KOSMO 25 Januari 2011
YOGYAKARTA, Indonesia - Tujuh petak sawah padi di Krasakan di Sleman,  Yogyakarta mempunyai corak bulatan ganjil yang dipercayai penduduk  dihasilkan oleh objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor akhbar Jakarta Post semalam.
Bukan sahaja Jakarta Post tetapi banyak akhbar lain di Indonesia turut melaporkan mengenai penemuan unik itu.
Corak bulatan ganjil pada kebiasaannya ditemui di kawasan tanaman  gandum di negara-negara Barat seperti Britain sejak tahun 1980.
Bentuk bulatan yang ganjil itu dikaitkan dengan UFO di Barat ekoran  ia mempunyai bentuk geometri dan tiasa saksi yang melihat manusia yang  melakukannya.
Bentuk ganjil yang ditemui di Sleman itu mengandungi corak segi tiga  dan dua bulatan kecil di bahagian tengah bulatan yang besar berdiameter  di antara 25 meter hingga 30 meter itu ditemui penduduk tempatan pada  pagi Ahad lalu.
"Saya berpendapat, ia (bulatan ganjil itu) ditinggalkan oleh sebuah  kapal angkasa asing seperti yang saya lihat di televisyen," kata seorang  penduduk, Cahyo Utomo semalam.
"Adalah tidak munasabah, bulatan itu dibuat hasil tiupan angin atau haiwan lain," tambahnya.
Bulatan itu yang terletak dekat dengan sebuah kawasan rumah penduduk  kelihatan seperti satu kerja seni geometri manakala kawasan sawah padi  lain tidak mengalami sebarang kesan yang sama.
Bulatan ganjil itu kali pertama dilaporkan oleh seorang petani, Tukiman pada pukul 6 pagi Ahad lalu
|  | 
| SEJUMLAH orang menaiki bukit dan merakamkan gambar corak unik yang dipercayai dihasilkan objek terbang tidak dikenali di kawasan sawah padi di Sleman, Yogyakarta semalam. | 
Ketua Polis Sleman, Iwan Ramaini berkata, dia tidak pasti jika corak  bulatan itu dicipta oleh UFO atau ia merupakan fenomena semula jadi.  Satu siasatan polis sedang dilakukan berhubung kejadian itu.
Namun, seorang pegawai polis yang mendegar keterangan daripada enam  petani yang memiliki tujuh petak sawah percaya, bulatan itu bukan buatan  manusia.
"Mereka bilang (para petani itu) nggak (tidak) mungkin itu dibuat  oleh manusia," kata seorang pegawai polis, I Made Muliawan kepada  wartawan akhbar dalam talian detikcom.
Menurutnya, petani-petani itu tidak melihat terdapat kegiatan mencurigakan di kawasan sawah padi tersebut.
"Tidak ada keterangan yang menyebutkan, melihat ada orang melakukan hal-hal aneh di sawah itu," katanya.
Dia berkata, salah seorang pemilik sawah itu pernah mendengar bunyi bising pada malam sebelum corak itu ditemui.
"Malam hari ada yang bilang mendengar suara seperti pesawat turun,  terus pastinya dia melihat di sawahnya," kata pegawai polis itu.
Menurutnya, pihak polis menghalang orang ramai mendekati kawasan yang mengandungi objek misteri itu.
Dia berkata, sekatan itu dibuat kerana pihaknya bimbang orang ramai  akan memijak pohon padi sekali gus menjadi rosak dan merugikan petani

No comments:
Post a Comment