BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, March 11, 2016

MAZHANIM POPULARKAN "NASI TERBANG"



Seawal pukul 8 pagi pada setiap hujung minggu kelibatnya pasti kelihatan di ruang legar Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, menunggu penerbangan pertama dari Kota Bharu.
Bukan bertujuan untuk menjemput seseorang dari destinasi tersebut, sebaliknya menunggu bungkusan yang dititipkan oleh pengusaha-pengusaha nasi terkenal dari Kota Bharu.
Bungkusan yang mengandungi pelbagai jenis juadah tradisi dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu adalah tempahan yang diterima melalui Facebook dan Instagram, Kaknoh Nasi Berlauk.
Dalam kalangan pengikut tegar media sosial, wanita kelahiran Langgar, Kota Bharu, Kelantan ini, bukan individu asing kerana dia menjadi ‘orang tengah’ yang ‘mendekatkan’ pengusaha nasi dan makanan di Kelantan dengan pelanggan di sekitar Lembah Klang.
“Keadaan begini sudah menjadi pemandangan biasa bagi pekerja lapangan terbang di sini dengan puluhan kotak berlabel ANB bersama kehadiran beberapa orang ejen di bawah saya.
“Sesekali ada juga yang menegur bungkusan apa yang diambil kami kerana aromanya menusuk hidung cukup untuk menarik perhatian mereka yang melintasi kumpulan kami.
“Bekalan ini akan diagihkan secepat mungkin kepada ejen supaya pelanggan dapat menikmati juadah tersebut seberapa pantas dan makanan tidak rosak kerana telah berlepas dari Kota Bharu sekitar pukul 6.30 pagi,” kata Mazhanim Mohamed, pemilik Kak Noh Nasi Berlauk.
Mereka yang berasal atau pernah menetap di Kelantan, pastinya mengetahui bagaimana masyarakat di sana menikmati sarapan pagi.
Bungkusan-bungkusan nasi seperti nasi berlauk ikan tongkol, nasi tumpang, nasi kerabu, nasi dagang, nasi impit, dan ketupat palas daripada pelbagai pengusaha akan dihantar ke warung atau kopitiam untuk dinikmati pelanggan pada setiap pagi.
Namun, pernahkah terfikir bagaimana warga Kuala Lumpur boleh dihidangkan dengan pilihan sarapan pagi yang sama seperti orang di Kelantan?
Itulah yang dilakukan oleh Mazhanim dengan mengambil konsep yang sama, tetapi menggunakan kaedah menerbangkan aneka juadah sejauh 600 kilometer semata-mata bagi memastikan pelanggannya tidak ‘kempunan’ hidangan asli dari Kelantan.

Cuaca cabaran terbesar ‘terbangkan’ nasi
Mengambil bekalan daripada 15 orang pengusaha, Mazhanim akan memastikan setiap bekalan yang ditempah siap dimasak sebelum pukul 5.30 pagi kerana akan dihantar ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan pada pukul 6.30 pagi.
Baginya, cabaran terbesar sepanjang mengusahakan perniagaan tersebut adalah memastikan bungkusan nasi yang diterbangkan berkualiti kerana kemungkinan untuk nasi menjadi rosak atau basi adalah tinggi.
“Risiko untuk nasi menjadi basi tetap ada seperti faktor cuaca buruk yang mengakibatkan penerbangan ditunda. Cuaca terlalu panas juga boleh menyebabkan nasi menjadi cepat rosak. Jadi, saya perlu sentiasa bersedia berhadapan dengan masalah tersebut.
“Saya tidak mempunyai masalah untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan jika perkara itu berlaku. Disebabkan kepercayaan yang diletakkan, pelanggan tidak pernah lari atau menyesal untuk berurusan dengan saya,” katanya yang menggunakan nama Kak Noh sebagai jenamanya sempena nama jolokannya dalam kalangan rakan-rakan di Kelantan.
Ujarnya, masalah lain seperti pengusaha tidak boleh membekalkan nasi tumpang kerana ketiadaan daun pisang yang segar akibat musim hujan atau banjir adalah perkara biasa.
Mazhanim akan memberitahu pelanggan lebih awal jika ketiadaan menu itu pada minggu tersebut.

Katanya, sehingga kini Kak Noh Nasi Berlauk mendapat sambutan menggalakkan malah ada juga menerima permintaan daripada peminat sajian tradisi pantai timur itu dari selatan dan utara tanah air.
Namun, dia masih belum berkesempatan untuk meluaskan lagi perniagaannya ke seluruh Malaysia.
Apa pun, wanita ini mempunyai perancangan untuk membuka sebuah restoran berkonsepkan kopitiam yang akan mengumpulkan pelbagai juadah di seluruh Kelantan bagi memberi peluang kepada peminat sajian tersebut menikmatinya tanpa had.
Bukan itu sahaja, penangan nasi berlauk Kak Noh juga berjaya menarik perhatian orang kenamaan seperti Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan selebriti tempatan seperti Maria Tunku Sabri, Ifa Raziah, Aznil Nawawi dan beberapa nama lain yang menjadi pelanggan setianya.
Mempunyai hampir 18 orang ejen sekitar Lembah Klang termasuk Nilai dan Seremban, Negeri Sembilan, tempahan akan dibuka pada setiap pagi Isnin dan ditutup pada Khamis. Sajian tempahan akan diedarkan pada setiap pagi Sabtu mengikut lokasi agen.
Berharga antara RM2.50 sehingga RM28, mereka yang ‘mengidamkan’ sarapan pagi asli dari Kelantan boleh melayari laman sosial Facebook dan Instagram, Kak Noh Nasi Berlauk.

Mengidam nasi berlauk
Walaupun membesar di Kuala Lumpur, Mazhanim mengakui darah Kelantan yang mengalir di dalam tubuhnya mempunyai nilai tradisi yang begitu kuat sehingga sanggup menerbangkan ratusan bungkus sajian tradisi kepada pelanggannya di ibu kota.
Diasaskan sejak dua tahun lalu, semuanya bermula apabila dia mengidam untuk menikmati nasi berlauk ikan tongkol dari Kelantan ketika sarat mengandung anak ketiga.
“Kebetulan pula, saudara saya ada pulang ke kampung dan saya memesan untuk mengirimkan beberapa bungkus nasi dari sana untuk dibawa pulang ke sini. Bagaimanapun, dia memberitahu tidak berbaloi untuk membawa pulang cuma tiga bungkus nasi sahaja bagi perjalanan melalui kapal terbang.
“Dia mencadangkan saya membuka tempahan dan bertanya kepada rakan-rakan di Kuala Lumpur jika mereka juga mahu menikmati nasi berlauk asli dari Kelantan. Apa yang mengejutkan, saya menerima pesanan hampir 50 bungkus ketika itu.
“Sejak itu, saya mendapat idea untuk menjalankan perniagaan ini kerana adanya pasaran yang besar terhadap sajian tersebut. Secara tidak langsung boleh menjana pendapatan memandangkan saya hanyalah seorang suri rumah.
“Daripada 200 bungkus yang dikirim secara kecil-kecilan kini saya membekalkan hampir 2,000 bungkus nasi pada setiap pagi Sabtu. Saya terpaksa menggunakan perkhidmatan kargo kapal terbang untuk urusan penghantaran nasi bungkus kerana tidak mampu lagi untuk menanggung cas bagasi tambahan yang agak mahal,” katanya yang pernah bekerja di sebuah syarikat pengiklanan selama 12 tahun.
Bagi warga kota, pasti ada yang berasa pelik mengapa terdapat segelintir pelanggan yang sanggup menempah sarapan pagi daripada Mazhanim, sedangkan mereka boleh membeli dengan mudah di gerai atau restoran makanan Kelantan di kawasan tempat tinggal mereka.
Jawapannya mudah. Kata wanita berkaca mata itu, ada bezanya dari segi rasa dan saiz antara sajian asli dari Kelantan berbanding sajian Kelantan di Kuala Lumpur.
Ujar Mazhanim, sajian nasi bungkus berlauk di Kelantan mempunyai rasa manis ikan tongkol dan saiz ikannya lebih besar berbanding ikan tongkol nasi berlauk yang dijual oleh peniaga di Kuala Lumpur. Di samping itu, penggunaan beras Siam dan dimasak menggunakan periuk kawah, mengekalkan keaslian rasa sajian Kelantan.
Menurut Mazhanim, terdapat 20 sajian yang boleh ditempah seperti nasi berlauk ikan tongkol dan itik serati, nasi kerabu ikan celup tepung, sate perut ayam, nasi tumpang udang dan ikan, nasi dagang, nasi impit sambal kelapa, pulut pagi, selain kuih-muih tradisi seperti jala emas, tahi itik, akok, buah tanjung, ketupat palas dan martabak raja.
Bukan calang-calang tukang masak yang menyediakan bekalan untuk Kak Noh Nasi Berlauk kerana Mazhanim sendiri terlebih dahulu mencari peniaga tempatan yang terkenal di kampung-kampung tertentu di sekitar Kelantan yang rata-ratanya mempunyai rasa signatur dalam sajian masing-masing.
Lebih menarik lagi, sajian istimewa seperti bubur asyura Kelantan juga boleh ditempah pada musimnya dan dia juga mendapat permintaan tinggi untuk membekalkan menu ketupat palas lemak dan ketupat palas serunding terutamanya ketika musim perayaan.

WARUNG BISTRO-TAMAN BUKIT CHERAS KL


SEBAIK sahaja melangkah masuk ke Warung Bistro, selera makan pasti terbuka melihatkan pelbagai makanan yang disajikan. Perut yang lapar akan meminta segera diisi dengan masakan-masakan kampung yang ada di antaranya sudah agak jarang ditemui di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur ini.
Tidak dilengkapi dengan pendingin hawa atau dekorasi canggih ala hipster seperti trend kebanyakan restoran baharu sekarang, Warung Bistro hanya perlu bersandarkan kepada sajian-sajian enak yang memenuhi selera bagi menggamit hati pengunjung.
Dengan sajian makanan lebih 15 jenis, pengunjung mempunyai pelbagai pilihan ‘nasi campur’ mengikut cita rasa masing-masing.
Menurut pemiliknya, Latifah Omar, restoran tersebut merupakan perniagaan pertama yang diusahakan sejak 1999, malah tidak pernah cuba untuk makan gaji sebaik menamatkan pengajian peringkat sarjana.
Mula berniaga dengan menjual makanan ringan, akhirnya pada 2012 dia mengambil keputusan membuka restoran yang menawarkan pelbagai sajian masakan kampung.
Apabila ditanya mengapa tidak mendapatkan pekerjaan setimpal dengan pendidikan yang diperoleh, ujar ibu kepada empat cahaya mata ini, dia lebih selesa bekerja sendiri tanpa perlu dan tidak berminat makan gaji.
“Perniagaan saya bermula pada 1999 dengan menjual makanan ringan hinggalah tahun 2002 saya membuat keputusan untuk menjual pelbagai aneka sup, nasi ayam, dan nasi campur.
“Antara tahun 2002 hingga 2006 perniagaan makanan yang diusahakan ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’ sebab kurangnya promosi dan keadaan kedai ketika itu agak kecil.
“Begitupun saya tidak berputus asa.Pada 2012 saya mengambil keputusan untuk menjenamakan semula perniagaan dan menukar menu kepada sajian kampung,” ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di No. 2, Jalan 14/144A, Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur.
Menyedari masakan kampung mempunyai daya tarikan serta keistimewaannya yang tersendiri, Latifah membuat ‘ujikaji’ sendiri bagi setiap menu untuk mendapatkan yang terbaik.
Akhirnya wanita berusia 51 tahun ini tampil dengan senarai sajian masakan kampung yang enak, yang digilir setiap hari agar pengunjung tidak berasa jemu.
Restoran yang dibuka seawal pukul 7 pagi hingga 4 petang itu bukan sahaja menyediakan hidangan tengah hari, malah sarapan pagi seperti nasi lemak, makanan bergoreng, bakso, dan bubur nasi.
Tetapi untuk hari Sabtu dan Ahad, Latifah memilih untuk menyajikan sarapan pagi dengan masakan Barat seperti sup cendawan dan pelbagai hidangan berasaskan spageti.
Antara masakan kampung yang menjadi menu wajib setiap hari di Warung Bistro, ialah siput sedut masak lemak (bergantung kepada bahan mentah), daging salai masak lemak mangga, ikan keli masak bercili, gulai kawah, ayam kalio, pecal, daging, ayam dan ikan bakar, kerabu mangga, kerabu perut, ikan keli masak hijau, ikan keli goreng, serta pelbagai jenis ulam-ulaman segar.
Sajian lain, nasi ayam dan bakso dijual pada harga RM3.50, selain pelbagai aneka sup pula hanya RM3.
Bukan itu sahaja, nasi lemak dan juga air panas dijual pada harga RM1 dan sudah pasti segala-galanya dimasak segar pada hari jualan serta bahan-bahan yang digunakan juga adalah segar.
Dibantu seramai 15 pekerja dan dua orang tukang masak, restoran tersebut akan memulakan operasi memasak seawal 6 pagi setiap hari.
Menyedari persaingan yang begitu sengit dalam perniagaan berasaskan makanan, anak kelahiran Kampung Pasir, Johor Bahru, Johor ini, memberitahu, dia tidak hanya bergantung dengan pendapatan harian Warung Bistro.
Latifah melangkah setapak ke hadapan apabila menawarkan perkhidmatan katering untuk pelbagai jenis majlis dan perkhidmatan penghantaran makanan setiap hari (Isnin hingga Jumaat).
“Berniaga hari ini bukan macam dahulu kerana hari ini cakap apa jua perniagaan persaingan pasti ada. Untuk itu Warung Bistro tidak ketinggalan mengembangkan lagi perniagaan sedia ada dengan menawarkan perkhidmatan katering untuk pelbagai majlis.
“Pada masa yang sama kami turut menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan harian sama ada untuk makan tengah hari atau malam.
“Menu-menu yang ditawarkan sudah semestinya masakan kampung dan kepada mereka yang menggemari masakan kampung bolehlah mencuba masakan di Warung Bistro,” katanya lanjut.

Saturday, March 5, 2016

RESTORAN SELERA NOGORI-SEREMBAN


NEGERI Sembilan terkenal dengan masak lemak cili api yang mampu membuatkan orang ramai tercari-cari di manakah restoran di bandar Seremban yang ada menawarkan masakan ini.
Situasi itu telah mendorong pasangan suami isteri, Mohd. Aizad Ismailji, 30, dan Siti Nur Athirah Rusman, 28, membuka Restoran Selera Nogori di sebuah premis kedai dekat Oakland Commercial Center, Seremban.
Mohd. Aizad berkata, mereka mahu menawarkan masakan pelbagai pilihan terutamanya masak lemak yang menjadi identiti makanan untuk Negeri Sembilan.
Katanya, restoran itu menawarkan sebanyak 83 jenis masakan untuk makan tengah hari termasuk ulam-ulaman bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang berlainan.
Menurutnya, terdapat 20 jenis masak lemak kuning selain beberapa pilihan masak lemak putih.
“Masak lemak kuning ialah ayam, daging, udang, puyuh, rebung campur perut lembu, cendawan, pucuk paku, pucuk ubi, terung, ikan tenggiri, jantung pisang, pisang muda, pegaga, ikan masin sepat, kupang, lala, nangka dan pucuk daun kayu.
“Masak lemak putih pula antaranya labu, pucuk manis dan petola.
“Setiap hujung minggu, menu masakan ditambah bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan seperti ketam, udang galah, ikan merah dan patin tempoyak.
“Pilihan masakan lain termasuk rendang daging, sambal ikan bilis petai, udang dan sotong serta cendawan goreng, selain kari kambing setiap Jumaat,” katanya kepada S2 baru-baru ini.
Siti Nur Athirah menambah, restoran itu cuba mempelbagaikan jenis masakan dalam usaha mengelakkan para pelanggan berasa jemu dengan masakan yang sama.
Sebagai contoh, katanya, pelbagai masakan ditawarkan berasaskan ayam seperti ayam masak Thai, ayam mentega, ayam lemon dan ayam goreng pandan, manakala ikan bakar turut ditambah dengan menu ikan gabungan masakan Cina dan Melayu.
Tinjauan Singgah Makan di Restoran Selera Nogori mendapati tarikan utama di restoran itu bukan hanya menu masakan yang ‘meriah’ tetapi harga yang dikenakan amat berpatutan.
Malah tidak keterlaluan untuk membuat kesimpulan bahawa harga yang ditawarkan berbaloi dengan apa yang disajikan di restoran ini. Sebagai contoh, restoran ini masih menawarkan air kosong atau air suam percuma berbanding sesetengah premis lain yang mengenakan caj sehingga 30 sen segelas.
Kini, selepas beroperasi selama empat tahun, Restoran Selera Nogori mula menjadi buah mulut orang ramai terutamanya pengguna internet atau ‘netizen’ yang memberi maklum balas positif.
Kalangan netizen melahirkan rasa puas hati kerana bukan sahaja menu masakan yang pelbagai tetapi harga yang ditawarkan juga murah.
Maklumat lanjut mengenai restoran ini, boleh dibuat dengan melayari laman sosial Facebook: Restoran Selera Nogori.

Monday, February 29, 2016

HOTEL DARUL MAKMUR BERLANDASKAN ISLAM


KEWUJUDAN Hotel Darul Makmur yang tersergam di bandar lama Jerantut, Pahang bukan sahaja menawarkan keselesaan kepada pengunjung tetapi menjana ekonomi dalam sektor pelancongan, sekali gus menghidupkan suasana bandar Taman Negara Pahang di Kuala Tahan itu.
Kedudukannya yang strategik terutama sebagai transit kepada orang ramai yang mengunjungi taman negara berkenaan, hotel bertaraf tiga bintang milik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) itu merupakan penginapan bercirikan resort di tengah bandar.
Berkonsepkan pengurusan Islam, hotel berkenaan menampilkan sepenuhnya pelaksanaan syariah menerusi sajian makanan, spesifikasi ruang bilik tidur termasuk kelengkapan solat, telekung, al-Quran, tatacara penampilan kakitangan dan penataran lain yang lebih bercorak Islamik bagi keselesaan pengunjung.
Hotel Darul Makmur yang dilancarkan lima tahun lalu menekankan cara Islam dalam semua pengurusan berasaskan pentadbiran organisasi berkenaan. Pengunjung domestik dan asing boleh menghayati konsep pengurusannya yang selari dengan manifestasi Islam dengan memberikan keutamaan terhadap aspek kebersihan serta keceriaan dalam semua perkara.

Pengurus Hotel Darul Makmur, Mansor Mat Isa, 46, berkata, hasrat pengurusan hotel tersebut adalah selari dengan kehendak Muip untuk menjadikan contoh hospitaliti berasaskan Islam di Pahang.
Katanya, hotel berkenaan juga telah memperoleh Sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Konsep Islam yang kita lestarikan adalah untuk memberi keyakinan dan keselesaan kepada individu, keluarga, pelancong serta kakitangan agensi kerajaan menginap di sini agar mereka berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan,” katanya kepada S2.
Menurut Mansor, antara kemudahan disediakan adalah 39 bilik dengan enam bilik Eksekutif, dua bilik Junior Eksekutif, 16 bilik Deluxe, 12 buah Superior Promo dan tiga bilik Superior.
“Semua bilik dilengkapi set televisyen, kelengkapan solat, al-Quran, minuman dan WiFi percuma dengan kadar sewa harian antara RM140 hingga RM286,” katanya.
Hotel Darul Makmur turut menyediakan kemudahan dewan seminar dengan kapasiti antara 20 hingga 100 orang pada satu-satu masa yang diberi nama Kijang, Rusa, Pelandok dan Kancil untuk agensi kerajaan atau mana-mana pihak mengadakan seminar, mesyuarat, ceramah, bengkel, majlis perkahwinan, ulang tahun kelahiran serta acara rasmi lain.
Mansor juga memberitahu, dewan-dewan itu disewakan dengan kadar antara RM400 hingga RM500 berasaskan penggunaan separuh hari atau penuh.

“Kita mengamalkan perundingan dan membantu kebajikan penyewa berasaskan keperluan segera di samping meringankan bajet mereka. Bagi penganjuran program yang lebih besar, kami menawarkan sebuah 'ballroom' yang boleh memuatkan seramai 170 hingga 200 tetamu. Ia terletak di aras lima hotel dengan kadar sewa RM1,000 sehari," katanya.
Tambahnya, hotel itu juga menawarkan sajian makanan tradisional Melayu Pahang dan minuman di Sri Makmur Coffee House berdekatan lobi hotel. Ia menawarkan kadar harga antara RM3.50 hingga RM15 (seorang) dan RM20 (dua orang).
'Hasrat kita menawarkan harga murah dan berpatutan untuk mengikis persepsi orang ramai bahawa sajian di hotel mahal. Jika pengunjung singgah di sini, kami lebih mementingkan kebajikan pelanggan dengan tawaran makanan yang sama dengan restoran di luar," katanya.

Pengunjung turut berpeluang bersiar-siar dan makan pada sebelah malam di Tepian Darulmakmur yang terletak di belakang hotel dengan menawarkan sajian tempatan dan barat.
“Ia terletak berdekatan dengan anak Sungai Betong yang menberikan suasana lebih damai dan dingin pada waktu malam, di samping menawarkan pakej perkahwinan, perjumpaan semula, persaraan dan acara lain,” ujarnya.
Pengurusan Hotel Darul Makmur dikendalikan sepenuhnya oleh anak tempatan Jerantut yang mempunyai kemahiran dan pengalaman bidang hospitaliti yang mana ia boleh dihubungi menerusi talian 09-2662552 atau laman sesawang www.darulmakmurhotel.com.my.

Sunday, February 28, 2016

TIME OUT CAFE-SAUJANA UTAMA, SUNGAI BULOH


SETELAH 24 tahun bertugas di dalam industri minyak dan gas, Razman Abdul Latiff, 47, mengambil keputusan untuk pencen awal.
Lantas dia bertindak bijak memulakan perniagaan dalam bidang kafe dan restoran berdekatan kawasan kediamannya tiga tahun lalu.
Ketiadaan sebuah tempat yang menyajikan makanan lain daripada kebiasaan yang menjadi hidangan orang Melayu membuatkan Razman mendapat idea untuk membuka sebuah kafe dengan menu yang lebih terkini, mengikut trend namun sesuai dengan setiap lapisan masyarakat.
“Idea timbul apabila saya dan isteri sukar mencari restoran yang menyajikan makanan yang lain daripada kebiasaan. Lalu, saya mengambil keputusan membuka Time Out Cafe yang menyajikan makanan tempatan dan barat, namun mengikut trend terkini.
“Boleh dikatakan kafe ini berkonsepkan ‘hipster’ seperti yang digilai generasi hari ini. Sungguhpun begitu, ia juga sesuai dengan mereka yang sudah berkeluarga,” katanya.
Menyentuh mengenai menu, Time Out Cafe yang mula dibuka pada Oktober 2015 di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor menawarkan pelbagai pilihan yang berkonsepkan makanan Thailand.

Antara menu istimewa di Time Out Cafe adalah hidangan utama iaitu Boat Noodle (ayam/daging), Boat Tomyam Noodle, Phad Kapow Rice, Boat Rice Beef, Tomyam Rice Set, Thai Rice Soup, Spaghetti Chicken Carbonara dan Time Out Meatball Set dengan harga yang ditawarkan, antara RM5.00 hingga RM9.00.
Sementara pilihan menu pencuci mulut pula termasuklah Crispy Thai Pancake (RM2.50), Crispy Egg Thai Pancake (RM3.50), Pulut Mangga (RM5.00), Pavlova (RM7.00) dan pelbagai kek (RM5.00-RM7.00).
Bukan itu sahaja, Time Out Cafe juga menghidangkan minuman istimewa seperti Thai Ice Tea, Thai Ice Bandung, Thai Ice Green Tea, Thai Ice Green Tea, selain beberapa jenis minuman lain. Harga minuman istimewa itu bermula RM4.00 hingga RM5.00.
Terbaharu, Time Out Cafe kini menawarkan hidangan sarapan, bermula seawal pukul 8.00 pagi.

Kata Razman, konsep penyediaan makanan pula lebih kepada jenis makanan ringkas dan cepat siap, sementara hiasan dalaman kafe pula mengikut trend terkini yang ringkas tetapi menarik dan selesa untuk pelanggan menjamu selera.
“Saya banyak menjelajah di negara-negara luar, jadi saya banyak melihat dan belajar mengenai konsep restoran dan kafe,” katanya.
Selain menjamu selera, Time Out Cafe kini menjadi tumpuan para golongan remaja dan generasi muda termasuk pelajar universiti untuk meluangkan masa dan melepak bersama rakan-rakan mereka. Selain itu, pelanggan yang sudah berkeluarga juga sering mengunjungi kafe ini kerana kelainan hidangan makanannya.

Monday, February 22, 2016

TERBANG DI FLIGHT AVIAX SIMULATOR-SPACE 8 BUKIT JELUTONG


Ingin membawa keluarga bercuti ke mana-mana sahaja destinasi di seluruh dunia dengan memandu sendiri pesawat?
Anda juga boleh memilih untuk mendarat di mana-mana lapangan terbang seluruh dunia sambil mengenakan pakaian seragam juruterbang.
Kedengaran agak pelik namun itulah pengalaman yang boleh diperolehi jika berkunjung ke sebuah pusat penerbangan simulator yang terletak di pusat beli-belah Space U8, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.
Meskipun hanya sebuah simulator, pengalaman mengendalikan kapal terbang komersial jenis Boeing 737 pastinya akan membuatkan pengunjung berasa teruja dengan sistem dan peralatannya seakan-akan pesawat sebenar.
Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat mengisi masa terluang sekeluarga pada hujung minggu, malah dapat menjana minat anak-anak kecil untuk terlibat dalam dunia penerbangan.

Pengarah Aviax Ventures Sdn. Bhd., Mohd. Tarmizi Shuib berkata, staf bertugas di pusat penerbangan simulator yang beroperasi sejak 2013 itu akan memberi taklimat ringkas kepada pengunjung mengenai penerbangan simulator sebelum memulakan penerbangan.
“Kita akan memberi taklimat ringkas termasuk penggunaan butang dan suis yang ada serta penerbangan ini juga akan diselia oleh seorang pengajar.
“Ketika penerbangan, pengunjung boleh memilih untuk berlepas dari mana-mana lapangan terbang yang ada di seluruh dunia dan mendarat di negara pilihan masing-masing,” katanya.

Beliau menambah, sambutan daripada orang ramai amat menggalakkan, bukan sahaja individu dan keluarga malah pelajar bidang penerbangan turut berkunjung ke pusat itu.
Katanya lagi, sebelum ini tidak ramai yang tahu mengenai kewujudan pusat simulator yang dibuka kepada umum, namun lama kelamaan jumlah pengunjung bertambah.
“Selama ini, kita hanya duduk di kerusi penumpang dalam pesawat. Namun aktiviti ini akan memberi peluang kepada pengunjung untuk menerbangkan sendiri kapal terbang dan merasai keseronokan alam penerbangan.

“Aktiviti ini amat menyeronokkan bagi seisi keluarga kerana kesemua mereka boleh merasai pengalaman sebenar menerbangkan pesawat dan bergambar di dalam kokpit,” ujarnya.
Flight Aviax Simulator terletak di unit B2-13-1, tingkat 1, pusat beli-belah Space U8, Bukit Jelutong, Shah Alam.
Pusat simulator penerbangan itu dibuka mulai pukul 1 petang sehingga 9 malam setiap hari kecuali Isnin.
Bayaran yang dikenakan untuk 30 minit adalah RM150 manakala 60 minit penerbangan sebanyak RM260.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian 03-78597378 untuk maklumat lanjut.

Sunday, February 21, 2016

NICKELODEON LOST LAGOON KINI DIBUKA


SEJAK dibuka secara rasmi pada 1997, Sunway Lagoon telah menjadi antara tarikan utama pelancong ke negara ini. Saban tahun, taman tema yang diklasifikasikan antara terbesar di Asia ini berjaya menarik jumlah pengunjung yang ramai dari serata dunia disebabkan kepelbagaian serta keunikan tarikan hiburan.
Tahun ini, Sunway Lagoon menampilkan satu tarikan yang bakal mengujakan semua. Setelah dinanti sekian lama, akhirnya Nickelodeon Lost Lagoon dibuka secara rasmi kepada pengunjung.

Dirasmikan pada 2 Februari lalu, Nickelodeon Lost Lagoon mempunyai keistimewaan tersendiri. Taman tema pertama seumpamanya di Asia ini menawarkan keseronokan tanpa henti kepada pengunjung pelbagai peringkat umur.
Hadir pada majlis perasmian adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Pengerusi Eksekutif Sunway Group, Tan Sri Razman Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Membeli-belah Taman Tema Sunway, H. C. Chan, Pengurus Besar Kanan, Sunway Lagoon, Calvin Ho dan Pengarah Urusan Viacom International Media Networks Asia, Mark Whitehead.
Ho berkata, Nickelodeon merupakan rangkaian televisyen satelit yang cukup popular di seluruh dunia khususnya di Asia Tenggara. Katanya, disebabkan itu, ia dipilih untuk dibangunkan sebagai taman tema.

“Kami yakin masyarakat pelbagai peringkat umur di Malaysia cukup sinonim dan menggemari karakter-karakter popular Nickelodeon. Jadi, kami percaya taman ini akan menjadi tarikan kuat untuk pengunjung singgah di sini,” katanya.
Sementara itu, Chan berkata, dengan adanya tarikan baharu itu, pihaknya menjangkakan pengunjung ke Sunway Lagoon akan meningkat sebanyak 30 peratus pada tahun ini.
“Jangkaan peningkatan kehadiran pengunjung dalam dan luar negara adalah antara 1.6 juta hingga 1.8 juta berbanding 1.3 juta pada tahun lalu,” jelasnya.
Nickelodeon Lost Lagoon mempunyai 14 tarikan yang menampilkan tema karakter-karakter popular termasuk SpongeBob SquarePants, Dora the Explorer dan Teenage Mutant Ninja Turtles.
Pengunjung bakal disaji dengan pengalaman menyeronokkan menerusi pelbagai bentuk permainan interaktif, gelongsor air, pusat jualan makanan dan barangan cenderahati serta banyak lagi.
Nickelodeon Lost Lagoon dibuka kepada pengunjung pada Isnin hingga Ahad, bermula 10 pagi hingga 6 petang. Bayaran masuk sebanyak RM150 bagi pengunjung berumur 12 tahun ke atas, manakala RM120 untuk 12 tahun ke bawah