Makanan dan minuman adalah bahan asas yang paling penting di dalam kehidupan seharian seseorang manusia. Ia adalah suatu keperluan yang tidak dapat diabaikan kerana kesihatan dan kekuatan seseorang itu sebahagian besarnya bergantung kepada makanan dan minuman yang diambil selain ketentuan Allah SWT.
Rasulullah SAW pernah menggambarkan di dalam hadis baginda kedudukan orang yang sihat antaranya, sesiapa yang mempunyai pencarian yang cukup (rezeki yang banyak) dan mempunyai tahap kesihatan yang baik seolah-olah seseorang itu merasakan dunia ini dia yang punya. (riwayat Tirmizi)
Manusia memerlukan makanan disebabkan beberapa perkara faktor:
* Membekalkan haba dan tenaga bagi menjaga dan mengekalkan suhu badan, bagi tugas-tugas pernafasan dan aliran darah, membantu fungsi otot serta proses penggantian zat dalam badan (metabolisme badan).
* Membentuk tisu-tisu baru dalam tempoh pertumbuhan badan dan juga untuk membaiki tisu-tisu yang sudah reput atau mati dan rosak . Kanak-kanak memerlukan bekalan yang mencukupi agar proses pembesaran mereka tidak terbantut.
* Untuk mengawal aktiviti pelbagai organ tubuh badan terutamanya jantung.
Makanan
Walaupun makanan adalah keperluan utama tetapi pengambilannya tidaklah boleh sewenang-wenangnya.
Dalam hal ini Rasulullah SAW yang menyatakan antara lainnya yang bermaksud: "Kami adalah suatu kaum yang tidak akan makan kecuali lapar dan apabila kamu makan tidak pula sampai kekenyangan".
Walaupun seseorang itu tidak mampu untuk mengikut cara pengambilan makan atau diet Rasulullah SAW secara total tetapi apa yang lebih penting makanlah sekadar yang perlu.
Rasulullah SAW memberi garis panduan makan dan minum untuk umat Islam antaranya adalah:
* Tidak terlalu kenyang. Kegemaran makan sampai padat adalah sesuatu yang amat dibimbangi nabi SAW ke atas umatnya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Yang paling saya takuti di antara hal-hal yang saya takuti adalah besar perutnya gendut kerana banyak makan, terus menerus tidur, kegemaran tidur yang melampaui batas, bersikap malas, lemah keyakinan, tidak mempunyai pendirian yang tegas dan tetap".
* Makanlah sekadar yang mencukupi asalkan dapat berdiri untuk bekerja kerana keadaan lapar juga boleh mematahkan semangat berusaha atau bekerja.
* Isi perut hendaklah dibahagikan kepada tiga bahagia iaitu 1/3 makan dan 1/3 untuk minum dan 1/3 lagi untuk pernafasan sehingga jiwa menjadi baik dan bersih.
Ada beberapa hal yang perlu diberi perhatian dalam urusan makan dan minum iaitu:
* Perut besar yang selalu dipenuhi makanan itu adalah rumah penyakit, sedangkan menjaga diri sebelum sakit adalah pengubatan. Jika dihinggapi penyakit sukar untuk diubati dan memakan masa untuk sembuh. Oleh itu bersederhanalah dalam makan dan minum.
* Kekuatan tubuh badan bukan dengan sebab banyak makan tetapi dengan pengambilan makanan dan minuman yang mencukupi dan seimbang.
* Jikalau perut sudah penuh berisi dengan makanan maka sempitlah ruang untuk air dan juga udara. Sekiranya hal ini berlaku timbullah rasa malas, lesu dan lalai.
Keadaan ini amat membahayakan kesihatan kerana akhirnya seseorang itu akan sering sakit-sakit, fikiran tumpul serta hilang semangat untuk bekerja.
Apabila garis panduan ini dipatuhi atau diikuti dapatlah mengelakkan dari rasa sendat, mual, susah bernafas dan sebagainya selepas makan.
Setiap individu seharusnya mengetahui bahawa:
* Perut adalah rumah penyakit seseorang. Pepatah ada mengatakan "anda adalah apa yang anda makan".
* Kekuatan tubuh badan bukanlah disebabkan banyak makan tetapi berkaitan pengambilan makanan yang baik dan seimbang.
* Jika perut sudah dipenuhi dengan makanan dan minuman, maka ruang udara akan menjadi sempit dan berkurangan; ini akan menimbulkan rasa malas, lesu dan lalai.
Apabila terasa lapar hendaklah terus makan, jangan bertangguh kerana apabila ditangguh-tangguh akan menyebabkan seseorang itu akan mengambil makan yang berlebihan sehingga dua kali ganda.
Jika diikuti prosedur pengambilan makanan yang ditetapkan oleh Islam fenomena lebih berat badan dan obesiti tidak akan berlaku. Islam melarang seseorang terus tidur selepas makan sama ada pada siang hari atau malam. Setiap kalori atau tenaga daripada makanan hendaklah terus dibakar dengan melakukan pelbagai gerak kerja atau aktiviti.
Kalori yang tidak diguna atau dibakar akan disimpan di dalam badan dalam bentuk lemak dan terus berkumpul daripada masa ke semasa jika tidak dikawal.
Obesiti di kalangan kanak-kanak satu fenomena perlu ditangani dengan baik. Ada beberapa faktor penyebab fenomena ini berlaku. Antaranya:
* Kurang keprihatinan ibu bapa
Ibu bapa tidak mengambil berat tentang kepentingan makanan berkhasiat, sajikan makanan kepada keluarga asalkan kenyang, sedangkan Islam menggesa supaya seseorang itu memakan makanan yang halal lagi berkhasiat.
Sarapan pagi
Keluar rumah tanpa sarapan sama ada bagi kanak-kanak sekolah atau pekerja merupakan satu amalan yang tidak sihat, kecuali berpuasa. Keadaan ini akan menjejaskan kadar metabolisme.
Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Nestle (M) Berhad pada tahun 2001 ke atas 12,000 murid sekolah rendah (berumur tujuh hingga 12 tahun di seluruh negara) mendapati, lebih 30 peratus kanak-kanak sekolah rendah tidak bersarapan.
Antara alasan paling kerap adalah tidak cukup masa (48 peratus) dan tidak berselera (30 peratus). Pilihan makanan sarapan paling lazim adalah roti, nasi lemak, nasi goreng dan kuih.
Didapati pengambilan makanan harian juga tidak teratur. Semakin ramai kanak-kanak gemar kudapan seperti ais krim, buah, bijirin sarapan pagi, kentang goreng, coklat dan makanan ringan.
Hasil kajian ini menunjukkan masih ada ibu bapa yang kurang ambil berat kepentingan bersarapan, sedangkan anak-anak sepatutnya makan sebelum mereka memulakan kelas.
* Mementingkan rasa makanan, mengenyangkan, murah berbanding khasiat
Trend hari ini makanan segera menjadi amalan dan kegemaran, sedangkan kandungan makanan yang dijual itu mengandungi kadar lemak, garam dan juga gula yang tinggi.
Ini amat membahayakan kesihatan. Namun makanan inilah yang banyak dijual di merata-rata tempat. Ini bermakna kanak-kanak dan murid-murid sudah disogok dengan makanan ini, lebih-lebih lagi dengan harga RM1 sudah dapat dibeli berbanding makanan lain.
Selain makanan segera yang digoreng, nasi lemak adalah makanan tumpuan pelajar. Dengan harga antara RM1.20 sehingga RM3 mereka sudah dapat membeli sebungkus nasi lemak.
Kajian mengenai khasiat nasi lemak perlu dibuat, kerana dulu masyarakat beranggapan minyak kelapa tidak elok untuk kesihatan sedangkan pada hari ini masyarakat pula mengambil minyak kelapa dara.
Pengaruh iklan
Iklan makanan segera ada di mana-mana sahaja dan yang paling berkesan adalah di televisyen.
Makanan dibungkus dengan gaya yang menarik untuk memancing kanak-kanak, ada yang gunakan kartun-kartun, gambar-gambar haiwan, kenderaan dan pelbagai lagi.
Anak-anak kecil yang menghabiskan banyak masa mereka di depan kaca televisyen sudah tentu akan terpengaruh dengan iklan-iklan yang disajikan kepada mereka. pihak berwajib patut memberi panduan cara pengambilan yang baik.
Memanjakan anak
Ada ibu bapa yang memanjakan anak-anak dengan menyogokkan makanan segera. Di rumah terdapat pelbagai pelbagai jenis makanan segera, snek kurang zat dan minuman sedia diminum dengan pelbagai jenama.
Kurang aktif
Kanak-kanak hari ini kurang aktif kerana mereka kurang ruang untuk bergerak, terkurung di dalam rumah kerana faktor keselamatan. Duduk di depan televisyen atau di depan komputer bermain play station berbekalkan makanan ringan atau jajan.
No comments:
Post a Comment