BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, November 12, 2015

WALNUT TINGKATKAN KESUBURAN LELAKI


KANDUNGAN zink yang tinggi dalam walnut memperbaiki fungsi prostat sekali gus meningkatkan
 kualiti sperma pada golongan lelaki.


UMUM mengetahui kebaikan kacang walnut terhadap kesihatan tubuh, namun kajian terbaharu mendapati kacang ini juga bermanfaat untuk meningkatkan ghairah ketika hubungan intim, lebih baik daripada mana-mana ubat perangsang seks.
Menurut portal berita kesihatan Boldsky, walnut bukan sahaja tinggi antioksida, malah kaya dengan vitamin B1 dan B2 selain mengandungi pelbagai elemen penting yang diperlukan kelenjar seks untuk berfungsi pada tahap optimum.
Selain itu, walnut juga memiliki kandungan zink yang tinggi bagi membantu memperbaiki fungsi prostat sekali gus meningkatkan kualiti sperma pada golongan lelaki.
“Walnut kaya protein, serat dan asid lemak. Ia juga mengandungi vitamin A, C, D, E, K dan B-kompleks. Meskipun rasanya sedikit pahit, kacang ini sesuai dijadikan snek yang menyihatkan bagi pasangan yang menginginkan kehidupan ranjang yang lebih baik,” kata portal tersebut.

Sunday, November 8, 2015

RESTORAN BUMBU DESA- KUCHING SARAWAK

TERINGIN menikmati keenakan masakan Sundar asli, anda tidak perlu terbang jauh ke Indonesia tetapi boleh berkunjung ke Restoran Bumbu Desa di pusat dagangan I-com Square, Jalan Pending di Kuching, Sarawak.
Bukan hanya masakan, malah restoran ini turut menampilkan suasana seolah-olah anda berada di restoran Sundar di negara jiran itu apabila kehadiran disambut dengan senyuman penyambut tetamu diiringi bau wangian nasi liwet serta alunan muzik tradisional orang Sundar.
Hiasan dalaman restoran ini melambangkan keunikan kehidupan orang sundar yang tidak lari dengan buluh yang berwarna kecoklatan.
Antara keunikan Restoran Bumbu Desa ialah ia menyediakan empat jenis sambal istimewa yang mempunyai tahap kepedasan tertentu.
Sambal Bomba (mengandungi epal) menduduki hieraki tertinggi tahap kepedasan, diikuti sambal Terasi (mengandungi belacan), cabe ijo (mengandungi cili hijau) dan sambal tomat (sambal tomato).
Sambal-sambal ini akan dihidangkan kepada pelanggan bersama dengan ulam-ulaman tanpa had dan mereka boleh menambahnya jika mahu.
Selain itu, hidangan disediakan bagi satu juadah juga dalam kuantiti yang banyak iaitu boleh dinikmati oleh dua hingga tiga orang.
Saiz juadah yang besar ini membolehkan pelanggan lebih daripada dua orang mendapatkan harga makanan dengan lebih murah berbanding jika makan di restoran makanan laut.
Kira-kira 20 juadah terdiri daripada pelbagai jenis lauk-pauk masakan Sundar disediakan untuk pilihan pelanggan dan mereka boleh cuba merasainya dahulu sebelum mengambil hidangan.
Pelanggan hanya perlu memilih hidangan dan memberitahu nombor meja untuk makanan dihidangkan kemudian.
Tidak sampai beberapa minit, juadah mereka akan dihidangkan di atas meja. Juadah bagi 10 orang hanya mengambil masa kira-kira 10 minit sahaja untuk disediakan termasuk juadah ‘ala carte’.
Antara juadah paling mendapat sambutan di restoran ini ialah ayam bakar kicap, ikan terbang, cumi bakar, kulit ayam, iga bakar (tulung rusuk lembu), daging dendeng dan sup buntut (sup ekor asli sundar).
Menurut pemilik restoran, Abang Adib Izzaniq Abang Iskandar, 23, sambutan yang diterima begitu menggalakkan daripada orang ramai terdiri pelbagai kaum meskipun restorannya baru beroperasi pada 12 Jun lalu.
“Konsep restoran ini ialah masakan Sundar asli yang mengekalkan keasliannya dari semua sudut bermula daripada layanan sehinggalah masakan.
“Kami juga mementingkan layanan bagi memastikan para pelanggan yang datang mendapat layanan baik dan cepat. Ketika ini, kita mempunyai 30 kakitangan bagi menjalankan operasi restoran,” katanya kepada wartawan S2 baru-baru ini.
Abang Adib memberitahu, bahan-bahan digunakan dalam masakan juga dijaga kualiti dengan membeli terus daripada pembekal daging lembu dan ayam yang halal serta dijamin bersih.
Menurutnya, restoran terbabit boleh menempatkan 120 pelanggan dalam satu masa iaitu 80 orang di dalam dan 40 orang di bahagian ruang terbuka di luar yang mempunyai kerusi unik yang rendah bagi membolehkan anda duduk bersantai.
Selain menawarkan hidangan biasa, katanya, pelanggan juga boleh membuat tempahan bagi majlis hari jadi dan keraian. Bagi menyambut hari jadi, pihaknya menyediakan sekali pemuzik dalam kalangan kakitangan yang akan bermain gitar dan memainkan lagu selamat hari jadi.
“Kejayaan membuka restoran ini adalah hasil sokongan dan dorongan ibu bapa saya. Insya-Allah... saya bakal membuka cawangan Restoran Bumbu Desa di pusat beli-belah CityOne di sini pada November depan.
“Ikutilah laman Facebook Bumbu Cabe iaitu www.facebook.com/Bmbucabe bagi mengetahui sebarang promosi dan memberikan maklum balas tentang restoran kami,” ujarnya.
Mengakhiri pertemuan, beliau mengingatkan agar orang ramai yang mahu merasai keenakan masakan Sundar asli ini agar membuat tempahan terlebih dahulu supaya tidak dikecewakan kerana bimbang meja dipenuhi pelanggan.

Saturday, October 31, 2015

RESTORAN KANTIN ASAM PEDAS-UKAY PERDANA, HULU KELANG

MAKAN tengah hari akan lebih berselera dengan lauk-pauk kampung. Lihat sahajalah restoran atau kedai makan yang menyediakan lauk-pauk tersebut pasti akan dipenuhi pelanggan seawal pukul 11.30 pagi.
Selain pelanggan yang datang makan di situ, ramai juga yang membawa mangkuk tingkat atau membungkus makanan untuk dibawa pulang dan dinikmati bersama keluarga.
Hidangan asam pedas adalah antara makanan atau lauk-pauk yang menjadi kegemaran ramai. Jika betul cara memasaknya serta memenuhi selera pelanggan, sekali rasa mereka akan datang lagi.
Bagaimanapun, untuk mendapatkan hidangan asam pedas yang betul-betul asli agak sukar. Ramai yang boleh memasak asam pedas tetapi rasanya berbeza-beza.
Ada yang terlalu cair, ada yang kurang asam, kurang cili dan sebagainya. Pun begitu, jika anda seorang yang amat menggemari asam pedas, apa kata jika mencuba asam pedas di Kantin Asam Pedas.
Pastinya pelbagai hidangan asam pedas di sini memenuhi selera dan sudah tentu anda akan datang kembali ke sini.
Dibuka enam bulan lalu oleh Roslin Abu Hassan, 44, keistimewaan asam pedas di sini ialah kuahnya pekat.
Katanya, sebelum mula berniaga asam pedas ini, dia telah banyak mencuba asam pedas di restoran lain, namun kebanyakannya cair, tidak cukup bahan dan sebagainya.
Jelas Roslin, asam pedas yang benar-benar asli mestilah berkuah pekat bukan cair. Asam pedas yang disediakan di restorannya mempunyai kuah pekat dan dibuat sama seperti yang dimasak di rumah untuk hidangan keluarga.
“Masakan asam pedas saya ini adalah gabungan asam pedas Muar dan Melaka. Asam pedas sememangnya menjadi makanan tradisional dua tempat tersebut. Sebab itu kalau orang hendak merasa asam pedas yang asli, datang ke Muar dan Melaka. Itu pun harus pandai mencari kedai makan atau restoran yang menyediakannya.
“Bagaimanapun bagi peminat asam pedas di Kuala Lumpur boleh sahaja datang ke Kantin Asam Pedas kerana anda akan mendapat yang asli. Sebenarnya kesemua masakan asam pedas di sini adalah resipi daripada suami saya, Abu Talib Jasman yang berasal dari Muar yang terkenal dengan asam pedas pekat.
“Dia memang pakar memasak asam pedas dan saya banyak belajar daripadanya. Jika dia tidak sibuk, dia sendiri yang akan memasak. Suami saya pun belajar daripada keluarganya yang pandai dalam bidang masakan.
“Di sini saya menyediakan beberapa jenis masakan asam pedas, iaitu asam pedas ikan pari, kerisi, kembung, tenggiri, merah, parang, senangin, asam sembilang dan beberapa jenis ikan lagi.
“Selain itu saya turut menyediakan asam pedas kepala ikan seperti kepala ikan merah, tenggiri, jenahak dan ikan duri yang mendapat banyak sambutan. Ada juga ikan goreng dan telur dadar bagi kanak-kanak yang tidak boleh makan pedas.
“Istimewanya di Kantin Asam Pedas ini saya menyediakan set makan tengah hari dengan harga yang amat berpatutan. Bagi semangkuk asam pedas bersama nasi, ikan masin, telur masin, ulam-ulaman, sambal belacan dan sirap (yang boleh ditambah percuma), harganya cuma RM10 hingga RM15 sahaja. Harga untuk kepala ikan pula ialah di antara RM30 hingga RM45,” kata Roslin yang berasal dari Melaka.
Menurut ibu kepada tiga orang anak ini lagi, walaupun kesemua hidangannya adalah asam pedas namun dia tidak memasak semuanya sekali gus. Jika terdapat 10 jenis asam pedas, dia akan memasak dalam 10 periuk supaya setiap rasa asam pedas itu berbeza. Jika dimasak sekali gus, rasa ikan-ikan yang dimasak akan bercampur-baur.
Ujarnya, ikan-ikan yang dimasak itu pun dipastikan segar dan tidak membeli ikan beku supaya rasa ikan tersebut ‘manis’ setelah dimasak.
Tambahnya, sebaik dibuka pada pukul 11 pagi, pelanggan sudah ramai memenuhi. Itu belum lagi dengan pelanggan tetap yang datang bersama dengan mangkuk tingkat.
Setiap hari mereka akan membeli masakan asam pedas yang berbeza. Pelanggan masih akan makan di sini sehingga restoran ditutup pukul 4.30 petang.
Dinamakan Kantin Asam Pedas, kata Roslin, nama kantin dipilih kerana restorannya dikunjungi oleh ramai golongan pelajar universiti dan kolej seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Multimedia, Kolej Consist dan sebagainya.
Oleh itu, dia mahukan mereka merasai suasana yang santai seperti di kantin universiti mereka.
Dibuka setiap hari kecuali Isnin, Kantin Asam Pedas boleh memuatkan seramai 45 orang pelanggan pada satu masa. Roslin turut menyewakan ruang restoran bagi pelanggan yang ingin mengadakan sebarang majlis di sini dengan bayaran RM300 dan tidak termasuk makanan.
Kepada yang ingin menikmati asam pedas di Kantin Asam Pedas bolehlah berkunjung ke EG 14, Blok E, Residensi Bistaria, Ukay Perdana, Hulu Kelang atau menghubungi Roslin di 012-6665552.

KAFE PULAU INDAH

Mencari Kafe Pulau Indah agak mencabar, kawasannya agak tersorok dengan sekelilingnya banyak lagi barisan kedai kosong. Apa yang ada hanyalah sebuah hotel di atas restoran berkenaan.
Walaupun demikian, sejak dibuka Oktober tahun lalu, Kafe Pulau Indah telah mempunyai pelanggan tetapnya, sendiri bukan saja sekitar Bandar Armada Putra tetapi juga dari kawasan berhampiran seperti Banting, Putrajaya malah Rawang.
Terperanjat melihat menu yang tiba. Semangkuk mi bandung special dengan dua ekor ketam dan dua ekor udang sederhana besar memang membangkitkan selera. Kemudian tiba pula kuetiaw tomyam dengan dua ekor ketam, dua ekor udang ditambah dengan makanan laut seperti kupang dan sotong.Nasi goreng pattaya special juga ditambah dengan ketam dan udang serta dicurahkan kuah yang lazat.
Dan tidak lupa dengan menu istimewa, nasi ayam ibu yang mula diperkenalkan oleh Ropiah Aziz semasa mula-mula berniaga warung di Pangsapuri Sri Bayu Bandar Armada Putra, Pulau Indah. Ditambah dengan minuman laicikang, epal asam boi serta bandung soda laici.
Pengalaman
Berpengalaman bekerja di kedai makan selepas tamat sekolah dan perasaan ingin belajar menyebabkan Ropiah mencuba dan mempelbagaikan resipi yang dilihat daripada majikannya sebelum ini.
Ropiah yang amat mementingkan kualiti masakannya, akan ke pasar setiap hari bagi mendapatkan bekalan bahan mentah yang segar bukan saja ikan, udang, ketam, daging dan ayam tetapi juga sayur-sayuran dan buah-buahan.
“Saya tidak berminat untuk mengambil bahan mentah daripada pembekal kerana saya tidak boleh memilih,” katanya yang dibantu oleh suami, anak serta ahli keluarga lain dalam mengendalikan restorannya.
Buat masa ini anaknya Nurul Azuwana, 24, graduan bidang kulinari dari UNITAR banyak membantu keluarga dalam perniagaan makanan sejak berusia belasan tahun.
Restoran yang dibuka dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam menyediakan menu masakan panas Melayu dan Siam serta sering menerima tempahan makanan daripada syarikat di sekitar Pulau Indah bagi majlis mereka.
Berita baik untuk kaki pancing yang gemar ke Pulau Indah kerana Ropiah sedia menerima tempahan memasak ikan, udang atau ketam dengan harga yang berpatutan.
Bagi mengelakkan pelanggan kecewa, Ropiah menggalakkan pelanggan membuat tempahan terlebih dahulu sebelum datang kerana restorannya hanya memuatkan 50 pelanggan pada satu-satu masa.

Monday, October 26, 2015

RESTORAN PARANOID KITCHEN-SS15 SUBANG JAYA

SELARI dengan nama restoran, Paranoid Kitchen, begitulah juga apa yang digambarkan atas keputusan empat anak muda ini untuk membuka restoran mereka sendiri di SS15, Subang Jaya, Selangor.
Datang dari latar belakang yang tiada kaitan dengan bidang masakan, ia tidak sesekali mematahkan semangat dan minat Mohamad Fazrin Mohamad Fauzi, Abdullah Fikri Julaihi, Zainal Amir Ahmad dan Zulkifli Hashim daripada memiliki restoran idaman mereka.
Cerita Fazrin, dia dan Fikri yang bekerja dalam bidang binaan bangunan berkongsi minat yang mendalam terhadap bidang masakan. Atas dasar perkongsian minat tersebut, mereka berdua membuat keputusan yang boleh dikatakan “gila” pada ramai yang mendengarnya. Apatah lagi meninggalkan pekerjaan yang menjanjikan masa depan yang stabil dan memilih untuk melalui cabaran dalam bidang perniagaan makanan.
“Kami bermula daripada kosong. Daripada olahan resipi, binaan ruang dapur hingga ke perabot dan rekaan dalam restoran yang berkonsepkan rustic turut dibuat sendiri supaya dapat menepati cita rasa kami. Tempoh beberapa bulan diambil untuk persediaan  2membuka Paranoid Kitchen dan yang paling ditekankan adalah penghasilan resipi kami.
“Pengalaman Fikri yang pernah bekerja di dapur hotel digunakan sebaik-baik mungkin menjadikan menu di Paranoid Kitchen setara dengan rasa di hotel namun pada harga yang berpatutan,” ujar Fazrin yang merupakan seorang jurutera bertauliah.
Menyediakan pelbagai masakan Barat yang diberi sedikit sentuhan tempatan bersesuaian dengan cita rasa pelanggan, pasukan di dapur Paranoid Kitchen layak diberi pujian atas resipi yang diolah mereka kerana keunikan rasanya yang tersendiri.
Menu-menu standard masakan Barat seperti chicken chop, lamb chop, pasta dan burger antara 19 hidangan yang terdapat di Paranoid Kitchen, namun ketelitian mereka dalam pengolahan resipi menyerlahkan rasa dan tekstur setiap hidangan.
Paranoid Chicken Chop mungkin kelihatan seperti kebanyakan hidangan chicken chop di tempat lain. Namun yang menyerlahkan lagi rasanya adalah adunan tepung, garam, serbuk lada dan rempah-ratus lain yang dirahsiakan resipinya membuatkan ia begitu rangup pada bahagian salutannya walau dibiar lama.
Hidangan ayam panggang Paranoid pula terserlah dengan penggunaan pelbagai herba dalam sebatian perapannya seperti rosemary, serbuk bawang putih, oregano, dicampurkan sedikit paprika dan sentuhan madu untuk memberikan rasa manis semula jadi.
Jangan terkejut jika memesan Lamb Chop Paranoid kerana saiznya yang besar amat berbaloi dengan harganya. Dilumur dengan rempah-ratus untuk tempoh yang sekejap sahaja bagi mengekalkan kesegaran rasa bebiri itu, rasanya lengkap dengan pilihan sos yang disediakan.
Pelbagai hidangan burger turut menarik perhatian. Dengan harga bermula RM6.50, anda boleh menikmati hidangan burger dengan patty daging yang tebal dan memuaskan khas dari dapur Paranoid Kitchen.
Bahagian daging yang dicincang terlebih dahulu digabungkan dengan garam dan serbuk lada serta sedikit madu bagi mengikat patty daging tersebut sebelum dibakar.
Setiap hidangan dijual dengan harga yang berpatutan untuk kelas restoran tersebut atas tujuan menarik minat pelanggan muda terutama golongan pelajar.
Merancang untuk menyediakan makanan tengah hari pula bermula bulan Disember ini, ujar Fazrin, Paranoid Kitchen dalam masa yang sama turut menjalankan perniagaan perabot daripada kayu palet.
Paranoid 
 No. 51-G, Jalan SS15/4c,Subang Jaya, Selangor.
Tel: 03-56125475
Instagram: @paranoidkitchen
Facebook: www.facebook.com/paranoidkitchenss15
Waktu operasi: 5 petang hingga 2 pagi.

Saturday, October 24, 2015

KAFE FOODLAB-IPOH

BAGI penggemar makanan segera, burger bukanlah hidangan asing dalam kalangan mereka. Menu popular itu lazimnya dihidangkan dengan konsep yang sama iaitu menggunakan daging burger yang dilapisi dengan salad segar serta sos cili dan mayonis.
Hidangan seumpama itu sememangnya mudah didapati di mana-mana sahaja sama ada di gerai jalanan mahupun di restoran makanan segera. Namun, pernahkah anda merasa burger sarang? Walaupun bunyinya kedengaran agak pelik, namun ia mampu membangkitkan selera sesiapa sahaja.
Menampilkan telur goreng ‘bersarang’ sebagai satu kelainan serta menggunakan isi ayam sebenar (bukan isi ayam yang diproses di kilang) membuatkan burger sarang hasil cetusan idea pemilik kafe Foodlab cepat memikat selera para penggemarnya.
Lebih istimewa lagi apabila burger tersebut mampu dinikmati dengan bayaran hanya RM5 bagi setiap hidangan.
Pemilik Foodlab, Saidatul Emma Ahmad Tohar, 24, berkata, menu istimewa itu tercetus selepas dia melihat sambutan orang ramai terhadap hidangan yang menggunakan konsep sama iaitu telur goreng bersarang.
Bertitik-tolak daripada itu katanya, dia bersama-sama dua chef di kafe tersebut mula memikirkan menu baharu yang segar dan menyelerakan dengan menggabungkan menu kegemaran masyarakat hari ini.
“Kita biasanya dihidangkan dengan burger biasa sehingga kadangkala timbul juga perasaan bosan. Oleh itu, kami cuba membawa kelainan dengan memberi pilihan lain kepada penggemar burger.
“Walaupun agak janggal, namun burger sarang cepat menangkap hati penggemarnya. Lebih menarik lagi apabila kami turut menggunakan sos hasil ramuan istimewa yang eksklusif daripada chef di kafe ini,” katanya kepada S2 baru-baru ini.
Mengulas mengenai pembukaan Foodlab yang merupakan kafe santai terbaharu di Ipoh, Perak, Saidatul Emma berkata, kafe itu dibuka pada 8 Ogos lalu dan menerima sambutan menggalakkan, bukan sahaja dalam kalangan pelanggan sekitar bandar raya itu malah pihak luar.
Katanya, kafe yang boleh memuatkan 20 pelanggan pada satu-satu masa itu juga menyediakan menu makanan Barat lain pada harga yang sangat murah iaitu bermula RM5 dan minuman pula, RM3.
“Saya seorang penggemar makanan dan apabila pergi ke kedai-kedai makan, saya sering berasa kecewa dengan hidangan yang ‘biasa-biasa’ sahaja, sedangkan bayaran yang dikenakan agak mahal.
“Sebab itu, saya membuka Foodlab. Ini kerana saya mahu pengunjung yang datang ke kafe ini berpuas hati dengan makanan yang dihidangkan dan gembira dengan apa yang dibayar kerana harga makanan di kafe ini agak murah,” katanya.
Ditanya mengenai sambutan yang diterima, Saidatul Emma berkata, sambutan amat baik sehingga ada pelanggan sanggup memandu jauh dari Kuala Lumpur semata-mata mahu singgah makan di kafenya.
Malah katanya, ekoran ruang yang terhad, ada pelanggan yang sanggup menunggu giliran bagi membolehkan mereka dapat duduk untuk menikmati hidangan.
“Disebabkan sambutan yang baik dan untuk keselesaan pelanggan, kami dalam perancangan membuka restoran baharu agar lebih ramai pelanggan dapat dimuatkan dalam satu-satu masa,” katanya.
Selain burger sarang, Foodlab turut menyediakan menu lain termasuk chicken chop, spageti carbonara dan aglio olio, chicken wrap dan meatball.

Sunday, October 18, 2015

GAFFE & CO- THE GARAGE, JALAN HULU KELANG

Kebelakangan ini, semakin banyak pengusaha kafe atau restoran berlumba-lumba menghias dan mencipta kelainan di dalam kafe dan restoran mereka untuk menarik kedatangan pengunjung, lebih-lebih lagi golongan remaja.
Begitu juga dengan Gaffe&Co yang terletak di The Garage, Jalan Hulu Kelang, Kuala Lumpur. Berkonsepkan ‘family dining’, kafe yang dibina daripada kontena ini mempunyai ruang yang lebih santai dan tenang untuk mereka yang mahu lepak bersama keluarga atau rakan.
Ditambah dengan hiasan dinding yang vintaj seperti televisyen, radio dan topi menambahkan lagi keunikan kafe berkenaan. Perabot dan beberapa perhiasan lain yang diperbuat daripada barangan terpakai juga menjadi perhatian pengunjung.
Menurut pemiliknya, Tengku Azman Tengku Chik, 42, kafenya menawarkan pelbagai menu istimewa terutamanya makanan barat bermula dengan sarapan sehinggalah menu utama.
“Antara menu yang paling digemari pelanggan ialah Gaffe BBQ Glaze Shortribs, Smoked BBQ Salmon with Potato Cake dan Grilled Unique Meltique Beef with Roasted Potato.
“Selain itu, Pizza Supreme yang ditabur dengan hirisan sosej, cendawan, cili benggala, terung dan paperoni juga menjadi kegilaan penggemar makanan yang berasal dari Itali ini,” katanya kepada S2.
Berbeza dengan kafe-kafe lain, Gaffe&Co menghidangkan pelbagai jenis kopi dan teh iaitu espresso americano, caramel machiato, toffe nut latte, flat white, green tea latte, english breakfast tea, earl grey dan macam-macam lagi.
Aneka frappe, smoothies, milk shake, soda, minuman coklat dan franilla iaitu ice-blended vanila tanpa kopi turut disediakan di kafe tersebut.
Jika mahu menambahkan kelazatan ketika menikmati minuman, pencuci mulut puding cheesy creamy dengan perisa blueberry, epal dan mentega kacang adalah pilihan terbaik.
Kafe ini beroperasi setiap hari pada pukul 12 tengah hari hingga 1 pagi, manakala Sabtu dan Ahad pada pukul 9 pagi hingga 1 pagi. Selain kafe, terdapat pelbagai kedai di The Garage, antaranya kedai pakaian wanita dan kanak-kanak, barangan Star Wars, perkhidmatan mencuci kasut dan pelbagai lagi.