BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, March 26, 2016

ABU DHABI COFFE CAFE-SETAPAK KL


Tidak keterlaluan jika dikatakan sebahagian besar daripada kita hidup dan membesar dengan nasi lemak, sajian beridentiti Malaysia milik semua tanpa mengira status dan bangsa.
Bahkan, populariti nasi lemak menjangkau batas masa apabila makanan yang asalnya untuk sarapan pagi, kini boleh diperoleh dan dinikmati tanpa mengira masa termasuk hingga ke tengah malam.
Menariknya, sesetengah nasi lemak mempunyai ‘pengikut’nya sendiri hingga diberi pelbagai jolokan atau nama bagi mudah membuat perbandingan atau mengingati rasa serta keenakannya.
Sebahagian pengusaha makanan juga memberi nama yang unik dan lain daripada lain kerana berasakan nasi lemak mereka mempunyai keistimewaan tersendiri.
Antaranya, ‘Nasi Lemak Tak Ingat’ yang boleh dinikmati di Abu Dhabi Coffee Cafe by TAD dan JAD, yang terletak di No. 63G, Jalan Melati Utama 4, Taman Melawati, Setapak, Kuala Lumpur.
Disediakan oleh Chef Jidin yang berpengalaman sebagai tukang masak di hotel bertaraf antarabangsa, Nasi Lemak Tak Ingat merupakan nasi lemak asli Melayu yang dibungkus dengan daun pisang.
Pada masa sekarang memang susah mendapatkan nasi lemak daun pisang kerana biasanya nasi lemak dibungkus dengan plastik, kertas minyak atau di dalam polisterin.
Berharga RM2 sebungkus, nasi lemak yang dimasak dengan santan dan daun pandan ini disediakan dengan sambal tumis istimewa yang kurang pedas, ikan bilis goreng, hirisan timun, telur rebus dan ikan masin gelama atau tenggiri.
Hanya lauk asas nasi lemak disediakan supaya pelanggan dapat mengingati semula nasi lemak tradisi seperti yang disediakan oleh ibu di rumah.
Aroma nasi lemak yang enak ini terus membuka selera sebaik bungkusan daun pisang dibuka. Menikmatinya perlahan-lahan sambil menghirup minuman pilihan di kafe ini membuatkan anda terleka seketika. Malah terdapat pelanggan yang makan sehingga dua bungkus sekali gus.
Menurut pemilik Butik Tudung Abu Dhabi (TAD) dan Jubah Abu Dhabi (JAD), Noor Rosniza Hany Abdul Raoff, 39, kafe yang baru sebulan dibuka di butiknya itu adalah bagi memberi keselesaan kepada pelanggan yang ingin menikmati makanan dan minuman sambil membeli-belah.
Katanya, selain Nasi Lemak Tak Ingat, dia dan suaminya, Rizal Harun, 40, turut menyediakan banyak hidangan ringan lain serta pelbagai minuman bagi memenuhi selera dan kehendak pelanggan.
Di antara makanan ringan dan minuman yang boleh dinikmati di sini, ialah croissant, kek cawan, sandwich, kek potong, bermacam jenis kuih-muih sejuk beku yang digoreng panas-panas seperti karipap, cucur badak, popia, sosej jumbo, bebola daging, pulut panggang, samosa dan banyak lagi.
Pelanggan juga boleh mencuba pelbagai jenis minuman yang enak sama ada sejuk atau panas seperti bermacam pilihan kopi, minuman buah-buahan, iaitu mangga, kelapa, strawberi, detoks (lemon, epal dan teh hijau), minuman berasas teh dan minuman coklat yang cukup menyegarkan.
“Harga makanan dan minuman yang dijual di sini sangat berpatutan seperti minuman kopi di antara RM3 hingga RM7, minuman teh RM6 hingga RM8, coklat RM6 hingga RM7 yang disediakan dalam bekas plastik yang besar dan kuih-muih pula RM3.90 untuk tiga keping.
“Selain menjual kuih-muih yang boleh dimakan di sini, kami turut menjual pelbagai jenis kuih-muih sejuk beku daripada Niena Frozen Station yang boleh dibawa pulang. Ini pun atas permintaan pelanggan juga.
“Ramai juga pelanggan yang membeli kuih-muih sejuk beku di sini untuk dimakan di rumah setelah merasainya di sini. Semuanya enak-enak belaka, memenuhi selera setiap orang dan kerangupan karipap kekal hingga 10 jam.
“Kami menyediakan ruang makan di dalam dan di luar butik. Seramai 20 orang pelanggan boleh makan pada satu masa dalam suasana yang santai dan selesa. Sambil isteri memilih pakaian, suami dan anak-anak boleh makan-makan. Tidaklah terasa lama menunggu.
“Biasanya pelanggan ramai pada waktu tengah hari, selepas waktu pejabat dan malam kerana ingin makan kuih-muih yang ringan bersama kawan-kawan ,” kata Noor Rosniza Hany.
Dibuka setiap hari daripada pukul 11 pagi hingga sembilan malam, Nasi Lemak Tak Ingat dijual bermula pukul 2 petang.

Wednesday, March 23, 2016

NASI LEMAK ANTARA 10 SARAPAN SIHAT DUNIA


KUALA LUMPUR 22 Mac – Majalah mingguan antarabangsa, Time menyenaraikan makanan kegemaran rakyat Malaysia iaitu nasi lemak sebagai salah satu daripada 10 sarapan antarabangsa yang sihat, semalam.
Menurut majalah terkenal tersebut, walaupun nasi lemak se­ring dilabel sebagai tinggi kandu­ngan lemak namun juadah itu tetap mengandungi pelbagai nutrien yang diperlukan tubuh.
“Nasi lemak sememangnya mengandungi lemak lebih daripada apa yang kita perlukan (yang boleh dielakkan dengan mengurangkan pengambilan nasi) tetapi makanan itu adalah sarapan yang seimbang kerana mengandungi pelbagai nutrien termasuk ma­nganese, protein dan karbohidrat,” lapor majalah Time.
Tambah majalah itu lagi, kan­dungan cili dalam sambal nasi lemak juga dapat membantu meningkatkan kadar metabolisme dalam tubuh seseorang yang memakannya.
Menerusi laporan majalah itu semalam, selain nasi lemak turut disenaraikan antara 10 sarapan antarabangsa berkhasiat antaranya Pho iaitu sejenis mi sup dari Vietnam dan Ful Medames iaitu hidangan berasaskan kekacang yang terkenal di Mesir.
Sementara itu, mengulas me­ngenai laporan tersebut, Pegawai Dietetik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kamarul Az­manie Kamaruzaman mengakui nasi lemak secara asasnya merupakan hidangan berkhasiat.
Namun, bagi beliau, resepi nasi lemak sebelum ini perlu diubah suai terutama dengan menggantikan santan kepada susu rendah lemak.
“Ini termasuk tidak menggunakan santan dalam sambal nasi lemak tersebut selain mengelakkan lauk-pauk berlebihan.
“Selain itu, hidangan nasi lemak juga mengandungi fiber yang rendah sekiranya ia dihidang­kan de­ngan jumlah timun yang sedikit, ia akan menjadi seimbang sekiranya satu hidangan mempunyai sekurang-kurangnya enam hirisan timun,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Monday, March 21, 2016

MALAKOFF KUKUHKAN KEDUDUKAN, LOJI T4 MULA BEROPERASI

Ketua Pengeluaran, Kaswadi Abdul Halim (kiri) bersama Pengurus Tanjung Bin Power
Plant, Mohd Sallehuddin Abu Bakar (dua dari kiri) menunjukkan Loji Janakuasa Tanjung
Bin Energy (TBE) yang beroperasi di Kompleks Janakuasa Tanjung Bin, Pontian 

PONTIAN 21 Mac – Malakoff Corporation Bhd. (Malakoff Corporation) mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar tenaga bebas (IPP) Malaysia menerusi Loji Janakuasa Tanjung Bin 4 (T4) bernilai RM6.7 bilion yang mula beroperasi tengah malam tadi.
Loji berkenaan yang didirikan di atas tanah seluas 65 hektar di Kompleks Janakuasa Tanjung Bin di sini, mampu menyalurkan sebanyak 1,000 Megawatt (MW) tenaga dalam satu masa dan dapat memenuhi keperluan tenaga bagi kira-kira dua juta pengguna.
Dengan pengoperasian loji tersebut yang menjadi penanda penting Malakoff Corporation, keupayaannya dijangka mampu meningkatkan penguasaan portfolio penjanaan tenaga pelbagai syarikat itu di Semenanjung Malaysia daripada 24 kepada 29 peratus ketika ini.
Penolong Pengarah Projek Tanjung Bin Energy Sdn. Bhd., Mohd Syahrul Izwan Ismail berkata, pelaksanaan loji itu akan meningkatkan pembekalan kapasiti bersih kumpulan dari 5,346 kepada 6,346 MW menerusi enam loji yang dioperasikan syarikat.
"Loji itu yang dikuasakan menerusi sistem tenaga stim menye­dia­­kan kapasiti tambahan 1,000 MW bagi Grid Nasional yang mampu membekalkan tenaga kepada hampir dua juta pengguna," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke T4 di sini hari ini.
Tambahnya, dengan pelaksanaan loji itu diyakini dapat mengukuhkan kedudukan Malakoff Corporation sebagai pengeluar utama IPP.
Loji T4 itu merupakan projek IPP pertama di Malaysia diberikan suruhanjaya tenaga menerusi proses bidaan yang kompetitif dengan penyaluran tenaga dibuat kepada Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menerusi perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 25 tahun.
Beroperasi selama 24 jam, loji tersebut mendapat notis kebenaran pelaksanaan pada Mac 2012 dan hingga kini berjaya menjalani sekali gus menepati semua ujian diperlukan bagi memastikan tenaga berkenaan dapat disalurkan dengan selamat.
Menurut Malakoff Corporation, semasa projek itu dilaksanakan pihaknya telah menyediakan pembangunan sosio ekonomi yang positif termasuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini antaranya bidang kejuruteraan, pembuatan dan pengangkutan.

Pontian: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menyatakan kesediaan pihaknya menyediakan bekalan kuasa 1,000 Megawatt (MW) untuk keperluan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia melalui janaan arang batu di Stesen Janakuasa Bebas (IPP) Tanjung Bin 4 di sini yang memulakan operasi komersialnya awal pagi hari ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) Habib Husin berkata, stesen berkenaan yang lebih dikenali sebagai T4 mendapat Notice to Proceed (NTP) pada Mac 2012 dan berjaya dihubungkan dengan Grid Kebangsaan pada 15 Oktober lalu.
Katanya, buat masa ini T4 memenuhi semua aspek ujian yang diperlukan dalam soal keselamatan dan pergantungan tenaga yang boleh dipercayai.
"Loji janakuasa Tanjung Bin Energy (TBE) dianugerahkan oleh Suruhanjaya Tenaga menerusi proses bidaan yang kompetitif. Semasa pembinaannya kami mencabar keupayaan sendiri untuk membekalkan tarif elektrik yang berpatutan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan bilangan pengguna yang ramai.
"Dalam masa sama, kami menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PFA) bersama TNB selain memeterai Perjanjian Pembekalan Arang Batu dan Pengangkutan (CSTA)antara TBE dengan TNB Fuel Services Sdn Bhd.
"TBE akan membekalkan kuasa kepada TNB melalui kontrak PPA selama 25 tahun manakala CSTA akan memastikan kesediaan dan kualiti pembekalan arang batu untuk dijana di loji janakuasa," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Difahamkan kos pembiayaan projek T4 mendapat suntikan dana daripada dalam dan luar negara yang mencecah RM6.7 billion serta dijangka memberi limpahan sosio ekonomi termasuk peluang pekerjaan di negeri ini.

Sunday, March 20, 2016

TSUJIRI-SYURGA PENGGEMAR TEH HIJAU-DAMANSARA UTAMA


TEH hijau boleh dikatakan minuman yang paling menyihatkan di muka bumi ini. Kaya dengan antioksida dan nutrien yang mempunyai kesan yang hebat pada badan, dan pelbagai kebaikan daripada teh hijau.
Antaranya ialah memperbaiki fungsi otak, mengurangkan risiko kanser, menghilangkan sakit kepala dan yang paling digemari kebanyakan wanita, ia membantu mengurangkan berat badan secara efektif.
Tidak lagi berupa minuman teh saja, kini teh hijau yang semakin menjadi kegilaan ramai turut didatangi dalam pelbagai bentuk terutamanya manisan seperti aiskrim dan kek teh hijau.
Bagi penggemar setia teh hijau, layanlah selera anda dengan mengunjungi outlet yang fokus dalam menyediakan pelbagai minuman panas dan sejuk serta manisan berasaskan teh hijau yang didatangkan khas dari Jepun iaitu Tsujiri yang baru saja dibuka di Damansara Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Ujar Pengarah Urusan, Tsujiri Malaysia, Karen Teow, jenama teh hijau dari Jepun yang diwarisi selama 155 tahun itu menarik perhatiannya setelah disyorkan oleh adiknya yang menikmatinya terlebih dahulu ketika adiknya berada di Jepun.
“Ketika itu, cawangan terdekat berada di Singapura, jadi saya terus bergegas ke sana untuk merasai minuman dan pencuci mulut mereka dan serta-merta mengemarinya. Saya berhasrat untuk menjamunya setiap hari, justeru memutuskan untuk membuka satu cawangan bagi membawa jenama teh yang menakjubkan ini di sini,” terang Karen ketika majlis perasmian Tsujiri cawangan Malaysia, di Damansara Utama. baru-baru ini.
Ditubuhkan pada 1860, Tsujiri diasaskan oleh pakar teh hijau, Riemon Tsuji. Melalui pelbagai inovasi, dia berjaya menemui cara-cara untuk meningkatkan rasa dan kemanisan teh hijau, justeru menghasilkan teh hijau Gyokuro, yang merupakan antara baka teh hijau, yang bermutu tinggi.
Melalui tekniknya, manfaat teh hijau yang kaya dengan antioksida dan dipercayai menggalakkan antipenuaan dapat dikekalkan. Dengan itu, Tsujiri menawarkan teh hijau kaya dengan Vitamin A, C, E dan Beta Karotena, serta Catechin yang sangat penting untuk membakar kalori.
Menge­kal­kan hasrat Riemon untuk meneruskan inovasi dan tradisinya, Tsujiri menerokai minuman teh hijau dan pencuci mulut, namun mengekalkan falsafahnya untuk menawarkan kualiti yang terbaik. Produk Tsujiri mengunakan teh hijau yang dipilih dan dipelihara di Uji, Kyoto dan mengunakan cara-cara tradisional untuk mengisar bagi memberi aroma dan rasa yang kuat.
Antara menu Tsujiri ialah O-matcha, Specialty Drink, Tea, Latte, Ice Blended, Soft Ice Cream and Parfait, Shaved Ice dan pelbagai pilihan manisan lain bagi penggemar teh hijau.
Dengan menu 48 jenis minuman dan pencuci mulut, pelanggan juga boleh membeli produk untuk dibawa pulang ke rumah seperti O-matcha Power dan pelbagai variasi beg teh hijau. Harga minuman dan pencuci mulut bermula daripada RM 6.50.

Saturday, March 19, 2016

KAFE FERIO-KLEBANG, MELAKA


BERMULA daripada perniagaan ‘ais krim pasu’ secara kecil-kecilan, pemilik kafe Ferio mengorak langkah dengan membuka restoran makan berkonsepkan moden atau lebih dikenali sebagai kafe hipster yang kini menjadi trend gaya hidup generasi kini.
Seorang anak muda dari Melaka, Muhammad Hairul Ezuan Hamzah tampil berani dengan memberikan kelainan kepada pelanggan di kawasan Bertam. Lihat sahaja kafe miliknya yang dihiasi dengan pelbagai dekorasi moden, tidak hanya pada dinding, malah beliau turut mengetengahkan menu makanan dan minuman yang istimewa dan menarik.
Mula beroperasi pada awal Januari lalu, anak muda ini yakin kafenya bakal mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai, lebih-lebih lagi tiada kafe berkonsep seumpama itu wujud di kawasan Bertam.
Sebelum ini, beliau mengusahakan perniagaan ais krim pasu yang pernah popular pada awal tahun lalu, bertempat di Dataran 1Malaysia Klebang. Dari situ, timbul idea untuk menjadikan mi pasu sebagai ‘signature’ kafe tersebut.
“Idea untuk mempertaruhkan jualan mi pasu ini timbul selepas saya mengadakan perbincangan bersama keluarga dan ia diambil daripada idea ais krim pasu yang saya usahakan sebelum ini.
“Ahli keluarga memberikan sokongan penuh untuk saya memulakan perniagaan mi pasu ini dengan menggunakan resipi mi hailam yang dihidangkan dalam tiga saiz pasu berbeza,” katanya kepada S2.
Muhammad Hairul berkata, menu mi pasu itu boleh didapati dalam tiga saiz hidangan iaitu Ciput berharga RM10 untuk tiga orang makan, Ngam-ngam (RM29) untuk lima orang dan Gedabak untuk maksimum lapan orang, berharga RM32.
Kata remaja yang baru berusia 22 tahun itu, pelanggan yang datang bukan sahaja dari kalangan masyarakat setempat, malah kafe Ferio turut menerima pengunjung dari utara hingga selatan tanah air yang datang untuk merasai menu yang ditawarkan.
“Saya bersyukur sambutan yang diterima amat menggalakkan dan pelanggan rata-ratanya menyukai konsep tersebut.
“Ada juga pelanggan membawa rakan-rakan dari luar negara ke kafe ini untuk merasai keunikan mi pasu,” katanya.
Selain itu, kafe itu turut menyediakan menu makanan santai dengan tema fusion yang membolehkan pelanggan memilih sama ada hidangan makanan barat atau makanan tempatan seperti chicken chop dan lamb chop yang ditawarkan pada harga berpatutan.
Kafe Ferio yang diuruskan bersama dua adik perempuannya, Nurliyana Hamzah, 20, dan Nur Hamizah Hamzah, 18, turut membuatkan pelanggan terpesona melihat hiasan dalaman dan susun atur yang santai sehingga pelanggan berasa selesa untuk menjamu selera.
Muhammad Hairul juga berkata, beliau lebih suka bersifat positif menerima kritikan tentang kualiti makanan pada awal pembukaan kafe untuk dijadikan dorongan baginya memperbaiki perkhidmatan dari semasa ke semasa.
“Kami sentiasa menambah baik menu dengan menghadiri pelbagai kursus dalam bidang makanan dan menjadikan blog di laman web sebagai rujukan untuk menambah baik kafe kami seperti mencari idea baharu bagi menu-menu di sini.
“Alhamdulillah, biarpun baru dibuka, kafe Ferio kini mempunyai pelanggan tetap yang tidak putus-putus datang ke sini,” katanya sambil memberitahu kafe itu juga menerima tempahan seperti majlis hari jadi atau majlis ringkas syarikat

BAR JIBRIL-BAR MESRA PELANGGAN MUSLIM-SS15 SUBANG JAYA



Restoran berkonsep bar mungkin bukan pilihan masyarakat beragama Islam kerana menu dihidangkan kadangkala kurang bersesuaian dengan cita rasa mereka.
Namun, pada masa kini, terdapat bar bercirikan mesra Muslim yang menghidangkan makanan halal dan bebas daripada minuman keras seperti bar Jibril (Jibril) yang beroperasi di SS15, Subang Jaya, Selangor.
Pertama kali berkunjung ke bar tersebut, penulis terpegun dengan persekitaran dan hiasan dalamannya yang klasik dan selesa. Menariknya, bar ini dibina secara tertutup menepati konsep speak easy yang banyak diketengahkan di negara-negara Barat.
Jibril diusahakan empat anak muda, Akmyr Ahmad Azwan Abdul Kadir, 23, Nurin Hasanah Abdul Rahim, 27, Muhammad Atiqurrahman Sulaiman, 26, dan Imran Sheik Muhamed, 26. Kesemua mereka bekerjasama dalam satu syarikat dinamakan Pronomy P.L.T.
Akmyr ketika ditemui .com memberitahu, Jibril dibina untuk memberi peluang kepada masyarakat Islam, khususnya generasi muda yang ingin merasai pengalaman bersantai di restoran berkonsepkan bar.

“Boleh dikatakan, Jibril adalah bar mesra Muslim pertama diwujudkan di Malaysia. Makanan dan minuman halal dihidangkan dan tiada minuman keras dijual,” katanya.
Bagi pengunjung, ciri-ciri utama diberi tumpuan ketika berkunjung ke premis makanan adalah hidangan bersih, menyelerakan dan murah. Di Jibril, pelbagai makanan dan minuman khususnya ala barat dihidangkan sempurna dengan harga berpatutan.
“Makanan tempatan juga dihidangkan seperti Pineapple Fried Rice dan Golden Singaporean Murtabak. Pada masa sama, pengunjung pasti tidak mahu lepaskan peluang menikmati menu istimewa iaitu Salted Egg Butter Chicken yang dijual pada harga RM14.50.
“Selain itu, minuman dihidangkan di sini adalah unik kerana tidak terdapat di restoran atau kafe lain. Contohnya, minuman Potter yang manis berkrim berharga RM7.50,” jelas Akmyr.
Bagi pengunjung yang berminat untuk mengenali bar ini boleh mengikuti laman Facebook rasminya www.facebook.com/jibril atau Twitter dan Instagram jibrilss15

Friday, March 18, 2016

KOPIMEO-SEKSYEN 9 SHAH ALAM


SPAGETI ikan masin dan spageti gulai lemak udang, antara sajian Barat yang ‘dikacukkan’ untuk memenuhi selera masyarakat setempat.
Bukan sahaja sajian yang cukup enak untuk dinikmati seisi keluarga, malah mempunyai keistimewaan dalam kategorinya tersendiri.
Tidak akan menyesal atau berasa rugi sekiranya anda memesan sepinggan spageti ikan masin mahupun spageti gulai lemak udang, kerana kedua-dua sajian ini juga menjadi pilihan pengunjung di Kopimeo.
Memilih untuk menawarkan masakan-masakan Barat kepada pengunjung, pasangan suami isteri, Meor Azlan Che Saffry, 37, dan Ili Bazlina Razmi, 33, bagaimanapun membuat keputusan untuk memberikan kelainan dalam menu-menu sajian di kafe mereka.
Mengakui membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke atas semua menu yang ditawarkan, menurut Meor Azlan, ini bertujuan memberikan yang terbaik kepada pelanggan-pelanggannya.
“Jika dilihat pada menu, memang kami menawarkan sajian masakan Barat kepada pengunjung, tetapi ada sesetengah menu kami olah mengikut cita rasa masyarakat tempatan.
“Ini kerana, tidak semua pelanggan gemar dengan masakan Barat jadi apa yang kami lakukan ialah gabungkan masakan Barat dengan masakan kampung.
“Sudah pasti apa yang kami lakukan ini terlebih dahulu kami buat kajian agar ‘kacukan’ yang kami lakukan sesuai dan enak untuk dinikmati dan rasanya tidak pelik,” ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di No. 29, Jalan Tengku Ampuan Zabedah B 9/B, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor.
Menjelaskan apa yang dilakukan mereka adalah disebabkan minat yang mendalam dalam bidang perniagaan berkaitan makanan, pasangan ini jelas gembira dengan perniagaan kafe yang diusahakan sejak April tahun lalu.
Bosan dengan pekerjaan yang dilakukan sebelum ini, baik Meor Azlan mahupun Ili, kedua-duanya sepakat untuk bergelar usahawan.
Menggabungkan minat masing-masing dalam satu bidang di bawah satu bumbung, jelas Meor Azlan lagi, isterinya seorang yang suka memasak sementara dia pula seorang penggemar kopi.
Daripada minat masing-masing, tercetus idea untuk membuka sebuah kafe yang menawarkan masakan Barat dan minuman berasaskan kopi.
“Di Kopimeo, kami turut menawarkan pelbagai minuman berasaskan kopi seperti latte ais, matcha latte teh hijau ais, dan mocha panas.
“Masakan pula pelanggan boleh memilih untuk menikmati makanan laut pedas arrabbiata, sriracha dan ayam madu bbq, salisbury stack, churros, dan banyak lagi.
“Berlakunya gabungan antara masakan Barat dan masakan kampung ini adalah disebabkan saya penggemar masakan kampung tetapi pada masa yang sama ingin menjadikan masakan Barat sebagai menu utama di kafe ini,” kata Meor Azlan lagi.
Memberi pujian kepada bapa mentuanya, Ramzi Chik, untuk resipi spageti ikan masin, dia berkata, kafenya dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula pukul 12 tengah hari hingga 10 malam.
Katanya lagi, buat masa ini Kopimeo boleh memuatkan seramai 35 pengunjung pada satu-satu masa.
Sentiasa berada di kafe dan turut sama membantu pekerja-pekerjanya, Meor Azlan kini dalam perancangan untuk mengembangkan lagi perniagaan.
Selain membuka cawangan melalui konsep francais, dia dan isteri ingin menawarkan perkhidmatan katering pada masa hadapan.
Menyediakan hanya hidangan yang segar, dia memberitahu, setiap masakan hanya akan dimasak apabila tempahan diterima.