kamu dan isterimu memperbanyak bacaan, La hawlah wa laa quwwata illa billah. ‘Auf kembali ke rumahnya dan menyatakan suruhan Rasulullah SAW itu. Keduanya, segera melaksanakan perintah Rasulullah SAW. Akhirnya, anaknya berhasil meloloskan diri daripada musuh dan membawa ternakan kambingnya sebanyak 4,000 ekor di hadapan ayahnya. (Tafsir Qurthubi, surah al-Thalaq: 3)

6 Tawakal sepenuhnya kepada Allah SWT

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, nescaya Allah akan memberikan rezeki kepada kamu, sebagaimana Allah telah memberi rezeki kepada burung yang berangkat di pagi hari dengan perut kosong dan kembali ke sarangnya dengan perut kenyang. (riwayat Bukhari)

7 Bersedekah dan nafkahkan harta kepada yang berhak.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Ada tiga hal yang aku bersumpah kepadanya dan aku akan menyampaikan suatu berita kepadamu, maka perhatikan benar-benar: Tidak akan berkurang harta seseorang kerana sedekah dan tiadalah seseorang membuka pintu meminta-minta melainkan Allah akan membukakan kepadanya pintu kemiskinan." (riwayat al-Tirmizi)

8 Tolong agama Allah dengan menegakkan syariat Islam

Firman Allah SWT bermaksud: Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. (Muhammad: 7)
Syariat Islam akan tegak dengan adanya daulah Islam. Islam sebagai jalan kehidupan tidak tegak dalam masyarakat saat ini dengan tidak sebagai wadah. Sistem perekonomian di mana umat mencari rezeki pada saat ini merupakan sistem perekonomian yang tidak mendukung mereka untuk mendapatkan rezeki yang banyak, lancar dan berkat.
Sebenarnya Allah tidak memerlukan pertolongan kerana Allah Maha Kaya. Tetapi itulah cara bagi kita untuk menolong diri kita sendiri. Marilah kita menolong agama Allah, agar rezeki kita banyak, lancar, halal dan berkat.

PERINGATAN TENTANG HUTANG

Berhutang adalah harus dalam Islam. Untuk jaminan hutang, kaedah penjamin diperlukan sebagai pengukuhan kepada hutang. Malangnya, peminjam mendapat wang pinjaman hutang tersebut kemudian tidak membayarnya. Akhirnya penjamin diheret ke muka pengadilan dan diisytiharkan muflis.
Tindakan insan yang berhutang namun tidak membayar hutangnya merupakan tindakan yang zalim dan berdosa. Zalim kerana disebut dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tindakan orang kaya yang melewatkan bayaran hutang adalah satu kezaliman".
Jika tindakan melewatkan bayaran pun sudah dikira sebagai zalim, maka tindakan melarikan diri daripada pembayaran hutang adalah lebih jelas kezalimannya.
Selain itu, tindakan peminjam juga bertentangan dengan perjanjian yang dibuat. Perjanjian yang biasa dibuat bahawa peminjam akan membayar hutangnya sendiri. Penjamin pula sebagai pemudah cara sahaja agar pinjaman hutangnya diluluskan. Maka tindakan tidak mahu membayar hutang merupakan tindakan mungkir janji. Mungkir janji pula adalah antara sifat golongan munafik sebagaimana dalam hadis Nabi SAW.
Bagi orang yang berhutang, ingatlah peringatan Nabi SAW bahawa hutang tersebut akan dituntut di akhirat nanti. Oleh kerana wang sudah tidak berguna lagi di akhirat, maka kebaikan orang yang berhutang akan diambil bagi tujuan melunaskan hutangnya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang mati dan ke atasnya satu dinar atau satu dirham (jenis wang) maka dilunaskan hutang itu daripada kebaikannya. Tiada ada di sana dinar dan juga dirham." (Ibnu Majah)
Sistem yang lebih baik perlu diperbaiki agar penjamin tidak dikenakan hukuman yang tidak dilakukan. Penjamin mungkin saudara mara yang tidak mampu menolak permintaan peminjam agar menjadi penjamin. Justeru, Islam membuka ruang kepada tindakan undang-undang terhadap peminjam yang enggan membayar hutangnya.
Tindakan meliputi pelbagai cara yang difikirkan wajar seperti potongan gaji, denda, bahkan memaksanya membayar hutang dengan mengambil sebahagian aset harta si peminjam.