Sunday, June 5, 2011

CEGAH OBESITI BERMULA DI RUMAH

SEBELUM membeli, berapa ramai yang sanggup meneliti label pemakanan sesuatu produk bagi menyemak kandungan nutrisinya?
Jangan tertipu kerana pada kebanyakan label, bahan yang disarankan untuk dikurangkan pengambilannya seperti gula tambahan dan lemak mempunyai pelbagai nama yang mengelirukan.
Dalam senarai label pemakanan, apabila perkataan gula diletakkan paling awal bermakna ia bahan utama dalam produk berkenaan.Namun, tahukah anda jika pihak pengeluar meletakkan perkataan sirap atau sukrosa dalam senarai kandungan nutrisi itu, ia sebenarnya adalah sejenis gula tambahan?
Gula semula jadi banyak ditemui dalam makanan yang tidak diproses seperti susu segar, buah-buahan dan sayuran manakala gula tambahan banyak didapati dalam produk yang sudah diproses seperti susu tepung, ais krim, kek, biskut serta minuman sedia diminum dan minuman ringan berkarbonat.
Perunding Pemakanan, Indra Balaratnam, berkata terdapat pelbagai jenis gula pada label menggunakan nama berbeza, tetapi ramai orang tidak mengetahuinya.Kebanyakan nama gula tambahan yang banyak terkandung dalam susu tumbesaran ialah sukrosa, pepejal sirap jagung dan pepejal sirap glukosa.Secara umum, gula juga disenaraikan sebagai sebahagian daripada karbohidrat. Ia adalah karbohidrat ringkas membekalkan sumber tenaga segera yang mudah diserap tubuh. Ini menunjukkan bahawa jika lebih tinggi paras karbohidrat, secara lazimnya ia bermakna lebih tinggi paras gula tambahan.Secara semula jadi, gula boleh didapati dalam makanan yang mengandungi karbohidrat seperti nasi, mi, roti, pasta dan ubi. Gula juga terdapat dalam buah-buahan dalam bentuk fruktosa dan susu dalam bentuk laktosa.Selain terdapat dalam bentuk semula jadi, gula juga ditambah ke dalam makanan semasa penyediaan atau pemprosesan. Namun sering berlaku pengambilan gula berlebihan kerana kita tidak sedar kandungan gula tambahan yang tidak diperlukan lantaran gula boleh diperoleh daripada makanan yang mengandungi karbohidrat.Kata Indra, ibu bapa mungkin tidak akan memberikan gula dalam bentuk pasir dalam hidangan anak mereka jadi perhatikan nama bahan berkenaan pada senarai label.“Jangan menganggap hanya gula adalah gula kerana ia sebenarnya boleh dijelmakan dalam pelbagai bentuk yang kita perlu ketahui.“Kebanyakan gula tambahan dimasukkan dalam makanan dan minuman untuk memastikan rasanya lebih sedap serta manis.“Gula tambahan ini tidak mempunyai kandungan vitamin atau mineral dan hanya memiliki rasa manis semata-mata selain membahayakan kesihatan kerana turut mengandungi kalori yang tinggi,” katanya.Menurut Indra, Panduan Pemakanan Malaysia diterbitkan Kementerian Kesihatan, mengesyorkan orang ramai mengambil makanan dan minuman yang kurang kandungan gula. Katanya, paras maksimum pengambilan gula tambahan seharian yang disarankan untuk kanak-kanak berusia antara setahun hingga tiga tahun adalah lima sudu teh bersamaan 23 gram hingga 25 gram manakala kanak-kanak empat tahun hingga enam tahun, tujuh sudu teh (32 gram hingga 34 gram) berbanding dewasa iaitu 10 sudu teh sehari.“Mengurangkan pengambilan gula tambahan memang digalakkan berbanding paras maksimum seperti yang disarankan kerana kehadiran pemanis tiruan itu sebenarnya boleh didapati dalam pelbagai jenis makanan dan bukan hanya dalam susu. Ini kerana, satu sudu teh bersamaan dengan lima gram gula,” katanya.Pengambilan gula tambahan yang berlebihan juga mendorong kepada peningkatan masalah obesiti di kalangan kanak-kanak.Masalah berkenaan bukan sesuatu yang baru untuk diperkatakan tetapi kini menjadi polemik utama di seluruh dunia termasuk Malaysia sendiri.Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanak-kanak prasekolah berlebihan berat badan di Asia dijangka meningkat 4.9 peratus menjelang 2020 berbanding hanya 3.2 peratus pada 1990.Di Malaysia, kanak-kanak prasekolah yang berlebihan berat badan adalah 6.4 peratus pada 2006, menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga (NHMS III) Kementerian Kesihatan Malaysia.Kanak-kanak yang obes cenderung membesar sebagai seorang yang obes jika tidak diatasi sejak kecil. Mereka berisiko menghadapi pelbagai masalah kesihatan termasuk masalah gigi, tekanan darah tinggi, tahap kolesterol tinggi serta barah apabila meningkat dewasa.Indra berkata, mencegah obesiti dan masalah berat badan berlebihan pada kanak-kanak sebenarnya bermula dari rumah dan ibu bapa adalah contoh terdekat.Ini kerana kanak-kanak tidak arif mengenai kandungan serta khasiat makanan diambil sepanjang proses tumbesaran justeru, orang dewasa perlu memantau atau mendidik kanak-kanak mengenai pengambilan makanan untuk kesihatan.Dia berkata, secawan minuman coklat mengandungi enam sudu teh gula manakala minuman soda pula lapan sudu teh gula. Katanya, semua bahaya itu tidak diketahui oleh kanak-kanak kerana bagi mereka apa yang ibu bapa sediakan itulah yang dianggap terbaik.“Bayangkan jika mengambil dua jenis minuman ini dalam sehari, sudah tentu ia melebihi jumlah gula diperlukan dalam sehari. Apa yang paling menyedihkan, kajian turut mendapati purata rakyat Malaysia mengambil sebanyak 24 sudu teh sehari.“Ibu bapa perlu mengawal pengambilan gula tambahan oleh anak dan pastikan tidak melebihi jumlah yang disarankan atau terlalu mengikut selera mereka.“Bertindak segera untuk menggalakkan anak anda mengamalkan gaya hidup sihat. Amalkan tabiat makan secara sihat, awasi pengambilan makanan yang tinggi lemak dan gula serta galakkan mereka melakukan aktiviti fizikal,” katanya yang turut menggalakkan ibu memasak sendiri makanan di rumah untuk anak mereka.


Bagaimana mengenal kandungan gula tambahan?


Baca label senarai kandungan yang disediakan pengeluar dan jika terdapat perkataan yang berakhir dengan ose (bahasa Inggeris) atau osa, ia mengandungi gula tambahan.Selain itu, madu, gula perang, molas, sirap jagung, sirap glukos, gula Melaka, sorbitol, xylitol atau froktosa juga sebenarnya adalah gula tambahan yang membahayakan.Gula tambahan yang banyak digunakan dalam pembuatan susu tumbesaran kanak-kanak adalah sirap glukos, sukrosa dan sirap jagung.


Cara untuk mengurangkan pengambilan gula tambahan.


Pengambilan gula tambahan berlebihan boleh dihindari seandainya kita mengetahui jenis makanan yang banyak mengandungi gula berkenaan.Contoh hidangan yang nyata mengandungi kandungan gula tambahan adalah biskut, piza, snek, sos barbeku, kicap, sos pada salad, sup, yogurt, minuman coklat, minuman soda serta kek.Namun, daripada terlalu fokus kepada jumlah gula pada setiap gram makanan atau minuman, lebih digalakkan supaya menyemak istilah yang digunakan seperti sukrosa, sirap jagung, gula merah, fruktosa, madu, maltosa atau sirap malt.Beberapa tanda yang terdapat pada label makanan yang harus diperhatikan iaitu ‘No Added Sugars’, ertinya tanpa gula atau gula tambahan selama proses pengolahan dan ‘Sugar Free’ ertinya tidak ada gula dalam makanan, meskipun kerap diganti pemanis buatan.


Kenali jenis-jenis gula:


Gula pasir


  • Ia adalah gula hasil kristalisasi cairan tebu dan biasanya berwarna putih. Ia dikenali sebagai gula pasir kerana bentuknya seperti pasir dan banyak digunakan untuk pemanis dalam minuman dan makanan.

    Gula pasir kasar






  • Gula ini terhasil daripada proses kristalisasi cairan tebu. Berbeza dengan gula pasir, gula ini memiliki tekstur yang lebih kasar manakala warnanya juga lebih berwarna-warni. Biasanya gula jenis ini banyak digunakan untuk ditaburkan pada permukaan makanan sebelum dibakar kerana ia tidak meleleh dalam suhu ketuhar.

    Gula kastor






  • Gula kastor memiliki bentuk yang lebih halus daripada gula pasir dan berwarna putih bersih. Sifatnya mudah bercampur dan banyak digunakan sebagai bahan campuran untuk pemanis dalam adunan kuih, biskut dan kek.

    Gula aising






  • Gula aising adalah sejenis gula yang mengalami proses penghalusan sehingga berbentuk debu. Teksturnya sangat halus dan ia menjadi pilihan utama untuk membuat krim hiasan kek.

    Gula dadu






  • Sesuai dengan namanya, gula dadu memiliki bentuk seperti dadu. Berbeza dengan gula biasa, ia memiliki kualiti yang sangat tinggi dan lazim digunakan sebagai pemanis dalam minuman teh atau kopi.

    Gula perang






  • Gula ini berwarna coklat dan wangi seperti karamel. Rasanya tidak semanis gula biasa dan banyak digunakan untuk pembuatan biskut.

    Gula jeli






  • Ia adalah larutan gula yang warnanya kuning dan kental sehingga menyerupai jeli. Ia sering digunakan sebagai campuran dalam adunan krim mentega.

    Sirap mapel






  • Sirap yang diperoleh daripada pohon mapel yang banyak terdapat di wilayah Amerika Utara. Ia mengandungi larutan 70 peratus sukrosa dan glukosa dalam air. Paling menjadi pilihan untuk dinikmati bersama penkek.

    Sirap jagung






  • Sirap jenis ini diperbuat daripada pati jagung dan rasanya tidak semanis gula biasa. Ia mampu menyerlahkan kesan lebih lembap pada kuih atau kek.

    Gula maltosa






  • Terhasil daripada fermentasi bijirin yang sudah direndam dan dikeringkan sebelum menjalani proses panggang dan penggilingan.
    Bentuknya menyerupai madu namun rasanya lebih manis daripada madu.

    Karamel






  • Produk yang diperoleh dengan pemanasan gula. Ia biasanya hadir dalam warna coklat dan hitam serta memiliki bau wangi yang tersendiri.Gula ini banyak digunakan sebagai pewarna dan perisa tambahan pada makanan bagi menambah aroma serta rasa.
    Minyak, gula dan garam - sedikit


  • No comments:

    Post a Comment